Sunday, May 20, 2012

Suami Tak Kuhadap 5

BAB 5

AKU menggelepur ganas. Tangannya aku tampar berkali-kali. Cuba meleraikan pelukan lengan sasanya di pinggangku.

“Lepaskan aku, bodoh! Kau nak apa ni sampai sanggup tunggu aku balik kerja ni? Mana kau tahu aku kerja kat sini, setan?” marahku bertubi-tubi.

Dia diam namun aku rasa sebelah tangannya lagi menyelak rambutku membawa bibirnya dekat ke telinga. Hembusan nafas hangatnya menyapa lembut cuping telinga membawa sedikit rasa asing dalam diri namun cepat-cepat aku kembali ke reality bila bibirnya melekap ke telingaku seketika.



“Kau memang bangsat, Budriz! Apa yang kau nak, hah?” tempikku kuat. Bergema seluruh kawasan letak kereta ini.

“Abang nak Syai ikut abang kejap je. Abang janji akan lepaskan Syai,” bisik dia.

Aku hela nafas yang semakin lelah. Berada di pelukan lelaki ini bisa mengundang rasa marah yang membuak-buak.

“Baiklah. Kau lepaskan aku dulu sebelum aku bertindak lebih dari apa yang aku mampu buat, Budriz,” ugutku.

Budriz ketawa halus. “Syai janji dengan abang dulu. Ikut abang nanti.” Dia cuba mengajak aku berkompromi pula.

Lengannya aku tolak kuat namun langsung tiada tanda hendak terlepas hingga akhirnya aku paksa diriku mengangguk saja.

“Lepaskan aku,” pintaku dengan kudrat yang hampir tiada.

Dia akhirnya meleraikan pelukannya di pinggangku namun, lengan ini pula menjadi mangsanya. Penat cuba melepaskan diri, aku akhirnya mengalah dan kereta Subaru Impreza milik Budriz meluncur laju setelah dia berjaya diamkan aku namun tangannya tetap kukuh memaut lenganku.

“Eh, lepaskan tangan aku boleh tak?” bentakku marah.

Dia senyum. “Lepaskan Syai moga senang Syai nak terjun nanti?” sindir dia padaku.

Aku ketap bibir menahan geram yang sememangnya sudah sampai ke sampai ke kepala.

“Eh, kau ingat aku gila macam kau ke nak terjun tengah-tengah jalan raya dalam kelajuan kau sekarang ni, hah?”

AKu intai tahap kelajuannya. Hampir mencecah 120km/jam. Malah semakin ditekan pedal minyak bila jalan raya agak lengang.

“Abang tak gila tapi yang abang tahu Syai yang mungkin gila. Syai bukan boleh percaya sangat. Bukan ke Syai lagi sanggup mati dari jumpa abang, kan?” Suara itu berterusan menyindir dalam senyuman yang membuatkan aku hampir saja mencakar wajahnya dengan tangan kiri.

“Memang pun!” tekanku tak kalah.

“Heh, Budriz! Aku memang lebih rela mati dari terus hadap muka kau ni lah. Hidup aku memang jahanam sebab kau, tau tak?” marahku sambil terus cuba melepaskan tanganku dari genggamannya.

“Stop it, Syai. Abang tengah memandu,” larang dia bila aku menggelupur.

Langsung tidak dihiraukan amarahku padanya. Langsung tidak berbekas maki hamunku pada dia. Bagaikan berdepan dengan lelaki yang tidak berhati dan perasaan.

“Kau tu lepaskan akulah, beruk!” marahku lagi.

Kali ini Budriz ketawa lepas. “Tak puas Syai simbah abang dengan Coke, lepas tu dengan sirap. Ada niat nak simbah acid, ni Syai panggil abang beruk pulak?”

“Habis tu? Kau nak aku gelar kau apa? Kalau memang perangai kau ni memang macam beruk!”

“Syai pernah kawan dengan beruk ke?” sinis dia.

“Kalau beruk kat hutan tu aku lagi sangguplah dari kawan dengan beruk macam kau ni!”

Tawa Budriz mati. Dia ketap bibirnya kuat. “Abang lepaskan dan abang minta maaf paksa Syai ikut abang tadi sebab abang tahu, kalau abang minta dengan cara baik, hanya penolakan Syai yang abang terima,” ucap dia perlahan.

Serentak itu, tanganku juga dilepaskan dan pedal minyak ditekan lagi. Berdesup Subaru biru ini meluncur membelah jalan menuju ke arah destinasi yang aku sendiri tidak pasti. Namun, ada satu bisikan yang hampir pasti. Aku dia, dan Budriz juga sama.

Seperti yang ku telah, ternyata benar bila Budriz sedang membelok ke dalam pagar sebuah rumah banglo setingkat yang sederhana besarnya itu. Aku yakin inilah tempat ayah tinggal selama ini. Aku yakin dia tak akan pulang ke rumah lama kami lagi dan aku sendiri hanya beberapa kali menjenguk ke sana.

Bukan tidak sudi, malah setiap kali aku ke sana, ada memori lalu yang terbayang di mata ini. Hinggakan aku terasa hendak dibutakan saja mataku. Ingatan yang tak mungkin aku lupakan. Melainkan Tuhan berkehendakkan demikian.

“Kita dah sampai, Syai,” ucap Budriz lembut.

Dia membuka tali keledarnya dan bila aku hanya terkaku, dia mendekatkan tubuhnya padaku lalu dia buka tali pinggang keledar yang membelit tubuhku, membawa susuk tubuh kami agar rapat dan hembusan nafas hangatnya menyapa pipiku lembut.

Bila aku kalih padanya, dia gariskan senyuman. Wajah bersih dan cerah itu dekat di mata. Wajah keturunan darah Arab yang membuatkan aku jengkel padanya. Jengkel dengan segalanya tentang dia.

Semakin aku renung dia, semakin masa itu berundur laju. Semakin aku pandang anak mata hitam pekat itu lama, semakin berdarah hatiku.

***

PULANG dari sekolah petang itu, aku terus berlari naik ke rumah bila mendengarkan suara ibu sedang menangis. Beg sekolah aku campak entah ke mana. Cepat-cepat aku paut tubuh ibu yang sedang menangis terduduk di tengah ruang tamu.

“Kenapa, bu?” tanyaku resah.

Detak hati ini sudah tidak kena sana sini. Risau melihatkan ibu. Sudahlah dia tidak sihat mana. Seawal usia dua belas tahun, aku semakin mengerti akan duka yang ibu tanggung dan kesakitan yang ayah berikan.

Aku intai ke bilik. Telinga ini terdengar bunyi orang sedang berkemas saja. Kemudian aku pandang ibu yang juga memeluk tubuhku dan teresak-esak.

“Ibu kenapa?” soalku sekali lagi.

Tubuhnya aku tolak. Bening mata yang basah dengan air jernih itu aku tatap dalam-dalam. Rabak hati melihatkan wanita kesayanganku ini mengalirkan airmata.

“Ayah nak pergi dari kita, Syai…” jawab ibu tersangkut-sangkut.

“Ayah nak pergi mana?” Kalut sejenak aku bila ibu berkata begitu.

“Ayah… ayah…”

Suara ibu mati lagi. Aku tahu dia tidak mampu meneruskan kata. Langsung tubuh itu aku paut erat sekali lagi.

“Ayah keluar dari rumah sementara. Syai jaga ibu,” ujar ayah tiba-tiba muncul di belakangku dengan beg besar yang diseretnya.

“Duit belanja semua ayah dah tinggal dalam bilik tu. Duit ubat ibu semua, Syai beli nanti. Tak cukup minta dengan ayah,” sambung dia dingin.

“Ayah nak pergi mana?”

“Ayah nak tinggal dengan Mak Usu. Tak tahu bila ibu kamu nak sihat.”

“Tapi kenapa ayah? Ibu kan sakit?”

“Sebab ibu kamu sakitlah Syai ayah nak tinggal dengan Mak Usu. Kamu tak faham sebab kamu budak lagi, Syai. Nanti kamu dah besar sikit nanti kamu faham. Ayah lelaki, Syai. Ayah perlukan isteri tapi ibu kamu tak mampu semua tu dah,” beritahu ayah.

Berkerut dahiku hendak mencerna apakah maksud ayah. Aku pandang ibu yang masih mengalirkan airmata.

“Ayah… jangan tinggalkan kami, yah. Syai sekolah. Syai tak ada masa sangat nak tengok ibu. Lagipun, ibu sakit, kan? Tanggungjawab ayah jaga ibu dan Syai, yah,” rayuku lagi.

Airmata semakin lebat mengalir di pipi. Penat ku seka airmata ibu namun tak mampu aku seka airmata sendiri. Langkah ayah maju ke pintu. Dia kalih seketika kepada kami dan menggamit aku mendekat pada dia.

Pelukan pada ibu terlerai dan aku berlari pada ayah lalu aku peluk tubuhnya erat. Tidak pernah sekalipun ayah memelukku. Hanya aku yang memeluknya dan inilah buat kali pertama dan boleh jadi buat kali yang terakhir.

“Syai jaga ibu. Apa-apa hal, telefon ayah. Duit ke apa ke? Lagipun, tempat kerja ayah dekat dengan rumah Mak Usu. Nanti ayah balik jenguk Syai dengan ibu, ya?”

Ayah renung mataku dengan mata yang merah. Dia kucup dahiku buat pertama kalinya sejak aku kenal erti sebuah kehidupan.

“Jangan pergi, yah. Ibu perlukan ayah. Syai pun,” rayuku bersama tangis.

“Syai tak faham. Nanti Syai akan faham satu hari nanti,” ujar ayah lalu dia tolak tubuhku dan terus berlalu menuruni anak tangga dan terus masuk ke dalam perut keretanya.

Perginya yang entahkan kembali entahkan tidak, aku sendiri tidak pasti. Yang pasti, bila aku kalih, ibu terbaring lesu di atas lantai.

“Ibu!!!” tempikku.

“Syai…”

Jasad ibu hilang menjauh. Suara Budriz pula dekat di telinga. Tidak sedar berapa lama aku merenung wajah dia dan melarikan ingatanku pada ingatan yang lama. Titik di mana aku didik hatiku berdiri sendiri. Tanpa bantuan ayah sedikit pun setelah dia tekad meninggalkan kami demi wanita lain.

“Errr…kat mana ni?” soalku pada dia.

Budriz telan liur berkali-kali. Wajah itu tetap rapat padaku. Wajah tanpa riak sedangkan dadanya kian berombak. Dia sedikit pun tiada tanda hendak menjauh hinggalah aku tolak dada bidangnya menjauh dariku.

“Kau bawa aku ke mana ni, Budriz?” tanyaku lagi. Sengaja aku tinggikan suara kali ini.

Biarpun aku sendiri sudah tahu di manakah tempat ini. Namun, aku masih berharap Budriz menafikan hakikat.

Dia nampak gamam. “Err… kat rumah abang. Rumah Syai jugak,” ujarnya lemah.

Dia tolak pintu kereta dan aku hanya membatu saja hinggalah Budriz membuka pintu untukku dan meminta aku turun.

“Hantar aku balik. Aku tak suka datang sini,” suruhku mengeraskan tubuh.

Dia menggeleng. “Tak mudah abang bawa Syai ke sini dan jangan ingat semudah itu abang akan hantar Syai balik.”
Dia cuba menarik lenganku namun aku pantas mengelak.

“Turun, Syai,” pintanya lembut.

Aku menggeleng.

“Abang minta sekali lagi. Syai turun, ya?”

“Kalau aku tak nak turun?” cabarku.

Dia gariskan senyuman menampakkan giginya yang putih bersih dan tersusun rapi itu. Tubuhnya dia bongkokkan sikit dan tak semena-mena, dia cuba mencempung tubuhku ke dalam pelukannya.

“Eh, kau jangan kurang ajar, ya Budriz!” marahku sambil menampar kuat tangannya.

“Syai yang suka cabar abang dan buat abang jadi kurang ajar macam Syai,” sindir dia lantas dia menjauh sedikit memberi peluang padaku untuk ke luar.

Lambat-lambat aku keluar dari perut kereta Budriz dan kaki ini pegun langsung. Kaku bagaikan tiada berdaya hendak melangkah. Menggeletar lutut ini. Entah bagaimana hendak kuhadap wajah mereka setelah bertahun tidak bersua? Aku tidak tahu.

“Assalamulaikum,” laung Budriz bila dia mendekat ke pintu.

Aku masih terkaku di tempat aku berdiri tadi. Melihat ke arah kereta lama ayah, ada sakit yang menusuk hati. Teringat kala aku bersusah payah menahan teksi untuk menghantar ibu ke klinik kerana ayah tidak dapat pulang hari tu.

“Bonda!” laung Budriz lagi dan tidak lama setelah itu, pintu dikuak dari dalam.

Aku lihat Budriz tunduk menyalami wajah wanita yang menjadi kebencianku selama ini. Aku kecilkan anak mata hendak melihat wajahnya tapi tanpa kuduga, bahuku ditepuk dahi belakang.

“Syai ke? Syaima ke?”

Aku pejam mata erat. Tak mampu hendak berpaling bila suara itu hadir lagi mengetuk gegendang telingaku setelah sekian lama suara itu sirna dari diri ini.

“Syai ke?”

Aku buka mata dan aku lihat, Budriz dan bondanya sedang menapak ke arahku dan yakinlah aku bahawa ayah sedang berdiri di belakangku.

“Aku nak balik!” tekanku pada Budriz setelah dia berada tepat di depanku.

Wajah Mak Usu langsung tidak ku pandang. Jijik hendak melihatnya. Rasa berdarah anak mataku nanti.

“Syai baru sampai ke? Kenapa dah nak balik? Siang malam ayah berdoa moga Riz dapat cari Syai. Alhamdulillah akhirnya Allah makbulkan doa ayah,” ujar dia lagi.

Budriz senyum. Mak Usu juga dan bila dia mahu hendak menyapa tanganku ke dalam genggamannya, aku menepis kuat.

“Jangan sentuh, Syai!” larangku bersama sisa hormat yang masih berbaki.

Wajah Mak Usu berubah. Budriz juga. Ayah kini sudah beralih tempat. Tepat berdiri tegak di depanku lengkap dengan baju Melayu, kain pelikat dan kopiah. Nampak lain dia sekarang. Nampak ada nur di wajahnya namun sinar cahaya itu tak mampu mengembalikan zaman laluku yang kelam.

“Syai,” panggil ayah lalu dia juga angkat tangannya meminta aku menyalami. Namun aku pandang sepi saja. Tiada berminat.

Seperti mana dia memandang aku dan arwah ibu kala dulu. Di mana dia hanya memandang sepi rayuan dan tangisan kami kala itu.

“Emm… tak apalah, bang. Kita masuk dulu. Syai, mari masuk ke dalam dulu. Dekat nak Maghrib dah ni,” ajak Mak Usu. Dia ukir sekuntum senyum yang agak janggal.

Dia dan ayah mengeluh berat lalu melangkah perlahan menuju ke arah pintu. Aku pula masih tidak berganjak. Diam terpaku. Kejung segala saraf dan sendi.

“Masuk, Syai,” ajak dia.

Aku menggeleng. “Aku tak sudi nak jejakkan kaki ke dalam rumah orang yang rampas kebahagiaan aku dan ibu aku, Budriz!”
Rasanya wajah ini sudah merah dan menyinga.

“Masuk dulu, Syai. Jangan macam ni lagi. Boleh tak?” Dia mengeluh.

Mata itu aku renung tajam-tajam. “Habis tu, kau nak aku macam mana? Kau nak aku macam mana?” soalku keras.

“Abang tak nak Syai macam mana-mana pun. Cuma hormat sikit pada ayah dan bonda. Boleh tak?”

Aku ketawa sinis. Tawa yang sengaja aku buat-buat. Tawa plastik.

“Eh, kalau dulu pun aku dah hilang segala rasa hormat aku pada keluarga bahagia kau ni, kenapa sekarang kau rasa aku akan hormat kau dan keluarga kau, Budriz?”

“Sebab keluarga abang adalah keluarga Syai jugak. Susah sangat ke nak faham?” bentak dia geram.

“Aku dah lama faham, Budriz. Dah lama aku faham yang aku memang tak ada tempat dalam hati ayah setelah dia nikahi bonda kau dan lebihkan kau sebagai anak tirinya dalam segala hal. Kau tak akan tahu apa yang aku rasa masa tu, Budriz. Kau dan bonda kau tak akan tahu!” tekanku dengan tubir mata yang terasa suam.

Bertahan dari bertindak lebih dasyat dari ini hingga menyebabkan aku hampir mengalirkan airmata. Menahan diri dari marah.

“Abang faham, Syai. Abang dan bonda faham. Kami faham…”

“Apa yang korang faham? Apa?”

“Apa yang Syai sendiri tak akan pernah faham,” jawab dia beremosi penuh makna.

Renungannya kian redup merenungku. Ada satu tikaman asing di dalam renungannya yang aku sendiri sukar untuk mengertikan.

***

SUARA ayah agak serak. Aku tahu dia menangis. Mata Mak Usu juga merah dan aku tahu dia juga bersedih. Tapi, untuk apa aku sendiri tidak tahu. Untuk siapa, aku juga tidak tahu.

Makan malam sepi. Sebiji nasi pun aku tidak sua ke mulut. Ayah memujuk. Mak Usu juga sama. Budriz mengeluh namun aku tidak mampu menerima semua ini. Terbayang di mataku betapa sukar aku memujuk ibu untuk menelan sesuap nasi demi kudratnya yang semakin tiada.

Sukarnya aku hadapi makanan bersendirian bila ibu pergi. Segalanya sukar waktu itu. Terlalu payah tapi mereka galak ketawa di meja makan. Menikmati waktu-waktu bersama, membiarkan aku sendiri berperang dengan nasib.

“Minum susu ni, Syai,” suruh Mak Usu. Dia suakan segela susu suam padaku.

Aku menggeleng. “Syai tak dahaga.”

“Tapi, Syai tak makan malam tadi, kan?” tanya dia risau.

Serta merta aku angkat tubuh. Wajah tua itu aku pandang lagi. Masih anggun dan bergaya biarpun rambut itu sudah diserang uban.

“Syai makan ke tidak, Syai punya suka. Syai tak makan sehari pun tak matilah! Toksah nak tunjuk baik dengan Syai. Syai benci!”

Aku membentak kuat lantas aku cuba berlalu namun di tahan oleh Budriz yang muncul entah bila.

“BOnda sayangkan Syai. Kami sayangkan Syai. Kenapa payah sangat Syai nak terima kebaikan kami?” soal dia.

“Eh, kebaikan apa? Kebaikan apa yang kau maksudkan?” soalku pula.

Budriz, Mak Usu dan ayah mengeluh lagi. Ayah diam terduduk. Budriz pula hanya memandangku sepi dan kemudiannya beralih pula pada bondanya yang nampak sedang bertahan dari mengalirkan airmata.

“Apa yang Syai nak abang dan bonda serta ayah buat untuk Syai terima kami dalam hidup Syai?” tanya dia lagi.

“Apa yang kau kena buat, ya?” Aku bersuara penuh sindiran. Budriz angguk dan Mak Usu juga. Hanya ayah yang masih diam.

“Kembalikan zaman remaja aku yang telah korang hancurkan. Kembalikan ibu pada aku. kembalikan semuanya dan masa tu, aku akan pertimbangkan kebaikan yang korang nak bagi aku ni,” sambungku.

“Astaghfirullah, Syai… Syai cakap apa ni? Syai sedar tak yang Syai sedang persoalkan takdir?” jerkah ayah.

Aku kalih pada dia. “Sebab takdir hidup Syai tak mungkin terjangkau oleh fikiran orang bahagia macam kalian semua. Takdir hidup Nur Syaima ni tak mungkin terjangkau oleh fikiran Encik Syakri sekeluarga,” bisikku sedikit bersendu.

Lemah rasanya waktu ini kala aku merindui ibu. Pedihnya hati kian menyiat-nyiat semangat yang ada kala tergambarkan seraut wajah pucat ibu yang kaku. Kembali ke sisi pencipta kerana sakit di pangkal rahim. Membawa tekanan yang memuncak bila ayah juga berlalu.

“Ayah minta maaf, Syai… Mungkin Syai tak tahu betapa kesalnya ayah waktu tu. Andai waktu boleh diputar kembali…”

“Tapi sayang kerana waktu itu tetap melewati pergi dan Syai mendidik hati hidup dalam kegelapan sendiri,” cantasku.

Bila mataku dan ayah bertaut, langsung tiada kemesraan yang aku rasakan. Tidak sedikitpun dapat ku lihat kekesalan dalam matanya aku aku sendiri sudah buta dengan kebencian.

Airmatanya mengalir laju namun tidak langsung berbekas untukku. Aku kalih pula pada Mak Usu dan Budriz.

“Bonda salah pada Syai dan arwah ibu, Syai.” Dia bersuara lemah dalam tangisan.

“Terima kasih sebab sudi akui salah tu pada Syai dan arwah ibu. Hukum karma tidak kira siapa. Selama sepuluh tahun Syai mampu sendiri dan hari ni, sebab BUdriz membawa kita bersua semula, cukuplah untuk kali ini. Sebab Syai takut, lepas pertemuan kita yang lain nanti, Syai bukan lagi macam ni,” ujarku penuh makna.

“Dan kau Budriz…” Aku merenung mata Budriz yang nampak merah saga.

“Jangan muncul lagi depan aku sebab aku akan musnahkan seluruh hidup kau tanpa berfikir dua kali lagi. Lepaskan aku sendiri. Janji kau pada ayah dah terlunas. Kita dah ada pertemuan dan lepas ni, jangan ada pertemuan lagi!” tegasku.

Aku terus menapak ke pintu besar yang sedia terngaga luas bagaikan mengerti akan keadaanku yang mahu segera berlalu. Sebelum sempat aku melepasi ambang pintu, langkahku terpaku sendiri lalu aku berpaling pada mereka dan aku hadiahkan mereka seulas senyum.

“Kerana semua orang tak akan pernah mengerti dan memahami apa yang kami lalui dulu. Cukuplah kami yang faham akan rasa hati kami,” sinisku lantas aku panjangkan langkah laju menuju ke arah pagar yang masih tertutup.

Baru saja aku tolak pintu pagar itu, suara Budriz menyapa lagi.

“Abang faham. Dari dulu, kini dan mungkin selamanya, Syai tak akan faham apa yang abang faham,” sambung dia.

Aku telan liur berkali-kali. Malas hendak bertekak lagi, aku palingkan tubuh dan bersedia hendak berlalu bila Budriz menarik tubuhku ke dalam pelukannya. Erat bagaikan tidak mahu dilepaskan lagi.

“Rasa degup jantung abang Syai. Rasa dengan hati bukan dengan kemarahan Syai,” bisik dia dan kali ini, aku tergamam sendiri.

Tidak mengerti akan apa yang dipinta olehnya lantas aku angkat kepalaku namun pandangan ini terlebih dahulu ditikam oleh renungan Mak Usu yang nampak berair matanya.

Apakah ini? Bersoal jawab hatiku sendiri.

~~> bersambung

69 comments:

  1. perghhhhhhhhhhhhhhh....kesian dekat ibu syai, ditinggalkan kerana sakit...:'(

    ReplyDelete
  2. owhhhh no.....makin menarik nie..heheh3

    ReplyDelete
  3. tk tahan...setiap jam jenguk nk tau apa yg jadi lepas ni...

    ReplyDelete
  4. mudah jadi lelaki kan?
    bila isteri sakit mencari yang lain,
    tapi selalunya isteri akan bersusah payah
    berkorban menjaga suami yang sakit...
    tidak terfikir pun mencari yang lain..

    ReplyDelete
    Replies
    1. x semestinya... tgk jugak jenis lelaki yg mcm mn...x semua org sama...

      Delete
  5. kesian nyer syai...patut la die bnci sngt ayah die...

    ReplyDelete
  6. akk.......cept la update entry baru....nk tau ape seterus nye.....suke cite nie.....

    ReplyDelete
  7. wah...S.Budriz terpikat habis kat Syai,
    sudah semestinya dia tak akan lepaskan Syai
    berlalu dengan mudah.. :)

    amat payah untuk mengubat hati yang terluka,
    kerana bertahun Syai hidup sendiri,
    tanpa keluarga w/p hakikatnya dia ada
    keluarga..

    Rehan M, anda hebat kerana pembaca
    sentiasa setia menanti buah karya anda
    seterusnya... lepas ini agaknya ada adegan
    kejar mengejar antara Syai & S.Budriz..

    ReplyDelete
  8. budriz dah lama cintakan syai kan? sjk zaman sekolah lg kan? x sbr nak tgu diaorng ni kawen....hehhehe

    ReplyDelete
  9. kesian ibu syai di tinggalkan oleh suami dan dah la masa kebumian tak datang menjeguk.....
    dah tua baru nak minta anak datang menjeguk.... masa muda ditinggalkan dah tua baru nak cari...
    tapi sebagai anak maafkan ayah, semua orang ada buat silap ....

    ReplyDelete
  10. skt jantung bc.....mmg xsbr sgt ni..
    cpt2 smbung ye...

    ReplyDelete
  11. Aduhhhhhh awal2 x bole terima kgansan yg ada pd syai. Rs nk pitam ngn ayat kurang ajar dia.tp bila bc n3 ni br phm.sapapun kat tmpt dia tntu buat mcm ni. Ada ks ptt bini sakit bole tgal. Cian syai trauma hdup dia. Jenuhla si budriZ tu nk pujuk.cam susah jer hehehe. Kena tgu n3 br agak2 lmbt lg x cik penulis hik hik hik

    ReplyDelete
  12. sedihnya , kesian mak syai kan , menderita hingga akhir hayat. kesian jugak dekat syai sebab terpaksa tanggung semuanya sorang sorang. good job kak rehan ! :)

    #Murni Tan

    ReplyDelete
  13. nk menangis...
    cdeh nye episod yg ini...
    (T__T)

    ReplyDelete
  14. KeSian dekat Syaima....T_T
    Apa maksud Budriz sebenarnya???

    ReplyDelete
  15. ayah syai agak pentingkan diri mase dlu...mujur dah insaf...

    no wonder syai jd keras ati camtu...

    waaaa...tu ke permulaan hubungan syai dengan budriz...

    ReplyDelete
  16. mkin mnrik crta ni..
    x sbr nak thu n3...

    ReplyDelete
  17. cis, kejam betul ya ayah Syai tu ... tingglkan mak Syai dn Syai dlm keadaan mak Syai sakit .. memng patut Syai benci sebencinya kt mereka . maksud Budriz tu... dia cintakn Syai dri dulu erk ? ke apa ? thanks kak RM sebb update entry secept ni . :)

    ReplyDelete
  18. wauuuu best ,
    RM jln cter nvel nie mcm cerpen RM cnta yg kau bunuh ...
    best cgt cerpen 2 ...

    ReplyDelete
  19. baru tau cter sebenar.mmg agak kejam lah ayah syai.patut pun dia jadi camtu..tapi syai kemaafan adalah dendam yang terindah ;)

    ReplyDelete
  20. aaaaaaaaaaaa,menjerit saya dalam bilik bila bce ending bab ni tergantung mcm ni je. ah ah,nak lagi kak rehan. apa yang Budriz cba terangkan sebenarnya. nak lagi.

    ReplyDelete
  21. kesiannya syai..kecik2 lagi dah tanggung derita :(

    ReplyDelete
  22. saya dh addicted dgn cite ni dan jg blog RM. sehari bkali2 mai tngu entry

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya juga... addicted sangat dah ni... sampai kekadang 2 jam sekali check ada update ke tak... aduhai...

      Delete
  23. amboi.. senangnya jadi lelaki...watak ayah syaima ni memang menyakitkan hati!..klu mcm tu la fikiran kebanyakkan orang laki yang kawen lain,memang nak je cakap kat laki mcm tu kita boleh cari laki yang lagi gagah perkasa dari dia dan tinggalkan dia waktu dia sakit/susah sebabnya dia da TAK BERGUNA lagi untuk kita.=)

    ReplyDelete
  24. sedih baca n3 kali ni... nak lagi cpt sambung ye RM.

    ReplyDelete
  25. Patut la rasa benci Syai meluap2 kerna dia terlalu derita pd usia remaja. Saya membaca dgn air mata bergenang, cuba memahami penderitaan Syai.

    ReplyDelete
  26. not wonder la...air y dicincang xkan putus...tp untuk memaafkan seseorg amat payah...plus dgn peristiwa cam nie...cam luka y terkena air...pedih utk memaafkan n even try to move on pon still akan teringat n xkan dpt lupakan 4ever...good n3...like this n3..

    ReplyDelete
  27. Kalaulah saya juga mengalami keadaan seperti Syai dah tentu saya juga akan membenci seperti Syai yang teramat bencikan ayahnya. TIADA MAAF BAGIMU......

    ReplyDelete
  28. sian syai..patut la dienjd mcm tu...tp, bukan salah budriz, tu salah ayah syai dgn mak usu...he2.

    ReplyDelete
  29. Suka kite bile RM selalu ketengahkan watak wanita berjiwa kental or keras kepala.. hehe.. rase macam nak jadi kental jugak..

    ReplyDelete
  30. memang patut pon syai marah..lelaki kalau isteri sakit bukan nk jaga tapi dia tinggalkan..memang tak tahu hargai wanita lah ayah syai..so kalau syai marah memang sangat2 patut...to writer:oenulisan saudari sangat2 menarik dan saya dapat rasa feel dalam cerita ni..<3

    ReplyDelete
  31. aduhai...sedihnyer...huhuhuhuhuhuhu....

    ReplyDelete
  32. mcm ayah saya..cuma sekarang mak masih ada,dan digantung tak bertali, ..mmg sedih, lepas kami semua berkawin dn bekerja, saya mak sudah tak mahu tinggal kat kg..dia bw diri pergi rumah anak2..nampak dia semakin bahagia, wpun ayah dok ugut mak berdosa sebab keluar rumah..wpun dia sendiri tak pernah ada...sedih..

    ReplyDelete
  33. Geram betul kat ayah syai dan mak usu.... Well, they deserved the treatment given by Syai....

    Harap2 Syai tak ter"hook up" dgn Budriz pulak! Harap2 ada knight in shining armour, that is not Budriz, yg dpt membahagiakan Syai....

    ReplyDelete
  34. No wonder Syai maeah sagat. Kalau saya kat tempat Syai pun mcm tu. Ketika ibu die sakit ayah die tinggalkan mereka. Before this entry tak faham sangat knape Syai marah sangat. And now baru faham! :)

    ReplyDelete
  35. Harap Syai berhenti kerja dan cari pekerjaan baru yg jauh drp tempat itu...

    Tapi sebelum tu, harap Syai meminta maaf dulu kpd ayahnya dan maksunya... Kemudian mulakan hidup baru....

    ReplyDelete
  36. x sabo2 nk tunggu n3 baru...RM bg yg terbaik ye wat kami, sekeras mane pun hati pompuan akan cair gak bila kena gayanye.

    ReplyDelete
  37. geramnye dgn kedegilan vudriz, moga syai xcepat cair

    ReplyDelete
  38. kadang2 nak baca n3 nie pon takut sbb heroin nie marah die lain macam...

    ReplyDelete
  39. kejamnye ayah syai....tinggalkan isteri sbb isteri sakit...takleh ker sabar skit smentara menunggu isteri abih kan sisa-sisa idup die?sedih sgt bace n3 nih...

    memang patut syai benci ayah die dan keluarga tiri die...

    konon caring,padahal bile dh tua nak mati, baru menyesal...mase idup dulu tanak pun cari syai...arghhhh,benci tul lelaki camni.....

    ReplyDelete
  40. besssssttttt100xxxxxx!!!hehehehehe..keep it up...!!

    ReplyDelete
  41. nk lg plsssssssssssss :D

    ReplyDelete
  42. Ini semua berpunca dari Ayah Syai..... tapi kalau tepuk sebelah tangan x akan berbunyikan mak usu.... hanya Budriz yang faham sebab dia ada hati dengan Syai dari dulu hingga kini .... masih mencintai Syai ....

    ReplyDelete
  43. itulah dia lumrah dunia.. salah nyer pada kaum hawa jer..masa dia aniaya kita,ada dia ingat tanggung jawab?.. sudah bertahun berlalu, abis kuat mintak ampun, menyesal, bertaubat.. abis luka yg dia dah tinggalkan pada kita??.. balik2 yg kita dgr, dah lah, sedang allah maafkan umatnyer.. takkan kita sesama manusia xboleh mengampunkan sesama kita?... adakah adil????....

    ReplyDelete
  44. lawan syai.....bagi dia sedaq sikit geramnya....hehe

    ReplyDelete
  45. best giler la...cpt ckit smbg erk...jntg sy yg tlebih rajin mgepam drh bc cite nie...hehehe......thumbs up....gudjob

    ReplyDelete
  46. best!menarik!..RM cptlah smbung.

    ReplyDelete
  47. wah,,besnye....em,,makin bertambah konfliknye...

    ReplyDelete
  48. hisy...lelaki suka2 ati je buat org pompuan mcm tu
    suka cari..x suka terus tinggal la?

    ReplyDelete
  49. see...kan dah ckp SAB y 'culik' syai ekekekek...i like la sesi culik-mculik SAB n syai ni hahaha..mesti suami syai SAB kan sb tjuk tu ekeke...

    ReplyDelete
  50. kesian syai... yg lain tau ckp tu adalah takdir... menci depa semua kecuali syai... huhu.. emosi lak.. kawen plak dgn mak sedara sendrik lagi la hangin..

    ReplyDelete
  51. yup mmg org mcm syai akan terdidik dgn perasaan camtu dan sukar nak memaafkan ayahnya.saya dapat rasakannya sebab saya pun pernah alaminya...

    ReplyDelete
  52. stk bab 5
    mula sy bc best tp.. kenapa terlalu kerap idea imbau kembali yer cik rm? terlalu kerap ia akan memudarkan emosi yg mula menaik..
    ulas ttg watak..hermm.. jika dilihat semua komen menyalahkan kaum lelaki@ayah syaima..tp nvl ini bukannya perlu dibaca sahaja..tp perlu diperhalusi dr segenap sudut perlakuan watak2 itu..setiap kejadian ada sebab dan penyebabnya...tunggulah penamat baru kita ulas segala persoalan yg cuba diungkap oleh cik rm pada nukilannya ini....by:BCGRT4@JoJo

    ReplyDelete
  53. rehan...u make me cry la...bca n3 nie smbil thn airmata tau...cian Syai..zmn remaja yg tiada bhgia mmbuatkn dia mnjdi seorg pendendam....best sgt...

    ReplyDelete
  54. Sedih cetanya, pglaman hdup yg pahit, menjdikn dia seorg gdis yg berhati Btu,

    ReplyDelete
  55. berat mata memandang berat lagi bahu memikul...

    ReplyDelete
  56. Untuk gadis2 yang nak sgt kahwin dgn laki org..please la sekurang2nya buat la dengan sifat kemanusiaan... Berat tau penderitaan yang perlu ditanggung oleh keluarga laki tu nanti. Silap2 boleh pecah belah sebab ko.

    ReplyDelete
  57. Untuk gadis2 yang nak sgt kahwin dgn laki org..please la sekurang2nya buat la dengan sifat kemanusiaan... Berat tau penderitaan yang perlu ditanggung oleh keluarga laki tu nanti. Silap2 boleh pecah belah sebab ko.

    ReplyDelete
  58. Kekecewaan syai yg tak terbendung lg

    ReplyDelete