Sunday, March 18, 2012

Ku Ingin Milikimu [7]

BAB 7

RESAHNYA hati hanya Tuhan yang tahu bila akhirnya, aku kini menjadi milik Mukhlis yang sah setelah kami selamat dinikahkan oleh Pak Imam berwalikan Abang Ngahku di dalam rumah Allah di kampungku ini.

Jodoh milik Tuhan yang telah Tuhan pinjamkan buat kami berdua entah sampai bila biarpun aku berharap untuk selamanya.
Tanpa majlis, hantaran, persalinan jauh sekali singgah sana indah yang selama ini aku impikan, aku kini benar-benar bergelar seorang isteri secara rahsia kepada Mukhlis. Sesekali terasa bagaikan perempuan simpanan tapi hubungan ini sah di sisi Allah dan cukuplah Allah mengetahui segalanya

Hanya beralaskan cinta dan janji Mukhlis semata-mata. Juga kasih sayang dan cinta di hatiku buat dia, aku pertaruhkan sekeping hati ini untuk dia agar dia melestarikan janjinya untuk menjaga aku setelah aku dia miliki.

“Anahara…,” seru Mukhlis yang entah bila berada di belakangku.

Tanpa sempat aku mengelak, dia memaut pinggangku menarik tubuhku rapat ke dalam pelukannya.

Rambut panjangku dia tolak ke tepi lalu dia tunduk dan menongkat dagunya di atas bahuku. Nafas itu tenang saja menyapa pipiku tapi dapat ku rasakan detak jantungnya itu mengganas di dalam.

Tubuh ini kaku. Mukhlis juga diam namun nafasnya semakin bergelora menyatakan kehendak di dalam dirinya yang mungkin sedang memuncak. Aku berpaling dan menggariskan senyuman yang terlalu janggal.

Sungguh aku resah. Segala yang terjadi, dalam sekelip mata menjadikan aku sendiri tidak bersedia sepenuhnya untuk menjalankan tanggungjawab seorang isteri kepada dia.

“Err… dah mandi ke?” tanyaku janggal. Mukhlis ketawa kecil.

“Soalan apa tu? Atau Ann nak tolong mandikan saya?” soal dia membuatkan aku tidak mampu berkata apa.

Dalam berani-berani takut, aku sapa tangan Mukhlis yang erat memeluk pinggangku, cuba menolak pelukan eratnya. Bila pelukan terlerai, aku pantas berlalu dan dia melangkah mendekati tapi aku pantas menjauh daripada dia.

Dia senyum dan menggeleng kecil. “Ann takut pada saya, ya?” tanya dia lembut.

Aku pantas menggeleng sedangkan dalam hati ini, aku kecut. Segalanya berlalu terlalu pantas di atas kehendakku sendiri.

“Kalau tak takut, kenapa nak jauhkan diri?” tanya dia lagi.

Dia menghampiri birai katil lantas melabuhkan duduknya di situ. Mata kuyu itu terus memerhatikanku dengan penuh berharap. Tak mampu melarikan pandangan sendiri, aku juga merenung dia dengan sejuta keresahan yang beraja di hati.

Mukhlis mengusap belakang tengkuknya. Dia mengeluh kecil dan menggeliat ke kiri dan ke kanan.

“Teman saya tidur malam ni, boleh?” tanya dia berlapik.

Aku diam juga.

“Saya berhak, kan dapat tidur yang lena malam ni, Ann?”

Aku masih lagi diam.

“Tak suka saya jadi suami Ann?”

Kali ini aku pantas menggeleng.

“Habis tu, kenapa nak dok jauh je? Tak kesian dekat saya?”

Aku mula nampak wajah kecewa Mukhlis dan aku juga mula terhimpit dosa. Hingga ke pagi, aku akan dilaknat oleh malaikat kerana menolak kehendak suami tapi sungguh, aku tak mampu hendak melayani dia buat masa sekarang. Aku perlukan sedikit masa untuk mengubah segalanya dalam hidupku bila dia hadir. Segala kemungkinan sebenarnya.

“Err… esok kita nak balik KL, kan? Lebih baik awak tidur dulu,” cadangku.

“Habis tu, kalau saya tidur, Ann nak buat apa?” Kali ini, terkesan olehku senyuman nakal di bibirnya.

“Saya ada dateline dengan penerbit nak kena hantar. Jadi, saya kena siapkan dulu. Dah banyak minggu saya tak buat. Takut tak sempat kejar dateline nanti.” Aku memberi alasan dan dia mengangguk.

“Yalah, kan… saya lupa saya nikah dengan seorang penulis yang punyai ramai peminat,” balasnya lantas dia rebahkan tubuhku di atas katil dan mata itu aku lihat terpejam dengan sendirinya.

Nafas lega aku hela segala mungkin. Benar aku miliknya yang sah tapi aku masih belum bersedia hendak menyerah. Terlalu takut kehilangan dia satu hari nanti.

Komputer riba aku hidupkan lantas aku curahkan segala yang berbekam di hati menjadi sebuah bicara bisu antara aku dan peminat yang setia menanti hasil garapanku.

Sedang aku ralit menekan papan kekunci, tiba-tiba aku rasa ada jari yang merayap di sekitar leherku. Menyelak rambutku tinggi lantas ada bibir dan kucupan hangat yang singgah tepat di belakang tengkukku.

Baru hendak bangkit, Mukhlis menahan.

“Saya faham Ann belum sedia sebab segalanya terjadi dalam sekelip mata. Cuma, saya minta, Ann percayakan saya. Percayakan janji saya. Percayakan saya akan jaga dan cintai Ann setelah saya berjaya miliki Ann. Bukan memiliki semata-mata. Sungguh saya cintai dan ingin menjaga Ann selama Tuhan masih izinkan,” gumam dia di peluput telingaku.

“Saya percaya awak, Mukhlis. Sungguh, saya percaya. Cukuplah sekali awak ucapkan dan saya akan percayakan awak selamanya,” balasku resah.

Dada ini hampir pecah dihentak detak yang ganas bila Mukhlis mula mengucup cuping telingaku hangat dengan nafas yang semakin mendesah.

“Err… saya rasa elok awak tidur dulu, Mukhlis. Esok nak drive jauh, kan? Nanti kejap lagi saya tidur, ya?” ujarku mengelak dari ciuman dia.

Mukhlis melepaskan pelukannya yang melingkari tubuhku. Wajah itu menjauh. Dia membelai rambutku lama dan sebelum berlalu ke katil, tangannya dihulurkan kepadaku.

Aku memandang dia pelik. “Kenapa?” Mendongak wajah ini mencari anak matanya.

“Salam suami dulu. Kan nak tidur dah ni. Minta maaf dulu sebab tolak ajakan suami,” bisik dia nakal.

Aku terngadah. Rasa bersalah mula menerpa sekali lagi. “Saya minta maaf,” ucapku pantas.

Jemarinya aku paut lantas aku kucup lama. Bila aku angkat wajah, Mukhlis tersenyum padaku. Wajah itu mendekat ke wajahku lantas sebuah kucupan hangat singgah di pipiku seketika.

“Saya akan sentiasa maafkan Ann biarpun Ann tak sempat nak minta maaf daripada saya. Ingat tu,” sahut dia dan terus saja dia berlalu ke katil dan merebahkan tubuhnya sekali lagi.

Wajah itu tersenyum dan mata itu rapat. Aku renung dia seketika. Memang dia suamiku dan aku akan melayani dia sehabis baik nanti. Ampunkan saya, Mukhlis. Hakikatnya saya memang cintai awak lantas hari ini, takdir menolak saya menjadi hak awak yang sah. Hati ini berbisik sendiri dan aku kembali duduk menghadap komputer riba.

~~> bersambung

2 comments: