Monday, April 09, 2012

Kerana Sekali Cinta [9]

BAB 9

BANYAK fail yang perlu aku belek. Banyak juga pembayaran yang perlu diselesaikan sebelum pihak atasan bersuara. Melayani karenah pelanggan dan juga perunding memang boleh buat aku botak kepala sebelum masanya.

“Banyaknya diorang claim kali ni. Boleh luluskan ke? Sarina ni main sign je,” bebelku sendiri sambil menggeleng.

Fail itu aku tolak ke tepi. Gagang telefon aku capai dan baru saja hendak tekan nombor sambungan Sarina, pintu bilikku di tolak dari luar. Terjengul wajah Sarina bersama senyuman.

“Apa cer?” tanya dia ringkas lantas dia masuk dan duduk tanpa aku pelawa.

“Banyak je tapi mula-mula sekali, kau periksa amaun claim ni? Aku takut salah je ni. Kau dah kira betul-betul ke? Sama macam yang kau ke site hari tu ke?” soalku seadanya.

Dia senyum dan mengangguk. “Aku dah dua kali pergi site la. Dengan bos sekali, aku pergi dengan technician sekali. Betulla tu,” jawab dia.

“Tak apalah kalau macam tu. Aku punch dalam system la. Mudah kerja aku,” selaku sambil jungkit kening pada Sarina.

Bukan aku je jungkit kening tapi dia lebih-lebih lagi jungkit kening padaku. Nampak macam ada sesuatu yang sedang berlegar dalam kepalanya. Aku mencerlungkan pandanganku sikit pada Sarina. Bertanya dalam diam dan dia terus tersengih melihat aku membelek helaian kertas di dalam fail itu.

“Kau apa hal?” tanyaku akhirnya.

“Tak ada hal.” Dia menggeleng bersama senyuman yang mencurigakan.

Fail itu aku tutup sekali lagi. Main tutup je, entah bila aku nak siapkan kerja ni semua. Mahu kena sembur je nanti kalau perunding mengadu bayaran lambat.

“Kau ni kenapa sebenarnya? Lain je renungan kau,” tanyaku dengan pandangan yang sememangnya aku tumpukan padanya.

Sarina tongkat dagu. Dia senyum-senyum tak lepas. Aku semakin pelik. Apa masalah orang perempuan ni? Main senyum-senyum ni dia ingat lelaki macam aku ni boleh membuat telahan sendiri ke apa? Jangan Anaresa macam ni sudah. Aku lebih suka orang yang berterus terang. Senang kerja aku.

“Kau ni kenapa, hah? Kalau kau nak senyum kat sini, baik kau keluar. Nanti aku rasa kau tu suka aku pulak,” ujarku dan aku belek fail itu kasar. Menyatakan rasa geram pada dia.

Sarina ketawa lepas tiba-tiba. “Itulah wei…” ujarnya.

Itulah wei? Apa yang itulah. “Kau ni kenapa?”

“Tak… tak… maksud aku, itulah kenapa aku tak pernah suka kau selama ni. Eh, silap. Aku suka tapi kenapa tak pernah ada perasaan istimewa pada kau selama ni padahal aku tahu kau baik?” tanya dia bersama sisa tawa.

Aku mencemik. “Tak ada maknanya aku nak jatuh cinta pada kau!”
Sarina berdehem beberapa kali membetulkan kotak suaranya. Dia kemudian jungkit kening lagi padaku.

“Kalau kata aku tak kahwin lagi pun, kau tak akan jatuh cinta pada akulah, Zaf. Aku berani potong jari,” ucap dia penuh makna.

“Maksud kau?” Aku jungking kening.

“Kuasa Tuhan kita tak tahu la, Ina,” sambungku mengenakan dia.

Namun, wajah itu tetap mesra seperti biasa. Dia memang seorang teman yang mampu dibawa bergurau. Langsung tak lokek dengan nasihat kala aku memerlukan. Tambah-tambah lagi nasihat soal hati dan cinta.

“Yalah tu tapi Allah dah bawakan kau pengganti apa? Terus dekat ke hati, kan?”

Aku mengerutkan kening. “Terus dekat ke hati?” tanyaku pelik. Buat-buat tak tahu sebenarnya.

“Yalah. Bertunang tak ajak aku pun, kan?” tanya Sarina akhirnya.

Aku lepaskan tawa kecil. Rasa merah juga wajahku waktu ni. Perkataan ‘tunang’ tu buat rasa malu sendiri. Teringat hal beberapa hari sudah bila tertangkap tak berbaju oleh mata Anaresa.

“Kau ni, Ina. Cepat je tahu berita aku, ya? Mana kau tahu. Aku ingat nak sorok sampai bagi kad je nanti.”

“Wah…” Mata Sarina bulat.

“Terus nak bagi kad dia.”

Aku jungkit kening. “Dah tua. Bila nak tunggu lagi. Dah bertunang, nikah je terus. Tunang aku pun setuju apa,” ujarku dengan senyuman yang menyenget.

“Emm… memang muda pun. Itu aku setuju. Gaya dia pun boleh tahu yang korang memang beza umur jauh gila,” ucap Sarina.

Aku sekali lagi kerutkan wajah. Mana Sarina tahu Anaresa dengan aku jauh beza umurnya? Tak kan mama cakap? Tak pun Zafrina?

“Mana kau tahu? Mama aku gosip mosip dengan kau ke?” soalku sinis.

Memang aku tahu, mama dan Sarina agak rapat. Sejak kes cinta tak kesampaian aku dulu, mereka semakin rapat. Kerap kali mama mengusulkan agar Sarina memperkenalkan aku kepada sesiapa saja tapi aku tahu, Sarina sudah tidak sanggup memperjudikan cintaku lagi setelah kali pertama dulu dan aku yakin itulah kali terakhirnya juga.

“Tak adalah.” Sarina menggeleng.

“Mama kau tak cakap apa pun. Aku tahu sendiri,” akui Sarina.

Aku mencemik. “Lupa pulak… facebook, twitter kan banyak. Mesti kau boleh kesan, kan?” sinisku.

“Macamlah kau ada semua tu,” sindir dia balik.

Aku tahan ketawa. Memang tak pernah menang kalau nak bertekak dengan Sarina tapi memang silap aku juga. Langsung tiada minat hendak ada semua itu. Cukuplah dulu sekali aku cuba mengesan dia yang pergi melalui semua itu dan akhirnya, tiada apa yang tinggal.

“Habis tu, macam mana kau tahu? Zafrina?”

“Adik kau tu dah lama tak call aku la, Zaf. Ini bukan mama atau adik kau yang bagi tahu aku tapi empunya diri yang mengaku.”

Aku langsung bangkit bila mendengarkan pengakuan Sarina. Terkejut bukan kepalang. Kerja yang tertanggunh itu langsung tak menarik minat aku lagi. Langkah ini maju ke pintu dan belum sempat aku sampai pada daun pintu, pintu itu sekali lagi ditolak dari luar.

“Assalamualaikum,” sapa suara lembut manja itu dengan senyuman.

Aku kalih pada Sarina dan Sarina jungkit bahu.

“Dia datang tanya nama kau tadi. Memang aku terkejut tapi nantilah aku tanya kau. Pergilah keluar. Dah nak hampir tengah hari ni. Aku siapkan kerja ni,” ujar Sarina lantas dia bangkit mencapai fail itu dan berlalu keluar bersama kening yang terjungkit berkali-kali.

“Waalaikummussalam,” jawabku akhirnya. Tergantung kejap.

Anaresa senyum lagi. “Resa datang tak tepat masa ke?” tanya dia.

Aku menggeleng cepat-cepat. “Tapi, Resa datang office abang buat apa? Mana tahu abang kerja kat sini?”

Dia ketawa kecil. Cantik pulak hari ni. Jeans hitam, kemeja kotak-kotak berwarna kuning air dan selendang yang dibelit ala kadar itu serta lengkap dengan kasut memang menampakkan dia unik.

“Tunang sendiri kot. Haruslah tahu,” sela dia mesra.

Tubuh itu tegak merenungku dan aku merelakskan tubuh yang agak terkejut tadi dan aku masukkan tanganku ke dalam poket seluar membalas renungannya.

“Mama abang call Resa ke? Mama cakap abang kerja kat sini ye?” tebakku.

Anaresa mengangguk. “Mama kata abang nak ajak Resa pergi satu tempat,” ujarnya.

Aku jegilkan mata. Aku nak bawa dia pergi mana? Dahlah kerja pejabat berlambak. Mama ni pandai-pandai je. Kot ya pun, maklumlah aku dulu.

“Mama tak cakap dekat Resa ke mana abang nak bawa Resa?” pancingku kot-kot Anaresa tahu. Tak payah aku fikir nak bawa dia pergi mana.

Dia menggeleng. “Mama abang kata surprise?” tanya dia.

Aku sengih tayang gigi. Tangan menggaru kepala. Kejutan apa yang harus aku sediakan sekarang? Mama memang suka kenakan aku.

“Dah tu, Resa tak ada kuliah ke hari ni?” tanyaku ubah tajuk perbualan dalam pada mencerna idea hendak menyediakan kejutan pada tunang tersayang ni.

“Tak ada. Batal seharian hari ni. Tapi, malam ni ada kuliah dua jam.” Anaresa tegakkan jari runcing dia dua batang sambil tersengih.

Boleh nampak muka bangga bila kuliah batal. Memang tipikal budak sekolah yang suka kalau cikgu tak datang. Aku senyum saja. Mata ini mengerling ke arah jam di pergelangan tangan.

Dah hampir waktu tengah hari lagi setengah jam. Ingat nak duduk pejabat saja habiskan kerja yang tertangguh, tapi alang-alang Sarina nak membantu aku iyakan saja. Redah jelah sambil-sambil fikir kejutan untuk Anaresa. Tapi, tak mungkinlah makan tengah hari bersama.

“Jomlah kita,” ajakku.

Daun pintu aku tarik dan mempersilakan dia melangkah dulu. Keluar saja dari pejabat, banyak mata yang memandang. Pelik mungkin melihat aku dikunjungi seorang perempuan ranggi macam ni. Sebelum ni memang tak pernah.

Aku garu kepala, sekadar mengawal rasa malu yang menerpa tiba-tiba. Anaresa tenang melangkah mendahului dan terus saja kami ke lif. Punat lif di tekan dan dia bersandar memeluk tubuh.

“Resa datang dengan apa?” soalku lagi. Dalam kepala terus bekerja keras mencari idea ni.

“Dengan KTM. Minta Haqmi hantar ke Padang Jawa tadi lepas tahu kuliah batal,” jawab dia.
Aku senyum dalam hati. Mengingatkan aku paut bahu Haqmi memang boleh kena cepuk dengan topi keladar.

“Okeylah kalau macam tu. Nanti abang hantar Resa balik tapi petang karanglah. Boleh Resa tunggu abang habis kerja?”

Dia angguk. “Seumur hidup pun Resa sanggup tunggu,” sela dia malu-malu.

Aku lebarkan senyuman. Rasa bangga sungguh. Anaresa menyulam jemarinya sesama sendiri nampak macam mengawal rasa malu yang memang terpancar pada raut wajahnya yang mula memerah.

Tiba-tiba, ting!! Idea dah datang. Melihatkan jari runcing itu yang cantik tersarung dengan cincin belah rotan pemberian mama tempoh hari, aku mula fikirkan satu kejutan buat dia.

Pintu lif ternganga dan aku menapak bersamanya masuk ke dalam lif. Tiba di bawah, aku melangkah pantas mendahului dia dan aku tahu, dia juga sedang mengejar langkahku. Nampak terkial-kial dengan beg galasnya itu.

“Abang, nantilah Resa. Selangkah abang dua langkah Resa. Penatlah macam ni,” rungut dia membuatkan aku pakukan langkah dan menanti dia.

“Abang nak pergi mana cepat-cepat ni?” soal dia lagi dengan wajah masam.

“Kan mama cakap ada kejutan buat Resa. Ni nak bawa Resa jumpa kejutanlah ni,” jawabku.

Dia mencemik. “Kalau nak bawa Resa, tunggulah jalan sekali. Ini jalan dulu, tinggal orang sorang-sorang.”

“Habis tu, Resa nak abang buat apa? Resa jalan lambat sangat. Langkahlah besar sikit.”

Kali ini dia merengus. “Eii… kaki awak tu panjang, kaki saya kurang panjang. Nak langkah besar macam mana lagi?”

“Dah tu, Resa nak abang dukung Resa, nak?” Aku acu hendak mencempung tubuhnya tapi pantas dia menjerit kecil.
Wajah itu merah dan aku hanya mampu menahan ketawa bila dia buat muka. Nampak suci kala dia beriak begitu. Nampak macam budak-budak.

“Bergurau lagi macam tu, Resa jerit nanti,” ujarnya memberi amaran.

“Untuk hari ni memang bergurau. Untuk sehari dua lagi tak ada bergurau dah. Abang dukung sungguh,” selaku lalu aku memulakan kembali langkah.

***

KAMI makan di sebuah Restoran Nasi Padang. Tak adalah sedap sebab aku ni perut Melayu tapi tak nak sesak sangat dengan orang, restoran itulah yang agak sunyi sikit. Semua bersopan. Berbicara pun berbisik. Macam dalam kelambu.
Sudah makan, aku mulakan kejutan. Kejutan yang baru aku fikirkan tadi.

“Resa tahu tak, apa kejutan abang?” soalku kala kami sama-sama menapak ke dalam SOGO.

“Resa tak tahu sebab tu Resa datang ni,” sela dia loyar buruk.

“Oh, bakal isteri abang ni nak jadi loyar buruk juga ya?” tanyaku.

Dia angguk. “Sikit-sikit, belajar dari abang.”

“Emm… jawapan yang menarik.”

Dia ketawa. “Tapi, Resa pelik. Abang kerja dekat KL tapi kenapa hari tu pertama kali kita jumpa abang sampai Shah Alam?”

“Hari tu kan abang dari site. Tu singgah SACC kejap. Yang hari Resa minta abang jumpa Resa nak bayar hutang tu abang lambat sebab abang dari pejabat. Jauh tu nak sampai sana. Tapi, abang pergi juga sebab jodoh tengah memanggil-manggil,” jawabku tenang.

Dia senyum. “Kenapa abang yakin kita berjodoh, ya?”

“Abang yakin sebab…” Suaraku mati. Tanpa sedar, aku lelar pergelangan tangan dia masuk ke dalam Poh Kong.

“Ini sebab dia…” sambungku lalu aku meminta dia duduk di hadapan seorang pekerja Poh Kong yang pakai seragam kuning hitam itu.

Mata Anaresa bulat. Nampak macam dia tak percaya. “Apa ni?”

“Resa pilih cincin nikah kita nanti. Abang takut tak sempat. Dah alang-alang Resa boleh jumpa abang hari ni, inilah kejutan abang. Pilih apa saja yang Resa nak. Abang bayarkan,” bisikku setelah aku duduk di sisinya.

Wanita Cina ini senyum saja. “Cik boleh pilih yang mana-mana cik suka. Tapi, saya rasa ini sesuai untuk cik. Just nice for you,” ucap wanita Cina itu sambil menghulurkan sebentuk cincin yang terbenam permatanya yang sebiji itu kepada Anaresa.

Lambat-lambat Anaresa sambut dan dia memandangku lama.

“Err… Resa… Resa…” Dia kehilangan kata.

“Resa terharu, ya? Tak payah terharu dululah. Pilih dulu. Nanti dah sah nanti, baru Resa terharu. Masa tu senang abang peluk sikit, pujuk-pujuk sikit,” ucapku pula separuh berbisik.

Dia mencebirkan bibir. “Abang tu, suka nak kenakan orang.”

“Dengan Resa je.” Pantas aku menjawab.

“Okey, you tolong dia pilih, ya. I ikut je mana-mana yang dia suka,” beritahuku pada pekerja Poh Kong. Dia angguk.

“Waa… you are really deeply love your sister, sir. I can see it on your face. You sponsored her wedding ring. So nice of you,” puji dia padaku membuatkan aku terjegil sendiri.

“Ehem… ehem… excuse me, miss…” Aku berdehem hendak membetulkan kenyataannya.
Tapi, tak sempat aku katakan yang benar. Anaresa menyiku dulu.

“Actually, he is my husband to-be. Don’t get us wrong,” ujar Anaresa tersenyum menahan ketawa.

Wanita itu nampak tercengang dan dia cepat-cepat tersenyum menutup kecanggungan wajahnya.

“Oh, I am so sorry. Because you too look so…” Suaranya mati.

“I memang suka lelaki matang macam dia,” pangkas Anaresa dan dia terus sarungkan cincin itu ke jarinya.

Nampak sepadan dan kena dengan dia. Sedang elok muat-muat saja. Wanita Cina itu hanya senyum tidak terkata apa dah. Pandai je dia cakap Anaresa adik aku. Bakal isteri aku ni.

“Okeylah. Ambil yang ni je. Resa berkenan dah ni,” akui Anaresa lalu dia bangkit dan menarik aku turut bangkit.

Hai, semudah tu je dia pilih cincin untuk nikah nanti? Tak nak cuba yang lain ke? Bermacam corak dan fesyen ada. Senangnya nak puaskan hati dia.

“Macam tu je dah siap ke?” tanyaku tak puas hati.

“Habis tu, abang nak Resa pilih yang tu ke?” Dia juihkan bibirnya ke arah set barang kemas yang ada di dalam cermin. Boleh tahan harga. Cecah sepuluh ribu. Mahu botak kepala aku nanti.

“Tak adalah. Maksud abang, pilihlah dulu yang lain. Kot-kot terasa berkenan yang lain pulak.”
Dia menggeleng pantas. Mata itu terpejam sikit sebelum dibuka semula. Nampak macam patung Barbie.

“Resa ni jenis jatuh cinta pandang pertama dan akan kekal macam tu. Sekali cinta, selamanya cinta,” ujar dia.

Aku senyum. “Macam Resa jatuh cinta dekat abanglah, ya? Jatuh cinta pandang pertama dan tak perlu nak memilih dah, terus terima pinangan abang, macam tu?” soalku mengusik.

“Eii… perasanlah. Orang tak cakap awak pun. Orang cakap barang!” tekan dia mencebik.

Aku tidak menjawab sebaliknya, aku isyaratkan wanita itu membungkus cincin pilihan Anaresa tadi. Menghormati kehendaknya. Bukan aku nak pakai, tapi dia yang nak pakai. Aku tolong bayarkan je.

“Resa jatuh cinta pandang pertama pada abang, kan?” tanyaku mendesak.

“Mana adalah. Resa pilih abang sebab terikat dengan tawaran terhad abang tu. Mana nak dapat. Tajaan seumur hidup. Senang Resa nak belajar nanti,’ jawab dia mengenakanku.

“Tapi, tajaan seumur hidup tu pakej dengan abang sekali. Resa dah janji, kan? Bukan terima saja. Haruslah ada rasa cinta dan sayang sebagai balasan untuk tajaan abang tu nanti.”

Dia terdiam seketika sebelum menjawab. “Resa tengah pupuklah ni. Resa tak pernah jatuh cintalah. Sekarang ni tengah belajarlah ni. Bagi masa sikit, ya?” pintanya manja.

Aku angguk saja. “Nanti dah sah, abang ajar cara bercinta yang betul,” bisikku nakal.

“Eleh, macamlah abang pernah bercinta? Berapa orang dah abang pernah bercinta?” tanya dia tak percaya.

Giliran aku pula terdiam. Betul katanya. Bila masa aku bercinta. Tak pernah bercinta. Tewas dalam cinta, adalah sekali. Tapi, daripada buku-buku novel tu, aku pandailah juga bercinta. Kira tiru dalam buku jelah. Lebih kurang macam tu kot. Mesti perempuan suka.

“Eh, abang pandailah. Tak percaya, Resa nanti je hujung minggu ni. Jadi, kan? Mama dah buat persiapan tu dah alang-alang keluarga Resa tak membantah.”

Wajah itu merah menahan malu barangkali. “Kenapa Resa cakap nak nikah cepat-cepat, ya?”

“Apa dia?” tanyaku biarpun suara itu jelas sebenarnya biarpun Anaresa bercakap dengan diri sendiri.

“Eh, tak ada apa,” jawab dia pantas dan aku hanya senyum lalu aku tarik sikit lengannya mendekat padaku.

“Resa takut abang usik Resa nanti, ya?” soalku jujur.

Lambat-lambat Anaresa mengangguk. “Resa kan budak sekolah lagi. Nanti kalau berisi, macam mana? Resa ada cita-cita.”

Aku tahu, memang itulah yang mama dok risaukan juga. Takut Anaresa tak mampu tamatkan pelajaran nanti. Tapi bagi aku, dunia ini serba moden. Segalanya boleh dicegah kalau mahu.

Sikit hari lagi, kami akan dinikahkan. Kedua belah keluarga sibuk dengan persiapan biarpun aku tahu, mama tak menang tangan. Zafrina merungut juga meminta upah dan Zafrin serta abah nampak kalut menguruskan beberapa hal. Hanya aku yang cuci tangan tandatangan saja borang permohonan.

Pesan mama, berterus terang saja senang. Aku dah dewasa dan seharusnya aku yang memimpin Anaresa agar dia tidak takut dengan keputusan dia untuk menjadi suri hidupku dalam waktu terdekat ni.

“Resa tak boleh nak menyesal dengan keputusan Resa. Abang ada je nanti. Pasal tu, Resa jangan risau sangatlah. Kan ada macam-macam cara sekarang. Tak nak ada anak dulu, tak semestinya kita sama-sama tak boleh nak berikan nafkah batin untuk satu sama lain. Sebuah perkahwinan menuntut semua tu. Resa pernah belajar, kan?” tanyaku lembut.

Dia angguk saja. Diam dan nampak keruh sikit airmukanya.

“Tapi, tak cepat sangat ke kita buat keputusan ni?” Dia memang rasa tak yakin dengan kesungguhanku.

“Resa…” seruku lembut.

“Kerja nikah kahwin ni, bukan kerja kita. Kerja Allah semuanya. Bila Allah tulis jalan tu untuk kita, insyaAllah segalanya akan mudah. Usai abang jawab nikah nanti, kita akan sama-sama usahakan rumah tangga kita ke arah kebaikan. Abang cuba, Resa cuba. Masa pertemuan tu, urusan Allah, sayang,” pujukku meyakinkan dia.

“Tapi, Resa takut nanti…” Dia pegang perutnya dan suara itu mati.

Aku senyum saja dan berpaling menghadap dia. “Kita ambil langkah keselamatan.”

Serentak itu, pekerja Poh Kong melambai ke arahku. Meminta aku rapat ke kaunter. Aku angguk dan berpaling semula pada Anaresa.

“Abang bayar dulu. Sebelah ni, ada kedai jam. Kot-kot Resa nak buat hantaran jam tangan ke. Pilihlah. Kejap lagi abang pergi sana, ya?”

Dia angguk dengan mata yang terkebil-kebil memandangku tapi kaki itu tetap melangkah. Aku kedipkan mata sekali dan dia berlalu juga.

Harga yang tertera pada resit, aku bayar dengan cash. Tak payah berhutang dengan kad kredit. Bukan cara aku macam tu. Bungkusan kecil itu bertukar tangan dan sempat aku jeling pada almari kaca di depan sana sebelum aku senyum semula pada pekerja Poh Kong.

“I want that. Spare for me,” ucapku tenang dengan senyuman yang meleret. Kejutan kedua buat Anaresa nanti.

~~> bersambung

24 comments:

  1. ouh my. am i the first? hak hak! sy suka2! tp konflik riga-ringan daahlah kak rehan. hehe

    ReplyDelete
  2. Agaknya Zafran srh simpan set brg kemas yg resa tgk tu erkkkkk sbg kejutan untuk resa.... wow!!! best lerr dpt org yg matang cmni mesti syg bini giler2 nanti

    ReplyDelete
  3. nak kawen ngan orang tua jugak laaaaaaaa

    >>k<<

    ReplyDelete
    Replies
    1. tp pastikan org tua tu mcm zafran yer :)

      Delete
  4. Setuju dengan cik Anonymous. Nak jugakkkkkkkkkkkk

    ReplyDelete
  5. wwww mesti zaf beli set tu..... untung la resa.....

    ReplyDelete
  6. layan zaf.. klo dah sayang barang berapa harga sanguppppppppppppp... RM cepat sambung... tergedik2 ni nak tunggu majlis zaf dan resa.. hahahahaa

    ReplyDelete
  7. tak sabar nak tunggu Zaf n Resa nikah..camne la agaknya budak sekolah a.k.a Resa lepas dah nikah nanti..Rehan cepat2 update ye tak sabar dah ni...

    ReplyDelete
  8. oooo...^____^ sweetnya...triple like dah ni...sungguh mnyentuh kalbu la story mory RM ni..keep up gud work k..i'll support u always!

    ReplyDelete
  9. best.. mesti kalut jer resa masa nikah nanti...

    dania

    ReplyDelete
  10. RM. Watak Zafran kali ni macho habis. Suka watak dia ni. Matang sangat.

    ReplyDelete
  11. hahahaha...sweet..ressa dh suka kat zaf...
    cter yg x byk cmplicated n komedi..best
    jatuh cinta pandang pertama...perhh..
    hehehe
    -miss A-

    ReplyDelete
  12. bess!!
    comel je...camane la dorg lpas kawen nt..

    ReplyDelete
  13. waaa...bez2...nk set mcm resa jgk la

    ReplyDelete
  14. best apa kawin ngan org yg lebih matang... hahahahha... i dulu pun kawin waktu jd bdk u.... tgh blajar.. ekekekkekkkk.. suke nyer citer ni.. terbaek lah rehan.

    -Ika Hatika-

    ReplyDelete
  15. best apa kawin ngan org yg lebih matang... hahahahha... i dulu pun kawin waktu jd bdk u.... tgh blajar.. ekekekkekkkk.. suke nyer citer ni.. terbaek lah rehan.

    -Ika Hatika-

    ReplyDelete
  16. wahh.. zaf ni mmg sweet..
    mmg digalakkan perempuan cari laki y tua 5 tahun or lebih kan..

    ReplyDelete
  17. walaupun zaf matang ,tapi kwin dng gadis remaja ni kepala kena gila2 sikit .baru ada keserasian ya x?hehehe...

    ReplyDelete
  18. alahai..sweet je citer nih..

    ~huda~

    ReplyDelete
  19. suka sgt2 cite camni..sweet n xbnyk konflik..leh hilangkn tension..

    ReplyDelete
  20. wahhh...sukanya saya dengan dia nie.....

    ReplyDelete
  21. makin lama bc makin xthn sengih.resa dgn kalut takut.zaf dgn gaya mengusik.untung resa.

    ReplyDelete