Sunday, January 01, 2012

Bila Nak Saksi? [6]

[6]

SELEPAS siap menolong mama mengemas dapur usai makan malam, aku terus memanjat anak tangga naik ke atas menuju ke bilikku. Badan ini bagaikan dilenyek dengan jentera berat. Rasa sudah hampir reput tulang temulang angkara tubuh yang tidak bersedia menerima latihan lasak.

”Aduh, sakitnya pinggang....,” keluhku sambil merebahkan tubuh ke atas katil perlahan-lahan. Memegang bahagian pinggang bagaikan orang yang sudah berumur 80 tahun.

”Sakitnya....”

Bila saja aku sudah betul-betul terbaring selesa, aku hela nafas lega. Wajah ini masih menyeringai bila merasakan gigitan otot yang koyak pada seluruh tubuh, lebih-lebih lagi pada bahagian kaki aku ni.

Siang tadi kemain menunjuk-nunjuk depan budak-budak tu yang aku mampu lipat sampai ke belakang. Langsung lupa yang aku sudah lama tidak meliuk lintukkan tubuh setelah beberapa bulan terperuk dengan buku-buku saja dalam keadaan diri yang selesa saja.

Minyak mestika yang mama berikan untuk aku lama dulu, aku keluarkan dari laci tepi katil. Hampir seluruh kaki aku sapu dengan minyak angin itu. Nak kata lega tidak juga kerana aku tidaklah pandai hendak mengurut diri sendiri.
Lagipun, andai otot koyak, biarkan saya otot itu baik dengan sendiri dan natijahnya, aku haruslah bertahan untuk beberapa hati dengan kesakitan ini sedangkan aku perlu menghadiri kelas latihan lagi untuk esok.

Usai menyapu minyak, aku kembali merebahkan tubuh. Mata ini lurus memandang kipas yang berpusing ligat dan juga merenung ke seluruh siling yang putih tanpa cela itu.

”Siapa dia, ya? Payah betul orang perahsia ni.” Aku mula berbual sendiri.

”Dia cakap, budak-budak tu keluarga dia. Tak kan lah adik-adik dia ramai macam tu?” tanyaku pada diri dan aku ketawa sendiri juga bila tersedar akan lawak bodoh yang aku buat tadi, juga untuk diri sendiri. Tapi, tawaku tak lama bila merasakan belakang ini tertarik urat-urat yang tegang.

”Aduhai..... sakitnya.” Wajah ini terus aku kerutkan.

Ingat nak minta tolong mama picitkan, tapi bila ingatkan mulut bertih jagung milik mama tu akan meletup lagi kuat dari tindakan jemarinya, aku diamkan saja permintaan aku ni. Meminta pada diri sendiri lagi baik. Kak Shima pula, awal-awal dah berkurung dalam gua dia bila usai makan tadi, Abang Jeff menarik dia masuk. Memanglah romantik habis abang dan kakak ipar aku tu.

Masa ni mula la nampak wajah Usop lagi tersenyum simpul pada siling putih bilik aku ni. Penuh seluruh bilik dengan wajah Usop. Bila aku pandang dinding, wajah dia, bila aku pandang siling, wajah dia tapi bila aku pejam mata, gelap gelita. Tak nampak apa.

Aku buka mata semula dan wajah Usop masih setia tersenyum padaku. Memang dia misteri. Berkali aku tanya, berkali juga dia beralasan. Asyik mencari dalih dan andai kata dia punyai jawapannya, pastilah tergantung membuatkan aku termangu lama hendak mencerna jawapannya itu.

”Apa kaitan Usop dengan anak-anak yatim tu, ya? Susah sangat ke keluarga dia sampaikan dia buat banyak kerja dalam satu masa? Kuat sangat ke tubuh tak berapa nak sasa tu?”

Bermacam soalan meniti di bibirku tapi sayang bibir Usop ada dengan dia untuk dia jawab soalan ni dan rasanya kalau dia ada dengan aku kala ni pun, dia belum tentu sudi nak jawab dan tiga bulan tu, bukan masa yang panjang malah dalam masa tu, berbagai perkara boleh terjadi.

”Saya memang nak tahulah tentang awak, Usop? Kenapa awak tak nak bagi tahu saya apa yang saya tanya?” tanyaku seolah-olah Usop berada di depanku.

Dia ketawa sinis. Aku nampak dia tunjukkan selendang berwarna ungu yang pernah menjadi milik aku tu dan bila aku bangkit dan hendak menggapai selendang ungu itu, dia pegang erat bagaikan tidak malu selendang itu lepas dari tangannya.

Semakin aku kuat menarik, semakin dia kukuhkan pegangannya. Aku tarik lagi, dia tarik juga. Aku tidak mahu putus asa. Selendang itu hak aku dan aku terus tarik tanpa aku sedar, pipi aku terasa sakit.

”Aduh!” Aku mengaduh bila terasa pipi yang dicubit dan kala ini, bukan wajah Usop yang sedang menghulurkan selendang padaku tapi aku sedang menarik selendang mama.

Aku tepuk dahi. Patutlah aku tarik, dia tarik balik. Senget tudung owning Ariani mama tu aku tengok. Nak ketawa je tapi sebab wajah mama kelat macam peria, aku tahankan tawa aku ni. Nanti tak pasal-pasal singgah lagi cubitan sayang kali kedua di pipi. Rasanya makin tembamlah pipi aku ni sebab mama.

”Amboi, orang mengigau dalam lena, awak mengingau dalam jaga ya, Cik Jelita?” tanya mama sinis.

Aku senyum dan angkat tubuhku lalu aku sandarkan belakangku pada kepala katil. Mama ni, memang pedas ayat dia kalau ada waktu-waktu tertentu tu. Bila dia masuk aku pun tak sedar.

”Bila mama masuk?” tanyaku ubah tajuk.

”Mama masuk masa Lit pertama kali sebut nama Usop tu lagi haa....,” jawab mama seraya melabuhkan duduk di sisiku.

”Eh, ya ke Lit sebut nama tu? Macam tak je?” Aku masih cuba memancing mama memakan umpan lain.

Takut dia bertanya lanjut dan aku pastilah tiada pilihan juga sebab mama dan abah tak pernah ajar aku menipu. Pesan guru besar Johari tu, katakan yang benar walaupun pahit. Itulah, dah abah aku itu guru besar, semuanya main pepatah. Semuanya main kiasan dan peribahasa.

”Dah tu Lit nak kata telinga mama ni menipu mama la ya?”

Aku menggeleng. ”Telinga tak menipu, ma. Tapi, mungkin salah dengar. Tu je.” Aku memperbetulkan kenyataan mama.

Salah fakta mama ni. Banyak sangat tanam pokok bunga depan rumah. Sama macam abah, banyak sangat tanam pokok pisang dengan pokok cili belakang rumah. Sebut pasal pokok pisang abah tu, aku belum terima hukuman lagi ni. Nantilah aku tanya mama, apa abah nak hukum aku kali ni.

”Telinga mama ni sihat lagi. Apa guna jadi nurse dulu kalau tak pandai nak menjaga kepentingan diri.” Makin sinis mama bersuara. Masa ni aku kalah sebab dia memang jururawat dulu. Pembersih amat. Tapi, bertempatlah.

”Yalah, tapi salah lagi tu.” Aku lebarkan senyum.

”Mama bekas jururawat. Bukan lagi jururawat,” sambungku. Sengaja aku tekankan sikit perkataan bekas tu. Bila aku senyum mama mencebik.

”Siapa kata bukan?” tanya dia.

”Mama masih jururawat pada abah dan anak menantu mama tau.”
Aduhai, kali ini pun aku kalah. Mama sentiasa ada jawapannya. Dia angkat kening tersenyum bangga. Menang dengan aku kali ni.

”Hah, yang Usop tadi siapa? Betul rupanya yang Abang Jeff bagitahu mama petang tadi. Memang Lit ada teman lelaki dah, kan? Kata tak ada bila mama suruh kahwin. Pandai ya bohong,” tebak mama.

Bila naik nama Abang Jeff ni, aku rasa nak turun je dari katil ni. Rasa hilang tegang urat pada tubuh sebab aku semangat nak sepak dia.

”Ei, abang ni, tak boleh nak simpan rahsia langsung!” rungutku geram.

”Maknanya betullah abang cakap tu, ya? Lit memang ada teman lelaki, kan?”

”Mama...” Aku tarik tangan dia. Aku usap perlahan tangan yang agak kasar itu sebab selalu berkebun tapi aku merosakkan kebun mereka.

”Lit tak ada teman lelakilah. Yang Abang Jeff cakap tu, bukan teman lelaki tapi kawan je. Orang yang anjurkan latihan amal karate anak-anak yatim tu. Lit baru je kenal dia kot. Teman lelaki apa?” terangku lembut nak bagi mama faham.

”Lit jangan tipu mama...”

Inilah yang aku lemah ni bila mama tak nak percayakan aku. Sejak akhir-akhir ni memang aku selalu ditanya soalan macam tu padahal aku tak pernah menipu. Bergurau dan mengusik sikit-sikit tu adalah.

”Kalau betul ada Lit cakap ada. Tapi, masalahnya tak ada,” bantahku bersama keluhan kecil.

”Atau Lit takut nak beritahu kami tak?” Mama terus menduga dan aku terus menggeleng.

”Nak takut apa. Kalau betul, lebih baik katakan yang benar biarpun pahit,” ujarku bermadah. Sengaja kenakan mama.

”Yalah, mama tak nak anak mama jadi macam siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.”

Tu ha, peribahasa mama lagi hebat dari aku. Agaknya sebelum tidur tiap-tiap malam, abah ajar mama semua peribahasa tak?

”Ke situ pulak mama ni?” Bibirku muncung.

”Habis tu ke mana lagi?” sela dia bersama sengihan pelik. Sengih macam Abang Jeff dan Kak Shima siang tadi. Sengih syak wasangka.

”Ke mana apa? Mama tu lah, janganlah syak Lit macam tu. Lit tak pernah bohong pun, tak kan sampai nak mencuri pulak.”

Mama ketawa. ”Tapi, mama rasa Lit memang dah jadi pencuri,” usik mama lagi.

”La, apa yang Lit curi? Nak curi masa pun Lit tak berani. Nak curi keluar sendiri pun tak pernah, ni nak mencuri apa?” Aku rasa tegang dah. Sampai hati mama tuduh aku mencuri padahal sesaat pun aku tak pernah mencuri masa daripadanya.

Semua yang aku buat adalah kerana izin Allah dan juga izin daripada mama dan abah sendiri. Paling tidak pun keizinan Abang Jeff tapi tidak Kak Shima kerana keizinan dia tak laku. Mama tak luluskan sebab mama kata Kak Shima tu pro-lit. Pro-Jelita. Tukang sorok rahsia Jelita padahal tak pun.

”Lit curi hati Usop tu la kot,” sambung mama lambat-lambat.

Hah? Aku terkejut bila mama pun dah pandai berkias-kias. Dan pandai pakai ayat melankolia mengusikku. Mana belajar? Aku pun tak tahu. Rasanya dengan abah. Pasti!

”Mana ada dia curi? Hati Lit, Lit punyalah. Mana boleh dia curi. Ada dengan Lit la,” protesku tegas.
Padahal dalam hati nak ketawa dah dengan tebakan mama tu. Pandai-pandai dia bikin spekulasi. Tambah pula ada wartawan CNN macam Abang Jeff dan audio visual macam Kak Shima tu, memang sempurna telahan dia biarpun jauh tersasar.

”Ke dia yang curi hati Lit sampaikan anak mama ni bercakap sorang-sorang lagi teruk dari dulu? Senyum sorang-sorang?”

Aku telan liur mendengarkan soalan mama kali ini. Erk, rasa terjerut leher dengan kata-kata itu.

”Eh, lagilah tak ada. Hati dia milik dialah. Buat apa Lit nak curi. Tak ada masa nak jaga. Kalau dia bagi dekat Lit, ada lunyai Lit kerjakan,” ujarku juga membantah keras kata-kata mama.

”Jangan letak tembok tinggi sangat pada hati tu. Payah orang nak intai. Jangan sampai tembok tinggi tu terhakis dengan sendiri dan hati Lit yang jadi lunyai sebab berjauhan dari hati dia sudah dan masa tu,” sela mama sinis lalu dia bangkit dan berlalu ke pintu.

Aku telan liur. Betul ke mama cakap ni? Betul ke tembok hatiku makin terhakis sedikit demi sedikit dan satu hari nanti ada lelaki yang mampu mengintai melalui tembok yang terhakis itu?

”Mama datang tanya kebenaran je. Kalau ya, mama nak juga kenal walapun Lit baru kenal dengan dia.”
Eh, ada lagi sambungan daripada mama. Ingatkan dah habis. Aku pandang mama yang sudah membuka pintu.

”Kalau kata tak ada, tak apalah. Keluar baik-baik, jangan rosakkan kepercayaan kami pada Lit sudah,” pesan mama sebelum dia melalui ambang pintu dan terus dirapatkan pintu berwarna coklat gelap itu.

Apa nak buat ni? Aku memaksa diri aku bangkit. Sakit pun sakitlah. Aku nak lihat wajah aku dalam cermin. Apakah riak wajahku sekarang? Ketara sangatkah rupa seorang wanita yang baru sahaja dijengah cinta. Cinta? Apakah maknanya? Dan rindu, bagaimanakah rasanya?

Aku tilik wajahku lama tapi semakin lama, semakin aku terlihat Usop pula menjadi pantulan bayanganku. Bahaya ni. cepat-cepat aku kembali ke katil.

”Tak adalah wajah angau sangat pun. Tapi, masalahnya aku ni angau ke? Kenapa masa dia cakap dia dah berpunya hati ini rasa kecut sikit?” Aku kembali menyoal diri.

Kecut memang kecut tapi sikit jelah. Tak banyak. Masa tiga bulan ni, sempat ke aku kenali dia sepenuhnya. Usop Sonto ni memang membuatkan aku tak senang duduk setelah pertemuan ketiga kami yang akan membuatkan aku ingin mengorek identitinya dalam masa tiga bulan akan datang.

Aku rebahkan tubuh. Selimut tebal itu aku tarik ke paras dada. Aduh, terlupa nak tanya mama pasal abah. Emm, esok jelah. Aku pejamkan mata sebelum terbuntang kembali bila telefon bimbitku nyaring je bernyanyi-nyanyi.

Siapa lagilah ni? Aku gapai dan melihat nama Kak Shima di skrin. Ni dah kena badi abang aku, malas nak jalan padahal sebelah bilik je kot. Siap main-main telefon segala tapi aku jawab juga.

”Mama datang bilik kau tadi tanya pasal Usop ke, Lit?” Suara Kak Shima berbisik.

”Emm, kau cerita kat mama ke, Shi? Cubalah simpan rahsia sikit,” rungutku pada dia.

”Hai....” Suara Kak Shima bertukar nada. Kuat sikit tapi kemudiannya kembali kendur.

”Jaga sikit soalan tu ya? Bukan aku tau. Abang kau lah cerita tadi. Bila mama tanya aku, aku iyakan jelah. Nanti mama cakap apa pulak. Jadinya, apa cerita ni?” tanya dia bersungguh-sungguh.

”Aku cakap kau dengan Abang Jeff fitnah aku, kenapa?”

”Eleh, fitnah yang betul tu, Lit. Sekarang ni kau menidakkannya bermakna kau memfitnah kami.” Dia ketawa kecil.

Kakak ipar aku ni pun dah pandai berhujah sekarang. Tak lama lagi nak gred sama jurusan dengan aku. Hiasan dalaman dan kau rasa dia akan kerja dengan syarikat tempat suaminya kerja sebab Abang Jeff tu jenis berkepit dengan isteri 48 jam. Macam aku, aku nak bertatih sendiri satu hari nanti. Tapi tak tahu lagi bila.

Sebut pasal satu hari nanti, aku kembali teringatkan ayat Usop siang tadi. Pedih menusuk tepat ke hati tapi jelas kebenarannya. Satu hari tu mungkin tapi sempatkah kau tiba pada satu hari tu nanti? Kalau sempat syukur tapi andai tidak sempat, di manakah tempatku bila kembali ke sana kelak?

Wajah-wajah polos dan suci anak-anak tiada berbapa dan beribu itu juga membuatkan aku rasa sayu. Ikhlas sahaja mereka mempelawaku untuk bertudung dan yang mempelawa itu adalah Wahyudah nama dia. Itupun Usop yang memberitahuku kerana anak itulah yang paling mata di dalam ramai-ramai itu biarpun umurnya baru menginjak 11 tahun.

”Matang sebelum usia.” Itulah apa yang Usop bisikkan padaku siang tadi tatkala kami berbicara tentang anak-anak itu.

”Ya Allah, kau bukakanlah pintu hatiku untuk berhijab Ya Tuhan dan kala itu ikhlaskanlah hatiku ini hanya kerana-Mu dan bukan kerana sesiapa yang bergelar hamba-Mu. Sesungguhnya hanya keranamu saja.

”Lit, kau tidur sambil bercakap dekat telefon ke? Kau doa apa tu tadi?” sergah Kak Shima.

Aduh, aku lupa lagi Kak Shima ada di hujung talian. Dah dua kali tertangkap dengan Kak Shima aku bercakap sendiri tentang dia. Mungkin tidak secara langsung tapi aku dapat bayangkan yang dia sedang tersenyum padaku.

”Tak ada apalah! Dahlah, nak tidur ni. penatlah. Esok ada kelas lagi ni.” Baru saja nak matikan talian, aku dengar suara Abang Jeff di belakang.

”Sayang cakap dengan Jelita ke?” Jelas je suara dia bertanya dan Kak Shima pastilah mengiyakannya bila kali ini, suara yang menyapaku sudah bertukar parau.

”Lit, abang ada berita baik ni untuk Lit,” ujarnya ceria.

”Emm, berita apa lagi? Semua berita abang dah report pada mama, kan?” Aku sengaja menyindir dia.

”Hai, tadi abang rasuah dengan aiskrim Magnum pun nak merajuk lagi.” Dia terus lagi ketawa.

Ingat hebat sangat Magnum tu. Ingatkan sedap. Sedap lagi aiskrim lolipop yang patahkan kat tengah tu. Boleh pegang kiri kanan tangan sebab dapat dua.

”Emm, berita apa tadi?” tanyaku malas hendak mengambil pusing usikan abang aku ni. Sah tak larat sangat dah. Mata dah nak tertutup je.

”Berita dari mama lagi ke?” soalku tidak sabar.

Bukan tidak sabar nak tahu berita itu tapi sebaliknya, tak sabar nak campak telefon bawah katil dan lelapkan mata memberi hak tubuhku ini secukupnya.

”Haa, ni bukan dari mama tapi dari abah.”

Mendengar saja nama abah, mata kuyuku bulat tiba-tiba. ”Abah?” tanyaku sepatah.

”Abahlah. Encik Johari bin Johar tu. Esok abah arahkan Lit tanam pokok pisang yang Lit tumbangkan tu sebelum keluar rumah. Kalau tak....” Abang aku meleretkan kata.

Haih, suspen betul kalau Abang berkata begini. Jangan cakap abah nak tarik balik kebebasan yang telah dia berikan untukku? Naya macam ni sedangkan waktu untuk aku dan Usop tidaklah lama.

Aku takut juga bila dia berkata, aku bakal melalui jalanku dan dia akan terus melewati jalan hidupnya. Sekadar berkawan, bukannya ada perasaan istimewa pun sebenarnya. Pujukku pada hati bila aku rasakan, lain macam pula rasa di hati aku ni.

”Kalau tak apa?”

”Kalau tak abah tak bagi Lit keluar rumah sampai bila-bila biarpun berteman tetap tak boleh!” Tegas abang aku bersuara.

Huh, lebih teruk dari yang aku fikirkan. Rasanya abah nak binakan aku sebuah rumah di Gunung Tahan agaknya biar aku ni tak dijumpai orang.

”Teruknya.” Aku merungut kasar.

”Itu arahan tau, Lit. Bukan permintaan. A... ra...han!!” tekan Abang Jeff lagi dan dia ketawa lalu talian mati.

Aku pandang telefon aku lama dan terus aku letak di atas meja setelah aku setkan jam pada pukul 5 pagi. Bangun berkebun seawal itu bila Abang Jeff tekankan itu adalah arahan abah. Tak berani nak bantah sebab memang sudah terang terentang itu adalah salahku.

Jam 8.30 pagi, aku perlu ke sana untuk menunaikan janji pada Wahyudah dan teman-temannya yang lain serta Usop Sonto ataupun Encik Timbang.
***
DINIHARI yang dingin kerana hujan menyimbah kembali lewat malam tadi. Rasa sejuknya hingga mencucuk ke tulang hitam. Aku dongak ke langit setelah lampu belakang aku pasang. Gelap tanpa bintang. Suram tanpa bulan biarpun hari ni rasanya pertengahan bulan kalendar Islam.

”Hoh, dah ada rupanya dua pohon anak pisang baru. Patutlah abah suruh aku tanam. Ingatkan dia suruh aku tanam yang dah lunyai ni,” ucapku sendiri.

Bibir ini merekah dengan senyuman lalu aku keluar rumah dan menyarungkan selipar lalu aku dapatkan cangkul dan terus menuju ke arah kebun abah. Sudah bersih abah kemaskan. Rasanya, Abang Jeff sendiri yang bagi arahan semalam. Memandai je bagi pihak abah sampaikan aku bangkit seawal ni.

Tanpa melengahkan masa, aku mula mengcangkul tanah dengan bersungguh-sungguh. Peluh kecil mula merenik di dahi. Tadi sejuk sangat sekarang ni sudah mula membahang. Setelah siap menanam dua pohon pisang itu, aku terus membersihkan tangan dan kaki lalu aku masuk ke rumah.

Masuk je ke dalam rumah, mata kembali layu. Tadi di luar rasa segar bugar dihembus kedinginan angin dinihari. Aku lihat jam di dinding. Sudah menghampiri ke angka 6 tapi rumah masih sunyi sepi. Biasa mama dan bangkit waktu-waktu macam ni dan abah dah bergerak ke masjid hujung taman perumahan ni untuk berjemaah.

Mungkin semua kepenatan sebab tu bangkit agak lewat. Niat di hati pada mulanya nak mengejutkan mama tapi bila sampai di pintu bilik mama, mataku semakin memberat. Kelopak mata terlalu sukar hendak aku angkat dah. Nak kata tidur lewat malam tadi, sudah terlalu awal rasanya. Tapi, mata masih juga mengantuk.

Aku gagahkan juga tangan ini mengetuk bilik mama. ”Mama....,” panggilku bersulam ketukan di pintu.

”Mama....,” panggilku lagi. Tapi masih tiada sahutan.

”Mama.... assalamualaikum, ma... abah.... Dah nak Subuh ni?” laungku lagi sambil tangan terus mengetuk pintu.
Ketuk punya ketuk akhirnya pintu terkuak. Nasib baik tak terketuk dahi mama. Kalau tak, benjol nanti.

”Waalaikummussalam, sayang,” ucap mama dengan mata yang terpisat-pisat. Aku senyum tapi dia tidak membalas. Aku mula la rasa nak kecil hati.

”Mama ni, Lit kejut pun muka masam,” rungutku. Aku lihat mama senyum dah tapi senyum terpaksa.

”Dah pukul berapa ni?” tanya mama tenang.

”Dekat jam 6 pagi dah, ma. Lewat mama bangkit pagi ni? Buat apa ek semalam?” usikku. Mama jegilkan mata.

”Nak merepek la tu,” tegur dia. Aku sengih. Hilang mata yang memberat dapat mengusik mama.

”Oh, kenapa tak dengar azan Subuh, ya? Patutnya dah masuk waktu ni,” ucap mama padaku. Aku jungkit bahu tanda tidak tahu.

”Tok Bilal cuti kot hari ni,” gurauku lagi.

”Lit ni ada-ada je jawapan dia. Cuba Lit pergi kejut abang dengan Kak Shima pulak. Dah lewat ni tak bangkit-bangkit jugak lagi. Cakap kat abang, jangan sebab hari ni hari Ahad, dia nak membungkang lama pulak!”

Aku angguk mengerti dan terus berlalu ke pintu bilik Abang Jeff. Masa ni la nak kenakan abang bila mama menyuruh. Tak pasal-pasal ada niat tak baik pula. Mama masih setia di pintu membuatkan aku terasa pelik. Dia tersenyum simpul.

”Abang.... Kak Shima.... mama suruh bangkit. Dah lewat ni. Subuh dah masuk,” laungku sambil mengetuk daun pintu bilik itu kuat-kuat.

”Abang....,” panggilku lagi dan tanpa sempat aku mengetuk pintu biliknya sekali lagi, wajah Abang Jeff dah terjengul di muka pintu dengan wajah mengantuk dan marah.

”Dah Subuh, mama suruh Lit kejut,” ujarku pada dia. Abang Jeff bercekak pinggang.

”Lit ni mengigau berjalan ke apa? Cuba tengok jam kat dinding tu pukul berapa nak kejut orang Subuh. Kalau kata nak tahajud ke boleh diterima lagi. Ni Subuh apa pukul 3 pagi ni?” marah dia.

Mataku bulat melihat ke arah jam besar yang tergantung antara bilik aku dan bilik mama. Bila mataku dan mata mama bersabung pandang, mama senyum seketika dan dia jungkit bahu. Ya Tuhan, mama mainkan aku pulak awal-awal pagi ni. Dah terkena balasan Tuhan sebab nawaitu tak baik hendak kenakan abang. Terpantul balik padaku.

”Itulah, semalam tidur awal sangat. Dah terjaga awal pagi, sibuk nak kejutkan orang! Dah, pergi masuk bilik sana. Jangan kacau orang nak tidur ni,” sambung Abang Jeff lagi lalu dia menutup pintu biliknya kasar.

Aku pulak? Terkedu sendiri. Rasanya aku kunci jam pukul 5 pagi tapi kenapa aku terbangkit awal pulak? Patutlah suasana hening benar. Langsung tiada alunan ayat suci Al-Quran dari masjid berdekatan.

Mama, kenapa mainkan Lit? Tanya hatiku pada mama dari jauh. Mama ketawa kecil. Dia menggamit aku mendekatinya dan aku terus menapak perlahan-lahan kepada dia. Nak merajuk dengan mama.

”Mama ni, sengaja nak suruh abang marah Lit, kan?” Muncungku dah keluar sedepa.
Mama ketawa. ”Dah Lit kacau orang tidur memanglah kena marah. Lit penat sangat ni sebab tu bangkit waktu ni. Dahlah, pergi tidur balik. Nanti mama kejut berjemaah,” arah mama dan aku hanya angguk dan melangkah ke bilik.

Bila aku labuhkan duduk di birai katil, aku capai telefon bimbitku dan ternyata waktu yang telah aku setkan sememangnya jam 5.00 tapi petang. Maknanya, aku bangkit dengan sendiri. Padanlah mata ini kembali megantuk.

Sepertiga malam yang terlalu enak dibuai mimpi. Maknanya juga, aku berkebun jam 3 pagi? Memang mamai. Tahu kat Abang Jeff, mahu dia ketawakan aku berkurun-kurun ni.
***
AKU bulatkan mata sehabis daya. Beratnya mata ini hendak memandang namun berat lagi hendak mengangkat tubuhku ini. Bila aku alihkan pandangan ke tingkap rupanya hari dan siang. Matahari dah terang benderang.

Aku lihat mama sedang kusyuk di atas tikar sejadah, menunaikan solat sunat Dhuha barangkali pada waktu ini dan aku terus menggeliatkan tubuhku ke kiri dan kanan dan baru aku terperasan yang aku ini terlena di dalam telekung. Pastinya usai Subuh berjemaah dengan semua ahli keluarga tadi.

Bila aku bangkit membuka telekung, mama baru saja siap memberi salam. Dia memandang aku dengan bibir itu herot ke kiri kanan dan seperti biasa, adalah nanti dia memberi tazkirah pagi Ahad ni.

”Lena lagi dalam telekung macam tu, mama ikat dekat kaki dan kepala tu, nak?” tanya mama.

Eh, seramnya mama aku ni bergurau. Sampai situ dia nak buat anak dara dia yang seorang ni. Aku cepat-cepat menggeleng. Tahu perkara mati itu pasti, tapi disebabkan ada lagi rasa bersalah dalam diri, aku jadi takut. Inilah yang membezakan antara orang yang kuat iman atau tidak. Bermakna, iman aku ni lebih tipis dari kulit bawang.

”Err, takut Lit, ma.”

Dia senyum. ”Kalau takut cepat ubah apa yang patut Lit ubah,” pesan mama penuh tersirat.

Aku mengerti apa yang tersirat di sebalik nasihat itu. Aku yakin mama mahu lihat aku bertudung dan aku juga akan mencuba mengikhlaskan hati bertudung kerana Allah dan bukan kerana sesiapa. Mungkin bukan sekarang tapi aku mohon agar Tuhan memberikan aku kesempatan itu nanti. Aku mahu hati ini terbuka dengan selebarnya pintu keikhlasan.

”Pukul berapa dah, ma?” tanyaku sambil menggenyeh mata yang masih terasa berat.

”8.30 pagi dah. Matahari dah bangkit dulu dari Lit hari ni?”

Aku ketawa kecil. ”Ala, hari ni je pun. Lit penatlah semalam latih budak-budak tu. Ya Allah....” Aku bersuara kuat bila baru teringatkan temujanji dengan anak-anak yatim itu dan juga Usop.
Macam mana boleh lupa ni? ”Mama kenapa tak kejut Lit? Kan dah cakap, latihan hari ni mula 8.30 pagi.”

”La, mama pulak? Patutnya Lit la lebih peka dengan tugas dan tanggungjawab sendiri. Sebab tu mama cakap, Lit lebih baik kahwin macam Kak Shima tu. Automatik dia tahu tanggungjawab dia biarpun dia belajar lagi. Selama ni, makan minum abang, Kak Shima tak pernah abaikan walapun dia sibuk.”

Mama dah mula mengungkit sepatah perkataan yang semakin membuatkan aku seriau tu.

”Err, Lit dah lambat ni, ma. Nanti Usop tu pecat Lit pulak. Nanti Lit balik awal sikit.” Aku terus saja bangkit.
Nasib baik dah mandi dan aku terus berlari ke bilikku hendak bersiap.

Lebih kurang 15 minit kemudian, aku sudah siap dan selepas mencapai beg galasku, aku terus berlari turun.
Masa tu hanya abah yang ada di meja makan. Sedang membaca surat khabar. Dia menjeling ke arahku dengan senyuman.

”Assalamualaikum, bah,” hulurku sopan sebagai pembuka bicara.

”Waalaikummussalam. Siapa tanam anak pisang tu? Lepas Subuh tadi abah tengok dah siap tanam dah?” soal abah tersenyum. Eleh, dia sengaja la tu. Padahal dah tahu siapa tanam.

”Err, Lit tanam.”

”Pukul berapa Lit tanam?”

”Err, pukul 3.00 pagi tadi,” ujarku lambat-lambat. Abah ketawa.

”Oh, yang mengigau ketuk bilik orang tu, ya?” usik abah dan kali ini aku sengih.

”Eh, Lit dah lambat. Nak kena pergi dulu.” Cepat-cepat aku meminta diri dari terus biarkan abah ketawakan aku.

”Tak nak sarapan dulu?” tanya abah. Aku menggeleng.

”Tak sempat, bah. Dah lewat.” Tangannya aku salami.

”Mama, Lit pergi dulu,” laungku kuat pada mama yang ada di dapur dan tanpa menanti mama menjawab, aku terus keluar daripada rumah dan berlari menuju ke perhentian bas.

Aku sampai kala itu, sudah hampir pukul 9.00 pagi. Terlambat setengah jam seperti yang dijanjikan. Pantas aku mendaki anak tangga ke tingkat yang paling atas. Huh, mengah. Tak sempat aku tarik pintu, pintu besi itu terlebih dahulu ditolak dari dalam dan tanpa sedar, dahiku terhantuk pada pintu besi itu.

”Aduh... sakitnya hati!” Pelik, kan? Aku tak cakap sakitnya dahi, tapi sakitnya hati. Memanglah sakit hati kalau asyik terkena je tiap kali datang sini.

Tapi, nasib baik aku sempat imbangi badanku lantas tak adalah terjatuh lagi. Fuh, selamat kali ini. Mungkin dahi sakit, tapi tak apalah. Janji tak disambut oleh Usop macam pertama kali hari tu. Tak sudi dah! Tak halal!

”Kenapa awak suka nak jatuh bila jumpa saya? Suka ya, saya sambut awak?” tanya dia mengejek.
Eleh, padahal tak jatuh pun lagi. Ini yang menimbulkan kemarahan ni. Dahlah, nafas mengah aku tak habis lagi ni.

”Bukan saya suka-suka nak jatuh! Lagipun tadi tak jatuh pun lagi. Awak tu yang suka buat saya jatuh,” marahku pula.

”Saya yang buat awak jatuh?” tanya dia bersama tawa.

”Jatuh apa?”

”Err...” Aku tidak tahu hendak jawab apa waktu ini setelah aku dapat tangkap apa yang bermain di dalam fikirannya.

”Mungkin sekarang tak lagi kot. Satu hari nanti, insyaAllah awak akan terjatuh sesungguhnya jatuh dan masa tu, saya akan sesungguhnya sambut.” ucap dia padaku.

”Tapi, sebab awak lambat hari ni, kena dendalah sikit nanti. Sekarang pergi tukar pakaian. Budak-budak dah lama tunggu awak. Semua dah jatuh cinta pada awak termasuklah saya,” akui dia tenang dan dia berlalu keluar. Nak ke mana aku tidak mampu hendak bertanya lagi dah.

Lidah ini kelu seribu bahasa dengan pengakuannya. Rasa lain macam. Bukan sedikit lagi dah, malah sudah terlalu lain rasa di dalam dadaku ini. Hentakannya agak hebat dari biasa.

”Selamat pagi, Kak Jelita,” ucap anak-anak ini hampir serentak. Aku tersenyum malu kerana tidak mampu menepati waktu dan janji.

”Pagi semua. Maaf, kakak lambat sikit hari ni. semalam kakak berkebun pukul 3.00 pagi,” beritahuku tulus.
Wahyudah datang padaku. ”Kenapa kakak berkebun masa tu? Ni mesti kakak ngigau, ya?” duga dia dan aku menggeleng.

”Kakak salah tengok jam.” Dan, mereka semua ketawa. Aku juga senyum. Senang hati melihat tawa mereka di awal pagi ini.

Mungkin pagi ini tidak berlalu dengan lancar namun tatkala dihidangkan dengan tawa riang mereka, rasanya segalanya telah kembali pulih. Aku segera berlalu ke bilik persalinan dan setelah siap menukar uniform, aku kembali semula di luar dewan dan ternyata, Usop sudah memulakan latihannya.

”Okey, ready semua. Kita mulakan dengan warm-up dulu,” ujarku dan latihan dimulakan.

Setelah hampir setengah jam berlatih, aku memberi keizinan untuk mereka berehat. Aku pula duduk bersandar pada dinding meneguk air masak yang aku bawa dari rumah bila Usop menghulurkan sebotol air buatku.

”Saya dah ada air,” ujarku sambil menunjukkan botol air itu padanya.
Usop duduk di sebelahku agak menjauh. Botol air tadi dia letak saja di depanku biarpun aku menolakknya.

”Itu awak punya. Tak nak, simpan. Kita dah ada peruntukan untuk semua ni. Bekalan yang perlu, memang akan menjadi hak awak. Gaji je tak ada. Mungkin hanya sebotol air mineral tapi nilainya sangat berharga untuk orang seperti kami,” ucap dia penuh makna yang tersirat.

Kami itu siapa? Adakah dia atau anak-anak yatim ini atau keduanya sekali? Hendak bertanya, aku pasti jawapan yang akan aku terima adalah sama. Belum tiba masanya lagi. Sudahnya aku diamkan saja.

”Terima kasih,” ucapku tenang. Dia senyum.

”Tadi tu awak maksudkan apa, ya? Yang awak cakap semua orang jatuh cinta pada saya termasuk awak? Apa maksudkan tu?” Aku terus bertanya inginkan kepastian.

Bimbang juga jika maksudnya lain tapi aku mentafsir perkara lain pulak. Nanti dicap tertimpa perasaan. Berat tu kalau mahu angkat kalau tertimpa perasaan ni. Baik tertimpa balak.

”Itulah maksud saya. Tak ada apa-apa maksud lain pun. Saya akan jatuh cinta pada siapa saja yang budak-budak ni jatuh cinta,” jawab dia senang.

Semudah itu dia menjawabnya dan aku tafsirkan cinta itu adalah bukan konteks cinta sebetulnya cinta. Cinta yang terlalu subjektif hendakku tafsirkan dengan kata-kata.

”Oh, okey...” Aku angguk tanda faham. Sememangnya dia tidak bermaksud lebih jauh dengan ungkapan itu.

Usop menyelongkar beg galasnya dan mengeluarkan sekeping kertas dan dihulurkan padaku. Bila aku sambut, mataku bulat membaca tulisan ada kertas iklan itu.

”Berminat?” tanya dia.

Aku telan liur berkali-kali. Mahu tak minat. Tapi, mama dah melarang? Nak kena merayu mama pulak nanti. Rugi lepaskan peluang.

”Awak?” soalku pada dia.

”Di mana ada awak, di situlah akan ada saya,” jawab dia, menuturkan ayat itu sekali lagi tanpa aku mengerti apakah yang bermain di mindanya kini.

~~~> bersambung

Saya rasa agak panjang sikit kot bab 6..hehe..layan jelah..harap suka n sudi drop komen dan cadangan..hehe..

11 comments:

  1. lawak seh, tanam pokok pisang jam 3pg...hehehe
    misteri eh usop nie...
    bla blh reveal psal dia nie?
    xsabar sya... :)

    ~nor~

    ReplyDelete
  2. Mesti Usop ajak lit masuk tournament kan?

    ReplyDelete
  3. lawak betul lit ni . tanam pokok pukul 3pg :D

    ReplyDelete
  4. walupun panjang but saya setia membacanya sampai la ke akhirnya...ops! akhir bab nie la. hehehe.

    semakin lama semakin menarik. kalu suka, katakan suke. just terus terang. xyah nak kias2 sgt. hahaha

    sempoi n cool je cite nie. kalu sape2 bace msti rase xstress. okla. just, lit 2 ganas la. usop lak main2 lak. but 2 2 still saya suke. hehehe

    penulis, gud luck untuk awak. n3 kali nie pun tbaik. alhamdulliah...saya tunggu next bab.

    ReplyDelete
  5. hahaha..tanam pokok pkul 3 pg..brsmgt gler tanam pokok..heheh..usop msti tunjukkn risalah pertandingan kt lit..

    ReplyDelete
  6. dah tukar tajuk plak ke?

    ReplyDelete
  7. hehe xpnh dibuat org lg nih berkebun kul 3 pg..
    best la akak...

    ReplyDelete
  8. sye rse usop ni ank yatim....
    btol x....?

    ReplyDelete
  9. mesti usop anak yatim...
    cam sedih je kisah idup Usop...

    wakaka...
    lit wat lawak la bkebun kul 3pg...

    ReplyDelete
  10. wuih!!dahsyat la lit ni berkebun
    pukul 3 pagi..hihihi
    usop ni cam main tarik tali lak ngan lit :)
    best!! deabak!! Rehan..

    ReplyDelete
  11. aku pun pernah bagi kul 3 pagi besiap nk g keje...hahhahahaa...tgk2 jam baru kul 3 pagi....smpi skrg aku kena bahan....

    ReplyDelete