Tuesday, March 20, 2012

Ku Ingin Milikimu [15]

BAB 15

SEDARI tadi, aku hanya menongkat dagu, memerhatikan keletah Aryana yang berjalan terkedek-kedek. Montel sungguh. Wajah itu benar-benar mengikut wajah Mukhlis. Matanya, bibirnya, kening lebat yang bertaut itu. Hanya pipi dan warna kulit saja mengikut wajahku.

Setelah beberapa bulan berlalu, tidak sekalipun Mukhlis hadir dekat dengan kami. Tidak sekalipun dia menghubungiku untuk menemui Aryana atau dia memang bermain wayang lagi di PWTC satu waktu dulu?

Sungguh aku keliru dengan lelaki itu. Dari dulu, dia memang tidak sudah hendak mencampakkan aku dalam kekeliruan. Betapa aku cuba serahkan hati ini agar Allah kemudikan untukku, biar kemana saja yang DIA mahu, aku redha kerana hati ini memang milik DIA yang Maha Mencipta.

Jauh di sudut hati, kecewa juga rasa hati. Ada rindu yang mengetuk jendela hati. Ada cinta yang masih tersisa dan ada kisah hati yang bagaikan belum tamat sepenuh.

Sedang ralit mengingati dia yang tidak pernah ikhlas mengingatiku, aku tersentak bila tersapa oleh telinga ini suara Aryana merengek. Cepat-cepat aku bangkit dan mendekat pada dia.

“La… anak mama jatuh ke? Manja sangatlah anak mama ni… macam papa,” tegurku di luar sedar aku membandingkan anak kecil itu dengan papanya.

Setelah aku tersedar, aku terdiam sendiri. Tubuh bulat itu aku sapa ke dalam pelukan dan mengusap pipinya dan menyapu airmata di pipi gebu itu. Kesian melihatkan anak yang tidak berbapa ini sejak dari janin lagi. Anak tanda Mukhlis ingin memiliki semata-mata bukan hendak mencintaiku seperti mana yang telah dia janjikan. Parahnya hati, rabaknya jiwa kala dia melafazkan talak dulu.

Aku pejam mata serapatnya cuba menghalau suaranya yang masih berdengung di dalam kepalaku. Bila aku buka mata, wajah Aryana yang tersenyum merabakkan lagi hati ini. Senyuman wajah comel dan polos itu benar-benar membuatkan aku terkedu tak mampu berkata apa.

“Anak mama kena kuat macam mama. Biar betapa hebat terhalang pun, anak mama kena kuat. Tak boleh rebah. Tak boleh tersungkur pada nasib macam mana mama pernah lalu,” ucapku pada Aryana yang sudah tentunya tidak mengerti apa-apa itu.

Bergenang tubir mataku kala ini. Seperti biasa, aku haramkan airmata ini menodai pipiku lagi. Aku pandang ke langit yang membiru. Indah hari ini namun, mengapa kala ini rindu pada dia hadir membelit hati. Erat dan semakin erat.

Aku peluk tubuh Aryana erat bagaikan memeluk tubuh Mukhlis. Dalam hati ini, menyatakan rindu namun aku tidak sudi lagi menghadapi dia yang sekadar hendak memiliki.

“Kau cakap dengan budak besar tu tak reti apa-apa, Ana. Kalau kata rindu sangat, kau telefon jelah dia. Lagipun, dia patutnya cari kau dengan anak dia ni. Bukan ke kau dah tinggalkan nombor telefon pada dia. Alamat sekali tapi ada pernah sekali dia jenguk korang berdua?”

Aku tersentak. Aryana merengek. Wajah Sarina muncul di belakang kami menatang sebiji dulang yang berisi minum petang dan sedikit kuih. Entah mengapa, resah hatiku membawa aku melawat Sarina.

Kala ini, Sarina sudah tentu tidak mampu menemaniku kala dulu apabila dia sendiri terikat kemas menjadi seorang isteri kepada lelaki yang dicintainya. Melihatkan wajah itu ceria kala bergelar isteri, hatiku dipagut rasa rindu. Rindu yang aku pasti, tiada maknanya lagi.

“Aku tak tahu, Ina. Aku tak ada jawapan untuk tu. Pada aku, dia dah tak sudi nak jenguk kami lagi. Biarlah. Dua tahun itu sudah cukup memberi aku kekuatan untuk hidup sendiri tanpa dia,” jawabku sambil meletakkan Aryana kembali dan membiarkan dia berlari-lari sendiri mengejar bola di laman rumah Sarina.

“Tapi, kau rindu dia, kan? Cinta di hati kau tu masih ada untuk dia kan?” tebak Sarina.

Waktu dulu bagaikan berulang. Dulu juga, Sarina begini. Menebak perasaan yang aku sorok daripadanya sewaktu belum bersua empat mata dengan Mukhlis dan hari ini juga sama.

Andai dulu aku tidak mampu membohongi dia, entah apa yang membuatkan aku yakin aku mampu membohongi dia lagi hari ini. Lantas aku menggeleng menidakkan hakikat hati.

“Kau tu bukan penipu yang baiklah, Ana. Kalau nak menipu sangat, pergi belajar menipu dulu tujuh hari tujuh malam, itupun kalau kau mampu lulus dengan baik. Kalau tak, tak payah nak bohong akulah, Ana!” tekan Sarina menyindir.

Aku diam lalu menapak ke arah dia. Punggung ini aku labuhkan di depannya. Menggapai cawan milo panas yang dia suakan, lalu aku rapatkan ke bibir menghirup sedikit air itu bagi menghalau resah.

“Pelik kan? Dia beria nak kau balik tapi kenapa dia tak muncul beberapa bulan ni?” tanya Sarina padaku.

“Kalau kau tak tahu, aku lagilah tak tahu, Ina,” selaku lemah. Cawan itu aku letak di atas meja kaca itu penuh hati-hati.

“Aku dapat rasa dia cintakan kau lagi, Ana. Tapi, cinta berlandaskan hendak memiliki, rasanya tak ke mana. Semua kemungkinan boleh berlaku nanti. Aku tak nak kau tercampak lagi sekali dalam jurang cinta Mukhlis yang dalam tapi cetek pada hakikatnya tu,” ucap Sarina bermadah.

Aku menjeling ke arahnya. “Maksud kau?”

“Itulah maksud aku. Kau kuat Ana. Aku tengok macam mana kau tahan airmata kau dari tak mengalir waktu keluar dari rumah tu dulu. Waktu mengusung perut kau ke hulur hilir, waktu melahirkan. Pendek kata, sepanjang waktulah sampai kau berjaya hari ni. Kalau betul dia cintakan kau kerana cinta dan bukan nak memiliki untuk kali kedua, dia perlu usaha pujuk hati kau tu. Tu…” Sarina meluruskan jari telunjuknya ke arah Aryana.

“… dia tak tersentuh ke masa anak dia panggil dia papa dulu tu. Aku pelik sungguh dengan manusia macam ni. Kalau nak usaha lebihlah. Ini tidak. Tak muncul-muncul.” Sarina memang marah benar kala ini.

Aku melebarkan senyum. Dalam hatiku menjawab, andai tidak tersentuh masakan dia menangis teresak-esak kala itu. Tewasnya seorang lelaki kerana airmata yang mengalir.

“Tak ada apalah. Kau tu jangan marah sangat. Dah dia tak nak jenguk Aryana, tak akan aku nak paksa pulak. Lagipun, aku tak ada nombor telefon dia. Dah dia tak nak call, nak kata apa. Aku tak pernah halang dia datang jumpa Aryana. Biarlah Ina. Aku okey je,” luahku masih cuba membohongi dia.

“Luaran kau memang kuat Ana. Tapi, dalam diri kau tu, JK tau tak? JK. Jiwa kacau. Atau kau ni dah tukar JK. JK jugak tapi jiwa kering,” sinis dia.

Tawaku lepas. Sudah lama tidak mendengar perkataan itu. Berhantu sungguh sampaikan ramai peminatku juga terikut menggunakan dua huruf itu.

“Lama tak dengar ayat tu, Ina.”

Sarina mencebik. “Senang-senang kau lupakanlah dia, Ana.”

Terkejut juga dengan kata-kata Sarina kali ni. Sebelum ini, bukannya tidak pernah dia meminta aku melupakan Mukhlis, tapi kali ini lebih kepada arahan saja.

“Macam mana aku nak lupakan dia. Aryana tu anak dia,” bantahku sedikit kecewa.

Dia tidak tahu. Betapa aku cuba usir wajah Mukhlis dari hati dan minda ini, tapi setiap kali itu, semakin kejap wajahnya melekap pada hatiku.

“Melupakan ni bukan maksud aku lupakan dia terus. Tapi, buang jauh-jauh sisa-sisa kisah hati korang berdua tu. Nak mudah, cari orang lain. Jatuh cinta sekali lagi dan lupakan dia.”

Aku termangu sendiri. Andai semudah itu aku tukar arah hatiku, pastilah aku sudah lama mampu lupakan Mukhlis tapi kata-kata tidak mudah untuk kita lestarikan di dalam kehidupan sehari-hari.

Menggeleng aku menidakkan kata-kata Sarina. “Siapa yang sudi nak aku ni, Ina?”

“Ramailah. Yang dok tergila-gilakan Ann Rahana tu berapa ramai? Lagipun, yang jelas suka kau tu, kawan pejabat aku Si Zafran tu. Kau ingat dia, yang dia datang majlis kahwin aku bulan lepas tu?”

Pertanyaan Sarina membuatkan aku mengerutkan wajah. Fikiran ini menerawang kepada seraut wajah lelaki yang beria-ia merayu Sarina agar memperkenalkan dia padaku.

Seorang jurutera baru di pejabat lamaku. Mengenaliku melalui Sarina lalu membawa dia menjejakiku melalui novel-novel yang aku garapkan dan setelah berpeluang bertemu hari berbahagia Sarina itu, dia makin cuba mendekatkan diri padaku biarpun aku jelas mengelak.

Lebih kurang sama dengan lelaki yang ingin aku lupakan itu. Namun, hendak membenci tidaklah adil untuk dia. Lantas, aku jarakkan hubungan kami dengan jurang yang paling dalam.

“Tak naklah aku, Ina. Cukup-cukuplah apa yang dah jadi,” ujarku lembut dan menggariskan senyuman pada dia.
Aku bangkit dan Sarina mengeluh lantas dia juga turut bangkit.

“Aku nak gerak dah ni, Ina. Dah sampai masa ni. Pergi awal sikit. Senang tak tergesa-gesa.”

Dia mengangguk. “Suka mengelak kalau aku sebut pasal ni. Kau bersesi ramah mesra ni pukul berapa?”

Aku pandang jam di pergelangan tangan. “Pukul tiga mula dalam sejam je.”

“Emm.., nak aku teman ke?”

Aku menggeleng. “Aku pergi sendiri je. Kau tu dah ada suami. Jangan nak keluar ikut suka macam dulu lagi. Lagipun, nanti ada yang jaga Aryana masa aku beramah mesra tu. Jangan risau, ya?”

“Yalah…,” ucap Sarina beralah.

Aku terus menghampiri Aryana dan terus menyapa tubuh itu ke dalam pelukanku. Pipinya aku cubit sikit dan dia ketawa kuat. Sungguh seperti Mukhlis. Nampak nakal juga seperti papanya.

“Jom kita pergi jalan-jalan,” ucapku pada Aryana dan langkah kaki ini membawa aku ke arah kereta.

Setelah siap meletakkan Aryana di dalam safety seatnya, aku melambai Sarina dan pedal minyak terus aku tekan menuju ke Shah Alam dari Sungai Buloh.

***

KELUAR saja dari MPH SACC Mall, aku terus menolak stroller Aryana hendak menuju ke tempat letak kereta. Letih sudah menghadap program yang telah penerbit anjurkan buatku.

Namun, lelah itu berbaloi tatkala melihat senyuman lebar dan keterujaan pembaca tatkala bertentang empat mata denganku.
Sebulan dua berlalu, terlalu banyak perkara yang telah terjadi. Kerjayaku sebagai seorang penulis sepenuh masa benar-benar membuatkan aku tidak betah duduk apatah lagi dalam melayani karenah Aryana yang semakin aktif dan cergas membuatkan aku mengeluh sesekali.

Usai membayar harga tiket letak kereta, bahuku dicuit lembut. Bila aku berpaling, wajah itu hadir lagi di depanku. Tersenyum penuh mesra lantas dia menyapa tubuh montel Aryana ke dalam pelukannya.

“Dah siap?” tanya Zafran.

“Eh… macam mana awak boleh ada kat sini, Encik Zafran?” Tak jadi aku hendak melangkah.

“Sarina bagi tahu. Dia kata awak ada sesi bertemu peminat hari ni dekat sini. Itu yang saya datang. Ingatkan sempat tapi tak sempat pulak. Awak dah habis dah. Okey ke?”

Aku angguk dan menggariskan senyuman tanda kepuasan. “Alhamdulillah berjalan lancar.”
Dia angguk juga dan mencebirkan bibirnya sedikit. “Tahniah, Cik Novelis popular,” ucap dia entah menyindir atau benar-benar ikhlas.

“Popular la sangat….,” selaku sinis lantas aku sapa kembali tubuh Aryana dan aku letakkan di dalam stroller lantas meneruskan langkah.

Aku tahu, Zafran sedang membuntuti langkahku. Lelaki ini, sejak sebulan lalu hanya begitu.

“Ann.”

Zafran menyeru namaku agak kuat. Langkah ini pegun dan aku kalih pada dia yang sudah berada tepat di sisiku.

“Emm, boleh tak Encik Zafran panggil saya Ana. Nama saya Ana. Bukan Ann,” tegurku agak tegas.

Zafran mengangkat tangan tanda mengalah. Dia mengedipkan matanya sekali lantas dia menarik kembali stroller Aryana dan ditolaknya semula ke dalam SACC Mall.

“Eh, Encik Zafran… saya nak balik dah ni. Aryana tu nak tidur dah tu. Tiket pun dah bayar ni.” Aku menarik stroller Aryana agak kasar.

Dia senyum. “Luang masa dengan saya kejap, boleh?” pinta dia tanpa ku duga.

Aku terkaku. Wajah itu aku pandang lama. Tak berkelip-kelip demi mendengarkan permintaannya itu buat pertama kali.

“Bagi saya masa awak sikit, Anahara. Dah lama saya minta tapi awak tak pernah nak bagi. Kali ni je kalau betul awak dah tak ada masa untuk saya nanti,” sambung dia tenang.

Aku pandang Aryana yang sedang memisat-misat matanya. Nampak mengantuk benar. Kemudian, aku beralih pandang pada Zafran pula. Lama-lama aku mengangguk bila melihatkan wajah itu penuh mengharap.

“Kejap je. Lagipun, nanti peminat saya nampak, apa pulak dia kata,” akuiku terus terang lantas aku berlalu bila Zafran juga mula menapak ke dalam SACC Mall semula.

Kami menuju ke sebuah restoran makanan segera. Zafran menolak pintu restoran dan mempersilakan aku masuk tapi belum sempat aku masuk, namaku diseru. Yang menariknya, bukan nama sebenarku tapi nama pena.

“Ann Rahana, boleh sign buku saya?” tanya suara itu.

Aku berpaling dan tersenyum. Sungguh tak sangka bila sampai tahap ini aku dikenali. Bukanlah hendak riak, namun aku bangga dengan rezeki yang telah Allah berikan padaku.

Tapi sayang, bila senyumku tidak lama. Mati langsung kala melihatkan wajah dia di depanku. Kusut masai dengan jambang dan misai yang tidak dikemas rapi. Rambut juga panjang mencecah kolar baju.

“Tadi tak sempat nak sampai dekat MPH. Boleh sign buku saya?” pinta dia sekali lagi.

Zafran tersenyum dan jungkit kening padaku tanpa tahu hatiku ini sedang bergelodak hebat. Berombak ganas. Dibadai resah.

“Your fan.” Zafran angkat kening. Sungguh dia tidak mengerti.

Aku capai buku yang disuakan. Pen dari dalam beg tangan aku capai dan sedang aku menitipkan bait-bait ayat di dada buku itu, Aryana bersuara membuatkan buku itu terjatuh dari peganganku.

“Pa… pa….” Manja dan comel saja suara itu menerjah gegendang telinga kami semua.

Zafran terpaku. Aku juga sama dengan mata yang melihat ke arah Aryana dengan riak yang tidak percaya.

Dan dia… tersenyum puas melihatkan Aryana yang menghulurkan tangan pada dia. Meminta-minta didukung lantas lelaki itu pantas membongkok dah mengambil Aryana lalu dirapatkan ke dadanya. Pipi Aryana dikucup namun mata itu redup merenungku.

“Abang rindu Ann… Abang rindu anak kita,” ucap Mukhlis bersungguh-sungguh dan kali ini, beg tanganku jatuh melurut ke kaki.

~~> bersambung

26 comments:

  1. terkedu terkelu zafran tu..

    [hawa]

    ReplyDelete
  2. erks...mukhlis or zafran??? saya pilih aryana. comel je budak kecik 2. hehehe

    macam biasa, tbaik. saya suke. sape pun pilihan anahara saya terima. no hal la. hehehe

    ReplyDelete
  3. Kesian pulak dekat Mukhlis ni . Tapi kenapa dia tak cari2 Ann . Kesian Ann . Huhu .

    ReplyDelete
  4. cepat smbg n3 baru... amkin menarik.... teruja saya nak tahu siapa yang dia pilih.... kesian mukhlis.... tp zafran pun nampak menarikkk.... hehehe....

    ReplyDelete
  5. nak ann dgn mikhlis..please..kesian mukhlis..mesti mukhlis ada sebab kenapa dia x cari ann after dia jumpa ann dgn aryana hari 2..betul x rm?..hehhe..ann dgn mukhlis tw..;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. btol3...dgn mukhlis la ek????hehehe

      Delete
  6. ah, mcm ni susah lah...pening ann..apa pun zafran pun ok...:

    ReplyDelete
  7. salam..
    Mukhlis satu nama yg membuat kita keliru ada kewujudannya..kalau dia rindu kan ana dan anaknya..mengapa dia tidak datang menziarah anak dia dan dirinya setelah mereka bertembung ..peliks kan..dan teruja nak tahu ..apa yg terjadi pada mamat poyo tu..sehingga dirinya sudah tidak terurus lagi..dan pakah motifnya bertemu ana semula..sungguh akak tak faham..
    adakah cinta zafran akan disambut oleh ana..walaupun dlm hati ana masih ada Mukhlis yg terlakar disitu..
    dan tidakkah ibu dan bapa mertuanya tidak mau melihat cucu mereka..

    ReplyDelete
  8. nak ana ngan mukhlis gak jgn ler ngan zafran (sedih tul rs dah nangis pun sob..sob).... kesian mukhlis dia jd serabai cmtu cz rindukan ann dan anak dia tp mungkin dia still rs bersalah dan malu dgn ana...dia buat cmtu sbb tak nak memaksa ana tak nak ana terluka dia nak ana bahagia biarpun diri dia separuh mati mengingati ana... ini cuma apa yg sy rs setelah bc citer ni...tp semuanya hanya RM jer yg tahu....

    ReplyDelete
  9. rm best...tmbh perisa...ada mamat baru lagi best... biar depa terkezut....zafran bukan...mukhlis lg la hampas...

    ReplyDelete
  10. terkejut jap baca part last... huhu
    entah apa la yang mukhlis nak, tetiba je muncul
    nak Zafran ngan Ana laa, hehehe :D

    ReplyDelete
  11. mesti sesuatu terjadi dgn mukhlis. cintanya tetap setia.. cuma bukan mudah nak mulakan semula baik mukhlis mahupun ann.. tapi aryana kan ada pengikat kasih

    ReplyDelete
  12. entah lah nk pilih sapa...2 2 boleh..klu nk lupakan cinta lama mgkin blh pilih zafran..klu blh lmbtkan hati utk terima cinta yg hendak memiliki teruskn terima mukhlis..tp klu pilih mukhlis kesian pulak kat zafran...arrr...penulis jelah yg buat kputusan...-miss A-

    ReplyDelete
  13. dah x tau nak pilih yg mana ni zakuan or mukhlis..

    ReplyDelete
  14. wahhh!!!sedeyy..tetiba mengalir air mata..mcam air terjunn..huhuuuu

    ReplyDelete
  15. RM betul2 tersentuh hati akak bace KIM ini dan lagi RM berjaya buat akak mengalirkan air mata ....kesian kat Mukhlis pun ade akak rase kertas hari tu dah hancur masuk mesin tu sebab dia tak dapat cari Ann & anaknye kesian munkin dia rindu sangat akan kedua2 insan ini sebab tu penampilan dia macam tu. Dia cuma tunggu saat bertemu peminat aje cara untuk bertumu Ann & anaknye. Wah makin tak sabar nak tahu cite selanjutnye.

    ReplyDelete
  16. saya undi... mukhlis...

    ReplyDelete
  17. rehan, akak rasa mcm nak ann dgn mukhlis balik... tp x yah la senang2 terima mukhlis mcm tu je... bagi mukhlis menderita n uji ketahanan mental mukhlis betul2 dulu baru blh terima dia semula... biar dia rasa susah payah nk dpt balik apa yg penah dia buang dulu... last skali nak bagi lagu ni la kat ann dan rehan hehehe.. layan..... http://www.youtube.com/watch?v=6IACnB1j8ok

    ReplyDelete
  18. saya undi Zafran...pasal 2 nm pkwe sy...hahahahaah

    ReplyDelete
  19. ala,,konpius2!!
    xtau nak mukhlis or zafran..
    mane2 pon boleyla..
    hee

    ReplyDelete
  20. Mungkin Mukhlis ditimpa musibah sbb tu keadaan dia tidak terurus........
    Penyesalan pun dtg.. tu yg tercari-cari semula anak dan isteri...

    ReplyDelete
  21. ooo..mukhlis.napa ko buat ana mcm tu???

    ReplyDelete
  22. mmg mengelirukn la mukhlis nie...
    klo betul2 syg npe x dibuktikn shj....
    nie dbiarkn tanpa kabar berita....
    mbuatkn ann tnanti2 n ttanye2....
    muncul plk zafran....
    ade saingan la nmpknye.....

    ReplyDelete
  23. sukarnya.zafran baru nak start enjin tp kereta sebelah dh brjln dulu.

    ReplyDelete