Tuesday, September 13, 2011

Terlerai Kasih 24, 25


BAB 24

SUASANA di dalam Honda Civic putih mutiara milik Am sepi tanpa sebarang suara antara kami mahupun dari celah corong radio. Diam seribu bahasa di sepanjang perjalanan. Bila hampir saja sampai ke simpang rumahku, Am tidak membelok. Dia sekadar meneruskan pemanduan yang tidak ku tahu ke mana destinasinya. Rautnya tenang.
“Kita nak ke mana ni?” tanyaku bimbang.
Aku mengerling ke arah jam dipergelangan tangan. Sudah hampir ke 12.00 tengah malam. Anak dara tengah-tengah malam berdua-duaan dengan lelaki bukan muhrim. Biarpun emak jauh dari mata, aku masih waras untuk tidak membiarkan maruah dan kepercayaan emak padaku musnah.
Lebih parah andai kepercayaan dan maruah itu musnah angkara perbuatan fitnah dan dusta dari suara-suara sumbang. Cukuplah sekali kami melaluinya dulu.
“Haa… ada pun suara Fiah! Am ingatkan dah jadi bisu!” sindirnya.
“Sekarang ni, Am yang patut marah atau Fiah yang patut marah?” tanyaku tegas.
“Fiah!”
“Habis tu, nak sindir-sindir Fiah kenapa?” marahku. Am tersengih menampakkan barisan gigi putihnya yang tersusun.
“Lagi-lagi buat muka tak bersalah!” rungutku lantas memeluk tubuh.
“Okey, Am salah,” akuinya dengan memek muka yang bonyok. Aku mencemik benci.
“Am minta maaf sekali lagi sebab dah sembunyikan hal sepenting ini daripada pengetahuan Fiah. Am tak sengaja. Am ingatkan nak buat surprise. Tak sangka Fiah marah!”
“Patut ke kalau Fiah tak marah?” Dia diam tidak menjawab. Sekadar meneruskan pemanduan. Wajah tenangnya membuatkan aku terus dibadai marah.
“Memang Fiah patut marah, kan? Lebih elok lagi bagi Fiah tampar je muka Am tu biar Am sedar sikit kat mana silap Am. Surpise konon! Patutlah beruncle-uncle dengan bos Fiah, pakcik awak rupanya. Pastu panggil Izham macam tu je… adik dia rupanya. Lagi satu pandai pulak buat orang tertunggu-tunggu macam beruk dalam bilik mesyuarat masa nak ambik dokumen dulu tu. Pengarah tak adalah, itulah, inilah! Semua tu alasan kan nak perbodohkan Fiah, kan? Banyaklah Am punya surprise!”
Aku memuntahkan rasa tidak puas hati bertubi-tubi. Am tersenyum kelat. Terasa mahu dibongkarkan kembali segala yang pernah berlaku sebelum ini. Biar dia tahu dia tersilap kerana membohongiku.
Am sekadar membisu mendengar amarahku padanya dan sesekali dia menjeling ke arahku. Wajah tenangnya bagaikan menambahkan petrol pada hatiku yang sedang terbakar.
“Dulu masa Fiah tanya nama Am, kenapa Am jawab Amri? Siapa Amri tu?”
“Amri tu Am la. Ilham Fitri! Am ambil hujung nama Ilham dengan hujung nama Fitri, jadilah Amri. Lagipun memang sejak dari dulu Am gunakan nama Amri! Semua emel Am, dari sekolah, di universiti, further kat oversea, kawan-kawan lama semua panggil Am nama pendek, lepas tu Amri nama panjang! ”
Kata-katanya membuatkan aku terdiam seketika dan akhirnya penjelasan Am ku terima dengan keterpaksaan. Patutlah dulu, dia pernah tersasul menyebut Ilham. Terlalu banyak perihal dirinya tidak ku tahu.
Aku ketap gigi menahan geram. Andai diikutkan rasa marah yang sudah meninggi ini, ringan saja tangan ini mahu diayun agar singgah pada wajah tampan itu. Biar cacat sikit! Sedangkan aku telah terlupa, dia juga masih belum mengetahui perihal latar belakangku.
“Am ke, Amri ke, Ilham Fitri ke, kasih sayang Am tetap pada Fiah! Hati yang satu ni tak mungkin berbagi. Untuk Fiah je,” ucapnya syahdu.
“Kenapa Am tak berterus terang dengan Fiah yang Am ni pemilik baru IF Group? Fiah takut nanti apa pulak kata orang? Fiah keluar dengan orang berkedudukan sedangkan Fiah ni apalah ada!” Kini, suaraku bertukar lirih mengenangkan diriku dibohongi oleh kekasih hati. Hatiku hiba.
“Ops… correction! IF Group not belongs to me! It’s belongs to Tuan Fakhri dan Puan Insyirah,” tekan Am agak keras.
“I have nothing there, Fiah. Am kuli je kat situ! Am tak beritahu Fiah dulu sebab Am nak Fiah terima Am sebab Am ni Ilham Fitri bin Fakhri je. Bukan Pengarah Urusan IF Group atau anak pemilik syarikat tu. Itu syarikat abah, bukan Am punya. Am menjalankan amanah je. Am nak Fiah terima Am seadanya Am dengan segulung ijazah, gaji yang kira mampu nak bagi Fiah makan nanti, kereta ini… “ Am menggosok stereng keretanya beberapa kali.
“… dan cinta Am sajalah harta yang ada setakat ni untuk Am bahagiakan Fiah!”
Aku mendengar setiap kata-kata Am yang jelas merendah diri itu tanpa sebarang komen. Aku mahukan segala penjelasan daripadanya. Aku tidak mahu hubungan kami dicambahi dengan bunga-bunga rahsia lagi sedangkan aku sendiri terlupa yang rahsiaku lebih buruk kesannya andai diketahui.
“Lagi satu, Am tahu Fiah ni jenis macam mana! Seorang wanita yang sentiasa berdiri di atas kaki sendiri pasti Fiah akan menolak Am andai Fiah tahu kedudukan Am yang sebenarnya sebab Fiah pasti takut orang mengata Fiah! Kedudukan Am ni sementara je. Izham lebih layak, bukan Am. Ni semua bukan harta Am. Harta Am yang tadi itulah tapi tak lama lagi bertambah lagi satu, iaitu Fiah!” Am tersengih senang.
Sebentar dengan wajah yang muram, sekejap pula bertukar ceria. Itulah kelebihan dia agaknya. Getus hati kecilku.
Sungguh aku terharu dengan pengakuannya tapi mindaku setakat ini masih belum dapat memproses semua data yang baru ku terima dengan baik. Aku perlukan masa. Peminangan? Huh, lepas sebabak, sebabak pula drama yang Am lakonkan.
Serentak itu Am memberhentikan keretanya tepat di atas Bukit Ampang. Sedikit menjauh daripada pengunjung lain. Menjamu pandangan kami dengan keindahan neon malam bandaraya Kuala Lumpur.
“Nak keluar?” soal Am sambil dan melonggarkan tali pinggang keledarnya. Aku menggeleng.
“Kenapa datang sini?”
“Tak suka?” tanya Am. Aku sekadar tunduk tidak menjawab. Di sinilah pertemuanku dengan Fazlee andai kami bertemujanji. Menghabiskan beberapa ketika bersama menghadapi neon Kuala Lumpur. Am tidak sengaja, dia tidak tahu kisah duka itu! Tiada sebab untuk menyalahkannya.
Di sinilah aku mendengar hilai tawa Fazlee selepas dia berjaya membuat muncungku keluar sedepa. Di sinilah kami sama-sama menikmati seafood segera kegemaran kami dan di sinilah Fazlee melafazkan janji-janjinya! Oh, hati! Janganlah kau tewas!
“Pasal perkara tadi Am harap Fiah dapat maafkan Am. Lain kali Am janji tak buat surprise macam tu lagi.” Suara Am membawa aku menatap wajahnya.
“Am tu janji saja. Lepas tu buat lagi,” ujarku dalam pada mengawal emosi pedih yang datang menyerang tiba-tiba.
“Tak, kali ini Am betul-betul janji! Apa-apa pun yang berlaku, Am akan bawa berbincang dulu dengan Fiah!” Am mengangkat sebelah tangannya bagaikan orang yang sedang berikrar.
“Yalah, Am tu! Habis tu pasal peminangan entah apa datuk nenek lagi tu macam mana?” ejekku.
“Laa… ni nak bawak bincang la ni! Dengan datuk nenek peminangan sekali kita bincang.” Aku merengus.
“Jangan loyar buruk kat sini boleh tak?”
“Habis tu nak loyar buruk kat mana?”
“Am…,” jeritku sedikit kuat. Am melepaskan tawa.

Mataku terasa berat. Perjalanan yang tidak sampai satu jam terpaksa mengambil masa yang lama bila kami terperangkap dalam kesesakan jalan lintas akibat satu kemalangan di kawasan Taman Kosas.
Kelopak sudah hampir tertutup. Saat itu aku ternampak Fazlee melintas di hadapan kereta kami bersama seorang wanita. Jalannya diatur bersahaja dan lenggok badan yang bagaikan memanggil-manggilku untuk turun mengejar langkahnya.
Aku tidak perlu berfikir panjang, kini Fazlee di depan mata. Dia harus membayar harga kesedihanku atas waktu yang pernah berlalu tanpa apa-apa makna dalam hidupku dan menebus kembali waktu yang telah pergi serta atas penghinaannya terhadap keluargaku.
Semakin hampir aku padanya, semakin laju mereka melangkah. Aku tidak menghiraukan orang ramai yang sentiasa menjadi menghalang. Tujuanku hanya satu. Aku ingin menggapai jemari Fazlee agar tidak tidak menjauh dariku.
Aku tidak hiraukan wanita di sebelahnya. Yang aku mahukan hanyalah Fazlee. Aku tidak tahu atas alasan apa tapi yang pasti hatiku sudah menjauh daripadanya. Hampir saja aku menggapai jemari Fazlee, dia menepis kuat dan wanita di sebelahnya ketawa mengherdik.
Aku kuatkan kudrat yang masih berbaki. Mencuba untuk meraih tangannya agar dia tidak pergi tapi sayang saat aku sekali lagi mahu menggapai jemari itu, pergelangan tanganku terlebih dahulu dilelar seseorang. Aku pantas berpaling, pohon dilepaskan pegangan itu.
Namun hampa menggayut hati bila pegangan pada pergelangan tanganku terlalu kejap dan Fazlee sendiri terus melangkah bersama wanita di sebelahnya tanpa menghiraukan hatiku yang remuk redam.
“Fazlee…” seruku lemah dan bayangannya lenyap sudah dari mataku.



BAB 25

KELOPAK mataku terasa berat untuk diangkat bila suara seorang lelaki terasa dekat di cuping telinga. Mengejutkanku dari lena lantas menghambat bayangan Fazlee pergi.
“Bangun Fiah, dah sampai ni!”
Aku mengenyeh mata beberapa kali. Cuba mengamati kawasan persekitaran. Ya, Am memakirkan kereta tepat di depan pohon mempelam di depan rumahku.
“Dah sampai ya?” tanyaku lemah. Am mengangguk.
“Fiah ni mengantuk benar agaknya? Letih sangat ya?”
Aku menekup mulut yang sedang sangap. Itu sudah cukup memberikan Am jawapan tentang keadaan mataku.
“Pergilah masuk! Pasal hal meminang tu, Fiah bincang dengan family Fiah dulu, ya! Harap-harap mak Fiah izinkan seperti yang Am rancang tu!” Lembut sahaja suara Am mengingatkanku akan hal peminangan yang telah dirancang rapi olehnya. Tanpa pengetahuanku!
“Kalau boleh cepat, ya!” sambung Am bernada desakan. Aku mengangguk lemah. Pintu kereta ku tolak perlahan dan mengangkat batang tubuhku keluar daripada perut kereta Am.
“Fiah masuk dulu! Hati-hati, ya!” pesanku pada Am sebelum dia terus meluncur pergi.
Badan yang dimamah lesu ku hempaskan ke katil. Hingga tidak sedar aku terlena tanpa menukar pakaianku terlebih dahulu. Entah berapa lama aku terlena, aku akhirnya menggagahkan diri untuk bangkit dari pembaringan bila mengingatkan tanggungjawab pada Yang Esa untuk sehari itu masih belum lengkap.
Usai Isyak, aku meneruskan pula dengan solat hajat dua rakaat. Rinduku pada arwah ayah menggamit lagi. Semakin membara cintaku pada Am, semakin sendat rasa di dadaku akibat kerinduan terhadap arwah ayah.
Ingatan pada Fara juga tidak pernah luput. Mungkin kami jauh di mata namun aku sentiasa yakin yang Fara akan tetap mengutuskan doa buatku. Sungguh, terlalu banyak perkara yang ingin aku kongsikan dengannya dan ku mohon agar dijauhkan dari mimpi seperti tadi. Aku sudah tidak ingin dia hadir dalam hidupku, biarpun dalam mimpi.
Esoknya aku menelefon emak. Terpaksa menebalkan wajah bila Am tidak sudah-sudah menggesa untuk meminta persetujuan emak akan hal rombongannya. Biarpun ada esakan halus pada hujung suaranya, aku tahu emak bahagia bila aku sudi membuka pintu hati selepas peristiwa dulu. Itu sudah cukup menjadi jawapan kepadaku akan esakan halusnya sebagai persetujuan akan pernikahan kami.

Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Cuba mencari ketenangan demi mendengar penjelasan Am tentang hal peminangan itu.
“Boleh Am terangkan?” Matanya dikedipkan beberapa kali meminta keizinan. Aku mengangguk memberi laluan padanya.
“Am tak nak minta maaf pasal ni sebab Am memang maksudkan dengan segala tindak tanduk Am. Segala hal berkaitan Fiah Am tak main-main. Am buat semua ni sebab Am tak nak menjadi titi untuk Fiah berbuat dosa!”
“Dosa? Siapa?”
“Kitalah. Tiap kali keluar, itu kan dah menghampiri dosa! Am tak nak kita melambatkan benda elok! Baik kita terus halalkan hubungan kita! Am tahu Fiah baik orangnya. Dari keturunan baik-baik!”
Kata-kata Am kali ini bagaikan belati yang menghiris pada luka yang sama berkali-kali. Hatiku pilu memikirkan hal itu. Aku tidak takut untuk menghadapi kenyataannya tapi aku takut andai emak dan Kak Anah serta arwah ayah dicemuh lagi dan kini ditambah lagi dengan ketakutan menghadapi kehilangan Am dariku.
Fiah tak sebaik itu Am. Ketururan Fiah pun sama! Andai dapat ku utarakan pada Am semua itu, tapi sayang, hanya hati kecilku yang menjerit sendiri.
“Fiah dengar tak?” Suara Am membuatkan aku tersenyum pahit.
“Hai… senyum macam orang tak sudi je?” Am menelah. Keningnya terangkat sedikit. Aku menggeleng.
“Mana ada! Sekali sudi Am, sejuta kali sudinya Fiah ni! Tapi, keluarga Am macam mana?”
“Fiah nak risau apa? Tadi kan memang mama dengan abah Am bagi green light! Lagipun bila Am cakap nak kahwin, abah tanya dengan siapa?”
“Habis tu Am cakap dengan siapa?” Am ketawa melihatkan telatahku yang sedikit tidak sabar.
“Dengan siapa lagi. Dengan Nur Wafiah la!”
“Abah Am cakap apa?” tanyaku lagi dalam cuba mengawal rasa tidak sabar yang mula menguasai diri.
“Abah cakap dia kenal dengan Fiah. Dia kata Fiah berbakat, baik, sopan, bijak, cantik pulak tu! Mama pun apa lagi, mulalah minta Am bawak Fiah balik ke rumah tapi Am cakap kat mama, jumpa je dekat majlis ulang tahun syarikat nanti!”
“Mai aii… banyaknya pujian. Ni abah Am yang puji ke, Am sendiri yang puji ni?” usikku dalam pada menghalau rasa sayu dari hati.
“Yang tu semua abah yang puji sebab bagi Am, no words can describe how much you mean to me!” jawab Am penuh makna.
“Lepas tu?”
“Lepas tu apa?” Am kembali menyoalku buat-buat tidak mengerti.
“Hal nak kahwin nilah?” tekanku keras. Geram dengan sikapnya.
“Oh….” Am tepuk dahi. Aku menjeling tajam! Buruk betul sikap dia!
“Pasal kahwin, ya! Fiah nak kahwin dengan Am ke?” usik Am. Aku tarik muka. Benar-benar meluat dengan sikap loyar buruknya. Loyar buruk yang tidak bertempat.
“Am ni, kan… memang tau! Fiah serius ni! Benda-benda macam ni pun Am nak main-main lagi ek? Awak tu dah 28 tahun. Boleh tak kita serius sikit. Hal ni bukan main-main Am. Ni soal hidup kita! Fiah nak penjelasan dari Am sebelum Fiah bawa hal ni pada keluarga Fiah!” marahku.
“Okey… okey… Am serius ni!”
“So, macam mana?”
Lama Am diam. Melarikan anak matanya ke kiri ke kanan, ke atas dan ke bawah seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Am…” seruku tegas.
“Am cakap dengan parent Am yang Am tak nak tunang-tunang. Sekadar ikut adat lepas tu buat yang wajib terus. Dalam dua minggu lagi rombongan Am akan ke rumah Fiah, bincang apa yang patut, tinggalkan cincin dua bentuk, lepas tu terus tetapkan tarikh! Lagi cepat lagi bagus!”
“Kenapa cincin dua bentuk?” tanyaku tidak puas hati.
“Habis tu Fiah nak berapa? Nak penuhkan sepuluh jari?” sinis Am.
“Bukan macam tulah!” Aku ketap bibir. Geram!
“Atau Fiah nak selain dari cincin?” Aku menggeleng.
“Am kata tak nak tunang, habis tu kenapa cincin sampai dua. Biasanya kalau dua ni satu untuk merisik, satu lagi untuk tunang dalam satu majlis,” terangku pada Am agar dia memahami adat orang Melayu menyunting bunga.
“Oh…ya ke?” Am tepuk dahi lagi.
“Lebih kurang macam tulah kita jugak. Cuma lepas merisik tu tak kan ambil masa lama la. Mungkin dalam sebulan dua jelah kot! Fiah setuju tak?”
“Sebulan dua? Tak cepat sangat ke tu? Kita pun baru kenal?” Aku dalam diam menunjukkan rasa tidak puas hati dengan keputusan Am. Segalanya mengikut tindak tanduk sendiri.
“Masa perkenalan tak penting bagi Am. Kita bercinta lagi lepas nikah!” ujar Am dengan anak mata yang bersinar-sinar.
Sinar mata Am menyala-nyala dengan api kasih sayang padaku. Tapi, akan terus menyalakah kasih itu andai dia tahu hal sebenarnya?
“Tapi, Fiah masih banyak perkara yang nak bagi tahu pada Am?” Wajahku berkerut seribu pohon pengertian daripada Am.
“Pasal siapa?”
“Fiah!” jawabku sepatah. Am mengukir senyum tipis padaku.
“Kalau pasal Fiah, Am terima Fiah seadanya Fiah. Yang lainnya kita cerita lepas kahwin!”
Titik! Itulah keputusan Am hingga akhirnya. Aku bingung. Hendak dibincangkan selepas kahwin, mahu saja aku mendapat gelaran janda berhias. Sesenang itu Am membuat keputusan. Dia benar-benar mahu menaklukku dan peliknya bila aku sendiri bagaikan rela ditakluki.
“Fiah setuju tak? Aku akhirnya mengangguk dan berjanji pada Am untuk membawa perkara ini kepada emak secepat mungkin.
.
***bersambung***

No comments:

Post a Comment