Thursday, July 19, 2012

Untuk Dia [17]


BAB 17

WAJAH ini aku sembamkan ke bantal.  Menangis dan terus menangis.  Teresak-esak mengenangkan yang aku dan Zafrin bakal terpisah oleh waktu dan cita-cita.  Pertama kali dalam hidup aku bercinta, begini cabarannya. 

“Janganlah macam ni, Mi,” pujuk Aziana.  Dia mengucap belakang aku sikit. 
Aku terus diam.  Airmata yang mengalir tak mahu berhenti.  Aku menggeleng dan terus menekup wajah aku dengan bantal biarpun aku berpaling mengadap Aziana.
“Kau tak boleh macam ni, Mi.  Kejap lagi nak balik kampung.  Bengkak mata karang.  Macam mana kau nak bawa motor nanti?”  tanya Aziana.  Aku dengar suaranya bagaikan menahan geram. 
“Aku sedih ni…”
“Aku tahulah  kau sedih, Mi.  Tapi, inikan untuk kebaikan kau jugak.  Eloklah tu Rin nak pergi belajar.  Bukan nak pergi berperang mati tapi kau kena ingat, pergi belajar tu pun satu jihad tau.  Tengok nawaitu dan setiap langkah tu Allah akan berkati.  Kita kat sini mendoakan dia sudahlah.  Yang kau menangis macam nak suruh dia pergi berperang je, kenapa?”  soal Aziana sinis.
Emm… betul jugak tu apa  yang Aziana cakap tu.  Pergi menuntut ilmu itu juga suatu jihad.  Setiap langkah akan diberkati asalkan niat kita benar dan lurus kerana Allah.  Aku tarik bantal  yang menutup wajah.  Mata yang basah, aku lap dengan hujung lengan baju.  Mata Aziana aku pandang. 
“Aku rindu dia…” 
Aziana senyum.  “Ya aku tahu.  Tapi ini  untuk kebaikan jugak.  Biarlah Rin pergi.  Kau yang suruh, kan?” 
“Aku tahu tapi entahlah.  Ingatkan kuat tapi tak pun,” tukasku bersama keluhan tipis. 
Tubuh ini aku angkat dan duduk di birai katil bersebelahan dengan Aziana.  Bahuku ditepuk lagi memberi semangat dan menyuntik sedikit sabar. 
“Dahlah.  Tak payah fikir yang lain-lain.  Tunggu masa Rin berangkat je nanti.  Bila dia nak berangkat?”  soal Aziana.
“Minggu depan.”
“Emm… tak lama dah tu.  Aku nak balik kampung dah.  Nanti tak sempatlah nak hantar Rin sama.  Kau kirim salam pada dia nanti,  ya?”  pesan Aziana dan aku hanya mengangguk lemah.
Sungguh aku rindu Zafrin.  Rasanya sejak kami bersama ni, tak pernah sekalipun aku ungkapkan rasa rindu dan cinta pada dia.  Hanya tingkah yang menggambarkan rasa.  Teringat pula pada perbualan terakhir kami semalam hingga membawa kami berpisah pada petang semalam dengan wajah yang keruh.
“Hari ni aku nak minta sesuatu dari kau, Mi…”  Itulah ayat Zafrin saat aku mahu sarung topi keledar. 
Aku pandang dia.  “Apa?” 
“Boleh tak kau kata kau cinta aku?  Dari pertama kali memang cinta kau ada  untuk aku dan bila kita terpisah ni, kau rindu gila dekat aku,” ujarnya. 
Aku ketap bibir.  Kelu tak tahu nak kata apa dengan permintaan Zafrin.  Memang benar aku tak pernah ungkap kata-kata itu dan aku tahu Zafrin juga tahu yang aku memang cintakan dia.  Rindu apatah lagi. 
“Tak kan kau tak boleh nak baca?”  soal aku pada dia. 
“Aku boleh rasa tapi aku nak dengar.  Rasa dengan hati, dengar dengan telinga.  Tak sama tu,” selanya masih berharap. 
Aku diamkan diri saja.  Tak tahu nak jawab apa.  Berat lidah nak bertutur sudahnya.  Jiwa pun kemain sarat dengan rasa sayu.  Tinggal nak mengalirkan airmata saja buat ke sekian kali bagi menggambarkan rasa pedih yang mencucuk hati. 
“Boleh tak, Mi?”  tanya Zafrin lagi sedikit mendesak kali ni.
Aku masih membatu.  Kalau dia boleh rasa, buat apa dia nak tanya?  Tapi dah dia kata berbeza, aku sendiri tidak tahu apa maksud perbezaan itu sedang pada aku, rasa di hati itu lebih indah dari ungkapan di bibir yang boleh jadi wayang semata-mata. 
“Cukuplah kau rasa dengan hati je, Rin.  Kau tahu macam mana hati aku rasa untuk kau,” putus aku dan aku sarungkan topi keledar itu membiarkan Zafrin memandang aku saja.  
“Tak apalah, Mi… Aku harap kau boleh cakap bila hari aku nak berangkat nanti,” jawab dia dalam senyum terpaksa. 
“Hah… ingat apa tu?” 
Sergahan Aziana membawa wajah dan peristiwa semalam bersama Zafrin berlalu dari minda. 
“Ingat Rin.  Semalam dia minta kau cakap cinta pada dia.  Tapi, aku tak cakap.  Dia kata harap aku cakap masa hantar dia berangkat nanti tapi rasanya, aku tak nak pergilah.  Biarlah dia.  Janji aku tahu dia selamat sudah…”  Aku angkat tubuh dan mencapai tuala.
“Serius kau tak nak pergi?”  soal Aziana pelik.
Tiba di muka pintu bilik air, aku berpaling pada Aziana yang sedang bersandar pada pintu.  Nampak sudah bersiap hendak pulang ke kampung.
Aku angguk dan terus saja masuk ke bilik air.  Perlu bersiap hendak pulang ke kampung setelah segala perjuangan  untuk semester ini selesai.  Gilera merah itu sudah menanti untuk menjadi kuda aku kembali ke pangkuan ayah bonda. 

**

“HAQMI!!!”  Suara mak kuat melaung nama aku. 
Baru hendak bersenang-senang atas katil milik sendiri setelah tiga hari balik kampung ni, mak pulak panggil. 
“Haqmi… Anaresa telefon ni!”  sambung mak dan lagi kuat dari tadi. 
Dengan langkah malas aku keluar juga.  Sebelum tu sempat aku capai telefon bimbit.  Mati!  Padanlah Anaresa menelefon rumah. 
“Itu… Resa telefon.  Handphone mana?”  soal mak sambil menyuakan gagang itu pada aku. 
“Mati,” jawabku lemah. 
“Kalau mati bak sini.  Bagi mak tanam siap-siap alang-alang mak nak tanam cili kat belakang ni,” sinis mak dan dia terus berlalu.
Eh mak ni.  Boleh pulak dia buat lawak sedangkan dia tahu yang anak dia ni sedang bersedih cuba membendung rasa sebu mengenangkan kekasih hendak pergi jauh ni. 
“Kau kenapa?  Telefon tak dapat?”  marah Anaresa setelah aku mengucapkan hello.
“Telefon aku tak ada bateri.  Lupa nak caj dua hari dah,” akuiku.
Dia mengeluh di hujung talian.  “Padanlah Rin cakap tak dapat telefon kau.  Yang kau ni, sungguh ke tak nak hantar Rin esok ni?”  tanya Anaresa agak tegas.
“Emm… malaslah.  Aku dah cakap pada Rin.  Cukuplah dia selamat pergi dan kembali.  Aku menanti dia di sini,” ujarku berucap macam orang jiwang karat.  Memang jiwang.  Tapi tak sampai berkarat lagi. 
“Tak boleh, Mi.  Rin nak pergi kau  kenalah hantar sama.  Bukan kau sorang tapi kami semua ikut juga,” tukas Anaresa masih cuba memujuk aku.
“Tak naklah.  Aku nak rehatlah.  Aku hantar ke tidak, Rin tetap pergi.  Dia pergi belajar dan aku tak ada masalahpun.  Ni sedih kejap je.  Esok-esok aku okeylah ni,” beritahuku menyembunyikan hakikat.
“Emm… yalah kau tu.  Jangan tergolek bawah katil sudah!”  balas Anaresa sinis. 
“Kalau macam tu, tak apalah.  Aku bagitahu dekat mama dengan abah yang kau tak nak datang, ya?” 
Aku diam.  Menelan air liur sambil menahan sebak di dalam dada.  Baru nak elok, Anaresa pulak dah ungkit. 
“Kirim salam semua,” pesanku lalu aku matikan talian belumpun sempat Anaresa bersuara. 
Air mata aku menitis lagi. 
“Dah kalau sedih, pergi jelah.  Nak tahan hati kenapa?”  tanya mak entah daripada mana munculnya.  Siap dengan pisau di tangan.  Berkilat kemain. 
“Mana ada sedih,” dalihku lalu aku lap airmata yang berbaki di pipi.
“Oh, baru mak tahu airmata tanda bahagia pun boleh jadi.  Buatnya Zafrin tu pergi tak kembali, barulah ada airmata sedih, kan?”  sindir mak lagi.
Aku renung mak tajam-tajam.  Sampailah hati cakap macam tu.  Tak sayang aku lah tu.  Buatnya aku merana, siapa yang menderita?
“Mak ni… ke situ pulak.”
Mak ketawa.  “Kalau tentu pergi tak kembali pada Pencipta tak apa.  Tapi, kalau pergi tak kembali dengan orang lain, emm… masa tu pandai-pandailah kamu rawat hati kamu tu, Haqmi,” sambung mak lantas dia kembali hilang di balik pintu dapur.
Nampak sangat mengintai perbualan aku dan Anaresa tadi. 
Esoknya, usai Subuh aku masih begitu.   Berteleku di atas sejadah dalam telekung di hening pagi ini membuatkan aku semakin terasa kehilangan Zafrin.  Kata Anaresa penerbangan Haqmi pagi ni.  Dalam dua jam lagi.  Pesanan ringkas Zafrin aku terima lagi. 

            Betul xnak dtg, Mi?

Aku membalasnya pula dengan hati  yang resah gelisah.  Air mata kembali bertali arus lantas pada Allah aku panjatkan doa moga ditabahkan hati ini menerima ujian sebesar kuman ini. 

            Kalau dtg skrg mesti xsempat…

Tidak lama, Zafrin membalas pula.

            Jgn beralasan kalau xnak dtg! 

Aku tahu Zafrin marah bila dia membalas begitu.  Tanda seru itu jarang dia guna.  Hanya beberapa kali saja sejak kami berkawan ni. 
“Ya Allah, kalau pergi mampu ke aku bertahan?  Janganlah aku yang rebah dulu, Ya Allah!”  doaku tak putus-putus.

            Jaga diri kat sana nanti.  Aku tgk google, cuaca sejuk kat sana.  
Rindu aku kat sini, ya?

Aku membalas begitu saja.  Malas hendak menghangatkan rasa marah Zafrin di kala dia mahu berangkat ni.

            Nak suruh aku rindu kau, tp kau tu cuba ngaku cinta aku sekali je.

Dah sudah…macam tu pulak dia membalas.  Aku mengeluh dan wajah mak muncul lagi tiba-tiba. 
“Pergi jelah daripada dok mengeluh macam tu.  Sempat lagi ha.  Bukan jauh pun.  Karang kamu menyesal tak sudah, mak nikahkan kamu dengan orang lain nanti!”  rungut mak geram dan aku hanya mampu diam. 
Menggeleng tidak, menggangguk jauhlah sekali.  Akhirnya aku bangkit dan membuak telekung.  Mata mak aku pandang. 
“Mi takut Mi tak kuat nanti, mak,” akui aku.
“Hai… bukan ke selama ni kamu yang bagi semangat pada dia.  Emm… pergilah jelah.  Lagipun itu kan keluarga mertua Resa.  Sepupu rapat kamu tu.  Pergilah.  Mak dan cakap dekat ayah semalam.  Biar ayah hantar.  Tak payah bawa motor.  Nanti entah apa-apa boleh jadi dengan keadaan kamu yang bercelaru tu,” ujar mak dan dia berlalu.
Hah, mak lagi hebat dari aku.  Aku masih tak tahu nak pergi ke tidak, dia siap beritahu ayah suruh  jadi driver aku. 
Aku pantas berlalu ke almari.  Jeans dan t-shirt lengan panjang aku sarungkan ke tubuh.  Selendang pemberian Anaresa aku belit pada kepala.  Bila aku keluar, ayah sedang minum di meja makan. 
“Hah, siap dah?”  tanya ayah sambil menghirup teh panas itu. 
Aku angguk. 
“Macam tu je ke?” soal ayah lagi sambil memerhatikan aku dan aku angguk lagi.
“Sopan dah ni,” tukasku dan ayah hanya senyum.  Aku tahu dia nak maksudkan selendang yang menutup rambut aku ni tapi dia diamkan saja. 
Aku terus berlalu ke pintu bila ayah bangkit dari duduk.  Kasut Supra itu aku sarung ke kaki.  Kali ini berwana oren.  Yang aku beli sama-sama dengan Anaresa dulu. 
Enjin Toyota Vios milik ayah dihidupkan dan terus saja ayah menekan pedal minyak menuju ke KLIA.  Berharap agar masih sempat aku bersua dengan dia sebelum dia berangkat bila Anaresa memberitahu, mereka sekeluarga ada di KLIA kini hanya menanti waktu tiba saja. 
Kami akhirnya tiba di KLIA.  Ayah menyuruh aku turun terlebih dahulu sementara di mencari tempat letak kereta.  Teringat peristiwa aku kenakan Zafrin dulu dan hari ni dia betul-betul akan menjauh. 
Telefon bimbit aku tekan.  Panggilan pada Zafrin sendiri sudah masuk ke peti suara.  Sudahnya, aku mendail nombor Anaresa juga.  Bila dia memberitahu lokasinya, aku terus berlari ke arah mereka.
Dari jauh, aku nampak mereka sekeluarga.  Zafrina juga ada sama.  Bergelak ketawa bagaikan tiada apa-apa yang berlaku sedangkan Zafrin mahu meninggalkan  mereka.  Tapi sayang, bila kelibat Zafrin tidak kelihatan. 
Detak hatiku sudah lain macam.  Aku tahan hati dan merapati mereka. 
“Assalamualaikum,” sapaku bersama lelah. 
Mereka berpaling dan menjawab salamku hampir serentak.  Aku senyum menyembunyikan resah sedangkan air jernih sedang menari-nari di tubir mata ini.
“La… kata tak nak datang?”  tanya aunty pada aku dan aku hanya senyum lagi.  Takut hendak menjawab.  Takut melalak kat sini.
“Kau lambat Mi…” bisik Anaresa pada aku. 
Aku ketap bibir.  Mengerti akan apa  yang Anaresa cuba sampaikan di sebalik ayat itu. 
“Sungguh ke?” 
“Emm… Rin dah pergi…” sampuk Abang Zafran pula. 
Makinlah nafas aku lelah.  Kenapa tak tunggu aku.  Aku bersoal jawab sendiri. 
“Emm… tak apalah, Resa.  Aku memang tak sempat.  Nak buat macam mana.  Moga dia selamat pergi dan selamat kembali jelah.  Aunty, uncle, Kak Rina… Mi balik dulu.  Ayah dah tunggu kat luar tu,” ucapku lirih tanpa memandang mereka.   Hanya berani menekur ke lantai KLIA saja kala ini. 
Bila aku hendak berpaling, Zafrina bersuara. 
“Eh… Rina tak berangkat lagi.  Mi dah nak balik?”  tanya dia. 
Aku mengerutkan dahi.  Serta-merta aku berpaling pada mereka semua yang sedang merenung aku tidak berkelip-kelip. 
“Err.. Kak Rina nak pergi mana?”  Aku menyoal pelik.
“Rina nak pergi Makassar, Indonesia.  Kat sana ada universiti perubatan.  Ada talk sikit dengan student Malaysia dekat sana,” jawab dia lembut bersama senyuman tipis.
Aku pandang Anaresa.  Dia buat muka tak bersalah kemudian pada Abang Zafran pula.  Juga sama.  Akhirnya aku pandang mama dan abah Zafrin.
“Tapi, Rin kata dia nak ke…” 
“Jerman?”  soal Uncle Zaini. 
Aku angguk. 
“Dia dah tolak offer buat master dekat Jerman tu, Mi.  Dia terima yang dalam Malaysia ni je.  Dekat UKM je.  Mi tak tahu ke?”  Giliran aunty pula bersuara. 
Aku mengeluh sendiri.  Menggeleng berkali-kali memandang Anaresa dan suaminya. 
“Tapi, tadi Resa dengan Abang Zaf…”  Huh, tak mampu bersuara lagi. 
“Abang nak cakap Rin dah pergi belikan kami makanan sikit.  Rina ni lapar pulak…”
“Ha… aku nak beritahu tadi kau lambat sampai.  Kalau tak boleh kirim sekali Rin beli untuk kau…”  sambung Anaresa pula.
Laki bini ni memang nak kena luku dengan aku agaknya.  Buat penat aku berlari, sedih segala tapi aku dipermainkan lagi sampai macam ni. 
“Kau ni kan…”
“Uiks… Mi.  Kata tak nak datang?” 
Tak sempat aku habiskan ayat, suara Zafrin menyapa gegendang telinga.  Kini dia berdiri rapat di sisi aku.
“Kau main-mainkan aku, kan?”  soal aku berbisik. 
Dia sengih.  “Datang juga kau, kan?” 
“Benci ke tak, segalanya dah terbukti.  Hari ni aku nak kau cakap kau cinta aku depan mama dan abah.  Aku nak gerenti dengan  hubungan kita ni kalau kita tak boleh kahwin sekarang,” balasnya sambil menyuakan beberapa kotak air dan roti pada Zafrina dan yang lain. 
“Kau gila!”
“Kan dah cakap, aku gilakan kau!”  tekan dia nakal. 
Aku senyum malu.  Ya Allah… mati-mati aku ingatkan dia.  Kemain semua orang kenakan aku.  Mujur aku tak menyanyi kekecewaan kat sini.  Jenuh nanti. 
“Emm… ni mama agak kamu main-mainkan Mi lagi, kan Angah?”  tanya aunty. 
Zafrin ketawa.  “Bukan mainkan.  Menguji je,” selanya dan kami semua ketawa. 
“Hai… ingatkan Along je berani, rupanya Angah lagi berani sampai pergi pinang anak dara orang sendiri,” keluh uncle sikit.  
Kali ini, giliran Zafrin ditertawakan.  Fuh, lega hati aku bila dapat tahu dia lebih memilik belajar dalam negara saja dan benar, kuliahnya bermula esok.  Aku menjeling dia. 
“Pandai kau tipu aku, kan?” 
Dia senyum dan mendekatkan bibirnya ke telinga aku bila yang lain masing-masing memeluk Zafrina. 
“Abang tak main-mainkan Mi tapi abang menagih kata cinta dari Mi untuk abang teruskan langkah abang sementara menanti takdir menolak Mi ada di sisi abang secara sah nanti,” gumamnya dan aku terkedu lagi. 
Bingitnya KLIA tak mengganggu langsung renungan Zafrin yang sesekali memandang ke lain. 
“A… a… bang?”  soalku gagap. 
Dia angguk.  “Abang cintakan Mi dan abang akan buktikan nanti kala Mi bersedia,” bisik dia lagi dan kali ini wajah aku sudah memerah.  Menebal berinci-inci tanpa mampu aku sorokkan lagi. 
Aduhai… Zafrin… memang dia menarik dan ada gaya tersendiri yang aku sendiri tak mampu menduga.

~~> bersambung

30 comments:

  1. Kan dah kata, tak sempat nak ukur jauhnya jerman si Rin tu. Tu ha dekat bumi UKM tu.. masak sampai rentung la kau Rin..miahahaha

    ReplyDelete
  2. adesss..haqmi pulak kena main ngan zafrin..balas dendam ..hihi so sweet la this couple...tahniah RM

    ReplyDelete
  3. mmg tersgt nakal la...
    ayat rin sgt menyentuh jiwa

    ReplyDelete
  4. besh3..... tb2 jatuh cintaa ngan zafrin...wait 4 the next n3 plak

    ReplyDelete
  5. entahnya memang kena main lah si mi tu..cepatlah sikit kawen nak tgk sape lagi romantik abang ke adik hehe

    ReplyDelete
  6. Aduh..jahat giler ahh Rin nie..sure dia dh pakat ngan resa & abg zaf nak kenakan haqmi balik...sian haqmi..anyway this couple so sweett..hehehe...-Syad-

    ReplyDelete
  7. RINNN.... ya allah... noty nia dia...
    dah abang pulak..
    aduhai.. besar nay pengorbanan Rin demi Haqmi..
    MIe lepas nie jgn tolak lagi...
    RM.. akak suka sangat...
    sweet sungguh..

    ReplyDelete
  8. Alahai zafrin romantiknya .....bestnya nak lagi

    ReplyDelete
  9. kureng sungguh si rin nie.. hahah.ahaha terkene si mi. abes bazir air mata
    rehan cepat kawen kan diaorg..nak tgk rin ni romantik ke x

    ReplyDelete
  10. I ada kat UKM..hehehhe leh jumpa dgn zafrin....

    ReplyDelete
  11. adoiiii...cair meleleh2 dah dgn Rin ni...hahahaha

    pandai je Rin knekan Mi..sian Mi, mujo tak meraung kt ctu...patut la Rin relax je, smbg kt UKM je rupenye...hehehe...

    ReplyDelete
  12. hahaha....dh agak dh...gaya rin tu mmg xkn dia tinggalkan mi..pandai kak rehan olah cita...

    terbaekkk

    ReplyDelete
  13. sweet yg teramat cik penulis....
    suke zafrin dgn haqmi....

    ReplyDelete
  14. kadang-kadang tertanya-tanya jugak...pembaca nie semua mmg sentiasa buka blog ijo nie ker???saya igt saya yang first,rupanya dh berderet2 komenya...anyway, RM you make my day...hehehe...

    ReplyDelete
  15. a..a..bang <~ so sweet...hehe

    nana jamil

    ReplyDelete
  16. hahhaha zafrin mmg noty..cian mi

    ReplyDelete
  17. Pandai betul Kak Long dengan Abang Long nak kenakan Mi.... kira seri lah .... hari tu Rin yang kena kt KLIA juga....hehehe.... suka...

    ReplyDelete
  18. Mmg nak kena luku la rin ni,sian ke mie.nasib dpt mak ayah baik siap bleh antar lg tu....mmg best la keluarga camni;-)u rock la RM cam hidup jea semua watak....thumbs up;-)

    ReplyDelete
  19. hampagas tui si Rin mi... dh abis air mata Mi tau.. hahahahaaaa besttt

    ReplyDelete
  20. oh.. UKM je ke? sib baik dekat.hmmm kawen je lah, x yah tunggu abih master. nnt ada student master ngorat Rin, lg haru.kak Rehan, boleh kan buat diaorg kawen awal???haha...anyway, suka entri ni.Thanks k.Rehan

    ReplyDelete
  21. wah Ann, abang ye..heehee..sweettie....

    ReplyDelete
  22. http://teman-cintahatiku.blogspot.com mengadakan pertandingan mengarang cerpen dan artikel..hadiah menarik menanti ..kepada yg berminat boleh lah lawati

    ReplyDelete
  23. haha pandai rin kenakan mi...masak lah haqmi kena tipu ngan rin

    ReplyDelete
  24. aduh....asallah si zafrin ni suweet sgt...hahah pengsan...

    ReplyDelete
  25. sje zafrin nie ye2 je org 2 dok sdih2 nk pisah jauh..skli blaja dlm mlysia je

    ReplyDelete
  26. hahaha apalah ri nie ingtkn nk g oversea btol2 rpanya nk uji mi jer...best rm..... tahniah...

    ReplyDelete
  27. JOIN NOW !!!
    Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
    Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
    BURUAN DAFTAR!
    dewa-lotto.name
    dewa-lotto.com

    ReplyDelete