Tuesday, June 26, 2012

Suami Tak Kuhadap 21


BAB 21

“Assalamualaikum, sayang…”
Aku berpaling kala terdengar salam menyapa lembut.  Wajah Budriz muncul.  Anak rambut itu masih basah dengan wudhuk barangkali memandangkan Asar sedang berlalu. 
Waalaikummussalam…”  Aku menjawabnya mendatar.
Ikan di dalam sinki aku bilas sekali lagi.  Lauk basah yang terakhir setelah aku siap menyejat udang, ayam, sotong serta sayur-sayuran yang sudah dipotong.  Sengaja aku biarkan Budriz termangu sendiri sedangkan dalam kepalaku berbagai soalan muncul silih berganti.
Tidak ikhlaslah dia selama ini?  Sejauh manakah dia memaknakan kata-kata sayang yang berkali-kali dia ucapkan hinggakan aku muak mendengarnya?  Sedalam manakah kasih sayang yang dia gali untukku dan sehebat manakah pengorbanannya hingga dia sanggup menikahiku dengan cara yang hitam begitu? 
“Boleh abang tolong?”  soalnya bila dia kini benar-benar sedang berdiri di sisiku. 
Aku berpaling dan terdongak sedikit.  Dia mengedipkan matanya sekali dan terus berpaling lantas menyandarkan belakangnya pada kabinet kayu berwarna oak cerah itu. 
“Dah siap.  Tak ada yang nak ditolong lagi,” jawabku masih dengan nada yang begitu.  Dingin dan tiada rasa sedangkan dalam hati ini berdetak hebat.  Ada gundah menyapa secara tiba-tiba. 
Budriz senyum lagi.  Dia hanya memerhatikanku biarpun aku berpaling membelakangi dia, aku yakin dia masih merenungku.  Bila aku keluarkan papan pemotong dan pisau, dia kembali menghampiri. 
“Nak masak apa?”  Dia menyoal lagi.  Lebih ramah dan lebih manja mesra dari biasa. 
“Apa-apa jelah yang boleh makan,” jawabku. 
Sotong yang agak besar itu aku letak di atas papan pemotong dan terus saja aku dekatkan bilah pisau pada tubuh sotong yang segar dan putih bersih itu. 
Abang rasa nak makan tomyam campurlah, yang.  Aduhai… mengidam belum waktunya ni.”  Dia tersengih sumbing.
Jemariku terhenti dari memotong sotong tersebut lalu aku berpaling pada Budriz.  Kata-kata nenda terngiang-ngiang di dalam kepala.  Serta-merta wajah Nurina juga hadir.  Faiz juga menyapa ingatan hingga akhirnya terbunuh segalanya bila hujung jari Budriz mencuit pipiku lembut sebelum dia menolak tingkap dapur agar lebih luas. 
“Suka tenung abanglah.  Buat abang rasa malu je,” ujar dia tiba-tiba. 
“Errr… bila masa pulak a…”  Lidahku kelu.  Terhenti kata-kata di situ. 
Sindiran nenda berdengung lagi.  Wanita yang degil dan kurang ajar dengan suami tidak layak untuk menyambung keturunan Syed Syarifah itu.  Darah  yang diagung-agungkan selama ni. 
“Tak tenung pun,” sambungku lebih berlapik.  Berat lidah hendak menyebut ‘aku’ kali ini. 
Tangan ini terus ligat memotong saki baki lauk yang mahu digunakan.  Udang juga aku letak di dalam satu mangkuk.  Sedikit daging ayam yang telah aku potong kecil-kecil juga sama.  Begitu juga dengan cebisan daging yang telah aku potong sedari tadi. 
“Pandai sayang masak, ya?” 
“Biasa je,” selaku.
Abang tahu.  Dulu arwah ibu Syai selalu cakap pada abang bila abang ke sana.  Syai rajin di dapur.  Boleh diharap.  Abang nak rasa pulak.  Dah lama abang tunggu.  Bertahun kot nak rasa masakan Syai.  Hari ini tercapai jugak,” beritahunya bersungguh-sungguh. 
Benar katanya.  Aku adalah anak ibu.  Anak yang mengikut segalanya milik arwah ibu.  Daripada ilmu masakan, jahitan dan kelembutan wajah juga mengikut arwah ibu tapi satu saja  yang menjauh dari ibu… iaitu ketegasan hatiku.  Tidak selembut dan setegar ibu. 
“Tak pernah belajar pun.  Tengok ibu masak je.  Tiba-tiba pandai sendiri.”
“Waa… macam magik!”  sela Budriz bersungguh-sungguh atau sekadar mahu mengenakanku. 
Aku mencemik dan terus mengalihkan mataku pada pisau dan papan pemotong.  Baru saja hendak kucapai lobak merah yang belum dibersihkan, lobak itu sudah berada di dalam tangan Budriz dan mudahnya dia suakan ke mulut dan menggigit lobak merah itu penuh nikmat. 
“Buat jus sedap ni,  yang.  Carrot susu.  Nanti buat, ya?” pinta dia lagi dan terus dia rapat ke pintu dapur yang ternganga luas. 
Aku hanya mampu memandang.  Berat lidah hendak berkasar dengannya.  Terasa bagaikan rebeh sudah bahuku angkara dosa yang jelas di dalam tiap-tiap sikapku selama ini.  Tidak pernah sedar angkara hanyut dengan amarah diri.  Terasa dingin dengan kasih sayang yang Budriz taburkan.  Terbakar kala melihatkan wajah lembut Syarifah Nurina dan juga sikap nenda padaku. 
Budriz berpaling dan tersengih.  Entah apa yang menolakku, langkah ini maju pada dia.  Dia bersandar pada bingkai pintu dan terus menikmati lobak merah yang belum dibasuh dan dikupas itu. 
“Kotorlah.  Orang tak basuh lagi, pergi makan buat apa?”  marahku sambil cuba merampas lobak merah itu dari tangannya tapi dia lagi pantas melarikan daripadaku membuatkan aku mengeluh sendiri.
Perut abang.  Ikut sukalah basuh ke tidak… kupas ke tidak…”  Dia terus memandang ke lain.
“Budriz!”  seruku geram. 
“Kalau awak tu rasa nak sakit, nanti sakit sorang-sorang.  Jangan susahkan orang lain, tau tak!”  tekanku geram dan hendak berlalu tapi dia pantas menarik bahuku memaksa langkahku terhenti.
“Sayang cakap apa tadi?” 
“Cakap apa?  Orang larang awak makan carrot tak basuh tu.  sakit nanti!”  Aku mengetap gigi dan terus menguis tangannya dari bahuku dan terus saja aku rapat ke dapur.
Kabinet aku buka dan mengeluarkan mangkuk kaca jenama Vision yang sudah terlalu lama di situ.  Milik arwah ibu dan terus aku letakkan di atas dapur.  Api aku nyalakan dan sedikit minyak aku tuang. 
Bawang putih yang sudah sedia kukupas dan kubasuh, aku letak di atas papan pemotong dan aku hempukkan dengan pisau besar itu agak kuat. 
“Marah abang?” 
Entah bila, Budriz sudah menghampiri dan kini tangan itu mula menjalar, meliar melilit pinggangku. 
“Nak marah kenapa?  Tak ada kepentingan nak marah orang.  Ikut sukalah nak makan yang tak basuh ke tidak.  Kalau sakit pun, perut sendiri.  Tanggung sendiri.  Merangkak sendiri pergi hospital.  Jangan susahkan orang!”  tekanku lagi.
Kali ini agak kuat dan keras.  Entah mengapa, marahku meletus biarpun aku bertahan.  Dari mana puncanya, aku sendiri tidak tahu.  Rasa tidak kena pula andai aku begini  hanya kerana Budriz memamah lobak merah itu saja.  Pelik!
“Sayang marah abang.  Kenapa?  Lain macam je sejak kita balik dari Carefour tengah hari tadi.” 
Pelukannya di pinggangku, aku leraikan kasar dan terus saja aku rapat ke sinki menadah air.  Cili kering yang sudah sedia dikisar bersama bawang merah dan bawang besar itu, aku tumis hingga masak.  Air yang sudah sedia kutadah, aku capai dan terus aku tuang ke dalam periuk kaca itu. 
“Tepilah… orang nak masak ni.”  Aku melarang bila Budriz sekali lagi memelukku dari belakang.  Semakin ketat dan erat. 
Abang dah lama impikan kita berdua macam ni.  Tercapai akhirnya…,” luah dia.
Aku telan liur.  Naluri wanita ini tersentuh.  Ada perasaan indah menyelinap masuk ke dalam pembuluh darahku kini.  Keindahan yang pernah aku lihat pada arwah ibu dan ayah.  Keindahan yang terlalu sukar hendak aku ungkapkan dengan kata-kata akan kemesraan mereka kala itu.  Aku tahu,  ibu bahagia dan ayah juga.  Tapi…
“Tapi, sayang marah abang.”  Kata-kata Budriz membuatkan ingatanku terbantut di situ saja lantas aku biarkan saja sikap manja Budriz yang rasanya sudah mampu kuhadap sedikit. 
“Tak kan sebab  abang makan sayur tak basuh tu sayang macam ni?  Atau sayang cemburu dengan…”
“Jangan sebut nama dia!”  pangkasku melarang di luar sedar dan terus aku tekup mulut kala menyedari keterlanjuran lidahku berkata-kata.
Mataku tertangkap akan senyuman Budriz yang menyenget.  “Sayang cemburu.  Abang pun sama.  Faiz tu siap nak pegang tangan isteri abang lagi.  Mujur abang sempat sampai.  Kalau tak, Syai pun sukalah pakwe lama pegang, kan?”  Dia menyindirku pula. 
Aku ketap gigi.  Menahan geram dengan kata-katanya.  Dia tidak pernah tahu.  Hati ini tidak pernah ikhlas menerima sesiapa termasuk Faiz.  Hanya kerana itu, aku mudah melepaskan lelaki begitu pergi dari hidupku. 
Benar kata Budriz dulu, Faiz tidak layak hendak menjaga dan melayan karenahku  yang aku sendiri sedar… kerap kali mencabar sabar seorang lelaki dan memualkan ada waktu-waktu itu. 
“Jangan libatkan lelaki tu.  Syai tak suka!”  tekanku tegas. 
Dia senyum lagi dan kali ini, ada tawa halus yang meletus tanpa aku tahu apa yang mencuit hati lelaki itu. 
Abang percaya isteri abang.  Abang berikan segala kepercayaan abang pada Syai dan hargai.  Abang beri sayang, abang beri kasih abang beri cinta… tolong hargai juga kalau Syai tak nak abang bagi semua ni pada Nurin.”
Mendengarkan nama itu, sudip di tanganku jatuh ke lantai. 
“Kenapa?”  soalnya. 
Aku diam.  Kaku kala dia berkata begitu.  Pedihnya hati bagaikan tersiat-siat dengan belati yang tumpul.  Pedihnya sukar hendak kugambarkan.  Lebih pedih dengan sisa silam yang pernah aku lalui.  Apakah rasa ini?  Sungguh, aku tidak mengerti. 
Pelukan Budriz terlerai.  Dia tunduk mengutip sudip dan terus diletakkan di dalam sinki dan terus dicapainya yang baru dan disuakan padaku. 
“Kot ya pun terkejut dengar nama Nurina tu, janganlah sampai jatuh sudip, yang.  Buatnya pisau tadi, dah kudung jari kaki.”  Senyumannya tersungging pada hujung bibir. 
“Kalau kudung, tak naklah.  Macam tu?”  selarku geram.
Sungguh tidak mengerti dengan diri sendiri.  Terlalu prejudis dengan setiap kata-kata yang Budriz luahkan padaku. 
“Kudung ke apa ke…”  Dia menyentuh bahuku lembut. 
“… sayang adalah amanah.  Abang dah lafaz janji.  Bukan dengan manusia tapi dengan Allah untuk menjaga seorang isteri ini hingga ke akhir hayat abang tapi isteri abang pun, harap ikhlas menerima keikhlasan abang ni.  Boleh macam tu?”  Dia jungkit keningnya tinggi. 
Aku tidak berkata apa.  Mengangguk tidak.  Menggeleng juga tidak sebaliknya aku terus merenung mata itu dalam-dalam.
“Setuju tak?  Hmmm…?”  soal dia sekali lagi. 
“Tengoklah macam mana…” 
Sudahnya begitu jawapanku kala terlintas akan wajah nenda  yang membenci.  Bagaikan tidak mudah untuk aku gapai bahagia biarpun terasa dekat di hujung jari.  Rapat di sisiku kini. 
“Yang…”  Dia menyeru lagi.  Bibir itu dimuncungkan padaku membuatkan aku mengerutkan dahi bila menangkap apa yang mahu dia lakukan.
“Apa ni?” 
“Eh… bukan nak cium awak.  Air dah mendidih.  Sila masak cepat.  Nak makan sebelum Maghrib boleh?”  Dia menahan tawa setelah berjaya mengenakanku lagi. 
Pantas aku tolak tangannya dan berpaling pada periuk kaca.  Serai  yang sudah aku ketuk, aku campak cermat ke dalamnya.  Lengkuas  yang juga sudah diketuk, aku letakkan juga ke dalamnya.  Cili padi, daun limau purut juga turut aku letak.  Gula, garam, sedikit susu pekat dan penambah perisa aku sebatikan.  Hingga akhirnya, aku masukkan lauk-lauk basah yang telah dipotong tadi. 
“Apa pun jadi… Syai tanggungjawab abang.  Tak mungkin ada pengganti biarpun Syai pergi,” bisik dia tiba-tiba dekat di peluput telingaku.
“Terima kasih masak untuk abang.  Maaf atas kata-kata nenda dan yakinlah akan kasih sayang abang.  Abang ganti semula pedih yang Syai lalui itu dengan kasih sayang abang.  Abang ubati.  Abang rawat,” gumamnya lagi dan kali ini, aku tunduk menahan bibir yang sedang mengukir senyum tanpa kupaksa. 
Indah!

**

USAI membersihkan diri, aku lihat Budriz sudah sedia menantiku di atas sejadah.  Sudah siap terhampar juga sejadah untukku dan sepasang telekung yang rasanya bukan milikku. 
“Solat nak?”  soal dia. 
Aku tersenyum sinis.  Nak?  Tidakkah solat itu wajib pada hamba Allah dan umat pada Nabi Muhamad? 
“Kalau tak nak?”  Rambut yang basah, aku lap pantas.  T-shirt dan track bottom itu aku betulkan sedikit. 
“Eh… mana boleh macam tu.  Solat wajib.  Sayang dah boleh solat, jom.  Rule baru.  Sayang akan jadi makmum abang dan abang akan jadi imam.  Cepat-cepat.  Tak baik lengah-lengahkan solat,” gesa dia.
Aku melihat ke arah jam di dinding.  Sudah menghampiri 7.45 malam.  Pantas aku bawa langkahku ke arah sejadah yang telah dia bentangkan. 
“Telekung siapa ni?”  soalku sambil menyarung telekung pada tubuh. 
“Syai punyalah.  Abang beli masa kita nak nikah hari tu.  sebab kita nikah segera, melainkan duit hantaran, telekung je abang sempat bagi.  Yang lain tu tak perlu kot.  Nanti apa-apa yang sayang nak tuntut, sila buat senarai.  Kalau tak nanti, abang teraba merata-rata.  Bahaya.”  Dia mengenyit mata dan membetulkan songkoknya kemudian terus berpaling dan tegak berdiri mengalunkan azan.
Aku sekali lagi kelu dan kaku.  Pertama kali mendengarkan alunan azan itu indah menyapa gegendang telingaku.  Luhurnya, syahdunya hingga tak mampu aku luahkan dengan kata-kata melainkan airmata semata-mata yang mengalir tiba-tiba. 
Bagaikan tersedar dari lena yang maha panjang.  Bagaikan terlepas dari belitan dendam yang terlalu utuh melilit diri.  Bagaikan terlucut segala duri yang mencucuk hati.  Kala Budriz alunkan iqamat, aku akhirnya sedar sendiri. 
Saat ini, aku sedar mengapa aku terasa jauh dari rahmat-Nya sedangkan aku menjaga solat.  Mengapa aku tidak pernah sesaat pun menemui ketenangan.  Rupa-rupanya, hatiku yang terpalit hitam dengan dendam itulah yang membawa aku jauh dari rahmat Allah.  Menolak takdir yang menghimpitku dan hari ini, aku terasa lapang setelah aku pujuk hati ini melepaskan segala dendam itu pergi. 
“Allahuakhbar…” 
Takbir diangkat dan aku juga mengikut mengangkat takbir memuji keagungan Ilahi.  Mengabdikan diri dan berserah segalanya setelah penat melawan kehendak-Nya.  Setelah usai segala rukun solat tiga rakaat itu, Budriz berbisik mengalunkan zikir memuji keagungan Ilahi. 
Setelah itu, dia mengangkat tangannya memanjatkan doa dalam doa yang terlalu syahdu.  Doa yang kurang jelas di telingaku dan bila dia aminkan, dia berpaling padaku.  Tangan itu dihulurkan tapi tidak mampu aku sambut. 
“Kenapa Syai rasa macam ni?” 
“Macam mana?  Hmm…?”  tanya dia pula lantas dia tarik tanganku dan membawa jemari kami rapat ke wajahku. 
“Abang maafkan sayang.”  Dia berbisik begitu dan menarik kepalaku sedikit lantas mencium ubun-ubunku. 
“Maafkan?”  soalku tidak mengerti. 
Budriz tidak terus menjawab sebaliknya dia meleraikan simpuh tahiyatnya dan memasang sila.  Kemas di depanku.  Dekat hinggakan berlaga dengan lutut ini. 
“Dari riak sayang… abang tahu sayang mula rasa bersalah, kan?  Layanan buruk sayang selama ni pada abang dan sungguh… ikhlas abang katakan  yang abang maafkan isteri abang ni.  Abang maafkan!”  tekan dia sekali lagi membuatkan aku tunduk memainkan jemariku sendiri.  Malu!
“Ni buku sayang, kan?” 
Aku panggung kepala bila Budriz bertanya demikian.  Kini di tangannya ada majalah Dara.com yang kubeli siang tadi.  Aku angguk kemudiannya. 
“Dah belek?” 
“Sikit-sikit je.”
“Tengok apa?” 
“Err… tengok model tu pakai tudung.  Cantik,” jawabku mengakui kebenaran akan apa yang terdetik di dalam hati. 
“Dan sayang juga akan lebih cantik andai segala milik sayang terpelihara hanya untuk abang,” ucap dia. 
Aku diam lagi.  Hilang kata-kata.  Hanya mata ini melihat penuh minat bila Budriz membelek sehelai demi sehelai majalah itu.  Pada pendapatku, barangkali melihat model-model remaja yang cantik bergaya penuh sopan.  Hati ini dijentik rasa pilu lagi.  Entah mengapa, aku hanya mahu mata Budriz merenungku.  Aku hanya mahu dia memandangku. 
‘Pandang Syai… Syai tak sudi awak pandang orang lain setelah berbelas tahun awak hanya pandang Syai…’ bisik hatiku sendiri.  Tak mampu aku luahkan.  Ada rasa yang menyekat. 
Budriz panggung kepala memandangku.  Jemarinya terhenti dari terus menyelak helaian itu.
“Sayang… abang tak sempurna.  Abang juga tak baik dan tak hebat sangat dalam agama tapi insyaAllah akan ada untuk kita sama-sama didik diri kita.  Sebab tu abang terus bersabar biarpun berbelas tahun melayani karenah Syai.  Sebab… api tak mampu kita padamkan dengan api.  Sebab tu abang terus siram Syai dengan kasih sayang,” tuturnya lembut.
“Dan kali ini… abang ada rule baru lagi untuk rumah ni.  Rumah ayah dan sekarang rumah kita bersama.  Rule dia, Maghrib dan Isyak berjemaah.  Andai abang ada di rumah waktu-waktu lain juga kita kena berjemaah.  Sementara menanti Isyak, kita adakan kuliah Maghrib sikit dan sekarang, Syai buka hati.  Buka telinga akan apa yang abang nak baca ni.  Memandangkan Syai sendiri tak belek lagi buku ni tapi abang terbelek dulu, kita kongsi hal ni.  Boleh?”  Dia bersuara panjang lebar dan kali ini aku menjatuhkan kepalaku.
“Abang suka sayang beli majalah ni.  Informasi dan banyak input yang boleh buat Syai belajar.  Abang juga.  Memanglah Dara.com.  Harap nanti sayang tak pilih dara.com lagi sebab abang perlukan seorang isteri,” pinta dia penuh makna yang mendalam dan mata itu terkatup sekali sebelum dia kembali menatap dada majalah itu.
“Bismillahirrahmanirrahim…”  Budriz memulakan kuliah Maghrib kami penuh tertib.
“Rasullullah SAW bersabda yang membawa maksud… ‘Barang siapa yang diuji lalu dia bersabar, diberi lalu dia bersyukur, dizalimi lalu dia memaafkan dan kala menzalimi maka dia beristighfar maka bagi mereka keselamatan dan mereka akan tergolong orang-orang yang memperoleh hidayah..’ – Hadith Riwayat Al-Baihaqi…”  Budriz menutup majalah tersebut dan diletakkan di sisinya. 
“Sayang dengar?” 
Aku angguk. 
Budriz mencari jemariku yang masih dilitupi telekung putih bersih itu dan menggenggamnya erat. 
“Syai adalah orang yang pernah hebat diuji.  Allah menguji sebab Dia sayang.  Dia nak Syai kuat dan menempuh hidup dengan berserah pada qada dan qadarnya.  Syai diberi abang untuk menjadi pendamping Syai di dunia dan insyaAllah sampai ke akhirat sana tidakkah Syai patut syukuri nikmat-Nya?”  Budriz menelan liur seketika sebelum menyambung.
“Syai mungkin pernah dizalimi tapi tangan yang memberi itu lebih hebat dari menerima.  Memberi maaf adalah tidak mudah.  Hanya hati  yang tegar dan kuat saja mampu berikan sebuah kemaafan penuh ikhlas dan abang percaya Syai mahu menjadi ikhlas, kan?   Dan bila Syai menzalimi abang, ayah dan bonda… cepat-cepatlah beristighfar bermohon ampun pada Allah.  Nak-nak ayah dan bonda.  Lebih-lebih lagi abang sebab syurga Syai sekarang bersama abang.  Syai faham, kan?”  soal Budriz menutup kata. 
Aku tidak mampu menghadap mata dia lalu aku hanya mampu tunduk saja.  Ada genangan hangat menari-nari di tubir mata.  Sarat dan semakin memberat.
“Abang hanya ambil ilmu dari buku yang sayang beli ni.  Kita kongsi mana yang baik dan kita baiki mana yang buruk.  Moga abang terus mampu bersabar sebab sayang sendiri tahu, sabar itu separuh daripada iman.  Sukar sayang untuk ada sabar tu sebab separuh daripada iman tu hebat.  Abang yang hina ni, entah-entah suku pun tak ada apatah lagi separuh…,” ucap dia lagi dan kali ini lebih syahdu.  Jemariku digenggam kemas. 
“Syai minta maaf…”
“Dan abang maafkan.  Abang maafkan,” sahutnya pantas lantas dia menarik tubuhku ke dalam pelukannya. 
Sudahnya, aku tersedu-sedu sendiri. Pergilah pedih.  Menjauhlah dendam.  Hati ini semakin hebat berdegup bersatu dengan hati Budriz.  Bersama cinta Budriz yang telah lama kubiarkan sepi. 
“Terimalah abang sebagai seorang suami, sayang,” bisiknya merayu-rayu dan aku mengangguk berat. 
Bahuku ditolaknya lembut.  “Tapi, jangan-jangan sebab cemburukan Nurin tak?”  duga dia dan wajahku berubah kelat tiba-tiba.  Titisan airmataku kering tiba-tiba.
“Apa kaitan dia pulak?”  tanyaku geram. 
“Erk… yang dalam telekung lagi.  Atas sejadah jangan tengking abang…” Dia memberikan amaran padaku.
“Dah tu… kenapa tiba-tiba sebut nama dia pulak?” 
“Saja nak duga cinta di hati seorang isteri,” sela dia padaku dan songkok itu dibuka.  Telekungku juga ditarik. 
“Abang tahu Syai sayangkan abang…”  Dia bergumam lembut dan menolak tubuhku rebah dan kala wajah itu mendekat padaku, aku menolak lembut. 
“Nope.  Tolong!”  rayuku tiba-tiba.
Budriz melepaskan nafas yang berat.  Wajah itu berubah sedikit.  Nampak kecewa. 
“Maaf… abang tak nak memaksa.  Sampai masa, menyerahlah, sayang,” gumamnya dan dia bangkit melipat sejadah. 
Aku diam terkaku.  Rasa bersalah lagi sedangkan baru seketika tadi hati ini ditiup keinsafan.  Setelah kurasakan hampir kehilangan dia, Allah masih mahu dia menjadi milikku tapi aku tolaknya pula.
“Budriz… errr… Syai…” 
Dia berpaling dan senyum setelah membuka baju Melayu yang tersarung pada tubuh sasanya itu.  “Abang maafkan…”
Nafas lega aku hela sedikit dan turut bangkit.  Baru hendak menyangkut telekung dan sejadah, telefon bimbitku berdering.  Pantas aku gapai telefon tersebut yang terletak elok di meja sisi katil. 
“Hello…”  Aku menyapa sopan setelah salam kujawab. 
Budriz mendekat bila aku hanya mendiamkan diri menantikan bicara daripada si pemanggil. 
“Siapa?”  soal dia tidak sabar dan aku hanya  mampu menelan liur sendiri.  

~~> bersambung

Cik Penulis : Terima kasih pada semua komen.. sangat2 membina dan membuka minda saya yg kadang2 terkatup tanpa sedar... Maaf atas kekurangan.  sedaya upaya cuba kembali onto track.. Andai tergelincir mohon tegur... Yang sebelum ni akan saya edit2 sikit..hehe.maaf semua..layan..komen... sayang kamu...

44 comments:

  1. the best!!!
    sedikit sebanyak apa yang Budriz cakap kat Syai tu menyentuh hati saya,
    untungnya dapat suami yang penyabar dan kuat pegangan agama :')

    ReplyDelete
    Replies
    1. BETOL2 bagusnya kalau dpt suami mcm budriz....
      harp2 hati syai akn terbuka utk budriz

      Delete
  2. kakrehan..ksian kat shai..nsib baik ada budriz.Ya Allah..hilangkanlah kesakitan yang pernah dialamai Shai dengan kehadiran suaminya ini..

    >>k<<

    ReplyDelete
  3. best.smoga syai trus berubah menjadi yg lebi baik:)

    ReplyDelete
  4. kronotasi yang kemas. pandai cik penulis susun plot. bukan senang nak buat watak syai yang sangat benci bertukar sayang. kebanyakan penulis lain bila sampai ke turning point utk tukar sesebuah watak benci jadi cinta, fail bilamana plot tu jadi mudah sangat dan tiba-tiba. sekaligus jadikan cerita tu tak menarik dah. tapi setakat ni memang memuaskan.
    kalau boleh, nak tengok watak tegas budriz. seorang lelaki macho perlu ada ego dan kena tegas. baru watak lelaki sejati itu hidup.
    after all, tahniah. nice. good job.
    -kak dang

    ReplyDelete
    Replies
    1. 100% kte sokong awak..pandai rm garap cerita.
      and kalau boleh nak pulak tgk ketegasan budriz dlm mendidik shai..

      Delete
  5. salam rehan..
    hehehe..best lah RM..mlm2 mcm ni terasa sedap pulak hirup tomyam yg panas2..teringin nak mkn.

    kesian nyer kt shai,tapi kesian lagi dekat budriz..dah lama dah budriz menunggu shai..ble la shai nak berbaik dgn budriz ni pon x tw la..hehehe..;)

    * ni jus pesanan kte utk RM.kte tw ada yg komen pasal penulisan awak lately ni..tp kte tetap sokong awak, RM.For me kadang2 komen2 ni boleh mengubah kte kearah kebaikan..but, awak jgn terlalu take it serious..sebagai penulis kte x dapat nak penuhi kesemua kehendak org lain...
    lastly,kte x sabar nak tw de next episod..

    ReplyDelete
  6. alamak takkan nenda yang telefon kot. spoil la ..baru nak tangkap cintan >.<

    ReplyDelete
  7. Rehan...saya rasa ada sikit kurang dengan STK ni compare dengan nukilan RM yang lain. Kurang menyengat tapi masih ada manisnya. Teruskan berkarya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Agreed. STK ni macam kurang perencah lah. tapi masih boleh diperbaiki. apa2 pun akak suka dgn watak syai.

      Delete
  8. best.. teruskan jgn pduli apa org ckp..hee

    ReplyDelete
  9. biar lah syai bahagia bersama budriz hingga ke akhirnya..jangan lah ada badai yg melanda diri syai lagi.. kesian dia dan kesian juga budriz..

    ReplyDelete
  10. faiz ke yg call?

    ps: kak rehan. n3 kali ni lebih segar. thnx!

    ReplyDelete
  11. thanx cter ney mkin mnarik...
    xsbr nk tnggu entri yg sterusnya.....

    ReplyDelete
  12. Dear RM,
    menarik dgn perubahan Syai sket2 ke Budriz. Tak sabar for next n3..tahniah & terima kaseh!!!

    ReplyDelete
  13. Syahdu pula Kali ni... Alhamdulillah... Terbuka hati syai untuk mula terima budriz.. Benarlah kata org.. Sekeras-keras kerak nasi, akhirnya lebut juga.. So sweet... Tak pa budriz.. Sabar.. Bagi syai masa utk terima sepenuhnya.. Tak lari gunung dikejar... Hehehehee... Tq RM... Sweet sangat n3 Kali ni...

    ReplyDelete
  14. Wah... Bestnya.... Ada entry hari ni.... Sarat dgn pengajaran....

    ReplyDelete
  15. RM....teruskan berkarya... bila nk wat novel ni..
    cter yg sgt menarik dan yg pasti entri baru sgt dinantikan...:)

    ReplyDelete
  16. TERBAIK....TAHNIAH RM cerita yg di masukkan dengan pengajaran agama , hadith2 dan makna2 dlm al Quran amat susah nak jumpa teruskan usaha RM berkarya sambil berdakwah memperingati antara satu sama lain berpesan2 dalam kebaikan semoga usaha RM ini diberkati Allah swt. Teruskan usaha RM ini ye ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. TAHNIAH dapat dunia dapat akhirat.....

      Delete
  17. rm.. karya awak mmg terbaik.. plot cerita yang indah.. buat semua pembaca faham ceritanya. tak sabar nk tunggu syai menyerah..

    ReplyDelete
  18. thx sis...syai dh blh trima budriz 2..ske2...hehe

    ReplyDelete
  19. bestnya.....truskan update tiap ari yer.....heheheh....

    ReplyDelete
  20. sejujurnya RM nilah karya RM yg pling sy sukai.... Penuh dgn dendam yg brsulam kasih syg...memang kadang kala dendam tu boleh mmbutakan mta hati....tetapi dendam kadang kala menjadi terapi yg terindah dalam mmperbaiki kehidupan kita... teruskan berkarya isyllah sy sntiasa ada mnyokong RM...

    ReplyDelete
  21. saya memahami apa yg syai rasa kerna sya pernah diduga sdehebat ini suatu masa dahulu.memberi kemaafan itu satu perkara yg besar pahalanya tapi untuk melaksanakan amat berat dan menyakitkan.five star untuk budriz.

    ReplyDelete
  22. trsentuh hati kala mmbca bait2 kata2 Budriz kat Syai..brtuah sgt Syai dpt Budriz...hope kasih sayng Budriz slamanya utk Syai biarpun ada Nurin yg mgkin bakal mnjdi halangan...Syai, redhakanlah hati utk trma ksih, syg n cinta Budriz sblm trlmbat...

    ReplyDelete
  23. tu mesti Faiz yg call tu, saja ja nk kaco daun. nnt abg bud berukar jd rimau br tau. tak pun nenda call ajak p kenduri doa selamat sempena nurin balik m'sia. adeh nnt hati syai tergugat lg.

    ReplyDelete
  24. ALHAMDULILLAH..DH NMPAK PERUBAHAN PD SYAI..N3 YG BAGUS DAN BERMANFAAT GAK PD PEMBACA.. TAHNIAH!!!

    ReplyDelete
  25. saya suka sgt dgn setiap karya RM..cpt2 post n3 bru..hrp2 habis kt blog je mcm KSC..hehe

    -Yannie-

    ReplyDelete
  26. akhirnya, terbuka juga pintu hati syai utk menerima budiz. cpt-2 post n3 baru, x sabar nak tahu episod seterusnya..

    ReplyDelete
  27. terbaik wok. makasih. harap2 diaorg relationship makin kuat aah.amin

    ReplyDelete
  28. akak...alhamdulillah....hahaha hati syai dh lembut...like2...

    ReplyDelete
  29. Karya yang menyentuh perasan. Garapan yang baik.Tahniah Rehan

    ReplyDelete
  30. Aha camtulah syai... dalam lembut ada sopan tp ngamuk tetap ngamuk...hehe jahatnye saya... budriz pun paham sejarah hidup syai sbb tu dia byk sabar dan mengalah...

    Kehadiran nurina dan faiz boleh kuatkan lg kasih syg syai pd suami.. dalam hati penuh dgn cinta tp lom layak dilafazkan oleh bibir... kasi duga dgn 2 org ni plak... best2 RM... nurin cpt cucuk jarum...haha....

    ReplyDelete
  31. Terbaiklah kak rehan, suka betul dengan Budriz ni, sangat penyabar. Akhirnya, lembut jugak sikit hati Syai ni. Well done kak rehan! loveyou

    ReplyDelete
  32. RM please teruskan cerita ni jadi novel...suka sangat watak syai dan budriz...peminat RM akan sentiasa sokong dalam setiap karya awak

    ReplyDelete
  33. x sabar nk tunggu episod seterusnya..pernah baca cerpen pasal cerita ni.tajuk x ingat pulak. dalam cerpen tu nanti si syai mengandung dan keguguran.ms tu baru dia sedar akan kesilapannya selama ni..tp dalam novel ni lagi bes la..semoga RM terus maju dan dicurahkan idea yg bernas dalam menyebarkan ilmu kepada pembaca..tahniah..;)

    ReplyDelete
  34. nice...
    terus sambung ye RM..
    =)

    ReplyDelete
  35. yeah akhirnya pnntian budriz brakhir gak, syai pn da mla brubah ckit n budriz jgn wt syai jles ea kang jdi cm dlu ag plak

    ReplyDelete
  36. Alhamdulillah syai dah dapat terima budriz sikit2. its a good start. mesti faiz dan nurina ni nak try ganggu kan...ish2...nenda budriz ni mcm mana orgnya? die mg tak suke ngan syaima sbb keturunan dan sebab nurina ke?

    ReplyDelete
  37. bg sy citer ni dah ok sesangat..just go on je...klu dibukukan gerenti sy dan ramai lagi y bl..so jgn susah hati..segala komen y mbina djadikan panduan..y xbp best nk ddgar ttp je tlga ekekeke

    ReplyDelete
  38. wah tersentuh saya. nak sangat suami macam budriz...carikan untuk saya ye...

    ReplyDelete
  39. Bunga2 cinta mula hadir di hati syai hehehe

    ReplyDelete