Friday, September 30, 2011

Terlerai Kasih 31, 32, 33

BAB 31

USIKAN demi usikan dan ucapan tahniah yang ku terima daripada teman-teman pejabat selepas menerima kad jemputan dariku bagaikan tidak berbekas di hati. Senyumku hambar. Peristiwa seminggu sudah sentiasa terbias di mata. Aku dihimpit dosa pada Am akibat perbuatan Fazlee.
Senyuman pada bibir Suraya dan Fariza bagaikan tidak sudi menerima kad undangan itu. Semakin jelas, semakin ketara kejengkelan mereka padaku hinggakan Sharul dan Encik Azhan turut sama merasai renungan mual mereka padaku.
Berkali-kali ku pujuk hati agar terus sabar. Allah sentiasa bersama orang sabar dan tidak cukup sekadar mengaku kita beriman sedangkan kita masih belum diuji. Itulah pesan emak andai aku merungut sesuatu yang menyakitkan hatiku.
Dalam waktu itu juga, aku dan Am tidak sempat bersua mata bila kami masing-masing sibuk dengan tugas pejabat. Hanya panggilan telefon dan SMS yang menghubungkan kami dalam waktu itu.
Sesekali, dapat ku rasakan kemesraan Am sedikit pudar tika kami berbicara. Tiada lagi gurauan, tiada jua suara mesranya. Ada masanya bagaikan tidak menyempat untuk memutuskan talian. Hatiku sayu. Semakin menghampiri tarikh keramat itu, semakin Am menjauhi. Tidak mahu terus dihinggap perasaan curiga, aku sekadar menerima alasan kesibukannya.
Aku menyandarkan kepala pada kerusi. Mujur sahaja semua kerja telah aku selesaikan dan Encik Azhan telah meluluskan cutiku hujung minggu ini. Telefon ku gapai lantas nombor telefon rumah keluargaku, aku tekan pantas. Selepas beberapa kali deringan, suara emak jelas di hujung talian. Salam aku hulurkan mesra.
“Fiah minta maaf mak sebab tak dapat nak balik membantu. Fiah rasa masa terlalu singkat,” beritahuku pada emak selepas dia menjawab salam.
“Mak faham. Memang masa suntuk tapi Alhamdulillah semua yang dekat kampung mak dah siapkan. Tempahan makanan, khemah, pelamin pun Kak Anah dah uruskan. Seperti yang Fiah minta. Kad pun mak dengan Kak Anah dah edarkan! Tunggu masa je, nak,” jelas emak gembira.
Aku tahu emak bahagia dengan pernikahanku. Tapi aku, terasa semakin kelam masa depan bila Fazlee tidak sudah-sudah memburuku ditambah pula dengan sikap dingin Am yang tiba-tiba, semakin membuatkan jiwaku walang.
“Terima kasih, mak! Minggu depan insyaAllah Fiah balik. Bos dah luluskan cuti dua minggu. Fiah rindu mak!” luahku dengan suara yang sebak.
Sungguh aku merindu emak. Tatkala ini, aku mahukan bahu emak untukku sandarkan kepala yang sarat dengan masalah.
“Manja-manja ni kenapa?” Aku diam tidak menjawab.
“Fiah tak ajak Faralina ke?”
“Sudah mak. Fiah hantar kad kepada keluarga dia. Fiah pun dah poskan kepada dia tapi Fiah tak boleh nak jamin sampai ke tidak. Mak bukan tak tahu, Fara tu memang dah masuk planet lain!” gurauku pada emak diselangi tawa halus.
Tawa yang ku buat-buat untuk melindungi resah hati yang tidak berkesudahan.
“Eh budak ni. Tak baik cakap macam tu, Nur Wafiah!” tegas emak melarangku.
“Mak ni, Fiah bergurau jelah!” Aku ketawa lagi. Dengusan halus emak kedengaran sayup di telingaku.
“Kamu tu dah nak jadi isteri orang. Tak lama lagi nak jadi mak orang! Cuba jangan nak bergurau macam budak-budak lagi. Bergurau je kerja dia!” Omelan lembut emak sekadar membuahkan tawa padaku.
“Iyalah mak! Fiah nak keluar kejap mak. Nak ke pejabat Am. Nak bagi kad dia ni. Fiah tak bagi lagi. Tak sempat!”
“Baiklah, nak! Jaga diri baik-baik. Mak sayang Fiah!”
Ucapan akhir mak sedikit sebanyak dapat menghalau resah hatiku buat seketika. Biarpun bersifat sementara, aku tetap lega mendengar kata-kata sayang daripada emak.

Niatku untuk memberi kejutan pada Am akan kehadiranku lebur tatkala anak mataku menangkap sesusuk tubuh kasar milih Fazlee di depan Menara Tun Razak. Sungguh aku tidak sangka, terjadi pertemuan demi pertemuan antara kami dan yang paling menakutkan pertemuan di bangunan pejabat Am.
Walaupun aku sekadar buat tidak mengerti dan meneruskan langkah ke lif, Fazlee sudah tergesa-gesa mendapatkanku setelah ternampak kelibatku sebentar tadi.
“Wafi buat apa kat sini?” soalnya lembut setelah dia dekat padaku.
“You have no right to know. Just mind you own business!” ujarku penuh ketegasan yang masih ada dalam kelembutan suaraku.
“We need to talk! Just give me a second, please sayang!” rayunya.
“Macam mana semua tempat aku pergi boleh ada kau, hah? Maaf, aku tak ada masa untuk kau!”
Serentak itu pintu lif terngaga. Wajah Fatehah, setiausaha Am muncul lantas tersenyum padaku. Aku membalas senyumannya hambar.
“Apa khabar?” tanyaku ramah.
“Baik! Cik Wafiah nak jumpa bos ke?” Nada Fatehah mesra seperti sebelumnya. Aku mengangguk.
“Saya jalan dulu, ya!” pintaku sedikit tergesa-gesa.
“Abang Fazlee dah tunggu lama, ya? Sorry, Tehah ada discussion dengan bos!” Fatehah bersuara manja. Belum sempat aku membolosi pintu lif, suara Fatehah menyeru nama itu. Aku tersentak!
Aku tidak jadi melangkah ke dalam lif hinggakan pintu lif tertutup kembali. Aku merenung Fazlee tajam. Apakah hubungan mereka? Adakah seorang teman atau lebih daripada itu?
“Emm… a… ab…bang tak ada la lama pun. Baru je lagi,” balas Fazlee dengan anak mata yang silih berganti antara wajahku dan Fatehah. Riaknya cemas.
“Eh, Cik Wafiah tak naik lagi?” soal Fatehah yang sudah berpaling ke wajahku.
“Lif ni tak nak tunggu saya,” jawabku bernada gurauan.
Hatiku gusar jua andai Fatehah dapat menangkap renungan Fazlee yang tidak pernah beralih dari wajahku. Aku cuba tenang. Ingin melihat wayang apa yang akan dilakonkan Fazlee sebentar nanti. Senyuman kemenangan sudah terukir dibibirku.
Aku yakin Fazlee akan pergi jauh dari hidupku kerana aku sudah dapat hidu hubungan antara mereka. Pasti sudah melebihi tahap teman. Benarlah apa yang mataku tangkap beberapa bulan sudah sewaktu ke IF Group. Fatehah bersama dengan Fazlee. Mataku tidak salah melihat.
“Oh ya, Cik Wafiah, ni saya nak kenalkan. Tunang saya, Fazlee!”
Aku langsung tidak terkejut dengan kenyataan Fatehah luahkan padaku. Cuma kenapa tidak dari awal aku yakin yang lelaki yang bersama Fatehah dulu adalah Fazlee. Ah, terlalu kecil dunia ini bila terperangkap dengan hubungan yang dijangka.
“Oh, really? Congratulations! Saya tak tahu pun awak dah bertunang!” balasku bersahaja.
Sengaja aku menjeling Fazlee sekilas bila dia bagaikan melarikan pandangannya dari renunganku.
“Wafiah!” Aku memperkenal diri pada Fazlee. Dia tiada reaksi. Fatehah masih mengulum senyuman manisnya buatku.
“Well, you all nak lunch ke?” tanyaku lebih mesra. Fatehah mengangguk.
“Enjoy your lunch. Saya naik dulu!” pintaku bila pintu lif sudah ternganga buat kali ketiga.
Pada Fazlee aku hadiahkan sekuntum senyuman sinis. Dia terkaku di situ dan aku tidak perlu lama bila Fatehah mula memaut lengan tunangannya. Pintu lif ku bolosi dan aku melepaskan keluhan lega bila pintu lif tertutup rapat. Alhamdulillah! Ucapku sepatah.

DAUN pintu kayu berwarna coklat gelap itu ku tolak perlahan bila ketukanku tidak bersahut. Aku melangkah setapak dan melihat susuk tubuh sasa Am sedang mengadap cermin tingkap.
“Am!” seruku perlahan.
“Am!” seruku lagi dan kali ini lebih kuat bila dia tidak mendengar.
“Masuk tak reti nak ketuk pintu ke?” jerkahnya lantas berpaling.
“Maaf! Fiah dah ketuk tadi! Dah banyak kali!” ujarku membela diri yang jelas terperanjat dengan jerkahan lelaki itu.
“Oh, Fiah! Sorry, ingatkan siapa tadi!” Am lantas mendekati mejanya lantas melabuhkan duduk. Nada suaranya jelas hambar. Bagaikan orang kepenatan yang hanya menunggu masa untuk merebahkan diri di katil saja.
“Tak apa tapi tadi memang Fiah tak sengaja!”
“Kan Am dah cakap tak apa! Duduk!” arahnya sedikit meninggi.
“Kenapa datang?” Soalan Am kedengaran janggal di telingaku. Andai dulu dia sentiasa melonjak kegembiraan bila wajahku tersembul di pintu bilik pejabatnya tapi kali ini, lain benar. Dia sudah tidak sudi menerima kehadiranku barangkali?
Mungkinkah juga kerana kesibukannya? Ah, aku tidak harus mencurigai bakal teman hidupku sendiri. Pantas aku tepis prasangka buruk itu.
“Tak boleh ke kalau Fiah datang?” soalku pula berbaur senda. Aku mengambil tempat di depannya. Beg kertas yang ku jinjit dari tadi aku letak di hujung kaki.
Am tarik muka. Mata kuyunya tajam menikam anak mataku. Renungan itulah setiap kali kami bertentangan mata tapi kali ini, terdapat kekurangan dalam mata itu. Ya, kemesraan disebalik renungannya sudah semakin suram.
“I am asking you, not answering you!” Mata Am membulat. Aku terus mengukir senyum.
Penat benar dia hinggakan langsung hilang wajah mesranya. Tiada juga kata-kata manjanya seperti sebelum ini.
“Fiah saja datang nak buat surprise! Am kan suka surprise,” gurauku lagi sengaja mengungkit kisah dia memberiku kejutan demi kejutan buatku.
Gurauanku tidak bersambut. Am membisu, sekadar merenungku dengan pandangan kosong. Tiada emosi, tiada perasaan. Hati kecilku sudah mula terguris dengan tindakan lelaki yang bernama Ilham Fitri.
“Tapi, kalau Am sibuk Fiah balik dulu. Nanti dah tak sibuk baru Fiah datang. Lagipun hujung minggu ni Fiah dah nak balik kampung!”
Aku bangkit untuk berlalu bila merasakan kehadiranku adalah tidak kena pada waktunya. Aku sedaya upaya memujuk hati agar terus mengubati luka kecil itu agar tidak terus melarat.
“Duduk dulu Fiah!” Suara Am mendatar sahaja. Aku tidak jadi melangkah dan kembali melabuhkan punggung di depannya.
“Tak apa, Am! Kalau Am sibuk Fiah boleh balik dulu. Fiah sebenarnya nak hantar ni je.”
Aku tunduk dan mengangkat beg kertas yang sudah terisi kepingan kad jemputan kahwin kami untuknya.
“Apa ni?”
“Kad kahwin. Fiah dah ambil minggu sudah. Tak sempat nak bagi dekat Am, tu yang Fiah datang hari ini.” Aku menolak beg kertas itu padanya.
Wajah Am aku tenung penuh kasih dan kali ini hatiku tercalar lagi bila riak Am tidak menunjukkan sebarang minat terhadap beg kertas itu. Tidakkah dia teruja untuk melihat nama kami terukir kemas di atas kepingan cantik itu?
“Kenapa?” soalku tidak puas hati.
“Kenapa apa?”
“Kenapa Am macam tak minat je nak tengok kad ni? Kan dulu Am yang beria-ia nak tengok nama kita berdua ada dalam satu kad?”
Am diam. Dia meraup wajah kusutnya dan terus menyandarkan belakang tubuhnya pada kerusi.
“I didn’t say that, Wafiah!” Dia menidakkan segalanya yang telah jelas di mataku.
“Tapi, Am tak gembira pun Fiah bagi kad ni? Am ada masalah ke? Nak kongsi dengan Fiah? Pasal kerja?” tanyaku bertimpa-timpa.
“Stop it, Fiah! Berapa banyak soalan dalam satu masa?” balasnya membentak.
Badanku bagaikan direnjat. Tidak pernah Am bersikap begini selama ini. Mengapa sudah berubah?
Dia sekali lagi meraup wajahnya. Rambut yang sudah mencecah bahu dilurut ke belakang. Lagak dan gayanya bagai mempunyai masalah besar. Tidakkah dia ingin berkongsi denganku?
“Sorry, Am tak sengaja!”
Wajahku menekur ke dua bentuk cincin yang kemas tersarung di jari manisku. Mencari sedikit kekuatan. Sedaya yang ada, aku mengawal raut wajahku agar tidak menzahirkan kesayuan yang bermukim di dada.
“Fiah…” serunya lembut.
“Sorry, okey! Am tak sengaja. Jangan marah ya!” Aku sekadar mengangguk. Tidak berani menatap wajahnya.
“Nanti kejap lagi Am tengok! Fiah dah makan?” Sekali lagi hanya anggukan yang menjadi jawapan.
“Am tak suka orang tak bercakap bila Am tanya!” Nada lembut Am mula berbaur ugutan. Aku panggung kepala selepas memastikan yang titisan airmata sudah tiada bertakung di tubir mata lagi.
“Am dah pergi tengok baju?” Aku cuba berbahasa biarpun wajah Am masih seperti tadi.
“Oh, almost forget. Speaking of that, how’s your wedding wear? Mesti cantik, kan?” Sengihan Am mula terukir di bibirnya. Ya, sengihan itulah! Sekelipan aku kembali ceria. Aku mengangguk senang.
“Emm... memang cantik,” ujarku teruja.
“Pearl white macam yang Am suka. Memang pandai Puan Seri pilih! Am dah pergi cuba ke?”
“Dah,” jawabnya pantas.
“Bila?” tanyaku gusar.
Am tidak terus menjawab. Dia mengangkat tubuhnya lantas menghampiriku seraya melabuhkan duduk di kerusi di sebelahku. Dia memusingkan kerusi itu membawa tubuhku menghadap tubuhnya.
“Hari yang sama dengan Fiah pergi!” balasnya bersama renungan yang tidak aku ertikan. Erk!! Aku telan liur yang terasa kelat melalui anak tekak. Sungguh ke?
“Pukul berapa?” Aku mula curiga andai Am ternampak adegan itu.
“Petang, lepas habis waktu pejabat!”
Huh, aku melepaskan keluhan lega. Sebentar tadi, terasa bagaikan nafasku tersekat di kerongkong. Andai benar begitu, tiada sebarang kemungkinan dia terlihat peristiwa aku dan Fazlee.
“Am tanya sikit, boleh?” Am mula mendekatkan wajahnya ke wajahku.
“Fiah ada apa-apa yang nak beritahu Am? Sesuatu yang hendak dikongsi mungkin?” sambung dan kali ini dengan wajah yang lagi sukar untuk ku duga. Sekejap senyum menggoda, sekelipan pula masam mencuka.
“Tak ada pun!” selaku yakin.
“Betul ni?”
Aku mengangguk.
“Kalau tak ada, tak apalah. Am saja tanya! Tapi, sebenarnya Am tak pergi pun. Tak sempat. Am minta aunty Seri buat ikut ukuran lama je. Badan Am maintain je ni.” Am membelek tubuhnya sendiri. Aku mengangguk sekadar mengiayakan kata-katanya.
“Am minta satu benda boleh tak?” Am menarik kerusiku rapat kepadanya hinggakan kedua belah lututku sudah berada di antara dua lututnya.
“Am ni kenapa?” tanyaku bimbang. Mengerti akan makna renungan Am.
“Bagi Am peluk Fiah sikit! Nak rasa macam mana dapat peluk Fiah!” Sesudah menuturkan ayat itu, Am terus melingkari tangannya ke bahuku. Aku menolak lembut.
“Tak boleh,” larangku perlahan.
“Dua minggu lagi boleh. Apa-apa pun boleh!” ujarku penuh makna. Wajah Am jelas kecewa dengan penolakanku.
“Sabar, ya!” pujukku lagi.
Dia segera bangkit dan kembali ke tempat duduknya. Sebagai ganti, aku mengulum senyuman yang ku kira paling manis buat bakal suamiku ini dan Am menyambutnya dengan senyuman tipis.
“Am busy, kan? Fiah balik dululah. Nanti, sebelum Fiah balik kampung kita jumpa ek?” pintaku manja. Am mengangguk. Tubuhku sudah berdiri tegak dan sudah sedia melangkah.
“Ops… terlupa pulak.” Langkahku mati.
“Emm… Fiah ambil kad ni satulah. Nak bagi dekat kawan sorang lagi. Terlupa!” Aku menyeluk beg kertas itu dan mengeluarkan sekeping kad beserta sampulnya. Aku mengorak langkah semula bila Am sekali lagi menyeru namaku.
“Ya?” Aku memusingkan tubuh.
“Kenapa Fiah tak pernah cakap Fiah cintakan Am?” aju Am tenang dengan tangan yang sedang menongkat dagu. Bibirku mengulum senyum.
“Kan Fiah dah pernah cakap sekali!”
Peristiwa dalam perjalanan pulang daripada KLIA dulu terimbau di layar minda. Sudah lupakah dia bagaimana dia memaksa aku akui rasa hati ini padanya?
“Am dah lupa?” tanyaku bila dia membisu. Hanya renungan yang meresahkan jiwaku.
“Am ingat tapi itu bukan ungkapan cinta macam yang selalu Am cakap pada Fiah!”
Aku tahu, dari suaranya Am tidak puas hati. Benar aku tidak pernah mengungkapkan cinta buatnya tapi tidakkah dia tahu yang dia telah menakluki seluruh hati dan jiwaku ini? Dan kurang dua minggu lagi, tubuhku pula bisa dia takluki!
“Cinta tak perlu diungkap, Am. Am kena rasai! Sekali Fiah janji pada Am, sudah cukup untuk selama-lamanya!” Aku mengukir senyuman sebagai pengganti selingkar pelukan yang dia dambakan dariku.

TATKALA melintasi meja Fatehah, dia tiada di situ. Mungkin masih belum tamat temujanji dengan tunangannya. Aku tersenyum lagi bila memikirkan Fazlee yang sudah terjerat dengan perbuatan sendiri. Padan muka! Gumamku sendiri.
Pintu kaca itu aku tolak perlahan dan langkah ku atur tenang menuju ke lif. Belumpun sempat aku menekan punat di dinding tanganku tiba-tiba direntap kuat. Tubuhku terdorong sama ke kawasan tangga. Pintu rintangan api itu tertutup sudah.
“What the hell are you doing, hah?” jerkahku garang.
Nafasku turun naik menahan gusar diperlakukan begitu. Bimbang andai diri ini ingin dikhianati. Tapi kini, deruan nafasku berubah kasar kerana menahan marah akibat perbuatan Fazlee.
Betapa ku gembira bila melihatkan wajah putus asa Fazlee sebentar tadi tapi kini, kegembiraan terbang melayang.
“Kenapa dengan kau ni? Dah gila gamaknya? Tak serik kena penampar aku hari tu?” Aku terus melengking.
Benci benar melihat wajah ini. Masih terbayang peristiwa dia memelukku dan aku juga pantas menolak tubuhnya hingga akhirnya penampar sulungku hinggap jua pada wajah itu.
“I just can’t accept all this crap, Wafi! Lee tak kisah berapa kali Wafi nak tampar pun, Lee terima. Cuma satu yang Lee nak, hari juga Wafi jumpa Ilham Fitri tu, putuskan hubungan. Lee nak Wafi! Macam mana sekalipun!” tutur Fazlee tegas.
“What do you mean by crap?” Suaraku meninggi.
“This is a fact. A fate! Kau memang dah gila, Fazlee! Orang macam kau ni sepatutnya ada dekat Tanjung Rambutan! Kau dah tahu jawapan aku, tak akan dan tak mungkin! Never!!” Aku melekapkan tapak tangan pada dada. Pohon seribu kesabaran dari Yang Esa.
“Yes, I am crazy. I am crazy about you!” jerkah Fazlee tidak kalah.
“Kau ni main cakap ikut sedap mulut je. Dah tu, Fatehah tu kau nak campak kat mana?” Aku juga tidak mahu tewas. Herdikan demi herdikan nampaknya tidak berbekas pada Fazlee.
“She’s not my priority now! You are the one! Once you say yes, I break her up!”
“Don’t you dare, Fazlee! Dia terlalu baik untuk kau persiakan! Cukuplah kau pernah persiakan aku dulu dan jangan kau ulangi kesilapan yang sama dua kali!”
“You got the point, honey! Sebab Lee tak nak buat kesalahan yang sama dua kali pada Wafi. Sebab tu Lee nak Wafi balik pada Lee. Just dump him!” Fazlee ketap gigi. Menahan marah barangkali. Aku tersenyum penuh sinis.
“I won’t because I love him. Don’t get me wrong. Just give up yourself. We are not mean to be together. Wake up, Fazlee. Just wake yourself up! Fatehah masa depan kau dan aku masa silam! Sama juga untuk kau. Kau masa lalu, tapi Am adalah masa depan aku!”
Aku tidak perlu lama di situ untuk terus mendengar rayuan bodoh Fazlee padaku. Aku perlu berlalu agar kejadian yang tidak diingini ini tertangkap oleh orang lain. Aku tidak sanggup andai Am dapat menghidunya dalam pada majlis kami yang sudah terlalu hampir.
“Lee memang tak sangka yang Ilham tu memang orang berpangkat. Anak orang kaya lagi. Agaknya sebab tu kot Wafi pilih dia, bukan Lee!”
Suara Fazlee memaksa aku mematikan langkah. Sudah ku jangkakan, dia pasti mendapat berita Am daripada Fatehah. Aku sepenuhnya yakin. Wajah kusut Fazlee ku pandang tenang.
“Kalau kau rasa telahan kau tu boleh membuat kau terima hakikat ini, terserahlah. Kalau benar kerana pangkat dan harta aku menginginkan Ilham, tetap tiada kena mengena dengan kau! Tapi ingat, sekali hati aku terluka, jangankan anak orang kaya, anak Dato’ dan putera raja pun aku akan tinggalkan apatah kau yang memang tiada tempat langsung di hati aku!”
Melihatkan Fazlee yang terkulat-kulat di situ, hatiku puas. Andai pengakuanku bisa membuatkan dia jauh, biarlah. Aku tidak kisah. Cukuplah Allah tahu cintaku pada Am memang kerana Dia.
Aku kembali meneruskan langkah. Belum sempat tombol pintu ku pulas, pergelanganku sekali lagi disambar dan tubuhku terus di tolak rapat ke dinding.
Fazlee sudah menggenggam kedua belah pergelangan tanganku dan dirapatkan ke dinding. Tubir matanya sudah mula berkaca-kaca. Ya Allah! Aku mengucap panjang. Begitu berani dia bertindak demikian?
“Lepaskan aku, Fazlee. Kau tak berhak sentuh aku!” jerkahku.
“Lee cintakan Wafi! Cinta sangat!” Sesudahnya ayat itu keluar dari celah bibir Fazlee, serentak itu juga penamparku singgah lagi di pipinya. Buat kedua kali. Raut Fazlee jelas terkejut dengan tindakanku. Aku sengih sinis padanya.
“Aku harap dua penampar dah cukup untuk jauhkan kau dari aku! Hargailah dia. Kita tak mungkin bersama!” Ayat itu terlunjur tenang dari mulutku.
Aku perlu berlalu sebelum wajah Am atau Fatehah muncul. Aku lantas melangkah pantas biarpun Fazlee cuba menahan langkahku.

BAB 32

TELEFON bimbitku sejak dari tadi menjerit nyaring. Aku melangkah malas mendapatkannya di atas meja tulis. Nombor yang tiada dalam senarai daftar. Aku biarkan sahaja lantas menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.
Peristiwa demi peristiwa buruk yang menimpa diriku benar-benar membuatkan aku lemah. Bagaikan tiada daya untuk melangkah.
Usai Maghrib, aku mengalunkan bacaan Yaasinn. Ku hadiahkan buat arwah ayah. Airmataku berjuaraian laju. Mungkin ini balasan Allah sebab Fiah terlalu mendendami ayah satu waktu dulu. Aduku pada ukiran indah di dada Al-Quran itu.
Selepas sejam, azan Isyak terus berkumandang dan aku yang masih bertelekung terus sahaja menunaikan solat Isyak. Sesudah itu, telefonku berdering lagi. Aku mengamati seketika dan masih nombor tadi. Aku akhirnya melemparkan telefonku ke bawah selimut.
Mindaku perlukan rehat setelah penat melalui hari yang sukar ini. Badanku juga perlu dijana tenaganya kerana hari esok masih belum tentu akan perjuanganku. Kelopak mata terasa suam lagi bila mengingatkan panggilan ke telefon bimbit Am tidak bersambung sejak dari petang tadi.
Bagaimana harus aku menghadapi saat getir ini andai Fatehah membawa kejadian itu kepada Am? Setitis demi setitis airmataku membasahi pipi dan entah bila aku terlena dalam esakan. Murah benar airmataku kini. Terlalu murah.
Getaran demi getaran yang terasa di hujung kakiku membuatkan lenaku jaga. Telefon yang di dalam mode getaran itu tidak berhenti-henti memaksa aku menjawabnya.
“Siapa, ya?” tanyaku lemah.
“Fiah, ni mama!”
Aku mengamati suara ‘mama’ itu dan tahulah aku suara itu adalah milik Puan Insyirah bila dia berulang kali menyebut namaku.
“Kenapa, Puan?”
“Fiah ada jumpa Am tak hari ni? Budak bertuah tu tak balik-balik lagi. Ni dah dekat pukul 2 pagi. Dia ada beritahu Fiah dia nak outstaion ke mana-mana tak?” Pertanyaan Puan Insyirah membawa aku terus bangkit dari pembaringan.
“Fiah memang ada jumpa dia tengah hari tadi. Fiah ke pejabat dia hantarkan kad jemputan tu! Tapi dia tak ada pulak cakap nak ke mana-mana!”
Keluhan demi keluhan Puan Insyirah jelas di peluput telingaku.
“Tak apalah, Fiah! Mama bukan apa. Risau jugak! Biasa kalau dia tak balik dia call maklumkan mama. Maaflah kacau Fiah tidur. Mungkin dia terlupa la tu! Oh, ya! Alang-alang dah call Fiah ni, mama nak tanya ni! Persiapan macam mana?”
Aku mengerling jam di dinding. Pukul 2 pagi dia mengajak aku berbicara tentang hal ini. Bakal ibu mentuaku ini sesekali boleh tahan kalutnya. Aku mengulum senyum tipis.
“Dah. Semua yang kat kampung mak dengan Kak Anah dah siapkan. Yang bahagian Fiah kat sini pun Fiah dah sediakan sebab hujung minggu ni Fiah dah nak balik kampung!”
“Kalau macam tu, esok Fiah datang rumah mama, ya? Ambil sekali barang hantaran ni. Am ni mama suruh dia bagi kat Fiah dia kata nanti dulu. Lepas sibuk, esok sibuk lagi. Lusa pun sibuk. Sibuk je manjang!” Omelannya benar-benar macam emak membebeliku pada masa-masa tertentu.
“Baiklah!” jawabku pendek. Terpaksalah minta izin dengan Encik Azhan untuk ponteng lagi esok! Keluhku sendiri.

SELEPAS mendapat kebenaran daripada Encik Azhan, aku terus keluar menuju ke pejabat Am bila panggilan telefonku tidak bersahut. Kadang-kadang bagaikan sengaja diputuskan taliannya.
Tiba di IF Group, wajah Izham muncul di depanku. Sudah lama tidak bersua dengannya. Sudah jarang benar dia menghadiri mesyuarat di pejabat kami. Salam ku hulurkan mesra.
“Fiah nak datang jumpa Abang Am, ya?” duganya bersahaja. Aku mengangguk. Masih tidak lekat panggilan Kak di pangkal namaku. Sekadar panggilan saja berubah daripada Wafi kepada Fiah.
“Dia tidur di pejabat semalam. Jenuh mama dok risau kat rumah. Apalah Abang Am ni, kan?” adunya padaku. Patutlah. Getus hatiku sendiri.
“Fiah ni diam je? Rindu sangat dekat dia, ya?” gurau Izham beserta sengihan nakal. Aku membalas dengan senyuman. Terasa tawar pula senyumku kali ini.
“Emm… saya nak jumpa big bos kejap,” pintaku lantas berlalu menuju ke pintu bilik Am. Meja Fatehah kosong! Dia tiada di situ! Ke manakah dia? Bercuti mungkin! Aku mengetuk pintu beberapa kali. Pintu ku tolak perlahan bila suara Am memberi izin.
“Assalamualaikum,” hulurku mesra. Am yang sedang menunduk ke meja panggung kepala. Wajahnya kusam. Tiada lagi wajah kacak itu di depanku. Janggut dan jambang sudah mula nampak meliar di wajahnya.
“Boleh Fiah duduk?” Am mengangguk lemah. Seboleh-bolehnya aku berlagak selamba. Bagaikan tiada apa yang telah menimpaku beberapa hari kebelakangan ini.
“Kenapa semalam tak balik rumah. Mama Am telefon Fiah. Dia risau!”
“Sibuk sangat!” jawabku tiada minat.
“Kot ya pun sibuk, kenapa tak telefon Datin beritahu yang Am tak dapat balik. Kesian dia!”
“Am sibuk sangat Fiah! Banyak hal nak fikir. Fiah tengok ni!” ujar Am mendatar.
Dia melemparkan sekeping kertas ke arahku. Tepat mengenai wajah. Aku tersentak. Tak bolehkah kalau dia menghulurkan kertas itu kepadaku secara elok? Kenapa mahu dilempar macam tu ke mukaku? Aku pujuk hati agar terus bersabar. Kertas putih bersaiz A4 itu ku tatap. Bulat mataku demi melihatkan isi kandungannya.
“Astagfirullahhal’azim….!” Aku pantas beristigfar.
“Kenapa dia letak jawatan? Semalam elok je Fiah jumpa dia,” ujarku bernada terkejut.
Am merenungku tajam. Bagaikan ada sesuatu yang telah membuatnya marah. Sedaya upaya aku mempamerkan riak tenang. Entah mengapa Fatehah meletakkan jawatan sedangkan semalam elok sahaja kami bertegur sapa.
“What do you think? Why she resign? Adakah semua ni berkaitan dengan Am atau dia ada masalah lain?” Soalan menduga Am menjadi jawapan pada soalanku.
“Fiah tak tahu nak cakap apa! Mungkin Am lebih tahu kenapa Fatehah buat keputusan tergesa-gesa begini? Atau mungkin dia terpaksa sebab ada hal lain?”
Pandangan mata Am lama jatuh ke wajahku. Aku memberanikan diri melawan pandangan tajamnya.
“Tak Fiah!” Am geleng kepala. Dia mengangkat tubuhnya separuh dan terus mendekatkan wajahnya ke wajahku. Hembusan hangat nafasnya menyapa garang.
“Fatehah bukan jenis macam tu. Dia tak akan letak jawatan macam tu je. Pasti ada sesuatu yang menyebabkan dia bertindak begini. She just like my sister. Once I find out who mess with her, I’ll kill that person!” bisik Am ke telingaku.
Kenapa mesti begini? Aku yakin kejadian antara aku dan Fazlee semalam tak tertangkap oleh sesiapa. Hanya antara aku dan Fazlee dan Allah yang Maha Melihat. Namun, rasa gundah hadir jua. Bimbang andai terbias dek mata Fatehah hinggakan menjadi penyebab dia pergi dengan menitipkan sepucuk surat perletakan jawatan.
Akalku rasa tepu. Hingga akhirnya aku pujuk hati dan yakin bukan kerana peristiwa itu Fatehah meletakkan jawatan.
“Kenapa Fiah diam?” Aku tersentak dengan suara Am! Wajah Am telah menjauh.
“Fiah tak tahu nak cakap apa!” jawabku luhur. Sungguh, aku tidak tahu.
“You don’t have to. Your action already speak louder than your words, Fiah!”
Aku angkat kepala. Tidak faham apa yang Am maksudkan. Wajahnya tenang dengan matanya yang terpejam rapat. Aku benar merindunya. Merindui gurauan dan usikannya seperti di awal pertemuan. Merindui dia hadir dekat denganku, mendengar setiap yang ingin aku luahkan biarpun aku sedar, segalanya bagaikan berubah dan sudah hampir pasti.
Aku ketap bibir. Menahan kolam airmataku agar tidak pecah berhamburan di depan Am. Aku tidak mahu menambahkan kegelisahan hatinya. Malah aku mahu menjadi pengubat dukanya.
“Tak apalah,Am. Mungkin Fatehah ada masalah sendiri yang tak dapat dia ceritakan pada sesiapa. Buat masa sekarang, rasanya Am KIV dulu surat letak jawatan tu. Try talk to her first. Lepas tu baru buat keputusan,” cadangku.
“Tak sangka begini sudahnya,” keluh Am. Aku mengerutkan wajah. Sukar untuk ditafsirkan maksud di sebalik kata-katanya. Wajahnya tidak beriak. Entahkan marah, entahkan tidak.
“Fiah nak ke rumah Am kejap lagi. Mama Am minta Fiah ambil barang. Apa kata kalau Am pun balik sama! Berehat dulu. Pasal Fatehah tu Am bagilah dia masa sikit. Mungkin dia ada masalah yang perlu diselesaikan. Kita mana tahu.”
Am tetap menyepi. Aku terpandang susunan kad yang tersusun rapi di hujung meja Am. Paling tidak, kad itu menarik minat Am.
“Emm… Am tak edar lagi ke kad jemputan tu?” tanyaku mesra. Cuba mengalih perhatiannya daripada nama Fatehah.
“Malas!” jawabnya keras. Hatiku terasa ngilu dengan jawapannya. Am membuka mata kembali. Pandangannya terus ke siling.
“Mana boleh malas. Fiah punya dah siap edar pun. Nanti tak sempat orang nak timing,” gurau lagi dalam pada memujuk hati sendiri.
“Jom, kita edarkan sama-sama nak? Fiah temankan! Am kan pernah cakap kalau berkesempatan nak edar kad ni sama-sama.”
Sebolehnya aku mahu memujuk Am agar kurang keresahannya. Mengungkit impian yang pernah dia bisikkan padaku. Tiada jawapan, hanya keluhan yang ku dengar.
“Am, mari kita….,”
“Shut up, Wafiah! I don’t care with the damn card!” Belum sempat aku menyudahkan ayat, suara Am terlebih dahulu lantang memotong kata-kataku.
“Banyak benda lagi aku nak fikir, tau tak?” Serentak itu, Am melibas tangan kasarnya ke arah susunan kad jemputan yang ku berikan semalam. Terus berterabur di atas permaidani di biliknya. Terkedu aku dengan jerkahan Am yang bagaikan halilintar. Lebih parah lagi bila Am bangkit dan memijak kad yang jatuh bertaburan.
Melihatkan tindakan nekad Am begitu, aku tidak mampu membendung airmataku lagi. Terasa jauh benar dirinya kala ini.
Tanpa pamitan, aku terus mengangkat tubuh dan berlalu dari situ. Airmataku jatuh berderai ke pipi. Tangis halusku hadir jua. Jiwaku makin parah dilanda resah. Kenapa mesti begini? Andai kerana Fatehah, kenapa Fiah yang harus menjadi mangsa? Rintih hatiku lirih.
Dulu Am tak pernah begini. Am dah janji nak jaga perasaan dan hati Fiah. Am dah janji nak jaga air muka Fiah. Kenapa begini? Kenapa makin meniti ketika, cinta Am kian ragu keluhurannya? Persoalan itu pastilah tiada berjawapan.

PINTU kaca itu aku tolak kasar. Beberapa pasang mata yang melihat tindakanku sekadar menggelengkan kepala. Barangkali tidak sudah mengejekku? Mungkin mereka terus saja prejudis terhadapku. Mungkin juga sedang menilai tahap kesopananku sebagai bakal isteri Am.
Aku tidak mahu ambil kisah. Jiwa turut berterabur tatkala Am menghamburkan kad jemputan itu sebentar tadi. Sampai hati Am marah Fiah? Apa salah Fiah? Hanya itu yang ditukas hati. Airmata terus merembes bagaikan tiada tanda hendak berhenti.
Punat lif ku tekan berkali-kali. Mengharapkan agar pintu lif segera terbuka. Selepas seketika, pintu lif ternganga, aku terus membolosi pintu.
Belum sempat lif tertutup rapat, seseorang lebih pantas mencelah di antara pintu, membawa dia terus berada dekat di sisiku.
“Fiah, kenapa ni?” tekan Izham sekali lagi. Aku menggeleng menghantar jawapan yang aku sekadar baik-baik saja.
Izham mendekatiku. Tangannya singgah ke bahuku. Aku mengelak lantas menyandarkan belakangku ke dinding lif.
“Iz nampak Fiah berlari keluar dari bilik Abang Am? Kenapa? Talk to me?” pujuknya.
“Tak ada apa!”
Aku menarik hujung tudung menutup separuh wajahku yang sudah dibasahi airmata. Sungguh aku tidak menyangka, selepas sekian lama tiada airmata kerana cinta, kali ini Am merobohkan lagi tembok airmataku.
“Fiah, Iz dah dengar secara tak sengaja tadi, Abang Am marahkan Fiah! Yang selebihnya Iz tak tahu kenapa!”
“Kalau dah tahu, kenapa mesti nak tanya lagi?” jeritku kuat. Lupa langsung wajah siapa di depanku kini. Bukan milik Am tapi milik Izham.
Izham jelas terkedu dengan suaraku yang meninggi. Mungkin tidak menduga begini sekali tindakanku.
Aku menarik nafas dalam menahan esakan dari terus menggila. Aku tak mahu kelihatan lemah di mata mana-mana lelaki. Aku tidak mahu meraih simpati. Selebihnya aku mula benci dengan perubahan diri. Andai tidak ku ku serahkan hati ini pada Am, aku pasti tidak di sini.
Sekiranya aku terus membawa diri jauh dari Fazlee, pasti aku tidak begini. Andai tiada niat baikku pada Zura, semuanya pasti seperti biasa dan jikalau aku tidak melewati perubahan diri, pasti aku tidak terluka. Aku pilu tapi pada siapa kau harus aku bawakan pilu ini?
“Iz minta maaf. Iz cuma nak tenangkan hati Fiah!” Mata Izham aku tatap dalam-dalam.
“Tak perlu nak tenangkan saya, Encik Izham. Sejak dari dulu saya dah mendidik diri agar pandai memujuk hati sendiri. Tak perlu teman untuk semua itu,” tolakku keras.
“Tak apalah kalau Fiah dah cakap macam tu. Cuma satu yang Iz nak tanya.” Kata-kata Izham mati di situ. Serentak itu dia menekan punat G. Fikiran yang berkecamuk membuatkan aku benar-benar terlupa untuk menekan punat.
“Dulu Fiah tak macam ni. Dulu Fiah tegas dalam segala hal. Walaupun payah nak senyum tapi Fiah tetap nampak kuat dan yakin. Kenapa bila Fiah pandai tersenyum, mesti begini sudahnya?” Aku mengerling sekilas ke arahnya. Izham meraup wajahnya berkali-kali.
“Dulu Fiah cantik. Sekarang lagi cantik. Tapi, Iz lagi suka Fiah yang dulu. Wafiah yang dingin dan menyendiri. Walaupun payah nak senyum tapi yang penting, tiada airmata!” Suara Izham lembut menampar peluput telingaku.
Begitu sekali perhatiannya padaku? Suka? Suka yang macam mana? Adakah benar seperti yang ditelah oleh Suraya dan Fariza tempoh hari? Atau inikah yang dimaksudkan oleh Puan Insyirah tentang Izham? Tapi, kenapa aku?
“Abang Am tak mungkin marah Fiah tanpa sebab. Dia tak akan marah melulu. Tentang Fatehah, Iz sendiri baru tahu. Apa masalah dia kita sendiri tak tahu tapi sejak dari pagi, Abang Am macam dah bertukar jadi orang lain. Sejak akhir-akhir ni dia memang dah berubah. Mungkin Fiah tahu sebabnya?” duga Izham. Aku menggeleng.
“Fiah tak tahu! Fiah memang tak tahu! Kenapa dia buat Fiah macam ni. Kenapa Am sanggup pijak semua kad tu?” tanyaku lebih pada diri sendiri.
Izham memandangku pelik seraya mendekat. Sekali lagi tangannya singgah di bahu. Ditepuk lembut bagaikan memberikan aku kekuatan. Melihatkan layanan baik Izham terhadapku, hampir saja tidak aku tidak dapat bertahan.
“Sabarlah Fiah. Iz tak tahu apa yang berlaku antara Fiah dengan Abang Am tapi sabarlah. Dia sayangkan Fiah. Iz yakin tu!”
Betapa ku cuba menahan airmata itu dari terus gugur. Tekanannya terlalu tinggi hingga aku tidak sedar betapa deras ianya mengalir.
Tanpa malu, tanpa silu, aku terus melepaskan tangisku di depan Izham. Terhenjut-henjut bahuku menahan esakan. Keyakinan Izham akan cinta abangnya terhadapku membuatkan aku tewas.
“Fiah tak cantik kalau menangis! Iz tumpang suka tengok perubahan Fiah menjadi lebih mesra dan murah dengan senyuman tapi Iz sakit kat sini bila tengok Fiah mengalirkan airmata!” ujarnya dengan telapak tangan yang melekap ke dadanya bersama renungan yang telah dapat aku ertikan maksud di sebaliknya.
Demi mendengarkan sebaris ayat itu, esakanku makin menggila. Izham bagaikan dapat membaca setiap yang terlintas di mindaku. Aku sedikit sebanyak terharu dengan perhatiannya.
“Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar, Fiah!” Tangan Izham jatuh ke tanganku. Genggaman eratnya membuatkan airmataku tidak dapat dihentikan lagi.


BAB 33

NIATKU untuk mengajak Am ke rumahnya lebur tiba-tiba. Sekelip mata hancur. Bagai dibadai garuda. Sudahnya, aku sambut pelawaan Izham untuk membawa kau pulang dengan hati yang dibalut kecewa. Wajah Puan Insyirah mesra menyambut kami di muka pintu. Biarpun rautnya sedikit berkerut melihatkan aku dengan Izham di ambang pintu, dia tetap tersenyum mesra.
“Kenapa kamu berdua? Mama ingatkan Am yang bawa Fiah?”
“Abang Am sibuk mama. Dia mintak Iz bawakkan Fiah ke sini. Lagipun bukan orang lain, bakal kak ipar Iz jugak.” Izham memandangku lantas tersenyum.
Renungan Puan Insyirah menghantar pelbagai persoalan kepadaku. Raut wajah yang jelas curiga. Jiwaku resah sudah, dudukku jadi tidak betah.
“Tuan Fakhri ke mana?” tanyaku cepat-cepat cuba mengalihkan perhatiannya.
“Eh, budak Fiah ni! Tuan apa pulak? Kan mama dah pesan suruh kamu panggil abah. Dengan mama pun kamu berpuan-puan lagi, kan? Mama cabai mulut kamu nanti!” omel Puan Insyirah mesra.
Hilang sudah ketegangan pada wajah tua itu. Biarpun soalanku tidak bersambut, aku tetap menghela nafas lega
“Semua barang untuk Fiah bawa balik ada kat sini!” Puan Insyirah menapak menuju ke ruang keluarga. Aku membontoti langkahnya. Izham turut sama melangkah.
Aku melihat barang-barang hantaran sempena perkahwinanku nanti dengan perasaan yang hambar. Biarpun gubahannya nampak indah dengan warna kuning keemasan bercampur putih mutiara, benar-benar membuatkan mataku terpaku di situ tapi hatiku jauh tenggelam dalam kepedihan.
Tidak lekang walau sesaat pun hatiku memikirkan Am. Kenapa dia mesti begitu? Andai bukan keranaku, apa lagi sebabnya? Adakah benar kerana perletakan jawatan Fatehah yang tergesa-gesa atau dia sudah mengetahuinya? Am tidak mengakuinya dan untuk apa marah dan amuknya padaku?
“Fiah, cantik tak?”
“Hah?” Aku kembali memandang Puan Insyirah yang tersengih memandangku.
“Mama tanya, cantik tak?” ulangnya. Aku mengangguk lemah bersama senyuman tipis.
Selepas mengangkat barang tersebut, kereta Izham terus meluncur laju membelah Lebuhraya Persekutuan menuju ke pejabatku. Sepanjang perjalanan, aku sekadar diam. Soalan demi soalan keluar dari mulut Izham, aku biarkan tidak bersambut.

SELEPAS kejadian itu, Am langsung tidak menghubungiku. Panggilan telefon dariku juga tidak pernah bersambut. Marah lagikah dia? Aku tidak sanggup ke pejabatnya lagi. Tidak mahu meletakkan martabat wanitaku rendah di kaki Am. Biarlah dia pula mencariku. Sudahnya, aku jua turut mendiamkan diri dipujuk oleh fikiran positif bila tarikh itu akan tiba kurang dari dua minggu.
Tengah hari itu, aku menerima panggilan daripada emak. Luluh perasaanku bila mendapat berita yang emak khabarkan. Amira, anak Kak Anah mengadu pada emak cerita yang pernah aku adukan pada emak dan Kak Anah, 12 tahun dulu selepas aku pulang dari sekolah.
Belum tamat masalah perang dingin aku dengan Am, berita buruk lain pula sampai ke telingaku. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, tubir mataku sudah sarat dengan airmata.
Tidak ku sangka, masyarakat masih tidak sudah-sudah menghakimi kehidupan kami sehinggakan Amira kini sedang melalui peristiwa yang pernah aku lalui. Aku lelah dengan semua ini. Betapa aku cuba menjernihkan keadaan, masyarakat tetap tidak puas-puas bercerita tentang keluarga kami.
Lebih-lebih lagi Makcik Zahrah, yang sentiasa membuka ’kedai kopi’nya untuk mengumpat keji keluarga kami. Dia jugalah yang bercerita kepada Amira yang kebetulan melalui rumahnya setiap kali pulang dari mengaji Quran. Itulah yang emak adu padaku. Sudahnya, Amira yang sememangnya cerdik itu, pulang dalam keadaan teresak-esak kerana ditertawakan teman-teman sebayanya.
Sehingga kini, Amira bersendirian tanpa teman. Betapa pilu hatiku dengan berita yang disampaikan. Kasihan pada anak saudaraku itu. Dia tidak mengerti apa-apa. Tambah pula dengan sikap Abang Zali yang suka memburukkan keluargaku pada teman-teman hapraknya.
Tidakkah dia sedar yang dia sedang membuka pekung di dadanya sendiri? Jiwaku makin tertekan dan memberontak. Airmataku menitis perlahan. Bukan kerana nasibku tapi kerana pengalaman ngeri yang tengah dilalui Amira.
“Kenapa mak rahsiakan semua ni daripada Fiah, mak?” tanyaku menahan tangis.
“Mak tak nak buat Fiah risau! Mak bersyukur dengan perubahan Fiah dan perkahwinan ni. Mak tak nak, peristiwa ni menjadikan Fiah kembali macam dulu. Mak tak boleh nak terima dah kalau Fiah kembali jadi keras macam dulu!” ulas emak lembut.
Airmataku menitis lagi. Makin ku seka, makin deras titisan jernih itu menuruni pipiku.
“Hal Fiah bukan menjadi keutamaan, mak! Yang penting sekarang anak-anak saudara Fiah, mak! Fiah dah dewasa tapi Amira dengan Amir tu tengah meniti usia!”
Memikirkan hubungan aku dengan Am yang sudah makin menjauh, kenyataan emak terus membuatkan aku hilang daya. Hati yang luka, makin parah.
“Fiah tak boleh cakap macam tu. Sekarang ni Fiah adalah yang terpenting buat mak. Mak nak pastikan segalanya berjalan lancar. Mak tak nak Fiah fikir pasal semua ni dulu dan kalau boleh, lepas bergelar isteri nanti, mak harap Fiah tak berlebih-lebih fikirkan masalah kat kampung. Mulut orang tak boleh nak tutup, nak! Biarlah, Allah Maha Mengetahui!” Suara emak kali ini langsung tidak dapat memujukku. Hatiku walang bertambah walang.
Kerap kali kerisauan pada keluarga Kak Anah mengusik tenangku. Memikirkan keadaan keluarganya yang bagaikan sentiasa berada di atas bara api, aku bimbang percikan itu mengenai Amira dan Amir yang sedang membesar dan makin mengerti keadaan dunia.
“Fiah tak sanggup kalau Nur Amira terpaksa melalui pengalaman macam Fiah pernah lalu, mak! Fiah tak boleh nak dengar pun, apatah lagi nak tengok! Fiah takut dia kecundang, mak!” aduku bersama esak tangis.
Puas ku cuba redakan kegusaran. Cuba melepaskan segalanya pada takdir Allah yang Maha Mengetahui segalanya.
“InsyaAllah, lepas majlis pernikahan Fiah selesai, mak ambil Nur Amira tinggal dengan mak. Biar dia belajar kat sini. Lagipun, mak tak nampak tanda-tanda Zali nak berubah. Kak Anah macam dah tak tahu nak buat apa. Biarlah dulu, yang penting majlis Fiah dengan Ilham. Penerimaan keluarga Puan Insyirah dah cukup bermakna buat mak, nak!” Emak tidak jemu memujuk sedangkan hatinya tiada yang sudi memujuk.
Tapi, penerimaannya pada Fiah bagaikan tiada lagi di hati dia mak. Desis hati kecilku. Lama kami membisu di talian. Hanya kedengaran suara-suara unggas kampung jelas di telinga.
“Fiah rindukan arwah ayah,” ucapku lirih.
Benar aku merinduinya. Sehingga ke hari ini, biarpun menderu angin rindu itu menyapa, aku masih tidak berkesempatan untuk ke pusara arwah.
“Alhamdulillah…,” Suara emak serak. Ada esakan halus akhirnya.
“Mak bersyukur sebab Allah dah bukakan pintu hati anak mak untuk belajar merindui arwah ayah. Arwah tak pernah mencurangi mak, dia tak pernah melakukan maksiat. Yang silapnya dia mengabaikan kita!”
Airmataku makin murah. Andai emak tahu, airmata ini bukan saja kerana kerinduan kepada arwah ayah, tapi juga kerana sikap dan tindakan Am yang sudah berubah sekelip mata, aku pasti titisan jernih itu bertukar menjadi lautan airmata.
Selepas gagang diletakkan, aku kembali melayani perasaan. Sedih dah pilu diherdik dan disergah oleh Am. Rasa terhina bila dia bagaikan tiada berperasaan memijak-mijak kad jemputan perkahwinan kami. Betapa kad itu tiada nilai padanya kini.
Fazlee! Nama itu terlintas seketika di mindaku. Ah, tak mahu lagi aku peduli tentang dia! Dia bukan lagi masalah dalam hidupku. Bila dia pergi tanpa berpaling lagi, malah masih sanggup mengherdik dan menghina aku dan keluargaku, aku benar-benar tidak mahu bersua dengannya lagi.
Kisah aku dan Fazlee telah ku kuburkan di pusara yang tidak bernama, tanpa tarikh dan tanpa tandanya.
Tidak perlu aku mengungkapkan segala perihal lelaki itu dan kisah kehidupanku dengannya. Fazlee kisah laluku dan Am adalah masa kini dan masa depanku pula entah di mana pula akan bermula dan berakhirnya.
Tapi, kenapa kini dia hadir lagi. Ya Allah, usah aku diduga begini! Aku masih leka dengan perasaan sendiri sehinggalah tumpuan ku beralih pada bunyi ketukan pada pintu bilik. Cepat-cepatku seka airmata yang bersisa di wajah. Wajah Suraya muncul di depan pintu.
“Masuk, Su!”
“Wafi, ni ada orang minta saya bagi paperbag ni pada awak!”
Suraya mengangkat beg kertas yang dimaksudkan. Menggoyangkan beberapa kali. Sungguh! Terbang seluruh semangatku tatkala melihatkan beg kertas yang aku berikan pada Am beberapa hari sudah kini kembali kepadaku. Apa maksud dia?
Aku kuatkan semangat dan bangkit lalu melangkah mendekati Suraya. Beg kertas itu bertukar tangan dan Suraya terus berlalu merapatkan kembali pintu.
“Ya Allah, apa yang Am buat ni? Apa maksud Am dengan mengembalikan kad ni pada Fiah? Am tak nak kahwin dengan Fiah ke?” ucapku lirih.
Hatiku tersayat benar dengan soalan yang tiada berjawapan itu. Pedihnya bila mengingatkan janji Am. Ngilu rasanya bila dia yang berjanji ingin melindungi hatiku, telah menoreh hati ini dengan tangan sendiri.
Aku menyeluk beg kertas itu dan tidak ku sangka jariku tercapai sekeping kertas putih yang jelas bertinta hitam. Kenangan lalu jelas di minda. Kenangan di mana dia mula menjentik perasaan wanitaku dengan kata-katanya tapi kini, aku yakin kata-kata seperti itu pasti tiada lagi.
Kali ini, aku terduduk di atas lantai bila terbaca bait-bait ‘puisi indah’ bertinta tangan dari Am yang dulu hanya ku kenali sebagai ‘IF’. Tapi kini, jelas nama itu di tulis Ilham Fitri di hujungnya. Hujan airmata menyiram lagi.
Entah berapa lama aku di situ hingga aku berjaya mengumpul sedikit sisa kekuatan untuk bangkit. Masa masih ada, aku harus mencari sebuah kepastian! Tekadku bulat!
Aku lantas melangkah ke meja, mencapai beg tangan lantas terus berlalu keluar setelah memastikan tiada wajah sugul menghiasi wajahku. Beg kertas itu turut ku jinjit sama.
Aku menarik keluar handphoneku dan nombor yang tidak ku lihat itu aku dail pantas.
“Wafi ke?” Suara itu jelas di telinga bila selepas deringan beberapa kali.
“Ya, Wafi ni! Boleh kita jumpa?” Aku menanti jawapan dengan tenang.
“Petang nanti, jam 4, dekat Tasik Titiwangsa!” beritahuku bila dia memberi persetujuan.
Aku harus bertindak menoktahkan segalanya. Berjodoh atau tidak, itu urusan Allah. Yang pasti, aku harus berusaha sebelum mengalah. Tewas sebelum berjuang tiada dalam kamus hidupku.

~~~>bersambung

5 comments:

  1. best..next n3 plezz

    ReplyDelete
  2. sedihnya~kesian wafiah...meleleh air mata...nk lgi!

    ReplyDelete
  3. xkan diaorg x jd kawin...apa la am ni xkn x percaya kat tunang sendr

    ReplyDelete
  4. cdey teman read citer...dugaan dtg tanpa dipinta mungkin mengajar kite lbh tabah...tp smpi bile mampu berthn...

    ReplyDelete