Sunday, March 18, 2012

Ku Ingin Milikimu [9]

BAB 9

MUKHLIS membentak hebat. Setelah beberapa minggu aku menjadi isterinya, pertama kali dia begini.

“Apa awak buat ni, Anahara? Cuba jawab!” Suara itu terus melengking bila aku diam tidak menjawab.

Hanya tangan ini saja ligat mengemas pakaiannya ke dalam almari setelah kami ternyata berpindah dan tinggal sebumbung tapi yang membezakannya adalah bukan ke rumah sewanya di Damansara tapi ke rumah keluarganya di Bukit Jelutong.

“I am asking you, Anahara! Answer me!” bentak dia lagi lantas kertas putih itu dia lempar padaku.

Aku bangkit rapat ke almari. Berada di dalam bilik Mukhlis yang terlalu besar ini rasanya aku bagaikan berada di padang bola. Terlalu mewah. Segalanya lengkap sampaikan aku tidak susah hendak keluar daripada bilik ini.

Tanpa sedar, Mukhlis menarik lenganku. Pakaian yang baru saja hendakku letak ke dalam almari terjatuh berterabur ke kaki. Bila aku hendak mengutip, Mukhlis menahan tubuhku dari tunduk. Bahuku dicengkam kuat. Wajah itu merah padam menahan marah.

“Jawab saya, Anahara. Kenapa awak buat saya macam ni? Padanlah awak nak balik ke rumah ni. Nak tinggal dengan saya dan keluarga saya. Ini semua kehendak mama. Saya boleh terima tapi ini…” Dia suakan surat kebenaran poligami itu padaku.

“… ini saya tak boleh nak terima, Ana. Kenapa awak tak sudah-sudah nak buat saya menderita dengan semua ni. Saya tak cintakan Jeslina. Saya tak kisah kalau dia nak putuskan pertunangan kami sebab saya dah ada awak. Cukuplah pada saya. Saya tak mampu nak berlaku adil,” ucapnya lemah.

Kelopak mata kuyu itu bergenang. Aku angkat tanganku membawa jari ini menyeka airmatanya yang meniti di tubir matanya.

“Saya cintakan awak untuk lihat awak bahagia. Saya cintakan awak untuk bersama-sama awak di syurga tapi kalau awak derhaka pada mama awak, macam mana kita nak temui redha hendak ke syurga?” tanyaku lirih.

Aku sendiri hampir dijeruk airmata. Sarat saja tubir mataku melihatkan wajah lelaki yang aku cintai ini bersedih atas tindakan yang telah aku ambil tanpa pengetahuan dia di dalam usia pernikahan yang masih baru.

“Macam mana kita nak ke syurga, Ann kalau macam ni? Saya tak mampu nak berlaku adil pada keduanya dan yang paling saya takut, saya abaikan awak, Anahara. Saya sangat takut saya abaikan awak sebab Jeslina. Awak tak kenal dia. Dia keras sangat tak macam awak. Mudah beralah dan lembut hati macam ni. Atau nanti, Ann tinggal tengok saya kena bakar oleh api neraka je kalau betul Ann nak saya nikah dengan Jeslina juga.”

Dia menggeleng kesal. Aku tahu dia sedang marah tapi dia tak mampu hendak menggambarkan marah itu padaku. Jemariku diraih lalu dikucupnya lama dengan kelopak mata yang tertutup rapat.

Aku mengerti keadaan dia. Aku tahu akan apa yang sedang bergolak di dalam dadanya tapi aku tidak mahu dia mengecewakan hati orang tuanya dengan memutuskan pertunangan dan membatalkan pernikahan dia dan sepupunya Jeslina yang telah dia kenali sebelas tahun dulu hanya untuk aku yang baru dia kenali tiga bulan ini.

Jemariku aku tarik dari terus dikucupnya. Bila mata itu terbuka, sinar mata itu kian pudar. Aku gariskan senyuman dan menyentuh kedua belah pipinya dengan lembut dan mesra.

“Mukhlis, saya cinta awak dan saya jadi isteri awak dengan harapan agar saya tak bawa awak menjadi anak yang derhaka, Mukhlis. Saya terima Jeslina sebab dia yang berhak pada awak pada asalnya. Cuma, percaturan takdir menjadi saya terlebih dahulu menjadi milik awak dan dia kemudian tapi saya yakin, awak mampu cintai dia lagi dan terima dia”

Aku terus tegar memujuk dia membawa Jeslina menjadi milik dia yang sah. Tiada apa yang kurang pada mataku tentang Jeslina. Cantik andai hendak dibandingkan denganku. Setaraf model-model yang ada dengan pendidikan dari luar Negara, menjawat jawatan seorang doktor dan juga anak orang berada malah punyai pertalian erat dengan Mukhlis sendiri.

“Apa yang buatkan Ann yakin saya bahagia dengan keduanya dan apa yang buat Ann yakin yang saya tak akan abaikan Ann nanti?” soal Mukhlis padaku.

Aku tertunduk juga. Sukar hendak aku cernakan soalan itu untuk mencari sebuah jawapan yang tepat buat dia agar hatinya juga yakin seperti mana aku meyakini kasih bisu kami sebelum ini.

“Saya pegang janji awak untuk cintai saya. Awak dah miliki dan awak harus jaga amanah ni.” Aku bawa telapak tangannya ke dadaku membawa maksud yang akulah amanah untuk dia.

“Saya yakin awak akan bahagia kerana takdir Allah tak ada siapa yang tahu. Mungkin Dia berkata, awak akan punyai dua orang pelengkap tulang rusuk awak dan awak harus didik hati awak untuk menerimanya. Awak akan bahagia dengan Jeslina, sebab saya akan hadiahkan segala kebahagiaan saya buat awak dan dia dan biarlah segala penderitaan ini saya tanggung untuk awak.”

Aku mengusap lembut pipinya sekali lagi menyatakan betapa aku mahu dia mengikut kehendak mamanya.

Biarpun Puan Sri tidak sentiasa membenciku, tapi dia juga tidak pernah berkasar denganku pada perbuatannya hanya butir katanya saja yang kerap menyiat hati ini.

“Kenapa macam ni, Anahara? Saya dah cukup seksa nak miliki awak tapi kenapa sesenang itu awak nak jadikan saya milik orang lain?” tanya dia lirih.

“Saya hanya ada satu jawapan je. Sebab saya tak nak awak dibuang keluarga. Tak nak awak jadi anak derhaka.”

Aku cuba pamerkan senyuman biarpun bibir ini terasa kaku. Mukhlis diam. Dia menyapa aku ke dalam pelukannya. Erat dan sangat erat.

“Biar apa pun terjadi, saya nak awak tahu, cinta saya pada awak tak pernah pudar. Malah semakin mekar. Sungguh saya tak nak persoalkan takdir. Tapi, andai kita bersua dulu, pasti kita dah bahagia, kan?” bisiknya.

Aku usap belakang tubuhnya lembut. Agak susut dia sehari dua ini, barangkali pening memikirkan aku isterinya dan juga bakal isterinya.

“Dulu tu, saya tak menulis lagi. Jadi, awak tak mungkin kenal Ann Rahana kot. Saya baru lagi menulis ni, jadi awak kenal Ann Rahana dan awak kenal Anahara Rahman. Jadi, hari ni, kita berada di sini sebagai suami isteri yang sah,” balasku mengusik dia.

Mukhlis menolak bahuku lembut. Mata kami bersabung lagi. “Buat lawak ya?” tanya dia sambil ketawa kecil.

“Saya memang suka buat lawak apa?”

Dia mencemik. “Tapi, satu je saya nak tanya Ann.”

“Apa dia?”

Mukhlis menarik dadaku rapat ke dadanya. Tak ada ruang lagi hendak aku mengelak pipiku dari menerima kucupannya.

“Ann tak ada rasa cemburu ke?”

Aku menggeleng. “Nak cemburu buat apa?”

“Pelik… biasanya perempuan ni penuh dengan rasa cemburu. Merajuk mungkin?” tebak dia tidak berpuas hati bila aku berkata tidak.

“Betullah tu tapi pada saya, buat apa nak cemburu kalau saya percayakan awak. Bagi saya, cemburu tu tanda kepercayaan sebab saya dah memang sedia sayang. Mungkin ada sesekali saya cemburu tak kena tempat atau masa tapi rasanya itu sekadar nak menguji cinta awak je. Setakat ni, tak ada apa yang nak saya cemburukan. Nak merajuk? Jauhlah sekali. Bila saya merajuk tu, rasanya saya saja nak bermanja dengan orang yang saya sayang. Tak lebih dari tu. Kejap ke, lepas tu okeylah,” jawabku jujur.

“Emm… agak peliklah penulis ni, ya?”

“Hai, penulis ya? Kalau penulis, kena layan peminatlah macam ni, kan?”

Mukhlis menggeleng dan berdehem kasar.

“Dengan saya, sila layan saya je. Orang lain tak boleh. Tak nak kongsi, kan dah pernah cakap,” tukas dia tegas.

Aku ketawa halus. “Dah tu, kata penulis. Hari tu kata tak kisah kalau peminat rebutkan Ann Rahana, tapi tak boleh pandang pun Anahara, kan?”

Dia angguk laju. “Betullah tu, saya tak kisah diorang nak rebutkan Ann Rahana sebab tu penulis sangatlah perahsia orangnya. Yang saya nak sekarang tiap-tiap masa dengan saya, adalah Anahara binti Rahmah je.”

“Emm… kalau asyik jadi Anahara je, bila masa nak menaip cerita. Tak siaplah manuskrip macam ni?” Sengaja aku muncungkan bibir.

Tanpa sedar, Mukhlis mengucup bibirku pantas. Terpana aku dibuatnya lalu aku tekup mulutku. Terkejut kerana segalanya pertama kali.

Dia ketawa. “Tahu takut. Awak boleh menaip, menulis. Tapi, ni kan saya ada. Kenalah layan saya dulu. Nanti, dah menaip saya baca cerita tu, ya?”

“Eh… mana boleh.” Aku menggeleng tanda tidak mahu.

“Kenapa? Selama ni saya jadik proof reader Ann apa? Cerita orang lain pun banyak saya komen. Naik bengkak biji mata saya ni,” luah dia tak puas hati.

“Mana boleh. Dulu tak kenal Anahara boleh je tunggu update dekat blog Ann Rahana. Sekarang dah ada Anahara nak jalan pintas, ya? Tak boleh, tak boleh. Nanti awak cerita dekat semua orang jalan cerita saya, macam mana. Dah kena marah dengan penerbit.”

“Kalau macam tu, siapkan dulu. Saya tinggal cari buku dekat MPH ke, Popular jelah. Buku isteri sendiri sebab isteri saya seorang penulis yang sangat kedekut dengan kisah di sebalik cerita dia,” ejek dia bersama senyuman.

Langsung hilang wajah tegangnya sebentar tadi. Aku hela nafas lega. Setidak-tidaknya senyuman ini menjadi milikku buat masa ini. Tapi, menjelang beberapa hari lagi, aku bakal berkongsi lantas aku bawa telingaku rapat ke dadanya.

Aku sembamkan wajah di dada itu buat pertama kalinya. Ingin mendengar detak jantung itu sementara irama itu hanya berbisik namaku.

Rasanya sudah sampai waktu, aku melayani Mukhlis sebagai mana dia berhak. Aku ingin merasai hangatnya sentuhan kasih sayangnya dan aku juga mahu dia nikmati belaian kasih sayang seorang isteri yang dia cintai.

Memanggil dia seperti mana harusnya seorang isteri memanggil seorang suami sebagai tanda hormat dan menggelarkan diriku semesra mungkin agar halwa telinga itu mampu menerima segalanya dengan tenang.

“Sebelum Ann perlu berkongsi abang dengan orang lain, izinkan Ann rasai degupan jantung abang. Izinkan Ann laksanakan tanggungjawab Ann sementara abang milik Ann seorang ni,” ucapku menahan perasaan. Memanggilnya selayaknya dia.

Kala ini, pelukan Mukhlis semakin erat dan terlalu erat. Hampir terjerut aku dengan nafas sendiri waktu ini.
Aku dengar esakan halus Mukhlis di telingaku. Dia menolak bahuku dan mengucup segenap wajahku bertalu-talu tanpa ada tanda hendak berhenti. Dari dahi turun ke hidung, membawa ke kedua belah pipiku, dagu dan akhirnya hinggap lama di bibirku.

Aku pejam mata erat kala ini. Memohon kekuatan hati dan ketabahan jiwa untuk aku lalui hari-hari yang mendatang seperti mana yang telah takdir suratkan buatku kerana yang tersirat akan menjelma nanti.

Janji Allah pasti dan aku yakininya bila Allah kemudiakan niatku ke arah ini, Dia Maha Tahu yang terbaik buatku.

Bila bibir kami terlepas tautannya, Mukhlis memandangku dengan sinar mata yang bersinar galak. Mata kuyu itu agak luas renungannya.

Bila Mukhlis menuntunku ke katil, aku hanya mengikut langkahnya dengan detak hati yang tak mahu reda. Bila dia merangkul tubuhku erat, aku hanya mampu membalas kerana aku cinta dia dan kasih ini akan menjadi milik dia selamanya.

“Abang dah lama bersedia untuk Ann. Izinkan abang buktikan cinta abang pada Ann setelah abang milikimu, sayang…,” balas dia pula dan aku mengangguk menerima kehadiran dia dalam diriku.

~~> bersambung

7 comments:

  1. akak jangab wat ending mcm cerpen tu ya.. pleashhh

    ReplyDelete
    Replies
    1. bto3....x nk3.....sedey la...
      -aniscute-

      Delete
    2. salam...btl3!!!
      xnk ending mcm dlm cerpen...klu blh biar diorg rujuk balik...hehe

      Delete
  2. yup.sy nak dorg rujuk balik!sy x mo sad ending!!

    ReplyDelete
  3. sy suka cter ni walaupn ending sedih..sbb x smua benda berakhir dgn kbahagian..i2 lah realiti kehidupan..
    wah dh kwen..pas ni msti part sedih bila laki dia kwen...huhuhuhu..-miss A-

    ReplyDelete
  4. nak ann balik dgn muklis boleh?huhuhu

    ReplyDelete
  5. cter ni sadis tp dlm tangis ada senyum.hidup ni bukn tiap2 hari indah.

    ReplyDelete