Friday, December 30, 2011

Bila Nak Saksi? [4]

[4]

LAMA juga kami bertentangan mata. Ala-ala dalam drama tu. Heroin hampir terjatuh dan hero sambut dengan meraih pinggang lalu merenung lama menghantar kalimat cinta yang menggebu di dalam jiwa.

”Errr...” Entah mengapa suaraku rasa tersekat di kerongkong pula. Nak telan liur, rasanya tekakku dilanda kemarau melihat wajah Usop ni.

”Waa, Abang Usop peluk awek la.” Bergema dewan dengan suara anak-anak ini membuatkan aku tersedar dari lena di dalam jaga.

Berkali-kali aku telan liur tapi benarlah, aku dilanda kemarau. Mujur aku bawa bekal air di dalam beg galas, bolehlah hilangkan tandus nanti.

Saat itu, aku tolak dada Usop agar dia melepaskan aku tapi dia hanya tersenyum tanpa ada niat hendak melepaskannya. Aku buat muka.

”Eh, lepaslah!” arahku tegas. Malu dah ni sebab budak-budak dah mula bersorai-sarai. Bahagia agaknya melihat aku terseksa ni?

Aku tolak lagi dada dia dengan hujung jari. Tak jalan jugak, aku tolak dengan beg. Tolak sekuat hati tapi kudrat wanita, biarpun ada tali pinggang hitam dalam karate, tak terlawan juga kudrat kaum lelaki.

”Awak ni lepaskan saya boleh tak? Malulah budak-budak tengok!” tekan aku semakin keras.
Yang peliknya, dia senyum lagi. Memang dia suka senyum agaknya. Tapi, kalau dia menyindir, berasap-asap hidung aku menahan marah.

”Yang awak senyum ni kenapa? Kena sawan senyum ya?” tanyaku memerli.

”Senyum kan satu sedekah. Ni kira saya bersedekah untuk awaklah,” jawab dia tenang.

”Yalah tu...” Aku senyum juga tapi terpaksa. Senyum plastik. Senyum tupperware.

”Nak saya lepaskan ke?” tanya dia buat-buat tak tahu padahal dah berkali-kali aku minta dia lepaskan aku.

”Lepaslah!”

”Betul ni nak lepas?” Usop jungkit keningnya yang lebat dan mata yang agak sepet itu terus merenungku.

”Lepaslah!” tekanku sekali lagi dan tak semena-mena, Usop terus melepaskan aku dan kali ini, benar-benar aku terjelepuk di atas lantai dan disambut oleh... tawalah. Budak-budak ni ketawalah.

”Syhhh...” Usop melarang dan suasana terus diam. Wah, patuh!

”Kenapa awak lepas?” tanyaku berang sambil menggosok lengan yang sedikit sakit.

Wajahku menyeringai. Tapi bukan menahan sakit tapi menahan marah. Kejap lagi, aku dah salin pakaian nanti, dia tahulah aku
siapa. Bila aku menjeling tajam ke arah dia, dia jungkit bahu dan tangan dia digawang-gawangkan ke udara.

”Awak yang suruh,” jawab dia tenang lalu dia berlalu masuk ke dalam bilik persalinan.

Aku bangkit sambil menggosok belakang seluar. Sakit punggung aku. Dahlah agak leper, makin leperlah jawabnya. Mula-mula ingat nak membebel pada Usop Sonto tu, tapi bila aku kini sudah menjadi tumpuan anak-anak di depanku ini, aku lebarkan senyuman.

Mereka tiada bersalah padaku sampaikan perlu mendengar aku menjerit marah pada Usop. Aku tahan hati dulu. Lagipun, aku baru saja masuk ke kelas ini. Tapak masih belum hangat dan melekat ke lantai. Jaga awak, Usop! Bisik hatiku geram.

”Assalamualaikum semua...” Aku menghulurkan salam bila melihatkan yang perempuan semua bertudung dan yang lelaki semua berwajah Melayu tulen. Senang cerita, memang semuanya seagama denganku. Jadi, salamlah yang terbaik sebagai tanda di awal perkenalan.

”Waalaikummussalam, kak,” jawab mereka serentak. Huih, memang berdisiplin. Siapalah yang mengajar ni? Jangan kata lelaki menyampah tu sudah.

Nak marah pun, aku senyum juga. Betul kata Usop tadi, senyumkan sedekah yang paling mudah. Janji ikhlas dan aku memang ikhlas untuk semua orang kecuali Usop. Benci! Macam manalah boleh terserempak kat sini? Semalam dia jadi jurutimbang, hari ni dia jadi jurulatih karate pulak. Dan anak-anak yatim ni, mana dia kenal?

Aduh, misteri nusantara la hamba Allah seorang ni. Tanpa sedar, aku kerutkan wajah berfikir dan mencari jawapan akan soalan yang bertubi-tubi menyerang aku dari segenap arah. Siapa Usop ni? Hari ni dah menjadi pertemuan ketiga kami. Betul ke aku dah sampai seru nak kahwin ni?

”Kakak kenapa mengeluh?” Aku tersentak dek pertanyaan seorang budak perempuan di hadapanku.

Dia menggariskan senyuman. Manis senyumannya. Nampak polos dan suci. Terpancar keceriaan tanpa sedar yang dia tidak punyai sesiapa di dunia.

”Err, kakak tengah berfikir tadi haa.” Aku mencari dalih. Tak kan nak tanya adik ni pulak pasal Usop. Buatnya dia belot dan
beritahu pada Usop, buat malu je.

”Fikir apa?” tanya yang seorang lain pula. Aduhai, petah masing-masing. Ramah!
Aku ketawa kecil. ”Tak ada apalah. Kakak fikir betapa bertuahnya kakak dapat bersama dengan kamu semua. Peluang macam ni tak datang berkali-kali.”

Mereka mengiyakan. Senyuman masing-masing semakin lebar. Tanpa sedar, hatiku juga dibalut ceria. Siapa sangka, di setiap pertemuan aku dan Usop punyai hikmat dan nikmat sehebat ini.

”Kakak ke guru karate kami nanti?”

Aku angguk. ”Suka tak?” Sengaja aku mahu lihat penerimaan mereka padaku.

Bila mereka mengangguk, rasanya senyumanku ini dah mencecah cuping telinga. Lebar terlalu lebar. Bahagianya hati bila anak-anak ini menerima. Tak sabar nak cerita dekat mama. Tapi, aku lagi rasa nak bawa mereka semua ni lepak rumah aku.

”Nanti kita saling belajar, ya? Kakak belajar dari kamu semua dan kamu semua boleh belajar dari kakak,” ucapku lagi. Membuat penawaran.

”Kakak dah pandai sebab tu boleh jadi guru karate jadi kami belajar dengan kakak. Macam kami tak ada apa pun, kakak nak belajar apa daripada kami?” tanya yang lelaki pula.

Punyalah bertubi-tubi soalan sampaikan kau nak tanya nama pun tak sempat. Tak apalah, jawab dulu soalan dia baru tanya nama masing-masing.

”Err, apa yang tak ada pada kakak, kakak akan belajar dari kamu,” selaku lembut.

”Kakak nak belajar bertudung tak?”

Aku terkedu dengan soalan dari budak yang pertama tadi. Kelu seribu bahasa. Mati senyumku. Malu usah dikata. Terasa
disindir. Terasa ditampar wajahku kala ini. Tapi, wajah masing-masing tenang saja. Langsung tidak beriak sindiran.

Barangkali mereka ikhlas tapi kerana khilaf diri yang membiarkan mahkota di kepalaku ini lepas bebas menjadi tatapan umum, aku termalu sendiri. Berkali-kali aku telan liur, agak tenang hatiku hendak melayan anak-anak ini.

”Err, kakak tak biasa lagi pakai tudung. Mungkin bukan hari ni tapi satu hari nanti insyaAllah kakak akan pakai tudung.”

Kala ini baru aku perasan, selain kanak-kanak lelaki, hanya aku yang dari kaum hawa tidak bertudung. Ya Allah, malunya aku! Aku rasa nak terjun longkang cetek nak sorok wajah aku ni. Tapi, sebab tak ada longkang, aku tahan jelah. Senyum jangan tak senyum.

”Kalau kamu semua nak tahu, kakak ni ada selendang tapi dia buang. Itupun dia lilit ke leher bukan tutup kepala.”

Tiba-tiba saja, muncul Usop berdiri tegak di sebelah aku sambil membetulkan pakaian karatenya. Siap dengan tali pinggang hitam. Tapi, nampak benar-benar segak biarpun wajah itu selekeh. Eleh, entah-entah tipu. Tapi, ada nama dia terukir dengan benang keemasan di hujung tali pinggang itu. Bila aku intai nama betul dia, hampes. Dia sulam Usop je.

”Awak ni mengata saya kenapa?” tanyaku menggugam. Tak nak budak-budak dengar.
Usop kerling ke arahku sekilas. ”Mengata apa? Fakta, kan? Awak lilit selendang tu dekat leher lepas tu awak suruh saya buang?”

”Kalau ya pun, tak perlu nak sindir saya depan budak-budak ni.” Aku jegilkan mata. Melawan pandangan mata yang agak sepet tu.

”Emm, yalah. Awak tak buang. Awak bagi saya suruh saya hadiahkan untuk teman wanita saya, kan?” tanya dia sinis.

”Satu hari nanti, saya sendiri lilitkan pada kepala teman wanita saya dan itupun di depan awak!” sambung dia tegas.

Ha, nampak sangat teman wanita dia pun tak bertudung. Pandai je nak mengata orang dia ni. Marahku di dalam hati.

”Okeylah, kenalkan diri awak tu tapi biar saya bagi intro dulu. Karang terkejut budak ni tengok awak. Cantik sangat!” ucapnya.

Aku tahu dari intonasi suaranya, dia sedang mengejek aku. Teringat pula pada kata-kata Abang Jeff semalam, agaknya betullah kot yang aku ni punyai nama yang tak sesuai dengan diri? Ni yang berat mulut nak kenalkan diri ni.

”Okey, semua. Ni abang kenalkan jurulatih karate kamu yang baru merangkap pembantu abanglah. Harap berikan kerjasama, ya. Abang buat kelas ni untuk kebaikan kamu. Untuk mengisi masa lapang disamping dapat mendidik disiplin dan toleransi dan pastinya dapatlah sikit-sikit kamu mempertahankan diri andai berlaku apa-apa. Bukan untuk menyerang, tapi untuk menahan serangan,” ucap Usop tenang.

Masa ni aku nampak dia benar-benar matang. Tak rasa dia macam Usop yang aku kenal. Usop yang entah apa-apa perangai dia. Waktu ni, dia nampak penyayang dan sangat bertanggungjawab orangnya. Aduh, semakin misteri lelaki ini padaku. Banyak soalan aku nak tanya ni, tapi sudi ke dia jawab?

”Okey, kenalkan diri awak.” Dia berpaling padaku. Huh, kurus semangat sebab dari tadi, aku asyik menilik sisi wajahnya biarpun dengan hanya sekilas pandang.

”Err, baik-baik,” jawabku tergagap-gagap. Usop senyum tipis.

”Okey, semua.” Erk, aku ulang intro Usop tadi.

”Emm, kakak akan jadi jurulatih kamu selagi kakak diperlukan di sini.” Aku jeling Usop, sengaja aku sindir dia. Kot-kotlah nanti tak tahan dengan jurus aku ni, dia mahu pecat aku dari program amal ni.

”Nama kakak Jelita binti Johari. Kamu semua boleh panggil kakak sebagai kakak ataupun Kak Lit. Mana-mana satu pun boleh,” sambungku.

Mereka bertepuk tangan bila aku mengucapkan terima kasih. Rasa macam berpidato zaman-zaman sekolah pulak. Dah lama tak ada audiens di depan.

”Jelita?” Usop berbisik sikit. Cukuplah telinga ini menyapanya.

Aku kalih pada dia. ”Yalah, kenapa pulak?”

Sengaja aku kelatkan wajah. Kalau dia berani kata macam Abang Jeff cakap tu, memang aku lipat dia. Aku kepal penumbuk bersedia mencari sasaran.

”Emm, memang jelita,” sela dia pendek.

Erk, jauh dah aku menyimpang. Awal-awal telahan sendiri dah salah. Dia tak macam abang aku tu. Tapi, sejauh mana keikhlasan dia menyebut dua patah perkataan itu, aku tak tahulah.

”Tak adalah jelita pun, biasa-biasa je,” selaku malu-malu. Malu la juga ada lelaki berkata demikian buat pertama kalinya.

”Eh, mestilah jelita. Kenapa pulak tak adalah jelita? Dah nama awak Jelita, kan? Tak kan nak jadi jadi jembalang pulak. Memanglah Jelita,” ucapnya dengan wajah yang serius.

Erk, dia memang menyampah. Berani dia kata aku begitu? Memang dia tak ikhlas. Suka perli aku. Suka kenakan aku. Ni aku nak jadi hulk ni.

”Cakap baik-baik sikit, ya?” marahku agak kuat.

Bila aku lihat anak-anak di depan kami ni, mereka terkedu. Mungkin masing-masing tengah fikir, kenapa dapat jurulatih garang sangat? Cepat-cepat aku ukir senyum barulah wajah terkedu itu hilang tegangnya.

”Baik dah tu. Nak baik macam mana lagi? Ke nak cakap dengan bahasa isyarat baru awak rasa cakap baik-baik. Atau bahasa tubuh?” Dia tersengih nakal.

”Ni bahasa tubuh awak?” Aku suakan buku lima yang sedikit luka.

Dia tilik buku lima aku lama. ”Ni melecet ni mesti lepas gian kat mana-mana karung guni tak berdaftar ni, kan?” tanya dia.

Eh, cepat-cepat aku turunkan tangan. Tertangkap lagi dan terus saja aku tunduk melihat belakang tanganku yang agak memerah.

”Dahlah tu, Jelita. Kelas nak mula dah ni. awak jangan lepaskan gian kat muka budak-budak ni pulak. Mereka ni bawah tanggungjawab saya sekarang ni. Kalau awak nak lepaskan geram, saya tadah muka saya ni lepas kelas, ya?”

Dia terus menepuk tangan dan mendekat ke arah budak-budak ini. Pantas saja budak-budak ni membuat barisan yang kemas dan tersusun.

”Jelita, marilah sini,” ajak dia bila aku tak berganjak.

Berat je kaki nak melangkah sebab aku takut ringan je pula kakiku ini tatkala berhampiran dengan dia. Takut naik terajang singgah di perut dia. Tapi, bila dia memandang penuh berharap, aku mendekat juga pada dia.

”Okeh, kita bahagi dua kumpulan, ya. Yang perempuan, ikut Kak Jelita ke sebelah sana. Yang lelaki tetap di sini, kita berlatih dengan abang,” laung Usop agak kuat.

Cepat je budak-budak ni bertindak. Sudahnya kami terbahagi kepada dua kumpulan. Aku dan Usop di depanlah sebab jurulatih. Dia menjeling padaku dan aku membalas juga. Menjeling-menjeling ku bertentangan, mata kita sama memandang. Erk, dah keluar lagu Siti dengan S.M Salim dah pulak aku ni.

”Jangan terjatuh,” ucap dia tanpa suara tapi aku yakin hasil gerak bibir dia tu. Memang itulah ayat yang dia ucapkan. Aku jelir pada dia tanpa sedar dan aku palingkan wajahku ke arah anak-anak di depanku ini.

”Okey, kita mulakan...” Aku juga bersuara agak kuat dan tegas. Menjadi jurulatih mestilah tegas.

”Ehem... ehem...” Usop berdehem. Eh, ada pulak dia di sebelah aku. Tadi kata nak mula dah.

”Jangan suka jelir lidah macam tu. Nanti saya gigit,” ujarnya berbisik. Lembut saja dan aku terkesan senyuman aneh yang tersungging pada hujung bibirnya.

”Eleh, berani awak?” tanyaku mencabar. Siap angkat kening lagi.

”Bukan sekarang tapi satu hari nanti,” balas dia lalu dia berlalu dan membawa anak-anak buahnya berlari sekeliling dewan yang tak besar mana ni.

Satu hari nanti? Tertanya-tanya aku sendiri. Ingat satu hari di hari raya ke dia ni. Satu hari ke dua hari ke, lepas tamat kerja amal ni, jangan harap aku nak jumpa dia lagi. Dalam mimpi pun tak ingin.

Balik ni, aku nak buat solat hajat, mohon pada Tuhan yang aku tak nak jumpa dia lagi selepas tiga bulan nanti. Titik. Tak ada titik bertindih macam telahan Kak Shima. Akhirnya, aku kembali kepada anak-anak buah yang sedang menanti arahan seterusnya.

”Kita regangkan badan dulu. Angkat tangan kanan, ya,” ucapku sambil mata menjeling ke arah Usop.
Bila dia juga menjelng dan mata kami bertentangan, Usop kenyit mata padaku. Aku telan liur.

”Kak Jelita, itu bukan tangan kanan, kak,” ujar mereka. Aku terkedu.
Usop punya penangan, bibir mengatakan tangan kanan, tapi aku angkat tangan kiri. Adakah hati dan akal juga begitu? Saling bertelingkah? Aduhai...
***
USOP duduk di sebelahku setelah selesai latihan. Lenguh la jugak tubuh badan ni setelah lama tak angkat kaki ke udara.

”Saya ingat nama yang mohon dalam iklan dekat internet tu main-main. Sebab tu saya minta awak kenalkan diri sekali lagi dan sebab itu jugaklah saya emel suruh awak datang hari ni,” ujar Usop sambil menghulurkan sebotol air mineral padaku.

”Tapi, memang tak sangka awak orangnya dan memang itu ke nama awak?” sambung dia lagi.
Aku angguk. ”Memang itu nama saya. Ada masalah?”

”Tak ada...” Dia menggeleng. Tapi, bibir awak tu senyum macam ada masalah. Dia meneguk air mineral di tangannya.

”Sesuai je dengan awak. Pelik bila ada yang kata tak sesuai,” gumam dia tapi masih tertangkap oleh telinga aku ni.

”Err, siapa cakap tak sesuai?”

”Eh, tadi awak cakap,” jawab dia tanpa riak.

”Bila masa saya cakap? Saya tanya ada masalah ke? Saya rasa setakat ni, seorang je berani cakap nama saya tak sesuai dengan rupa saya,” ujarku sedikit tegas.

”Dah tu, dia cakap macam tu, awak karate dia lah, ya?” soal Usop lagi.

Err. Apa nak jawab ni? Tak kan nak cakap aku karate Abang Jeff hari tu. Mungkin tak kuat tapi kira karate la jugak sampai menyeringai wajah abang aku tu.

”Tak adalah,” bohongku. ”Tapi, adalah juga sikit-sikit.” Dan-dan tu aku membetulkan semula pernyataan.

Berbohong tu kan tak baik. Tuhan marah. Tapi, bagi sipi-sipi tu dah kira bolehlah. Memang ada pun, cuma kuat dengan tidak jelah.

”Jelita... Jelita....,” seru Usop sambil menggeleng.

”Perempuan ni tak baik kasar sangat, awak. Nama dah cantik. Sesuai dan dengan rupa.”

Uhuk... uhuk.. Aku terbatuk dalam hati bila Usop kata nama aku cantik dan sesuai dengan rupa. Makna kata wajah aku jelita la jugak. Rasa nak rakam je lepas tu bagi Abang Jeff dengar penilaian orang lain pula.

”Kenapa senyum? Awak ni makan puji, ya?” Usop bertanya sinis. Aku telan liur. Asyik tertangkap je apa yang bermain dalam fikiran aku ni.

”Makan puji tu mungkin awak sebab saya makan nasi dan minum air.” Aku angkat botol mineral yang baru aku buka penutupnya itu di depan Usop.

Perlahan-lahan dan penuh sopan aku teguk air itu sedikit demi sedikit. Huh, hilang dahaga.

”Saya puji ikhlas tadi tu. Memang awak jelita apa.”

”Orang kalau ikhlas tak cakap. Cukuplah antara urusan dia dan Tuhan. Kalau dah cakap, tak ikhlas la tu namanya. Lagipun, memang nama saya Jelita, jadi jelitalah. Tak kan jadi jerangkung dalam keranda pulak.” Aku meluahkan rasa geram. Suka mainkan aku.

Nah, ambil kau! Aku pulangkan paku buah keras. Kalau tak rasa keras lagi, biar aku hantuk kepala dia ke dinding konkrit nak tengok kepala siapa lebih keras. Dia ke? Atau konkrit tu?

Telingaku tersapa oleh tawa tipisnya. Dia menggeleng kecil. ”Awak ni lucu la, Jelita!”

”Dahlah garang. Hari tu, awak sengaja langgar saya, kan?”

Eleh, menuduh la pulak dia ni. Padahal aku yang jatuh tergolek dia boleh cakap aku langgar dia? Ini yang angin lintang membadai ni.

”Bila masa saya langgar awak? Bukan ke saya yang jatuh? Awak tu ha yang langgar saya. Jalan mata letak kat lutut, ya?” herdik aku geram.

Usop tenang. Dia memandangku lama bersama sekuntum senyum yang bersulam di bibirnya.

”Awak rasa saya langgar ke?” tanya dia pula. Soalan berjawab soalan.

”Habis tu, tiang langgar?”

”Emm, kalau dengan tiang mesti awak yang langgar tiang. Tak kan tiang nak langgar awak pulak. Tapi, kalau dengan subjek bergerak macam saya ni, mungkin la kot saya langgar awak,” jawab dia.

Terbelit kepala otak aku dengan Usop ni. Ada je helah dia. Ada je jawapan dia. Ada-ada je semuanya. Tak ada yang tak ada!

”Maknanya betullah awak yang langgar saya, kan? Lepas tu buat-buat simpati?” tuduh aku lagi.
Dia angguk tanpa rasa bersalah. ”Dah tu awak nak buat apa?”

Aku ketap bibir sekuat hati. Rasanya boleh retak bibir ni. Aku kepal penumbuk menahan geram. Usop menjeling.

”Emm, nak jadikan muka saya ni batang pisang ke?” sela dia tenang.

Makin geram aku dibuatnya. ”Mana awak tahu saya tumbuk batang pisang?”

”Ala, tengok cara awak dah tahu. Lecet kat buku lima awak tu mesti kesan batang pisang je. Lainlah kalu tembok batu, sah-sahlah kudung dah tangan awak!”

Dia ni, memang boleh buat orang hilang sabar! ”Hah, tak kisahlah batang pisang ke, batang berjuntai ke, cepat minta maaf sebab langgar saya hari tu.”

Aku dah berdiri sambil bercekak pinggang. Usop panggung kepala mencari sinar mataku yang rasanya tengah menyala-nyala menahan marah ni.

”Kan dah minta maaf hari tu. Dah tolong awak bangkit pun. Dah tolong awak kutip pun kain selendang awak tu. Dah tolong hulur pun tapi awak tak nak. Nak suruh saya minta apa lagi? Kalau saya minta hati awak, awak nak beri ke?”

Dia juga bangkit dan menyapu belakang seluarnya. Air mineral yang dah tiada berbaki tu dia teguk. Teguk botol kosong. Tapi, cara dia menikmati tu macamlah air tu masih penuh.

”Orang suruh minta maaf, bukan suruh minta hati. Kalau awak minta hati saya bagi, matilah saya. Nak hidup macam mana?”

Dia ketawa nipis. ”Awak ni memang istimewa la, Jelita. Tersangat istimewa sebenarnya dan tersangatlah bengis.”

”Ni awak nampak ni?” Sekali lagi aku suakan penumbuk aku padanya.

”Kalau awak berani tumbuklah.” Dia mencabar.
Mungkin dia tak tahu yang aku ni pantang dicabar. Karang singgah sungguh buku lima ni di perut dia, menangis nanti.

”Awak jangan cabar saya?”

Usop angkat kening. ”Kalau saya cabar?”

”Saya tumbuk sungguh.”

”Itu pun kalau awak berani bawa tangan awak tu singgah di muka saya ni dan kalau awak berani nak terima hakikat yang saya tak kan lepaskan tumbukan awak tu macam tu saja, awak boleh tumbuk,” selanya.

Hai, tak macho langsung. Perempuan tumbuk pun nak balas ke? Sudahnya aku tak jadi tumbuk. Memang tumbukan aku kuat juga tapi rasanya tumbukan dan daya kudrat seorang lelaki pastilah lagi kuat berkali-kali. Mahu aku terkojol kat sini.

”Tak jadi tumbuk?” tanya dia. Aku menggeleng. Takut la jugak.

”Emm, awak ni perengus sangatlah, Jelita. Tak baik tau. Rasanya tadi elok je kita sembang tapi sudahnya awak mengamuk. Pertama kali kita jumpa dulu pun sama juga. Elok je awak ucap terima kasih, minta maaf tapi berakhir dengan pertelingkahan. Semalam pun sama. Saya timbang elok-elok barang awak, bila saya pesan suruh awak jalan baik-baik awak marah-marah. Membebel sendiri,” luah Usop lembut.

”Dah tu awak tu yang buat saya marah. Memanglah saya marah.”

”Hari ni jumpa lagi. Tadi, awak nak jatuh saya sambut. Tak ucap terima kasih pun tapi marah-marah juga. Jangan cakap awak tak nak teruskan kerja amal ni sudah. Gaji memang tak adalah. Itu awak dah sedia maklum, kan?”

Aku angguk. ”Orang tahulah. Dah nama kerja amal. Lagipun saya suka apa dengan budak-budak tu. Apa salahnya kongsi sikit kasih sayang dengan mereka. Sharing is caring, kan?”

”Caring is loving? Macam tu?” sambut Usop pantas.

Aku angguk. ”Definately, yes!” Aku senyum dan dia juga begitu.

”Loving is you and me? Macam tu boleh?”

Aku kerutkan wajah. Dia ni dah mula melalut dah. Mula la nak buat hati aku menari sumbang sedangkan tiada rentak cinta dan rindu beralun sekian lama. Memanglah sumbang langkah tari si hati bila pertama kali menerima arahan begini.

”Dengan budak-budak tu, ya! Dengan awak....” Aku lihat dia atas ke bawah dan bawah ke atas.

”...never!”

Dia ketawa. ”Jangan menidakkan rasa hati.”

”Eh, hati saya, saya jelah tahu. Ikut suka sayalah hati saya,” balasku geram.

Usop senyum. ”Soal hati sukar untuk kita mengerti sebab kadang-kadang tu hati kita ni tak akan jadi milik kita bila kita keliru. Masa tu, hati ni milik Tuhan je. Kerana Dia Maha Mengetahui,” jawab dia.
Aku kelu. Pening nak tafsir kenyataan Usop tu. Tapi, betul juga. Mungkin ada benarnya tapi aku malas nak terima. Hati aku, ikut aku lah.

Bila dia mahu berlalu baru aku teringat, sepatutnya aku yang tanya soalan pada dia, bukan dia tanya soalan pada aku. Banyak aku nak tahu pasal dia pada pertemuan ketiga ni bila aku rasa bukan kebetulan semata-mata.

”Usop,” panggil aku sebelum dia menjauh.

Langkah dia pegun dan dia berpaling. ”Apa?”

”Awak ni siapa sebenarnya? Kenapa kat sana awak kat sini awak? Atau awak ada kembar seiras beberapa orang?”

Dia macam tu juga. Ketawa nipis. ”Inilah saya. Di mana ada awak, di situ saya akan berada. Latihan tamat dah, esok datang lagi. Kelas kita Sabtu Ahab sebab hari lain saya ada dekat Parkson jadi jurutimbang,” ujarnya jujur.

Pelik? Di mana ada aku di situ ada dia? Dah macam bayang-bayang pulak. Tapi aku rasa, dia memang pengintip ni. Ni mesti kerja dia penyiasat peribadi tak?

”Err, awak ni penyiasat peribadi ke?” Aku tanya juga soalan yang bermain di minda sebentar tadi.

”Tak la...” Dia menidakkannya.

”Saya penyiasat hati!”

Aduhai, kenapalah aku dipertemukan dengan makhluk macam ni. Jawapan berkias saja sedangkan aku ni bukannya puitis pun.

”Emm, tak apalah. Saya anggap jelah ni kebetulan untuk kita,” akuiku mengalah.

Usop kembali melangkah ke arahku. Bila dah hampir dia berhenti dan menyilang tangannya rapat ke dada.

”Kenapa cakap kebetulan sedangkan ini semua takdir?” tanya dia.

”Dalam dunia ni saya tak percayakan kebetulan, Jelita. Pertemuan perpisahan tu kan telah takdir tetapkan. Kenapa mesti nak cakap kebetulan?”

Err, aku buntu. Padahal itu ayat biasa yang masyarakat gunakan. Apa masalahnya kalau aku juga gunakan ayat itu.

”Saya pun tak tahu...”

”Kalau tak tahu jangan cakap. Macam juga hati, selagi tak tahu apa yang hati sendiri rasa, lidah jangan ringan menutur kata. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, kota tau!”

Aku termangu sendiri melihat dia sekali lagi berpaling dan mahu melangkah pergi. Melankolik betul ayat yang dia tuturkan.

”Eh, Usop. Awak ni siapa sebenarnya, hah? Jelmaan dari sungai Pahang ke?” Aku bertanya sedikit kuat.

Usop mengangkat tangannya tanpa berpaling. ”Awak ada tiga bulan untuk tahu siapa saya. Ni baru tiga hari, jangan gelojoh!” balas dia juga dengan suara yang kuat dan aku, kelu!

~~~> bersambung

Kasar la Lit ni. Nak tak buat dia tersungkur terguling-guling terjatuh cinta pada Usop Sonto?

14 comments:

  1. usop wilcha neh kembar buaya darat sg pahang ke..ayat manissss je :)

    ReplyDelete
  2. yes3...buatkan lit jatuh hati kt usop...

    ReplyDelete
  3. Huhu Tak nak lah Kak RM . . . takpe kasar . kasar2 Lit pun dia tetap perempuan

    ReplyDelete
  4. tq rehan.. best. tp kan rehan tajuk dia nie kan mcm ada unsur2 airmata je x lama lg, mcm TK.. x mau la sebak dada weii..hehehe over la plk...x boleh blah...

    ReplyDelete
  5. ye la..RM jgn buat cter sedih2..buat la cter ni happy2..

    ReplyDelete
  6. tkasih RM...kasar tp ada lembutnya...senyum je bila baca part awal2 ne...tp esok2 mahu juga hujan ne..hehe..

    ReplyDelete
  7. xbaik taw nak wat jelita guling2... hehehe... tp kalo nak buat jugak, carry on aje... heee~~

    ReplyDelete
  8. hehe..cerita mesti ada rythm dia kan..turun naik..hepi sedeh..tp takdak la guling2 teriak mcm TK tu..jgn risau ek sume..hehe..thanks sume sudi sokong..

    ReplyDelete
  9. npa ada 3bln ja utk tau sapa usop?
    usop tu sakit ka?
    sweet je diorg nie...hahhaa

    ReplyDelete
  10. hahaha. makin lama makin best. awak yg kat atas saya tolong jawabkan yea. 3 bulan coz lit kan jadi trainer selama 3 bulan tuk anak2 yatim 2. hehehe.

    RM...tahniah! sempoi gila. senyum. itu lah yg saya buat. cite nie relax. cool je. ok la, just teruskan dan saya tunggu next n3.

    buat rm, hati saya. saya tahulah. thanks to allah kerana hadiahkan hati ini. saya yakin dengan hati saya. hehehe.

    lastly, tbaik n alhamdulliah...

    ReplyDelete
  11. Usop ni sangat mysterious. buat orang lagi nak tau personaliti dia (terutamanya Lit la tu kan? haha)

    heheh semua orang takut cerita ni cerita sedih eh? tapi dari tajuk macam sedih. harapnya bukan tahap sedih macam TK la eh? huhu..

    ReplyDelete
  12. bukan lit je y nk tahu sal usop...
    sy pun tertanya-tnya jugak nih.. haha..
    idea spontan y sngat2 menjadi kak..

    ReplyDelete
  13. Suke la kt Usop Rehan...
    Org dh redah bab29 n 30 sbb xtahan godaan BNS...
    pdhal baru baca smpai bab3...
    ni smbung balik...he3..

    ReplyDelete