Wednesday, August 17, 2011

Terlerai Kasih 7,8,9


BAB 7

MESYUARAT berjalan lancar selama hampir satu jam. Lega bila melihatkan Encik Azhan tersenyum ke arahku. Aku menghela nafas lega bila Encik Azhan mengangguk-ngangguk tanda setuju dengan pembentanganku. Lepas rasanya satu beban dari dadaku.
Aku melepasi pintu bilik mesyuarat dan terus menuju ke bilikku. Lega setelah satu masalah dapat ku selesaikan. Andai tidak, tak dapat ku bayangkan bagaimana lagi keadaannya bila aku akan dimarahi Encik Azhan.
Baru sahaja aku memulakan langkah, kedengaran Encik Azhan memanggilku. Lantas aku berpaling dan seperti biasa, Fara berada di sebelahnya dengan mengakat ibu jari tanda bagus. Spontan pula aku tersenyum dan mengenyit mata padanya. Itulah aku dan Fara, dialah musuh dialah teman.
Senyum yang meleret tadi mati saat muncul kelibat Encik Izham dan pegawainya muncul dari belakang Encik Azhan.
“Sini sebentar, Wafi!” Encik Azhan menggamit jemarinya kepadaku dan aku pantas mendekat.
“And Faralina, you may go!”
“Yes, boss!”Fara berlalu sambil mencuit bahuku mesra dan aku sekadar tersenyum.
“Tunggu dulu, Wafi? Come, let me introduce you to a new member of IF Group! Pertama kali jumpa, kan?”
Aku mengangkat pandanganku membalas pandangan Izham dan menentang renungan lelaki di sebelah kanannya. Nampak bergaya tatkala dia membuka kot hitamnya dan melonggarkan tali leher. Kumis tipis yang menghiasi atas bibirnya, janggut tipis dan rambut yang sedikit terpacak menyerlahkan lagi ketampanannya.
Dalam diam hatiku memuji lelaki itu. Kali kedua bertaut pandang, kornea mataku terpaku seketika pada seraut wajah itu tanpa ku sedar senyuman yang tersungging di wajah itu.
“Wafi....!”
Aku bagaikan tersedar dari lena yang panjang saat terdengar suara Encik Azhan memanggilku lembut. Darah merah mula menyerbu ke muka dan sepantas mungkin aku mengawal keadaan. Tidak rela jika kecanggunganku menjadi perhatian.
“Yes, boss!” jawabku tegas. Seperti seorang perajurit menurut arahan.
Tanpa sengaja, sekali lagi aku bertembung pandang dengan dengannya. Tidak ku sedar sejak bila jantungku mula berdegup hebat.
“Meet my accountant. She’s so efficient but carefull, she is very unpredictable!”
Aku tersenyum janggal mendengar komen Encik Azhan terhadap diriku. Unpredictable? Huh, aku sendiri tidak sedar benarkah aku begitu. Sesungguhnya, aku tidak selesa mendengarkan komen itu terbit dari mulut Encik Azhan.
“Wafi!” Aku sekadar berbasa-basi memperkenalkan namaku.
Aku lebih suka berdiam diri sekiranya tiada perkara rasmi yang perlu dibincangkan. Bukan sahaja dengan pelanggan, malah dengan Encik Azhan termasuklah teman baikku sendiri, Fara.
Sememangnya begitulah aku. Pernah Fara mengatakan mulutku tersimpan beberapa ketul jongkong emas hinggakan hendak membuka mulut pun, bagaikan disuruh pergi berperang.
Biar apa pun rungutan Fara dan Encik Azhan serta beberapa kakitangan di pejabat ini, aku sekadar mendengarnya bagai angin lalu.
“Oh, Wafi...,” selanya selepas beberapa ketika.
Aku mengangguk, cuba mengawal air wajahku yang terasa kebas dek renungan lelaki itu. Panahan matanya benar-benar membuatkan aku lemas.
Bosan dipandang demikian bagaikan aku sedang menari di pentas teater dan sesungguhnya aku benci bila wajahku menjadi bahan santapan mata lelaki.
“Tak ada ayah?!” sambungnya tenang.
Ada senyuman mengejek terukir di hujung bibir yang nampak sedikit lebam itu.
Terperanjat benar aku dengan soalanya. Terasa kebas wajahku dengan kelancangan mulut lelaki itu mengatakan yang aku ni tiada berayah.
Darah mudaku mula menyerbu ke muka. Rasa ingin ditampar wajah itu namun, aku tahan rasa hati.
Sisa hormatku pada Izham dan Encik Azhan menghalang aku bertindak demikian. Memanglah mulut kau tak ada insurans! Sumpahku di dalam hati.
Senyum tipis yang masih setia terleret dibibirnya membuatkan panas hatiku berterusan mendidih dan kini sudah hamper sampai ke tahap maksima.
Bergelodak dadaku menahan marah yang ku tahan supaya tidak meletus. Aku pandang air muka Izham yang jua tersenyum, begitu juga dengan Encik Azhan.
Aku pasti mereka bertiga perasan akan perubahan air wajahku.
“Saya minta diri dulu Encik Izham, bos, encik,” pintaku dan sedia untuk mengatur langkah.
Aku tidak perlu lama di situ menjadi bahan ejekan jantan keparat itu. Sebelum perkara yang tidak diingini berlaku, biarlah aku beralah. Beralah bukan bererti aku kalah. Itulah prinsipku.
“Wait, Cik Wafi! ”
Aku menghentikan langkah.
“Sorry for what he said. Dia tak bermaksud macam tu. It is just a joke!” kata-kata Izham jelas yang dia sedang membela lelaki itu.
“It’s okay!” balasku dalam senyum terpaksa lantas berlalu.
Tidak aku pasti sejauh mana keikhlasan Izham memohon maaf padaku dan lelaki di sebelahnya sekadar meratah wajahku tanpa meminta maaf. Hatiku sebal!
Tidak perlu kau pinta maaf dariku Izham, bukan salahmu! Jawab hatiku lantas aku berlalu tanpa mempedulikan mereka lagi.

BAB 8

DAM! Aku menghempas daun pintu bilik sekuat mungkin. Berdentum bunyinya. Nasib kaulah pintu, jadi mangsa aku melepaskan kemarahan! Bukan sekali dua malah sudah berkali-kali. Mujur sahaja masih belum tanda untuk pecah terburai.
Pasti beberapa kakitangan di luar terkejut dengan tindakanku. Jarang sekali aku bersikap begini jika tiada masalah besar yang menimpa. Biar bertimpa-timpa masalah menghempap, aku sentiasa mampu mengawal amarahku dan menunjukkan sikap yang profesional dalam tugas.
Kali terakhir aku menghempaskan pintu adalah sebulan lalu di mana aku menerima surat jawapan negatif daripada IF Group Sdn. Bhd. berkenaan dengan permohonan yang aku panjangkan kepada mereka.
Kata-kata yang lelaki itu lemparkan membuatkan aku hilang kewarasan. Gurauan bodoh! Sumpahku. Kau tak kenal lagi siapa aku! Hatiku mula membakar fikiran waras.
Aku menghempas beberapa fail di meja dan menghayun langkahku ke tepi tingkap. Aku merenung puncak KLCC yang jelas di pandanganku sambil memeluk tubuh.
Saat itu, rasa sayu hadir menyentuh perasaan wanitaku. Bagaikan semilir angin dingin yang menyapa, lantas turun menggigit tangkai hati. Tidak aku sedar bila rasa sebak itu singgah dan segalanya dalam sekelip mata. Segalanya sekadar berlaku.
Pandanganku yang kabur itu terus kabur dan terus kabur tanpa ku sedar, jariku sudah menyeka beberapa titisan jernih yang menodai lekuk pipi.
“Ayah!”
Sepatah perkataan itu tiba-tiba terkeluar dari mulutku. Entah mengapa marahku pada ayah kali ini membuatkan aku menitiskan airmata. Rindukah aku pada arwah?
Sejak arwah meninggal beberapa tahun sudah, tidak pernah sekalipun aku menziarahi kubur arwah. Itu pun hanya beberapa kali aku sedekahkan Yassinn buat arwah ayah. Aku tidak sedar sudah berapa lama aku melupakan ayah.
Kejamkah aku bertindak demikian sedangkan tanpa ayah di manalah aku. Hari ni, sebaris ayat daripada mulut lelaki itu menyedarkan aku, tanpa ayah di manalah aku. Ke mana saja aku pergi, aku akan tetap berbintikan dia.
Selama ini, terlalu jarang aku menyebut nama penuhku. Aku benci dengan nama yang ada pada hujung namaku. Benci kerana dia memperlakukan kami begitu dulu. Bertambah benci bila cerita pilu itu sampai ke telinga bekas kekasih hinggakan dia pergi begitu saja.
Biarpun aku tahu Fazlee pergi meninggalkanku kerana wanita lain dan bukan kerana arwah ayah, aku menjadi lebih benci pada ayah. Benci saat mendengar cerita arwah ayah keluar daripada mulut Fazlee yang dikatakan menjadi punca dia meninggalkan aku tanpa pamitan. Mohd Fazlee bin Abdul Aziz! Sebaris nama yang cuba ku lenyapkan dari ingatan.
Namun hari ni, aku lebih membenci diri sendiri bila aku tidak pernah menerima takdir Ilahi dengan penuh syukur.
Airmata yang menitis cepat-cepat ku seka tatkala ku dengar daun pintu di ketuk beberapa kali.
“Masuk!”
Aku melabuhkan duduk di kerusi. Melarikan tetikus komputer sekadar buat-buat sibuk.
“Assalamualaikum Cik Wafi!”
Wajah lelaki yang tersembul di ambang pintu bilik pejabatku membunuh sama sekali rasa rindu pada arwah ayahku. Angin pasang yang sudah hampir reda itu mula di amuk badai sekali lagi.
Salamnya ku jawab seikhlas mungkin dalam pada menahan gelodak hatiku yang sedang membara. Berkali-kali aku beristighfar pohon dijauhkan akal warasku daripada hasutan syaitan yang direjam.
“May I come in?”
Aku tersenyum nipis mendengarkan sebaris ayat yang keluar dari celah bibir lelaki ini. Meminta izin dariku sedangkan dia kini sudah hampir ke meja yang kini jarak kami hanya dipisahkan oleh meja kerjaku yang lebarnya hanya satu meter.
“Sure and please have a sit,” pelawaku mesra.
“Seorang?”
Dia lantas mengangguk seraya melabuhkan duduk tepat di depanku.
“Encik Izham?” soalku lagi.
“Dengan Encik Azhan!”
Aku menarik tanganku yang asalnya ku letak di atas meja saat dia turut sama menyulam jari-jemari di atas meja ku yang beralas kaca jerrnih.
Dia berdehem seketika bagaikan mengerti akan tindakanku sebentar tadi lantas tersenyum kepada.
“Busy?” soalnya sepatah.
“As what you see,” balasku bersahaja.
“Nampak macam tak busy pun,” selanya lagi.
Aku sekadar menjungkitkan bahu.
“Ada apa yang boleh saya bantu?”
Aku terus kepada soalan yang sepatutnya, tidak mahu bersoal jawab akan hal-hal yang tidak penting lagi.
“Nothing important, just to say sorry. Baru pertama kali jumpa dah jadi macam ni?” rungutnya lebih pada diri sendiri.
Kalau dah tahu baru pertama kali jumpa, mengapa mesti dinoktahkan dengan titik hitam? Hatiku bersoal sendiri.
Kerana hal itu rupanya membawa dia hadir ke bilikku. Aku perlu bersikap profesional, tidak mahu kerjasama baik antara dua syarikat selama ini goyah hanya kerana masalah peribadiku. Aku tidak mahu mendatangkan masalah kepada Encik Azhan.
“Tak mengapa!” balasku lembut.
Sedaya upaya aku cuba bertenang, tidak mahu rasa marahku jelas di matanya.
“I apologise about what I said just now. Really, I didn’t mean it!” ujarnya sekali lagi dan kali ini nampak bersungguh-sungguh.
Dia bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapanku.
“No, don’t be. It’s okay with me. Tiada apa yang perlu dimaafkan!” Suara ku sedikit keras agar dia mengerti dan segera berlalu.
Aku tidak mahu berlama-lama membincangkan perkara yang peribadi seperti ini. Kerjaku masih ada yang perlu dibereskan.
Akaun setengah tahun pertama perlu dikemaskini dengan segera dan selebihnya kerana airmataku sudah hampir merintik ke pipi demi kata-katanya sebentar tadi yang berterusan bermain-main di fikiranku. Membuktikan kekejaman yang telah ku lakukan kepada keluarga dan juga diriku sendiri.
Kerana kecewa, aku membawa hati yang lara. Membajai dendam yang tak pernah kunjung layu hinggakan waktu itu berlalu tanpa ku sedar salah dan silapku.
Diakah yang telah membawa aku berpijak di bumi nyata? Diakah yang membuatkan aku kembali kepada Qada dan Qadar Allah? Setelah selama in tidak pernah aku dengan bulat hati menerima ketentuan Ilahi.
Tanpa ku sedar, setitis airmata menitis juga dan pantas aku sapu kasar saat tersedar kembali akan sepasang mata yang masih setia merenungku. Aku melarikan pandangan. Tidak sedar sudah berapa lama aku turut merenung jauh ke dalam anak matanya. Aku jadi malu sendiri.
Ah, aku benar-benar merindui arwah ayah kala ini. Oh, ayah!
“Are you crying?”
Wajahnya jelas gusar. Tidak dapat ku ertikan rahsia di sebalik redup renungannya biarpun anak matanya jelas kerisauan.
“No.” Aku menggeleng.
“Kalau encik tak ada apa-apa lagi saya nak sambung kerja saya!” pintaku tegas.
Aku lantas berdiri dan melangkah ke daun pintu. Tombol pintu ku pulas dan menarik daun pintu hingga terbuka separuh.
Biarlah sekiranya dia menyifatkan tindakanku tidak wajar atau lebih tepat lagi kurang ajar, aku tidak peduli. Yang pasti aku perlu bersendiri. Bersendiri lagi setelah sekian lama aku tiada berteman.
Dia bangun mendekat kepadaku. Mengerti yang dirinya tidak ku perlukan di sini jika tiada perkara mustahak yang perlu dibincangkan.
“I am so sorry for what i’ve said to you just now, Nur Wafiah!” ucapnya sayu lantas berlalu.
Pelik benar bila mendengar namaku di sebut lelaki itu. Pertama kali dipanggil dengan nama penuh itu, aku terasa ada sesuatu yang telah dia tinggalkan buatku di sini.
Aku merapatkan daun pintu tanpa menanti kelibatnya hilang dari pandangan. Mujur saja semua kakitangan sudah beransur keluar makan tengah hari. Andai tidak, entah apa yang akan digosipkan mereka.
Aku kembali ke tempat duduk dan menggapai fail setebal dua icni itu. Biarpun masalah bertimpa, amanah perlu dijaga sebaik mungkin. Mencari rezeki yang halal itu adalah fardhu bagi umat Islam. Pesan ibu tersemat kemas dalam sanubari.


BAB 9

PETANG itu aku tiba di rumah agak lewat. Tidak seperti biasa. Mungkin kerana hujan turun begitu lebat di sekitar ibu kota menambahkan lagi kepada kesesakan jalan raya.
Aku kalih pada jam di pergelangan tangan. Sudah hampir ke angka tujuh dan di luar sana hujan masih turun mencurah-curah. Langit sudah gelap gelita. Aku menggapai tuala dan terus ke bilik air.
Malam Jumaat yang syahdu. Usai solat Maghrib aku membaca surah Yaasinn. Ku sedekahkan buat arwah ayah. Airmataku tidak putus-putus menitis sepanjang aku mengalunkan surah dari kitab suci Allah.
Sedikit sebanyak rasa bersalahku pada arwah berkurangan jua. Yang masih sarat hanyalah rasa rindu yang menderu. Aku pohon ketenangan buat arwah di sana dan untuk hatiku sendiri dalam meniti hari-hari esok.
Sesudah aku menghabiskan bacaan, azan Isyak sedang berkumandang di surau berdekatan. Sekali lagi menyeru umat Muhamad menunaikan solat dan menuju kejayaan.
Jam menunjukkan ke angka 8.30 malam bila telefon bimbitku berbunyi sekali tanda SMS ku terima.
Punat pada telefon ku tekan beberapa kali. Encik Azhan! Dia memintaku terus ke IF Group esoknya untuk menandatangi perjanjian penerimaan peruntukan setengah tahun kedua seperti yang telah kami minta sekaligus untuk memberi laporan kewangan kepada Pengarah Urusan baru yang telah menggantikan Encik Fakhri.
Aku rapat ke almari dan mengambil sepasang baju kurung dari kain jenis kapas, bercorak bunga-bunga halus warna merah jambu dan berlatarkan putih. Memang itulah jenis kain kegemaranku. Tidak panas dan selesa dipakai.
Esok adalah hari pertama untukku bersua dengan Pengarah Urusan IF Group yang baru dan aku harus menyiapkan pakaianku sekarang kerana keesokan harinya aku perlu bertolak awal pagi bagi mengelakkan kesesakan lalulintas di Jalan Raja Laut.

Aku pantas membolosi pintu lif Menara Tun Razak sambil mulut terkumat kamit membebeli masalah trafik. Punat lif ku tekan pada angka 12. Aku sudah bertolak seperti yang ku rancangkan daripada rumah sewaku dan sudahnya, hampir jam 10.00 pagi aku tiba di IF Group.
Sudah lewat setengah jam dari waktu yang ditetapkan. Padahal, sudah berkali-kali Encik Azhan mengingatkan aku agar tiba tepat pada masanya. Andai Encik Fakhri masih menjadi Pengarah Urusan, pasti aku tidak secuak ini kerana Encik Fakhri adalah seorang yang rasional dan bertimbang rasa.
Biarpun tiada gelaran Dato’ atau Tan Seri pada pangkal namanya, dia sudah berjaya bila IF Group sudah tersenarai dalam syarikat yang gah di Kuala Lumpur.
Kejayaan yang diraih hari ini adalah hasil usahanya dari bawah. Menjadi kuli, kemudian bertatih sedikit demi sedikit untuk terus maju ke hadapan dalam keadaan jatuh bangun, nah inilah hasilnya, IF Group Sdn. Bhd.
Pernah ku usulkan perihal nama IF Group padanya. Katanya, ’IF’ dinamakan sempena nama beliau dan juga wanita istimewa dalam hidup yang telah menjadi suri hatinya iaitu Puan Insyirah.
Walau tidak pernah bersua, telah ku bayangkan akan wajah pemilik nama Insyirah itu. Pastilah secantik namanya. Namun, pasti tidak secantik bondaku. Hatiku senyum sendiri.
Pastinya juga aku akan bertembung lagi dengan jantan keparat itu. Oh, aku tidak mahu! Masih ada rasa marahku padanya ditambah pula dengan rasa malu yang masih menebal malah terselit juga rasa yang tidak dapat aku ertikan.
Pintu lif ternganga luas di tingkat 12 dan aku cepat-cepat melangkah keluar lantas terus sahaja menuju ke pintu kaca yang terpapar nama IF Group Sdn. Bhd.
Aku menolak daun pintu dan terus menuju ke Receptionist.
“Selamat datang. Boleh saya bantu, cik?” soalnya mesra sambil tersenyum kepadaku.
“Maaf, saya daripada Megah Sdn. Bhd. Saya sepatutnya ada appointment dengan Pengarah Urusan jam 9.30 tadi tapi ni sedikit terlambat, macam mana ya?” soalku macam orang bodoh. Cuba menyembunyikan rasa bersalah.
“Oh, Cik Nur Wafiah binti Wahid ke?”
Aku mengerutkan dahi mendengar namaku disebut oleh gadis manis ini. Terkejut jua rasanya.
Ah, Izham atau tidak siapa lagi yang tahu akan sebaris nama yang tidak pernah aku akui itu?
“Bos minta Cik Nur Wafiah tunggu dalam bilik mesyuarat. Sebentar lagi saya maklumkan dia akan kedatangan cik sebab sekarang bos tengah ada tetamu!”
Aku mengangguk tanda faham.
“Silakan Cik Nur Wa...!”
“Panggil saya Wafi saja!” pangkasku.
Tidak selesa bila berkali-kali dia memanggil aku dengan nama penuh. Terasa janggal benar.
Dia tersenyum lantas menggeleng.
“Silakan Cik Nur Wafiah!”
Huh, membulat mataku saat mendengar nama itu sekali lagi terbit dari celah bibir nipisnya, biarpun setelah aku melarangnya memanggil aku begitu. Memang tak makan saman la dia ni! Rungutku sendiri.
Bukankah itu memang namaku? Begitu indah maksud nama yang telah dipilih oleh arwah ayah. Aku akhirnya akur sahaja dan membuntuti langkahnya ke bilik mesyuarat yang sedikit tersorok ke belakang.
“Sebentar ya!” ujar gadis itu.
“It’s okay. Take your time and thanks a lot cik...”
“Fatehah!” sambungnya lantas berlalu.
Tidak sempat aku menyudahkan ayat tergantungku sebentar tadi. Cepat benar dia mahu berlalu dari sini.
“Terima kasih, Cik Fatehah!” ujarku sendiri bila kelibat Fatehah hilang di balik daun pintu.

...bersambung...

No comments:

Post a Comment