Friday, June 08, 2012

Suami Tak Kuhadap 15


BAB 15

LANGKAHKU terhenti pada anak tangga terakhir pagi itu.  Suara Budriz agak kuat berbicara dengan seseorang di talian.  Lalu aku pasang telinga.
“Syai tak sihat.  Riz baru nak masuk kerja hari ni.  Nanti Riz jumpa aunty,” ujarnya.  Lama Budriz diam.  Aku pula hanya mengamati perbualannya.  Tidak pasti siapa.
 “Syai ada kat rumah, nenda.”  Dia meraup wajahnya.  Nenda dia rupanya.  Getus hatiku. 
“Tak boleh lagi nenda.  Rumah bonda pun Riz tak balik lagi.  Tunggu Syai sihat dulu nanti kami jenguk nenda, ya?”  Dia memujuk lembut. 
Sopan melayani orang tua.  Hormat benar dia pada ayah namun aku, tidak pernah sekalipun dalam tuturku tidak mengherdik dan sinis pada ayah.  Sebuah keluhan tipis aku lepaskan tanpa sedar ada yang memerhati.
“Sayang intip abang, ya?”
Aku memandang Budriz yang sudah berdiri tepat di depanku.  Agak rendah memandangkan aku sedang berdiri di atas anak tangga.  Bibirnya menguntum senyum sambil membetulkan butang pada lengan bajunya. 
“Apa hal aku nak intip kau pulak?”  cemikku dan hendak berlalu ke dapur sebelum Budriz menahan. 
“Kotlah sayang jealous abang sembang dengan perempuan lain ke?”  duga dia melirik manja. 
Aku jelirkan lidah.  “Ada aku hadap kalau kau dengan perempuan lain?”  sindirku. 
Dia ketap bibir seketika.  “Abang tak kata Syai hadap tapi abang kata Syai cemburu,” selanya tenang.
“Andai sayang tak pernah ada dalam diri, macam mana cemburu tu nak ada, Budriz?”  Aku menyoal agak keras mematikan langsung tawa pada bibir Budriz. 
“Sikit pun tak ada?”  duga dia.
Pantas aku menggeleng.  “Tak pernah ada, tak akan ada dan tak mungkin!”  AKu jegilkan mata buat dia. 
“Jangan terlalu yakin, Syai.  Kudrat tak ada di tangan kita.  Hati kita sekelip mata Allah boleh terbalikkan hati Syai dan juga hati abang,” ucapnya tetap berlembut denganku. 
Suara parau itu tidak pernah meninggi padaku.  Sejak dari dulu, sejak pertama kali dulu.  Bibir itu tetap menguntum senyum kala aku mengherdik.  Hanya sesekali dia mengeluh dan mengetap bibirnya, mungkin menahan geram akan sikapku. 
“Dan aku sentiasa berdoa moga Allah jauhkan hati aku dengan kasih sayang akan orang seperti kau yang tak pernah aku harapkan wujud dalam diri aku!” AKu membalas pula dengan jelingan yang tajam.
Budriz tersenyum bagaikan tidak terkesan  langsung akan marah yang aku hamburkan padanya.  Bila aku melalui dia, dia sekali lagi menahan dan kali ini, lengan sasa itu berlabuh pada pagar anak tangga.  Mengepung langkahku.
“Doa kita terbalik, yang.  Mulai saat ini, kita kena berjemaah.  Supaya doa kita sama je sebab abang sentiasa berdoa moga hati Syai jadi milik abang satu hari nanti.  Saat ni hanya jasad yang kaku membuatkan abang sendiri tak ada rasa nak usik jasad tanpa hati ini…”  Dia mengerling aku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dengan bibir yang senyum  menyenget.
“Abang berdoa dalam sujud abang moga Allah pinjamkan sedikit kekuatan untuk beri sedikit nafas pada hati ni,” sambung dia. 
Tanpa aku duga, hujung jari telunjuknya menyentuh dadaku seketika sebelum dia menarik tali leher dari poket seluarnya.  Tak sempat aku hendak menepis.  Sesuka hati dia menyentuh aku.  Hampir saja tanganku terangkat lagi andai tidak memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku. 
Mataku mencerlung pada dia.  “Jangan harap, Budriz.  Apa pun  jadi aku akan cari jalan moga kau lepaskan aku.  Sama ada kau nak atau tidak!”  tekanku dan terus saja aku berlalu melanggar bahunya agak  kuat. 
Budriz ketawa.  “Nak pergi mana?”  tanya dia sambil melelar pergelangan tanganku lembut. 
“Aku nak keluar dari rumah ni!”  jawabku spontan. 
“Boleh tapi…” Budriz meleretkan kata dan jongket kening lebatnya berkali-kali. 
Mataku bersinar bila Budriz mengatakan boleh.  Ini adalah berita terbaik yang aku terima dari dia bila dia sudi melepaskan aku pergi dengan caraku. 
“Ikat tie abang dulu,” sambung dia tenang.
Wajahku berkerut.  “Tie kau?”
Dia angguk.  “Yalah, Syai.  Abang ada meeting dengan aunty ni.  Cepat sikit!”  tekan dia menggesa. 
“Kau main-mainkan aku lagi ke?”  tanyaku geram. 
“Main-mainkan apa?  Abang suruh ikat tie je pun.  Bukan main-main.  Sungguh abang ada meeting ni pagi ni,” ujar dia lagi bersungguh-sungguh. 
“Aku tak reti!”
“Abang ajarkan,” sahutnya pantas. 
“Tak naklah!  Kau nak suruh aku jerut kau bagi mati ke, Budriz?”  tanyaku sambil cuba menarik tanganku dari genggamannya.
“Syai tak habis-habis nak suruh abang mati, kan?”
“Siapa suruh tempat maut?”
“Orang suruh ikat tie, yang.  Tak ada kaitan dengan mati!”  ucap dia mengetap giginya. 
“Dah aku cakap, aku memang tak reti.  Kau tak faham bahasa ke?” 
Dia menggeleng lalu menarik aku rapat padanya.  “Sayang tak faham bahasa.  Abang cakap abang ajarkan.  Segala sesuatu itu kita kena belajar, sayang.  Belajar terima segalanya.  Segala yang telah ditakdirkan untuk kita.  Segala yang telah berlaku dan dengan itu, kita akan temui ketenangan.”  Dia berbisik penuh makna. 
Aku tidaklah bodoh hendak mengerti kiasannya.  Menyindirku dalam diam dan penuh kelembutan.  Aku telan liur berkali-kali.  Bukan tidak pernah mencuba namun hati tak mampu menerimanya.  Ada yang menghalang ada yang menghasut agar menyuburkan terus kisah lalu yang perit itu.
“Jangan sinis aku, Budriz!”
“Abang tak sinis.  Abang cuma nak Syai ikatkan tie je.  Tak reti abang ajarkan,” jawab dia mengubah topik.
Aku telan liur lagi.  Wajah itu nampak semakin suci di mataku.  Namun aku tahu, sudi itu yang telah membawa jauh kebahagiaan hati ini buat selamanya.  Bila melihatkan tangan Budriz bagaikan tidak mahu melepaskan pautannya biarpun berkali-kali aku membentak, aku angguk  lama. 
Spontan, Budriz menarik kedua bahuku dan memaksa aku kembali berpijak di atas anak tangga hendak menyaingi ketinggiannya. 
“Kenapa pulak ni?” 
“Syai rendah dari abang.  Ikatkan tie ni cepat dan abang benarkan Syai keluar tapi untuk kembali,” tukasnya. 
Aku menjeling tajam.  Tali leher yang sudah sedia diikatnya itu diserahkan padaku.  Bila aku menyambutnya, dia suakan kepalanya padaku. 
Lambat-lambat aku masukkan tali leher itu ke bila dia tunduk.  Perlahan-lahan aku tarik ikatan itu untuk kemaskan.  Dalam hati ini mencemik.  Kalau dah ikat, ketatkan sendiri tak boleh  ke? 
“Kau telefon nenda ke?”  tanyaku dingin. 
Dia angguk.  “Nanti kita melawat nenda.  Buat masa sekarang, abang tak sedia lagi,” luahnya jujur. 
Aku senyum sinis.  “Sebab takut nenda suruh kau ceraikan aku?”
Budriz diam.  Matanya redup merenungku. 
“Kalau macam tu, hari ni jugak aku nak jumpa nenda kau, Budriz,” sambungku bila dia hanya diam saja. 
“Tak adalah macam tu.  Nenda baik.  Bonda jugak baik…”
“Dan arwah ibu juga baik, kan?”  Serentak itu aku tenung anak matanya.  Mata ini kurasakan berair sedikit.  Rindu pada arwah menggamit lagi. 
“Anak dia juga baik,” bisik dia lalu menyentuh pipiku dengan tapak tangan hangatnya. 
“Hari ni, kalau Syai nak keluar akan benarkan,” ujar dia memberi izin bagaikan hubungan kami ini bahagia seperti orang lain. 
“Aku akan pergi dan tak akan kembali, Budriz.”  Bibir ini terbuka tiba-tiba.  Lancar lidah menutur kata. 
Saat ini, tali leher itu sudah sedang elok aku kemaskan. 
“Syai akan pergi tak kembali tapi hanya bila Syai dipakaikan dengan kapan dan diharumkan dengan air mawar je.  Masa tu Syai boleh pergi tak kembali tapi selain tu…”  Dia menggeleng. 
“…abang tak akan pernah izinkan,” sambung dia agak keras. 
Dia membetulkan tali lehernya sendiri dan terus berlalu ke pintu yang sudah sedia terbuka lebar. 
Sebelum dia melepasi ambang pintu, dia berpaling dan kembali melangkah ke arahku.  Semakin dekat dan terus dekat.  Dia menyeluk poketnya lantas beberapa keping not RM50 disuakan padaku. 
“Abang bagi nafkah dekat isteri abang.  Tak cukup, pakai ni.”  Dia suakan pula kad kredit berwarna perak itu padaku. 
Kedua-duanya aku pandang sepi.  Barangkali, Budriz mahu membeliku dengan wang ringgitnya.  Aku mendongak dan memandang dia. 
“Kau nak beli aku ke?”  tanyaku. 
“Ini bukan beli, Syai.  Ini tanggungjawab abang.  Ambillah.  Syai kata nak keluarkan?”  tanya dia sambil terus menyuakan wang dan kad kredit itu padaku. 
Aku pantas menggeleng.  “Aku tak nak terima.  Apatah lagi dari tangan kau!”
“Abang suami, Syai.  Ini tanggungjawab abang.  Ambillah.  Abang percayakan Syai.  Abang tahu Syai akan gunakan peluang yang abang bagi ni sebaik mungkin, kan?  Syai akan pulang, kan?”  tanya dia. 
Pandangannya penuh makna.  Tersiratnya pertanyaan itu adalah mahu aku kembali ke sini lagi.  Mata ini aku tebarkan ke seluruh rumah yang nampak kosong sana sini biarpun tetap terhias cantik dengan perabot yang sederhana.
“Jangan bebankan diri kau dan buat aku terus membenci kau, Budriz!”  Aku memberi amaran keras. 
“Bukan abang.”  Budriz menafikannya. 
“Abang tak pernah rasa terbeban tapi abang mula nampak Syai yang dah mula terbeban dengan kehendak dan penolakan dalam diri, Syai.  Nah, ambil ni.  Nanti balik, ya?  Kalau tak balik, tinggal jejak.  Mudah abang cari,” ujarnya ramah. 
Bila aku tetap tidak menyambut apa yang dia hulurkan, Budriz menarik tanganku dan meletakkan duit dan kad itu di atas telapak tangan. 
“Salam abang,” pinta Budriz sambil  menghulurkan tangannya padaku dan aku hanya mampu memandang sepi tangannya. 
Setelah seketika, dia mengeluh dan menarik semula tangannya.  Bila kami bersabung pandang lagi, dia ukir senyum pahit. 
“Satu hari Syai akan suakan sendiri tangan Syai untuk abang,” bisik dia dan terus berlalu dengan langkah yang nampak lemah.
Dan aku, pantas mencampakkan apa yang dia berikan buatku ke lantai dan berlari ke atas biarpun aku tahu, Budriz melihat perilaku itu dengan wajah yang sedih.  Setiap tutur katanya bagaikan belati membelah hati.  Segala apa yang dia impikan tak mungkin tertunai.  Tak akan!  Ini janjiku. 
Tiba di bilik dan setelah aku mendengar deruman enjin kereta milik Budriz menjauh dari rumah, aku terus menuju ke almari.  Mengemas segala yang menjadi kepunyaanku.  Kala ini, mataku bulat.  Entah bila pakaian Budriz ada bersama pakaianku.  Tersusun kemas dan penuh rapi. 
Geram dengan apa yang sedang kulihat, aku capai pakaian milik Budriz dan aku campakkan ke permaidani.  Usah katakan dia hendak menyentuhku, menyentuh pakaiannya juga aku jijik. 
Beg pakaian itu aku pandang lama.  Segalanya telah siap kuisi.  Tiada apa yang berbaki.  Hendak kembali ke rumah sewa rasanya tiada tempat lagi di situ.  Lambat-lambat aku capai telefon bimbit dan waktu ini, hanya ada satu nama yang terlintas di fikiran. 
Setelah beberapa kali deringan, suara halus itu menyapa telingaku.  Agak sayup di hujung talian. 
“Najwa,” seruku. 
Najwa terjerit sedikit.  “Syai!  Mana awak hilang.  Puan Sarimah kata awak cuti?  Lamanya?  Awak tak sihat ke?”  tanya dia sedikit terjerit.
“Syhhh..”  Aku lekapkan jari telunjukku ke bibir bagaikan Najwa ada di depan mata. 
“Perlahan sikit.  Awak dekat mana tu?”  tanyaku menekan sedikit.  Separuh berbisik.
“Ops… sorry tapi awak dekat mana ni?” 
“Saya tanya awak dulu Najwa!”  tegasku. 
Talian sepi seketika.  Tiba-tiba rasa bersalah pula bertegas demikian dengan Najwa sedangkan aku butuhkan pertolongannya kini. 
“Err… saya kat pejabat ni,” jawab dia. 
“Bos kata awak cuti tapi kenapa lama sangat.  Awak tak sihat ke, Syai?”  Lancar saja Najwa bertanya padaku. 
Dalam hati ini berbicara sendiri.  Entah apa  yang Aunty Sarimah katakan kata Najwa hinggakan dia masih menganggap aku sebahagiaan daripada pekerja di syarikat keturunan Syed Syarifah itu. 
“Err… saya sihat je.  Najwa, saya nak minta tolong sikit ni.”
“Apa dia?”  tanya Najwa di hujung talian sana
Kala ini, terasa berat pula lidah hendak menutur kata.  Bagaikan menyusahkan pula sedangkan selama ini, aku tidak pernah menyusahkan sesiapa. 
“Cakaplah, Syai.  Kalau boleh tolong, saya tolong,” gesa Najwa lagi. 
Aku berdehem beberapa kali.  “Macam ni, Najwa.  Saya kena pindah rumah tapi saya tak dapat cari rumah sewa lagi.  Boleh tak kalau saya nak tumpang rumah awak sehari dua sebelum dapat rumah sewa baru?”  tanyaku.
Aku dengar tawa Najwa tiba-tiba. 
“Boleh tak, Najwa?”  soalku sedikit keras. 
Dia ketawa lagi.  “Boleh sangat, Syai.  Kita kerja satu tempat.  Lagipun, kebetulan sorang budak rumah saya keluar dah.  Tinggal saya sorang.  Sebelum ni kami berdua.  Bolehlah awak nak tinggal dengan saya pun,” ujarnya gembira. 
“Terima kasih, Najwa.  Petang ni saya pergi sana.  Nanti SMS alamat, ya?”  Aku hela nafas lega.  Lepas satu masalah. 
“Aku akan pergi dan kau tak mungkin temui aku lagi, Budriz!”  gumamku pada diri setelah talian dimatikan. 
Bibirku senyum menyenget.  Beg pakaian itu aku pandang lagi.  Pakaian dan kelengkapan bilik Budriz menjamah pandanganku.  Namun, seketika saja lantas aku pejamkan mata.  Tidak sudi hendak melihat kepunyaan apatah lagi wajah itu. 

**

SEPANJANG berada di dalam perut kereta Kelisaku, aku hanya diam saja.  Tanpa suara dari corong radio.  Terasa hening sungguh.  Kepalaku sarat dengan pelbagai andaian pula.  Pelbagai  prasangka burukku pada Najwa hadir.  Mampukah aku mempercayainya sedangkan sebelum ini, dia diam saja kala peristiwa di restoran dulu. 
Resah memang resah namun ke manakah harusku tuju?  Sedar tidak sedar, aku tiba di bawah rumah flat yang Najwa sewa di Seksyen 7, aku terus memakirkan kenderaanku cermat.  Lama aku tunduk menyentuh dahiku ke stereng.  Berharap moga Najwa mampu menyimpan rahsiaku dan berharap agar tiada siapa tahu hubunganku dengan Budriz dan Aunty Sarimah kini. 
“Yakinkan aku, Ya Tuhan,”  bisik diri ini sendiri dan aku terus menolak pintu Kelisa dan melangkah yakin dalam goyah. 
Beg pakaian aku capai dari belakang kereta dan terus melangkah mendaki anak tangga menuju ke  rumah Najwa.  Bila tiba di depan pintu, jam telah menginjak ke jam tujuh.  Sudah terlalu lewat dari yang aku janjikan dengan Najwa. 
Tanpa lengah, aku ketuk pintu beberapa kali dan setelah salam aku hulurkan sekali, Najwa muncul dengan tuala yang terbelit di kepalanya. 
“Najwa,” seruku. 
“Syai…”  Dia meleretkan suaranya dan menarik tanganku untuk masuk ke dalam rumah. 
Wajahnya ceria saja bagaikan tidak tahu langsung akan apa yang menimpa diri ini dan yakinlah aku yang Aunty Sarimah tidak bersuara tentang aku dan Budriz pada Najwa. 
Aku ukir senyum paksa.  “Maaf, Najwa.  Sehari dua je saya singgah sambil-sambil cari rumah baru.”
“Laa.. kan saya dah ajak awak tinggal dengan saya.  Saya tak ada kawan pun, Syai.”
Aku tepuk dahi.  Terlupa akan ajakannya namun aku cepat-cepat menggeleng.  Tempat ini terlalu bahaya buatku namun bila difikirkan, tempat yang paling bahaya itu adalah tempat yang paling selamat untukku. 
“Err… tengoklah macam mana, Najwa.  Nanti saya fikirkan.  Lagipun, saya nak cari kerja lain ni,” luahku melindungi hakikat. 
“Kerja lain apa?  Puan Sarimah kata awak akan masuk kerja sehari dua lagi?”  ujar dia berbentuk soalan. 
Aku telan liur.  “Awak cakap pada Puan Sarimah saya call awak ke?”  tanyaku agak tinggi. 
Najwa senyum dan menggeleng.  “Tak adalah.  Puan Sarimah tak ada tadi.  Dia keluar meeting dengan Encik Syed.”
Aku mengerutkan dahi.  “Encik Syed?” 
“A’ah.  Anak buah Puan Sarimah.  Syed Ahmad Budriz.  Yang awak….”  Bicara Najwa tersekat di situ. 
Aku senyum sinis kerana tahu apa yang mahu dia sampaikan. Pastilah peristiwa di restoran itu terimbau di mindanya. 
“Yang saya simbah dia dengan air dulu tu, kan?”  sambungku menghabiskan kata-kata Najwa. 
Dia angguk lambat-lambat.  “Awak siapa dengan dia, ya?” 
“Kenapa awak nak tahu?”  tanyaku. 
Mahu saja aku hamburkan marah pada Najwa.  Beg pakaianku juga masih belum kuletakkan ke lantai dan bilik juga belum dia tunjukkan. 
“Saya penat!  Boleh saya berehat kejap, Najwa?”  tanyaku menyindir pada dia. 
Wajah Najwa berubah.  Dia nampak tergamam dengan sikapku dan aku langsung tidak mempedulikannya. 
“Saya minta maaf,” pinta dia serba salah. 
Aku senyum.  Poket jeans aku seluk dan beg duit aku keluarkan.  Lantas aku hulur pada Najwa jumlah yang sepatutnya sebagai bayarannya. 
Dia menyambutnya berat.  “Bilik situ, Syai.  Selamat berehat.  Esok saya kerja.  Saya tidur dulu, ya?” 
Dia membawa aku ke bilik dan kala mata ini tertancap pada sebuah bilik sederhana kecil yang lengkap dengan sebuah katil bujang dan juga sebuah almari yang kecil itu membuatkan aku senyum sendiri. 
Sudah terlalu lengkap kemudahan buatku.  Dulu juga pernah merempat saja demi mencari sesuap nasi setelah aku tinggalkan rumah itu dan kali ini juga sama.  Setelah kali kedua aku keluar dari rumah itu, tak mungkin aku benarkan kaki ini melangkah menyentuh laman rumah itu lagi. 
“Terima kasih, Najwa,” ucapku bila aku kalih pada Najwa.
Dia angguk.  “Saya harap awak boleh tinggal lama dengan saya.” 
“Saya harap awak tak cakap pada sesiapa saya di sini, ya?”  pintaku. 
Wajahnya berkerut namun Najwa mengangguk juga.  Serentak itu, Najwa berlalu ke biliknya. 
Daun pintu tertutup rapat.  Aku labuhkan duduk di birai katil bagi melepaskan lelah mendaki anak tangga hingga ke tingkat lima.  Lelah!  Kala ini, azan Maghrib berkumandang dari radio di ruang tamu. 
Aku diam menjawab azan.  Setelah itu, aku cepat-cepat ke bilik air dan membasahkan tubuhku dengan wudhuk untuk menunaikan kewajipanku. 
Telekung dari beg aku keluarkan.  Telekung yang Budriz lipat semalam.   Bila aku dekatkan ke wajah, ada wangian lelaki itu padanya membuatkan hatiku terasa dijentik sesuatu tapi tidak aku tahu apakah dan aku biarkan saja dan terus menghampar sejadah dan mengangkat takbir.
Usai doaku panjatkan pada Yang Maha Esa akan kesejahteraan arwah ibu dan juga mohon dijauhkan daripada ayah dan juga Budriz.  Tidak kusedar bilakah aku terlena dan bila aku tersedar, jam sudah menginjak ke angka sepuluh.  Terus saja aku bangkit dan bila aku jenguk ke luar, bilik Najwa gelap saja.  Sudah pastilah dia telah terlena. 
Aku juga terus ke bilik air.  Wudhuk aku ratakan sekali lagi dan terus saja aku tunaikan Isyak dan terlena kembali. 
Esoknya, aku terbangkit seperti biasa.  Kala hendak menunaikan Subuh, diri ini tidak bersih pula lalu aku sambung saja lenaku.  Langsung aku tidak mempedulikan Najwa.  Lena dan terus lena tanpa bimbang akan Budriz dan sesiapa saja. 
Hidup ini perlu aku aturkan kembali.  Berharap agar tidak akan kutemui dia lagi seumur hidup ini.  Biarlah aku bertemankan sejarah.  Biarpun pedih namun itulah kekuatanku.  Mengajar hati ni kental dan waja. 

**

PETANG itu usai mandi, Najwa tiba dengan wajah mengah.  Dia rapatkan daun pintu dan labuhkan duduk di sisiku di ruang tamu. 
“Penatlah hari ni, Syai?  Bila awak nak masuk kerja?”  tanya dia tiba-tiba. 
Kan dah cakap, saya nak berhenti kerja!”  tekanku. 
Najwa mengeluh. 
“Banyak kerja sangat ke?” 
“Encik Syed mengamuk dalam meeting  tadi,” jawab dia. 
“Eh, apa hal pulak?”  Wajah Najwa aku jeling. 
“Entahlah.  Saya ada tanya Puan Sarimah kenapa?  Tak pernah-pernah Encik Syed mengamuk dalam meeting.  Terkejut kami!” Najwa mengulas bersama keluhan tipis.  Matanya terpejam sedikit. 
“Kenapa?”  tanyaku ingin tahu. 
“Puan Sarimah senyum je.  Tak jawab tapi nampak sangat Encik Syed tu macam orang mati binilah.  Padahal nak kata dah nikah bujang lagi pun.  Entah apalah tak kena.  Kesian semua orang.  Normanlah paling teruk,”  beritahu Najwa. 
Norman?” 
Najwa angguk.  Dia berpaling padaku sekilas sebelum beralih ke arah peti televisyen melihat pada rancangan kanak-kanak yang sedang tersiar. 
“Kawan baik dia tu.  Yang ada sekali masa kes awak simbah muka dia kat restoran dulu tu,” jawab Najwa. 
Aku diam.  Mengangguk tidak, menggeleng jauh sekali.  Kepala ini mencerna apa yang Najwa katakan.  Sudah pastilah Aunty Sarimah tahu akan kehilanganku dari rumah itu.  Sudah pastilah Budriz telah memberitahuku. 
“Manja!”  cemikku diluar sedar. 
Najwa berpaling sekali lagi.  “Siapa  yang manja?”  tanya dia.
Aku yang baru sedar akan keterlanjuranku mengutuk Budriz, hanya mampu tersenyum saja dan aku juihkan bibirku ke arah televisyen. 
“Tu manja.  Upin dan Ipin,” selaku lantas aku bangkit dari duduk menghala ke tingkap yang masih terbuka sedikit. 
Langsir aku selak.  Serta merta aku ternampak kereta Kelisa milikku.  Sudah beberapa hari tidak bergerak.  Kereta itu perlu aku bayar.  Sudah beberapa hari di sini, rasanya kesal pula tidak kuambil saja duit dan kad kredit pemberian Budriz.  Andai tidak, mampu kutanggung hidupku beberapa minggu lagi tanpa berbuat apa. 
Tanpa sedar, keluhan kulepaskan.  Dan tanpa sedar juga, Najwa sudah berdiri di sisiku. 
“Hari ni Puan Sarimah tanya saya tentang awak, Syai.”  Najwa menyelak langsir juga. 
“Sebab?”  soalku sepatah. 
“Dia tanya sama ada awak ada call saya ke tidak?  Nampak dia macam sangat risaukan awak?  Awak ada masalah ke, Syai?”  tanya Najwa mengambil berat. 
“Saya memang ada masalah tapi tak terkait dengan mereka sikit pun, Najwa!”  jawabku sedikit keras.
Dia menghela nafas yang agak panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. 
“Saya tak cakaplah apa-apa pasal awak tinggal kat sini pada Puan Sarimah tapi rasanya, tak salah kot kalau awak kembali kerja kat sana.  Dia macam sayang kat awak, Syai.”  Dalam diam Najwa cuba memujuk namun aku tetap menggeleng. 
“Itu bukan tempat saya, Najwa!”
“Kalau macam tu, awak nak kerja dekat mana, Syai?  Kerja payah nak cari sekarang,” tukasnya pula. 
Aku diam seketika.  Tingkap itu aku tutup agak rakus hinggakan kacanya berlaga sesame sendiri agak kuat.  Langsir aku tarik kasar dan berlalu ke pintu bilikku.  Najwa pula membuntuti langkahku. 
Tombol pintu aku pegang lalu aku berpaling pada Najwa.  “Bumi Allah ni luas, Najwa.  Tapi, rezeki saya bukan di situ,” tekanku lalu aku tolak pintu dan masuk melepasi ambang pintu. 
Pintu aku rapatkan kembali dan terus aku rebahkan tubuh ke katil.  Wajah Budriz hadir lagi tapi bukan wajah yang selalu tenang itu namun wajah yang seperti Najwa katakan.  Wajah yang kalah menghadapi kedegilan dan kekerasan hatiku. 
Sejarah bonda dan arwah abahnya juga agak kabur di fikiranku.  Entah apa yang berlaku antara nenda dan bondanya dulu.  Aku tidak sedar berapa lama aku memikirkan Budriz namun yang pasti segalanya tentang dia dan keturunan adalah buruk padaku. 
Kala ini, aku disedarkan oleh ketukan pintu bilik yang agak kuat dan suara Najwa menyeruku berkali-kali. 
Dengan malas, aku angkat tubuhku membuka pintu.  “Apa?”  soalku dan melihat ke arah Najwa yang sudah bersiap hendak keluar. 
“Awak nak pergi mana?”  soalku. 
“Keluar kejap,” jawabnya.
Aku kerutkan dahi.  “Baru balik nak keluar lagi?” 
“Ni dah lepas Isyak, Syai.  Awak tidur ke tadi?  Terlepas solat?”  Wajahnya nampak risau. 
Aku senyum segaris dan menggeleng.  “Saya cuti tapi memang tertidur pun.  Tak sedar dah malam,” ujarku menipu lagi.  Sedangkan fikiranku tidak lepas dari memikirkan Budriz. 
“Kalau macam tu, saya keluar dulu.  Nanti saya bungkuskan nasi untuk awak, ya?”  ujarnya. 
Aku menggeleng.  “Tak payahlah.  Saya dah kenyang.  Awak keluar hati-hati,” pesanku. 
Najwa angguk dan terus berpaling hendak menapak ke pintu keluar tapi langkah itu terhenti dan dia berpaling padaku. 
“Awak tak nak tanya ke saya keluar dengan siapa, Syai?” 
Pantas aku menggeleng dan Najwa angguk beberapa kali.  Padaku, urusannya terserahlah pada dia.  Tak mungkin aku mencampuri urusannya itu sedangkan aku sendiri tidak suka segala susur galur sejarahku disoal itu ini.
Setelah pintu tertutup rapat aku kembali rebah.  Bayangan sejarah silam hadir lagi.  Rayuanku pada ayah satu ketika dulu berdengung.  Bagaikan baru seketika ayah menolak rayuanku agar kekal bersama kami.  Menemani aku dan ibu hingga ke akhir hayat ibu. 
Terasa bagaikan baru seketika pipiku disapa tamparan ayah angkara Budriz.  Kejadian hitam antara aku dan Budriz juga menari-nari di tubir mata dan rasa hangat  yang menyapa bibirku angkara Budriz juga membuatkan nafasku hampir sesak. 
Mata ini aku pejamkan rapat.  Cuba menghalau pergi kehangatan yang masih terasa pada bibirku dan mata ini terbuka kala ada yang mengetuk pintu beberapa kali tanpa salam.
“Dah siapa pulak?  Najwa ni tertinggal kunci kea pa?”  Aku menggerutu sendiri dan tubuh ini aku angkat menuju ke pintu. 
Rambut yang panjang, aku ikat tocang tinggi menampakkan leher yang agak terdedah bila aku kenakan baju T yang agak lebar potongan lehernya.  Langkah ini semakin rapat pada pintu dan ketukan itu semakin bertalu-talu.
“Apa lagi, Naj…”  Lidahku kelu. 
Mata ini terpaku lama melihat ke arah susuk tubuh yang berdiri di depanku.  Aku menggeleng berkali-kali bagaikan tidak percaya  yang aku dikhianati Najwa dengan sebegini mudah sedangkan berkali-kali aku berpesan padanya agar merahsiakan segalanya dan dari siapa saja. 
Dengan pantas, aku cuba rapatkan daun pintu namun tangan sasa itu pantas menahan.  Dia mengaduh sedikit dan terus menolak pintu itu kuat melawan kudratnya.  Terseret juga kaki ini belakang angkara melawan tenaga lelaki itu hingga akhirnya, dia berjaya juga memboloskan dirinya masuk ke dalam rumah dengan daun pintu yang masih terbuka. 
“Kau buat apa kat sini?”  tanyaku meninggi. 
Abang  yang patut tanya Syai.  Syai buat apa kat sini?”  Dia menyoalku kembali tanpa menjawab soalanku. 
“Eh, ikut suka aku lah nak buat apa?  Yang kau kisah sangat kenapa?” tengkingku lagi. 
“Kenapa abang nak kisah, ya?  Sebab Syai tu isteri…”
Belum sempat Budriz menyudahkan ayatnya, tanganku terangkat tiba-tiba dan kala hampir singgah pada pipinya, Budriz menahan dan terus digenggamnya lenganku kuat. 
“Berapa kali Syai nak jadikan abang karung guni?  Tak puas lagi dulu sebelum jadi isteri dan dah jadi isteri pun nak buat abang macam tu?”  tanya dia dengan kening yang terjungkit tinggi.  Suaranya langsung tidak menggambarkan yang marah padaku. 
Nafasku semakin bergelodak di dalam dada.  Bergetar seluruh tubuh menahan marah pada Najwa dan juga pada Budriz sendiri. 
“Syai isteri abang.  Abang ni suami Syai.  Apa-apa yang Syai buat baik atau buruk kesannya pada abang.  Segala dosa Syai abang tanggung!  Syai tahu itu, kan?”  tanya dia agak tegas kali ini. 
“Sebab tu aku suruh kau ceraikan aku sekarang jugak, Budriz!  Supaya kau tak akan tanggung dosa aku!”  bentakku semakin nyaring. 
Serentak itu Budriz menendang daun pintu membuatkan pintu itu berdentum kuat dan tertutup rapat.  Aku pandang pintu  yang sudah rapat dan menelan liur berkali-kali.  Resah juga bila Budriz semakin menarik aku rapat padanya.  Mata itu sesekali aku lihat menjeling ke arah leher dan dadaku lalu dia pejamkan matanya seketika sebelum berbicara. 
Tubuh yang masih dibaluti pakaian kerja itu nampak agak penat.  Lengan baju yang sudah sedia tersinsing hingga ke lengan itu nampak sedikit comot dan kotor. 
“Syai jangan cabar abang malam ni.  Abang penat tempat kerja hari ni macam-macam hal.  Penat-penat abang berkejar ke sini bila Norman telefon kata nampak kereta Syai kat sini.  Jangan buat abang marah!”  tegasnya padaku. 
“Kau berpakat dengan Najwa, kan?”  tebakku curiga. 
Budriz menggeleng.  “Najwa tak tahu.  Kan abang dah cakap, Man call abang cakap nampak kereta Syai kat sini.  Mestilah Syai duduk rumah Najwa!” 
Lengan ini aku tarik rakus.  Berbekas merah akibat cengkamannya.  Nama Norman berlegar dalam kepala.  Andai begitu ceritanya, Najwa tidaklah bersalah dalam hal ini cumanya, untuk apa Norman ke sini?
“Dan kalau Syai nak tahu, Norman tu pakwe Najwa.  Najwa tak cakap ke Norman tu siapa pada dia?  Atau dia nak keluar dengan siapa?”  sinis Budriz padaku. 
Aku tunduk ke lantai seketika.  Najwa ada bertanya namun aku tidak mengendahkannya.  Sudahnya, pertemuan antara aku dan Budriz.  Lambat-lambat aku menggeleng.
“Heh,” sinis Budriz. 
“Sebab tu kalau ada apa-apa Syai kena tanya.  Kena ambil tahu hal sekeliling.  Bukan macam ni.  Duit abang bagi dekat telapak tangan ni…” Budriz menarik tanganku dan menekan telapak tanganku agak kuat. 
“…tapi tangan ni juga  yang campak!  Abang dah agak Syai akan lari tapi abang tetap nak percayakan isteri abang.  Kalau Syai masih berstatus adik tiri abang dulu, memang abang tak akan pernah percaya akan keculasan Syai.  Tapi, Syai isteri abang.  Kepercayaan abang sepenuhnya pada Syai, sayang.  Kenapa Syai lari?”  Dia menyambung resah. 
“Syai rosakkan kepercayaan abang,” gumamnya berbisik lirih. 
Aku diam.  Sebelah lagi tangan Budriz menjalar mencari sebelah lagi tanganku dan kala jemari kami bertaut, aku pantas menolak dan terus menapak ke belakang. 
Abang rindu Syai…”  Budriz juga tidak kalah lalu dia juga menapak ke depan.  Mara dan terus mara. 
Aku tidak dapat menerima semua ini.  Bagaikan tidak percaya akan pertemuanku dengan Budriz.  Bagaikan takdir terus membawa dia dekat di depanku. 
“Aku benci kau!”  tukasku. 
Abang cinta Syai…”  Dia membalas.
“Aku muak dengan kau!”  cebikku dengan langkah yang semakin mengundur.
Abang cinta!”  ucap dia semakin tegas. 
“Aku benci!”  tegasku pula. 
Budriz gariskan senyuman pada hujung bibirnya.  Nampak jahat dan menjengkelkan bila langkah semakin hampir dan akhirnya, dia memerangkap aku di antara kedua belah tangannya. 
“Kau nak buat apa ni?”  tanyaku resah sambil menjeling ke arah lengan Budriz yang sasa dan tegap itu. 
“Apa yang sayang rasa abang mampu buat?” 
“Kau jangan kurang ajar dengan aku!”  ugutku. 
Dia senyum lagi.  Sinis pada wajahku yang semakin cuak. 
“Syai yang selalu kurang ajar dengan abang.  Abang datang ni nak ajak Syai balik rumah kita.  Syai ikut abang balik,” pujuk dia lembut.  Tangannya naik membelai pipiku tiba-tiba. 
Bila aku menghalang, dia langsung tidak mengalah.  Romantiknya Budriz membuatkan aku rimas.  Tidak terusik malah semakin benci pula. 
“Tangan kau ni jangan merayap boleh tak?”  Aku jegilkan mata. 
“Kalau tak merayap dekat Syai, nak merayap dekat siapa?” 
Aku ketap gigi menahan hati  yang semakin geram bila dia berkata demikian. 
“Ikut abang balik,” ajak dia lagi.
“Tak nak!”
“Sayang…,” seru dia.  “Ikut abang balik.  Abang penat ni.  Tolong, yang bila abang merayu ni,” pintanya dengan suara yang semakin mengendur dan mata yang semakin redup. 
“Jangan paksa aku, boleh tak?” 
Abang tak paksa ni.  Abang merayu.  Kalau abang paksa, lain jadinya, sayang,” jawab Budriz sambil menelan liurnya.
“Arghh… kau paksa atau tidak, kau ingat aku takut dengan kau?”  tanyaku mencabarnya.  Segaris senyuman sinis aku ukir buatnya.
Waktu ini, aku tidak harus menunjukkan rasa takutku pada Budriz.  Ketakutan dan gentarku hanya akan membuatkan dia terus mara menakluki aku dan aku tidak mahu itu. 
“Syai ingat abang takut Syai senyum macam tu?”  sindir dia tiba-tiba membuatkan senyumku mati. 
“Syai nak ikut atau abang paksa?”  Soalannya kali ini agak menyeramkan. 
Aku telan liur seketika.  “Kau paksa pun aku tak akan ikutlah, Budriz!” 
“Okey, kalau macam tu!”  Budriz melepaskan tangannya dari terus memerangkapku dan dia memeluk tubuhnya. 
Mata itu dijeling ke arah seluruh rumah dan akhirnya hingga pada pintu bilikku lama dan akhirnya dia kembali merenungku. 
“Bilik ni ada katil ke?”  soal dia.
Ada ke tak ada kau apa kisah?  Ada aku suruh kau bayar sewa?” 
“Memang tak.”  Budriz menggleng. 
“Sebab kalau ada katil pun boleh, tak ada katil pun boleh.  Mudah nak bergolek sana-sini.  Syai nak?”  tanya dia mengjongketkan kening lebatnya itu. 
Mengerti dengan apa yang bermain di dalam fikirannya, aku cuba melepaskan diri tapi Budriz lagi pantas meraih pinggangku dan bila aku menggelepur, dia semakin mengeratkan pelukan. 
Pintu bilikku di tolak perlahan.  Budriz terus menolak aku masuk ke dalam bilik itu dan dia sekali lagi menolak daun pintu dengan kakinya. 
“Kau jangan buat gilalah, Budriz.  Ni rumah orang tau tak?”  bentakku setelah dia lepaskan pelukan. 
“Sebab tu abang ajak Syai balik rumah kita.  Katil besar, tilam tebal, ada aircond lagi.  Selesa, kan?”  jawab dia tenang namun dapat kulihat detak di dadanya sudah agak mengganas. 
Budriz memang gila.  Terlalu gila padaku.  Bagaikan dia sengaja mencabarku.  Sengaja menduga kesabaranku yang sudah hampir rabak. 
“Jangan cabar kesabaran aku, Budriz.”  Aku tegas memberikan amaran. 
“Syai yang cabar abang,” bisik dia bila dia sekali lagi berjaya membawa tubuhnya dekat padaku. 
Rambutku  yang terikat kemas, dia tarik lembut membiarkan rambutku  lepas bebas.  Budriz mengelusnya lembut dan dan menciumnya lama membuatkan darahku menongkah arus.  Geram dan marahku sudah tak mampu kubendung lagi.
“Hari ni berapa hari bulan?”  tanya dia membuatkan aku mengerutkan wajah. 
“Kenapa?  Dah fikir tarikh kematian ke?”  Aku menyoal keras dan aku tolak perbuatannya sekuat hati. 
Budriz berganjak ke belakang sedikit namun senyumnya memang mampu membuatkan kakiku melangkah sendiri pada dia.  Mahu kucalar wajah itu.  Namun, belum sempat aku berbuat apa-apa, Budriz menolak aku terbaring di atas katil bujang itu dan dia semakin rapat dan terus rapat membuatkan mataku terpejam rapat.    

~~> bersambung

Cik Penulis : Maaf lambat.  TerDEMAM sikit. Dan bab ni terpanjang...

50 comments:

  1. jeng3 hehehe go budriz go..haha suke sngt dngn cter ni..

    ReplyDelete
  2. akhirnya..hehe
    jenuh menggodek blog RM dari semlm..
    thanx 4 the entry RM..

    ReplyDelete
  3. it's okey...apa-apa pun best sangat kak rehan...cepat-cepat sambung yer....

    ReplyDelete
  4. menanti yang seterusnya.... cepat2 sambung ya cik penulis...

    ReplyDelete
  5. tq akak coz terpnjang...hahaha...ala nape time ni gak syai ABC...hehehe gatai jap

    ReplyDelete
    Replies
    1. allah bagi cuti....
      berape hari bulan ye...
      nakal..

      Delete
  6. huwaa....x tao perasaan apa skrang ni..sakit jantung kot

    >>k<<

    ReplyDelete
  7. trima ksih sgt2 sis....trubt rndu sy dkt budriz ni..hehe

    even demam ada jg n3...smga cpt shat sis, mnum air msk byk2...

    ReplyDelete
  8. tapi frust la budriz....syai cuti...hehehe

    ReplyDelete
  9. huhuhu..nak lagi nak lagi :)

    ReplyDelete
  10. Waaah! Kali ni paling panjang ye..hihi ^^,

    ReplyDelete
  11. OMG Budriz! HAHAHA haish, sakit pulak hati dengan Syai ni, Tp Budriz ni romantik jugak! Aww ;) waiting for more kak Rehan :*

    ReplyDelete
  12. waaaaaaaaaaaaahhhhhhhhhhhhh , superbbbb :)

    ReplyDelete
  13. Adehhh .. Budriz ! Syai cutila .. Hihih

    ReplyDelete
  14. hahah.. sian budriz kempunan nnti.. syai kan terpeot.. kihkih..

    ReplyDelete
  15. nak lg...x puas nak baca :)
    smoga kak rehan cepat sembuh... :)

    ReplyDelete
  16. Adeh sis...Budriz datang pulak dah...
    Sian sis demam ye...

    ReplyDelete
  17. Syai ABC ker? rasanya takkan, sebab syai tipu najwa tadi...selamatlah syai.:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. syai tipu part yg dia kate dia tidur tu.. padahal xtido, dia dok sibuk pikir psl abg bud dia.. hehe

      Delete
  18. lorhhh...syai cuti ke?mlepas la abg bud...hehehehe serius cte nie best....syg RM byk2...hehehe:-)

    ReplyDelete
  19. dup dap dup dap , genyeh genyeh mata baca entry nie. fuyooo ! budriz dah amek langkah dua tiga tapak ke hadapan , kasi syai cair lagi budriz , you can do it. hehehe. good job kak rehan and get well soon. jage diri baik baik ye :)

    #Murni Tan

    ReplyDelete
  20. Mmg cuti. Sbb syai xsolat subuh pg tu

    ReplyDelete
  21. makin menarik kak rehan..hehe..nak lagiiii:)

    ReplyDelete
  22. adoi... keras sungguh hati Syai ni,
    kalau perempuan lain confirm cair dah tu
    dapat abang Budriz, huhu

    ReplyDelete
  23. lawak r. abang syed mengamuk kat pejabat,..nmpk cool je abangku tu. hehe

    ReplyDelete
  24. ahahaha Kak Rehan Nak Nak Lagi n3 kakak memang terbaik...

    ReplyDelete
  25. semoge kak rehan cepat sembuh n dpt wat n3 yang best2....
    senyum smp telinge....(^_______^)
    thank you very much....

    ReplyDelete
  26. memang best.....

    ReplyDelete
  27. La panjang lg bgs.. Best la cik writer.. Good job..

    ReplyDelete
  28. Hmmm.... Tak sampai 2 hari drp rumah, Budriz dah dpt menjejaki Syai.... Adoi.... mmg takdir selalu di pihak Budriz...

    Tak sabar nak tau, apa Budriz nak buat kat Syai sbb Syai tgh period tu.... Suspen lagi.... Hihihi....

    Sambungan seterusnya dinantikan....

    ReplyDelete
  29. heeee...bes²...=)
    adoi, keras btol ati syai ni ye...kjap cam ok sket dah cair sket, kjap garang balik..hahaha...sian budriz..saba ye...kehkehkeh...

    ReplyDelete
  30. menyayat hati..oppssss tiba2,plak heheheheeh

    ReplyDelete
  31. rase nk rotan je syai nie...degil sgt

    ReplyDelete
  32. Naik mnyampah dan meluat pulak dgn sikap keras hati c Syai..

    ReplyDelete
    Replies
    1. erks...hahaha. biasalah. pengalaman lalu menyebabkan die jadi macam 2. kat sini abang sayang tue kene lah amik peluang tuk lembutkn hati c syai tue. hati perempuan mcm 2 lah. mcm kerak nasi. letak air banyak2 or lama2 n then faham2 sudah. abang sayang sila gunakan ayat2 yg jiwang karat tuk syai yea. be more romantic n gentlemen. saya sokong abang sayang. kehkehkehkeh

      Delete
  33. lme tgu en3 ni,.abeh la Syai keke

    ReplyDelete
  34. haah panjang ler sgt...thanks for the n3 tapi nak lagi...

    ReplyDelete
  35. keras sungguh hati syaima ni tapi jangan ler sampai menderhaka pada suami.

    ReplyDelete
  36. nk lagi nk lagi nk lagi.. hehehe....

    ReplyDelete
  37. manade syai cuti. dia tak cuti lah. dia tipu najwa je tu. lagipun sebelum tu diakn solat (waktu budriz suruh dia solat..)

    ReplyDelete
    Replies
    1. "Esoknya, aku terbangkit seperti biasa.  Kala hendak menunaikan Subuh, diri ini tidak bersih pula lalu aku sambung saja lenaku"

      Delete
  38. tak pe RM lagi panjang lagi best sebab semua cite karya
    RM memang tak jemu baca selalu saja teruja nk tunggu
    n3 baru... best sgt.

    ReplyDelete
  39. wallauweh. tuh la. jgn cabar seorg lelaki. kan dah kena

    ReplyDelete