Sunday, October 02, 2011

Terlerai Kasih 34

BAB 34

AKU berlalu keluar daripada pejabat selepas meminta cuti separuh hari. Walau apapun terjadi, aku perlu bagi menyelesaikan masalah yang bertimpa-timpa. Malu benar pada Encik Azhan. Walaupun aku tahu dia benar-benar mengizinkan tapi aku terpaksa bila mengingatkan hukuman yang telah Am jatuhkan buatku.
Hukuman yang tidak ku tahu di mana khilafnya diri ini? Keputusan yang kejam bila aku tidak diberi peluang untuk membela diri dalam mahkamah cinta yang Am adili. Biarpun ketara benar perubahannya, aku tetap yakin dengan kasih sayang antara kami.
Cintaku akan membawa dia pulang padaku. Menjadi seperti sediakala sepertimana dia ku kenali dulu. Namun, makin meniti masa, hanya aku saja yang tertimpa harapan. Cinta yang aku pertaruhkan untuknya telah membawa Am makin jauh dariku.
Jauh hingga tak tergapai dek tangan, tak terbayang dek mata. Jenuh ku pujuk hati mendengar hinaan daripada mulut teman pejabat yang sudah dapat menangkap keadaan kami kerana kad jemputan yang telah dikembalikan padaku. Ditambah pula dengan perbuatan Am, aku walang. Tapi, makin ku pujuk makin berjurai titisan airmata.
Wajah emak, Kak Anah dan Fara hadir silih berganti bermain di mataku. Andai pada emak dan Kak Anah aku bawakan episod duka ini, pasti keduanya rebah menyembah bumi. Tak dapat ku bayangkan tangisan emak yang bakal pecah nanti.
Hendak ku adu pada Fara, berbulan sudah dia menyepi dariku tanpa panggilan, tanpa emel dan jauh sekali surat. Bukan salahnya dan jauh sekali andai aku ingin menyalahkannya. Tempatnya di ceruk sana. Impian dan kebahagiaannya di sana dan aku di sini sedang menangisi nasib sendiri bila mengingatkan keyakinan Fara akan jodohku dengan Am.
‘Mana sumpah dan janji Am pada Fiah? Di mana khilafnya Fiah pada Am hingga Am jatuhkan hukuman sebegini kejam?’ Aku berterusan merintih sayu bersama juraian airmata yang tidak pernah mahu kering. Oh, emak! Andai emak tahu!
Berkali-kali akal warasku meminta agar terus redha dan menerima sahaja segala yang telah berlaku dan bakal berlaku, namun hati yang digayut sendu memaksaku menjejaki Am untuk satu kepastian.
Setelah berhari-hari aku mengharapkan dia hadir untuk memujukku, ini pula yang tiba. Akhirnya aku nekad untuk melupakan harga diriku seketika demi mencari penjelasan daripada mulut Am sendiri.
Padaku, sekeping nota itu tiada harganya kini andai dibanding dengan penjelasan daripada mulut Am sendiri.
Aku tiba jua di pintu IF Group tengah hari itu. Pintu kaca ku tolak perlahan dan sungguh aku terkejut demi terpandang wajah sugul Fatehah di meja receptionist.
“Assalamualaikum, Fatehah!” hulurku mesra sambil tersenyum dalam pada mengawal perasaan sendiri dan menyembunyikan rawan hati.
Selepas peristiwa beberapa hari sudah, kini kami bertentangan mata lagi. Dia masih begitu tapi sayang tiada lagi kelembutan pandangannya padaku.
“Oh, Wafiah rupanya!” Raut Fatehah sudah tidak semesra seperti sebelum ini. Aku yakin itu. Suaranya keras sahaja. Salamku tidak pula bersambut.
“Di sini tempat orang baik-baik je. Orang yang tak berakhlak, tak ada maruah dan gila harta macam kau ni tiada tempat di sini!” ujarnya penuh herdikan.
Tidak sempat aku bertanya akan perihal perletakan jawatannya beberapa hari sebelum. Ringan saja mulutnya menghamburkan kata.
Terjuih-juih bibirnya menghinaku. Tidak ku tahu atas apa sebabnya. Kala itu, airmata yang sudah kering hampir saja hendak menitis kembali. Aku terus memujuk hati.
“Saya datang ni bukan untuk mendengar kamu menghina saya, Fatehah dan kamu tidak ada hak untuk berkata macam tu pada saya!” Aku tahan amukan perasaan.
Pelik! Entah ke mana hilangnya ketegasanku selama ini? Sanggup pula membiarkan diri diherdik sedemikian! Seboleh-bolehnya aku tidak mahu terus mendadak 360 darjah menjadi Wafiah yang dulu selepas sedaya upaya aku mengubah diriku ke arah yang lebih baik.
“Habis tu nak apa?” Suaranya sudah meninggi. Anak matanya tajam merenungku.
“Nak cari Encik Ilham yang memang dah tak sudi nak tengok muka kau lagi?” tengking Fatehah lagi.
“Sudahlah Wafiah, Encik Ilham dah cakap kat aku yang dia tak nak jumpa kau lagi. Kami dah tahu semuanya. Kau tak payahlah nak berlakon kat sini lagi. Jangan dok tayang rupa cantik kau tu sedangkan hati kau tu buruk seburuknya!”
Aku menahan rasa. Tidak ku sangka, wanita lembut ini boleh bertukar bengis dalam sekelip mata. Tidak aku tahu puncanya.
“Apa yang awak dan Am tahu? Apa yang saya tak tahu?” tanyaku pinta kepastian. Mungkin Fatehah boleh memberikan penjelasan buat tentang perubahan Am yang mendadak.
“Sudahlah. Jangan nak berlakon kat sini, boleh tak? Memang pada asalnya aku tak percaya bila aku dengar orang dok bercerita pasal kau. Tapi, benarlah apa yang orang dok cakap tu. Kau memang jijik, Wafiah!” tekan Fateheh lagi. Aku ketap bibir. Pedih menerima tuduhannya padaku. Pantas ku pujuk hati. Destinasiku bukan di sini.
“Terserahlah awak nak cakap apa pada saya, Fatehah. Allah Maha Mengetahui. Tak ada guna saya nak pertahankan diri bila awak memang dah bencikan saya. Saya cuma nak jumpa Encik Ilham je. Boleh saya jumpa Encik Ilham sekejap?” pintaku separuh merayu.
“Bos tak ada dan kalau ada pun, dia dah tak sudi nak tengok muka hipokrit kau tu, Wafiah! Dasar perempuan murah! Maruah kau memang boleh dilelong!” Fatehah terus mengherdik dengan wajah yang mencemik.
Begitu murah aku dipandangan mereka sekarang. Serentak itu, titisan airmataku menitis jua. Bukan sedih kerana penghinaan terhadapku tapi kerana marah pada diri sendiri yang bagaikan lemah, tidak mampu membela maruah diri yang sudah di sepak sesuka hati dan bisa menjadi selembut ini.
“Macam mana awak boleh tergamak tuduh saya tanpa bukti? Awak tak pernah kenal saya. Jadi, awak tak ada hak nak fitnah saya begitu,” tegurku dengan suara yang terketar-ketar.
“Sebab tak kenallah maka kami tertipu dengan kecantikan dan kelembutan kau!” cebik Fatehah.
Hati yang tersayat terus tercarik dengan kata-kata lantang daripada bibir wanita muda itu. Mujur sahaja hanya aku dan dan dia di sini, andai tidak entah apa lagi tohmahan orang yang bakal aku terima.
Perlukah aku mengalah begitu sahaja? Jauh benar bezanya Wafiah yang dulu dan sekarang. Andai dulu, Fatehah pasti sudah menerima penampar daripadaku. Dia tidak pernah tahu, di mana aku letakkan harga diriku selama ini. Lidah memang tidak bertulang!
Kini, aku sedar! Di mana aku dan di mana Ilham. Betapa aku ingin menjaga keharmonian hubungan kami, biarpun berapa tinggi ku julangkan harga diri ini, masyarakat akan sentiasa menjadi hakim di dalam mahkamah dunia. Aku perlu pasrah. Biarlah mahkamah Allah yang mengadili nasibku nanti.
Biarlah aku berlalu. Lantas aku mula memasang langkah bila tubuh tegap Am tepat berdiri di depanku kini. Renungan Am sukar untuk ku tafsirkan. Izham yang ada di sebelahnya juga, tetap setia menatap mataku.
Separuh hatiku menyatakan Am rindu dan separuh lagi memberitahu yang dia ingin melenyapkanku dari pandangannya.
“Maaf, Encik Am. I tried to chase her away but…,”
“It’s okay, Tehah! Tak perlu nak halau dia,” pangkas Am.
Airmata yang sudah setia di tubir mata mengalir lagi menuruni lekuk pipi saat telingaku menangkap sepatah perkatan ‘halau’ dari mulut Am sendiri. Lantas ku sapu lembut dengan jari sendiri. Sama seperti waktu dulu biarpun Am pernah berjanji untuk menyeka airamataku setelah dia ku terima dengan sepenuh hati.
Hina sangatkah diri sehingga perlu dihalau pergi macam anjing kurap. Aku merenung anak mata Am pohon simpati.
“Mungkin dia datang atas urusan kerja! We supposed to welcome her!” sambung Am sinis.
Aku ketap bibir. Izham di sebelah Am nampak tenang dan tidak lama kemudian dia sekadar berlalu tanpa kata sambil menepuk bahu abangnya. Lain yang aku harap, lain pula yang Am hadiahkan.
“Silalah, Cik Wafiah! Kita ke blik saya,” pelawa Am dengan mesra yang dibuat-buat.
“Tak elok bertekak kat sini, macam perempuan tak ada harga diri!” gumam Am di cuping telingatku yang dilitupi tudung. Dia lantas mengatur langkah dan aku turut mengekori langkahnya.

DAUN pintu ku rapatkan kembali dan meja Am ku dekati bila dia sudah melabuhkan duduk. Dia menanggalkan vessnya dan terus dicampak ke wajahku. Tepat! Aku mengutip vess tersebut dengan penuh rasa terhina.
Dapat ku lihat senyuman Am yang jelas jelek dengan wajahku kini. Aku tidak kisah malah rela diperlakukan begitu demi sebuah kepastian. Kepastian yang akan menyelamatkan maruah emak dan menahan airmata tua itu dari gugur ke bumi sekali lagi.
“Kau nak apa datang sini? Tak cukup lagi dengan keputusan aku tu?” soal Am keras.
Aku masih membatu. Menatap bening mata redupnya, demi mencari sedikit kasihnya pada diri ini andai masih tersisa.
“Kau pekak, ke?” jerkah Am lantang.
Terangkat bahuku mendengarkan suaranya. Dulu suara itu lembut memujukkudan kini segala sudah berubah. Kini yakinlah aku, tiada langsung berbaki kasih sayangnya padaku.
Airmata yang sedia merintik bagai gerimis sudah bertukar lebat bagaikan hujan di musim tengkujuh.
“Kalau kau nak datang sini, nak menangis, baik kau berambus! Kau ingat office aku ni pusat jagaan betina yang tergadai maruah macam kau ni ke? Betina yang sanggup gadaikan segalanya demi kepuasan dan kesenangan!”
Am berterusan menengkingku. Aku menggenggam kemas vess yang aku kutip sebentar dari. Bertahan dari amukan perasaan. Sekelipan Am bangkit dan menapak ke arahku.
Dia menarik pergelangan tanganku dan terus ditolak kasar tubuhku jatuh ke sofa. Tubuh yang sudah sedia lemah ini mudah sahaja jatuh terhenyak.
“Fiah minta maaf,” ujarku bersama esakan halus.
“Fiah datang bukan nak susahkan Am atau buat Am marah. Tapi, Fiah mahukan penjelasan yang jelas tentang apa yang Am putuskan tu.” Aku menunjukkan kertas itu padanya.
“Penjelasan apa lagi kau nak? Cuba kau cakap? Agaknya kau ni memang tak tahu membaca ke apa? Tak reti Bahasa Melayu? Itu keputusan aku dan ianya muktamad!”
Mata Am sudah merah saga mencerlung padaku. Giginya sudah berlaga sesama sendiri. Marah benar dia. Terasa kerdil diri ini di depan Am.
“Tapi, Fiah tak boleh nak terima keputusan Am ni. Fiah tak tahu apa salah Fiah sampai begini sekali perubahan Am. Am cakaplah apa salah Fiah, nanti Fiah akan betulkan semuanya untuk Am. Fiah sanggup lakukan apa saja untuk Am tapi Fiah mohon, jangan Am batalkan pernikahan kita!” rayuku sepenuh hati. Benar, andai Am ingin aku melulut di depannya sekalipun, aku tetap sanggup.
“Majlis sudah tinggal beberapa hari saja lagi. Am sampai hati ke nak biarkan semua ini berlaku pada Fiah sekeluarga? Tak kesian ke Am pada kami?” tanyaku dengan suara yang jelas dengan getaran. Am diam dan kesempatan ini akan ku ambil sepenuhnya.
“Fiah sedih bila orang dok menghina Fiah tapi Fiah lagi sedih bila Am sendiri menghina kasih dan cinta Fiah pada Am. Kenapa Am layan Fiah macam ni selepas Am buatkan Fiah jatuh cinta pada Am? Apa salah Fiah?” Wajah Am kabur di mataku akibat genangan airmata. Am meraup wajahnya yang kusut.
“Sudahlah Wafiah!” Tiada lagi kedengaran suara mesranya menyeru namaku.
“Cinta dan kasih sayang kau memang sehina dan sejijik diri dan tubuh kau! Aku tak mungkin menerima aqad dan menjawab qabul demi perempuan macam kau!”
Biarpun suara Am kendur sudah, kata-katanya tetap membuatkan hatiku robek. Tembok ketabahanku sudah hampir roboh.
“Fiah perlukan penjelasan untuk tuduhan Am pada Fiah!”
“Tiada apa yang perlu dijelaskan lagi. Rasanya kau sendiri lebih jelas dengan diri kau. Sejak dari mula, memang aku yang salah! Salah membuat penilaian tentang diri kau. Memang masa perkenalan itu sangat penting dalam sesebuah hubungan. Kau adalah kesilapan terbesar yang pernah aku lakukan dalam hidup ini,” keluhnya lemah.
Am meraup wajah kusutnya sekali lagi. Rambutnya yang sudah panjang mencecah kolar baju diramas berkali-kali lantas dia mengambil tempat sedikit jauh dariku. Tubuh sasanya dihempas kasar.
Kala itu, aku memberanikan diri mendekati dirinya lantas mendaratkan lutut di hadapannya dengan perasaan rendah diri. Aku melabuhkan tanganku pada lututnya dan mendongakkan wajah mencari mata redupnya. Am sekadar kaku!
“Di mana silapnya Fiah ni Am?” Aku renung mata kuyunya biarpun mata itu sudah tidak sudi memandang wajahku lagi.
“Dulu Am berjanji dan Fiah masih pegang janji Am. Am janji tak kan bagi airmata Fiah menitis, menjaga nama dan maruah Fiah, menyayangi Fiah, menjadi suami dan bapa pada anak-anak Fiah!”
“Cukup Fiah! Aku tak nak dengar,” tegah Am mendatar.
“Berilah peluang pada Fiah, Am! Fiah memang tak tahu mengapa Am berubah tapi percayalah, Fiah tak pernah berubah untuk Am. Fiah akan cinta Am selagi ada nafas di sebalik jasad yang sudah hampir rebah ni, Am!” akuiku bersungguh-sungguh, penuh beremosi.
“Baru pertama kali aku dengar kau menyebut cinta pada aku tapi sayang, kini cinta aku pada kau dah tiada yang bersisa. Kau sememangnya tak layak untuk dicintai dan menyintai mana-mana lelaki pun!”
“Fiah tegar andai seluruh dunia menentang cinta kita Am, tapi bila Am sendiri menentang Fiah, kekuatan kasih itu akan hilang, Am!”
Kali ini aku lebih tenang. Tiada lagi esakan halus, sekadar baki airmata yang ku sapu kasar kerana aku bertambah yakin yang cinta Am bukan lagi milikku. Aku lantas berdiri sedikit menjauh dari tempat Am duduk.
Tiada apa yang lebih penting daripada maruah emak. Akan ku pertahanankannya agar tidak ditunjal-tunjal lagi. Aku nekad.
“Fiah memang tak tahu apa yang Fiah dah buat sampai Am hukum Fiah macam ni. Tapi tak apa, Fiah dah boleh terima tapi Fiah ada satu syarat. Fiah mohon agar kita teruskan majlis kita seperti yang dirancang,” pintaku yakin. Am meledakkan tawa plastiknya.
“Kau dah gila?” Aku mengukir senyum pahit seraya menggeleng.
“Fiah gila kerana cinta Am,” provokku. Am merenungku tajam.
“Am nikahi Fiah seperti yang dirancang dan sehari selepas tu, Am boleh ceraikan Fiah dan Fiah bersumpah yang Fiah tak akan muncul depan Am lagi!” Am ketawa sinis.
“Kau memang gila tapi bukan gilakan cinta aku tapi gila kemaruk nak berlaki. Dah tak boleh tahan agaknya gelora nafsu kau nak rasa belaian dari aku lepas lelaki lain, kan?”
Menyirap darahku mendengar tuduhan itu tapi biarlah! Agendaku sudah berubah kini. Am bangkit mendekatiku. Dia meraih tanganku ke dalam genggamannya.
Dulu, dia pernah begitu dua kali tapi kini biarpun jemari itu tetap sama kehangatannya tapi aku sudah merasai kedinginannya.
“Kau mesti nak macam ni, kan?”
Aku memejamkan mata bila sekelipan Am menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Dia menyingkap tudungku dan terus melabuhkan bibirnya bermain di sekitar leherku. Gerimis airmataku mengundang lagi. Tiada daya untuk membantah andai rinduku padanya sudah berhari-hari menderu.
Dalam rindu, ada benci yang mula singgah. Rindu dengan kemesraannya dan benci dengan caranya melayaniku tak ubah seperti perempuan yang tiada harga diri. Aku tidak boleh kalah buat masa ini.
Kad telah diedar, segala persiapan sudah siap, hanya menunggu masa. Kini, maruah dan kebahagiaanku tidak mendatangkan masalah buatku tapi maruah emak, arwah ayah dan Kak Anah akan ku junjung hingga akhir nyawa.
Lama Am membenamkan wajahnya ke leherku. Hembusan nafasnya juga sudah berubah mendesah. Turun naik bagaikan menahan sesuatu keinginan yang mula bergelora. Pelukannya juga semakin erat hingga dadaku rapat di dadanya. Tiada ruang walau untuk hembusan angin sekalipun.
Betapa jijik diri ini diperlakukan begitu oleh lelaki yang berjanji untuk menjunjung maruah dan harga diriku satu waktu dulu.
“Jangan macam ni, Am. Kita tak ada ikatan yang sah lagi,” larangku lembut.
Am mengangkat wajahnya serta merta dan aku terus memberanikan diri menentang pandangan bengisnya. Kesempatan itu aku ambil untuk menjarakkan kedudukan kami.
“Perempuan macam kau ni perlu ikatan ke untuk semua ini?” bidas Am menyinga.
“Macam mana dengan cadangan Fiah tadi?” soalku semula tanpa menghiraukan soalan Am.
Tiada guna lagi untuk aku mempertahankan sesuatu yang Am sendiri telah runtuhkan dengan tangannya sendiri. Dia sudah menoktahkan segalanya. Am angkat kening.
“Kenapa selepas sehari? Kenapa tak lepas sejam ke? Baru glamour kau pegang rekod status isteri sejam!” Ada sengihan penuh ejekan pada segaris senyuman Am.
Aku tetap tahan sabar dan mengukir senyuman ikhlas bila menjumpai sedikit kekuatan dan keyakinan dalam diriku.
“Selepas sehari Fiah dah boleh keluar dari rumah mak Fiah dan orang tak akan mengata dah! Kalau lepas sejam Fiah takut mak Fiah dapat tahu. Fiah tak nak macam tu. Fiah kesiankan mak dan kakak Fiah. Nanti Fiah beritahu pada mak Fiah yang majlis di rumah Am terpaksa tunda dulu. Yang penting, mak Fiah tak tahu dengan rancangan ni. Dia tak salah. Tentang keluarga Am, Am beritahulah perkara sebenar. Seperti yang Am cakap, yang jahatnya Fiah.” Sengaja aku tekan ayat terakhir itu.
“Tolong Am, selamatkan maruah mak Fiah!” rayuku sepenuh hati. Memang hanya itu yang aku harapkan darinya sekarang. Tiada lain lagi. Am diam seketika. Mungkin sedang menimbang syaratku padanya.
“Kau sanggup jadi janda lepas sehari?” tanya Am penuh bongkak. Aku mengangguk. Selepas seketika, dia turut mengangguk beberapa kali.
“Baik, aku akan selamatkan maruah mak kau tapi jangan salahkan aku atas apa yang bakal berlaku ke atas kau nanti! Ini syarat kau, aku selamatkan maruah keluarga kau kerana mempunyai anak yang murah seperti kau ni dan kau dah bersumpah tak akan muncul lagi di depan aku!” tekan Am bagaikan mengingatkan aku agar tidak berpaut pada dahan yang rapuh.
“Ini kad jemputan. Am yang bayar semua ni jadi terserahlah pada Am nak buat apa. Lagipun, majlis di rumah Am memang tak akan berlangsung jadi Am jelah buang!” Aku meletakkan beg kertas itu buat kali kedua di depan Am.
“Semua perbelanjaan yang Am berikan pada Fiah untuk baju, kad, makan dan semuanya, Fiah akan bayar balik malam lepas akad nikah nanti!”
“Malam pertama?” tebak Am selamba bersama seulas senyum sinis.
“Ya, malam tu Fiah akan selesaikan segala hutang Fiah pada Am dan esoknya, sesudah Subuh Am boleh jatuhkan talak pada Fiah. Yang selebihnya kita akan selesaikan di KL. Tanpa pengetahuan keluarga Fiah!”
Biarlah malam pertama itu dipahat dengan kenangan demikian andai ini yang Am mahukan. Aku rela. Walaupun tidak ikhlas.
“Dua hari lagi Fiah akan balik kampung. Jumpa Am pada tarikh seperti dalam kad tu!”
Hatiku diulit tenang bila Am mengangguk. Bukan tenang kerana penerimaannya tentang pernikahan kami tapi tenang kerana berjaya menjaga maruah keluarga yang tersayang biarpun terpaksa menjual kebahagiaanku sebagai galang gantinya.
Setelah itu, aku melangkah penuh yakin keluar dari pejabat Am. Tak akan ada lagi airmata yang bakal menghiasi pada wajah kau, Fiah! Itu janji aku pada diri sendiri.
Selepas keluar dari pejabat Am dan setelah janji gila itu dipersetujui, aku kini perlu berjumpa dengan Fazlee seperti yang telah aku pinta padanya.
Remang petang Tasik Titiwangsa sedikit sebanyak mampu mendamaikan gundah hatiku. Melihatkan keindahan alam kejadian Allah, aku sentiasa menyedarkan diri ini betapa kerdilnya aku untuk mempersoalkan kehendak takdir.
Langkahku menghampiri tubuh Fazlee yang sedang duduk di kerusi batu menghadap tasik. Tempat yang sama sewaktu kami bertemujanji dulu.
“Dah lama tunggu?”
Aku seraya melabuhkan duduk di sebelah Fazlee. Melihatkan wajah itu, hatiku diserang pilu.
Bahagia bukan milik aku, Fazlee. Agaknya inilah balasan aku kerana menyalahkan takdir di atas apa yang menimpa aku selama ini. Bukan kau penyebabnya, bukan juga aku. Tapi, suratan takdir berkehendakkan begini. Siapalah aku untuk menyongsangnya. Hatiku kini meraung duka.
“Baru saja! Wafi dari mana?” soalnya kembali lantas merungkai tali leher. Wajahku ditatap dalam.
Aku membalas renungannya lantas tersenyum. Wajah Fazlee berbunga ceria. Hari ini, aku mahu menamatkan segalanya dengan baik. Tanpa airmata dan tanpa dendam.
“Wafi dari pejabat Ilham!” jawabku jujur.
“Syukur Fatehah dah kembali bekerja,” sambung perlahan.
Aku yakin dia tahu perihal Fatehah bila dia melarikan pandangannya daripadaku. Tunduk menjadi pesalah lagi. Aku tersenyum sinis lantas ku lontarkan pandanganku jauh ke tengah tasik.
“Lee tak sangka Tehah sampai sanggup berhenti kerja!” Nadanya kedengaran kesal.
Dan kau juga tak akan dapat menjangka, hukuman apa yang telah Ilham berikan pada aku atas kesalahan yang aku sendiri tidak tahu, Fazlee! Rintih hati kecilku.
“Lee ingat tak dulu, kita selalu ke sini! Jogging, beriadah, meluangkan masa bersama kat Tasik Titiwangsa ni?”
Aku mengubah tajuk perbualan bila raut Fazlee jelas tidak selesa. Dia mengangguk.
“Lee ingat! Terlalu ingat dan tak akan pernah lupa. Kenangan dengan Wafi banyak dekat sini!”
“Tapi, kenapa dulu Lee sanggup buat Wafi macam tu?” Sengaja aku mengungkit kembali episod duka lara hatiku.
Dia diam lagi.
“Lee tahu tak betapa Wafi terluka bila Lee tinggalkan Wafi tapi Wafi lagi terluka bila keadaan keluarga Wafi menjadi alasan punca Lee tinggalkan Wafi! Padahal Lee dah ada orang lain masa tu! Dunia ini memang teramat kecil bila Wafi kenal dengan tunang Lee sekarang. Bila Wafi ditunangkan dengan bos kepada tunang Lee! Wafi rasa bersalah pada Fatehah dan Wafi harap hubungan kalian berdua boleh kembali seperti sedia kala! Maafkan Wafi sebab pernah hadir mengganggu keharmonian kalian!”
Suaraku lemah menahan pilu di hati. Mengakui segala kesilapan berpunca daripadaku biarpun jelas, aku adalah mangsa sebenarnya.
“Bukan salah, Wafi. Lee yang salah sebab tak pernah nak berterus terang dengan Tehah tentang kita!”
Wajah resah Fazlee aku tenung lagi. Lantas aku mengukir senyuman hambar kerana manisnya senyumanku telah menjadi milik Ilham dan hanya dia hingga ke akhirnya.
“Kita tu sudah lama berkubur, Lee! Lee sepatutnya dah belajar erti menghargai kasih dan cinta orang lain lepas Lee tinggalkan Wafi dulu! Tapi sayang, Lee lebih hebat dalam melukai hati daripada menjaganya!” ujarku penuh kekesalan.
“Maafkan Lee, Wafi! Maafkan Lee!” pinta Fazlee bersungguh-sungguh.
“Bukan pada Wafi sepatutnya Lee mohon sebuah kemaafan tu tapi pada tunang Lee. Pada Fatehah. Dia terlalu baik untuk Lee sakiti. Terlalu naif untuk Lee lukai. Pohonlah padanya dan ingat, harga sebuah kemaafan itu terlalu mahal. Jangan terlalu mudah melafazkan andai kita tidak ada niat untuk menjaga kemaafan itu. Jadi, jagalah hubungan kalian sebaik mungkin,” nasihatku padanya. Dia menunduk kembali.
“Tapi, Lee cintakan Wafi. Cinta sangat!” Wajahnya diangkat kembali menyoroti wajahku. Aku tersenyum tipis dan kembali melemparkan pandanganku jauh ke tasik.
“Wafi tak layak untuk cinta Lee. Hanya Fatehah yang layak untuk itu. kembalilah pada landasan takdir Yang Esa, sekali Dia berkata jadi, maka jadilah. Jangan taksub dengan perasan cinta Lee pada Wafi kerana Allah boleh membalikkan hati Lee bila-bila masa!”
Seperti Allah memterbalikkan hati kerasku menjadi selembut ini. Aku bangkit dan lantas memaut tangan Fazlee lantas ku selitkan sekeping kad yang ku ambil daripada beg keras yang ku hantar pada Am. Dia memandangku penuh tanda tanya.
“Lee telah menjadi yang pertama dalam hidup Nur Wafiah tapi Ilham Fitrilah yang akan tetap menjadi yang terakhir. Untuk itu, Wafi pohon, Lee terimalah hakikat yang kita tak mungkin bersama!”
Sejurus itu aku terus berlalu menuju ke kereta bersama dada yang hampir pecah menahan sebak. Tak akan ada airmata lagi selepas ini Fiah! Tak akan ada! Jeritan Fazlee tidak langsung membuatkan langkahku mati.

~~~>bersambung

3 comments:

  1. sayunya bila membaca perjalanan hiduh fiah ni..akak tetap menyatakan fiah yg bersalah kerana tidak menyatakan citer yg sebenarnya kepada Am. Mengharap akan takdir lebih memihak kepada Fiah..Harap ada lagi E3 baru..terujanya nak tahu..hari fiah diijab qabulkan dan bergelar janda selepas tu..tegarkah ilham melafazkan cerai selepas meragut harga diri fiah dimlm pertamanya..Aduh sedihnya dik..

    ReplyDelete
  2. egonye Am!sanggup dia wat wafi mcm tu.Kesian wafiah.writer smbg cpt tau!chaiyok!

    ReplyDelete
  3. rasanya Fiah akan jdi lebih keras hati, jgn harap Am dapat kemaafan dari Fiah lebih mudah lepas ni. Fiah akan lebih dingin dari dulu....

    can't wait the day Am lafaz pada Fiah. May the strongest heart win!

    Chaiyok Rehan!!

    ReplyDelete