Thursday, March 29, 2012

Kerana Sekali Cinta [2]

BAB 2

PEN mekanikal dengan mata pena 0.7 dakwat cair itu aku pusing di hujung jari. Tak tahu nak tulis apa syarat yang aku nak bagi pada Anaresa ni. Alamat dan nama penuh dia aku tatap lagi. Cantik tulisannya. Kemas saja biarpun dia hanya menulis tanpa lapik.

Terbayang lagi depan mata aku ni wajah cuak tu bila aku kenakan syarat. Aku tahu dia menganggap aku bersungguh-sungguh sedangkan, niatku lain. Aku mahukan dia. Aku mahu dia menghalau cinta lama di hati ini kerana rasanya aku juga ada cinta untuk dia. Hanya tinggal yakin dan tidak saja.

Kertas putih itu aku pandang lagi. Lama setelah itu, aku garu kepala yang tidak gatal. Sungguh buntu.

“Ya Allah, niat dah betul tapi kenapa rasa takut ni?” tanyaku pada diri sendiri.

Sekejap aku bangkit dan sekejap melangkah rapat ke arah pintu luncur. Bila aku tolak pintu luncur itu, angin malam menerobos masuk dengan agak rakus. Nak hujan barangkali. Bila aku dongak ke langit, tiada bintang. Sah hari nak hujan.

Aku membongkokkan badan sikit dan menongkat dagu pada pagar balkoni. Lepas solat Isyak dekat masjid tadi, tak sempat nak sembang dengan mama, abah dan adik aku. Yang seorang lagi dekat asrama. Adik aku juga. Seorang lelaki dan seorang perempuan.

“Ya Allah… kalau cakap dekat mama dengan abah ni, agak-agak kena ketuk sampai terbenam macam kena piling tak?”

Risaunya hati bila memikirkan persetujuan mama dan abah dengan rancangan aku ni. Sungguh aku berani mati. Baru kenal sesaat sudah berani buat keputusan macam ni. Tapi, bukan ke jodoh itu hadir dalam pada waktu yang kita tak jangka juga dengan orang yang kita tak duga?

Sebenarnya aku lelah dikejar bayangan Anahara. Rasa berdosa pada suaminya, Mukhlis. Bibir mengatakan redha tapi sukarnya hati hendak menerima. Aku paksa dan mencuba. Bukan berserah semata-mata tapi rasanya kata-kata akhir Anahara dekat KLIA dulu aku perlu praktikkan pada diriku pula.

Untuk hidup yang baru, kita harus menggantikan yang lama tu. Hanya dengan cara itu kita mampu menjauhkan yang lama dari hati. Bukan beerti lupa tapi sekadar ingatan teman dah lebih mencukupi.

Lama juga kau membiarkan angin menyapa tubuhku yang tak berbaju. Panaslah. Tu tak pakai baju. Tapi masih menjaga aurat. Seluar aku ni tetap berada atas pusat dan melebihi kepala lutut. Bersendiri pun, aurat perlu di jaga.

“Ya Allah, buntu ni. Tolong aku, Ya Tuhan,” doaku bersama akal yang hampir menemui jalan mati.

Masa depan Anaresa semalam, kemain yakin aku bertutur. Kemain galak mengusik dia tapi bila bersendiri, nak menitipkan surat tu buat dia dan menyatakan hasrat hati pada mama dan abah, kecut semacam.

Sudahnya, aku masuk ke dalam semula. Pintu luncur aku rapatkan dan aku terus berlalu ke katil dan merebahkan tubuhku. Memandang ke siling melihat ke arah kipas yang berputar ligat tapi masih tak mampu memberi kedinginan pada tubuh yang hangat ni, lantas aku bangkit semula. Mematikan kipas dan memasang penghawa dingin lalu kembali berbaring.

Tergolek ke kanan, tak kena. Tergolek ke kiri juga tak kena. Wajah Anaresa hadir lagi tapi sayang bila akhir pertemuan kami semalam, wajah Anaresa kelat lepas aku kenakan dia. Mudah merajuk sungguh. Berbezanya wanita yang aku cuba dekati kali ni.

Kalau dulu, Anahara sangatlah unik orangnya. Matang, dingin, tegas dan nampak penyayang malah langsung tidak memandangku dengan sesuka hati. Lain pula dengan Anaresa, nampak kebudakan, cepat melatah, nampak manja dan suka merenung tepat ke wajahku bila bercakap.

Segalanya berbeza. Tapi, aku rasa aku sedang buat salah lagi. Astaghfirullah… apa aku ni? Tak sudah-sudah nak bandingkan dua orang Ana tu. Memang berbeza tapi aku yakin, Anaresa juga hebat seperti mana Anahara dan hati ini kuat mengatakan, dia adalah yang telah Allah dekatkan denganku, untuk menerima cinta ini.

Sudahnya, aku batalkan niat nak tidur dan terus aku bangkit menuju ke almari. Pakaian aku tukar bagi sopan dan terus aku ke bilik air, mengambil wudhuk. Usai itu, aku kembali membentangkan sejadah. Waktu ini, hanya pada Allah tempat aku mengadu. Hanya pada dia aku bermohon belas dan mohon diberi petunjuk pada bisikan hati yang mungkin mengikut nafsu semata-mata.
Setelah memberi salam kedua, aku terus angkat kedua belah tanganku memanjatkan doa moga dipermudahkan segalanya.

“Ya Allah, jika ini adalah kehendak-MU, perkenankanlah. Andai ini jodoh yang telah Kau utuskan buatku, restuilah. Jika dia adalah pendamping untukku curahkan cinta dan kasih ini, kau bukakanlah jalan untuk kami,” doaku penuh rendah diri.

Aku aminkan sepuluh jari ke wajah. Sesudah itu, bagaikan ada satu semangat baru yang meresap ke dalam seluruh urat sarafku membawa aku bersujud tanda syukur dengan keyakinan ini yang kian bertambah biarpun takut masih cuba membaham keyakinan itu. Aku dah tak nak peduli sebab aku tahu apa yang aku lakukan. Yang pasti, mendapat restu abah dan mama serta dilindungi-Nya.

Bangkit dari sujud, aku sekali lagi duduk di meja tulis. Pen mekanikal itu tadi aku capai semula dan kali ini, laju saja aku menconteng dada kertas itu menuntut terma dan syarat serta janjiku pada Anaresa.

Aku yakin dan seyakinnya pasti lalu aku lipat kertas tu. Esok nak minta adik perempuan aku pos laju ke alamat yang Anaresa berikan kerana empat hari lagi, hujung minggu akan menjengah.

***

WAJAH mama jelas terperanjat bila aku lahirkan niat di dalam hati ini. Abah jugak yang cool. Mama ni sentiasa hot. Hot mama. Zafrina, adik perempuanku itu senyum-senyum simpul. Rasanya dia lagi tua dari Anaresa setahun dan adik lelaki aku yang seorang lagi tu, Zafrin lagi jauh beza dengan Anaresa.

“Mana Along kenal dia?” tanya mama.

“Kat kedai buku.”

“Bila kenalnya? Kenapa tak pernah bagi tahu mama? Seingat mama, dulu Along rapat dengan sorang novelis ni tapi bila dia dah kahwin, Along kekal sendiri sampaikan mama nak kenalkan dengan mana-mana calon pun Along tolak. Ni dah ada calon boleh pulak tak bagi tahu mama. Tup-tup ada niat tu baru nak bagi tahu.”

Nada mama jelas kecewa. Aku rasa bersalah juga tapi nak buat macam mana. Memang sebelum ni aku tak ada calon lain selepas cinta tak kesampaian aku tu. Bukan sengaja pun. Nak menipu jauh sekali.

“Mama… Along baru je kenal dia.”

“Yalah, baru tu bila?” Mama jegilkan mata.

“Setahun, sebulan, seminggu…”

“Dua hari sudah,” jawabku memangkas andaian mama.

Apa lagi, makin bulat mata dia. “Dua hari?” Jari mama tegak dua batang. Aku angguk saja.

“Wah, hebatlah Along ni. Kenal dua hari terus ada niat suci murni tu,” tokok Zafrina mengusik.

Aku angkat penumbuk dan dia ketawa tapi tak lama bila mama menjeling tajam. Nak juga aku bahankan dia tapi tak boleh, sebab mama sedang tahan marahnya.

“Abahnya tengok Along ni. Tengok anak jantan abah ni. Masa orang beria nak suruh dia kahwin, nak kenalkan dengan calon yang mama pilih, dia tolak. Tengok-tengok, dia pilih yang dia kenal dua hari?” rungut mama pada abah yang sedang membaca akhbar.
Riuh rumah kami malam ni.

“Alah, dah dia nak, ikut dia lah. Nanti tak kahwin-kahwin sampai tua, awak juga bising nanti, mamanya,” sela abah tenang.

“Along cakap dekat mama? Siapa nama dia? Umur berapa, tinggal kat mana? Along jangan ingat kita nak pergi pasar Selayang je ni. Ni nak pergi rumah orang. Pergi tengok anak dara orang,” tekan mama tak puas hati.

Dia ingat aku tak tahu semua tentang Anaresa. Memang tak semua tapi setidak-tidaknya aku tahu nama penuh dia, nombor kad pengenalan dia, alamat dia dan dia belajar di mana. Kursus pun aku tahu dia sedang belajar dalam kursus apa masa terpandang buku dia hari tu.

“Nama dia Anaresa binti…”

“Hah, surat semalam tu Along pos ke kekasih hati la, ya?”

Dah sekali lagi adik aku menyampuk. Pecah rahsia lagi. Mulut dia memang tak boleh nak zip. Menyesal aku minta tolong dia poskan surat aku pada Anaresa. Tolonglah sangat sedangkan kos pos baru RM5 tapi upah dia RM50. Akhirnya, pecah rahsia juga.

“Surat apa ni? Surat apa?” tanya mama geram.

Zafrina tekup mulut lalu dia bangkit dan menapak ke bilik dia. Yang penting dengan riak tak bersalah meninggalkan mama bertanya sendiri.

“Err… tak ada apalah. Ni Along nak bagi tahu. Nama dia Anaresa. Sekolah lagi…”

“Hah, tingkatan berapa? Along apa ni? Nak kahwin dengan budak bawah umur pulak ke?” soal mama mencantas.

Aku baru nak tepuk dahi tapi sempat brek sebab teringat pesanan Anaresa. Situ ada akal nanti rosak jadi aku tepuk bahu sofa.

“Mamanya, biarlah Along tu cerita. Nak mencantas je kerja dia,” tegur abah sambil menggeleng.

“Entah mama ni,” tokokku pula.

“Maksud Along dia belajar lagi dekat UiTM Shah Alam tu. Along jumpa dia dekat kedai buku dua tiga hari sudah. Ada debarlah mama. Tu yang Along nekad tu. Dulu dah melepas, sekarang ni sayanglah nak biar macam tu je. Umur dia… errr…”

Aku gagap. Mula seriau nak maklumkan umur Anaresa pada mama. Takut kena jerit lagi tapi kata hati ditemani akal aku ni meminta aku berkata-kata jadi aku kumpulkan semangat yang ada.

“Dia umur 20 tahun kot tahun ni.”

Sungguh aku cakap. Mama terus berdiri tegak. Tangan bercekak pinggang. Matanya tajam menyinar.

“20 tahun? Lagi muda dari Rina?”

Aku angguk saja menjawab soalan mama.

“Ya Allah, muda sangat tu, Along.” Mama merungut lagi.

“Muda tak ada hal lah. Janji lepas kahwin boleh jaga suami, boleh beranak, jaga rumah tangga sudah.” Abah menyampuk tenang. Aku memang suka abah.

“Ya Allah, abahnya. Boleh ke dia jaga anak lelaki kita ni?”

“Eh, awak ni mamanya. Apa pulak macam tu? Si Zafran ni lah patut jaga errr… sapa tadi nama dia. Pelik sangat abah dah lupa tapi anak kitalah patut jaga dia, kenapa dia nak jaga anak kita pulak?” bantah abah.

Aku rasa nak angkat tangan menyokong kata-kata abah. Biarlah aku jaga dia, kenapa dia nak jaga aku. Aku haruslah menjadi pelindung dia.

“Masalahnya, Zafran ni kaki makan. Buatnya tak reti masak macam mana?”

Mama memang risau tahap apa aku tak pasti. Tapi, apa susah. Aku makan dekat kedai sementara dia belajar ni.

“Lepas tu, nak tunggu dia habis belajar empat lima tahun lagi, bila masa Zafran nak jadi bapak?” soal mama kali ini lebih keras.

Abah ketawa. Aku telan liur. Rasa lain macam je bila mama sebut ‘bapak’ tu. Ada rasa asing menyelinap dalam diri. Masa ni, teringat Aryana. Bakal anak tak jadi. Mesti dah besar dan comel macam mama dia.

“La, beranak jelah. Apa masalahnya. Pelajar universiti boleh beranak apa tapi kena nikah dululah,” jawab abah lebih cool dari biasa.

“Cakap dengan abang ni memang tak menang! Hah, Along!” Tiba-tiba je mama beralih padaku.

“Kalau Along betul, bila kita nak pergi ni? Dah cakap pada keluarga dia?” tanya mama akhirnya beralah dalam ketegasan.

“Err… harap Anaresa dah bagi tahu dah,” jawabku penuh harapan seperti mana aku titipkan dalam warkah cinta pertama tu.

“Bila nak pergi?”

“Hujung minggu ni,” jawabku takut-takut.

Mama terduduk. Dia tepuk dahi. Mama ni, rosak akal kat situ mama tepuk dahi kuat sangat. Desis hatiku dah jadi macam Anaresa dah.

“Persiapan?”

“Along bagi duit,” jawabku pantas.

“Aduh, sakit kepala mama dengan kamu ni, Zafran,” keluh mama sambil memicit kepalanya.

Aku apa lagi, bila aku lihat mama diam tu, aku tahu mama setuju dan aku cepat-cepat naik ke atas, takut tiba-tiba mama bertukar fikiran pulak.

Dah sampai masanya, saya lepaskan awak pergi jauh dari hati saya Anahara sebab awak milik dia. Tiga tahun saya tegar menjaga rindu ini tapi rasa sarat dihimpit dosa pada Mukhlis. Berlalulah, Anahara kerana saya mahu isi cinta buat Anaresa pula dalam hati ini, bisik hatiku lalu aku ukir senyum dan meraup wajah.

Mata ini aku pejam dan aku berharap, lenaku bertemankan mimpi indah biarpun kosong lagi setakat ini.

***

HUJUNG minggu tiba dalam kesibukan aku di pejabat dan ke tapak. Sarina bercuti. Tak sempat nak bagi tahu dia tentang rancangan aku tapi rasanya, biarlah dulu. Tunggu dapat khabar baik dulu baru aku beritahu dia. Buatnya tak jadi, bikin malu.

Perjalanan menuju ke Kuala Selangor dari rumah aku di Taman Nakhoda, Selayang rasanya tak lah jauh. Dua jam lebih sikit je tapi kenapa aku rasa macam jauh. Dari pagi kami bergerak tapi tak juga sampai. Aku takut sebenarnya. Takut Anaresa menolak lantaran surat itu tak berbalas.

Mazda aku ni agaknya kena service aircond aganya. Berpeluh semacam. Kemeja aku pakai dah lencun. Tapi, orang lain elok je. Atau sebenarnya aku takut. Mama dari tadi tak henti-henti membebel. Baik abah, diam je tak berkata apa. Adik aku yang seorang tu sibuk dok menyiku. Mengusik la konon. Aku usik dia karang.

“Betul ke apa yang kita buat ni, Along?” tanya mama entah kali ke berapa. Padahal kami dah dalam perjalanan pun.
Aku tenang memandu lantas menjeling pada mama dan abah di belakang untuk seketika.

“Betul dah ni. Along nekad dah ni,” jawabku senada.

“Dah awak mamanya, berduyun dah kereta kat belakang kita bawa ni, apa yang tak betul pulak?” tanya abah menyokongku.

Mama mendengus kecil. “Kita nak pergi rumah orang ni, abahnya. Bukan nak pergi pasar beli anak ayam balik bela bagi makan dedak!”

Aku ketawa kecil. Adik bongsuku, Zafrina juga ketawa. Bila mama merengus lagi, kami sama-sama matikan tawa.

“Apa pulak dedak mama ni? Gaji Along lebih dari cukup nak bagi dia makan hari-hari. Lagipun dia kecil je orangnya. Takat dada Along je. Makan pun haruslah sikit,” selorohku.

Padahal dalam hati ni memang aku cuak amat. Takut Anaresa koyak surat yang aku pos pada dia beberapa hari sudah. Aku minta balasan dari surat tu tapi Anaresa tak membalas langsung biarpun, aku dah bagi nombor telefonku.

Sebab itulah, aku beranikan diri meredah juga onak duri ni. Paling tidak, kalau betul tercucuk duri dari awal, mudah aku cabut dan rawat cepat-cepat kalau tidak, aku akan hadap segalanya.

“Mama pening dengan Along ni. Macam-macam hal. Barang-barang ni semua, tak cantik langsung! Cuba bagi masa sikit mama siapkan cantik-cantik, haih…” Mama terus mengeluh.

Aku pandang Zafrina dan abah kemudiannya. Abah mencebik. Adikku juga tapi aku pelik sebab aku tak tahu, mama pening sebab rancangan aku atau pun pening sebab barang di tangan dia tu cantik.

“Cantik dah tu,” ucapku menyedapkan hati mama.

Sudahnya dia diam dan membebel sendiri. Aku pula tenang memandu pada kelajuan macam nak pergi pasar besar sebab takut kereta lain sesat. Sabar jelah. Baik naik kereta lembu bila kereta lain kiri kanan, memotong kereta aku.

Akhirnya, kami tiba. Tak banyak sangat kereta. Dalam tiga buah je termasuk kereta aku. Nak merisik je kot. Kalau ada rezeki bertunang terus. Bulan depan kahwin terus. Senang. Tapi, rasanya tak semudah tu.

“Assalamualaikum,” laung abah kuat.

Tak lama kemudian, pintu terbuka luas dan muncul tuan rumah. Lelaki yang agak tinggi dan kasar susuk tubuhnya. Ada misai tebal macam sarjan pencen.

“Waalaikummussalam,” jawab dia.

“Dah sampai, naik-naik.”

Aku terlopong juga. Dah sampai? Dia ada tunggu rombongan lain ke? Ke memang Anaresa dah bagi tahu keluarga dia? Emm, boleh jadi juga.

Nak tak nak, kami naik dengan rombongan beserta dulang hantaran yang mama cakap tak cantik tu. Tak cantiklah sangat. Duit aku bagi seribu ringgit tak cukup katanya. Aku pun tak tahu apa mama buat dengan hantaran tu.

“Jemputlah duduk,” pelawa tuan rumah lagi.

“Zaki,” beritahu abah memperkenalkan diri.

“Lah. Abdullah,” sahut bapa Anaresa pula. Haruslah bapa dia sebab nama Abdullah.

“Err.. kami ni datang sebab anak bujang kami haa…” Abah tunjuk ke arahku. Aku angkat tubuh dan menyalami bapak Anaresa.

“Zafran, pakcik.” Aku memperkenalkan diri tapi aku terkesan senyum sinis pak cik ni.

“Pak cik dah tahu. Yang hantar surat dekat Ana tu, kan?” tanya dia berbisik.

Aku telan liur yang terasa kelat. Mama tolong. Aku ingatkan Anaresa yang dapat surat tu tapi bapak dia pulak ke? Ke Anaresa nak kenakan aku bagi surat aku pada bapak dia? Aku terkejut juga. Mereka bagaikan dah bersedia dengan kehadiranku

“Errr…” Aku kehilangan kata. Pak cik Lah menepuk pehaku beberapa kali.

“Inilah anak jantan, cakap je terus datang tapi Ana tak ada. Tak jadi balik. Katanya hari ni. Kejap lagi mungkin sampailah kot. Tapi niat kamu tu, pak cik boleh perkenankan je,” ucap dia kali ini agak kuat.

Abah memandangku. Mama juga. Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita yang ku kira tua sikit dari mama. Pastilah mak Anaresa. Dia duduk lantas bersalaman dengan mama dan yang lain.

“Ini ke Zafrannya?” tanya dia. Aku angguk.

Lepas tu, keluar pula dua tiga orang wanita yang agak muda. Tak pasti, adik atau kakak Anaresa menatang dulang hidangan.

“Macam inilah, kalau kata anak bujang Zaki ni dah berkenan dengan anak gadis kami tu, kami tak ada halangan. Tapi, tuan punya diri tak tahu lagi tu. Macam mana, Ani?” tanya Pak cik Lah pada isterinya.

“Nak tunggu Ana pun boleh, tak nak tunggu pun boleh,” jawab Mak cik Ani pula. Memang menyokong habis.

“Ala, terima jelah, mak,” sela salah seorang wanita muda tu. Aku rasa kakak Anaresa kot.

“Buatnya adik kamu tolak?”

“Tak akanlah. Dia kan dengar kata. Bila lagi nak bagi dia berdikari sikit. Ni tiap-tiap minggu balik. Manja sangat,” tokok yang seorang lagi pula..

Bila aku pandang dia, dia senyum padaku.

“Emm… seeloknya, kita tunggu Anaresa jelah dulu, kan abang?” cadang mama. Abah angguk dan aku juga.

Abah dan Pak cik Lah berbual sesama dengan rombongan lelaki yang ada dua tiga orang. Kawan abah semuanya. Mama pula dengan Mak cik Anisah dan juga rombongan perempuan. Termasuk adik aku, Zafrina. Tak jauh dari mama. Hanya akulah yang perlu mengesot ke pintu menjadi kera sumbang menanti Anaresa tiba. Ingatkan betul waktunya. Rupanya tertunda.

Hampir aku nak terlentok sebab mengantuk, tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara orang memberi salam. Rasa takut mula menyelinap dalam diri. Aku tahan hati dan perasaan debar ni. Zafrina dah sengih-sengih.

“Assalamualaikum, bu,” laung suara itu lagi dan aku dengar derap tapak kasut berlari menaiki anak tangga kayu tu.

“Waalaikummussalam,” jawab penghuni dalam rumah ni hampir serentak.

Mama pantas bangkit. Wajah tu ghairah je nak tatap bakal menantu. Zafrina juga sama. Boleh dikatakan semua orang bangkit menuju ke pintu. Hanya aku yang mengintai sikit nak lihat wajah Anaresa.

“Err… siapa ya?” tanya Anaresa pelik.

Sungguh, aku terpana melihat dia berbaju kurung dari jenis kain kapas dengan tudung terlilit kemas di kepala tapi, bila aku pandang di bawah, dia pakai sneaker Nike merahnya mak ngah tu dengan baju kurung? Fesyen apa pulak ni? Mama pandang aku penuh pelik dan aku hanya mampu mengerutkan wajah.


~~> bersambung

Cik Penulis : Errr.. tak tahu nak kata apa...maaf atas kekurangan (ayat sama je)

31 comments:

  1. wowowowowowo...zafran..hahaha...

    ReplyDelete
  2. haahhahhahaaa..lawok2..best la RM...sambung jer..hehe

    ReplyDelete
  3. Auww...saya dah terjatuh cinta dengan zafran la pulak..suka la zafran...gentleman betul..terus masuk meminang...mintak2 Anaresa terimalah pinangan Zafran...Rehan memang best...cepat2 sambung ye...I likee..

    ReplyDelete
  4. hahahha..
    asek gelak2 je bile baca post kali nie.
    kehkehkeh..

    ReplyDelete
  5. ni baru betul watak zafran...hehehe...dulu x suke..skrg da suke da....

    ReplyDelete
  6. best...dah x sbr btl zafran kali ni...

    ReplyDelete
  7. wahhh mmg menarik jln cerita ni...for me...jln crita ni sangat lain daripada jln cerita yg lain. tahniah!!! ...

    ReplyDelete
  8. wahhh. lawak yag besttttt giler.....suka suka sukaaaaaa sgt...love zafran ....tq rehan..

    ReplyDelete
  9. terigin nak tau kandungan surat tu.. hehhehehe..

    ReplyDelete
  10. lawak betul Zaf ni... ok ... cepat sambungggg...

    ReplyDelete
  11. woo.. best arr... sukenyer... alah setakat beza umur sebelas thn,, xde hal lah sbb i kawin pun dgn suami i yg beza 10 thn.. bahagia smpi skarang.. hehehehe (9 thn kawin)

    ReplyDelete
  12. lawakla part sneakers tu

    ReplyDelete
  13. x terkata bila part pakai baju kurung ngan sneakers 2! chaiyok Kak Rehan!

    ReplyDelete
  14. kahkahkah...naik somput ketawa,
    tahniah RM...sungguh menghiburkan.

    ~kak min~

    ReplyDelete
  15. salam...best3!!!...hehe...biasa la student lg...pkai bju kurung pn dgn sneaker...hehe

    ReplyDelete
  16. wuihhh!xmenahan sungguh bila zafran
    wat tindakan berani mati neyh,
    sib baik mama tu x pengsan abah gak yg cool..hahaha..
    tapi mmg best! la asyik gelak jerp baca n3 ni..
    best! deabak! rehan...

    ReplyDelete
  17. cayalah Zafran.....

    ReplyDelete
  18. besttt....cpat2 smbung

    ReplyDelete
  19. mmg cun la pakai baju kurung dgn sneakers....hehe...best2...harap anaresa setuju...tp anresa and anahara tak berkaitan kan...? bukan saudara-mara ke...

    ReplyDelete
  20. SUKANYA WATAK ABAH BELIAU!! Hahah

    ReplyDelete
  21. sape ye...????terkejut zafran!!!!!! 2 kemungkinan. Ana ada sikit lost memori ke ade kembar atau langsung tak tau org nak merisik.surat sampai kat kampung kan????

    ReplyDelete
  22. ingt zman skolah dulu....dlu sy pown pkai bju krung ngn snker...bjet cool...hahhahah

    ReplyDelete
  23. baru nak marathon citer nie,best laa

    ReplyDelete
  24. hehehe adei mmg gaya bdk sek habis tu.

    ReplyDelete
  25. memang terbaik... karya kak rehan x pernah mengecewakan... semua best2....

    ReplyDelete
  26. hahahahaaaaaaa.mmg xthn.tergelak sakan.merahnya mak ngah.........

    ReplyDelete
  27. hahaha. ana. pakai bj kurung pun tp xlepas dr pakai kasut merah dia. mmg favorite dia ker ape kasut tuh.

    ReplyDelete