Tuesday, October 04, 2011

Terlerai Kasih 37

BAB 37

HARI ini masuk hari kedua Am meninggalkanku dengan ikatan perkahwinan. Usai Dhuha, aku terus keluar dari rumah tanpa pengetahuan mak. Memandu sendiri menuju ke kawasan perkuburan di hujung kampung awal pagi itu.
Sudah bertahun aku tidak menjejakkan kaki ke sini. Suasana terasa damai. Burung-burung riuh berkicauan dan unggas pula sibuk berbisik, memuji keagungan Sang Penciptan dan bagaikan mengalukan kedatanganku.
Aku duduk di atas tikar mengkuang lama yang ku ambil di wakaf. Jug yang penuh berisi air ku letak di sisi. Aku membuka Surah Yaassiin dan mengalunkannya dengan tenang.
Batu nesan itu dengan ku pegang dengan jemari yang terketar-ketar. Bibirku bergetar, airmata sudah sarat di tubir mata. Perasaan bersalah, sedih, sayu dan malu menguasai diri.
“Fiah hadiahkan Yassin untuk ayah! Ampunkan Fiah kerana terlalu menyalahkan ayah dalam apa yang berlaku! Fiah terima segalanya bukan atas kehendak kita, ayah. Agaknya inilah balasan untuk Fiah kerana dosa-dosa Fiah pada ayah selama ini. Ampunkan Fiah, ayah. Fiah anak yang tak taat. Damailah ayah di sana. InsyaAllah, Fiah akan sentiasa utuskan doa untuk ayah. Semoga ayah bersama mereka yang beriman di sana!”
Ku kucup batu nesan itu. Lama. Seakan-akan mengucup dahi arwah ayahku yang telah 2 tahun kembali kepada-Nya. Andai emak sebagai isteri turut memaafkan ayah, apatah lagi aku, hanya seorang anak yang tidak pernah taat pada orang tuanya.
Aku terima segala apa yang sedang berlaku padaku adalah sebagai kifarah kerana tidak pernah redha dengan aturan takdir. Terlalu hanyut dibawa dendam hingga akhirnya, aku terluka di dalam dendam sendiri. Itupun kerana seorang lelaki yang bergelar suami.
“Fiah balik dulu, panjang umur, Fiah datang lagi! Tinggal ya, ayah!”
Aku bangkit. Menyiram air ke atas pusara ayah. Inilah pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini selepas ayah selamat dikebumikan 2 tahun sudah. Biarlah semuanya berlalu. Biarlah mendung itu pergi. Kerana aku mempercayai hikmat dan rahmat-Mu, aku terima segalanya, Ya Allah!
Pusara ayah ku tinggalkan dengan linangan airmata keinsafan. Insaf pada diri sendiri selepas berbagai dugaan yang harus ku tempuhi. Namun ku tahu, masih terlalu banyak ranjau yang perlu aku tempuhi.
Sewaktu aku tiba di rumah, emak sedang duduk di serambi. Berjalan mundar mandir ke sana sini.
“Kenapa, mak?” tegurku lembut selepas keluar dari perut kereta.
“Fiah ke mana? Risau mak,” jawab mak lembut. Aku tersenyum lalu merapatkan pintu kereta.
Aku atur langkah kemas menuju kea rah emak yang sudah melabuhkan duduk di atas tangga.
“Fiah tak ke mana, mak! Fiah ke kubur ayah.” Aku lihat emak diam dengan jawapanku. Mungkin terkejut dengan kenyataan yang baru ku utarakan padanya.
“Fiah ke sana?” Aku tahu emak sukar hendak percaya. Aku angguk perlahan. Menjawab persoalan emak.
“Patutnya dari dulu Fiah ke sana. Saat ayah dikebumikan. Tapi, Fiah ego. Hanyut dengan amarah sendiri hinggakan menjadi anak derhaka pada mak dan ayah.”
“Tak, Fiah.” Emak mendaratkan telapak tangannya di kepalaku.
“Fiah tak pernah derhaka. Tak ada siapa salahkan Fiah malah mak kesian pada Fiah sebab terpaksa tanggung semua ni sejak dari kecil lagi. Sampai tak ada kawan, membesar sendiri,” ujar emak.
“Sepatutnya Fiah redha terima semua tu, mak. Sebab Fiah tahu, selagi Fiah tak redha, selagi itu Fiah tak akan rasa tenang. Semua orang tak minta lahir dalam keluarga yang pincang, mak. Tapi, aturan Allah tu besar hikmahnya. Mungkin sekarang kita tak nampak, tapi esok-esok pasti akan ada,” ucapku yakin.
“Tapi sekarang, mak syukur sekarang sebab Fiah dah temui kebahagiaan Fiah bersama llham. Mak yakin dia boleh menjaga Fiah dengan baik.” Luluh hatiku mendengarkan butir bicara yang terbit dari bibir mak.
Fiah tak bahagia mak. Fiah terluka, Fiah kecewa, Fiah menderita, mak! Adu hati ini pedih. Andai mak tahu?!
“Dah 2 hari Am balik Kuala Lumpur. 3 hari lagi majlis menyambutkan? Bila Am nak balik sini?” tanya emak kemudiannya.
Aku tahan nafas seketika. Mencari kekuatan untuk menipu emak. Melakukan khilaf lagi. Menambah kepada timbangan dosa sedangkan pahala masih terlalu ringin. Bagaikan kapas andai hendak dibanding dengan keberatan dosa.
“Ya, mak. Nanti Fiah telefon Am. Mungkin dia sibuk tu. Dia ada cakap dekat Fiah yang dia banyak kerja penting kena selesaikan. Mak jangan risau, ya?”
Mak menggeleng perlahan. Bibir tua itu mesra tersenyum seperti selalu. Jemarinya masih tidak lepas dari membelai kepalaku yang dilitupi selendang.
“Mak tak risau, nak. Mak cuma kesian, baru kahwin sehari dah kena tinggal. Tak pun Fiah jelah balik Kuala Lumpur sana. Nanti mak boleh ke sana sendiri dengan Kak Anah. Fiah tunggu mak kat sana. Kan senang,” usul mak.
Kini, giliran aku pula menggeleng. Tidak setuju dengan cadangan mak sedangkan perkara itu sudah terlalu mustahil untuk terjadi. Aku yakin, Am tidak mengedarkan walau sekeping kad pun di sebelah pihaknya dan aku juga amat yakin yang dia telah memberitahu keluarganya akan tuduhan yang telah dia jatuhkan buatku.
“Fiah tak apa-apa, mak. Fiah nak temankan mak dulu sebelum Fiah balik Kuala Lumpur. Fiah takut satu hari nanti Fiah dah tak boleh nak temankan mak macam ni,” ujarku penuh makna.
Ya, aku resah andai tidak mampu aku berdepan dengan mata tua emak satu hari andai ditakdirkan dia dapat menangkap hakikat anaknya yang menjadi janda sedangkan masih bersuami.
Andai diceraikan, aku akan menjadi janda berhias. Bersyukur juga kerana Am benar-benar tegar untuk tidak menyentuhku. Setidak-tidaknya, aku tidak akan rasa terbeban dibadai rasa rindu padanya nanti.
“Tapi, kenapa mak nampak Fiah tak gembira? Fiah ada masalah ke?”
Aku senyum lantas menggeleng beberapa kali menidakkan andaian emak yang ternyata benar.
“Fiah bahagia, mak. Mana Fiah nak cari seorang suami yang benar-benar mahu terima kekurangan Fiah. Yang sudi jaga Fiah seumur hidup ni. Yang sudi terima keluarga kita seadanya,” selaku lembut. Emak angguk beberapa kali.
“Mak doakan Fiah bahagia selamanya,” ucap mak lalu mengucup dahiku.
Aku hela nafas lega bila emak masih belum menangkap keadaan diriku yang sudah ditinggalkan suami. Setidak-tidaknya dia tidak bersedih hati lagi. Cukuplah apa yang pernah emak lalui dulu dan aku berjanji tidak akan sesekali membenarkan hati mak menangis lagi.
“Fiah!” Suara Kak Anah yang tiba-tiba membuatkan mak menegur sikapnya itu. Terkejut juga kami dengan sergahannya yang tanpa salam itu
“Kenapa, kak?” tanyaku lantas bangkit berlalu ke dalam rumah mengikut langkah mak.
“Akak nak tanya pasal tu,” ujar Kak Anah di depan mak. Aku jeling kakakku itu memberi amaran agar tidak berbicara lanjut perihal itu.
“Pasal apa?” tanya mak. Aku geleng kepala.
“Tak ada apalah, mak. Kak Anah nak tanya pasal majlis tu. Kot-kot Fiah tak puas hati ke,” dalihku.
Bulat mata Kak Anah mendengarkan alasanku pada emak. Aku tahu dia sudah mula mengesyaki sesuatu selepas dia pulang dari pekan pada hari bersejarahku itu. Aku fikir dia sudah melupakan segalanya tapi tidak sangka pula dia nekad bertanyakan perihal itu hari ini dan paling sadis, di depan mak pula.
“Yalah. Mak ke dapur dulu,” ujar mak seraya melangkah ke dapur.
Aku hela nafas lega. Sekali lagi lega dengan pembohonganku pada mak. Menjadi anak yang derhaka.
“Kenapa Fiah tipu mak?” tanya Kak Anah.
Soalan itu aku biarkan seketika. Aku menarik lengan Kak Anah masuk ke bilikku. Lantas aku rapatkan pintu dan meletakkan jari telunjukku rapat ke bibir. Berharap agar Kak Anah mengawal suaranya.
“Kak tanya tu perlahan sikit. Fiah tak nak mak tahu.” Aku duduk di bangku meja solek. Kak Anah pula mengambil tempat di birai katil.
“Ni akak nak tanya Fiah ni. Hari pertama lagi nak tanya, tapi Fiah asyik mengelak je. Akak nak tahu, kenapa duit hantaran tu naik nama Ilham Fitri bin Fakhri. Tu bukan nama laki kamu ke, Fiah?” tanya kakakku sedikit keras.
Mulutku tidak mampu menjawab apa-apa. Terlalu drastik membuat keputusan meminta Kak Anah ke bank hari tu tanpa memikirkan kesannya yang sedang aku hadapi sekarang.
Mata ini tidak juga mampu menentang renungan tajam Kak Anah. Aku tahu, masih terlalu banyak persoalan yang akan diajukan dan aku pastinya harus menjawab soalan-soalan itu nanti andai tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh.
“Itu hantaran Fiah, kan? Kenapa mesti Fiah nak cashkan dalam akaun dia pulak? Atau kamu berdua ni ada rahsia besar yang tak nak kami tahu?” tebak Kak Anah.
Aku tunduk lagi. Takut hendak menentang pandangan mata Kak Anah. Bimbang andai dia terus mendesak dan aku tiada pilihan lain selain berterus terang. Aku tidak mahu Kak Anah tahu tentang ini. Terlalu awal. Malah, andai boleh, aku mahu menyimpan rahsia ini seumur hidupku. Tapi sampai bila?
“Kau lebih baik berterus terang dengan kakak, Fiah. Ni dah 2 hari Ilham balik tinggalkan kau sorang-sorang kat kampung ni. Kalau tak ada masalah, tak mungkin dia boleh balik tergesa-gesa. Setakat alasan kerja tu, budak bodoh pun tak boleh nak terima, Fiah,” sinis kakakku.
“Agaknya, kamu memang dah bisu Fiah. Dah jadi hati batu. Kalau macam inilah sikap kamu, baik akak bawa perkara ke pada mak. Biar mak yang tanya pulak,” ugut Kak Anah.
Dia bangkit hendak berlalu bila aku lebih pantas memaut lengannya. Menghalang dia dari terus keluar dan memberitahu perkara ini pada mak.
“Jangan, kak. Fiah tak sedia lagi nak mak tahu,” rayuku bersungguh-sungguh. Aku paut kaki Kak Anah erat-erat. Menahan kepedihan hati.
“Kan betul akak cakap. Kamu berdua memang ada masalah. Sebab Ilham tu tak macam orang baru kahwin. Kamu berdua langsung tak ada seri pengantin,” tempelak Kak Anah lagi. Dia kembali duduk di depanku.
Aku ketap bibir. Seboleh-bolehnya menahan airmata agar tidak bertakung di kelopak mata. Aku sudah tidak rela membiarkan wajah ini dinodai titisan jernih itu. sudah benci. Sudah muak.
“Cuba Fiah berterus terang dengan kakak, dik. Kenapalah Fiah sejak dulu tak sudah-sudah berahsia? Tanggung segalanya seorang diri. Tak rasa sakit ke, Fiah? Kuat sangatkah bahu kamu ni nak tanggung semua ni sendiri?” Bahuku ditepuknya berkali-kali.
Mata Kak Anah aku lihat berkaca-kaca. Aku tahu dia sedang bersedih dengan keadaan diriku yang dia sendiri tidak tahu apakah puncanya.
“Kakak tak tahu masalah kamu berdua tapi akak mohon, Fiah ceritalah pada akak. Walaupun tak membantu, akak boleh menjadi pendengar buat Fiah,” sambung Kak Anah lagi dengan suara yang perlahan.
“Nampak sangat ke Fiah dengan Ilham ni, kak?”
Kak Anah mengangguk. Aku mengeluh kecil. Sedaya upaya aku menyorok kepincangan kami tapi akhirnya, terkesan jua oleh kakakku.
“Ketara Fiah. Akak yakin, mak juga perasan dengan semua ni tapi dia tak nak tuduh sembarangan bila Fiah sendiri cakap yang Fiah bahagia. Kakak mohon pada Fiah, jangan tanggung semuanya seorang diri. Kamu tak tak akan mampu, Fiah!”
Aku tenung anak mata Kak Anah. Lama. Mengumpul segala kekuatan yang ada untuk aku aku luahkan segalanya. Benar katanya, bahuku ini sudah mahu rebeh dek bebanan yang mula tidak tertanggung.
‘Katakan yang benar, Fiah. Walaupun pahit.’ Bisik satu suara di dalam diriku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Setidak-tidaknya, aku mungkin akan berasa sedikit lega selepas ini.
“Sebenarnya Fiah… dengan Ilham Fitri dah… dah…” Aku telan liur. Terasa kelat tiba-tiba. Tak mampu hendak aku ungkapkan kata.
“Susah Fiah nak terangkan, kak.”
“Fiah kena cerita dengan akak. Fiahlah satu-satunya adik akak. Kalau bukan pada akak, pada siapa lagi Fiah nak kongsi masalah Fiah?” Kak Anah menyapa jemariku ke dalam genggamannya. Menyatakan kesediaannya untuk berkongsi jerih pedih ini denganku.
“Fiah dan berpisah dengan Ilham, kak,” ujarku senafas.
Kak Anah langsung berdiri. Matanya bulat. Mulutnya melopong. Aku lihat bibirnya bergetar bagai hendak menyatakan sesuatu tapi aku lihat, airmatanya yang mengalir terlebih dahulu. Menuruni lekuk pipinya laju lantas dia terjelepuk ke lantai.
“Fiah cakap apa ni,” gumamnya menahan tangis.
“Fiah cakap yang betul, kak. Inilah hakikatnya.”
“Kenapa boleh jadi macam ni, dik? Kenapa hidup kau lebih sukar dari akak yang banyak berdosa ni, Fiah?” Kak Anah jelas sesal dengan apa yang sedang berlaku padaku.
Tapi, aku tidak mampu menolak. Percaturan takdir telah menetapkan begini. Pahit atau manis, aku harus telan tanpa banyak dalih.
“Dah takdir hidup Fiah, kak. Fiah tak mampu nak tentang. Fiah sanggup tentang satu dunia kalau benar Ilham inginkan Fiah, tapi Fiah dah hilang daya bila Ilham sendiri yang menentang Fiah, kak.” Suaraku tertahan-tahan. Sebak dada ini. bagaikan mahu pecah.
“Tapi, kenapa Fiah? Kalau betul dia tak nak kan Fiah, kenapa Fiah nak juga kahwin dengan dia? Lepas tu ditinggalkan selepas sehari? Dan akak harap dia tak sentuh kamu.”
“Dia tak sentuh Fiah walaupun pada hujung jari, kak.” Aku geleng beberapa kali.
“Dan maafkan Fiah, kak. Tapi, Fiah buat semua ni untuk selamatkan air muka keluarga kita. Apa kata orang kampung nanti kalau pernikahan Fiah dibatalkan saat-saat akhir? Orang mesti kaitkan kita dengan masa silam, kak dan mak mesti sedih. Fiah tak nak macam tu. Kebahagiaan mak dan akak adalah segalanya pada Fiah. Cukuplah mak menderita menahan tohmahan orang.”
“Dengan pertaruhkan kebahagian sendiri?” pangkas Kak Anah. Tidak dapat tidak, aku angguk jua.
“Kenapa kau bodoh sangat, Wafiah? Kenapa tak bincang dengan kami dulu? Mak dengan akak tak kisah dah dengan caci maki orang pada kita. Mulut orang tak boleh nak tutup Fiah. Cukuplah Allah tahu segalanya tentang kita. Kebahagian kau yang penting bagi kami. Dah cukup banyak kau berkorban untuk kami. Kenapa kau fikir yang kami tak boleh nak terima keadaan kau kalau kata Ilham batalkan perkahwinan kamu ni?” bentak Kak Anah dengan suara yang perlahan.
“Maafkan Fiah sekali lagi, kak.” Aku melutut di kaki Kak Anah.
“Tapi, Fiah mohon. Jangan beritahu mak pasal semua ni. Fiah tak nak mak sedih, kak,” rayuku dengan tangisan yang sudah mula menguasai diri.
“Habis tu, kenapa kamu berdua setuju nak kahwin jugak dalam keadaan macam ni?”
“Dalam hal ni Ilham tak salah, kak. Fiah yang minta syarat macam ni. Nikahi Fiah demi menjaga maruah keluarga kita dan Fiah rela diceraikan sehari selepas tu. ternyata, kami sama-sama menjaga janji kami, kak.” Aku ketawa tipis. Ketawa dalam airmata dengan kejahilan diri sendiri.
“Bodohnya kamu, Fiah. Tapi, bodoh lagi Ilham. Kenapa dia boleh nak tinggalkan adik akak yang sebaik ni? Salah apa Fiah pada dia sampai dia tergamak buat macam tu?” rintih Kak Anah.
Airmatanya terus merembes tanpa dia seka hinggakan aku pula dihambat rasa bersalah. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu lagi melihat airmata mereka menitis lebih-lebih lagi keranaku tapi hari ini, aku kalah jua. Kalah kerana keputusan Ilham.
“Fiah tak tahu, kak. Sekelip mata dia berubah. Bila Fiah tanya, dia tak beritahu. Masa tu, hanya wajah akak dan mak yang Fiah nampak. Wajah sinis Abang Zali dan wajah menghina orang kampung pada kita nanti. Padahal terlalu banyak perkara yang Fiah nak ceritakan pada Ilham, termasuk pasal Fazlee.”
Mata Kak Anah tearah kepadaku. Tajam di dalam renungan yang penuh dengan airmata.
“Fazlee?” tanya Kak Anah sepatah. Aku angguk.
“Fiah jumpa dia?” Aku angguk lagi.
“Lepas tu Ilham nampak? Macam tu?” Kali ini aku menggeleng pula.
“Angguk geleng ni tanda apa, Fiah? Kau tak menjawab soalan akak pun,” marah Kak Anah.
“Fiah tak rasa Ilham nampak, kak. Sebab tu Fiah nak cakap pada dia. Tapi, bila Fiah jumpa dia, dia memang bukan Ilham yang Fiah kenal. Semua yang kenal Fiah tuding jari pada Fiah. Mungkin kakak tak tahu, yang Zura pernah kerja dengan Fiah kat KL dan lebih sedih bila dia canangkan pasal Fiah pada semua orang. Sampaikan kawan pejabat semua dah tak bertegur dengan Fiah, kak.”
“Zura anak Mak cik Zahrah?” Kak Anah beriak terkejut.
“Ya, kak.” Aku angguk.
“Ya, Allah. Berapa banyak rahsia yang kau simpan ni, Fiah? Apa lagi yang kau sorok dari kami ni, dik?” keluh Kak Anah.
“Fiah tak sanggup nak beritahu, kak. Fiah masih mampu simpan sendiri,” ujarku menahan esakan.
“Simpan sendiri, lepas tu menangis sendiri jugak. Macam tu?” tekan Kak Anah.
Aku tidak dapat menjawab lagi. Wajahku sudah dijeruk airmata. Terhenjut-henjut bahuku menahan sendu dan serentak itu, daun pintu bilikku dikuak dari luar. Wajah Abang Zali, suami Akak Anah muncul dengan senyuman herot di bibir biratnya.
Kami saling memandang. Aku cuak, wajah Kak Anah pula pucat lesi. Kami tidak tahu sejak bila Abang Zali berada di luar bilik dan pastinya dia sudah mendengar segalanya.

~~~>bersambung

Berbaloikah kita jual kebahagian sendiri demi keluarga tersayang? Berapakah nilai kebahagiaan itu andai terpaksa ditukar ganti dengan kepedihan? Bagi Fiah, keluarga adalah segalanya dan itu sudah tentu tak ternilai jika bendak dibandingkan dengan diri sendiri. Hati yang kini bagaikan kapas, mungkin bertukar menjadi kerikil kembali malah lebih teguh dan kukuh dari dulu kerana dia berdiri berpaksikan kekecewaan dan kesakitan lalu....

13 comments:

  1. sedihnye......btw congrate kak RM...tak sbr nk beli jika karya ini diterbitkan nnt :D

    ReplyDelete
  2. Yup sedihnya...tp nape tak stop smpi chapter 40 dik...harap dpt siapkan manuskripnya cepat2 ye....good job RM

    ReplyDelete
  3. alahai dik..mengong betui mamat poyo Ilham tu kan..punyala dpt bini sebaik wafiah..sanggup meninggalkannya begitu..marahnya akak kat dia..
    takkah keluarga ilham tertanya tanya mengenai hubungan ilham ngan wafiah dan majlis mereka..Tegarkah Fazlee..membiarkan fitnah dipalitkan kat wafiah sdngkan semua ini berlaku bersebabkannya..
    Adik..tahniah untuk penerbitan buku adik ni ek..rasanya bila akan dipasarkan..tak sabar rasanya nak tahu ending citer ni..

    ReplyDelete
  4. aduhai..sowi semua ek..RM baru berkesempatan nak reply kumen2..anyway thanks a lots.hee..bengong kan ILham..educated tp childish thinking..tp itulah hakikat, kerana cinta manusia memang menjadi kanak2..sukar menilai, hanya mahu menerjah saja..bagi yg sakit hati pula mereka akan terus menyakiti. doa2kan semoga semuanya berjalan lancar ek..sayang pemabca semua..~~~>RM

    ReplyDelete
  5. sedihnyer cerita nie..ruginyer Ilham tinggalkan Wafiah...hidup mesti teruskan..RM jadikan watak wafiah seorang wanita yg lebih berkerjaya+jelita...biar Ilham tergila2 lak ngan Wafi...sebenarnyer ini ler kehidupan jatuhkan hukuman tanpa mendengar pengelasan..masa nak bersungguh2 tp bila dah dpt mudah jer x hargai..he..he..teremosi lak...

    ReplyDelete
  6. tahniah kak...cpt2 la trbit kn novel neh...rse nk simbah asid je kt am..

    ReplyDelete
  7. haah la, nape am tak siasat dulu. yang Fazlee lak. tak habis2..bawa lori langgar je dia, biar penyek... kehkehkeh. pape pun congrate kak, best citer ni.

    ReplyDelete
  8. kak! jgn lupa maklumkan pada kami2 yg setia ni bila, bulan berapa novel TK ini akan dikeluarkan? Sebab kami2 nak jadi among the first yg ode/beli TK.

    arghhh..siksanya nak tunggu bila tuh....

    ReplyDelete
  9. akak lau de pkmbangan ttg novel tk jgn lupe bgtau kmi...xsbar nk bce smpai ending...hehe

    ReplyDelete
  10. Besstttt sampai naik jam tab nie duk ulang baca x sabar nak beli novel nie heheh dalam senarai novel wajib beli nie.

    ReplyDelete
  11. terseksa jiwa nie nak tunggu novel kuar.. agak2 bile kuar tu?

    ReplyDelete
  12. la kenapa la laki kakak dia tu suka menyibuk,tp tak pulak ceraikan bini dia tu.

    ReplyDelete