Tuesday, March 20, 2012

Ku Ingin Milikimu [12]

BAB 12

AKU tunduk bagaikan pesalah. Renungan mata Mukhlis tajam menikam wajahku. Kemudiannya turun naik dari atas ke bawah dan begitulah sebaliknya membuatkan seluruh tubuhku seram sejuk saja.

“Pandang abang, sayang!” arah dia tegas.

Perlahan-lahan aku angkat wajahku membawa anak mata kami bertentangan di dalam keadaan yang sedikit janggal setelah dia sah bergelar suami kepada Jeslina juga.

“Kenapa Ann buat Nayli macam tu?” tanya Mukhlis tegas.

“Ann… tak buat… abang,” ujarku membela diri.

“Tak buat apa Ann, sampaikan dia boleh cakap pada abang yang Ann buat dia? Nayli tu adik abang. Dia tak pernah bohong abang walaupun sepatah ayat pun,” ucap dia.

Setelah hampir tiga minggu aku menerima dia kembali kepadaku, begini akhirnya dia rawat rindu di hati ini. Pedihnya usah ku kira.

“Abang tak percayakan Ann ke?” tanyaku sedih. Mukhlis berpaling. Dia memandang aku tenang.

“Bukan abang tak percaya. Tapi, payah untuk abang percaya. Terus terang pada abang Ann… kenapa Ann sanggup buat dia macam tu?

Sekalipun dia tak suka Ann, Ann boleh cuba raih kasih sayang dia dengan kesabaran, kan?” tanya Mukhlis agak reda ketegangan dalam suara itu.

Aku tersenyum sinis. Kesabaran yang bagaimana lagi yang dia maksudkan? Tidak cukup sabarkah aku melayani karenah keluarganya biarpun taraf hidupku di sini hanyalah sebagai orang gaji semata-mata.

Dia tidak tahu itu. Tiga minggu tanpa dia, tubuh ini lelah. Tenagaku habis dikerah membersihkan seluruh rumah besar ini. Jiwa ini parah diherdik. Dia tidak pernah tahu itu kerana selama ini aku banyak menelan segalanya sendiri.

“Maafkan Ann, abang… Ann salah,” akuiku berharap agar hubungan mereka tidak semakin keruh kerana kekeruhan yang aku bawa sudah cukup membuatkan kami menderita.

“Ann minta maaf pada mama dan Nayli,” tekan dia lantas dia berlalu keluar meninggalkan aku sendiri.

Pertama kali setelah menjadi isterinya, aku mengesat airmataku sendiri bila menerima tengkingan Mukhlis malam ini. Sungguh aku agak kecewa tapi aku tidak mampu berkata apa, bila dia berkata hitam, maka hitamlah kerana suamiku ini agak keras orangnya.

Tidak lama setelah itu, aku keluar dari bilik hendak ke dapur menghidangkan makan malam yang telah siap aku masak lewat petang tadi dan alangkah terkejutnya bila melihatkan susuk tubuh Jeslina rapat memaut tubuh Mukhlis. Aku sabarkan hati kerana dia juga berhak biarpun hari ini, adalah hari untuk aku.

“I nak tidur kat sini malam ni. Daddy dengan mummy tak ada, boleh tak?” Langkahku pegun melihatkan aksi itu dan juga kata-kata Jeslina.

“Kan I dah tiga minggu dengan you, Jes. Boleh tak you balik bagi I teman Anahara dulu,” bentak Mukhlis.
Jeslina merengek manja.

“I tak bolehlah jauh dengan you sekarang. You kan suami I …”

“Dan I pun suami pada Anahara. You kena ingat tu, Jes!” tekan Mukhlis membuatkan bibirku menguntum senyum tanpa sedar.

“Alah, biar jelah Jes tidur sini Mukhlis. Nanti esok mama dengan abah nak keluar. Alang-alang cuti ni, boleh kamu tengok-tengokan Nayli tu. Kaki dia mana baik lagi. Tidur bilik bawah tu. Tak ada salahnyalah Anahara tidur sorang. Mama tengok elok je dia tidur, pergi kerja kamu tak ada ni.” Suara Puan Sri menyampuk tiba-tiba.

Senyumku mati. Aku membawa tubuhku berlindung sedikit agar tidak terkesan oleh mereka.

“Tapi, tak adil untuk Anahara, mama. Dia dah banyak berkorban untuk penuhi kehendak mama dan Jeslina. Setidak-tidaknya, masa dia ni biarlah Mukhlis dok dengan dia je. Tolonglah faham kami, ma,” ujar suamiku merayu.

“La, dah Anahara tak kisah, yang kamu nak kisah kenapa?” soal Puan Sri mula dengan suara yang agak keras mendatar.

Mukhlis merengus. “Ikut suka youlah, Jes. Pening dah I nak fikir pasal you ni. Tak nak bertolak ansur langsung!”

Mukhlis langsung bangkit dan dia terus berlalu menuju ke pintu luncur yang luas terngada dan aku terus membawa langkahku ke dapur.

Makan malam sepi. Aku tahan hati bila merasakan Jeslina sengaja hendak membuat aku cemburu bila dia melayan Mukhlis di meja makan. Abah menggeleng, Puan Sri tersenyum

“Ana masak kurma telur malam ni?” tanya Mukhlis ceria.

Aku angguk. “Saja masak apa yang abang suka makan. Nanti kena makan lebih sikit tau,” ujarku berbisik.
Mukhlis memandangku. Bibirnya menguntum senyum.

“Kena makan banyaklah nak ada tenaga,” balas dia juga berbisik.

Aku tahan wajah yang terasa pijar bila aku dapat menangkap apa yang dia maksudkan.

“Ann sendukkan untuk abang, ya?”

Mukhlis angguk bila aku berkata demikian.

“I tahu you suka kan? Kejap I ambilkan untuk you.” Baru saja aku hendak ambil lauk itu buat Mukhlis, Jeslina terlebih dahulu mengambil sudu itu dariku dan aku terpaksa membiarkan saja.

“Jes, tolonglah. Jangan buat I rimas,” tekan Mukhlis keras.

“Dia isteri kamu Mukhlis. Apa pulak rimas kalau dia layan kami kat meja makan?” tanya Puan Sri.

“Mama…” Dia mengeluh berat.

Aku tahu dia serba salah dan aku tidak mahu menjadi punca rasa serba salah itu lantas aku membawa pinggan yang penuh berisi nasi dan lauk hendak menjauh daripada meja makan.

“Ann nak makan dekat mana tu?” tanya Mukhlis sambil menarik lenganku.

“Duduk sebelah abang. Kita makan sama-sama,” arah dia lembut. Aku menggeleng sopan.

“Err… abang makanlah dengan semua. Ann bawakan nasi untuk Nayli dulu,” ujarku memberi dalih yang tepat kerana inilah rutinku biarpun terpaksa melayan karenah Nayli pula.

“Nayli tu nantilah dulu. Ann duduk dulu makan dengan abang. Nanti kita sama-sama jenguk Nayli,” larang Mukhlis berlapik.

Dia menarik kerusi kosong di sebelahnya lalu ditepuk perlahan meminta aku duduk di sisinya. Jeslina yang ada di sebelah kirinya menjeling tajam. Puan Sri juga sama. Bagaikan belati renungan itu menikam wajahku.

“Err… tak apalah, bang. Nayli tak makan lagi dari tengah hari. Kesian dia. Lapar tu.”

Mukhlis mengeluh. Dia menolak pinggan nasinya sedikit menjauh lantas dia bangkit tapi lengan itu pantas jua dipaut oleh Jeslina.

“You nak pergi mana?”

“I temankan Ann jenguk Nayli kejap. Dah banyak hari tak tengok dia sihat ke tidak,” jawab Mukhlis mendatar.

“I nak makan dengan you ni, Mukhlis. You temankan kami makan dulu baru naik jenguk Nayli. Nanti I pun nak ikut juga,” bantah Jeslina.

Mukhlis cuba meleraikan pautan tangan Jeslina pada lengannya tapi Puan Sri pula berdehem.

“Duduk, Mukhlis. Makan dulu. Nanti pergi jenguk adik kamu tu.” Suara itu tegas saja.

“Ana pun duduklah makan dulu. Nayli tu nanti-nantilah bawa makanan ke dia,” tokok Tan Sri mesra.

Aku menggeleng sopan. “Tak apalah. Jemputlah makan semua. Ana jenguk Nayli kejap dulu. Dia memang dari tengah hari tak nak makan tu, Tan Sri,” ujarku lembut memujuk.

Berubah airmuka itu bila aku menggelarkannya Tan Sri. Bukan tidak sudi memanggilnya abah, malah berjuta kali juga aku sudi menggelarkannya begitu. Terasa dekat aku dengannya namun, lidah ini terpasung dari menyebutnya. Bimbang diherdik lagi.

“Emm… mahu nak makan kalau dia ni yang bawakan makanan, kan ma?” tanya Jeslina sinis padaku.

Aku tahu yang mereka juga tahu layanan Nayli padaku sejak aku ditugaskan menjaganya beberapa hari ini. Pernah terkesan oleh mata Puan Sri sendiri bagaimana Nayli membentak suapanku.

Kala itu, menitis airmata ini mengutip sisa makanan yang terburai di atas marmar kerana sikap Nayli tapi demi amanah keluarga dan juga amanah suamiku sendiri untuk aku terus menjaga adiknya itu, aku cekalkan hati.

Bibir ini aku ketap kuat. Anak mataku memandang ke atas. Tan Sri berdehem. Puan Seri mencemik. Mukhlis memaut jemariku erat.

“Cakap tu berlapik sikit, Jes. I tak suka you main sindir-sindir isteri I macam ni,” tegur Mukhlis.

Mata kami beradu. Andai berdua, sudah pastilah aku menghamburkan tangis di dada itu tapi tewasku tidak harus di sini.

“Habis tu, I bukan isteri youlah, ya? I tunang you dulu tapi you yang pergi nikah sorok-sorok dengan dia, buat apa?” soal Jeslina melengking.

Pinggannya berlaga dengan pinggan yang lain bila dia menolaknya agak kasar. Wajah itu cemberut. Dia mendengus kasar.

“Entah kamu ni, Mukhlis. Cuba berlembut sikit dengan Jes.”

“Dahlah tu. Depan rezeki pun nak bergaduh ke. Along mana? Tak balik lagi ke?” soal Tan Sri mengubah tajuk perbualan bagi meredakan kepanasan kala ini.

“Tak tahulah. Nanti baliklah tu,” jawab Puan Sri perlahan.

Mereka kemudiannya tunduk menikmati hidangan masing-masing hanya Jeslina yang masih kaku membatu menjeling ke arahku dan Mukhlis tidak henti-henti.

Pegangan Mukhlis pada jemariku, aku leraikan lembut. Matanya aku pandang dalam-dalam. Berharap agar dia mengerti yang aku tidak harus berada di sini, bersama mereka berkongsi hidangan di meja yang sama. Terasa kerdil sungguh tarafku di dalam rumah ini.

“Err… abang duduklah teman Jes, mama dan abah abang makan. Ann naik jenguk Nayli kejap je.”

Mukhlis akhirnya mengalah lemah. Dia angguk memberi izin dan aku terus berlalu, memanjat anak tangga penuh hati-hati dengan dulang di dalam tangan. Kala tiba di depan bilik Nayli, tingkahku pegun. Tak jadi hendak menolak daun pintu itu.

Peristiwa beberapa hari sudah tergambar di mataku. Bagaimana Nayli membentak. Menyeksa dirinya tidak mahu makan hanya kerana makanan itu aku yang masakkan dan aku yang telah Puan Sri amanahkan untuk menjaga dia.

Aku hela nafas sedalam mungkin, berharap agar aku temui lebih kekuatan untuk melayan karenah adik manja Mukhlis ini. Bila aku tolak daun pintu, wajah Nayli muram melihat padaku. Namun, renungan itu tidaklah sekusam dan sedingin seperti sebelumnya. Aku hadiahkan senyuman buatnya.

“Kaki dah okey?” soalku tapi Nayli diam.

Aku terus menarik bangku pendek di bawah almari soleknya dan terus aku labuhkan duduk di sisi katil dekat dengan Nayli yang sedang bersandar pada katil.

“Emm, Nayli makan sikit, ya? Yang ni kakak masak lain sebab kaki Nayli tu nanti takut bernanah, lambat baik kalau makan tak pantang,” ujarku lagi.

Seperti sebelumnya, aku yakin dia akan membentak tapi bila malam ini, aku suakan sudu ke bibirnya, dia menganga mulut menerima suapanku. Terkejut dengan suasana ni, sudu yang aku pegang lepas ke lantai.

“Ya Allah, dah jatuh pulak. Nayli tunggu kejap, ya? Kakak ambil sudu lain.” Tanpa sempat aku bangkit, Nayli menahan.

“Suap pakai tangan boleh kan?” tanya dia dan aku pantas mengangguk. Airmata bergenang lagi. Sedaya upaya aku bendung agar tidak terus laju menitis.

“Kenapa kakak tak cakap pada abang yang Nayli bohong?” tanya dia tiba-tiba. Suapan terhenti. Aku pandang mata anak gadis comel ini.

“Kakak tak nak hubungan Nayli dengan abang Nayli keruh sebab kakak. Tak ada salah kalau kakak telan sikit tuduhan tu untuk Nayli, kan?”

Airmatanya mengalir laju. “Nayli minta maaf, kakak. Nayli sayang Kak Jes tapi bila kakak hadir, Nayli rasa kakaklah punca Abang Mukhlis bergaduh dengan mama dan lepas tu Nayli jadi benci kakak. Benar kata abah malam tu, kakak sangat istimewa,” ucapnya lirih.

“Bukan kakak yang hadir dalam hidup abang Nayli, tapi dia yang buru kakak. Kalaulah kakak mampu elakkan diri, memang kakak akan elak tapi kakak sendiri jatuh cinta pada dia, Nayli. Kakak minta maaf sebab buat keluarga Nayli huru-hara sebab kakak,” ujarku sebak bersama airmata yang mengalir perlahan-lahan.

Nayli menggeleng. “Kakak tak salah. Abang juga tak salah. Sebab perasaan ini anugerah. Cuma Nayli memang tak sangka yang abang nekad nak buru kakak dan paling tak sangka yang kakak dengan abang sanggup ambil keputusan nak menikah senyap-senyap. Bila mama sedih, Nayli makin benci kakak,” luah dia beremosi.

“Jangan nangis, Nayli.” Airmata yang menodai pipi gebu itu, aku seka lembut.

“Tapi, kenapa kakak benarkan abang nikah dengan Kak Jes? Kakak tak rasa sakit ke?”

Aku tahu Nayli curiga akan keikhlasanku melepaskan abangnya menikahi Jeslina tapi dia tidak tahu yang aku juga resah sebenarnya namun demi melihatkan senyuman semua, apa lagi yang mampu aku lakukan.

“Kakak tak nak abang Nayli tu derhaka pada mama. Andai itu boleh buat abang Nayli tu taat pada mama, kakak relakan,” jawabku.

Nayli menyuakan tangannya padaku lantas aku paut lembut tubuh itu dan dia membalas pelukanku buat pertama kalinya dengan erat.

“Kenapa kakak terlalu baik? Kenapa lambat kakak hadir dalam hidup abang? Kalaulah kakak hadir dulu dalam hidup abang, rasanya kakak dengan abang pasti bahagia dan Nayli tak akan rasa bersalah macam ni sekali,” adu dia bersama tangisan.

Aku ketawa halus. Sama seperti soalan abangnya juga satu waktu dulu.

“Nayli tahu kan, yang abang Nayli tu kenal kakak melalui penulisan. Nayli tahu kan dia tu kaki buku. Semua buku dia baca. Jadi, cepat atau tidak, takdir dah aturkan buat kami Nayli. Kami kenalpun kerana rasa semata-mata. Tak ada rupa, malah suara. Hanya kata-kata saja. Kakak terima kehendak takdir dengan baik. Moga ada yang lebih baik untuk kami esok. Nayli doakan, ya?”

Aku tolak bahu Nayli. Bening mata yang basah itu nampak comel di mataku. Manja sungguh. Sama juga seperti abangnya.

“Nayli…” Suaranya tersekat dek sendu. Aku senyum.

“Kalau Nayli nak minta maaf, kakak dah maafkan. Hal ini, biarlah antara kita je. Kita lupakan, boleh?” pintaku dan dia mengangguk lemah.

“Nayli makan lebih sikit, ya? Nanti Puan Sri marah kakak pulak kalau Nayli tak nak makan. Penat kakak masak untuk Nayli ni,” ujarku mesra.

Dia angguk. “Tapi, kenapa kakak masih panggil mama Puan Sri?” soal dia polis bagaikan tidak tahu akan hubunganku dengan mamanya yang kian keruh.

“Kakak hormat kehendak Puan Sri dan semua dalam rumah ni. Kalau itu yang dia nak, kakak akan lakukan. Cuma, kakak sentiasa berdoa yang Puan Sri sendiri satu hari nanti, akan biasakan dirinya ‘mama’ dengan kakak macam mana Nayli sendiri sudi panggil kakak,” jawabku lalu aku suakan makanan itu rapat ke bibir Nayli.

Suapan demi suapan yang masuk ke mulut Nayli membuatkan hatiku senang biarpun aku yakin, Mukhlis semakin jauh dariku.

~~> bersambung

8 comments:

  1. salam dik..
    membaca E3 ni membuat akak sendu ..betapa character ana yg dilakarkan oleh adik Rehan menyentuh perasaan yg paling dalam dalam diri akak. Tragis sungguh hidup bermadukan ..lebih lebih lagi bila perkawenan tak direstui oleh ibu mertua. Perasaan akak ..marah ..beremosi sungguh bila mukhlis mamat sengal tu..memarahi minah tu ..tanpa disiasat ngan teliti..dah tau bini dia bukan menatu pilihan...kena faham faham sendirilah..kan..cuba selidik dan tanya bibi..penerimaan ahli rumahnya pada bibinyakan..
    Akak ..tersentuh bila Nayli sudah boleh menerima ana dan ni mmg diluar dari jangkaan akak..rupanya Nayli ni baik budaknya..dan terasa sendu pula bila membaca bait bait jawapan ana terhadap semua pertanyaan Nayli..betapa tegar dia menelan segala kedukaan yg dibawa oleh tuan rumah kepada dirinya...alahai akak rasa..akak tak sesabar tu la dik..kalo akak ditempat ana ..sudah lama ..mereka tak akan jumpa jejak akak lagi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu..itulah kak..sy pon bersendu masa buat cerita ni..masa buat cerpen dulu takde la sedih sgt..buat mini novel KIM ni haihhh..hehe..thanks kak sudi layan n komen membina dari dulu lagi..

      Delete
  2. Kak rehan, keep up d good work. Me loikeeeeee! Muahhhx.

    ReplyDelete
  3. Sedih bc n3 kali ni.antara kasih syg & tanggungjawab...

    ReplyDelete
  4. Ya Allah,xth nak kata.airmata dh nk jatuh menitis ni.Nayli yg mula sedar.Mukhlis yg serba salah.Jes yg sengal dgn Puan Sri.Ann,tabahlah....

    ReplyDelete
  5. First time ever dalam kehidupan ini membaca novel melayu dalam sedu sedan.... Satu penulisan yang sangat Awesome hingga boleh membawa pembaca benar2 menjiwai watak seolah2 benar2 berada di tempat Ann.....

    ReplyDelete
  6. Subhanallah..garapan yang amat indah. airmata mengalir tanpa sedar. Tahniah kak rehan..

    ReplyDelete
  7. Subhanallah.tanpa sedar air mata ini menitis

    ReplyDelete