Wednesday, August 24, 2011

Terlerai Kasih 16, 17


BAB 16

LAMBAIAN Fara benar-benar membuatkan hatiku sebu. Kepergiaannya bukanlah untuk tidak kembali tapi entah mengapa sukar untuk aku menerima keputusan yang Fara muktamadkan demi masa depannya.
Minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan telah membawa dia jauh ke hulu Long Pasia di Sabah Borneo. Emaknya teresak-esak di bahuku saat kelibat Fara mula menjauh dari pandangan kami dan aku sendiri bagaikan mimpi yang sahabat itu telah jauh dari sisi.
Mungkin sudah tiba masanya aku melangkah sendiri tanpa sokongan temanku itu. Tidakkah selama ini aku bersendiri sebelum wujudkan Fara dalam hidupku? Semoga kau mendapat kehidupan yang lebih baik di sana, Fara. Desis hati ini pilu.
“Aku berani potong jari, dia cintakan kau!”
Masih berdengung rasanya bisikan Fara padaku sebelum dia masuk ke balai berlepas sebentar tadi. Aku hanya diam menjadi pendengar yang setia. Cinta? Satu perkataan yang sudah hampir hilang dari kamus hidupku.
“Fazlee dan kejadian malang dalam keluarga kau adalah masa lalu yang dah jauh kau tinggalkan. Pandang ke depan. Biarpun jatuh, bangkitlah semula. Sebab, selama ni, kau begitu kuat untuk aku papah. Cuma tak salah bila sesekali kita berkongsi. Am is your right path! Trust yourself!”
Benarkah kata-kata Fara? Yakinkah aku untuk maju setapak lagi? Ya Allah, andai ini adalah anugerah dari-Mu, kau titipkanlah keyakinan buatku dan bawalah pergi kesakitan itu dariku. Kala ini, aku amat merindu emak dan Kak Anah serta arwah ayah.

Am mengatur langkah kemas ke arahku yang sedang bersandar pada sebatang tiang. Dari jauh, aku dapat lihat ada keikhlasan pada dirinya. Dulu juga aku nampak keikhlasan dalam diri Fazlee tapi sudahnya, mata ini jelas menipu. Am nampak sedikit tergesa-gesa mendapatkanku. Di tangannya, dia menjijit dua gelas bercop Starbuck.
“Jauh termenung?” tegur Am lantas menghulurkan salah satu gelas Starbuck itu kepadaku. Bau haruman mocha semerbak menerjah deria bauku. Aku menyisip mocha ais di tanganku. Rasa dahaga hilang serta merta.
“Fikir apa?” soal Am kemudiannya. Aku menentang renungannya.
“Teringatkan keluarga!” jawabku jujur.
“Keluarga?” Soalannya jelas menunjukkan yang dia tidak mempercayai jawapanku. Aku mengangguk. Benar aku merindu mereka. Sesungguhnya rindu.
Terngiang-ngiang pesan emak saban masa. Meminta aku meleraikan dendam yang sudah lama tersimpul rapi dan saat ini aku bersungguh-sungguh mahu melepaskan segalanya. Aku sedang berusaha keras. Tak sudah bermohon pada Yang Maha Kuasa agar menuntun hati ini ke jalan yang benar. Tanpa dendam dan tiada kebencian.
Sesungguhnya, aku mahu menoktahkan segala kepahitan yang aku tanggung selama ini. Aku mahu memaafkan dan dimaafkan. Aku mahu melepaskan segala pergi. Aku lelah dikejar kepahitan cinta Fazlee dulu dan aku juga makin lelah menidakkan rasa cintaku pada lelaki di depanku kini.
Fitrah manusia memang begitu. Rasa ingin disayangi dan menyayangi itu tetap ada biarpun berkali-kali hati dan perasaan ini ditoreh luka. Hanya perkataan serik saja yang sentiasa digalas bagi sesetengah orang termasuklah aku.
Terbayang wajah emak dan Kak Anah yang sedang tersenyum kepadaku dan aku membalas senyuman mereka di luar sedar.
“Kenapa senyum?” soal Am pelik. Aku memandang lelaki di sebelahku ini. Terlupa seketika akan kewujudannya.
“Tak ada apa,” jawabku menyembunyikan perkara sebenar. Am memegang kedua belah bahu dan membawa aku menghadapnya. Aku pantas mengelak. Tidak sudi benar diri ini diperlakukan macam patung bernyawa yang tiada berharga.
Berani sungguh dia memperlakukan aku begitu. Adakah dia sudah sedar akan perasaan halus dalam diriku yang sememangnya untuk dia sehinggakan dia yakin yang aku tidak akan membantah tindakannya? Tapi dia silap kerana diri ini bukan untuk dicuit sesuka hati. Wajahnya jelas berubah walaupun pada akhirnya dia mengukir senyum. Terpaksa atau rela aku tidak tahu.
“Kenapa Nur Wafiah ni suka berahsia?” soal Am lembut. Kala ini wajahnya tampak polos benar biarpun raut wajah yang tidak berapa terurus.
“Tentang apa?” Soalannya ku balas dengan soalan.
“Tentang segalanya!”
“Segalanya?” Aku mengerutkan dahi tanda tidak faham.
“Kenapa?”soal Am lagi dan kali ni sedikit keras.
“Kenapa Nur Wafiah suka berahsia sangat?”
“Maksudnya?” Aku menjungkitkan kening. Entah berapa kali Am mengeluh mendengarkan soalannya bersambut dengan soalan lagi.
Hatiku ketawa. Aku senang membuatkan dia separuh sasau begitu. Cinta pandang pertama seperti yang Fara nyatakan. Betapa yakin dia yang Am menyintaiku dan hari ini merupakan satu kebetulan yang tersangat indah.
“Lain yang difikir, lain yang Nur Wafiah beritahu. Lain yang hati rasa, lain yang Nur Wafiah zahirkan! Menidakkan segala yang sememangnya kenyataan.”
Aku ukir senyum tipis tanda faham dengan kata-katanya.
“Mana ada berahsia. Kenapa tuduh saya macam tu?”
“Am tak tuduh tapi Am tanya!”
Aku ketawa. Suaranya menyapa mesra ke peluput telinga bila dia membiasakan dirinya sebagai Am.
“Okay, sorry! Salah tafsir pulak!”
“Soalan tadi masih belum berjawab, Nur Wafiah!” ulang Am dengan suara yang ku kira dia sengaja lunakkan. Aku tergoda.
“Tiada jawapan untuk soalan tu, awak! Macam mana saya nak jawab?”
Am melepaskan keluhan berat dengan sikapku yang bagaikan tarik tali dengannya.
Benar aku turut menginginkannya tapi biarlah dia melepasi beberapa fasa dulu. Bukan niat untuk menguji, tapi sekadar ingin melihat kesabarannya dalam meraih hatiku.
“Dingin, kan?” Soalan itu pernah diajukan padaku dulu dan hari ni apakah yang tersirat di sebalik kedinginan itu sedangkan matahari terang membahang.
“Apa yang dingin?”
“Nur Wafiah binti Abdul Wahid!”
Keningku terjungkit lagi demi mendengar nama itu. Andai dulu aku tidak selesa apabila sebaris nama itu disebut-sebut tapi hari ini aku bangga membawa nama arwah ayah ke mana saja aku pergi.
Kerana kaulah aku kembali merindui arwah ayah, kerana kaulah aku mula menyusuri di landasan takdir! Getus hatiku sendiri. Perkara yang berlalu biarlah aku kuburkan saja di pusara yang tidak bernama, jauh sekali untuk memberi peluang pada Am mengetahuinya.
“I am talking to you, Nur Wafiah!” tegas Am bila aku sekadar buat tidak tahu dengan soalannya tadi.
Aku memusingkan badanku menghadap tubuhnya sekali lagi lantas ku hadiahkan dia sekuntum senyuman yang ku rasa paling manis. Semoga dia mengerti akan kesediaan hatiku untuk menyintainya. Aku lihat Am telan liur.
“Masih terlalu awal usia perkenalan kita untuk saya beritahu semua itu pada awak!” jawabku dengan sedikit ketegasan.
Am mengeluh lagi dan kali ini dia meraup wajahnya yang tampak kecewa.
“Masa perkenalan tu terlalu pentingkah untuk, Nur Wafiah?”
Aku diam. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak. Melayang saja fikiranku kepada kata-kata Fara tempoh hari.
Mungkin benar masa perkenalan tidak penting? Jawapannya jelas bila aku dengan Fazlee, bertahun bercinta akhirnya hancur jua di tengah jalan.

BERKALI-KALI aku menolak pelawaan Am untuk menumpangkan aku dan akhirnya aku terpaksa mengalah bila Am mula memeluk bahuku di tengah-tengah khalayak ramai. Memaksa aku menuruti langkahnya.
Rasa ingin di tampar sahaja wajah yang tersenyum bangga bagaikan merai kemenangan kerana mampu membuatkan aku mengikut kehendaknya. Am menolak sedikit tubuhku yang kaku di depan pintu penumpang Honda Civic Vtec putih mutiara itu.
“Jangan degil, Nur Wafiah! You better hop in. Panas sangat dah ni. Nanti tak pasal-pasal, Am meletup Nur Wafiah kena firework pulak!” ugut Am padaku yang masih membatukan diri.
Ewah, mentang-mentang aku berlembut, kau nak ambil kesempatan pulak! Marahku di dalam hati.
Inilah yang membuatkan aku terus mendidik diri menjadi sekeras kerikil, tidak mahu diambil mudah oleh sesiapa seperti yang telah berlaku pada emak dan Kak Anah.
“Tengok tu! Orang suruh awak masuk, bukan suruh awak melongo macam kera duku!” marah Am tiba-tiba.
“Kera duku?” Aku ketap gigi.
“Berani-berani awak kata saya kera duku ye? Habis tu awak tu apa? Kera langsat?” bentakku marah.
Am ketawa. “Elok dah tu, Wafiah kera duku, Am kera langsat, esok-esok boleh bukak gerai jual buah-buahan tempatan, duku dan langsat! Nak tak?” guraunya.
Hatiku bengang. Aku serius memarahinya dan dia bagaikan menerima amarahku sebagai satu gurauan.
“Wafiah marah, ya? Sorry, okay?” pintanya.
“Sorry-sorry naik feri la. Suka sangat minta maaf. Jangan selalu macam tu, nanti maaf awak tu tak laku satu hari nanti. Mengata orang, lepas tu minta maaf. Lepas tu buat salah lagi, lepas tu minta maaf lagi! Lain kali nak mengata orang, fikir dulu kat sini!” marahku sambil jari telunjuk menekan sisi kepala sendiri.
Biar dia rasa. Ada akal pakai la, kawan! Bentak hati. Teringat pula pada kata-katanya saat pertama kali kami bersua dulu. Huh, geram sungguh!
“Kalau pasal dulu tu, Am dah minta maaf, kan?!” ujarnya bagaikan dapat membaca fikiranku.
“Lagipun Am tak nak naik feri sebab Am ada kereta je. Feri tak ada! Nak naik feri, nanti kita ke Penang, tak pun Langkawi. Boleh honeymoon sekali!”
Aku membulatkan mata. Dia meledakkan tawa. Aku mencebik geram. Tidak putus-putus dengan gurauannya. Menyampah betul melihat wajah yang tersengih bagaikan tidak bersalah itu. Dalam pada rasa menyampah itu, terselit jua satu rasa yang ku rasakan sukar untukku menidakkannya.
“Kalau tak ada feri tak apalah, saya boleh balik naik ERL. Lagi cepat daripada feri!” bidasku lantas melangkah cuba menjauh daripadanya.
Belum sempat aku melangkah, Am terlebih dahulu menghalang langkahku dengan tubuh sasanya.
“Jangan degil, Nur Wafiah! Dahla panas terik ni. Jangan buat Am berkeras dengan Wafiah boleh tak?” pujuknya lembut. Renungan matanya tajam menikam bola mataku.
Tubuhku sekadar tidak berganjak. Tidak mahu tewas dengannya kali ini biarpun sudah berkali-kali aku kalah oleh panahan sepasang mata kuyunya. Rupanya hati ini sudah tidak menjadi kerikil lagi. Hatiku mengeluh sendiri.
“Masuk!” paksanya lagi dalam nada yang memujuk dan aku tidak dapat tidak, terus sahaja mengikut rentaknya.
Pandangan mata Am membuatkan aku tewas jua. Sikap tenangnya biarpun sesekali ada jua angin pasang itu membuatkan aku hanyut oleh arus degupan jantung yang berombak resah.
Alang-alang orang dah nak bagi tumpang, apa salahnya. Jimat duit, jimat masa, jimat tenaga, penat pun tak! Pujuk hatiku dalam pada menahan angin pasang yang sudah berdengung di dalam kepala.
“That’s better!” ucapnya gembira.
Hai, dalam sekelip mata moodnya boleh berubah-ubah. Am mengambil tempat dan keretanya terus meluncur laju membelah jalan raya yang lengang.
“Diam je?” ujar Am bila aku sendiri tidak bersuara.
“Tak ada apa!” jawabku tanpa menoleh. Am mengeluh.
“Nur Wafiah ni kenapa? Marah Am sebab Am paksa awak, ya?”
Kali ini aku menoleh padanya, menatap wajahnya dari sisi. Wajah maskulin itu terserlah ketampanannya dengan wajah yang dihiasi hidung mancung dan sepasang mata redup yang dihiasi alis yang hitam dan tebal.
“Kenapa awak suka panggil saya Nur Wafiah?”
Am diam untuk beberapa ketika sebelum mengerling sekilas ke arahku.
“Kenapa soalan Am mesti dijawab dengan soalan?” rungut Am jelas kecewa.
Aku sendiri tidak pasti mengapa aku mesti bersoal jawab dengannya. Sedari tadi, soalan yang ditanya, ku jawab dengan soalan.
“Kenapa, ya?” tekanku masih bertegas dengan soalan tadi. Mengharapkan jawapan dan bukan lagi soalan.
“Tengok tu!” marah Am dan dia terus membiarkan soalanku itu tergantung tanpa jawapan.
“Well, just asking! No need to answer!” Aku kembali menatap deretan kelapa sawit yang ada di kiri kanan jalan raya.
“Nama itu kan doa, Nur Wafiah! Lagipun itu memang nama Wafiah, kan?” Suara Am memecahkan kesunyian di antara kami.
“Wafiah ni maksudnya menetapi janji. Bila Am panggil Nur Wafiah… Nur Wafiah… maknanya Am mendoakan Wafiah supaya menjadi orang yang sentiasa menetapi janji. Bukankah menetapi janji itu salah satu sifat baik orang Islam dan memungkiri janji itu adalah sikap golongan yang munafik!”
Aku tergamam mendengar hujah daripada Am. Emm… calon yang baik untuk dibuat suami.
“Am mendoakan Wafiah supaya sentiasa menjadi orang yang sentiasa berpegang pada janji dan minta dijauhkan dari tergolong di kalangan mereka yang munafik!” sambungnya tenang.
Sesungguhnya aku tidak dapat berkata-kata. Indah sahaja suara itu menerjah ke gegendang telingaku. Rasa sejuk jiwa ini bagaikan disirami oleh embunan di pagi hari.
“Kenapa diam?” soal Am kemudiannya. “Your question already answered and now your turn!”
“Soalan apa ek?” Aku tersengih pada Am yang menjeling ke arahku.
“Lupa ke buat-buat lupa?” Suara Am sinis.
Sungguh, aku sememangnya terlupa. Terlalu banyak soalan yang diajukan padaku dan terlalu banyak pula jawapan yang berbentuk soalan.
“Banyak yang awak tanya? Yang mana satu?” ujarku membela diri.
“Untuk hari ni, Fiah jawab satu je dulu dan soalannya ialah, adakah masa perkenalan tu penting bagi Fiah dalam menjalinkan satu hubungan yang lebih dari seorang kawan?”
Aku mencebik bila soalan itu Am atur kemas. Macamlah aku ni tak sekolah sampai dia mengatur ayat itu bagaikan cikgu tadika yang sedang mengajar anak-anak 5 tahun.
“Hai, dah dipendekkan pulak nama saya tu? Tadi kata doa?” ejekku bila terdengar dua suku kata akhir namaku menjadi sebutannya. Rasa indah pula nama itu. Terasa lain bila dia menyebutnya. Sama macam emak dan Kak Anah memanggilku.
“Entah, tiba-tiba terkeluar dengan secara kebetulan! Tapi ok jugak tu, cantik apa? Lagipun Am sentiasa mendoakan Fiah!” balasnya semakin mesra.
“Yalah kot,” selaku malas biarpun dalam hati aku suka dengan panggilan baru itu dan ianya terlalu istimewa pada pendengaranku bila ianya terbit dari lelaki ini.
“Jawablah soalan!” rengeknya mengada-ngada.
“Awak mahu jawapan yang kenyataan ke yang wayang punya?” gurauku.
“Tengok tu, soalan lagi!” Am merungut sambil menggeleng kepalanya. Aku meledakkan tawa yang sedikit kuat bila Am memuncungkan mulutnya.
“Dah puas ketawa?” ujar Am sinis saat aku mengesat hujung mataku dengan tawa yang masih bersisa.
“Answer me, now! Yang kenyataan!” desaknya serius.
Aku menarik nafas dan berdehem beberapa kali membetulkan nada suara yang sedikit serak akibat tawa yang panjang sebentar tadi.
“Dulu…” Aku memulakan bicara selepas keadaan tenang kembali.
Tiada lagi tawa, yang kedengaran pada pendengaranku hanyalah hembusan nafas Am yang agak keras turun naiknya.
“… saya percaya yang masa perkenalan itu sangat penting dalam sesuatu hubungan antara adam dan hawa. Demi masa yang berlalu, kita akan lebih mengenali pasangan kita! Baikkah dia, burukkah dia? Adakah keburukannya mengatasai kebaikan ataupun sebaliknya? Tapi, itu dulu!” Suaraku terhenti di situ dan mendongakkan pandanganku jauh ke dada langit.
Bercerita soal begini, bagaikan mengundang kenangan pahit bersama Fazlee. Ah, Am tidak pernah tahu. Kenyataan yang dia inginkan akan menggores luka lama yang baru hendak sembuh.
“Dulu?” Sepatah soalan Am mencantas ingatanku pada Fazlee. Dia menjungkitkan hujung kening meminta aku meneruskan ‘kenyataannya’.
“Dulu, ya! Tapi sekarang, saya mula sedar yang waktu perkenalan itu tidaklah sepenting yang saya rasakan dulu andai dah tertulis di landasan takdir yang kita akan mengenali pasangan kita selepas diijabkabul!” Aku menelan liur. Menghela nafas mencari kekuatan untuk meneruskan kata.
“Bertahun bercinta pun tak semestinya kita akan mengenali hati budi pasangan kita. Selagi kita tidak duduk serumah, selagi tidak tidur sebantal, selagi itulah sikap sebenarnya tersorok dari pandangan mata yang sentiasa tertipu oleh cinta!”
Aku mengetap bibir menahan hati yang sudah mula sebak. Pertemuan dengan Fazlee tempoh hari kembali terlakar di benakku. Di saat aku inginkan episod duka itu berlalu, kala ini juga Allah mendugaku. Membawa wajah Fazlee terus ke depan mata.
Kali ini, aku tidak mahu tewas dengan dugaan. Benar kata emak, andai dulu aku tidak pernah tewas, kenapa hari ini aku mahu tewas oleh permainan perasaan? Aku harus tabah, aku harus meleraikan segala dendam yang sudah lama bersarang di kalbu.
Aku jua berhak memiliki bahagia. Biarpun tidak datang bergolek, dan tak hadir melayang, akan ku cari bahagia itu untuk menjadi milikku.
“Neither do I!”
Aku tersentak. Lantas ku kalih pada raut wajahnya yang masih terpaku di jalan raya. Rupanya Am masih pada topik tadi. Diamnya tadi sebenarnya berisi. Pemanduannya tampak tenang namun gelora jiwa tiada siapa tahu.

...bersambung ....

5 comments:

  1. kdg2 kita pun x pasti dengan hati budi sendiri ^^

    ReplyDelete
  2. Setuju.Kadang2 kita sendiri payah nak kenal pasti kehendak kita apatah lagi orang lain. Hanya Allah saja Maha Mengetahui. thanks for spending ur time to read my story..

    SICK ~~ R.M

    ReplyDelete
  3. ala yang entry sblomni tak bole baca.kak RM do sometnhg please

    ReplyDelete
  4. salam..hheheh..xdpt la bc entry sblum nie..tapi pape pun best..hehehe

    ReplyDelete
  5. Terlerai kasih ni sama ke dengan cerpen ketawa airmata itukah cinta?

    ReplyDelete