Wednesday, January 16, 2013

Cinta... Biar Saja Ada 4


BAB 4

TUBUH langsing Kak Diah dilanggar olehku.  Tak sedar bila dia masuk ke dalam rumah.  Mujur masing-masing tidak tertonggeng depan porch.  Sebuah teksi sudah menderum laju meninggalkan perkarangan rumah kami setelah menurunkan Kak Diah.

“Kau dah sihat ke?  Dah okey?  Hantar dah kertas kerja?” tanya Kak Diah setelah puas merungut.
 Aku mengangguk sambil menyarung stokin.  “Baru balik ni.”
“Dah tu nak pergi mana pulak kalau baru balik?  Mak pesan suruh kau dok rumah teman kakak,” ujar Kak Diah dalam bentuk arahan.  Bukan pesanan mak.
“Naqi ada hal sikit.”  Seraya itu, aku sarungkan sneaker ke kaki.  Kali ini warna merah pula.  Juga dari jenama Nike. 
“Mak suruh teman kakak!”  tekan dia dengan mata  yang melilau ke jalan raya. 
“Kakak ni kenapa?  Selalu suka dok sorang, Naqi tak kacau.  Ini lain macam je?  Siap nak berteman siang-siang buta ni.  Bukan suka ke Naqi tak ada?”  sindirku dengan bibir yang herot. 
Kak Diah merengus.  “Hari ni berkecuali.  Kakak rasa ada orang stalk kakaklah, Naqi,” beritahu Kak Diah, memberi penjelasan pada wajah cuaknya dan permintaan tak masuk akal itu. 
“Kakak cantik… haruslah ada orang stalk.  Macam tak biasa?” 
Ya, Cinta Nur Nadiah memang cantik.  Berbeza dengan Cinta Nur Naqiah.  Ada masanya aku merungut, kenapa mak dan ayah letak nama kami ada Cinta pada pangkal nama?  Kan elok nama aku Naqiah saja.  Pasti tak diejek oleh teman-teman sekolah dulu.  Tak sesuai katanya. 
Aku berbeza dengan Kak Diah.  Segala ciri-ciri perempuan Melayu terakhir ada padanya.  Duduk yang tak pernah memasang sila, melainkan menyilang simpuh saja.  Kaki tak pernah terangkat tinggi, melainkan sopan di bawah meja. 
Percakapan dengan orang lain, lembut gigi dari lidah.  Hanya sesekali dengan aku saja, lidah dia juga menjadi keras.  Marah.  Mak dan ayah menyayangi dia.  Aku juga.  Tapi, rasa macam tak dihargai dalam masa yang sama.  Dalam kepala pernah terlintas, boleh jadi aku anak angkat mak dan ayah tapi bila sijil bersalin membuktikan mak dan ayah kami sama, aku hanya terima bulat-bulat.  Ini  kisah zaman kanak-kanak tapi sekarang terasa balik. 
“Kali ni lain.” 
“Lain macam mana?”  Aku mula tidak puas hati.  Sudahlah janji dengan mamat ketam pokok ni. 
“Kakak rasa…”
“Jangan main rasa-rasa.  Kalau nak penambah perasa, pergi dapur letak ajinomoto banyak-banyak.  Cepat botak rambut kakak  yang cantik ni,” sinis aku lagi lantas aku berlalu menuju ke arah motor Skuter Ego yang sudah agak uzur.  Ayah tak nak beli baru hingga aku sudah bekerja sendiri. 
“Naqi!!” 
Jeritan Kak Diah tidak aku peduli. 
“Kakak adu dekat mak!” 
Tangan aku angkat dan melambai tanpa memandang wajahnya dan bila aku berpaling, dia menghempas pintu rumah kuat.  Setahun lagi, mak dan ayah dah kena tukar pintu baru kerana anak kesayangannya. 



DARI JAUH mataku sudah ternampak susuk tubuh lelaki itu.  Lelaki yang baru aku kenal dan kini perlu bertentang mata lagi untuk sebuah syarat yang aku mahukan. 
“Cantik motor?”  tegur dia bila aku hentikan motorku tepat pada keretanya di bahu jalan. 
Dia tenang memeluk tubuh.  Rambutnya diselak sedikit dan tali lehernya dikemaskan lagi.   Sedangkan sudah sedia kemas tapi nak nampak lagi kemas.  Apa  yang aku sedari, kemeja biru laut yang tersarung pada tubuh sasanya itu langsung tidak berkedut.  Tak kerja ke?  Tak duduk bersandar pada kerusi?  Renungan mata aku mula pelik.
“Renung apa?” 
“Kereta.  Kacak kereta?”  puji aku mencari dalih.
Ariq ketawa.  Disentuh sedikit keretanya sebelum memandangku kembali. 
“Kereta ke orang lagi kacak?”
“Erm… apa-apa jelah.  So, nak jumpa saya kenapa?”  Mudah, aku terus pada tujuan. Objektif yang membuatkan dia mengajak aku keluar. 
“Saja… nak minta tolong,” jawab dia.
What kind of help?”  Sesekali aku betulkan duduk di atas motor.  Malas nak turun.  Mudah hendak memecut sebentar nanti. 
What kind of term?” 
Aku memandang ke atas.  Sinis.  “Saya tanya dulu…”  Suara dah berubah. 
“Ops… sorry Naqi.  By the way, abang perlukan pertolongan.”
Erk… abang pulak?  Apa masalah dia?  Suka-suka dia up-gradekan dirinya menjadi abangku. 
“Abang?” 
“Yeah… abang rasa abang  jauh lagi tua dari Naqi, kan?” 
Aku angkat sebelah kening dan menilik dia dari atas ke bawah.  Nampak terlalu matang hendak dibandingkan denganku. 
Yeah… that’s right.  So?  Apa masalahnya sampai ajak jumpa ni?” 
“Abang nak minta tolong?”
“Tolong yang macam mana tu dan kenapa saya?  Sedangkan baru jumpa sekali dan baru jugak kenal?  Itupun kenal tak kenal jugak.  Jadi, kenapa saya dan bagaimanakah pertolongan yang diharapkan itu?”  soalku tenang.
Ariq menggeleng bersama senyuman tipis.  Nampak kacak sungguh.  Huh, cepat-cepat aku palingkan wajah ke arah lain.  Takut tergolek dari atas motor ni.  Payah nanti. 
I think you are capable to do that job for me,” ujarnya membuatkan aku terus berpaling, memandang tepat ke dalam matanya.  Nampak lain macam saja. 
“Apa maksud tu?” 
“Tak ada apa maksud.  Yang pasti, ada upah?  Nak beli gitar baru, kan?” 
Haih… dia ni.  Tak menjawab soalan. 
“Ya tau nak minta tolong tapi pertolongan yang macam mana?”  Kali ini aku sedikit menekan bila kali kedua sudah aku bertanya. 
“Adalah… nanti abang cakap.”
“Ergh…”  Aku merengus geram. 
“Kalau setakat macam ni je ajak jumpa, baik cakap dalam telefon je.  SMS ke.  Tak penat orang nak datang sini,” bebelku geram.
Ariq ketawa.  “Saja nak tengok wajah comel ni.  Pertama kali pun dah buat hati teruja, kali kedua masih sama.  So, you are the right person for me.”
Aku menelan liur menerima kata-kata Ariq.  Rasa kesat saja laluan dalam tekak. 
“So, apa pulak syaratnya untuk tolong abang ni?” 
“Err… syarat ek?”  Aku baru teringatkan syarat yang jenuh aku fikir bila Ariq bertanya. 
“Emm… satu je.  Tak banyak.  Buang nombor telefon saya dari name list abang.” 
Huh, aku pun dah panggil dia abang dan tak tahu kenapa.  Boleh jadi kerana aku amat yakin dengan kata-katanya yang kami sangat berjarak.  Boleh jadi dalam lima tahun agaknya. 
Jari telunjuk Ariq bergoyang ke kiri dan kanan bersama gelengan yang panjang.  Tanda tidak bersetuju dengan syarat aku.
“Itu tak boleh sebab kerja ni nanti akan membuatkan kita saling berhubung.” 
Aku mula rasakan sesuatu.  Sesuatu yang aneh bila aku yakin yang Ariq sedang mengorat aku dan ini tidak boleh.  Nanti mak dan ayah bising. 
“Kalau macam tu, tak boleh tolonglah…”
“Abang kacau Naqi seumur hidup,” cantas Ariq.
Aku mengeluh.  “Apalah salah saya pada abang?”  Sedih suaraku bertanya.  Tapi, Ariq hanya tersengih.
“Salah tu tak tapi siapa suruh buat abang jatuh hati dengan stail Naqi tu?”  tanya dia mengenyitkan mata.
Aku tersedak air liur sendiri.  Rasa kelat dan payau saja. 
“Ermm… ada upah, kan?” 
Yeah… ini kerja.  Tak ada yang free dalam dunia ni, Naqi,” ujar dia.
Aku mengangguk sudahnya. 
“Untuk berapa lama?” 
“Sampai dapat,” jawab Ariq pantas. 
“Upahnya?” 
“Lepas kerja dah selesai.”
Keluhan tipis aku lepaskan.  Helmet aku buka dan aku garu kepala dan ketatkan ikatan rambut yang sedikit longgar.  Mata Ariq aku pandang. 
Full settlement,” giat Ariq lagi. 
After I finish my final, okay?” 
“Berapa lama?”
Two weeks…”
Up to you tapi abang harap kita selesaikan secepat mungkin.  Naqi senang, abang lagi senang hati,” tambah dia dan aku hanya mengangkat kening dan bahu.  Beralah. 
“Kalau macam tu, ada kontrak?  Sign-sign mungkin?”  Bibirku mencebir.
Ariq ketawa.  “Tunggu abang sign surat depan imam dulu, masa tu baru Naqi sign kontrak penerimaan duit gaji tu and without prejudice.”
Mata Ariq dikedipkan sekali.  Aku semakin resah.  Jujur aku katakan, kalau semua hendak mengata aku perasan, ya memang.  Tiap ayat Ariq jelas dia mahu mengayat aku.   Tapi, bila dia berpaling… rasanya tidak.  Matanya memang merenung tapi renungan itu biasa. 
Tiada yang lain.  Sama seperti Alan dan Izue merenungku.  Sama juga seperti aku merenung ke arah Izue dan Alan.  Tiada beza langsung.  Lalu aku… kecewa sikit. 
“Okay, Naqi.  Nanti abang call.”  Tangan Ariq berada di telinga.  Buat gaya orang sedang bercakap telefon. 
“Tapi, kerja apa.  Cuba cakap dulu…” 
Ariq tak jadi melangkah.  Dia kembali menapak ke belakang dan mendekatkan bibirnya ke telingaku sambil melipat lengan bajunya hingga ke siku.  Nafas Ariq hangat menyentuh peluput telinga dan aku meremang bulu roma.  Mataku terjojol.  Sekali salah faham.  Tepuk dahi sendiri.  Ariq berlalu bersama tawa.  Kerja gila!



PINTU bilik diketuk kuat.  Tak sempat hendakku beri izin, wajah Kak Diah terjengul, tersengih dan terbajet pulak wajahnya. 
“Mak panggil,” katanya dengan nada yang sangat jengkel. 
Aku bangkit dari pembaringan.  Baru saja hendak membalas pesanan daripada Ariq.  Pesanan yang datang setelah aku selesai solat Maghrib tadi.  Pesanan dalam bentuk arahan.  Arahan gila untuk aku pikat perempuan yang dia cinta.  Pikat perempuan untuk dia sedangkan aku juga perempuan.  Itu yang pelik.
Bila aku tanya, Ariq punyai jawapan yang kukuh.  Letih biarpun sekadar mendengar.  Tak mampu membalas melainkan mengiyakannya saja demi gaji  yang Ariq janjikan.  Tak banyak tapi agak lumayan untukku. 
“Kerana hanya seorang perempuan  mengerti apa  yang perempuan nak.  Senang untuk abang atur segala yang perlu untuk pikat dia.  Ala… tak susah.  Naqi jadi posmen abang dan penyiasat sekali.  Selidik agak-agak dia suka bunga apa…  makan apa… nanti kita atur la.  Masa tu mesti dia terharu sampai peluk abang.” 
Aku jelirkan lidah dengan ayat Ariq.  Ada niat hendak memeluk perempuan bukan muhrimnya seperti mana dia merangkul pinggangku tempoh hari.
“Jadi, saya kena buat semua tu lah, ya?”
“Sementara Naqi tak buat apa.  Kerja sikit dengan abang sebab abang yakin, Naqi ada skill mengorat kaum sendiri.”  Ariq gelak sakan.
Hatiku mendongkol geram.  “I’m not a lesbian!” 
I didn’t say that but I put my trust on you.  That’s all,” ujar Ariq penuh  yakin.
Aku mengeluh di luar sedar.  Pelik, kenapa dia boleh memilihku untuk mengatur temu janji pertamanya dengan seorang perempuan yang katanya, sudah hampir setahun disukai dalam diam. 
“Mengeluh kenapa?  Tak dengar kakak cakap mak panggil,” bebel Kak Diah bila aku diam berangan akan Ariq. 
“Yalah… Naqi turun.”  Dengan langkah malas, aku menapak. 
Bila menjeling pada Kak Diah, dia menjelirkan lidahnya.  “Padan muka kau nanti,” cemiknya dan aku hanya menelan semua kata-katanya itu bulat-bulat kerana aku tahu apakah yang sedang menanti aku di bawah nanti. 



MATA mak merah.  Ayah yang sedang membelek akhbar menjeling dari atas cermin matanya. 
“Siang tadi pergi mana?”  soal mak bercekak pinggang.
“Balik dari kampus, Naqi jumpa kawan kejap.”
“Naik motor?”  sampuk ayah.
Aku mengangguk.  Kecut bila dua-dua bermuka ketat dan aku pula menayang wajah pasrah.  Kecewa dengan Kak Diah lagi.  Sampai hati dia.  Bila aku jeling, dia tenang membelek bukunya tanpa ada rasa apa-apa bila mengadu tentangku.
Kan dah pesan, jangan bawa motor tu.  Naqi tak sihat lagi,” nasihat ayah lembut.
“Naqi ada hal urgent tadi…”
“Kenapa tak pernah nak dengar kata?  Kan mak pesan suruh temankan Kak Diah.  Dahlah tadi mak tak sempat nak hantar dia balik sebab ada meeting.  Bila mak suruh dia balik naik teksi, ingatkan Naqi ada kat rumah… kalau tahu Naqi tak ada, mak ajak dia pergi office mak!”  marah mak padaku. 
Dihamburkan kata-kata tanpa memikirkan perasaan aku  yang sedang koyak rabak ni.  Mataku yang sudah sedia hangat ini mula terasa basah.  Aku tunduk memandang karpet.  Menguis karpet dengan ibu jari.  Tangan di belakang dan tubuh sedikit terbongkok.  Menanti hukuman. 
“Maaf, mak.  Naqi memang ada hal… lagipun tadi siang-siang buta.  Kak Diah pun dah besar,” jawabku cuba membela diri. 
“Amboi… memanglah dah besar tapi dia tu anak dara…,” tempelak mak pula.
Aku ketap bibir.  Kepala aku angkat memandang mak dengan airmata yang kering begitu saja tak sempat hendak menitis ke pipi.  Bila mata mak merah, tak berani aku menjawab lagi.  Sudahnya hanya hati yang berbicara… Naqi ni anak teruna ke, mak?  Tidakkah mak ada dua orang anak dara dalam rumah ni? 
Sedihnya hanya Tuhan yang tahu.  Ayah diam.  Kini, semua memandang aku.  Wajah Kak Diah juga cuak.  Sudahlah hari ni aku lalui penuh teka-teki dan rasa terkejut penangan Ariq.  Ditambah pula dengan kata-kata mak, rasa nak terjun longkang depan rumah yang sedalam enam kaki tu. 
“Maaf, mak… lain kali tak buat lagi tapi Naqi nak cakap… Naqi dah dapat kerja,” beritahuku pada mak.  Lembut dan penuh dengan rasa hormat.
“Kerja apa pulak?  Tak habis-habis dengan muzik sampaikan malam tu balik basah kuyup, demam… ni ada kerja lain pulak?”  sinis mak.
Ayah berdeham.  Dia memandang aku.
“Kerja apa dekat nak final ni?” 
“Lepas final, yah.  Kerja biasa-biasa je.  Kerja beli surat khabar lama dengan apek hantar surat khabar rumah kita tu…” 
Mata masing-masing bulat.   Tak percaya barangkali dengan kata-kataku.  Yalah, seorang anak pegawai kerajaan tapi ini jalan yang aku pilih.  Pada aku, jika mak dan ayah berjaya, tak semestinya aku warisi kejayaan mereka melainkan atas usaha sendiri. 
“Dan kalau boleh, Naqi nak duduk menyewa.  Nak rasa hidup sendiri,” tokok aku lagi dan kali  ini lagilah mata mak terkeluar. 
“Tak bolehlah.  Ayah tak benarkan.  Kan rumah ni besar… tak nak duduk bilik atas tu, turun bilik bawah ni.  Tak nak duduk bilik depan, pergi pilih bilik belakang.  Ayah tak benarkan…”
“Tapi, yah…”  Aku tak mampu menyambung kata bila mak mula menjegilkan padaku.
“Hah… biarlah, bang.  Biar dia tahu peritnya hidup kat luar sana.  Senang sikit Diah nak study tanpa bunyi gitar dia tu,”  marah mama meluap-luap. 
Aku ketap bibir menahan rasa.  Padanlah perancangan spontan aku ni menjalar dalam kepala.  Mak memang sedang menunjukkan yang dia tidak senang aku di rumah.  Oh sedihnya…
“Erm… nanti Naqi baliklah rumah, mak… ayah.  Naqi janji tak buat bukan-bukan,” janjiku dengan wajah yang aku paksa menjadi ceria.  Bibir yang herot dengan senyuman paksa dan sengih  yang kaku menongkah arus hati yang menderita.  Walangnya jiwa…
“Dah cari rumah sewa?” 
“Alan dan Izue tolong carikan nanti.  Cuma, sebelum final ni, Naqi nak minta izin dengan mak dan ayah nak duduk sini dulu.  Nak fokus.  Dah habis je final, dah mula kerja, Naqi keluar, ya?” 
Spontan aku mendekat pada mak.  Lengannya aku paut erat, kononnya memujuk biarpun aku yang rasa hendak merajuk.  Mak cuba mengelak tapi aku paut juga erat.  Meminta izin untuk tinggal di sini buat seketika lagi, bukan merayu moga mak benarkan aku keluar berdikari.  Terbalik. 
“Nanti, Naqi tak kacau kakak nak belajar dah.  Bolehlah mak… ya?”  Dalam tak sedar, tersinis juga pada mak.  Haru…
“Erm… keluar sekarang pun tak apa, Naqiah!”  bentak mak dengan suara yang sedikit memedihkan telinga biarpun suara itu cukup perlahan.
Aku pandang ayah.  Dia hanya memandang aku tanpa perasan.  Argh… ayah pun sama.  Pilih kasih dan tidak adil… tapi dalam hidup ni memang beginilah.  Jadi aku, reda sudah.  Terima apa adanya. 
“Terima kasih, mak… ayah…  yahoo…  Kakak nanti jangan rindu Naqi tau.  Ayah pun dan mak jugak,” laungku sambil menepuk tangan dan melompat kegembiraan.  Buat-buat gembira sebenarnya sedangkan hati… lara.

~~> bersambung

RM : Seems like Naqi is pretty sengal huh... LoL

36 comments:

  1. Naqiah vs Nadiah = rival adik beradik
    Naqiah vs Ariq = Cinta :P

    pandai 'hook' org dgn your ending yer RM....

    ReplyDelete
  2. mesti ariq sebenarnya nak mengorat nadiah. bukan Naqi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. sye rse pn cmtu...klau btol la ksian kt naqi..

      Delete
  3. siannyer kat naqi mcm bkn mak ayah sendiri...ada gak mak n ayah yg pilih kasih cam ni...

    -hanim-

    ReplyDelete
    Replies
    1. mmg ada... sy sndiri t'kena cmni... ayah pilih kasih.. lbh sygkn adik beradik lain berbanding sy.. sy anak t'buang

      Delete
  4. akkk.. sedihh.. tak suka bila parents sanggup buat mcm tu kat anak2.. tapi itulah realiti.. ada ja kes mcm tu.. lepas tu bila anak buat hal, salahkan anak tu senidri. parents kadng2 tak refleks diri pun kenapa anak jadi mcm tu. bukan nk salhakn parents 100% but sometimes it's occur.. sedih even anak sendiri seperti anak tiri dialyannya.. hmm

    ReplyDelete
  5. sedihnyerrr..T_T...ksian naqi..isyhh geram la ngan mak ngan ayah dia ni...:/

    ReplyDelete
  6. kesiannnnn...sedih nyer Naqi...
    ape plak plan si ariq tu

    ReplyDelete
  7. Ariq bagi kerja mengorat Nadiah ke? Kenapalah masih ada emak ayah yang pilih kasih macam ni? Jangan ingat Nadiah tu perfect, kalau sebaliknya takke Naqiah juga yang akan dicari...

    ReplyDelete
  8. Blog hijau yang sentaisa menghantui saya... Keep up ur good work RM - Yang Setia Membaca -

    ReplyDelete
  9. alaa...kesiannya Naqi, parents dia macam rosyam nor ya, pilih kasih! hehehe...

    ReplyDelete
  10. sedihnya parents jnis plih ksih mcm ni..
    kesian naqi..
    -HANA-

    ReplyDelete
  11. alahai...
    lara gak hati ni baca...
    mmg sedih rasanya kalau ada family pilih kasih ni...:(

    ReplyDelete
  12. Bestla Rehan... Next please... Rasanya pun mcm ariq nak mengurat si akak tapi nanti terjatuh berdebab sampai sengal kat si adik..

    ReplyDelete
  13. gerak hati rasa macam Ariq tu nak mengorat Nadiah je, sedihlah si Naqi nanti... huhu
    kesian Naqi, T___T

    ReplyDelete
  14. RM ...cetusanmu menggarit jiwaku untuk terus baca dan setia menunggu enty seterusnya..chewah.
    saya rasa ariq upah naqi nak ngorat nadiah tapi last2 naqi endup jadi bride ariq. betul ke? cheh imaginasi seorang pembaca...

    ReplyDelete
  15. lara dihati Naqi.... mesti kena tolong ngorat kakak untuk ariq....

    ReplyDelete
  16. Cian naqi...
    nak lagi...

    ReplyDelete
  17. Cian naqi..sampai ati mak ngan ayah dia wat cam tu..

    suke ngan ariq..nk ngorat naqi tp suh naqi yg tolong..caralah..sign agreement dpn tok kadi..;-)

    ReplyDelete
  18. jgn cakap ariq nk kkk die yg senget tu..owhhh..tolong la...hope la die mmg nk ngorat naqi...tp sedih la de mak bpk mcm ni..pilih2 kasih pulak..bodoh ke pandai ke anak dorang gak...bodoh anak sbb mak ayah gak..pandai anak sbb mak ayah gak..x pk ke..aishhh..emotional dibuatnya..

    next entry plssss..hehehehe

    ReplyDelete
  19. Pedih...klu la mak terckp cam tu kt saya...mau lari tak balik2 dh

    ReplyDelete
  20. Sy faham apa naqi rasa... sbb sy pernah merasa situasi yg sama..... ;(

    ReplyDelete
  21. benci nadiah...!! sian la dekat naqi :(

    ReplyDelete
  22. ngada2 la nadiah nie..menyampah pulak ngn dia nie..

    [hawa]

    ReplyDelete
  23. Msti nk ngorat nadiah pnyalah.....ayooo ksian naqi nanti....

    ReplyDelete
  24. cian kat nagi... tp x pe abg ariq ada, harap la kan.. jgn ariq pun nak ngorat kak diah sudahhh... tq rehan

    ReplyDelete
  25. kesian naqi, tau sgt rasanya bila mak & ayah pilih kasih... banyakkan bersabar dan tabahkan hatimu..Allah akan melindungi dan memeliharamu..

    ReplyDelete
  26. Rasanya cam kisah hidup aku pulak cerita ni,bezanya aku minat lukisan,,mak ngan ayah mala ja pilih kasih even aku kakak sulung,,,tapi syukurlah lah akhirnya aku berjaya . Sedih memang tersangat sedih bila teringatkan kisah dulu,...btw good job RM....

    ReplyDelete
  27. oh, dulu saya pernah rasa apa yang naqi rasa.tambah2 akak sy ambik medic tapi akak saya tak sepoyo diah tu -_-, akak saya baik...hehehe...selalu bela sy...:D

    ReplyDelete
  28. tak bole stop ni.....dah addicted ni....br jumpa blog ni dah jatuh hati......adoyai.....nyusu baby sambil baca novel ni.....

    ReplyDelete
  29. Kesian naqi
    ariq tu nk ngorat kakak naqi kot

    ReplyDelete