Sunday, September 25, 2011

Jahit Balik Hati Aku!

TUBUH sasa yang sedang membelakangi aku itu, aku pandang dari kejauhan. Dalam hati bertanya, siapakah gerangan lelaki ini? Dia sedang berborak sakan dengan ayah dan mak. Nak kata abang aku, eh kejap! Aku anak tunggal. Mana ada abang!
Basikal usang itu aku tunda perlahan-lahan menuju ke bawah rumah lalu aku sandar pada tiang. Mata sempat lagi menjeling ke arah Honda City berwarna hitam metalik itu. Orang kaya ni! Getus hatiku lalu perlahan-lahan aku menapak menuju ke pintu dapur. Mahu masuk melalui pintu belakang.
Seboleh-bolehnya aku tidak mahu terkesan oleh emak. Entah mengapa dapat ku rasakan emak dan ayah sedang menyorok udang di sebalik mee. Pintu bilik aku rapatkan perlahan-lahan agar tidak terdengar oleh mak dan ayah akan aku yang sudah pulang dari sekolah.
“Ana, ya?” Aku terlompat demi mendengarkan satu suara wanita menegurku. Langsung terduduk ke lantai dek penangan sergahan itu.
Wanita yang ku kira sebaya mak ini tersenyum manis mendapatkanku. Tanganku diraih lalu aku bangkit bila ditarik olehnya. Dia membawa aku duduk ke katil. Yang hairan, aku tidak pula menjerit bila wajah asing ini bersanggah di bilikku. Telekung yang tersarung di tubuhnya dibuka lalu melabuhkan duduk di birai katil usang milikku.
“Maaf, aunty tumpang solat kejap. Ni Rihana, kan?” tanya dia lagi. Aku angguk tanpa membantah.
“Cantiknya anak dara Yah ni. Dah besar pun!” sambungnya sejurus kemudian. Yah itu nama mak. Rodziah!
Aku diam lagi. Hendak ku kata putih salah, hendak ku cakap hitam juga terasa salah. Dalam bahasa mudahnya, aku serba salah.
Aku masih terpinga-pinga. Entah apa yang perlu aku katakan. Perlukah di halau atau membiarkan saja wanita anggun ini. Pakaiannya jelas berbeza dengan emak. Andai emak sekadar berbaju kurung kedah dan berkain batik, tapi wanita ini pula berlabuci dan manik bertaburan di atas pakaiannya yang ku kira bukan dari calang-calang material. Mahu ratusan ringgit. Lama aku tilik wanita ini dari atas ke bawah, bawah ke atas.
“Mesti Ana tak kenal aunty, kan?” tanya wanita ini lagi. Aku geleng. Rasanya macam dah bisu pula. Kelu benar.
“Aunty kawan lama mak Ana. Aunty ada hajat datang sini!”
Haa, kan sudah ku cakap tadi, pasti mereka menyorok udang di sebalik mee. Aku bukanlah budak kampung yang terlalu naïf untuk ku tafsirkan maksud kedatangan mereka.
“Hajat?” tanyaku akhirnya setelah sedari tadi mendiamkan diri. Soalan buat-buat tidak tahu padahal dalam hati detaknya sudah lain macam.
“Ya, hajat!” Dia mengangguk. Jemariku diraih. Lalu ditepuknya lembut.
“Aunty nak pinang Ana untuk anak aunty. Harap Ana setuju. Aunty dah tanya mak dengan ayah Ana. Mereka tak kisah. Kata mereka, persetujuan Analah yang penting.”
Aku pegang kepala yang berputar tiba-tiba. Tiada ribut tiada hujan jauh sekali petir atau guruh, wanita ini datang meminangku. Adakah jodoh ini jatuh dari langit?
“Mak ingatkan tak balik lagi,” tegur emak tiba-tiba.
Aku kalih pada wajah mak. Dia tersenyum gembira. Apalah yang bermain di balik senyuman mak ni? Sukar untuk ku tebak. Aku pandang wajah emak lama. Apa semua ni, mak? Tanyaku dalam diam.
“Bila Ana balik?” tanya mak.
Aduhai, mak memang tak fahamkah dengan perasaanku kala ini. Diterjah dengan soalan perkahwinan segala dengan tidak semena-mena.
“Baru lagi,” jawabku lemah.
“Kakak dah cakap pada Ana,” ujar wanita ini pada emak. Emak sudah duduk di sebelahku. Menjadi pengapit dan aku terperangkap di tengah-tengah. Bagaikan terperangkap dengan peminangan ini bila aku yakin, aku bakal tiada pilihan lain.
“Mak harap Ana setuju,” ucap emak separuh berbisik. Tengok tu, kan aku dah cakap, memang paksa rela.
“Tapi, mak! Ana tak kenal lagi anak mak cik ni. Macam mana Ana nak...”
“Dia ada kat luar tu. Nanti Ana boleh kenal. Aunty pun harap Ana terima!” pinta wanita itu penuh pengharapan.
Wajah emak aku pandang lagi. Pohon diri ini diselamatkan. Aku tidak mahu menikahi lelaki yang aku tidak kenali malah aku untuk aku cintai. Tak mahu menjadi seperti kisah wayang zaman dulu. Benar aku tidak berpelajaran. Sekadar lulusan STPM dan menjadi pengajar di sebuah pusat tuisyen untuk budak sekolah rendah saja. Tapi, aku juga ada impian untuk diri sendiri. Mengapa mesti perlu kolot fikiran emak.
*****
Usai solat Asar, aku duduk di pangkin di bawah pohon pelam yang agak rendang. Berfikir dan menimbang permintaan emak yang mahukan aku relakan saja hati ini menerima pinangan daripada Aunty Hanisah untuk anak tunggalnya, Muhamad Hanip!
“Jodoh sebaik ini tak datang dua kali, Ana!” Itulah pesan emak tadi sewaktu kami sama-sama menyediakan minum petang untuk tetamu terhormat mereka tapi menjadi masalah tak diundang padaku.
“Aku dah nak balik KL petang ni jugak. Aku harap kau terima jelah pinangan aku ni!” tegur satu suara tiba-tiba. Mujur sahaja tidak jatuh tergolek. Eleh, senang menang dia je nak aku terima. Harapkan rupa saja handsome tapi no manners!
Hari ini sudah tiga kali aku dikejutkan sebegini. Kali ke empat nanti mahu saja terus terkojol. Wajah Hanip aku jeling sekilas.
“Assalamualaikum,” hulurku sinis. Dia berdehem beberapa kali.
“Wa..waalaikummussalam,” balasnya tergagap-gagap. Aku palingkan wajah lalu ketawa halus. Hanip berdehem lagi. Member amaran barangkali.
“Kan elok macam tu,” selaku menyindir.
“Erk.. erm.. pasal tadi tu macam mana?” Dia mengubah topik perbualan.
“Nak balik, balik jelah,” jawabku seadanya. Hanip mendengus. Marah mungkin.
“Bukan pasal balik la, Rihana! Pasal aku nak kahwin dengan kau ni!” tekannya keras. Dia seraya melabuhkan duduk di atas pangkin, menjauh dariku.
“Nantilah Ana fikirkan. Ana ada kerjaya kat sini.” Aku mencipta dalih.
“Kerjaya?” Hanip ketawa berdekah-dekah. Siap tekan perut lagi. Dia ku jeling tajam memberi amaran dalam diam. Jangan dihina kerjayaku.
“Dah tu, kalau tak panggil kerjaya, nak panggil apa?” soalku garang. Dia ketawa lagi tapi kali ini sudah agak reda.
“Kerja sebagai cikgu tuisyen sambilan, itu pun mengajar budak sekolah rendah nak digelar kerjaya?” tanya Hanip sinis.
“Encik Muhamad Hanip, waima suri rumah sepenuh masa pun digelar kerjaya tau. Awak jangan nak hina kerjaya Ana!” tekanku keras lalu bangkit berlalu.
“Rihana, nanti dulu! Soalan tadi tak ada jawapan lagi!” laungnya sedikit kuat bila aku makin mempercepatkan langkah.
“Awak kahwinlah dengan orang yang ada kerja yang digelar kerjaya, Hanip,” selaku sinis. Entahkan dia dengar atau tidak, aku malas nak ambil peduli. Langkah aku atur maju ke dalam rumah tanpa menoleh lagi.
*******
Pipi emak yang basah dengan airmata, aku sapu lembut. Aku kucup pipi itu lama sebelum aku memaut tubuhnya erat ke dalam pelukan.
“Jaga diri baik-baik, Ana. Jadi isteri yang baik, dengar kata suami Ana. Hormat mak mentua Ana. Mereka tu sekarang keluarga baru Ana. Jangan risaukan mak dengan ayah kat sini. Pandai-pandailah kami jaga diri,” ujar emak di peluput telingaku.
Aku angguk menerima nasihat emak. Pelukan terlerai, lalu aku dekat ayah pula. Wajah itu tenang seperti selalu. Aku tahu ayah tidak kisah bila aku memilih untuk tidak menerima pinangan Hanip tapi emaklah yang beria-ia mahu menerima lamaran itu hingga akhirnya kini, aku sudah sah bergelar isteri kepada Encik Tak Beradap itu. Ops, siapakah yang ku gelar tak beradap itu? Bukankah dia si suami sekarang? Aku beristighfar panjang. Pohon keampunan dari yang Esa kerana mengutuk suami sendiri.
Majlis pernikahan yang diadakan dalam keadaan yang sedikit tergesa-gesa. Semua perbelanjaan ditanggung oleh keluarga Hanip dan kami tinggal cuci tangan sahaja. Eleh, mentang-mentang dia banyak duit! Oh, merungut lagi awak ni Rihana!
Lambaian terakhir mereka berdua aku pandang dengan rasa sebu. Pertama kali berpisah dengan mak dan ayah yang selama ini sentiasa ada tatkala susah payahku untuk pergi kepada keluarga yang baru saja aku kenal. Yang belum tentu akan bersamaku bila aku menghadapi kesusahan kelak.
Baru sahaja berpisah, aku sudah merindui mak. Wajah emak tersenyum padaku penuh makna. Meminta aku pulang segera. Aduhai, mak! Ana baru saja bertolak. Kenapa mak tak halang pemergiaan Ana tadi?
“Woi bangun! Mengigau apa kau siang hari ni?”
Telingaku dapat menangkap satu suara yang kuat menerjah gegendang telinga. Perlahan-lahan aku buka mata. Tiada emak tiada ayah. Yang ada hanyalah wajah Hanip dengan penuh gaya bongkaknya. Aku memisat mata berkali-kali.
“Sepanjang-panjang perjalanan ni kau tidur, ya? Seronoklah kau aku jadi driver tak bergaji kau, kan?” tengking Hanip padaku.
Terkedu aku dibuatnya dengan sikap yang sudah berubah langsung. Andai di depan mak dan ayahku, dialah putera idaman semua tapi kini, segala berubah. Dapat ku telah yang nasibku tidak akan seindah yang ku harapkan dalam menjadi isteri dia yang sudah jelas tidak memerlukanku.
“Kau angkat beg buruk kau tu sendiri. Naik tingkat 2, bilik mula-mula bilik mama. Kau jangan masuk situ pulak. Sebelah bilik mama tu,bilik tetamu. Sebelah hujung tu bilik aku. Masuk yang tu,” arahnya.
Aku ketap bibir menahan pedih di hati. Sekelip mata nasibku berubah. Berubah terus. Bagaikan sudah tiada Rihana yang dulu. Rihana kini hanyalah akan menjadi hamba tebusan di dalam rumah ini agaknya menanti hingga mak dan ayahku dapat menebus semula kebahagiaanku.
Aku menyeret beg pakaianku itu perlahan-lahan masuk ke dalam rumah. Mendaki anak tangga ke perlahan-lahan sambil mata melilau ke sekeliling rumah yang terasa sunyi itu. Ya, benar-benar sunyi. Sesunyi hati ini sekarang!
*****
Hujung minggu itu, mama tiada di rumah. Bersendirian menghadapi kesunyian dalam rumah keluarga suamiku. Andai di kampung, riuh juga dengan suara anak-anak kampung yang berkejaran sana-sini.
Aku sedang sibuk di dapur menyediakan makan malam untuk Hanip bila kedengaran namaku dilaung kuat dari atas. Aku pantas berlari mendapatkan dia di kamar. Tubuh sasa yang hanya dibaluti sehelai tuala itu aku pandang dengan rasa terkejut. Pertama kali melihat tubuh lelaki ini membuatkan aku tidak betah duduk. Rasa sesak dada. Namun, seboleh-bolehnya aku cuba bertenang. Malas hendak menerima herdikan dia lagi.
“Eh, Rihana! Siapa suruh kau pandai-pandai letak pakaian buruk kau ni dalam almari aku, hah?” tengking Hanip bersama jari telunjuk yang diluruskan ke arah almari pakaian.
“Err, dah tu Ana nak letak kat mana kalau bukan dalam almari tu?” balasku pula. Berkerut seribu rasanya wajah ini dengan soalan Hanip. Aku pandang sekeliling. Bukannya ada almari lain pun.
“Kau letaklah mana-mana pun. Janji jangan campur dengan pakaian aku dan dalam almari aku!” Wah, semudah tu Hanip menuturkan kata.
“Hanip kan suami Ana. Ana ni isteri awa,k jadi awaklah yang perlu sediakan segalanya untuk Ana. Ada syarikat sendiri, gaji beribu, tak kan nak sediakan sebuah almari buruk untuk isteri pun tak boleh?” sinisku lantas berlalu. Malas dilayan perangai bongkak dan sombong Hanip. Lagi parah sakit hati aku ni.
Ya, aku tidak pernah merasakan kebahagiaan di dalam banglo sederhana mewah milik keluarga mereka. Yang ada hanyalah derita dan nista dari mulut suamiku sendiri lebih-lebih lagi bila mamanya tiada di rumah.
Aku dengar pintu almari di tutup kasar. Aku tidak mahu peduli andai Hanip membuang semua pakaianku dari almarinya. Aku tidak mahu kalah di sini dalam memenangi hati dia. Itulah tugas utamaku bila ku sedar dia tidak ikhlas menerimaku. Cuma, aku masih belum ketemui sebab utama mengapa dia memilihku untuk dijadikan teman hidup. Aku yakin semua bersebab. Pasti!
“Aku nak keluar ni?” Teguran kasar Hanip membuatkan aku terkeluar dari duniaku sendiri. Wajah tampan di ambang pintu dapur itu aku pandang lama.
“Nak ke mana? Kan Ana tengah siapkan makan malam ni,” ucapku lembut.
“Nak ke mana tu aku punya pasal. Aku cuma beritahu kau yang aku nak keluar, okey!” Dia mahu berlalu dan aku pantas juga mengejar.
Lengan sasa itu aku paut lembut. Kali kedua bersentuh kulit dengannya benar-benar membuatkan aku tidak terkata apa. Hanip memandang tanganku yang memaut lengannya.
“Yang kau pegang aku ni, kenapa? Ada aku beri kebenaran?” sergahnya kuat. Pantas pautanku longgar lalu terlerai.
“Ana minta maaf. Tapi, kan Ana tengah siapkan makan malam ni. Awak makan la dulu, nanti baru keluar,” pujukku lagi. Lebih lembut dari tadi.
“Tak ada masa nak makanlah. Aku ada dinner dengan awek akulah!” Jawapan Hanip membuatkan tubuhku kaku. Lidahku kelu dan seluruh sendiku terasa longgar.
Dia terus melangkah pergi meninggalkan aku yang sudah terjelepuk ke lantai seorang diri. Airmataku mengalir tanpa ku pinta. Jenuh aku mengharamkan air jernih itu melalui lekuk pipiku tapi akhirnya, aku tertewas oleh mutiara jernih itu jua. Rasa tertipu dengan sebuah ikatan pernikahan!
Lewat malam itu, tatkala aku sedang mengutip semula pakaianku yang telah Hanip campak di beranda bilik, mataku tertancap pada kereta Honda City milik Hanip. Aku mula memerhatikan dia yang baru keluar dari perut kereta di susuli pula oleh mamanya. Sesekali pelik juga dengan sikap dua beranak ini. Bagaikan menyembunyikan sesuatu.
Aku meletakkan pakaianku di atas katil lalu menapak untuk keluar dengan niat hendak menyambut si suami yang baru pulang. Langsung terlupa dengan kepedihan yang dia hadiahkan tadi. Saat aku melewati pintu bilik mama, langkahku pegun di situ. Suara mama dan suamiku jelas sedang berbicara tentang sesuatu. Tiada niat untuk memasang telinga mendengar percakapan orang tapi rasa ingin tahuku membuak-buak. Tak dapat aku bendung lagi.
“Macam mana, ma?” Aku dengar Hanip bertanya.
“Alhamdulillah, Nip. Mama dah uruskan semuanya. Surat nikah kamu mama dah bagi pada Lembaga Pengarah. Maknanya, mereka tak boleh nak pecat kamu dari menjadi pengganti papa dalam syarikat tu,” jawab mama pula.
Wajahku berkerut seribu. Apakah kaitan surat nikah kami dengan jawatan dalam syarikat arwah papa dia? Jantung mula berdetak sumbang. Ada rasa takut untuk mendengar hakikat seterusnya tapi setiap kebenaran perlu aku ketahui. Kebenaran mengapa Hanip menikahiku. Itupun serta merta. Sedangkan dia tidak pernah melayaniku seperti mana selayaknya seorang isteri berhak.
“Syukurlah, ma. Kalau betullah Nip tak dapat nak tunaikan wasiat tu, rasanya kita terpaksa lepaskan syarikat macam tu je pada yang tak berhak,” ujar Hanip pula.
Aku bawa telapak tangan ke dada. Semakin hebat hentakan di situ. Kini, sudah hampir dapat ku duga akan agenda yang ada di sebalik pernikahan kami yang tergesa-gesa ni.
“So, macam mana dengan Rihana ni, ma?” tanya Hanip lagi. Aku semakin tertarik untuk mendengar perbualan ibu anak ini bila namaku sudah menjadi bahan mereka.
“Maksud, Nip?” Aku dengar Hanip mengeluh mendengarkan soalan dari mamanya.
“Maksud Nip, kira dah bolehlah kalau Nip lepaskan dia, kan? Nip kahwin dia sebab mama yang suruh, untuk selamatkan jawatan Nip dalam company arwah papa tu je.”
Mataku buntang. Terkejut usah bukan kepalang. Benarkah begitu? Inikah maksud yang tersirat di sebalik pernikahan kami? Ya, Allah! Mampukah aku menerima hakikat yang baru aku ketahui ini?
“Kenapa Nip cakap macam tu?” tegur mama sedikit keras.
“Mama yang janji dengan Nip, kan? Nikah dengan Rihana untuk sahkan jawatan Nip dalam syarikat tu. Kalau dah selesai, mama kata Nip boleh buat keputusan untuk diri sendiri sama ada nak lepaskan perempuan tu atau tak,” jawab Hanip lancar.
Aku dengar mama mengeluh dan aku sendiri sudah dijeruk airmata tanpa ku sedar. Aku tidak tahu untuk apa aku tangisi semua ini sedangkan pernikahan ini juga bukan atas kerelaanku. Adakah kerana cinta pada dia yang sudah terang terentang membenci diriku sudah bercambah?
“Memang mama yang janji dengan Hanip. Tapi, cuba kamu fikir. Mana lagi kamu nak dapat isteri yang cantik dan sopan macam macam Rihana tu? Pandai jaga aurat, pandai masak, pandai layan kamu, Nip.” Nada mama kedengaran memujuk.
“Memanglah dia baik mama. Tapi, Nip tak cintakan dia. Macam mana Nip nak hidup sebumbung dengan orang yang Nip tak cinta? Lagipun, mama dah cakap dulu. Deal is a deal, ma. Mama tak boleh mungkir,” keluh suamiku lagi.
“Mama tak pernah mungkir, Hanip. Mama kan dah cakap terserah kepada kamu. Mungkin kamu tak pernah terfikir kenapa arwah papa adakan syarat macam tu sebelum kamu dapat gantikan tempat dia. Dan kamu juga tak tahu yang calon isteri yang telah sah menjadi isteri kamu tu, adalah calon pilihan mama. Fikir dalam-dalam dulu sebelum Hanip buat keputusan. Rihana adalah yang terbaik. Syarat itu adalah untuk kebaikan kamu sendiri. Bukan untuk mama atau untuk arwah papa!” Suara mama lembut kembali.
“Mama cakap apa ni? Nip tak faham!” Kali ini, aku dengar giliran mama pula mengeluh dengan soalan anaknya itu.
“Maafkan mama sebab tak bagi tahu kamu awal-awal lagi. Memang niat mama nak cakap dekat kamu tentang rancangan mama dan arwah papa setelah segalanya selesai. Rihana tu yang terbaik untuk menjadi menantu mama. Hanip fikirlah sendiri apa yang telah mama katakan ni. Nilai dengan akal, bukan dengan hati semata-mata,” jawab mama lembut. Ada keluhan kecil di akhir kata-katanya.
Lama aku menunggu jawapan daripada Hanip tapi langsung tiada kedengaran suara lagi dari bilik itu. Sudahnya aku membawa diri ke bilik semula. Melangkah lemah dan menangisi nasib diri yang telah menjadi syarat untuk Hanip dan keluarganya. Andai emak dan ayahku tahu, aku tidak dapat duga betapa kecewanya mereka nanti kerana anak tunggal mereka diperdagangkan sesuka hati.
******
Aku terduduk bersama-sama tangisan yang teresak-esak di bucu almari bila jemari kasar Hanip singgah di wajahku untuk pertama kalinya.
“Kau jangan berani sebut perkataan cerai tu depan aku lagi, Rihana!” tempik suamiku lantang. Wajahnya menyinga. Dengusan nafasnya sudah tidak teratur. Renungan matanya tajam menikam.
“Tapi, Ana tak nak hidup dengan orang yang bencikan Ana,” jawabku dalam nada yang tertahan-tahan. Pedih di pipi dapat ku tahan, tapi pedih di hati hanya Allah yang tahu.
“Biar macam manapun aku bencikan kau, kau tak boleh nak tuntut cerai dari aku. Aku haramkan!”
Muhamad Hanip terus mengherdikku. Langsung tiada tutur yang mesra sejak hari pertama kami disatukan. Malah, hari ini lebih kesat dan sudah pandai pula menyentuh pipiku dengan kasar. Aku seka airmata yang berjuraian. Lalu aku bangkit berlalu ke pintu. Tidak betah lagi duduk bersamanya di dalam bilik yang membahang ini.
“Kau nak ke mana tu, hah?”
Kakiku pegun demi sergahan kasar Hanip. Namun, masih tidak sanggup menentang pandangan matanya. Aku takut andai pipiku menjadi mangsanya lagi.
“Aku belum habis cakap lagi, Ana! Kau dengar sini, ya. Aku tahu kau dah dengar semua perbualan aku dengan mama semalam, kan?” tanya dia keras. Aku tidak mampu menjawab. Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak.
“Aku tanya ni, kau jawablah!” jerkahnya lagi hinggakan bahuku terangkat sendiri. Dia mendekatiku lalu tubuhku dipaut menghadap tubuh sasanya. Digugahnya badanku berkali-kali.
“Aku paling pantang kalau aku cakap orang buat tak dengar,” gumamnya keras. Daguku dipaut kasar memaksa aku memandang wajah bengisnya. Rahangnya sudah turun naik.
Dulu, aku nampak ketampanan pada seraut wajah maskulin itu. Sejak menjadi isterinya, aku tidak sedar bila rasa rindu itu hadir bermukim. Rindu untuk menatap wajah itu setiap waktu. Tapi, kini aku hanya dihambat ketakukan. Takut direnung demikian.
“Ana, min... minta maaf,” ujarku tergagap-gagap. Sebolehnya aku cuba untuk melonggarkan cengkamannya di rahangku.
“Kau dengar, kan?” tanya Hanip lagi. Tidak dapat tidak, aku mengangguk jua. Hanip senyum sinis lagi. Tersayat hatiku melihat senyuman itu.
“Patutlah kau nak aku lepaskan kau. So, kalau kau dengar, baguslah. Tak perlu aku nak terangkan lagi. Memang mama rancangkan semua ni tanpa pengetahuan aku. Walaupun kau adalah menantu yang mama suka, tapi aku tak suka kau. Jadi, aku dengan ini, nak lantik kau jadi orang gaji aku dalam rumah ni. Tanpa pengetahuan mama yang pasti. Tiap-tiap bulan aku akan bayar gaji untuk kau jaga makan pakai aku. Itu saja. Tak lebih dan tak kurang,” ucapnya bongkak. Wajahnya jelas beriak benci.
Airmata yang sedari tadi menitis, semakin laju tatkala menerima arahan itu daripada lelaki yang telah ku angkat menjadi suamiku. Malah telah berjanji dengan diri untuk menyintai dia sepenuh hati.
“Tapi, apa salah Ana. Kenapa buat Ana macam ni?” Aku terus menangis dan menangis. Rasa lemah segala sendiri menerima keputusan yang telah Hanip putuskan.
“Sebabnya, aku tak cintakan kau. Tak pernah dan tak akan! Aku nak ceraikan kau, tapi aku sayangkan mama aku. Dia tak izinkan walaupun sebelum ni, dia kata aku boleh buat keputusan sendiri. Jadi, inilah hukuman terbaik untuk kau, Ana!”
Jawapan Hanip benar-benar membuatkan aku hampir terjelepuk ke lantai. Andai lengan sasa Hanip tidak menahanku, pastinya aku tumbang. Airmata yang mengalir sudah tidak mampu aku seka. Hatiku pedih dengan takdir yang menimpa.
Oh, mak! Andai mak tahu jodoh yang mak kata terbaik buat Ana sebenarnya sedang membunuh jiwa Ana, mak! Rintih hati ini.
“Mama tak ada hak ke atas Ana. Awak yang berhak. Kalau awak tak sukakan Ana, rasanya leih baik awak lepaskan Ana. Ana lebih rela kalau awak jatuhkan talak buat Ana. Ana tak nak berlakon di depan mama. Ana tak nak berdosa kerana menipu mama,” ujarku dalam esakan. Hati ini lirih. Pedih yang amat.
“Eh, Ana. Kau ingat aku nak sangat ke simpan kain buruk macam kau ni. Kalau bukan sebab kasih sayang aku pada mama aku, aku dah lama ceraikan kau, tau tak?! Bersyukurlah Ana, setidak-tidaknya kau tak perlu bersusah payah nak balik kampung, kerja sebagai cikgu tuisyen dengan gaji tak seberapa tu. Kerja dengan aku, senang je. Bukan aku suruh kau layan aku sampai tempat tidur pun. Sekadar berlakon dengan mama je,” ucap Hanip dengan senyuman sinis yang tersungging di hujung bibirnya.
Aku ketap bibir kuat menahan diri dari esakan yang makin meninggi. Terketar-ketar tubuhku menahan tangis dek perlakuan Hanip padaku.
“Ana lebih rela hidup susah sendiri dari hidup berpura-pura dengan orang yang tak pernah mahukan Ana dalam hidup dia,” jawabku cuba menentang pandangan si suami yang makin merah padam mukanya akibat kata-kataku.
Titisan jernih yang bertali arus di pipiku tidak aku seka. Biarlah air jernih itu mengalir semahunya andai itulah yang telah takdir suratkan buat hamba yang bernama Rihana ini. Hanip mendekatkan wajahnya ke wajahku hingga dapat ku kesan desah nafasnya yang sedikit kasar.
“Tapi, aku perlukan kau demi mama aku. Kasih sayang dia pada kau yang menghalang aku untuk melepaskan kau pergi, Rihana!” bisik Hanip keras di telingaku.
Dia lantas berlalu ke bilik air. Dan aku, terjelepuk di atas permaidani indah itu dengan tangisan yang semakin lebat. Betapa aku cuba menahan esakan, tapi semakin keras esakan itu hadir bersama tangisanku. Dadaku sesak, hatiku tercalar.
‘Kenapa harus Kau titipkan rasa cinta di hati ini buat dia yang membenciku, Ya Allah?’ Desis hatiku pedih. Aku cengkam erat dadaku. Berharap agar kepedihan itu sirna bersama waktu yang akan berlalu.
*****
Hening Subuh itu, aku duduk berteleku di atas sejadah. Bermunajat kepada yang Esa demi secubit kekuatan untuk menghadapi segalanya yang telah Dia takdirkan untukku.
Hancur luluh hatiku dengan sikap Hanip. Terpasung kaki dan tangan dengan keputusan yang telah dia letakkan antara kami. Menjadi tembok yang maha tebal. Yang tak mungkin dapat ku robohkan dengan beribu kekuatan sekalipun.
Aku kalih pada katil di mana sekujur tubuh sasa itu terlena pulas. Penghawa dingin yang terpasang menambahkan lagi keenakan dengusan halusnya. Aku bangkit mendekat ke katil yang telah menjadi kawasan larangan bagiku kini. Larangan keras!
“Awak, bangkit! Subuh dah nak habis ni,” kejutku lembut. Tapi, suamiku ini tiada bertindak balas.
“Awak, bangunlah. Solat Subuh,” ulangku kali ini lebih kuat. Mahu saja aku sentuh kulitnya tapi rasa takut pantas menguasai diri. Takut dengan penampar jemari kasar itu yang pernah hinggap di pipiku beberapa hari sudah.
“Ish, Subuh nak habis dah ni. Tak kejut nanti, aku rasa berdosa la pulak,” gumamku. Ada rasa takut pada Allah yang Esa yang kemudiannya hadir menjengah pintu hati.
Dek rasa takut kepada Dia yang Maha Menciptakan, aku nekad menyentuh hujung kaki Hanip.
“Awak… bangunlah! Dah dekat pukul 7 ni. Subuh nak habis dah ni,” ucapku lagi. Masih cuba mengejutkan Muhamad Hanip bangkit dari lena.
“Eh, boleh tak jangan ganggu orang nak tidur?!” marah Hanip padaku bersama rengusan yang panjang.
“Ana kejutkan awak bangkit solat, tu je. Tak ada niat nak ganggu tidur awak pun,” ujarku membela diri. Dalam hati jenuh berdoa agar Hanip tidak menampar aku buat kali kedua.
Aku menjauh daripada katil bila ku lihat Hanip menolak gebarnya dan bangun. Renungannya padaku tajam. Bagaikan singa yang hendak menerkam mangsanya dan aku hanya mangsa kepada harimau itu yang hanya menunggu masa untuk dibaham andai tersilap percaturan.
“Eh, Ana. Kalau kau nak sembahyang sekalipun, itu hak kau. Aku tak pernah halang. Tapi, kau toksahlah rajin sangat nak kejut aku bangun sembahyang jugak,” marah Hanip.
“Tapi, dah tanggungjawab Ana untuk kejutkan awak,” balasku pula. Hanip mencerlung pandang padaku. Aku tahu dia marah. Tapi, aku tidak mahu melihat dia terus terlena dan terus tercatit dosa di bahu kirinya.
“Rihana, kau dengar sini. Kan aku dah cakap kedudukan kau dalam rumah ni sebab mama je tau. Kau tak layak nak jadi orang gaji aku sekalipun. Jadi, jangan pandai-pandai nak cakap soal tanggungjawab!”
“Ana tahu di mana Ana pada mata awak. Setidak-tidaknya, anggaplah Ana menjalankan tanggungjawab sesama umat Islam.”
Aku kemaskan pelukan tubuhku yang masih dibaluti telekung putih bersih yang menjadi hantaran daripada Hanip sewaktu perkahwinan kami. Tubir mata terasa suam sudah bila melihatkan tikaman mata Hanip pada wajahku semakin tajam.
“Kan esok ada lagi Subuh. Lagipun, kubur kita masing-masing, kan?” sela Hanip pula.
Aku tarik nafas dalam. Marah tiba-tiba dengan ayat yang dituturkan oleh suamiku. Benar baginya aku adalah isteri yang berbayar untuk mengaburi mata mamanya tapi padaku, selagi talak tidak gugur ke atasku, aku berhak menjaga dirinya agar tidak terus terjerumus dalam dosa.
“Memang betul esok ada lagi Subuhnya. Tapi, Ana takut kalau kita semua tak sempat untuk menikmati Subuh esok tu dan benar jugak kubur tu masing-masing, awak. Tapi, Ana takut kalau suatu hari nanti jasad kita yang banyak dosa ni ditanam di sebelah kubur orang yang soleh. Tidakkah terganggu hamba Allah yang soleh itu dengan seksaan malaikat pada kita nanti,” ujarku lemah.
Perlahan-lahan airmataku menitis laju. Pedih mengenangkan sikap suamiku yang membenci diri ini tanpa sebab musabab. Padahal, akulah yang menjadi mangsa dalam pernikahan ini. Aku angkat pandangan menentang ke dalam anak mata suamiku yang kini sudah bangkit berdiri tegak dengan lidah yang kelu.
“Maafkan Ana sebab awak bencikan Ana. Tapi, Analah sebenarnya mangsa dalam pernikahan kita. Awak dah dapat kedudukan awak dalam syarikat tu. Rasanya tiada salah kalau awak lepaskan Ana pergi dengan baik. Ana pasti mama akan faham,” ujarku lagi. Rasanya tidak sanggup hendak hidup bersama Hanip lagi. Sebulan rasa sekurun.
“Eh, Ana. Dahlah tadi kau sindir aku. Lepas tu berani pulak kau cakap soal ni lagi, ya?” Tubuh Hanip kini sudah dekat denganku. Matanya dijegil luas. Menggambarkan betapa dia marah padaku kini.
“Ana cakap yang benar. Seperti mana awak pinang Ana dengan cara baik, awak lepaskan juga Ana dengan cara yang baik. Ana janji tak kan tuntut apa-apa nanti.”
“Kau ni kan….” Kata-kata Hanip mati di situ. Jemari kasarnya juga terhenti dari singgah ke pipiku.
Wajahku direnung lagi. Aku membalas renungan itu dengan airmata yang semakin lebat menuruni lekuk pipi. Aku lihat perlahan-lahan tangan yang hampir singgah ke pipiku itu jatuh ke sisi. Lama kami berbalas renungan dan aku terus membiarkan dia menjilat wajahku dengan renungannya tanpa dapat ku ucapkan sepatah katapun lagi.
“Aku… aku… argrhhh…” Hanip terus berlalu ke bilik air tanpa meneruskan kata-katanya. Dan aku, terus terduduk ke lantai. Menarik telekung yang masih membalut tubuh lalu menghamburkan tangis yang semakin lebat.
******
Mata mama yang basah itu tidak mampu aku renung. Rayuan dan rintihannya benar-benar membuatkan aku dipalit rasa bersalah. Benar salah dan berdosa diri ini kerana telah meminta sebuah perceraian.
“Hanip cakap pada mama yang kamu nak berpisah dengan dia. Betulke, Ana?” Aku angguk saja menjawab soalan mama.
“Jangan buat Hanip macam tu, Ana. Dia dah mula sayangkan Ana. Percayalah cakap mama,” pujuk mama. Sayangkah Muhamad Hanip padaku? Andai benar seperti yang mama katakan, begitukah layanan kepada orang yang tersayang?
“Ana tak fikir macam tu, ma. Sebab mama sendiri pun tahu sebabnya, kan?” tanyaku sedikit sinis. Aku lihat mama seka airmatanya.
“Mama minta maaf pada Rihana sebab tak berterus terang tentang rancangan kami. Tapi, percayalah, mak dengan ayah Ana juga setuju bila mama cakap nak nak jodohkan Ana dengan Hanip sebab mama yakin yang kamulah satu-satunya yang boleh membimbing Hanip.”
Airmataku murah jua kala ini bila mengenangkan ayah dan emakku sendiri terlibat dalam rancangan yang telah merosakkan segala kebahagiaanku. Inilkah yang mak maksudkan jodoh terbaik buat Ana, mak? Rintih hatiku pedih.
“Syarat agar Hanip beristeri untuk dapat jawatan arwah papa dalam syarikat tu memang arwah yang adakan. Mama bersetuju bila arwah cakap syarat itu untuk kebaikan Hanip. Dengan itu dia akan belajar erti tanggungjawab sebab hidup dia terlalu bebas selepas pulang dari luar negara. Percayalah Ana. Kamulah satu-satunya calon pilihan mama untuk Hanip. Maafkan mama nak sebab libatkan kamu dalam rancangan ni. Tapi, mama hanya yakin pada anak kawan baik mama,” ujar mama lirih dengan airmata yang kian lebat.
Aku diam tidak terkata apa. Teringat pada perbualan dua beranak itu dulu, benarlah mama memang sayang padaku. Tapi, untuk apa sayang itu, andai anaknya membenci diri ini? Jijik untuk memandangku.
“Ana tak salahkan mama, mak atau ayah. Dah tersurat takdir hidup Ana macam ni. Dan mungkin jua dah tersurat yang jodoh Ana dengan Hanip tak panjang. Biarlah Hanip lepaskan Ana, mama,” ujarku pula dengan suara yang tertahan-tahan melawan esakan.
Aku benar-benar mengharapkan perpisahan daripada terus menjadi hamba abdi kepada suami sendiri. Diherdik dan dimaki sesuka hati. Malah pernah ditampar juga. Mama tidak pernah tahu semua itu.
“Jangan minta sesuatu yang Allah murkai Ana. Mama pilih kamu sebab mama tahu kamu mampu galas semua ni. Percayalah cakap mama, satu hari berkat sabar kamu ni, Hanip akan melulut di kaki kamu Ana.” Tubuhku dipaut lembut. Erat pelukan mama menggambarkan yang dia benar-benar mengharapkan aku terus hidup di dalam rumah banglo ini menjadi teman kepada anaknya.
“Ana tak mampu, mama,” gumamku di telinganya.
“Kamu mampu. Mama akan ada sentiasa ada untuk kamu,” balas mama pula. Aku tanpa silu, terus sahaja mengalirkan airmata semahuku. Berharap agar mendung ini terus berlalu dari hidupku kerana cintaku pada si suami makin merendang dari hari ke hari.
*****
Aku sedang menonton televisyen tatkala Hanip tiba di rumah lewat malam itu. Dia selamba saja mencampakkan kotnya tepat ke wajahku. Aku tahan hati dengan perlakuannya. Sejak menjadi isterinya, kesabaranku kerap teruji dan aku bimbang andai satu hari nanti, kesabaran ini tewas oleh kesakitan yang dia hadiahkan.
“Awak dah makan?” tanyaku lembut. Sentiasa berlembut dalam segala hal. Kot yang jatuh di riba aku kutip lantas aku bangkit berdiri, lalu ku sangkut di tempatnya.
“Belum. Tak ada selera,” jawabnya lemah.
Tubuh sasanya itu dihempaskan ke atas tilam. Aku menggeleng beberapa kali. Dengan stoking tak buka. Main baring je. Langkah ku atur kemas menuju ke katil. Terlupa bahawa kawasan itu telah menjadi kawasan larangan buatku.
Stoking yang masih membaluti kakinya aku buka perlahan-lahan. Pesanan mama dan emak aku semat kemas di hati dan setiasa bermohon agar aku tidak tewas sebelum waktunya.
“Eh, kau buat apa ni? Kan aku dah larang kau dekat dengan katil aku,” marah Hanip tiba-tiba. Mata yang tadinya tertutup rapat kini luas terbuka tapi yang peliknya, dia tak pula menghalang tindakanku. Dibiarkan saja. Tidak membentak seperti selalu.
“Selagi kita sah sebagai suami isteri, Ana akan jalankan tanggungjawab Ana. Ana tak nak dosa free sebab tak layan suami dengan baik,” jawabku tenang lalu aku berlalu ke bilik air. Meletakkan stoking busuk itu ke dalam besen bersama pakaian kotor yang lain.
“Awak belum makan lagi. Nak makan tak. Kalau nak makan Ana sediakan?” tanyaku lagi selepas keluar dari bilik air. Lama aku menanti jawapan daripada dia tapi sudahnya, aku lihat dia sudah terlena.
Aku rapati almari pakaiannya. Aku capai pakaian tidurnya lalu aku kembali ke katil. Butang bajunya aku buka satu persatu. Jelas di mataku dada bidang itu. Perlahan-lahan aku angkat tangannya untuk melonggarkan kemeja tapi belum sempat aku berbuat demikian, tubuhku terlebih dahulu ditarik Hanip ke dalam pelukannya.
Terpegun dengan tindakan itu, jantungku pantas berdegap. Nafas terasa sesak tiba-tiba bila pelukan Hanip semakin kemas dan terus erat. Tanpa dapat aku menolak, aku akhirnya terlena di dalam pelukan dia buat pertama kalinya. Sentuhan lembutnya benar-benar mendamaikan. Pertama kali, tidurku lena sejak bergelar isterinya.
*****
Dinihari itu, aku bangkit sedikit lewat. Jam di dinding sudah menunjukkan jam 6.45 pagi. Hanip sudah tiada di sisi. Aku pantas bangkit setelah teringat akan diri ini yang masih terbaring di atas katil yang telah menjadi kawasan larangan buatku.
Aku tebarkan pandangan ke sekeliling bilik, tapi tiada susuk tubuh suamiku. Akhirnya mataku terpaku pada daun pintu bilik air bila telinga ini menangkap curahan air di dalamnya. Mungkin jua dia sedang membersihkan dirinya tapi tidakkah terlalu awal untuk dia bangkit waktu ini?
Sedang aku menyikat rambutku, Hanip keluar dari bilik air dengan mengenakan tuala sahaja dan aku terus berlalu ke bilik air. Malu hendak menatap wajahnya selepas peristiwa malam tadi. Yang selebihnya adalah perasaan takut semata-mata.
Selepas aku keluar, Hanip sedang duduk di birai katil. Aku tidak tahu, adakah dia sudah menunaikan Subuh atau tidak. Aku takut hendak bertanya. Takut diamuk olehnya pagi-pagi begini. Aku terus menyarungkan telekung dan menghampar sejadah lalu mengangkat takbir.
Usai mengaminkan doa, Hanip mencampakkan kemeja dan slacknya tepat ke mukaku. Aku beristighfar panjang walaupun sudah ku duga akan perlakuannya itu.
“Kenapa ni?” tanyaku lembut. Telekung aku buka lalu aku di dalam beg pakaianku yang mejadi almari sejak Muhamad Hanip membuang semua pakaianku dari almarinya dulu.
“Gosok baju aku tu. Aku nak keluar cepat hari ni. Ada site visit,” arahnya. Suaranya mendatar saja.
“Kot ya pun nak suruh gosok, tak boleh ke awak minta dengan cara baik?” tanyaku lagi. Masih cuba berlembut dengan harapan, aku mampu memenangi hatinya satu hari nanti.
“Tak cukup baik ke cara aku ni? Yang kau tu cukup baik ke senyap-senyap naik tidur atas katil semalam?” sinis Hanip.
“Ya Allah, malam tadi tu Ana tak sengaja. Semalam tu Ana….” Aku tidak mampu meneruskan kata-kata. Buat apa mahu diterangkan, pastilah Hanip tidak percaya. Sudahnya aku teruskan menggosok.
“Semalam tu Ana apa?” tanya dia sedikit mendesak.
“Tak ada apa,” jawabku tanpa memandang ke arahnya.
“Semalam tu kau memang sengaja la kan, nak goda aku? Macam tu?” Aku mengucap panjang mendengar tuduhan Hanip padaku. Wajah itu aku pandang lama.
“Kalau betul pun macam tu, tak salah rasanya. Kalau bukan goda suami sendiri, awak nak suruh Ana goda siapa?” perliku pula.
Melihatkan wajah Hanip yang tegang tiba-tiba, hatiku sedikit bimbang. Apatah lagi bila dia mula mendekat.
“Kau jangan ingat aku selera nak usik kau Ana. Aku tak akan usik benda yang aku tak suka tau. Dan kaulah satu-satunya apa yang aku tak suka tu.” Hanip memaut daguku. Pantas jua aku tepis pautan itu. Tidak rela disentuh sesuka hati oleh orang yang jijik terhadap diriku.
“Dan awak pun jangan sesekali sentuh Ana. Ana pun tak sudi disentuh oleh orang yang tak suka pada Ana,” balasku sedikit keras lalu aku letakkan hulurkan pakaiannya. Aku menggapai tudung lalu mengatur langkah mahu ke luar dari bilik. Sudah letih berhadapan depan Hanip pagi-pagi buta ni.
“Ana, tunggu!” Langkahku terhenti dengan suara Hanip. Pegangan pada tombol pintu juga kaku.
Tubuhku kalih perlahan-lahan menghadapnya dan serentak itu, Hanip melemparkan sesuatu tepat ke wajahku. Aku pejam mata seketika. Kemudian aku tunduk melihat sesuatu yang sudah berterabur di kaki.
Mataku buntang. Terkejut dengan apa yang telah aku lihat. Beberapa keping not RM50 berteraburan di kaki. Aku kemudiannya, angkat wajahku mencari wajah sinis Muhamad Hanip.
“Apa semua ni?” tanyaku pelik. Selama ini tidak pernah sekalipun aku menerima wang dengan cara itu. Andai dia berikan aku duit belanja, biarpun tidak dihulurkan ke tanganku sendiri, dia akan selitkan di atas meja solek atau di mana-mana saja yang bisa aku lihat. Tapi hari ini, berlainan sungguh. Rasa terhina pula dengan tindakan dia.
“Itu bayaran untuk khidmat kau untuk aku semalam,” ujarnya sombong.
“Khidmat? Semalam?” tanyaku tidak faham langsung dengan kata-katanya.
“Yalah. Khidmat kau semalam sebab tidur dengan aku. Sebab kita tidur je, tak buat apa-apa, so banyak tu jelah bayarannya. Kalau lebih dari tu, aku akan akan bayar lebih,” jawabnya lebih sinis.
Pedih serasa hati bila suara itu menerjah gegendang telingaku. Lebih terhina bila kata-katanya telah meletakkan tarafku sebagai perempuan simpanan pula.
“Awak cakap apa ni?” tanyaku tidak percaya. “Bayaran sebab Ana temankan awak tidur semalam? Awak nak cakap yang Ana ni perempuan simpanan awak? Atau lebih hina lagi, sebagai seorang pelacur pada suami sendiri? Macam tu?” Suaraku sudah terketar-ketar. Aku pegang dada yang terasa sesak. Airmata mengalir laju. Murah, terlalu murah harga diriku di mata Hanip.
“Kan aku dah pernah cakap, kau tu tak ubah macam kain buruk je di mata aku,” sela Hanip. Tanpa ku sedar, aku sudah melangkah mendekatinya. Kini, tubuh kami hanya terpisah beberapa inci saja.
Aku angkat dagu menyaingi wajah Hanip bila aku hanya separa dagunya sahaja. Nafasku turun naik menahan amukan perasaan yang membadai. Tergamak dia meletakkan aku di tahap yang sehina itu.
“Ana tak semurah tu. Lebih baik awak tarik balik kata-kata awak tu, Hanip!” gumamku dengan nada yang keras dan memaksa.
Dia jatuhkan wajahnya dekat ke wajahku. Hanya beberapa sentimeter saja lagi, mahu bertemu hidung dengan hidung.
“Habis tu, tak kan kau nak buat khidmat free pulak teman aku tidur semalam?” tanya Muhamad Hanip separuh berbisik dan serentak itu, penampar sulungku singgah ke pipinya tanpa ku sedar.
“Memang semalam tu salah aku, Hanip!” Kini, tiada lagi kelembutan dalam tutur kataku padanya seperti sebelum ini. Sudah puas berlembut, sudah lelah diherdik.
“Kau boleh simpan duit kau tu. Harga diri aku terlalu mahal untuk kau bayar dengan wang ringgit, Hanip,” ucapku keras bersama airmata yang berjuraian di pipi. Aku tidak perlu lama di situ untuk melihat wajah lelaki yang sudah berjaya membangkitkan rasa benciku padanya. Cukup di sini.
*****
Hubunganku dengan Hanip semakin dingin dan sepi dari hari ke hari. Subuhnya juga aku biarkan saja. Sekadar menyiapkan makan minumnya di depan mama agar wanita separuh umur itu tidak dapat menebak kepincangan rumah tangga kami yang kian meruncing. Terkoyak hatiku bila setiap kali mama katakana Hanip telah jatuh cinta padaku. Jauh panggang dari api, mama! Protes hatiku pedih.
Setelah siap menyiapkan sarapan pagi minggu, aku dan mama sama-sama duduk di kerusi bila Hanip turun dengan mengenakan dockers krim dan t-shirt hitam. Betapa hati aku melarang mata ini dari melihatnya, mataku mahu juga mengerling ke arahnya sekilas. Biarpun telah ku cambahkan kebencian terhadapnya, tewas juga kebencian itu dek rasa sayang dan cinta padanya.
“Nip nak pergi mana hujung minggu ni?” tanya mama setelah dia duduk di sebelahku.
“La, mama lupa ke? Nip nak pergi jemput mak dengan ayahlah. Kan dia orang sampai pagi ni. Nak buat kejutan pada anak kesayangan dia ni.” Hanip paut bahuku mesra. Erat pulak tu. Hendak membentak, aku tidak mahu melihat kerisauan di wajah mama.
Diri ini terkejut benar dengan apa yang telah Muhamad Hanip ucapkan tadi. Benarkah begitu? Oh, rindunya pada mereka. Sejak menjadi isteri, aku tidak pernah sekalipun dapat berhubung dengan orang tuaku.
“Betul ke apa yang abang cakap ni?” tanyaku pada Hanip. Pertama kali memanggilnya abang demi mama. Sebagai tanda hormat la konon sedangkan hatiku membara setiap kali mengingatkan peristiwa pagi itu.
“Betullah, sayang!” jawabnya pula. Hampir bertaut keningku mendengarkan panggilannya padaku. Hebat benar kamu dalam lakonan, Hanip! Tidak dapat tidak, aku berpura-pura senyum bahagia bila mama tidak lepas memandang ke arah kami.
“Seronok mama tengok kamu berdua dah berbaik. Kan betul mama cakap, Ana! Hanip ni memang dah jatuh hati pada kamu,” usik mama.
“Ni, dialah beria-ia nak mak dengan ayah Ana datang ni. Nak bagi kejutan buat Ana katanya sebab selama kahwin ni tak sempat bawa Ana balik kampung,” sambung mama lagi. Aku terus pandang Hanip di sisi yang masih memeluk erat bahuku. Pelbagai persoalan timbul di dalam kepala. Terlebih-lebih pulak dia ni berlakon.
“Ya, abang bawa mak dengan ayah tu sebab abang tahu, sayang rindukan mak dengan ayah sangat, kan?” Kata-kata Hanip telah menjawab soalanku. Dikenyitkan sebelah mata. Mama bangkit berlalu ke dapur.
Lama aku merenung anak matanya. Timbul lagi persoalan. Sedih rasanya dengan lakonan dia demi mamanya. Sedangkan dia tidak pernah tahu akan perasaan halusku padanya yang sudah sekian lama bertapak di hati.
‘Kenapa abang nak seksa Ana lagi? Tidakkah abang juga menyintai Ana? Atau benar, yang abang memandang Ana sehina dan sejijik itu? Ana cintakan abang sejak abang lafazkan akad. Tapi, kenapa abang mahu bunuh rasa cinta itu dengan meletakkan Ana sehina itu?’ Bisik hatiku semakin pedih.
Tanpa ku duga, airmata yang sedar tadi bertakung di tubir mata menitis laju. Aku tepis tangan Hanip yang masih di bahuku lalu aku berlari mendaki anak tangga menuju ke bilik. Sudah tidak mampu menatap bening mata yang banyak menipu itu.
*******
“Alhamdulillah, ayah dengan mak syukur lepas dengar berita yang kamu berdua sudah terima diri masing-masing,” ujar ayah selepas kami selesai makan malam dan sekadar duduk di ruang tamu.
“Syukurlah, ayah. Nip pun tak tau bila Nip boleh jatuh suka pada Rihana ni? Tapi, yang penting memang Hanip nak jaga Ana sepanjang hayat Nip, mak ayah,” sahut Hanip.
Semakin terkoyak hati aku dengan penipuan ini. Penipuan terhadap orang tua kami sedangkan aku tidak pernah sekalipun menipu emak dan ayahku.
“Jadi, bila lagi kamu berdua nak bagi kami cucu ni?” Pertanyaan mama bagaikan telah meletakkan garam pada hatiku yang koyak. Pedih amat!
“Yalah, Ana, Nip! Kamu berdua tu tak ada adik beradik lain. Kalau kata kamu tak nak bagi kami cucu, memang tak bercuculah kami, kan Kak Sah,” tokok mak pula. Sebolehnya aku tahan resah hati. Mempamerkan riak tenang dengan tersenyum biarpun hatiku telah menangis hiba.
Wanita manalah yang tidak mahu punyai anak sendiri selepas berumahtangga. Punyai anak-anak yang sihat dan comel menghiasa rumah tangga agar lebih lagi serinya. Membahagiakan hati orang tua dengan kehadiran cucu-cucu yang lincah dan pintar. Aku bawa telapak tangan ke perutku. Entah berpeluang atau tidak untuk aku rasai satu nyawa di dalam rahimku?
“Adalah tu rezeki kami nanti, mama, mak ayah,” janji Hanip pada mereka. Janji palsu semata-mata.
Malam itu, aku duduk berteleku di beranda. Membiarkan angin mengelus rambutku yang lepas bebas. Mungkin mama, mak dan ayah sudah lena memandangkan malam sudah merangkak tua. Aku tidak sedar bila Hanip ada di belakangku. Entah berapa lama dan tidak tahu kenapa.
“Kenapa tak tidur lagi?” tanya dia padaku.
“Aku nak ambil angin dulu.” Ya, sejak kejadian itu, akulah yang menjadi kata ganti nama diri ini setiap kali andai terpaksa berbicara dengannya. Tidak sanggup memanggilnya mesra lagi. Semakin terkoyak hatiku yang sudah sedia rabak ini.
“Dah lewat, jom tidur.” Aku memusingkan badan menghadap tubuh sasa itu. Terkejut dengan ajakannya.
“Kau tidur kat katil, aku tidur kat sofa. Jadi kau boleh tidur kalau kau nak dan aku akan tidur kalau aku rasa aku nak tidur,” jawabku tenang.
“Kau tentu dok fikir pasal tadi, kan?” tanya dia pula. Aku angkat kening. Tak tahu Hanip nampak ke tidak dalam cahaya yang suram terlindung dek langsir.
“Aku rasa, lebih baik kita tunaikan permintaan mama, mak dan ayah tu. Tak sampai hati aku nak hampakan mereka,” ujar Hanip dengan wajah yang tenang. Setenang air di kali. Tiba-tiba saja aku rasakan angin menghembus garang bila ucapan begitu terluncur dari celah bibir Hanip tanpa ku duga.
“Maksudnya, nak bagi mereka cucu? Macam tu?” Aku lihat Hanip mengangguk menjawab pertanyaanku.
“Kau tak sudi?” Aku diam saja. Tidak mampu menjawab pertanyaannya. Dalam hati detaknya sudah lain macam. Takut, gembira, bimbang dan sebagainya. Sukar untuk aku gambarkan. Tanpa sempat aku berkata apa-apa Hanip menarik aku masuk. Pintu luncur dirapatkan dan dia terus menuntun aku ke katil. Lalu kami sama-sama duduk di birai katil.
“Kalau kata kau tak sudi pun, aku akan bayar harga untuk kau mengandungkan anak aku, Ana!” ucapnya. Baru sahaja hendak ku sulam rasa bahagia, Hanip sekali lagi merobek kebahagiaan itu dengan kejam. Perkataan bayar itu benar-benar membuatkan aku terhenyak sendiri. Perlahan-lahan aku angguk setelah aku jumpa harga bayaran yang akan ku minta darinya nanti.
“Aku buat semua ni untuk orang tua kita,” bisiknya lagi ke telinga. Perlahan-lahan aku rebah dalam tangisan. Mendambakan kasih yang ikhlas dari suami tapi sudahnya, hatiku dikoyak lagi.
*****
Wajah mama, mak dan ayah aku cari dengan perasaan yang tidak sabar. Ada berita yang hendak aku khabarkan buat mereka semua. Berita yang akan membuatkan mereka bahagia dan berita yang akan membuatkan ikatan aku dan Hanip terlerai nanti.
“Ya ke, Ana?” tanya mama lalu meraih aku ke dalam pelukanya.
“Alhamdulillah,” ucap mak dan ayah hampir serentak.
“Ada juga peluang kita jadi nenek, kan Yah,” ucap mama pada mak. Mak tersenyum gembira lalu memeluk aku erat.
“Hanip dah tahu ke?” tanya ayah pula. Aku menggeleng.
“Malam karang Ana beritahu dia!” Ya, malam nanti adalah waktu untuk aku tetapkan harga untuk memberikan zuriat kepada Hanip.
Usai Maghrib malam itu, Hanip tiba di bilik dengan wajah yang suram. Penat barangkali. Aku buka telekung lalu rapat kepadanya yang sedang duduk di birai katil.
“Aku ada perkara nak cakap ni, Hanip,” tegurku perlahan. Sedangkan tadi aku temui kekuatan tapi kini, kepedihan pula mengiringi kata-kataku. Rasa tercalar dengan keputusanku sendiri.
“Dah sampai masanya aku letakkan harga untuk kandungan ni,” sambung aku tanpa sempat Hanip berkata apa-apa. Dia bingkas bangun.
“Ana mengandung?” Bahuku dipaut dengan raut yang teruja. Aku angguk perlahan.
“InsyaAllah 6 bulan lagi bayi ni akan lahir. Dan waktu tu aku nak tuntut janji kau pada aku. Aku dah tetapkan harga untuk semua ni seperti mana yang kau pernah katakana dulu!” Aku lihat Hanip tercengan dengan kata-katanya.
Aku tidak pasti, sedihkah dia? Kecewakah dia dengan kata-kataku? Tapi yang pasti, aku sudah dihambat pilu. Tidak sanggup rasanya menuturkannya. Rasa sayang kepada anakku ini terlalu menebal.
“Apa yang Ana cakap ni?” tanya dia lagi.
“Kau pernah cakap akan bayar aku kalau aku sudi mengandungkan anak kau. Aku tak nak wang ringgit kau, Hanip. Sebab pernah aku kata, harga diri aku terlalu mahal untuk kau bandingkan dengan wang ringgit,” ujarku lagi.
“Habis tu, Ana nak apa?” Aku pejam mata mendengarkan tutur katanya padaku. tersayat hati mendengarkan lunak mesra suara itu menyebut namaku setelah hubungan kami hampir kepada perpisahan. Aku hela nafas panjang. Tidak mahu terpedaya dengan kata-kata manis lelaki yang bergelar suami.
“Aku nak kau bayar aku dengan sebuah penceraian.” Aku terus berlalu keluar bilik setelah menuturkan perkara itu padanya. Anak mataku sempat melihat Hanip yang sudah longlai jatuh ke permaidani. Kecewakah dia? Aku tidak tahu. Satu yang pasti, aku sedang melakukan dosa. Ya, Allah! Ampuniku. Bawalah sinar harapan buat kami. Doaku di dalam hati.
******
Hari berganti berganti minggu, minggu berganti bulan. Layanan Hanip padaku sudah terlalu mesra. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Hendak bertanya, aku tidak berdaya hendak bersuara. Takut andai airmata saja yang mengalir. Sudahnya, aku membuat telahan sendiri yang dia menjagaku kerana anak di dalam kandunganku yang akan menjengah ke dunia bila-bila masa saja dari sekarang.
Lewat malam itu, saat aku mahu bangkit untuk menunaikan solat sunat, aku dapat rasanya cecair hangat sedang mengalir dari celah peha. Aku nyalakan lampu sisi dan sungguh. Terkejut bukan kepalang bila melihatkan air jernih itu sedang mengalir laju. Air ketuban pecah! Aku goncang bahu Hanip yang sedang lena di sofa.
“Hanip bangun! Air ketuban dah pecah ni. Rasanya nak bersalin dah ni.” Dia pantas bangkit setelah mendengar kata-kataku. Dalam keadaan kelam kabut, tubuhku dicempungnya.
“Nak ke mana ni?” tanyaku sambil menahan sakit yang mula menggigit.
“Nak ke hospitallah,” jawabku kalut.
“Barang-barang tak ambil lagi ni.”
“Abang dah ready semua dalam kereta dah.” Aku terpegun dengan kata-katanya. Bukan kerana barang-barang yang telah disiapkan di dalam kereta tapi perkataan abang itulah yang mengusik naluriku sebagai isterinya. Pertama kali dapat ku rasakan keikhlasan dalam sebutan itu.
“Mama, jom ke hospital. Ana dah nak bersalin ni,” laung Hanip sambil langkahnya menuruni anak tangga dengan penuh hati-hati.
“Sabar, ya sayang! Tahan dulu tau,” ujarnya semakin gelabah. Airmataku menitis. Tersentuh dengan panggilannya. Tapi, untuk apa semua itu? Bila kami bakal berpisah sejurus bayi ini lahir kerana itulah perkara paling bodoh dan hina yang telah aku minta untuk diri sendiri.
*******
Tubuh sasa Hanip yang mendekat aku renung dengan pandangan yang masih lemah. Melahirkan bayi yang seberat 3.8 kg benar-benar membuatkan tenagaku tiada berbaki.
“Terima kasih, sayang!” Dia mengucup dahiku lembut. Airmataku menitis laju. Pedih dengan perpisahan kami setelah debunga bahagia mula pecah untuk kami nikmatinya.
“Kenapa buat Ana macam ni?” tanyaku yang sudah tersedu sedan.
“Abang buat apa? Abang ucap terima kasih je sebab Ana sudi lahirkan zuriat untuk abang,” jawabnya dengan wajah yang polos. Dia senyum lagi. Pertama kali melihat dia senyum begitu benar-benar membuatkan hatiku dihambat hiba.
“Kenapa layan Ana macam ni bila Ana minta perpisahan?”
“Bila masa abang nak berpisah dengan Ana?” tanya dia pula. Jemariku diraih lalu dikucupnya lembut.
“Tapi…” Suaraku mati bila Hanip meletakkan jarinya di bibirku.
“Kan abang dah pernah cakap dulu. Abang haramkan Ana cakap pasal cerai dengan abang. Lagipun, abang memang jatuh cinta pada Ana lama dulu dah. Bukan sebab mak, ayah dan mama baru abang usik Ana. Tapi, sebab tanggungjawab abang pada Ana yang dah lama abang biarkan,” ujarnya lembut. Sekali lagi bibirnya singgah ke dahiku.
“Memang abang nikahi Ana sebab jawatan abang dalam syarikat papa. Tapi, satu hari tu, abang mula sedar yang abang dah jatuh cinta pada isteri sendiri. Memang betullah pilihan yang mama buat untuk abang dan memang syarat arwah papa itu adalah yang terbaik untuk abang,” sambungnya lagi.
“Bila?” tanyaku bersama tangisan. Dalam hati, sudah mula terasa bahang kebahagiaan yang akan menghiasi rumah tangga kami.
“Saat kali kedua abang hampir tampar Ana dan maafkan abang sebab pernah tampar pipi putih gebu ni.” Hanip mengelus pipiku lembut.
“Pertama kali merenung isteri abang ni dalam telekung putih lagi suci itu dengan airmata yang berjuaraian, benar-benar membuatkan abang berpijak di bumi nyata.”
“Tapi, kenapa lepas tu abang layan Ana macam…”
“Sekali lagi abang minta maaf, sayang! Abang terpaksa buat semua tu. Malam tu memang abang sengaja tarik Ana tidur dengan abang. Hanya Allah sajalah yang tahu, hentakan dada abang malam tu. Nak je sentuh Ana tapi abang tak nak tewas. Sebab tulah esoknya abang cakap macam tu pada Ana. Semata-mata nak kita makin jauh. Bila mama cakap pada Ana yang abang dah jatuh cinta pada Ana tu semuanya betul. Abang awal-awal dah mengaku pada mama sebab tu mama pujuk Ana supaya tak paksa abang lepaskan Ana. Bila, mak dan ayah datang. Tu semua rancangan abang bila abang cerita pada mereka tentang kita selama ni. Mereka sudi nak tolong dan sumpah, malam tu, abang sentuh Ana dengan penuh rasa kasih biarpun abang cakap nak bayar Ana untuk semua tu!”
Bicara Hanip panjang lebar aku dengar dengan rasa yang tida terduga. Betapa dia turut menyintaiku tapi aku langsung tidak dapat menelah perasaannya malah sanggup pula meletakkan syarat demikian tanpa memikirkan kesannya pada anak kami. Aku terus menghamburkan tangis bila tubuhku dipaut mesra ke dalam pelukannya. Menyatakan rasa cinta dan sayang yang makin menggebu dalam diri masing-masing.
“So, boleh tak Ana maafkan abang?” tanya dia selepas pelukan terlerai.
“Ana dah maafkan tapi abang jahit balik hati Ana,” ujarku berjenaka. Ada senyuman nakal dibibirku biarpun airmata masih menitis perlahan-lahan.
“Sebab?” Wajah suamiku berkerut seribu.
“Abang yang koyakkan!” jawabku. Hanip ketawa terbahak-bahak.
“Abang tak ada benang ni. Tapi, tak apa. Abang jahit dengan dawai nak? Bagi kejap sikit. Nanti taklah koyak lagi,” usik dia lagi. Aku muncungkan bibir. Geram dipermainkan. Tubuhku sekali lagi disapa mesra ke dalam pelukannya dan aku membalas pelukan itu erat dengan senyuman yang menghiasi bibir. Benar kata mak, jodoh yang baik ini tak akan datang dua kali biarpun agak getir untuk aku kecap kebaikannya.
“Yah, nampaknya kita akan dapat cucu lagi la nanti. Tengok budak Hanip ni tak sabar dah nak terkam bini.” Wajahku merona merah dek usikan mama yang entah bila tiba di pintu bersama ayah dan emak dengan menolak dua buah baby cod.
“Nampaknya begitulah kak,” sampuk emak diselangi tawa ayah yang berdekah-dekah. Aku tolak tangan Hanip yang masih memelukku. Malu diusik begitu oleh orang tua kami.
Wajah bayi kembar yang sudah hampir di sisiku itu, aku tatap penuh kasih. Pertama hati ibu dan papa. Bisik hati ini penuh rasa syukur. Aku pandang Hanip dan anak-anak kami silih berganti.
“Hebat tak abang?” soalnya separuh berbisik. Aku terus menyiku perutnya. Menyeringai wajahnya menahan sakit barangkali. Itulah, pepandai mengusik lagi. Serentak itu tawa mama, mak, ayah dan suamiku meledak.
Aku renung wajah mereka silih berganti. Bahagia tidak terhingga dengan kurniakan yang Allah berikan buat kami.
“Abang tak akan biarkan hati Ana koyak lagi,” gumam Hanip ditelingaku. Aku mengangguk membalas kata-katanya. Hanya satu perkataan yang mampu hati ini ungkapkan sekarang. Alhamdulillah!!

***TAMAT****

Nilai kebahagiaan dan harga diri itu tidak akan dapat dibayar dengan segunung intan, selaut pertama, selembah nilam sekalipun. Keikhlasan dan kasih sayang itulah yang akan membuatkan kebahagiaan itu lengkap dengan izin-Nya. Jangan kerana ego, kita robek hati kita dengan tangan sendiri hinggakan rasa cinta yang pernah hadir itu berlalu begitu saja. Tanpa sapaan dan tanpa salam. Salam sayang dari saya buat semua pembaca. ~~~~> RM

20 comments:

  1. anis.. psstt.. hehe

    ReplyDelete
  2. Akak,dah baca dah..wah gempak.
    best citer nie..hepi ending..dapat twin lg ea...hehehe

    ReplyDelete
  3. wahhhhhhh.....bgos3...ske....nk lg....hehehe~

    ReplyDelete
  4. suke cara ana..sebb die kuat melawan hahaha

    ReplyDelete
  5. saya ketawa ketika menatap baris2 pertama cerita ini...saya termenung penuh tandatanya pada pertengahan cerita...dan kesedihan sedikit demi sedikit menjengah hingga sepertiga cerita....di penghujung cerita saya terkesima dengan emosi sedih dan gembira yang berbaur...RM sgt bijak memainkan emosi khalayak pembacanya..tahniah..

    ReplyDelete
  6. wuaaaa !! BEST GILERRR !! thumbs up cik writer :D

    ReplyDelete
  7. tea cite sama tp stll teresting...hehe bes!

    ReplyDelete
  8. wah...terharu dgn ktabahan Ana..akhirnya kebahagiaan menjelma dihati...sukses buat kk Rehan...

    ReplyDelete
  9. h-h dh baca kat novel kwn thn lps.. interesting.. ^-^

    ReplyDelete
  10. perghh!!!mmng best coi...-iezahtakuya

    ReplyDelete
  11. wah siok nya citer ni trbaik lh hihi

    ReplyDelete
  12. wowww....daebak la cter akak nih...saya suka sangat2

    ReplyDelete
  13. wowww....daebak la cter akak nih...saya suka sangat2

    ReplyDelete