Saturday, March 17, 2012

Ku Ingin Milikimu [6]

BAB 6

“AKU bukan nak menghalang Ana. Tapi, kau dah fikir ke baik buruk kesannya pada kau dan Mukhlis sendiri?”

Itulah soalan Sarina padaku yang membuatkan aku garu kepala yang tidak gatal. Wajahnya aku jeling sekilas lalu aku menggeleng tanda tidak pasti.

“Keluarga dia berpengaruh, Ana. Aku takut satu hari nanti, kau tak dapat bertahan je!” Keras saja suara Sarina menyapa telingaku.

“Mukhlis janji dia tak akan sia-siakan aku,” jawabku separuh berbisik.

“Janji manusia ni boleh berubah, Ana bila dibadai marah satu hari nanti.”

Aku menggeleng. “Tak… aku percaya dengan janji dia pada aku, Ina. Kau doakanlah kami, ya?” pintaku sepenuh hati.
Sarina bangkit dan mendekat padaku yang sedari tadi duduk memeluk lutut. Dia duduk dan membawa lengannya melilit bahuku erat.

“Macam mana dengan tunang dia tu, Ana? Keluarga dia? Kalau kata betul kau setuju nak rahsiakan pernikahan kau dengan dia nanti, kau yakin ke Puan Sri, Tan Sri tu tak boleh kesan hubungan kamu berdua?”

Benar kata Sarina. Terkedu juga aku kali ini. Akal jenuh mencari jawapan yang sesuai hendak meyakinkan Sarina malah diri sendiri sebenarnya.

“Kalau betullah kau nak rahsiakan hubungan kau dengan Mukhlis nanti, kau nak tinggal asing-asing ke dengan dia? Macam tu?”

“Kalau itu yang akan menyelamatkan dia dari keluarga dia, aku tak kisah, Ina. Aku sanggup,” jawabku sedikit yakin.
Sarina ketawa halus. Lebih kepada sindiran sebenarnya membuatkan aku terhenyak sendiri.

“Jangan terlalu yakin untuk jual bahagia sendiri semata-mata untuk bahagia orang lain, Ana. Mereka tak layak pun nak beralaskan bahagia kau untuk kebahagiaan mereka. Tapi, sungguh. Aku memang berharap Mukhlis mampu jaga dan tunaikan janji dia pada kau. Mungkin jodoh kau memang macam ni, tak mampu kita nak sekat, kan?”

Sarina memaut bahuku semakin erat. Bagaikan memberi kekuatan padaku agar mampu meneruskan hidup setelah janjiku dengan Mukhlis terpatri nanti.

“Aku juga berdoa perkara yang sama, Ina. Moga dia bahagia bersama aku nanti.” Hati ini memanjatkan doa pada Ilahi, berharap agar dia bahagia bersamaku kerana niatku hanya satu, hendak membuatkan dia rasa bahagia biarpun kami tak punya apa-apa satu hari nanti.

***

PERJALANAN kami agak memenatkan. Atas sokongan Sarina, aku nekad hendak menjadikan diriku milik Mukhlis biarpun tiada majlis yang gilang gemilang dan biarpun aku tahu dugaan di depan waktu akan lebih hebat lagi.

“Kamu berdua dah sedia ke ni?” tanya Sarina pada aku dan Mukhlis saat kami tiba di laman rumah emakku.

Aku angguk. “Aku dah cakap pada Abang Ngah aku dan dia macam okey je,” jawabku lemah kerana aku tahu, mak pastilah kecewa.

“Saya harap awak boleh jaga janji awak nanti untuk Anahara,” ucap Sarina tenang.

Mukhlis mengangguk dan menjeling aku yang ada di sebelahnya. Kaku juga seluruh anggota badan hendak menghadap keluargaku setelah aku nekad membuat permintaan gila ini daripada mereka.

“InsyaAllah, saya akan jaga Anahara dengan nyawa saya, Sarina,” janji dia pada Sarina.

Bila aku mengerling ke arah dia, dia senyum dan mengedipkan mata kuyunya sekali. Aku tahu dia sedang menghantar satu pesanan buatku lagi.

Sarina keluar terlebih dahulu. Aku dan Mukhlis masih diam membeku. Saling merenung dan saling menggambarkan keresahan di balik sinar mata yang agak suram.

Mukhlis memandangku dan tersenyum. “Jodoh kita kuat. Percayalah pada saya, sayang. Saya akan menjaga awak sebaik mungkin!” pujuk dia meyakinkan keputusan yang sedang kami ambil ini.

Aku hanya tersenyum tawar. Mungkin benar jodoh kami kuat tapi tentangan juga bakal hebat. Sudahnya, kami sama-sama menapak keluar daripada Caldina itu. Menapak perlahan menuju ke rumah usang mak.

“Dah sampai?” tanya Abang Ngah saat aku berada di ambang pintu. Dia memandang Mukhlis lama sebelum tersenyum mesra.

Kami naik ke atas dan mak serta Kak Long sudah sedia menanti. Wajah Kak Long sugul. Mak juga, biarpun wajah tua itu sedang mengukir senyum.

“Saya Mukhlis, mak cik.” Mukhlis menyapa mesra lantas dia duduk di sisi Abang Ngah.

Mak mengangguk beberapa kali. “Kamu berdua ni nekad ke?” tanya mak setelah lama suasana gumam tanpa suara.

Aku diam menunduk. Tidak sanggup sebenarnya hendak mengecewakan mak dan keluarga semua.

“Kamu nekad nak nikah dengan Anahara, Mukhlis?” soal Abang Ngah pula.

Dia mengangguk yakin. “Apa-apa pun berlaku, saya janji saya akan jaga Anahara sebaik mungkin, bang,” janji dia pada keluargaku.

“Kalau macam tu, mak… kita relakan jelah mak dah kalau kata Ana sendiri setuju,” ucap Abang Ngah pada mak.

Mak mengeluh. Dia angkat wajahnya memandang aku. “Mak tanya sekali lagi ni Ana… Ana betul nak jadi isteri Mukhlis. Nak susah payah dengan dia?”

Mataku berair melihat mak. Aku nampak kekecewaan dalam dirinya. Bila aku pandang Mukhlis, dia hanya memandangku penuh dengan harapan. Kak Long diam membatu. Sarina juga sama. Kelu semuanya dan bila aku mengangguk lambat-lambat, mak mengeluh lagi.

“Kalau ini yang Ana nak, mak restui. Tapi ingat, satu hari nanti kalau Ana susah, baliklah pada mak.”

Aku langsung bangkit dan terus memaut lutut mak. “Ana minta maaf, mak. Ana seoang anak yang tak baik buat mak. Ana dah kecewakan mak,” ucapku dalam tangis.

Telapak tangan mak singgah di belakang kepalaku. “Tak… Ana baik sebab tu anak balik minta izin dengan mak. Anak anak mak yang baik,” sahut mak pula dan akhirnya ruang tamu rumah mak dihiasi tangis yang sahut bersahutan.

Esoknya, sedang aku menanti kepulangan Abang Ngah dari menguruskan hal pernikahan aku dan Mukhlis, tanpa sedar lelaki itu sudah ada di belakangku sewaktu aku duduk di serambi.

“Ingatkan tidur?” soalku.

Dia menggeleng. “Malam esok, insyaAllah tidur lena.”

“Gatal.” Aku mencebik.

Mukhlis ketawa. Jarang mendengarkan tawa dia. Tapi hari ini, rajin pula dia ketawa. Tidak tahu pula sebab dan musababnya.

“Happy nampak?” tanyaku menyindir.

“Sangat.” Dia menjawab sepatah. “Tapi, maaf tak dapat bagi sebuah perkahwinan impian pada Ann.”

Aku kedipkan mata. “Saya boleh terima, insyaAllah,” akuiku.

“Tapi, kenapa happy? Kahwin rahsia pun happy ke?” soalku kemudiannya.

Dia angguk. “Sebab pengantin tu adalah Ann Rahana, penulis kesayangan ramai,” jawab dia.

“Jadi, sebab saya penulis, awak rasa berkuasa boleh dapatkan saya, macam tu?” tebakku.

Hati ini sedikit terguris juga dengan kata-katanya. Usah dikata aku tersilap membuat keputusan sekarang hanya kerana dia hanya mahu memiliki seorang penulis dan bukan diriku yang sebenarnya.

“Saya gurau jelah. Mungkin awak sebagai penulis yang membawa awak hadir dekat dengan saya tapi bila dah jatuh cinta pada awak, saya hanya cinta awak tu pun tanpa sebab, Ann. Sungguh tak ada sebab langsung. Tak mampu nak cakap dengan kata-kata, dulu pun apatah lagi kita dah bersua macam ni,” ucap dia lembut.

Aku menggariskan sekuntum senyum. “Saya pelik satu perkara je, kenapa awak boleh suka saya sedangkan awak tak tahu rupa saya macam mana. Entah-entah tak ada hidung ke, herot sana sini ke?”

Sengaja aku menduga dia tentang jawapannya. Aku benar-benar mahu tahu juga, andai aku tidak sempurna, malah ada cacat celanya, sanggupkah dia terus berkata cinta.

Mukhlis ketawa membuatkan aku pelik. “Tapi, awak comel kan. Cukup sifat dan nampak sempurna je pada mata saya,” jawab dia.

“Kalau saya tak comel awak tak ada cintalah ya?” tebakku.

“Lelaki selalu inginkan yang terbaik untuk cinta. Macam saya, kata hati saya sangat yakin yang cinta saya ni Allah kemudikan pada orang yang tepat. Saya pernah je mimpi yang bukan-bukan tentang awak,” ujarnya membuatkan aku menjegilkan mata luas.

“Apa maksud awak bukan-bukan tu?” tanyaku bersama gigi yang aku ketap geram.

Mukhlis ketawa halus. Dia mendekat pada pagar serambi dan mendaratkan tangannya di atas pagar serambi. Dia menjelingku dan mengjungkitkan keningnya sedikit.

“Awak mesti fikir bukan-bukan tu…” Kata-katanya mati.

“Habis tu apa awak mimpi?”

“Maksud saya, saya mimpi Ann Rahana tu, comot, berjerawat batu, hitam.” Dia ketawa lagi sambil menekup mulutnya.

“Amboi awak… kalau kata macam tu, tak naklah.”

“Tapi, Ann tak macam tu, kan?”

Aku muncungkan bibir. Merajuk la konon sedangkan aku langsung tidak berasa hati dengan kata-katanya kerana aku ini amat sukar hendak merajuk, jauh sekali hendak cemburu. Cuma sesekali, aku hanya mahu menguji.

“Janganlah macam ni. Alhamdulillah sebab Ann sempurna pada mata saya. Seperti yang hati saya katakan pada saya, di sebalik nama Anahara tu ada wajah yang comel dan mulus ni.”

Dia cuba mencuit pipiku tapi aku pantas mengelak. “Jangan mengada, ya!” tegurku agak keras.

Mukhlis mencebirkan bibirnya. “Maaf, tak sengaja. Geram kot, Ann comel sangat.”

“Awak ni, mengada sungguhlah.”

“Tapi, sebelum ni tak ada ke peminat lain mengayat Ann?” soal dia tiba-tiba.

“Kenapa tanya macam tu?”

“Yalah, saya rasa dengan cara Ann menulis, melayan peminat, tak mustahil ramai orang jatuh cinta dekat Ann Rahana tu.”
Aku ketawa halus. “Ada tapi sorang je.”

“Siapa?” tanya dia tidak sabar.

“Mohd Mukhlis. Sampai sanggup kot upah orang siasat siapa saya,” jawabku menyindiri dia di dalam tawa.

Wajah Mukhlis keruh. Tapi, aku rasa dia sengaja kelatkan wajah agak tampan itu. Padaku, dia tidaklah tampan mana, namun maskulinnya wajah itu benar-benar membuatkan aku hampir gila bayang.

“Sebab yang lain tu tak berani. Tak jantan… saya ni berani, anak jantan sebab tu saya buktikan macam tu. Cuma ada hal-hal tak dapat elak tu, saya lambat la sikit bertindak,” jawab dia megah.

“Jantan ke?”

“Malam esok saya buktikan,” jawab dia nakal dan wajahku kala ini merona merah tanpa mampu aku elak bila dia berkata demikian.

Meremang seluruh tubuhku bila melihatkan Mukhlis mengukir senyuman lebar. Aku tahu dia bahagia tapi aku resah hati tetap ada. Malah tak mungkin hilang biarpun kami selamat diijabkabulkan malam esok.

“Tapi, saya harap awak mampu jaga saya dan hati saya sebaik mungkin, Mukhlis,” pintaku mengubah tajuk perbualan.

Dia angguk. “Esok, dengan izin Allah, Ann akan jadi isteri saya dan saya janji, akan jaga Ann sebaik mungkin. Dengan nyawa saya.”

Mata itu dikedipkan sekali dan sudah cukup membuatkan aku yakin akan kata-katanya.

“Tunang awak tu…”

“Tentang dia kita fikirkan kemudian. Ann bagi masa pada saya sikit. Sebulan dua lepas kita nikah ni, kita selesaikan apa yang patut, ya?” pujuk dia mencantas kegundahan hatiku.

~~> bersambung

5 comments:

  1. seram ceta sbb dh bc cerpen. klu mcm cerpen tu mmg sakit woooo

    ReplyDelete
  2. xsbr na tau kesudahannyer......abis d blog tu yg best tu...tq rm

    ReplyDelete
  3. rm cepat kasi entry baru yer..x sabar nak tw kesudahan cerita nih sebab dah bce kt cerpen dulu..jgn la ending mcm kt cerpen dah la..merana sye..hhehhe

    ReplyDelete
  4. merana ke?? x sanggup nk baca yg cerpen punya...hahahaa

    ReplyDelete
  5. nape la rs cter ni akn buatkn hidup Ana ngn Mukhlis complicated.

    ReplyDelete