Sunday, November 13, 2011

Terlerai Kasih 46

BAB 46

SELEPAS lama aku pejam mata, mencari keputusan yang masih nampak samar-samar, aku buka mata dan wajah Ilham dekat padaku. Merenung anak mataku dengan seribu satu pengharapan. Perlahan-lahan aku bawa telapak tanganku memegang kedua belah pipinya.

“Apa harganya andai Fiah terima Am kembali dalam hidup Fiah? Apa jaminannya?” Aku bertanya dalam keresahan.
Bimbang juga hati ini untuk mendengar jawapan daripada dia. Aku takut tidak seperti yang aku harapkan.

“Seperti yang abang pernah cakap dulu. Abang tak ada harta untuk mandikan sayang dengan kemewahan, syarikat tu bukan abang punya. Abang hanya ada sebuah kereta buruk tu, sedikit pendidikan walaupun bertindak macam orang bodoh dan yang paling penting cinta abang untuk bahagiakan sayang,” jawabnya dengan raut yang merayu.

Terasa berat mataku dengan air mata. Serta merta aku ingat kembali akan waktu bahagia kami. Dia pernah berkata begitu. Merendah diri agar aku menerima dia semata-mata dia seadanya. Perlahan-lahan aku angguk.

“Janji dengan Fiah jangan cemburu buta lagi,” ujarku tersekat-sekat menahan gelora rindu. Ilham mengangguk.

“Janji dengan Fiah, kena percayakan Fiah sampai bila-bila dan janji dengan diri sendiri, jangan sesekali ada ungkapan maaf lagi yang abang akan minta dari Fiah,” sambungku.

Ilham tidak menjawab sebaliknya dia terus meraih aku rapat ke dalam pelukannya. Dapat ku rasakan anggukannya di bahuku. Rambutku dibelai lembut. Hari ini, bersaksikan tikar sejadah usai kami sujud pada Sang Pencipta, aku nekad mahu meleraikan segala kekusutan yang pernah melanda sebelum kasih kami terlerai penangan ego aku pula.

Benar kata Ilham, usahlah aku sesali di kemudian hari kerana aku pasti tidak tertanggung nanti. Benar juga kata Kak Anah. Aku juga silap dalam hal ini. Niatku benar tapi caraku silap sama sekali.

Melihatkan penyesalan Ilham akan sikapnya dulu sudah cukup membuatkan aku belajar dari itu. Dia berhak memiliki peluang kedua dari aku yang bergelar isterinya.

Aku tidak mahu menjadi keras seperti dulu. Aku mahu mengecap bahagia seperti orang lain. Aku sudah tidak mahu dihambat ketakutan dan kerisauan dengan ugutan Abang Zali lagi selepas ini kerana aku yakin, Ilham akan menyelamatkan segalanya.

“Abang janji atas nama Tuhan Yang Maha Mendengar dan Melihat segalanya,” ucap Ilham lagi dan kali ini, aku membalas pelukannya erat.

Bibirku mengutum senyum. Aku menghela nafas lega. Terasa damai kini. Bagaikan sudah tiada bongkah batu di bahuku. Rasa ringan tubuh ini.

“Alhamdulillah, sayang. Allah masih pelihara ikatan kita ni. Kita lupakan segalanya. Semua ni salah faham je tapi yang tanggungnya sayang. Tapi, abang nak sayang tahu, yang abang juga perit hidup begini. Bila dah halal, abang larang diri abang menyayangi sayang hanya kerana kebodohan abang sendiri. Lepas ni, abang tak akan izinkan sesiapa pun mengata sayang. Abang akan pertahankan isteri abang ni selagi ada nyawa dalam jasad abang ni.” Ilham tolak bahuku membawa aku menghadapnya. Pipiku dielus lembut.

Matanya terus menjilat wajahku. Lama. Renungan itu singgah lama di dahi dan dia perlahan-lahan merapatkan bibirnya lalu terus hinggap satu ciuman di dahiku. Ciuman kali kedua tapi bagiku inilah kucupan pertamanya kerana kali ini dapat ku rasakan keikhlasan di dalam kucupan itu. Tidak seperti waktu membatalkan air sembahyang hari itu. Kaku dan dingin saja. Tapi hari ini, hangatnya terasa hingga ke seluruh wajah. Lalu menerjah ke hati lantas menghangatkan kembali perasaanku padanya yang dingin.

“Abang cintakan sayang. Ilham Fitri ni, tetap cintakan Nur Wafiah sampai bila-bila,” ujarnya romantis.

“Fiah pun cin…” Suaraku mati lagi. Ilham sekali lagi menutup suaraku tapi kali ini bukan dengan jarinya tapi dengan bibirnya.

Bila dia melepaskan bibirku, aku tertunduk malu. Rasa merah saja wajah. Pertama kali dikucup oleh dia yang bergelar suami, aku rasa lain macam saja. Bagaikan darah sudah mengalir menongkah arah.

“Tak payah sayang akui. Abang dah dapat rasakan cinta sayang hanya pada abang. Maaf sebab pernah curigai cinta tulus dari hati ni.” Ilham menyentuh dadaku dengan hujung jarinya.

Terasa pelik bila jarinya singgah di situ. Mataku lama melihat ke arah jarinya itu. Tiada pula tanda hendak beralih. Makin terasa membahang wajah ini. Pantas aku tepis jarinya. Bila aku angkat wajah dia senyum simpul.

“Eh, tadi cium orang ni sentuh dada orang pulak. Behave yourself,” ucapku keras. Cuba mengawal kecanggunganku kala ini. Dia ku jeling tajam.

Ilham ketawa akhirnya. Dia mengesat sisa air mata di pipinya. Hatiku mula rasa nak mengejek. Rasanya, hingga ke cucu cicit akan aku ingat lelaki segagah ini menangis kerana menyesali diri.

Bagaimana hendak aku nafikan kehadiran dia dalam hidupku andainya dari awal lagi telah aku serahkan hati dan jiwa ini buatnya? Mungkin dia tersilap tapi aku juga sama. Aku insan biasa, begitu juga dia. Kerana tangan yang memberi itu lebih baik dari menerima, aku berikan seikhlas maaf buatnya.

“Eh, apa pulak? You are mine, okay. Hujung rambut, hujung kami sayang ni hak abang, tau?!” Ilham mengusik. Hidungku dicuit manja.

Aku ketap bibir menahan tawa. Rupanya, Allah menduga aku untuk dianugerah kepadaku kenikmatan sebegini indah di sebalik dugaan itu.

“Dah seminggu sah, baru hari ni nak mengaku Fiah hak abang?” Aku sengaja bertanya sinis. Laju saja aku memanggilnya abang. Rasa lepas kempunan. Tercapai impian.

Wajah tersengih manis itu bertukar cemberut. Dia tunduk. Memainkan jemarinya sesama sendiri. Kadang-kadang terasa dia bukanlah peneraju IF Group. Terlalu keanak-anakan sebenarnya dia. Tidak sesuai.

“Orang gurau jelah,” pujukku kemudiannya.
Dia angkat wajah memandangku. “Orang? Orang mana? Orang utan?” cebiknya.

“Sayang gurau jelah,” ucapku dengan suara yang sengaja aku lunakkan. Aku peluk lengannya erat.

“Haa, macam tu lah.” Bibir itu senyum kembali. Tubuhku sekali lagi disapa ke dalam pelukannya.

“Abang cintakan sayang,” bisiknya lagi.

“Tadi dah cakap,” selaku pantas. Ilham mendengus.

“Apa salahnya kalau cakap lagi? Ke sayang tak sudi nak dengar?” Hah sudah. Tawa kecilku meletus. Sensitif la pula dia ni.

“Bukan tak sudi. Cakap sekali pun dah cukup. Yang masa balik dari KLIA dulu pun Fiah ingat lagi. Bukan macam orang tu…”

“Itu sayang. Tapi, ni abang. Abang nak cakap tiap-tiap hari abang cinta sayang,” ujarnya lagi. Aku senyum bahagia.

“Fiah minta maaf juga dengan abang sebab terbawa-bawa dengan emosi,” pintaku kemudiannya. Dia tidak menjawab sebaliknya mengangguk lagi di bahuku.

“Isteri abang ni cantik. Tapi, hati dia lagi lah cantik rupanya. Abang maafkan sebab abang nak hidup dengan sayang selamanya.” Pelukan kian erat.

“Fiah tanya satu soalan boleh?” tanyaku lagi.

“Apa dia?”

“Macam mana rasanya dapat peluk Fiah? Abang pernah nak rasa macam mana dapat peluk Fiah, kan?”
Peristiwa di pejabatnya satu hari itu aku ungkit kembali. Bukan sengaja hendak membangkit, tapi aku sekadar mahu mengusik.

“Err, abang tak nak jawab dengan suara boleh tak?” Itu dia, soalanku berjawab dengan soalan.

Bahu sasa itu aku tarik agar lepas pelukan kami. Matanya aku renung penuh tanda tanya. Rasa lain macam saja bila dia tersengih begitu. Nampak wajah seperti mana kala dia hentikan keretanya di lebuhraya pulang daripada KLIA dulu.

“Abang nak jawab macam mana?” Soalanku kali ini tidak bersambut malah dia makin melebarkan sengihan.

“Yang sengih ni kenapa? Fiah tanya, bukan suruh abang sengih?” Aku buat muka serius. Dia sengih lagi.

“Abang nak jawab dengan perbuatan, boleh tak?” Keningnya terangkat.

Aku dah mula mengerutkan wajah. Langsung tidak faham dengan kata-katanya. Macam-macam. Memang benar dia adalah Ilham Fitri yang dulu. Dia telah kembali padaku kini.

“Perbuatan?” Aku buat muka pelik.

“Perbuatan macam mana? Jangan tampar Fiah dah. Nanti Fiah lari dari abang,” ugutku. Jari telunjuk aku angkat tepat ke hidungnya.

Bila Ilham hendak gigit hujung jariku, aku lebih pantas melarikan tanganku.

“Tunjuk lagi macam tu… Abang gigit bagi kudung, nak?”

Aku geleng. “Kalau kudung, abang nak lagi ke kat Fiah ni?” tanyaku seolah berjauh hati.

“Abang sekarang tak kisah dah rupa zahir Fiah. Yang abang kisah, hati abang sekarang ni nampak ketulusan hati ni ha,” Dia sentuh lagi dadaku.

“Jadi, Fiah tak boleh dah cakap hati abang buta sebab kita berkongsi hati yang sama. Sakit hati Fiah, lagi sakit hati abang sebab abang yakin, bila abang sakit, Fiah juga turut sama rasa sakit, kan?”

Aku cebirkan bibir dan menjunkitkan bahu. Saja buat-buat tidak tahu dengan kenyataannya itu padahal segalanya benar. Tatkala aku menyakiti hatinya, hati aku lebih parah terluka.

“Tak betul ke?” Dia mula buat muka lagi.

Jemari kasar itu aku sapa ke dalam genggemanku dan aku usap lembut. Kemudiannya aku kucup lama. Sengaja aku goda dia. Lama-lama aku menggeleng.

“Betul apa abang cakap tu. Bila Fiah sengaja sakitkan hati abang, rupanya hati Fiah yang luka dulu.”
Aku angkat mata dan merenungnya lama. Sengaja aku dekatkan wajahku ke wajahnya. Semakin hampir dan terus mendekat hinggakan dia sendiri merapatkan wajahnya jua padaku hinggakan nafas kami bercantum menjadi satu. Tatkala bibir merah sensual itu mahu menyapa bibirku, aku letak jari telunjukku tepat ke bibirnya.

“Apa ni….?” Ilham merengus kecil.
Ada keluhan yang terbit dari celah bibirnya. Aku tekup mulut cuba mengawal tawa agar tidak berhamburan kuat. Risau juga mak mendengarnya.

“Jawab dulu soalan Fiah tadi.” Aku angkat kening.

“Okey, sebelum tu sayang jawab dulu soalan abang ni. Tentang lelaki tu…” Ilham meleretkan kata. Dari riaknya, aku tahu dia tidak sanggup lagi menyebut nama Fazlee.

“Dia kisah lalu. Fiah sendiri tak tahu macam mana dia jumpa Fiah lagi. Dan apa yang abang dengar orang cakap tu betul secara mata kasarnya tapi hakikatnya terlalu jauh menyimpang. Masa dekat butik Puan Seri tu, Fiah sendiri tak tahu dia memang ikut Fiah. Masa dekat pejabat abang tu, kebetulan terserempak kat sana,” beritahuku tanpa berselindung lagi.

“Dekat Tasik Titiwangsa?” soal Ilham pantas.
Mataku bulat. Aku sungguh tidak menyangka dia juga ternampak aku di sana dengan Fazlee petang itu.

“Err, macam mana abang tahu?”

“Lepas Fiah keluar dari pejabat abang tu, Iz datang cakap Fiah menangis teruk. Abang terus ikut Fiah, risau jugak. Tak sangka, Fiah jumpa dia. Lagi abang baran. Masa tu kenapa?”

Begitu kisahnya. Dalam menyatakan benci, risau juga dia padaku masa itu. Ada rasa terharu yang menyapa hatiku.

“Fiah bagi kad kahwin kita pada dia. Ingat tak…”

“Oh, patutlah Fiah minta satu kad daripada abang hari tu. Nak bagi kawan Fiah cakap, kan?” cantasnya sebelum sempat aku menamatkan ayatku.

“Dia datang tak?”

“Rasanya tak.” Aku geleng. “Lagipun Fiah tak perasanlah. Ramai sangat orang, lagipun masa tu perasaan tak menentu.” Aku sengih pula.

“Lagi satu abang… pasal Fatehah tu…”
Tiba-tiba sahaja aku teringatkan wajah mulus itu. Terlalu naïf menilai cinta seorang lelaki seperti mana aku satu waktu dulu.

“Pasal tu kita jumpa dia nanti. Abang yakin dia akan faham. Tapi, abang rasa kita heret lelaki tu sama, bersemuka. Senang. Abang tak nak sesiapa pun lagi salah faham pada isteri abang ni,” ujar Ilham.
Aku angguk tanda mengerti. “Terima kasih, abang!”

“Sama-sama kasih. Okey, abang dah sedia nak jawab soalan sayang tadi tu. Best ke tak ah dapat peluk Fiah sekarang ni.” Dia mengetuk jarinya pada dagu sendiri. Lagak macam sedang berfikir saja.

“Sayang abang ni dah sedia ke nak terima jawapan abang ni?” Dia jungkit keningnya yang lebat itu sekali lagi.

“Apa saja, janji abang jangan nak tuduh Fiah macam-macam lagi,” ujarku memberi amaran.

“Okey, kalau dah sedia….” Ilham bangkit kemudian dia menarik tanganku agar turut bangkit.
Bila kami sudah sama-sama berdiri, dia merapati langsir dan menarik langsir itu menutupi tingkap di tengah siang terang benderang ini.

“Panas-panas ni nak tutup langsir. Kenapa?” tanyaku tidak mengerti.

“Kenapa apa? Abang nak jawab soalan Fiah la ni…” Serentak itu dia mencempung aku ke dalam gendongannya.

“Apa ni?” tanyaku sedikit terjerit. Terkejut besar aku dibuatnya

“Fiah panas, tapi abang rasa sejuk. Hangatkan,” bisiknya manja. Dia lantas meletakkan tubuhku ke atas katil yang masih dibaluti cadai pengantin.

“Abang bukan nak jawab soalan ni. Ni nak mencipta persoalan ni.” Aku cuba mengelak bila Ilham lebih pantas menangkap pergelangan kakiku.

Dia senyum penuh makna. “Ingat tak polis tu dulu cakap, nak buat anak bukan kat dalam kereta tu. Masa tu memang tak sesuai. Tak halal pun lagi. Kat sini boleh kot?” llham kenyit mata.

Perutku mula rasa memulas. Kecut rasanya. Detak hati sudah semakin hebat menghentak dada. Rasa mahu pecah apatah lagi Ilham makin mendekat. Sungguh aku tidak menduga.

“Abang ni, siang-siang buta ni, bukan malam pertama ni, bang. Nanti jadi siang pertama pulak,” ujarku melarang kehendaknya.

“Tapi tak berdosa, kan? Dapat pahala lagi ada,” gumamnya di telingaku.

Bila bibirnya singgah lama di cuping telingaku, lalu turun mendarat di leher, dekat dengan kesan merah yang masih jelas itu, daun pintu diketuk sekali. Kami sama-sama tersentak.

“Jadi ke tak balik kamu berdua ni?” jerit mak dari luar.

Aku hela nafas lega. Mak sememangnya penyelamat keadaan. Muka Ilham sudah masam mencuka. Tidak puas hati kehendaknya tidak kesampaian barangkali. Tubuh sasa itu aku tolak sedikit menjauh.

“Kami tak jadi balik hari ni mak. Fiah ajak Am bulan madu kat sini dulu,” jeritnya pula membalas pertanyaan mak.

“Macam-macam hal budak berdua ni,” rungut mak dan akhirnya tiada lagi suara mak di situ.
Terbuntang mataku dengan kata-kata ILham. Lengannya aku cubit kuat. Geram sungguh kerana memalukan aku pada mak.

“Pandai abang ek?” cebikku geram.

“Abang memang pandai, tapi macam ni…” Dia memeluk aku sekali lagi.

“…abang lagi pandai!” Dia senyum penuh makna. Aku gamam. Mahu membalas atau pun tidak.

~~~>bersambung

Harap anda semua boleh senyum.. Jangan cakap terseksa lagi. Jiwa saya ni haa terseksa..hehe..>RM

24 comments:

  1. sayang kak rehan makhtar .
    finally dorang dah okey .
    jangan la ada dugaan lagi .
    tak sanggup den . hehe .
    good job kak ! best .

    [aya]

    ReplyDelete
  2. Linz : wah..xrugi masuk blog ni b4 nk tito..sweet..suka :)
    RM memg best !!!

    ReplyDelete
  3. Mcm tu la, kan sgt manis bila kita memaafkan...TQ RM...baru lega rasenya...harap lepas ni Am akan tetap disisi Fiah walau apa terjadi. Lepas ni Fiah kena maklum kat Am pasal ugutan Zali sengkek tu....Jgn nnt dia minta benda bukan2 pulak. Thump-up

    ReplyDelete
  4. dah tak terseksa dah..aty nie senyum je..hehe :)
    harap2 lps nie fiah dan am bahagia la ye.

    ReplyDelete
  5. Haha..mmg terbaekk la cik wrter..

    ReplyDelete
  6. tq so much cik writer ...barulah degupan jantung kembali normal....suka sgt2 entry ni..sayang akak..

    ReplyDelete
  7. wahhhh....nie bru la mentally stable. xde dah jiwa kacau...

    ReplyDelete
  8. barulah bole tido lena...tq kak

    ReplyDelete
  9. wahhh...ni bru best..nk tdo pun snng ati..hehehhe

    ReplyDelete
  10. mcm ni lah best!! good entry! rasa puas sgt baca..:D senyum x putus. tq!! :D sayang rm! ;)

    ReplyDelete
  11. semoga bahagia wafiah n ilham terus di sirami dgn bunga2 keindahan...hehehehehhe...TERBAEEEEEKK.

    ReplyDelete
  12. berbaloii ase, pg2 baca bab ni..tiada lg penderaan perasaan ambo
    he he

    ReplyDelete
  13. oh..yes dik...tersenyum akak sampai ketelinga..akhirnya..ego mereka direndahkan..martabat suami dijunjung tinggi..mudah mudahan tak da lagi dendam dan sakit hati antara mereka..alahai dik..nampaknya mereka akan menjadi pasangan yg sungguh intim dan comel..
    Harap tak ada la konflik lagi ek..yg mencekam perasaan kami ni lagi..
    Salam
    kak idA

    ReplyDelete
  14. so sweet...nk lg RM

    ReplyDelete
  15. bahagia rasanya tengok drang da berbaik.hehehe:)

    ReplyDelete
  16. sweetnya am dgn fiah.....

    ReplyDelete
  17. Rehan, best betul n3 kali ni... semuga semuanya
    dalam keadaan baik dn tiada lagi konflik diantara
    mereka berdua. Biarlah ape yg dijanjikan oleh Ilham dia kotakan jgn pandai berkata-kata tapi
    lain pula jadinya dn tak ada lagi org yg memfitnah
    Fiah. Sekiranya ada pun harap sgtlh Ilham lebih
    memahami bukan menuduh melulu saja. nak lagi...

    ReplyDelete
  18. Bagus lah semua dah berbaik ....
    Biar padan dengan muka Abang Zali x dapat nak minta duit lagi...
    Terima ksaih kak Ana kerana nasihatkan Fiah..
    Bersemuka lah dengan Fateha .... sian dia.... bawa Fazlee sekli jang nak buat huru-hara ja...

    ReplyDelete
  19. xnk ler gaduh2 lagi...xsuke lar...terase sakit sgt bile gaduh2 camtu..huhu..

    ReplyDelete
  20. yeesss Rehan.....leganya....so sweet Am & Fiah, hati kak zu pun ikut berbunga2......hehehe....

    ReplyDelete
  21. fuhhh dh lega sikit, tp lepas apa la pulak duagaan untuk fiah...baca sambil senyum gitu.. RM best...

    ReplyDelete
  22. ok dah aman damai hehehehe sy dah blh tdo. dari tadi baca dr episod 31 hingga 46 ni. dah kul 4.05 pagi ni. nite. n thanks cz dah leraikan kekusutan ni.hehe.

    ReplyDelete
  23. sweet banget ni

    ReplyDelete