Thursday, February 02, 2012

Bila Nak Saksi? [12]

[12]

SAKITNYA kepala ni… rungut hatiku sambil menahan sakit. Aku pegang kepala yang agak berdenyut-denyut.

“Apa dah berlaku ni?” Aku menggumam sendiri.

Mata masih terpejam rapat tapi bila aku rasa ada tangan yang mengelus pipiku lembut, aku paksa mata ini berbuka. Wajah mama dekat denganku. Riaknya risau. Ada sisa airmata yang meniti di tubir matanya.

“Eh, kenapa mama menangis?” tanyaku pelik.

Aku cuba bangkit tapi mama tahan. Bila aku pusing ke kiri, Kak Shima dan abah juga ada di sisi. Wajah masing-masing sugul. Macam aku ditimpa bala pulak.

“Kenapa semua orang sedih?”

Mama memegang pipiku. “Lit buat kami risau. Sebab tu mama tak bagi dah Lit masuk apa-apa pertandingan. Bahaya. Ni dah kena tumbuk. Kat muka pulak tu!”
Aku cuba recall balik apa yang dah jadi. Sekarang ni, baru aku ingat yang aku pitam masa berada di tengah- tengah pertandingan sebab pihak lawan main kotor. Dia tumbuk muka aku dan aku harap dia kena disqualified!

“Lit baru ingat… Lit jatuh, kan?” tanyaku. Mama angguk.

“Lepas ni abah haramkan dah Lit masuk apa-apa pertandingan. Kalau dah gian sangat, tumbuk jelah batang pisang abah tu. Abah tak marah. Habis lebam muka tu.”

Aku tak pasti abah membebel atau dia menasihati. Bila dia berkata demikian dan relakan aku lunyaikan batang pisang dia, maknanya dia memang tak nak aku masuk bertanding lagi.

Menyesal sebab cuai tadi padahal aku rasa aku mampu menang. Ni semua Usop punya pasal. Benci Usop!

“Alaa… sikit je pun. Kan kak kan?” Aku cuba meraih sokongan Kak Shima tapi sayang dia juga menggeleng.

“Sikit apa? Nanti kau tengok mata kau dah jadi mata panda. Dah tak jelita dah. Dah jelek tau tak?”

Aduhai. Kak Shima ni memang tak membantulah. Sebab dia tak membantu aku hadiahkan satu jelingan tajam memberi amaran. Aku cuba lagi hendak bangkit dan kali ini mama membantu aku bersandar pada kepala katil.

Bila aku tengok keadaan sekeliling baru aku perasaan, aku memang berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan atau nama singkatannya HTAA. Kira teruk jugaklah kena tibai.

“Siapa angkat Lit tadi, ma?” tanyaku.

Rasa ingin tahu membuak-buak sampaikan masa aku tak sedar pun aku termimpikan dia. Aku yakin suara dia yang menyeru namaku kali terakhir sebelum aku pitam tadi. Aku yakin sepasang tangan itu yang menyambutku daripada tersembam ke lantai. Aku kenal sentuhan itu.

“Siapa lagi? Usoplah.”

Tiba-tiba je, muncul Abang Jeff dengan Usop daripada luar berjalan maju ke arahku. Kak Shima berundur mendekat pada suaminya dan mama pula beralih duduk dekat dengan abah membiarkan Usop menggantikan tempatnya.

“Okey?” tanya dia sepatah.
Aku telan liur dan mengangguk sekali. Rasa segan bila mengetahui Usoplah orang yang menyambut aku tadi.

“Pertandingan awak tadi dibatalkan sebab pihak lawan langgar peraturan. Cuma, saya dah batalkan nama awak dalam pertandingan sebab awak tak sihat,” beritahu Usop lagi.

“La… kenapa batalkan? Saya boleh menang tadi.” Aku mengeluh tak puas hati.

“Awak kan tak sedarkan diri tadi. Nak tak nak kena batalkanlah. Tak apa, saya dan Jun ada lagi…”

“Shila pun ada, kan?” pangkasku menyindir.

Sindiran yang berbaur cemburu. Usop ketawa kecil. Dia memandang semua ahli keluarga sekilas sebelum jatuh semua pada wajahku.

“Cemburukan Shila sampaikan kena tumbuk oleh pihak lawan, ya?” tanya dia sedikit berbisik. Rasanya cukup antara aku dan dia je dengar.

“Eleh, tolong sikit ya… Jom, kita sambung pertandingan tengok saya hebat ke tak!”
Aku tak puas hati sebenarnya sebab Usop dah batalkan nama aku. Aku cuba bangkit tapi suara tegas abah kuat melarang.

“Jangan nak mengada Jelita. Dah elok Usop batalkan, kamu nak cari nahas lagi? Nak langgar arahan abah, macam tu?”
Aku tak jadi bangkit lalu aku kembali rebahkan badan.

“Dia dah sihat tu mamanya. Jomlah kita uruskan dengan doktor bagi dia keluar kejap lagi. Sembahyang pun belum ni. Mari mama, kita solat dulu. Hah, kamu Jeff, Shima mari ikut sekali. Ada anak dara sorang pun, macam-macam hal!” rungut abah lantas dia berlalu bersama mama.
Abang Jeff ketawakan aku sebelum berlalu. Sempat dia angkat tanda padan muka sebab kena marah dengan abah. Kak Shima pula wajah gatal. Konon nak cakap dia bagi can pada aku dengan Usop la tu.

Selepas mereka semua berlalu dan pintu tertutup rapat, Usop melabuhkan duduk di atas kerusi di sisiku.

“Betul ke okey ni?” Dia sekali lagi bertanya tapi kali ini lebih mesra dan lebih syahdu.
Aku angguk malu.

“Risau saya awak pengsan tadi. Nasib baik sempat sambut. Kalau tidak…” Dia menggeleng kecil.

“Orang tak suruh sambut pun,” selaku tidak sengaja.

Aduhai, apa aku cakap ni. Lain aku nak cakap tapi lain pula yang keluar. Patutnya aku cakap terima kasih tapi dah tercakap, nak tarik balik macam mana. Akhirnya aku dengar Usop mengeluh. Dia meraup wajahnya beberapa kali.

“Tak boleh ke awak ucap terima kasih pada saya sekali je, Lit?”

“Eh, nak ucap terima kasih buat apa sebab awak tolong tanpa saya pinta…”

“Dah tu awak nak suruh saya biarkan awak tersembam atas lantai kayu tu, macam tu?” Dia sikit melengking.

“Err.. saya… se..benarnya saya…”

“Awak apa? Awak memang tak pernah harapkan bantuan saya, kan?”

Aku menggeleng. “Bukanlah macam tu?”

“Dah tu macam mana? Cuba awak cakap sikit, saya nak dengar ni…” Dia tunjuk ke arah telinga dia.

“Saya sebe… narnya… tak naklah terhutang budi pada awak sangat. Dah banyak kali awak tolong.”
Huh, sempat aku fikirkan idea ni.

Dia ketawa kecil. “Kenapa? Takut tergadai body?”

Hah, terkejut aku. Melopong mulut. Dia ni memanglah main sebat je apa yang dia nak cakap. Langsung tak kira aku segan ke tidak.
Aku telan liur berkali-kali. Baru nak jawab, Usop terlebih dahulu menyambung.

“Jangan risau. Saya tak usik benda yang tak halal pada saya. Kalau nak tergadai pun, dengan cara yang halal dan baiklah.”

Kala ini, aku rasa muka aku dah merah. Kalau kata udang kena bakar tu dah merah, aku rasa aku lagi merah. Usop senyum sikit. Huh, cair hati aku. Makin merah wajah aku.

“Malu?” tanya dia sepatah. Aku cepat-cepat menidakkannya.

“Jangan suka menidakkan hakikat Lit. Hati kata lain, awak kata lain. Saya kata ya awak kata tidak, saya kata tidak awak kata ya. Macam mana tu?”

“Mana ada…”

Dia ketawa lagi. “Tak apalah. Janji awak selamat saya syukur sangat. Risau gila tadi takut awak pitam tak bangkit-bangkit. Bujang sampai tua lah saya ni.”
Usop dah bangkit dan sedia hendak berlalu. Baru saja dia capai tombol pintu, aku menyeru nama dia agak lembut sikit kali ini. Seratus lapan puluh darjah dia berpusing kembali menatap wajahku.

“Awak memang suka Shila atau awak memang suka mainkan perasaan orang?”

“Soalan jenis apa tu?” Dia berpeluk tubuh. Tak jadi nak keluar.

“Soalan jenis esei. Open answer. Awak boleh jawab apa saja awak nak jawab. Tak ada A, B, atau C.”

Langkahnya kembali menapak ke arahku. Bila dia hampir, dia jatuhkan kedua belah telapak tangannya di atas katil membiarkan tubuhnya itu membongkok sikit dekat padaku.

“Hati saya satu je dan tak pernah keliru. Sebab bila saya keliru, saya serah pada Tuhan dan Tuhan tetapkan yang perasaan saya tak silap. So, tak ada istilah mainkan orang melainkan orang yang tak nak mengaku. Pasal Shila tu, saya rasa dia suka saya. Boleh saya cuba tak?”

Dia jungkit kedua belah keningnya. Aduh!! Sakit jiwa aku dengan Usop ni. Terbelit-belit huraian dia. Aku faham kiasan dia bila dia katakan dia tak silap punyai perasaan padaku tapi kenapa nak try Shila pulak?

Otak aku ni benar dah tak mampu nak jana buat masa sekarang. Pening masih bersisa. Melayan Usop lagi pening.

“Saya nak tidur. Awak boleh keluar dan tutup pintu,” arahku tegas lalu aku rebahkan badan.

“Saya temankan…”

“Tak payah. Saya tak suka awak, jadi tak ada makna saya nak suruh awak teman,” tekanku lagi lantas aku kalihkan tubuh ini ke arah lain.

Sedar tak sedar, tiada suara Usop melainkan aku dengar bunyi pintu dirapatkan dan tahulah aku yang Usop sudah keluar dan aku, menitiskan airmata.
Kenapa payah aku nak tahu macam mana cinta? Tapi, kenapa aku kerap kali teringat pada Usop? Teringat ni adakah sejenis rindu dan aku sungguh-singguh tak tahu!!

***

SUDAH dua hari setelah peristiwa aku tumbang kena tumbuk hari tu. Usop? Hilang entah ke mana. Jari aku ni ringan je nak tekan nombor dia tapi aku takut. Malu sebenarnya. Macam mana nak buat ni?

Dah dua hari aku cuba telefon Usop nak ucap terima kasih sebab sudi bantu aku hari tu, tapi tetap tak dapat. Di luar kawasan katanya. Nak hantar emel, aku yakin dia tak buka.

Dari tadi aku mundar-mandir ke hulu dan ke hilir mencari buah fikiran. Hati kata ya, kenapa mulut menidakkan? Ya Tuhan, apa nak buat ni. Tengah-tengah mundar-mandir, aku dikejutkan oleh sesuatu bunyi.


“You have an email.”


“Aduh, suara mesin ni kacau betullah.” Aku merungut sambil berlalu ke meja belajar. Terus saja aku klik notify. Dalam hati aku berharap sangat Usop tapi sayang bukan daripada dia tapi daripada salah sebuah syarikat yang aku mohon jawatan kosong tu.

Mata ini menatap bait-bait tulisan pada skrin komputer ribaku. Seperti biasa, tahniah… andai dikehendaki menghadiri temuduga.

Aku scroll lagi ke bawah melihat butiran lanjut dan tak pasal-pasal aku tepuk dahi sendiri melihatkan tarikh temuduga. Minggu depan. Kot kata aku dapat jawapan cepat, memang aku kena tinggalkanlah budak-budak tu dengan tempoh latihan yang masih berbaki. Sayang seribu kali sayang. Aku tak nak tinggalkan mereka. Errr… tak nak berjauhan dengan Usop.

Jam di dinding aku pandang lama. Menghitung waktu yang ku rasakan terlalu cepat berlalu. Membawa sejuta perubahan dalam diri aku. Perubahan pada hati dan perasaan aku. Lama melihat jam, waktu tak mungkin kembali dan terhenti, jadi aku cepat-cepat menghampiri almari.

Waktu ini hanya seorang saja yang mampu mendengar luahan hati aku ni. Aku gapai sehelai t-shirt lengan panjang Voir Jeans yang Kak Shima hadiahkan tahun sudah. Warna hijau muda. Lepas aku kemaskan rambut, aku gapai beg galas lalu aku berlalu keluar meniti anak tangga mencari mama.

Mama ini melilau ke sekitar rumah tapi ternyata mama tak ada. Ni mesti kat taman orkid dia jadi aku melangkah ke pintu utama dan dari jauh dah nampak mama duduk mengemas kebun dia.

“Assalamualaikum, ma,” sapaku mesra.

Mama berpaling dan tersenyum. “Waalaikumussalam. Nak pergi mana ni?”

“Err.. Lit keluar kejap, boleh tak?”

“Yalah, mama nampak Lit nak keluar tapi Lit nak ke mana?” Mama jungkit kening.

“Lit nak jumpa Kak Shima kejap.”

“Laa… Kak Shima ka nada kuliah hari ni? Pagi-pagi dia dah pergi kampus? Lit mengigau ke apa? Ke pening lagi kesan kena tumbuk hari tu?” tanya mama sinis.
Aku tersengih kelat.

“Sebab Lit tahu dia kat kampus la, Lit nak keluar ni. Rasanya kakak ada kuliah setengah hari je. Nanti Lit balik dengan kakak. Suruh Abang Jeff jemput,” cadangku pada mama.

Mama menggeleng kecil.

“Abang Jeff tak ada. Dia pergi site dua tiga hari lepas. Hari ni baru balik. Lit lupa ke?”

Aku tepuk dahi bila mama berkata demikian. Macam mana aku boleh lupa abang aku tak ada kat rumah waktu ni? Sungguh aku lupa dia out station. Patutlah rumah sunyi. Tak ada orang menyakat aku. Dia memang tak ada rupanya.

“La, Lit lupalah. Patutlah rumah sunyi. Err, Lit pergi dululah mama. Nanti apa-apa hal Lit telefon mama balik.”

Aku gapai tangan mama dan tanpa sempat dia bersuara terus saja aku berlalu cepat-cepat sebelum mama sebut nama Usop lagi. Nanti telinga aku yang sakit. Dahlah sakit hati tak baik-baik lagi ni.

Aku terus menahan sebuah teksi yang sedang elok lalu di hadapan rumah. Mesti baru lepas hantar orang. Bila teksi itu berhenti, aku masuklah.

“Err, pergi kampus UM, ya encik.” Aku bersuara pada pemandu teksi tu.

“UM dekat Taman Pertanian tu ke?” tanya dia pinta kepastian dan aku mengangguk saja.

“Baik, dik…”

Dia terus saja menekan pedal minyak meninggalkan taman perumahan aku di Jalan Haji Ahmad menuju ke Taman Pertanian dekat dengan jalan nak menghala ke Gambang.
Jam dah menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Aku yakin Kak Shima dah nak keluar kejap lagi. Petang memang dia free. Dia yang cakap dekat aku semalam.
Tak sampai setengah jam, teksi tadi dah masuk ke dalam pagar UM. Terus saja aku minta dia berhenti dekat stesyen bas bila aku ternampak kelibat Kak Shima di situ.

Selepas membayar tambang, aku terus keluar dan berlari mendapatkan Kak Shima bila aku lihat dia nak naik bas dah.

“Kakak!!” laungku kuat dan serta merta semua berpaling.

Bukan Kak Shima seorang. Masing-masing memandang aku pelik. Aku pula, tahan wajah malu. Buat-buat muka tak bersalah.

“Eh, buat apa kat sini?” tanya dia setelah mendekatiku.

Aku tak terus menjawab, sebaliknya aku biarkan dulu bas itu berlalu membawa deruman enjin kuat itu pergi jauh-jauh.

“Buat apa kat sini?” tanya dia sekali lagi. Aku sengih.

“Jumpa kaulah…”

“Ni mesti ada udang sebalik mamee slrrpp kari berapi ni, kan?” Jari telunjuknya tegak ke wajahku. Aku ketawa kecil.

“Ada la sekor dua,” selaku.

Lenganku dihinggapi oleh cubitannya. Aduhai, sakitlah. Kalah cubitan mama. Ni mesti menuntut dengan mama ni.

“Sakitlah…” Aku merungut sambil menggosok lengan. Kak Shima senyum.

Sorry…,” pintanya dan aku jungkit kening.

“Kakak… jom kita jalan-jalan kejap. Abang tak ada hari ni, kan? Eh silap, abang baru nak balik hari ni, kan?”
Kak Shima menggeleng.

“Nak pergi mana? Abang Jeff kau tu nak balik hari ni wei. Entah-entah dah sampai kot. Dia call aku pagi tadi, nak gerak awal sikit. Nanti dia bising pulak.”

“Alaa, SMS la dia minta izin,” arahku pula.

Kak Shima buat muka. Pada mulanya wajah itu nampak hendak menolak ajakanku tapi bila aku terus buat muka comel, dia akhirnya menarik telefon bimbitnya keluar daripada beg tangan.

Bibirku menguntum senyum bila melihatkan dia yang sedang menekan papan kekunci telefon. Setelah seketika, senyuman di bibir merah merekah milik Kak Shima juga mekar menandakan ada berita baik.

“Jom… abang kau dah sampai rumah dah. Dia bagi kita keluar. Dia tak larat nak jemput aku.”

Hah, cepat je Kak Shima ni tarik tangan aku menuju ke seberang jalan.

“Eh, tak nak tunggu bas ke? Nak pergi mana ni?”

“Ala tak nak la naik bas. Lambat. Kita naik teksi cepat sikit kata Abang Jeff.” Kak Shima gelak.

Gelak yang membuatkan aku tak faham langsung dengan dia. Apa masalahnya kalau nak sampai cepat sangat. Bukan nak beli barang. Nak jalan-jalan sambil aku nak luah perasaan je.

“Nak cepat buat apa? Tunggu bas jelah. Lagi jimat…” Aku melarang tapi Kak Shima mencebik.

“Laki aku marah naik bas. Dia kata nanti berhimpit-himpit. Risau tercuit-cuit sana sini.”

Erk, itu je alasan Kak Shima tapi bila dia dah guna nama Abang Jeff aku tak boleh nak kata apalah. Boleh jadi juga sebab abang aku tu, kedekut bini. Dah alang-alang gitu bunyinya, sah-sah Kak Shima yang bayar dan aku dengan selesanya menerima ajakan itu.

“Jom,” ajakku dan Kak Shima terus tersenyum lebar.

Macam ada tak kena je senyuman kakak ipar aku ni. Tapi, aku tak suka nak curiga dekat orang melainkan dia tu. Benci dia!
Dalam 10 minit je, kami sudah berada di dalam perut teksi. Kak Shima menyiku aku.

“Kau datang kampus aku ni mesti ada hal penting, kan? Ada apa?” Suara dia agak perlahan.

“Err… memanglah ada hal sikit tapi tak tahu la nak mula dari mana…” Suaraku meleret manja.

Aku kerling Kak Shima. Meraih simpati lagi. Aku nak dia tahu tentang hati aku ni. Tentang bibit-bibit cinta yang sedang tumbuh sikit demi sedikit biarpun hati aku ini sering disakiti dengan gelagat dan sikap Usop yang memang sengaja nak kenakan aku.

“Pasal Usop?” tebak Kak Shima.

Aku angguk lambat-lambat.

“Jatuh hati pada dia?” soal dia lagi.

Aku angguk lagi.

Deeply?”

Deeply, madly, truly…,” jawabku perlahan menggambarkan rahsia hati aku tentang Usop.

“Emm, parah dah ni. Habis tu kau nak buat apa? Nak cari dia tempat latihan ke?”

Aku menggeleng pula kali ini.

“Dia tak ada kat sanalah hari-hari macam ni. Kelas karate kan weekend je,” ujarku.
Kak Shima ketawa kecil.

“Sorry lagi. Lupa. Dah tu nak cari dia dekat Parkson?”

“Parkson tu bukan tempat dia kerja la, kak…”

“Uiks… dah tu tempat siapa kerja? Kan dia Encik Timbang hari tu?”

“Memanglah dia… tapi dia pergi tolong adik dia ada masa-masa tu. Aku dah pergi tanya beberapa hari lepas. Tapi, yang geramnya, bila tanya budak tu, dia cakap tak boleh cakap,” luahku jujur.

“Apa pulak tak boleh cakap tapi cakap?” Kakak ipar aku ni memang sengaja. Buat-buat tak faham atau dia memang tak faham, aku pun tak pasti.

Tapi, aku yakin dia tak faham sebab berkerut dahi dia tu. Sikit lagi kening tipis dia tu nak bercantum. Kening dia tu memang sedia cantik. Sedia terandam. Natural…

“Budak tu cakap, dia menjaga amanah. Dia tak boleh cakap Usop kerja apa!” tekanku geram.
Kak Shima mengangguk berkali-kali tanda faham.

“Dah tu nak cari dia kat mana?”

“Aku tak kata nak cari dia. Orang nak luah perasaan jelah pada kau, kak. Yang kau cakap aku nak cari dia tu kenapa?” tanyaku pula.
Dia memang berlebih-lebih. Memang saja je nak bagi hangatnya perasaanku pada Usop terus membara.

“Oh, nak luah perasaan…” Dia meleretkan suaranya.

“Boleh-boleh tapi belanja aku makan dengan Kemaman Kopitiam depan Megamall tu. Teringin la weh,” pinta Kak Shima merayu.
Wajah itu nampak sangatlah kempunan dah.

“Pergi sana boleh tapi aku ni tak minum kopi, lepak situ buat apa? Dah tu aku nak tengok je kau makan minum?”
Dia bukan tak tahu, aku memang pantang dengan spesis kopi ni. Bukan macam dia pantang jumpa, aku ni memang pantang. Tak pernah usik.

“Alaa, bolehlah Lit. kakak nak makan roti dia la kat sana. Lamanya tak makan…” Dia telan liur berkali-kali.

Dia kalau nak merayu, dia biasakan diri dia kakak. Kalau tak, pantang Abang Jeff tak ada, mula ber aku, ber kau!
Lama aku pandang dia tapi dia tetap buat muka tak bersalah dia tu. Dalam hati aku ni rasa nak ketawa je. Kalau kat rumah, aku lompat atas katil sebab aku yakin, aku bakal dapat anak buah. Yahuuuu!!!

Are you pregnant, my dear sis?” tanyaku berbisik.

I guess so…,” jawab dia pula.

Aku tekup mulut. “Boleh-boleh. Kita makan kat kopitiam tu. Anak buah punya pasal. Tak boleh makan pun Mak Su telanlah juga.

“Pendek kata, tangguh lagi la semester depan kau kak.”

Aku ketawa kecil bila perasaan pemandu teksi ni memandang ke arah kami melalui cermin pandang belakang.

Dalam tak sampai setengah jam, kami dah sampai tepat di hadapan Berjaya Megamall. Lepas Kak Shima buat bayaran, kami terus menapak ke dalam Megamall sebab Kak Shima ubah haluan pulak dah. Tak jadi nak pergi Kemaman Kopitiam tu. Dia ajak aku makan con-sundae Mc’Donald la pulak.

Tapi, sebab aku yakin dia sedang berbadan dua, aku ikutkan saja. Lagipun, aku yang cari dia nak minta buah fikiran, tak ada salah kalau aku layan dia.

“Dulu, kita selalu makan con-sundae ni, kan?” tanya dia teruja.

“Emm…” jawabku pendek bila Kak Shima heret aku untuk beratur di dalam barisan yang tersangatlah panjang.

“Eh, chilllah sikit. Nanti pasal Usop tu kita fikirlah macam mana nak settle.” Dia menyiku lenganku.

“Nak settle apa pulak? Dia tak ada kaitanlah, kak. Ni masalah aku sendiri je,” luahku ringkas.
Kak Shima kalih padaku.

“Kau tak rasa dia suka kau jugak ke? Masa hari tournament tu, kemain kalut dia berlari ke arah kau, tau tak? Suara dia tu satu dewan Jubli tu bergema jerit nama kau dan kalau kau nak tahu, dialah yang gendong kau. Ingat masa tu kalau Abang Jeff tak ada, mahu dia dukung je kau bawa ke HTAA,” ujar Kak Shima tenang.

“Ya ke macam tu? Ke sebab aku ni bawah kelab dia je?”
Aku tak percaya cakap Kak Shima. Sebenarnya aku percaya tapi aku tak percaya dengan diri sendiri.

“Itulah kau, Lit. Dulu, orang suruh belajar bercinta sikit, kau tak nak. Sekarang ni tengok, umur dah 26 tahun tapi masih lagi tak reti cinta.” Dia menggeleng.

Eleh… main kutuk-kutuk pulak. Dulu tu bukan aku tak nak, dah tak ada orang nak. Geram aku dengan kakak ipar aku ni. Ada je.
Dia melangkah setapak ke depan di dalam barisan membuatkan aku ikut sama. Dah lama tak jadi pak pacak dengan booth airkrim Mc’Donald ni.

“Bukan tak naklah. Tak sampai masa lagi masa tu.” Aku menyangkal kata-katanya.

“So, sekarang dah sampai masa dah ni. Kalau kata suka Usop tu cakap.”

“Tapi, aku rasa dia mainkan aku la, kak. Dia tu kadang-kadang macam suka dekat aku, kadang-kadang macam tak…” Aku mengeluh kecil mengenangkan kemesraaan Usop dan Shila tempoh hari.

“Tak apa pulak? Main-main apanya kalau begitu risau sekali dia?” Kak Shima mengeluh lagi.

Dia tak tahu apa ayat terakhir Usop masa kat hospital beberapa hari sudah tu. Ada ke dia tanya aku nak try terima Shila. Sakit jiwa aku. Kalau tak suka, jangan tunjuk suka. Kan aku dah salah faham.

“Tapi hari tu kan, aku tengok dia kemain mesra dengan member model tu. Siapa model tu? Jun ya nama dia. Haa kawan pada Jun tu. Mesra kemain…” Kak Shima mencebik.

“Haa itulah sebabnya. Kalau kau pun perasaan, aku yang dok hadap Usop tu lagi la faham.”

“Dah tu, nak lepas macam tu je ke?” tanya Kak Shima lagi.

“Itulah… aku tak berani la kak, nak ceburkan diri dalam bidang cinta ni. Tak sudi la biar hati aku ni sakit je manjang. Lagipun, aku dah dapat offer temuduga nanti. Rasanya, aku tak payah pergi dah kot tempat latihan budak-budak tu. Senang kan, boleh terus elak Usop.”

“Nanti rindu…”

“Tak ada makna nak rindu eh…,” cantasku.

Kak Shima mendengus. “Aku nak cakap nanti kau rindu budak-budak tu lah. Nampak sangat kau sendiri tak boleh nak lupa Usop tu nanti. Jenuhlah kau. Hati tak dengar cakap dah…”

Dia ketawa mengekek dan menapak lagi ke depan. Aku memanjangkan leher menjenguk ke kaunter, apalah lambat sangat adik kerja ni. Aku kalih pula ke belakang. Tu dia… berjela lagi ha.

Selepas agak lama jugaklah beratur, akhirnya Kak Shima senyum bila dia dah dapatkan satu je con-sundae tu sebab aku tak nak. Tak ada selera biarpun tu antara makanan kegemaran aku.

Kami sama-sama menapak dari sebuah butik ke sebuah butik yang lain. Padahal satu apa pun tak berkenan di hati.

“Cakap jelah Lit kau suka dia. Ada nombor telefon, kan? Telefon je. Tak pun SMS. Mengaku cinta. Tak ada ruginya nak mengaku ni. Tak ada istilah perigi cari timba, jangan risau. Sebab kau bukan perigi dan Usop tu bukan timba,” ucap Kak Shima loyar buruk.
Dia ni bikin panas betullah.

“Memanglah dia bukan timba, kalau timba senang aku lempar dalam perigi!” jawabku dengan gigi yang aku ketap kuat. Dia ketawa.

“Perigi hati kau?” Kak Shima jungkit kening.
Aku pandang Kak Shima yang sedang jungkit kening tak henti-henti. Betul jugak tu. Aku SMS je dia.

Tapi, baru aku nak tekan papan kekunci, tiba-tiba mata aku ni tertancap pada seseorang dekat sebuah foodcourt Megamall di tingkat 3 ni. Angin satu badan apatah lagi aku dah nampak sesuatu yang menjadi milik aku. Erk, pernah menjadi milik aku sebenarnya.

“Kak, Usop tu…” Aku juihkan bibir ke arah Usop dan… Shila?!

Aku cam benar wajah selekeh tu. Aku cam lelaki berjambang dan bermisai serta rambut gak panjang tu. Aduh, apa dah jadi? Bila ada cinta dalam hati, Usop buat begini pulak. Terus aku simpan telefon bimbit aku dalam poket semula.

“Eh siapa tu? Tak boleh jadi ni, Lit. Jom-jom kita serang,” ucap Kak Shima tanpa sempat aku berbuat apa-apa dia terus menarik tangan aku menuju ke arah pasangan sejoli tu dan masa tu, sedang elok Usop nak belit selendang tu atas kepala Shila sebenarnya.

Waktu ini langkahku mati. Keras, kejung dan kaku. Airmata ni dah menari-nari di tubir mata. Aku nampak Usop pakaikan selendang ungu milik aku tu pada aku tempoh hari dan hari ini, dia pakaikan pada Shila pulak. Apa kena ni?

Kak Shima juga pegun. “Kenapa? Marilah cepat,” ajak dia.

Aku tak berganjak juga tapi aku terus memandang mereka tanpa sedar, mata Usop memandang ke arahku dan Kak Shima yang tak berapa jauh dah dari dia. Tangannya terhenti. Selendang ungu muda milikku itu, dia tarik semula. Mujur tak sempat lagi dia nak pakaikan atas kepala Shila.

Mata kami bersabung lama. Air jernih yang menari di juring mata aku kesat dengan hujung jari cepat-cepat sebelum menitis ke pipi. Shila juga memandang ke arahku. Dia bangkit lalu mendekat pada Usop.

Aduhai, sedang elok dia duduk depan Usop, dan-dan tu dia nak pergi duduk sebelah Usop pulak. Yang menariknya, dia mempersilakan aku duduk di depan dia dan Usop.
Aku hela nafas dalam-dalam lalu aku menapak dekat ke arah mereka. Mode masa ni? Mode marah! Aku memang marah sebab rasa dipermainkan. Usop masa ni? Aku nampak macam batang pisang abah!

“Ini kerja abang, kan?” tanyaku bila aku hampir pada dia.

Kak Shima memandangku dengan pandangan tak percaya. Usop mengangkat tubuhnya. Shila juga.
Aku kerling sekeliling. Mujur orang tak ramai sebab hari kerja. Kalau tak parah tengok drama aku ni.

“Errr…” Usop kelu dan aku tersenyum sinis.

“Ini kerja abang, kan selama ni?” tanyaku sekali lagi dengan suara sebak yang dibuat-buat.

“Patutlah abang nak Lit rahsiakan pernikahan kita. Lit boleh tahan lagi hari dekat dewan tu, tapi hari ni… bila abang nak pakaikan dia dengan selendang Lit, hati ni dah tak boleh nak terima, abang. Sanggup abang buat macam ni pada Lit lepas apa yang Lit korbankan untuk abang,” ucapku dengan suara yang semakin lirih.
Eleh, lirih aku buat sebenarnya. Airmata pun masa ni elok je bertakung menjadikan pandangan aku pada Usop nampak berbalam dan berkaca-kaca.

“Err, apa Lit cakap ni?” tanya Usop gagap.

“Apa Lit cakap? Lit tak cakap… Lit tanya. Kenapa abang sanggup buat Lit macam ni? Tak cukup ke layanan Lit pada abang selama ni sampaikan abang nak curang dengan Lit. patutlah Lit telefon tak dapat, abang sendiri pun tak telefon Lit, ini rupanya sebab abang…”

Aku menggeleng menyatakan rasa kesal yang sesungguhnya kesal. Tapi, aku memang kesal jugak yang selebihnya aku nak Usop rasa kesal. Geram sungguh!

“Apa ni Usop?” tanya Shila pelik.

Kak Shima pula masih melopong. Aiskrim dia dah cair dekat tangan. Dia diam tidak terkata apa. Terkejut agaknya dengan kata-kataku. Aku sendiri pun tak sangka aku boleh buat macam ni. Masaklah aku lepas ni. Memang perang besarlah dengan Usop tak pun lagi parah kalau Kak Shima cerita dekat keluarga semua.

Nak tarik balik, tak boleh dah. Jadi, aku buat muka sedih jugaklah. Alang-alang kena marah nanti, biar aku kena marah puas hati.

“Err, kejap ya Shila…,” beritahu Usop pada Shila. Dia menolak kerusi dan terus menarik tanganku meninggalkan Kak Shima dan Shila di situ dengan wajah pelik.

“Apa semua ni Lit? Apa awak buat ni? Awak nak malukan saya,ya?” tanya dia melengking bila kami dah jauh daripada mereka berdua tadi tu.

“Awak tu buat saya dulu. Kalau awak tak buat saya, saya tak buat awak macam ni, tau tak?”

Dia mendengus sambil meramas rambutnya. “Saya buat apa? Cuba cakap saya buat apa?”

Wajah itu tegang. Aku takut sebenarnya tapi nak tak nak, kena beranikan diri.

“Ni… “ Aku tarik selendang ungu tu dari tangan dia tapi dia tetap tak nak lepaskan.

“… selendang saya ni kenapa awak nak pakaikan dengan Shila pulak? Awak patut kembalikan pada saya.”

“Memang saya dah kembalikan. Dah pakaikan pun tapi ada awak hargai. Awak tinggal merata, kan? Tak reti nak hargai!” sinis dia.

Aku telan liur. Memang pun begitu tapi aku memang tak sengaja masa tu.

“Tergamak awak buat saya macam ni, ya?” tanya Usop marah.

“Awak pun sama… tergamak buat saya,” selaku antara dengar dan tidak.

Tergamak buat saya jatuh cinta pada awak lepas tu awak pergi pada perempuan lain. Hatiku menyambung sedih.
Aku pandang dia tidak berkelip dengan renungan yang paling tajam di dunia. Tengok, paling tajam dalam dunia. Meluahkan rasa geram dan sedih yang menjadi satu.

“Kenapa cakap macam tu tadi depan Shila dengan Shima?” tanya dia sambil mengetap giginya.
Erk… Shima? Pandai dia panggil kakak ipar aku tu Shima. Mesti sebab dok dengar aku dan Abang Jeff panggil masa dia datang rumah dan dekat hospital hari tu.

“Kenapa? Nak marah?” Aku angkat wajahku terus mencabar dia.

Dia mendengus lagi. Kali ini agak kasar.

“Awak jangan cabar saya, Jelita!” tekan Usop lagi dan kali ini aku tahu hati lelaki yang terbakar dengan tindakan spontan aku tadi.

~~> bersambung

Cik Penulis : Sorry lambat sikit. Baru siap dan terpanjang sikit bab ni... Layan and maaf atas kekurangan...

19 comments:

  1. alahai...nape jadi camni pulak.........
    main tarik tali pulak diorg ni...

    ReplyDelete
  2. x sanggup nk baca yang part last sekali ..ishh2

    ReplyDelete
  3. huhuhuhu apa nk jadi ni?

    ReplyDelete
  4. haihh...xpaham la dgn mud si jelita nih...usop pun satu, duk melayan si shila tu knp??

    ReplyDelete
  5. sukanyerrrr....sy tersenyum2 jek bc en3 kali nih.. nice job cik penulis

    -rhn-

    ReplyDelete
  6. makin perang dingin la lepas ni...aduhai jelita.. cemburu, katakan la cemburu...usop pun banyak rahsianya...bikin hati gusar dan tak sabar nak baca bab seterusnya..
    teruskan usaha gigih cik writer..sy sgt2 kagum dgn penulisan rehan maktar..

    ReplyDelete
  7. kenapa jadi mcm ni.... usop tu benar2x ke suka dgn shila..
    dulu kata suka sngt kat jelita kenapa nak layan shila...
    memanglah jelita tak zahir kan kata hati yg memang cinta kat usop... tapi takkan usop yg dah matang tak reti nak menilai pulak...
    apalah agaknya terjadi lepas ni...usop dah marah tu, mesti nanti ada sistem barter pulak.. barulah jelita terkedu... sapa tau kan..
    Rehan...thanks ya... saya dah boleh terima nama usop ni utk citer ni... hehehehe... :)

    ReplyDelete
  8. waaaa, lit ni memang tau. cuba turunkan sikit ego tuh. haish.. habisla mesti perang habis-habisan nih.

    ReplyDelete
  9. wahh..dah semakin menarik citenya...hehee

    ReplyDelete
  10. ni mesti lit sj nk bkr shila sbb tu ckp mcm tu. lps ni lg parah la lit klu famili dia tau. hmm cik penulis ni sj tau main2kan perasaan org. tlg up n3 br cpt sikit ye. x sbr dh ni nak tau apa jd ngan usop n lit. mula2 cerita ni rs ringan ja skrg dh mkin bkonflik n bliku2 rasanya jln citernya, langsung x terjangkau dek fikiran bila bc. langsung x sama ngan tekaan hehehe-kak zaiton

    ReplyDelete
  11. makin lama makin best... agaknya siapa yg akan mengalah
    atau masing-masing akan menegakkan ego mereka. nak lagi Rehan cepatlah post n3 baru.

    ReplyDelete
  12. penat jugakk tgk dowg men tarik tali ne.

    ReplyDelete
  13. alaaaaa.. usop ni mengada la... nk syok dgn shila plak... frust cmni...

    ReplyDelete
  14. wahh!! sy rasa makin lama, BNS ni pun ada hentakan jiwa jugaklah..hahaha.. akak,, suka3.. suka sebab usop ni lain dari yang lain.. terasa unik..!! hehe... dia ada daya penarik y tersendiri untuk memikat jelita.. aduh,, kuat cmburu jugak eh si jelita nih.. tercengang semuanya..!!

    ReplyDelete
  15. Alahai tak sangka pulak Jelita nak berdrama cam tu. Berani gila. Yang Usop tu pulak dah suka kat Jelita gatal layan Shila sebab nak test market buat apa? Tak faham tul ngan lelaki ni. Anyway tetap suka ngan n3 kali ni....dan tak sabar nak tunggu the next n3. Chaiyo Rehan!!! Semoga sihat selalu.

    -ety.s

    ReplyDelete
  16. mengejutkan bila lit berdrama macam tu. tak sangka betul.

    ReplyDelete
  17. dasyatnye drama lit buat...
    xsabar nk bca drama usop plak...

    ReplyDelete