Tuesday, April 16, 2013

Hanya Ingin Kau Cinta 15


BAB 15

KAMI saling memandang.  Terpisah oleh pagar separa leher aku dan separa dada Nine.  Dia senyum.  Jaketnya dibetulkan sedikit sebelum dia menapak mendekati aku. 
“Sejuk malam ni.”  Dia menegur. 
Nampak macam kehilangan kata. 
“Dari mana?” 
“Jumpa Tuan Radzi.”
Keningku naik.  “Buat apa jumpa dia malam-malam?”  Aku tayang wajah pelik. 

Lelaki di depan aku ini tersenyum tipis.  Senyuman menyenget.  Tangan dimasukkan ke dalam poket jaket. 
“Pasal kes dua hari sudah.  Kes penculikan awak,” jawab dia jujur.
“Macam tak ada esok...”
Yeah... I’m afraid there’s no tomorrow for me... here.” 
Liur kutelan.  Mendengarkan kata-kata Nine rasa bergelodak jiwa.  Bagaikan tiada esok untuk dia di sini dan lebih tepat lagi kami bakal terpisah dan aku perlu menyedarkan diri  yang dia adalah amanah buat seketika.  Sampai masa, dia perlu pergi dan aku perlu kembali ke asalnya.  Hanya aku dan dunia aku yang sepi. 
“Bagi keterangan ke?”
Dia menggeleng.  “Lebih kepada bercerita.” 
“Dia yang bagitahu rumah saya kat mana?” 
Nine mengangguk.  Dia senyum dan tunduk lagi.  Kemudian mengangkat wajah dan tersenyum kembali.
“Awak marah saya datang cari rumah awak?” 
Aku angguk.  Wajah tersenyum Nine berubah ketat.
“Saya marah kalau awak tak sihat lagi tapi dah datang cari saya.  Kenapa?  Sesaat tak jumpa saya tak boleh?”  soalku diluar sedar.
Nine mengangguk pantas tanpa aku duga.
“Sesaat tak jumpa awak, tak tahulah macam mana hidup saya dan lepas saya pergi, entah ada entah tidak peluang kedua untuk kita, kan?” 
Tanganku mendarat pada pagar yang tidak aku buka.  Wajah Nine aku tenung lama. 
“Awak dah nak balik Bangkok?”  Aku menyoal penuh minat.
Kepalanya dijatuhkan sekali.  “Uncle Benjamin perlukan saya.  Tempat saya di sisi dia.  Kebetulan pulak saya dah bagi semua keterangan saya pada Inspektor Amar siang tadi masa di hospital.  Dah beritahu Tuan Radzi juga.  Saya tak selamat kat sini dan paling sedih membuatkan orang yang saya sayang tercedera,” ujar Nine tenang.
“Orang yang awak sayang?” 
Bibir Nine mencebir memandang aku dengan soalan yang telah aku ajukan.  Aku yakin akulah yang dia maksudkan tapi tak mahu cepat meneka. 
Nine menapak lagi.  Lebih dekat.  Hanya dalam jarak dua jengkal saja wajah kami terpisah.  Tubuh pula terpisah oleh pagar besi ini saja. 
Dia suakan telefon bimbitnya pada wajahku.  Daripada dalam skrin Note itu, aku nampak wajah aku.  Wajah yang nampak samar-samar tapi masih wajah aku.
“Ini...”  Nine tersenyum lagi.
“Kalau awak nak kenal orang yang saya sayang,” sambung Nine bersama liur yang ditelan berkali-kali. 
“Saya?”  Jari telunjuk lurus pada wajah sendiri.
“Tak boleh?”  tanya dia pula.
“Tak takut saya tembak awak buat pengakuan berani mati macam ni?” 
“Kalau itu boleh buat saya buktikan perasaan saya pada awak...”  Nine berjeda. 
“... saya sudi terima peluru awak, Naina.” 
Tubir mataku sungguh terasa hangat.  Terasa memberat hingga akhirnya airmata mengalir laju. 
“Siapa awak Nine?  Kenapa awak datang dalam hidup saya?”  Terlanjur berbicara, soalan begitu terluah.  Malu tapi aku mahukan jawapan.  
“Sebab takdir Naina... takdir yang saya sendiri tak duga.  Takdir  yang telah saya pasrahkan segalanya.”
“Tapi awak kena pergi, kan?”
Dia mengangguk sekali.  “Saya terpaksa demi keselamatan awak.”
Hilang kata-kata dengan jawapan Nine.  Demi aku dia harus berlalu.  Meninggal bekas jejak dalam hati aku begitu padu dalam masa yang terlalu singkat. 
“Awak suka saya?”  Jujur saja Nine bertanya. 
Aku diam.  Kelu. 
“Diam awak dah buat saya tahu jawapan tu.  Kalau macam tu, berhenti kerja... ikut saya.  Saya jaga awak.  Ke mana saja saya pergi, saya akan pastikan awak ada di sisi.” 
Mendengarkan kata-kata Nine mencadangkan perkara tak masuk akal itu, aku ledakkan tawa bersama airmata yang tersisa.  Jariku mengelap airmata sendiri tapi mataku masih merenung Nine  yang nampak terpinga-pinga.
“Saya masih ada saudara kat sini, Nine... masih ada mak cik dan adik sepupu...”
“Tak sudi?”
You’re kidding me...”
I’m damn serious, Naina...” 
Tawa aku mati.  Renungan Nine kian tajam.
“Saya datang sini malam ni sebab nak cakap yang saya suka awak, Naina.  Boleh tak saya cakap macam tu?”  tanya dia polos.
Aku ketap bibir.  Menahan hati yang hendak melompat keluar masuk ke dalam dada Nine.  Pantas aku tekap telapak tangan ke dada.  Tidak mengizinkan  hati itu berlalu dari tubuh aku.  Jika tidak, aku akan jadi jasad tiada berjiwa. 
“Awak dah cakap pun... nak minta izin kenapa?”
“Supaya saya boleh cakap dengan lebih tersusun...,” sela Nine.
Huh... keluhan tipis aku lepaskan.  Nine semakin mendekat.  Bila tangannya turut sama mendarat pada pagar, aku larikan tanganku dan menapak ke belakang setapak.
“Katakan...,” suruhku.
“Saya tak harap saya dapat jawapan yang mengecewakan...”
Riak Nine tenang tapi setiap kata-katanya bercampur gaul dengan nada resah.  Buat apa dia luahkan jika permintaannya sangat tak masuk akal.  Tak mungkin aku tinggalkan kerja yang aku suka ini dan mengikut dia berkelana.  Berada bersama dengan orang-orang yang tidak aku kenali.  Dia juga aku tak kenal.  Mustahil.
“Kita memang dah sama-sama kecewa dari awal Nine... bila kita tahu yang masing-masing sukakan masing-masing.  Saya ada etika untuk tidak jatuh suka pada orang yang kami jaga.  Tuan Radzi dah gugurkan arahan untuk saya jaga awak.  Sekarang awak di bawah tanggungjawab Amar sepenuhnya.  Walau apa pun, awak tetap akan pergi.  Macam awak cakap, tempat awak bukan kat sini... jauh sekali bersama saya.  Saya tak nak kecewa bila awak pergi...”
“Sebab tu saya nak bawa awak bersama,” caras Nine.
Aku senyum.  Ada rasa sebu dalam hati.  Sudahlah tadi rindu pada arwah umi dan ayah baru saja berlalu kala terpandang wajah dia.  Setelah dia pergi, aku tahu aku akan mengusung rindu  yang lebih berat.  Bertambah bebanan rindu aku nanti.  Bertambah kerana dia.  Tapi, apa lagi aku mampukan melainkan tersenyum dan terus tersenyum. 
“Boleh jadi kita tak ditakdirkan bersama Nine...”  
Kerana aku ada tugas lain yang perlu aku selesaikan.  Aku mahu meminta jasa baik Tuan Radzi untuk membuka semula fail kes kemalangan ayah dan umi dulu.  Biarpun perkara itu sudah lama berlalu, tapi aku yakin dengan kata-kata mak ngah.  Kematian ayah dan umi perlu dibela dan yang paling aku mahu tahu, siapakah dalangnya.
“Kalau awak cepat sesaat, mungkin saya ikut tapi...”  Aku menggeleng resah.
“... saya ada perkara yang lebih penting, Nine.”
Seperti biasa, dia hanya tenang menerima kata-kata aku.  Bibir merah itu hanya tersenyum dan aku mahu kekal tersenyum begitu selamanya. 
Dia mengangguk tanda mengerti.  Langkahnya berundur setapak dua sebelum dia bersuara. 
“Kita terpisah oleh pagar ni saja Naina... kita dah terlalu dekat tapi tak mampu juga saya nak gapai tangan awak...” 
Nine bermadah. 
Aku terkedu.
“Kalau macam tu, saya balik dulu.  Esok saya confirm nak fly balik ke Bangkok.  Uncle Ben hantar private flight dia.  Saya naik dekat Subang Airport.  Mungkin Naim ada.”  Nine ketawa tiba-tiba bila menyebut nama Naim.
“Dia tu terlalu sukakan awak... pelik saya.  Apa yang saya ada itulah yang dia nak padahal dia dah ada segalanya,” luah Nine entahkan sedar entahkan tidak.
“Naim?” 
“Ha’ah... anak tunggal Uncle Ben.  Bakal pewaris empayar gergasi milik Uncle Ben,” jawab Nine.
Tapi aku... langsung tiada minat tentang Naim.  Dalam kepala aku hanya ada nama umi, ayah dan juga... dia. 
“Hati-hati balik, Nine...” Aku berpesan dengan berat hati tapi perlu meringankan lidah. 
Lain di hati lain di mulut.  Yang terzahir tak sama seperti  yang terlipat dalam batin.
“Kirim salam semua orang.  Maaf dari pihak kami...”
“Masa ni pun you ingatkan tugas lagi, kan?”  tegur Nine jelas tak puas hati.
“Jangan macam ni, Naina... jangan buat tak tahu sedangkan awak tahu.  Jangan terlalu polos sebab awak akan meletihkan orang-orang di sisi awak.  Saya... Amar juga... mungkin,” sambung dia.
“Kita sama-sama letih, Nine.  Jujur, saya dah cuba sedaya-upaya.  Kami akan sama-sama tangkap Neo.  Rasanya dah banyak maklumat yang kami dapat cumanya kami tak tahu kenapa Neo kerap muncul dekat KL sekarang.  Muncul seketika, hilang macam tu je.  Macam ada sesuatu  yang dia buru selain awak...”
“Awak... mungkin?”  telah Nine.
Dahiku berkerut.  “Saya?”
Serta-merta aku teringatkan kata-kata Neo.  Aku adalah nyawa Nine.  Mendapatkan aku seperti mendapatkan Nine.  Dengan mudah.  Tak perlu bersusah-payah dan  jelas bila Nine sanggup membahayakan diri dia demi aku. 
“Jaga diri bila saya tak ada, Naina...,” pesan Nine.
Aku jernihkan wajah.  “Insya-Allah, Nine... awak juga jaga diri.  Saya tak hantar awak dah nanti sebab nanti Amar dan pasukan lain akan iringi awak.”
I know,” jawab Nine lemah. 
Dia berpaling.  Berlalu ke arah BMW hitam itu.  Tak berkalih lagi.  Bila tangannya memegang pintu kereta dan menariknya terbuka lebar, dia juga tak berpaling.  Bila dia memboloskan dirinya ke dalam perut kereta, dia juga tak berpaling.  Bila dia menutup pintu kereta, dia juga masih begitu.  Saat enjin dihidupkan, cermin kereta diturunkan tapi wajah itu memandang ke depan, tanpa melirik padaku sedikitpun.
Tangannya dijulurkan keluar dan tayar itu bergolek perlahan.  Nine nekad tak berpaling lagi pada aku setelah aku meminta dia pergi tanpa perasaan. 
“Moga kita tak jumpa lagi, Nine...,” gumamku sendiri. 
Dan airmata...
... menitis tak terseka.



WAJAH Amar yang tenang aku pandang. 
“Kenapa renung I?”  soal aku. 
Tersenyum tipis kemudian mencuka kembali. 
Keyboard aku tekan  lagi.  Pantas.  Sepantas hati aku berlari mencari kemungkinan yang ada di dalam setiap berita yang aku tatap daripada rekod jenayah lama.  Semua  yang berkaitan ayah selama ayah bertugas dulu.
“You tak marah?”  Dia juga membelek fail yang ada di atas meja aku.  Fail lama yang aku dapatkan daripada bilik bukti. 
“Sebab?” 
“Cakap dekat Tuan Radzi you tak nak handle kes melibatkan Nine dan Tuan Ben?” 
“Kenapa nak marah?  You buat untuk kebaikan I, kan?”  soal aku kembali.  Sinis.
Amar nampak terngadah. 
“I risaukan keselamatan you...”
“Itulah yang I cakap tadi.  Buat apa I nak marah.” 
Keluhan Amar lepaskan.  Dia menegakkan duduk. 
“I dah selamat iringi...” 
Tuk... tuk... Tak sempat Amar menghabiskan ayatnya, wajah Sarjan Mazlan muncul. 
“Puan... Tuan...”  Tabik hormat naik pada aku dan Amar.
“Ya, Jan?”  Wajah dia aku pandang. 
Lelaki separuh umur sudah.  Menghampiri tarikh bersara tidak lama lagi tapi masih lagi sihat dan aktif. 
“Ini fail yang puan minta.  Kalau ada apa-apa lagi, puan boleh beritahu saya.” 
Aku angguk.  Kecilnya dunia bila dia adalah kenalan lama arwah ayah.  Pertama kali memandang aku dia tidak tahu.  Bila aku katakan, aku mahu mencari fail-fail lama yang ada di bilik bukti, dia mula mengesyaaki akulah anak pada Sub Inpekstor Zulkifli yang telah terbunuh dalam kemalangan jalan raya tapi pada mata aku kini, itu adalah satu pembunuhan.  Pembunuhan yang cukup terancang. 
“Terima kasih, Sarjan...”  Aku senyum segaris dan dia terus berlalu sambil merapatkan pintu.
“Kenapa you nak fail-fail lama ni, Naina?”  tanya Amar. 
“I ada hal sikit nak  bincang dengan Tuan Radzi.  Sebelum tu I perlukan sedikit bukti dan hujah untuk dia sokongan permohonan I,” jelasku pada Amar. 
Penjelasan yang masih kabur sebenarnya.  Langsung tak aku pandang wajah dia.  Bohong aku katakan aku tak marah dengan tindakan dia tapi jika itu yang terbaik dan Tuan Radzi mengizinkan, aku paksa diri aku agar rela hati. 
“Mari sini I tengok...”  Amar menarik fail yang baru saja dihantar oleh Sarjan Mazlan. 
“Eh, Naina...”  Dia bersuara cuak sebaik saja helaian pertama dibuka. 
Mata kami bertentangan seketika sebelum aku melarikan anak mataku pada skrin computer dan terus menekan papan kekunci.  Mahu siapkan  hari ini  juga. 
“... ini bukan...”
“My parent...,” sahutku pantas dan mulut Amar melopong.
“Sebab ni ke you memang biarkan Nine balik macam tu je hari ni?” 
Sekali lagi, aku mengerling Amar tapi jari-jemari masih tekun bekerja.
“Apa maksud you?  Apa kaitan dengan Nine?  Bukan ke you dah hantar dia balik ke?”  tanya aku mendatar.  Buat-buat tak rasa apa-apa sedangkan dalam hati...
“Itulah I nak cakap tadi... I dah selamat escort dia naik private flight bapak angkat dia and guess what?” 
What?”  Keningku naik. 
“Dia kata dia silap.  Dia terlalu yakin you sukakan dia tapi tidak...”  jelas Amar.
Tanganku terhenti.  Tumpuan sepenuhnya pada Amar.
“Apa lagi dia cakap?”
“Dia amanahkan you untuk I jaga...”
“Dan?”  gesa aku tidak sabar.
Amar tersenyum tawar.  “Dia cintakan you, Naina...  you cintakan dia juga ke?” 
“I... I....”  Tergagap-gagap aku hendak menjawab. 
Beberapa ketika aku mencerna, akhirnya aku senyum dan  menggeleng. 
“I nak buka balik fail tentang kemalangan ayah dan umi I kalau Tuan Radzi benarkan.  Tentang Nine... dia tiada kaitan lagi dengan I bila Tuan Radzi gugurkan I untuk terus mengawal keselamatan dia!”  jawab aku sedikit tegas. 
Amar menghadiahkan aku sekuntum senyum.  Senyuman sinis seperti mana yang aku hadiahkan pada dia kebiasaannya. 
Such a liar!”  tekan Amar dan dia bangkit berlalu keluar. 


~~> bersambung 

14 comments:

  1. sian naina..tp dia sedar dia ada tanggungjawab lain yg menunggu...

    ReplyDelete
  2. Apa lagi yg akan Naina temui bila fail kematian ayahnya tu dibuka. Adakah semua ini ada berkaitan?

    ReplyDelete
  3. best..dik...semakin terancang..

    ReplyDelete
  4. such a liar..hish amar ni, biarla naina nk menipu ke ape..sibok je la..(tetiba marah kat amar)

    ReplyDelete
  5. biar segalanya berkubu dlm hati...

    ReplyDelete
  6. yeeeeee..bez..ala bile laa naina nak jumper balik ngn nine???

    ReplyDelete
  7. Alaaa Nine! Janganlah balik dulu! Tak puas ni!! :'P

    ReplyDelete
  8. ala...


    nine ni org baik ke x?
    uhuhu

    da nebes bace nie..
    dup dap da..

    ReplyDelete
  9. napa mcm kes family naina ni mcm da kaitan dgn nine...aduhhh..

    ReplyDelete
  10. yeahhh...such a liar naina...heh..

    ReplyDelete
  11. kite rs yg kes parents naina ada kaitan dgn neo. kn neo dicari cz ada terlibat dgn kes bunuh slen penyeludupan senjata haram tu. psti akn terbongkar x lm lgi. aduhaii... adaknlh pertemuan smula nain n naina.

    ReplyDelete