Saturday, April 14, 2012

Kerana Sekali Cinta [12]

BAB 12

CERMIN di depan mata, aku pandang lama. Macam tak percaya. Kejap lagi je aku nak menikah. Akhirnya, keluarga kami pakat-pakat nak nikahkan kami dulu dan sedikit kenduri kesyukuran sebab masa terlalu singkat. Kenduri besar-besaran nanti, mama berniat untuk adakan serentak di rumah kami.

Kala ini, ada kenangan lama yang hadir. Aku pandang baju Melayu putih bersih ini yang sudah sedia tersarung pada tubuh. Tampan jugak aku ni. Cantik kemasannya. Tak sia-sia mama pilih Butik Andaman Falah tu.

Teringat waktu mencuba persalinan ini dua hari sudah. Anaresa langsung tidak mahu keluar untuk aku lihat dia mengenakan persalinan itu. Pemalu sungguh.

Sedangkan kala itu, keinginanku untuk melihat dia membuak-buak. Resahnya hati, kalutnya nafas lelaki ini, hanya Tuhan yang tahu. Tapi, bila Zafrina menjeling tak sudah-sudah, aku biarkan saja hasrat hati dan aku buka pakaianku lalu aku berlalu keluar.

Sewaktu duduk di bangku di depan Delifrance menantikan dua orang anak dara itu keluar, aku ternampak seseorang. Pantas aku angkat tubuh. Macam tak percaya boleh terjumpa dia lagi di sini? Pejabat lamanya?

Aku panjangkan leher mengintai dari sebalik tiang bila dia singgah di Kedai Kek Fruity. Wajah itu tetap mulus dan cantik macam dulu. Nampak sopan dan comel. Tapi, kenapa dia sendiri? Aku terus mengintai lantas telapak tangan ini aku bawa ke dada. Mencari debar yang mungkin tersisa tapi sungguh, langsung tiada apatah lagi setelah beberapa ketika, aku nampak pemilik hatinya bersama.

Ya Tuhan, bertahun tidak bersua tapi hari ini, takdir membawa kami bertatapan lagi biarpun, aku masih tidak mampu hendak menonjolkan diri di hadapan mereka.

“Dah siap, yang?” soal lelaki itu sambil memaut bahu dia.

Dia berpaling dan mengukir senyum. Senyuman yang pernah aku dambakan menjadi milikku tapi sayang, kudrat tidak ada di tangan ini lantas bibirku juga tersenyum melihat dia bahagia.

“Dah… nak bayar je? Tak pun abang belanja, aci tak?” soal dia lagi.

Lelaki itu mengangguk pantas. “Apa je untuk isteri saya tersayang ni.”

Nampak mesra sungguh mereka ini setelah dugaan hebat membadai satu ketika dahulu. Dan, aku pun yakin, aku dan Anaresa boleh jadi lebih hebat daripada mereka dalam menyulam kasih kerana kasih dan cinta aku memang ikhlas.

Mata ini terus terpaku melihat pada keduanya. Bila selesai buat bayaran, mereka berdua berjalan menuju ke arah pintu yang hendak menuju ke tempat letak kereta. Cepat-cept aku menyembunyikan diri. Risau ternampak tapi rasanya, kalau nampak pun tak ada apa-apa.

Mereka kawan lama dan aku juga bakal berumahtangga. Hendak menjemput, kad masih belum ada. Sudahnya, aku diamkan diri dan tanpa sedar, bahuku ditepuk kuat.

“Along tengok siapa tu?” sergah Zafrina.

“Along tengok Ana, eh Ann eh… eh… tak ada siapalah.” Terkejut punya pasal semua benda terkeluar.

Zafrina ni memang nak kena agaknya. Bila aku bertentangan mata dengan Anaresa, wajah itu nampak pelik. Ada kerutan sikit pada dahinya.

“Siapa?” tanya Anaresa perlahan. Mungkin tidak jelas di pendengarannya tadi.

“Emm… ini mesti tak lain tak bukanlah ni. Berangan nampak penulis kesayangan dia la tu, Kak Long,” ujar Zafrina lagi.

Aku tahu niat dia mengusik tapi aku tak selesa sebab Zafrina tak pernah tahu kisah hati aku pada wanita itu dulu. Hanya mama yang mengetahuinya atau juga abah sebab mama haruslah bercerita pada abah tentang semua ini.
Mata ini terjegil pada Zafrina. “Rina jangan buat cerita, ya!” tegurku.

“Cerita apa? Sungguh apa Along ada minat buku sorang penulis ni je, kan? Siapa dah nama dia. Pelik sikit nama dia. Siapa ya, Along?” Zafrina garu kepala.

Terlupa atau buat-buat lupa, aku rasa aku nak luku je budak ni. Pandai je dia buat-buat melatah macam tu.

“Tak ada siapalah. Dah siap ke? Jomlah kita balik. Mama dah tunggu. Nak hantar Resa balik Shah Alam lagi ni,” ajakku melarikan diri dari perbualan asal.

“Ala, baju Rina?” Adik aku ni buat wajah kasihan.

“Nanti-nantilah. Penuh satu almari dah baju dia. Pakai je mana ada. Jom Resa,” ajakku sekali lagi.

Langsung mati niat hendak berjalan-jalan lepas terjumpa kisah hati lama apatah lagi lidah ini terlanjur bicara sikit. Bahaya sungguh. Ingat nak kuburkan macam tu je tapi, terlepas pulak dah.

Kakiku melangkah tapi tidak pada Zafrina dan Anaresa. Bila aku kalih, dia senyum pada balik tiang.

“Errr… Along ini… ini…” Suara Zafrina gagap sambil menjeling ke arahku.

Apa lagi dia ni? “Apa lagi, Rina? Cepatlah,” gesaku.

Anaresa senyum dan berpaling.

“Penulis errr…” Kata-kata Zafrina mati lagi.

Aku berpaling dan hendak mendekat pada mereka tapi sayang langkah ini pegun bila wajah yang ku intai tadi muncul tepat di depan mataku.

“Assalamualaikum, Zafran,” sapa dia lembut.

Zafrina senyum. Namun, aku dan Anaresa diam terpaku. Matilah…

Aku tarik nafas dalam-dalam. Mana boleh melatah. Andai dulu aku macho melamar cintanya, macho juga dalam membawa dia pada cintanya, hari ini aku juga akan terus macho berhadapan dengan pertemuan kami.

Nafas aku hela perlahan dan bibir ini menguntum senyum dan keningku terjungkit sedikit lalu aku rapat pada Anaresa dan Zafrina yang nampak pegun melihat ke arah aku dan Anahara silih berganti.

“Waalaikummussalam… I just can’t believe this. Ana buat apa kat sini?” tanyaku buat-buat teruja.

Tapi, sungguh aku agak teruja melihat kebahagiaan dia. Setidak-tidaknya, aku rasa rasa pengorbananku dulu membawa sejuta rahmat buat kami semua. Ada hikmahnya. Hikmah yang tentunya hadir biarpun agak lambat. Hikmah yang membawa aku pada anak gadis ini. Aku jeling Anaresa yang masih lagi diam.

“Siapa?” soal dia tanpa suara. Aku senyum lagi.

“Saya teman Mukhlis renew lesen memandu dia dekat JPJ tingkat dua,” jawab Anahara lembut dan tetap sopan bagai dulu. Namun, sudah tidak keras dan tegas.

Aku sengetkan kepala dan jungkit bahu sikit. “Kebetulan jumpa kat sini,” ucapku.

Dia ketawa. “Eh, ni awak santai je pakai. Tak kerja ke? Sarina tak ada, kan?”

“Dia kerja luar. Saya cuti hari ni.”

Anahara memandangku lain macam. Nampak usikan di balik renungan tipis dia itu lantas dia berpaling pada Anaresa dan Zafrina yang terkaku. Tangan dihulurkan sebagai tanda perkenalan.

“Ana… ni adik saya, Zafrina. Dan ini…” Aku rapat pada Anaresa membawa dia berdiri di tengah-tengah antara aku dan Zafrina.

Anahara jungkit kening. “Special ek?” teka dia.

Aku garu kepala dan angguk. “Sangat special. Anaresa, tunang saya,” jawabku jujur.

Wajah Anahara nampak terkejut. Aku rasa aku dapat tebak apa yang bermain di dalam fikirannya itu. Baru hendak berkisah untuk hal seterusnya, tiba-tiba muncul Mukhlis.

Dia juga beriak terperanjat. “Eh, Zaf,” tegur dia.

Aku senyum saja. “Sihat?” tanyaku pula.

Dia angguk lalu tangan kami bertaut. Aku tepuk bahunya sekali dan begitu juga dia. Rasa lega sungguh. Baru kejap tadi kalut, ini sudah rasa tenang. Andai Anaresa ingin tahu, aku sudah sudi hendak berpenglipurlara padanya.

Kisah hati itu sudah lama berlalu dan terbukti sudah, memang Allah mahu temukan aku dengan kisah hati yang lain. Dengan seorang perempuan yang sudi datang menyerah untuk menerima cintaku.

“Lama menghilang?” soal Mukhlis ceria.

“Busylah aku ni. Sehari dua ni lagilah busy,” jawabku.

Tak kanlah tiga tahun tak bersua sibuk memanjang. Memang aku sibuk. Sibuk mendidik diri menerima hakikat cinta lama yang tak kesampaian.

“Anak-anak mana?” tanyaku pada Mukhlis pula bila lihatkan hanya mereka berdua saja.

Mukhlis memandang isterinya. “Anak-anak tinggal dekat rumahlah. Aku datang ada hal sikit. Ana nak pergi Pasar Seni kejap lagi. Ada hal sikit. Itu yang tak bawa anak.”

“Zaf, jomlah ikut kami ke CM. Bawa errr… Ana ya?” soal Anahara pada Anaresa.

Aku senyum. Mukhlis nampak pelik. Zafrina kaki. Anaresa lagilah terkedu.

“Resa. Kami panggil dia Resa.” Aku menyampuk pantas.

Anahara mengangguk. “Oh, maaf. Resa ya. Kakak ni…”

“Tahu… Novelis, kan?” tanya Anaresa polos.

Anahara mengangguk.

“Ann Rahana, kan?” soal dia lagi.

Sekali lagi Anahara mengangguk. Anaresa membuka zip beg galasnya lantas dia keluarkan sebuah novel milik aku. Eh, bila masa dia dapat novel tu? Padanlah tak ada. Hai… ni mesti kejap lagi banyak je soalan dia.

“Ini buku kakak, kan?”

Anahara memandang aku dan Anaresa silih berganti. Mukhlis masih dengan wajah berkerut dia tu. Zafrina memang terpasung lidah. Tak ada suara langsung. Gamam jumpa penulis atau ada syak yang timbul, aku juga tak pasti.

“Zaf ni… mesti dia dok beli lagi buku saya,” ucap Anahara padaku bersama segaris senyum tipis.

“Kau baca novel lagi ke, Zaf?” soal Mukhlis pula.

“Sesekali isi masa lapang. Belajar cara bercinta,” selorohku.

Mukhlis ketawa dan Anahara juga. Hanya Anaresa yang diam memegang buku itu.

“Ini buku kakak. Lagipun, kami bertiga ni kenal dah lama. Suami kakak, Mukhlis dan Zaf dan kenal lebih kurang tiga tahun, kan Zaf?” Anahara jungkit kening dan aku mengangguk.

“Abang tak tahu lagi, kan?” tanya Anahara pada Mukhlis.

Si suami jungkit kening. Tapi, Anahara tidak bersuara sebaliknya dia dekatkan wajah pada telinga Mukhlis dan berbisik. Setelah itu, Mukhlis sekali lagi menepuk bahuku dan kali ini lebih kuat. Menyeringai jugaklah wajah aku ni.

“Wei… tak ada niat nak ajak kami ke?” tanya dia lantang. Habis orang pandang. Memang tak semenggah betullah suami Anahara ni. Bebel hatiku sendiri.

Aku senyum. “Ni nak ajak la ni. Lagipun, kami nikah dulu. Kenduri lambat sikit,” ujarku.

Berdalih langsung padahal memang aku tak terlintas hendak menjemput mereka. Niat itu ada cumanya tidak terluah. Alang-alang terserempak begini, memang takdir telah berikan yang terbaik.

Mereka mengangguk. Aku pandang Anaresa yang masih memegang novel milikku itu dan wajah itu… murung?! Cemburu dah pulak dia. Tapi, aku hanya tersenyum berjabat tangan dengan Mukhlis.

Setelah kami berpisah, aku lihat Anaresa diam saja. Berjalan tunduk menekur ke lantai. Niat hendak berjalan-jalan yang terbatal tadi, ada kembali. Aku tarik tangan Zafrina berhenti melangkah tapi Anaresa tetap maju. Langsung tak sedar kami dah berhenti. Nampak sangat sedang mengelamun. Jangan dia langgar dinding sudah.

“Kenapa dengan Kak Long tu?” tanya Zafrina padaku.

Aku senyum. “Kak Long Rina merajuk.”

Aku suakan kad kreditku pada Zafrina. Umpan agar dia meninggalkan aku dan Anaresa. Tiada niat lain pun, hanya sekadar nak memujuk saja.

“Rina ambil ni, pakai jangan lebih RM200. Kalau sampai statement nanti, lebih dari tu, siap Rina. Along nak pujuk tunang tercinta ni kejap. Nanti nak balik, Along call Rina, ya,” sambungku.

Dan Zafrina, senyuman dia melebar dan makin melebar menyambut kad kredit berwarna emas itu. Tak mampu nak capai tahan platinum lagi.

“Waa… untunglah ada kakak ipar ni. Boleh pakai kad kredit Along. Selama ni tak pernah boleh pun,” balas adik aku teruja.
Aku cubit pipi dia sikit. “Jangan pakai banyak-banyak sudah!” pesanku.

Dia bukan boleh. Aku pesan dua ratus. Buatnya dia pakai dua ribu, pitam aku nanti. Sudahnya aku hantar Zafrina pergi dengan ekor mata. Kaki ini lantas aku bawa menapak laju ke arah Anaresa.

“Resa,” seruku tapi dia tetap diam menapak.

“Resa, hati-hati sikit. Langgar pintu tu.” Aku percepatkan langkah.

“Dia ni…,” rungutku lalu aku berlari-lari anak pada dia.

Baru saja aku nak hampir pada dia, seorang lelaki hampir melanggar Anaresa dan aku cepat-cepat tarik lengannya dari terus dilanggar lelaki itu.

“Sorry, bang,” ucapku dan kala ini, barulah Anaresa berpaling padaku. Nampak macam baru sedar yang dia di atas bumi dan bukan terapung-apung di bulan.

“Resa kenapa ni?” tanyaku lembut. Pautan pada lengannya aku lepaskan bersama keluhan tipis.

Dia memandangku dengan anak mata yang nampak berkaca-kaca. Aduhai, nak menangis pulak ke dia? Dekat mall ni.

“Resa kenapa?” soalku sekali lagi.

Dia tidak menjawab sebaliknya, dia suakan buku itu padaku. Aku sambut dan aku belek helaian demi helaian dan terjumpa sebaris ayat yang bertinta tangan dari Anahara. Tiada apa, sekadar mengucapkan terima kasih di atas segalanya.

“Kenapa dengan buku ni?”

“Resa rasa abang dengan kakak tu tadi…” Kata-katanya mati. Nampak dia tidak sanggup hendak bersuara.

“Kami kawan lama,” jawabku jujur.

“Dan abang mesti pernah…”

“Suka dia,” sambungku mencatas suaranya.

“Tapi…” Aku meleretkan kata lalu aku minta dia menapak bersamaku. Tak elok duduk tercongok di pintu masuk pusat membeli belah ni.

“Dia dah ada suami sekarang. Cuma masa abang suka dia tu, dia ibu tunggal. Kawan pada kawan abang, Sarina. Tak ada orang tahu pun, mama je tahu. Tapi, ini kisah lama. Tiga tahun dulu dan Alhamdulillah tengok dia bahagia sebab dia memang terduga satu waktu dulu. Tak mudah diorang nak berbaik dan tak mudah abang tolong dia untuk dia kembali pada suami dia tu,” akuiku lagi.

Aku tahu, Anaresa sedang merenung sisi wajahku namun aku, hanya mampu tersenyum. Memang itu hakikat. Tiada apa yang perlu aku bohongi lagi.

“Abang masih cintakan Ana…”

“Abang cintakan Anaresa je sekarang. Abang nak sayang, nak rindu, nak cinta nak bagi kasih sayang abang pada Anaresa je sekarang. Anahara tu kisah lama dan kami masih berkawan. Resa cemburu, ya?” tebakku bersama senyuman tipis.

Dia diam menunduk. Aku lihat jarinya memicit-micit cincin di jari manis itu memberikan jawapan padaku yang dia memang cemburu.

“Tak payah nak cemburu sangatlah. Resa sendiri dah tengok kami macam mana, kan?” soalku bila dia kekal diam.

“Tapi…” Anaresa akhirnya bersuara.

“Resa yakin yang abang pernah cuba dapatkan dia, kan? Tengok dari cara abang baca novel dia, Resa boleh rasa yang abang memang cintakan dia.”

“Dulu la, Resa. Dah bertahun berlalu. Memang abang pernah cinta dia tapi untuk lihat dia bahagia. Dia bahagia dengan suaminya jadi abang tak teragak-agak nak bantu diorang pulihkan semula hubungan suami isteri diorang tu,” ucapku.

Aku labuhkan duduk di atas sebuah bangku kayu berwarna coklat di depan Bjuti Butik. Mujur orang tak berapa ramai sebab tak sampai waktu rehat lagi. Beg kertas yang ada di tangan Anaresa aku capai.

Beg kertas berisi pakaian persalinannya. Aku intai sikit dan memang cantik warna putih mutiara itu. Tak dapat aku bayang andai tersarung pada tubuh kecil yang sedang memakai jeans dan kasut ni.

Dia duduk di sebelahku agak menjauh. “Habis tu kenapa abang tak pernah cerita pada Resa tentang ni?” tanya dia tiba-tiba.

“Nak cerita apa? Tak ada apa pun. Resa dengar sini. Ingat tak abang pernah cakap pada Resa, yang abang ni akan buat macam ni juga pada wanita yang telah Tuhan takdirkan untuk menjadi isteri abang. Macam Anahara dulu, abang juga cakap perkara yang sama. Kalau bukan dia, insyaAllah dengan orang lain pun abang sudi nak bagi cinta dan rindu abang sepenuh hati tapi wanita itu haruslah sudi menjadi seseorang yang halal untuk abang.”

Aku telan liur seketika sebelum menyambung. Bila aku melirik padanya, dia tunduk saja. Emm, rasa bersalah la tu. Cemburu tak masal.

“Sebab tu, bila Resa nak kita nikah cepat dan jalan untuk kita pun mudah, abang terima. Abang nak Resa rasa nikmat cinta dan kasih sayang abang ni setelah kita halal. Macam Anahara dulu, dia lain. Dia ada kisah hidup yang Resa sendiri tak percaya kalau abang cerita tapi kita lain. Percayalah, Resa. Kalau Allah dah jodohkan kita, dia permudahkan segala urusan. Mungkin tidak sekarang kita terduga, tapi esok-esok mesti ada yang menduga. Masa tu, Resa kena ada di sisi abang sebab abang perlukan kekuatan dan sokongan dari Resa bila satu hari nanti, Allah duga rumahtangga kita. Boleh tak macam tu?” soalku meminta dia bersuara.

Anaresa angguk lambat-lambat. “Maaf sebab curiga pada abang,” pintanya lembut.

“Abang maafkan…,” dan aku senyum saja menjeling ke arah wajah comel itu yang sedang menahan malu. Tahu pun malu sebab curiga pada aku.

Novel itu aku tutup dan suakan pada dia. “Mulai hari ini, abang tak nak baca novel dah sebab abang dah tahu macam mana nak buat kisah cinta abang sendiri dengan Resa nanti,” ujarku mengusik. Usikan yang penuh makna.

Dia tekup mulut. Menahan tawa atau menahan malu, aku tak pasti tapi wajah itu semakin merah.

“Oh, tadi tu cakap baca novel nak apply cara bercinta betullah?” tanya dia.
Aku angguk. “Itulah. Mata pena penulis ni kan tajam. Abang belajarlah sikit-sikit mana yang baik.”

“Eleh… kan pernah bercinta sebelum ni,” tukasnya.

Aku menggeleng. “Ops, salah itu sayang. Abang pernah jatuh cinta tapi tak pernah bercinta dan Resa adalah orang pertama yang merasa cinta abang jadi sila jangan…” Aku hentikan suaraku di situ.

“Erk… jangan apa?” Wajah itu beriak risau.

“Jangan tak hargai cinta abang ni. Mahal tau,” sambungku lalu aku ketawa.

Dia mencemik. “Abang tu kena jaga Resa. Kena taja Resa seumur hidup ni. Itu janji abang, kan?”

Aku angguk laju. “Kalau Resa sudi bagi baby dekat abang,” selaku lalu aku bangkit menjauh bila Anaresa hendak memukulku dengan beg galasnya dan tawaku lepas.

***

“TAK SIAP lagi, Along?”

Aku tersentak. Sokong di tangan jatuh ke lantai. Aku berpaling dan ternyata mama sedang senyum.

“Mama ni, terkejut Along,” rungutku sikit sambil tunduk mengutip songkok yang jatuh di kaki.

“Dah Along tu berangan. Kami semua siap dah ni. Sarina sekeluarga pun dah sampai dan Anahara dengan suami dia pun dah sampai,” beritahu mama.

Terjegil mataku. Anahara dengan Mukhlis pun? Aduhai… memang segan dengan mereka. Malu hendak menjadi seorang suami tapi keinginan hendak memiliki Anaresa menggebu dalam diri.

Aku senyum pada mama. Nafas ku hela tenang. Tenang bila segalanya mampu aku beritahu Anaresa sebelum kami nikah. Lega kerana dia mengerti dan lega kerana perkara ini tak akan memberi kesan lagi. Biarpun secara tidak sengaja tapi aku terima segalanya dengan baik.

Lebih-lebih lagi Anaresa mampu terima dan akulah yang menjadi hamba yang paling bersyukur.

“Cepatlah Along. Nanti lambat pulak,” gesa mama lantas dia berlalu.

Aku berpaling pada cermin dan senyum pada diri sendiri. Kala ini, nampak wajah Anaresa yang malu-malu tapi tak mampu nak bayang macam mana dia dalam persalinan yang suci ini? Haruslah sangat cantik.

Aku capai kunci kereta dan terus turun. Aku senyum pada semua. Anahara dan Mukhlis serta dua orang anak perempuan dan lelakinya sedondon. Sarina sekeluar juga sedondon. Keluarga kami pun sama. Cantik mengenakan pakaian berwarna peach lembut semuanya. Kontra dengan aku yang satu-satu-satunya berpakaian putih ini. Menjadikan aku sangatlah istimewa hari ini..

“JOmlah semua. Nanti lambat pulak,” ajak abah.

Mama, Zafrina dan Zafrina serta mama bersama abah. Mukhlis sekeluarga masih dengan kereta mewah mereka. Sarina juga bersama suaminya dan juga beberapa orang kawan abah masing-masing mula bergerak ke arah kereta dan yang peliknya, aku sendirian masuk ke Mazda merah ini. Hai… sendiri lagi.

Aku keluarkan telefon bimbit lalu aku larikan jemariku di atas skrin itu. Menghantar pesanan ringkas pada Anaresa.


Resa dah ready? Abang otw. Nanti abang bawa Resa bila dah angkat Resa menjadi
wanita halal di sisi abang.



Aku tekan SEND. Tidak lama lepas itu, dia membalas dan bibirku menguntum senyum.


Resa takut.


Itu saja yang dia katakan. Entah apa yang dia takutkan aku sendiri tidak tahu tapi haruslah tentang tanggungjawab yang satu itu. Aku tekan lagi skrin.


Abang akan hilangkan takut Resa tu nanti. Percayalah.


Dia tidak membalas dan aku hanya mampu menguntum senyum lalu aku tekan pedal minyak bila semua kereta sudah bergerak menuju ke jalan raya. Permudahkan segalanya Ya Tuhan, bisik hatiku penuh berharap.

Dalam perjalanan, SMS daripada Anaresa tak henti-henti masuk. Aku tak sempat hendak menjeling pun. Risau bila sedang memandu dalam kelajuan begini. Entah apa lagi yang dia tak puas hati ni.

Sudahnya, kami tiba akhirnya di perkarangan rumah dia. Waktu ini, sudah ramai orang. Padahal nak nikah je pun. Tapi, macam kenduri besar-besaran. Kata tak sempat tapi meriah juga.

“Dah sedia?” tanya Anahara yang entah bila hadir dekat denganku. Tak tahu bila dia hadir bila aku sedang ralit membetulkan pakaianku mengadap cermin kereta.

Aku berpaling dan senyum. “Insyaallah dah,” jawabku yakin lalu aku jeling pada suaminya yang sedang tersenyum pada kami.

“Tahniah untuk awak Zaf. Akhirnya, kan? Ada yang hadir menyerah untuk menerima cinta dan kasih sayang awak yang hebat tu,” ucap Anahara.

Aku angguk. “Itulah. Jodoh pertemuan dah ada. Masa je yang akan tentukan dan saya kenal Anaresa pun tak lama. Terlalu baru.”

“Saya tahu. Sarina dah cerita pada saya dan Mukhlis.” Dia senyum.

“Pada saya, masa pertemuan tu tak penting sangatlah. Janji, kami mampu sesuaikan diri sudah. Cuma risau sikit sebab dia muda sangat dari saya.”

“Muda juga bukan masalah kan?” Nada Anahara jelas yang dia membantah kata-kataku tadi.

“Itulah, memang bukan masalah pada saya tapi saya takut masalah pada dia.”

Tawa kecil Anahara meletus. Dia menggeleng beberapa kali sebelum berpaling pada suaminya dan kemudiannya berpaling semula padaku.

“Zaf… perempuan ni bila dia cinta, lain cara dia mencintai. Ingatlah Zaf… mungkin tak semua orang tapi saya yakin, saya, Resa adalah jenis yang sama. Dari riak wajah dia saya tahu, kami memang jenis yang sama.”

“Jenis yang sama?” Aku jungkit kening bertanya dia. Kurang faham sikit di sini.

“Ya, jenis sama.” Anahara mengangguk.

“Nama pun dekat sama, kan? Dan saya yakin kami ni jenis sekali cinta, selamanya cinta, Zaf dan saya nampak cinta dalam mata Resa untuk awak,” pujuk dia.

Bibir ini tersenyum lebar. Andai kaumnya sendiri berkata demikian, aku harus akuinya.

“Macam awak dengan Mukhlis macam tu? Apa-apa pun jadi tapi sebab sekali cinta, awak tetap cinta, kan?” sindirku.

Dia angguk. “Mestilah.” Dan, dia ketawa lepas.

“Terima kasih, Ana.”

“Terima kasih kembali buat awak Zaf,” sahut dia.

“Jomlah, mama awak dah panggil tu,” ajak Anahara dan aku sama-sama menapak ke arahnya menyertai rombongan dan sungguh, hampir goyah lutut aku kala ini bila semua sudah memerhatikan aku.

“Macam takut je,” bisik abah.

Aku mencuit lengannya. “Mana ada takut. Anak jantan abah ni. Berani,” ujarku menidakkan kata-kata abah.

“Baguslah tapi nampak berpeluh dahi tu,” sindir abah dan aku hanya mampu buat-buat ketawa lalu aku seka peluh kecil yang merenik di dahi.

“Panas,” selaku. Panas apa, belum masuk tengah hari.

Abah ketawa saja dan kami sama-sama menapak ke dalam rumah bila Pak cik Abdullah sudah mempersilakan kami masuk.
Duduk di tengah-tengah orang ramai ini benar-benar membuatkan aku sesak nafas. Rasanya, kipas rumah Anaresa ni tak mampu dah nak turunkan bahang tubuhku. Nak-nak Pak Imam dah ada di depan mata.

Tangan sudah berjabat salam. Mata sudah bersabung pandang dan akhirnya, ucapan keramat itu terbit dari celah bibir Pak Iman dan syukur bila aku juga lancar membalasnya dengan sekali lafaz saja.

Ayah mertuaku mempersilakan aku bangkit usai doa.

“Err… nak ke mana ni, ayah?” tanyaku polos.

Dia menepuk bahuku lembut. “Jumpa isterilah. Ke tak nak jumpa?” tanya dia.

Aku senyum dan angguk. Mama, abah dan ahli keluarga yang lain juga ikut sama. Ada gentar di hujung jari. Rasa sejuk menyelubungi diri. Bila langsir terkuak, aku nampak wajah Haqmi yang cantik berbaju kurung tapi masih dengan rambutnya yang terpacak. Aziana juga ada. Kedua-dua kakak iparku juga ada menemani si dia yang sedang tunduk menekur ke lantai.

“Err… Assalamualaikum,” hulurku menyapa Anaresa yang langsung tidak angkat wajah.

Aku nampak kakaknya menyiku dia tapi dia tetap membatu. Bila aku hampir dan duduk melutut di hadapannya, aku sapa jemari itu ke dalam pegangannya. Sejuk lain macam.

“Sayang… abang nak sarungkan cincin ni,” ujarku meminta izin.

Dia diam juga. Lantas aku sarungkan saja cincin itu ke jari manisnya. Dia aku sapa tangan itu sekali lagi untuk bersalaman, dia hanya membalas saja dan tunduk mengucup jariku lama.

“Cantik isteri abang ni,” pujiku.

Aku tolak kepalanya agar mata itu dapat aku renung tapi sayang, bila mata itu dihiasi airmata yang bakal mengalir bila-bila masa saja.

“Erk… Resa kenapa?” tanyaku bimbang.

“Resa takut,” akuinya dan serentak itu airmatanya mengalir laju.

Aku terkaku sebenarnya. Tak tahu hendak berkata apa melihatkan keindahan yang tersembunyi di sebalik jeans lusuh dan selendang menutup wajah dia selama ini. Dia memang indah dan keindahan yang telah menjadi milik aku selamanya.

“Nak takut apa?”

“Resa takut abang nanti tinggalkan Resa sebab Resa budak sekolah lagi. Tak tahu masak, tak tahu nak urus rumah tangga,” bisik dia padaku.

Aku lebarkan senyum biarpun mata ini terus rakut menikmati wajah cantik ini. Alis mata itu lentik hari ni. Pipi yang sedia merah itu nampak asli saja. Birai mata yang bercelak hitam itu nampak memukau dan bibir yang merah merekah dan berkilat itu benar-benar menggoda aku.

“Tak adalah…” protesku lalu aku membawa bibirku singgah di dahinya.

Kala ini, teringat kata-kata Anahara padaku tadi. Benar begitu kerana aku juga mahu begitu. Bibir terlepas dari dahinya. Jari kami bertaut erat dan airmatanya semakin laju mengalir.

“Abang akan jaga Resa sebab Resa amanah Tuhan untuk abang dan yakinlah pada abang, sayang. Kerana sekali cinta, abang tetap cinta,” gumamku padanya dan dia senyum lalu lengan itu memaut leherku tanpa aku duga.

Membiarkan mata-mata kenalan dan keluarga merenung kami dan cahaya dari kamera memancar-mancar.

~~> bersambung

Cik Penulis : Maaf pending. Agak bz sikit..tenkiu pada sorang kawan sudi jadi proof reader saya.. saya hargai..

22 comments:

  1. best......x sbr nak tggu next chapter....

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. waa...kawen daa.suka suka..
    ag suka tgk anahara n mukhlis dlm neh..hikhik

    tq sbb post..da lma mengidam neh

    >>k<<

    ReplyDelete
  4. sweet mmg sesgt sweet.
    KERANA SEKALI CINTA,ABANG TETAP CINTA,,TERBUAI DGN AYAT2 ZAFF..

    ReplyDelete
  5. salam.
    org first komen...hihii
    de gak n3 baru hari nie.
    hope lpas nie zaf-resa baik2 aja..;)

    ReplyDelete
  6. wah sweet nya n3 kali ni sbb pasangan kegemaran sy muncul..hihihih....sweet je part resa menangis sbb takut zaf tinggalkan dia..hihihiih...

    ReplyDelete
  7. kebas mulut nie dari tadi menguntum senyum...
    erk...Anaresa peluk Zafran ke?????
    mudah2an xde apa2 rintangan lepas Zafran Anaresa kahwin...
    (tipulah kalau xde rintangan kan sis Rehan Makhtar????????)

    ReplyDelete
  8. lama saya tunggu n3 ni. akhirnya tak sia2 penantian saya. n3 yang hebat.... hehehe...

    ReplyDelete
  9. thanks rehan......

    ReplyDelete
  10. besttttttt rehan.... x sabar nak tunggu tk keluar nie... tq rehan.

    ReplyDelete
  11. so sweet akhirnya kawen jgk dorng hehehe.....
    comel je tgk anaresa 2 hahaha

    ReplyDelete
  12. wow ! memang dah terbang2 je la ni.

    Sengih tak terhenti~

    Gonna miss the next chapter... =)

    ReplyDelete
  13. Best. Suka sangat cerita ni. 'Sweet' je.

    ReplyDelete
  14. akhirnya..penantian yg berbaloi..huhuhuhu

    ReplyDelete
  15. mak aiiiii, boleh imagine je majlis akad nikah tu. hahah

    ReplyDelete
  16. layan... akhirnya bersatu.. mesti lagi best lepas ni.. zaf layan kerenah resa?@ resa yang penat nak melayan manja zaf? hahahaha

    ReplyDelete
  17. alhamdulilah selamat sudah....
    klu ikut kn mmg tkut pn nk berhdpan dgn pkhwinan dlm usia muda..tgungjwb byk nk kna pikul..
    klu ada konflik pn wat ringan2 ngn sweet2 cra memujuk ngn berbaik2..hehehe
    -miss A-

    ReplyDelete
  18. finally, dpt gak n3 kali ni slps tunggu beberape hari, teruja nk baca n3 RM....ayat2 cinta yg membuai perasaan.

    ReplyDelete
  19. Tak tahu nak komen apa....apa2 pun best sangat.

    ReplyDelete
  20. wah.. resa peluk zaf sendiri..
    dasyat jugak minah nih.. hehe

    ReplyDelete
  21. zaf ni mmg mmpu buat kita cair dgn ayt dia...resa jgn risau.kerna sekali cinta,akn tetap cinta.

    ReplyDelete