Wednesday, July 11, 2012

Untuk Dia [8]


BAB 8

“RIN… jangan buat aku macam ni wei…”  Aku cuba merentap lenganku yang digenggam kemas oleh Zafrin. 
Langkah kami terhenti pada anak tangga pertama.  Dia kalih dan memandang aku dengan senyuman yang menakutkan itu lagi. 
“Nak takut apa?”  soal dia tanpa riak. 
“Aku tak kata aku takut, tapi aku tak nak kau buat aku macam ni,” tegasku memperbetulkan ayatnya. 
Dia ketawa sedikit.  “Kalau tak takut, marilah kita ke atas,” ajak dia lagi dan sekali lagi dia heret aku.  Memaksa aku mengikut langkahnya yang sudah mula memijak anak tangga kedua.
Adoi… sumpah aku tak datang dah rumah kau ni, Rin.  Sumpah aku tak masuk dah kandang singa lapar…”  Aku berkata lebih pada diri sendiri.  Menggeleng berkali-kali.
Kaki Zafrin terhenti lagi dan dia terus memandang aku agak tajam kali ni.  Aku telan liur yang terasa kelat.  Huh, boleh mati terbunuh hati aku dengan panahan mata Zafrin ni.  Dalam takut, hati tetap berbunga tapi hendak membiarkan dia heret aku sampai ke katil, itu adalah mustahil.  Aku masih waras lagi dan rasanya, nanti aku juga perlu menyedarkan Zafrin agar dia berpijak di bumi nyata. 
“Kau sempat lagi mengata aku, ya?”  soal dia memberi amaran. 
“Dah tu… kau yang mengaku kau singa lapar tadi…Oh…”  Bibir aku membulat sikit.
“… mungkin tak habis ayat lagi tadi.  Kau singa lapar yang baru bangun tidur, ya?”  Kening aku angkat kedua-duanya membuatkan Zafrin merengus. 
Ada je kau ni nak mengata aku…” 
“Eleh… kau suka mengata aku dulu.  Masa kat hospital tu, kau boleh panggil aku tak betul, kan?”  Aku bertanya sedikit lirih.  Tiba-tiba teringat peristiwa beberapa hari sudah.  Kecil la jugak hati aku yang tak berapa nak besar ni. 
Dia senyum dan melepaskan genggaman tangannya pada lengan aku.  Dia labuhkan duduk dan meminta aku duduk sekali di sisinya di atas anak tangga kedua.  Tak jadi nak naik ke atas dan aku hela nafas lega. 
“Duduklah…,” suruhnya bila aku hanya berdiri terpacak kaku membeku. 
Dia tepuk tangga di sisinya dan aku hanya duduk saja.  Sedikit jauh dan rapat pada pagar tangga.
“Aku pun tak sangka kau boleh merempit datang cari aku hari tu.  Tapi, kenapa kau datang Mi?”  tanya dia. 
Aku terngadah lagi.  Apa aku nak jawab ni?  Nak salahkan Anaresa boleh tak?  Memang aku terkejut bila dapat tahu dia dimasukkan ke wad dan rasanya sebab utamanya adalah aku.  Tapi, lain pula bila aku tiba di sana.  Segalanya dusta belaka.
“Kau tanyalah kakak ipar kau tu,” selaku malas. 
“Nak ke aku masuk bilik kakak ipar aku sekarang ni?  Kalau kau nak, aku boleh je masuk sekarang tanya dia…”  Suara Zafrin sedikit mengugut dan bila dia bangun aku cepat-cepat tarik tangan dia. 
Pertama kali menyentuh kulit lelaki itu dan sungguh, darah sudah mengalir menongkah arus.  Gelora mula pasang dalam dada.  Berdetak tak usah cerita hentakkannya.  Zafrin nampak terdiam dan dia memandang pegangan tangan aku lama tapi bila aku tersedar, pantas aku leraikan pautan. 
“Er… tak payahlah, Rin.  Tak elok.  Itu kakak ipar kau,” ujarku menyembunyikan kecanggungan dalam diri. 
Zafrin senyum menyenget.  “Kenapa tangan kau sejuk semacam je?”  soal dia mengusik. 
“Mana ada,” dalih aku. 
Adalah… !’  Dia tetap nak menang.
“Tapi kenapa tak nak aku naik ke atas?  Aku nak ketuk pintu Kak Long je pun.  Bukan nak terjah masuk bilik dia…”
Aduhai… aku terkena lagi dengan Zafrin ni.  Mati-mati aku ingat dia nak serbu bilik Anaresa nak bertanya soalan itu tapi itu pula dalihnya.  Aku tepuk dahi sikit dan menggeleng.  Sakit jiwa aku dengan lelaki ni. 
“Jawablah, Mi…”  Zafrin merengek tiba-tiba. 
Aku pandang dia  yang sedang menongkat dagu di atas lutut.  Nampak comel pulak Zafrin ni sampai membuatkan aku mengukir senyum dan aku tongkat tanganku pada sisi kepala kanan memandang dia yang sedang redup memandang aku. 
“Jawab apanya?”  soal aku kembali. 
Ala… yang kau beria rushing ke hospital beberapa hari sudah tu kenapa?”  Dia ulang soalannya. 
Aku menggeleng tanda tak tahu.  “Kan dah cakap, Anaresa kelepet aku.  Dia kata kau masuk wad sebab kena pu…”  Lidah kelu tiba-tiba. 
Aku redupkan pandangan dan terus memandang Zafrin.  Andai benar kau kena cepuk, Rin… aku tak tahu apa yang aku akan buat masa tu.  Aku hanya mampu berbisik sendiri bagi menghabiskan ayat itu. 
“Aku masuk wad sebab kena pu?  Pu apa?”  Dia menyoal bagaikan tidak mengerti apa-apa. 
“Kau risau aku kenal pukul ke, Mi?”  soal dia bila aku tidak menjawab. 
Aku menekur pandangan ke lantai marmar berwarna putih mutiara ni.  Berkilat-kilat.  Kat rumah mak dan ayah, kami pakai tikar getah je.  Rumah kampung… biasalah.  Tapi tetap terletak indah.  Berhias cantik.  Kalau aku balik je, mesti tunggang langgang. 
“Bukan ke kau yang suka aku kenal pukul?  Mana boleh kau risaukan aku, betul tak?”  tanya dia sinis. 
Aku ketap bibir.  Geram sungguh dengan hamba Allah seorang ni.  Elok-elok dia tak kena cepuk hari tu, aku pulak yang cepuk dia hari ni. 
“Kau ni banyak mulut betullah!  Bercakap je manjang!”  Aku menyindir geram. 
Zafrin ketawa.  “Aku banyak mulut dengan kau je, Mi… kau tahu kenapa?”
“Hmm… kenapanya?”  Aku bertanya malas.  Memang malas nak berbicara dengan lelaki ni.  Haruslah kalah aku.  Bosan!
Kepala aku sandarkan pada pagar tangga.  Menanti butir bicara Zafrin yang tak sudah-sudah tersengih sana sini.  Bagaikan Yang Berhormat buat ucapan pulak. 
“Tanyalah, Mi…”  Dia mendesak. 
Kan aku dah tanya tadi!”  tekan aku geram. 
“Sila tanya dengan riak wajah yang ceria…”  Dia sengih padaku dengan memegang kedua belah pipinya dengan sengihan yang melebar. 
Aku mencemik pada mulanya dan bibir ini mengukir senyuman palsu selebar mungkin. 
“Ya, Rin… kau kenapa?” 
Dia ketawa sedikit.  Persis mengejek.  “Sebab kau tu spesis tak ada jantina.  Jadi, dengan kau memang aku cakap banyak.  Banyak mulut sebab nanti depan perempuan  yang aku suka dan betul-betul perempuan, aku akan diam sebab kelu!  Dada ni…”  Zafrin bangkit dan berdepan dengan aku.  Telapak tangannya melekap ke dada dengan wajah teruja. 
“… berdetak hebat sebab tu lidah aku berat.  Tapi dengan kau… sekadar nak bahankan bolehlah,” sambung dia tanpa rasa bersalah.
Aku pantas berdiri.  Terkujat, tersentap dan macam-macam rasa lagi mendengarkan kata-kata Zafrin.  Menerima bait-bait ayatnya membuatkan aku menilik diri aku sekali lagi.
“Aku perempuan, Rin!”  Aku tekan sikit hujung suara aku.  Bagi dia faham sikit.
Memang aku agak kasar dan nampak bagaikan lelaki.  Setidak-tidaknya, aku menyembunyikan lekuk tubuh aku ni.  Pakaian juga besar dan tidak mengikut bentuk badan.  T-shirt juga mencecah paras bawah siku.  Seluar juga longgar hingga terasa angin yang mengelus ke dalam.
Zafrin menilik aku.  Macam tak puas hati.  “Mungkin… tapi pada orang lainlah.  Pada aku…”  Dia menggeleng dan mencemik lagi.
Aku ketap gigi menahan geram.  “Emm… aku terima pujian kau tu, Rin… memang aku terima!” 
Kali  ini, aku menghadiahkan dia seulas senyuman yang paling manis dan aku dapat lihat, Zafrin menelan liurnya sendiri.  Puas hati aku bila nampak lelaki itu buka mata bila aku selak rambut aku yang sudah agak panjang ini pada belakang telinga.  Berlagak ayu sikit.
“Err…kau tak… ma… rah ke?”  Dia gagap.
Aku menggeleng.  “Nak marah apanya?  Benda betul, Rin,” jawabku agak sopan dalam pada menahan sabar. 
Senyuman manis terus aku ukir buat pertama kalinya pada dia.  Biar dia tahu yang aku juga punyai senyuman yang mampu memikat orang.
“Cakap cakap apa-apa, Rin.  Aku minta maaf sebab buat kau selama ni dan aku harap lepas ni, kita tak jumpa lagi.  Kita kira sama-sama rata.  Kau tak ada dendam, aku tak ada dendam sebab aku nak further belajar dekat luar negara.  Itu  yang aku nak bagi tahu kau sekali tadi.  Tapi alang-alang kau cakap macam tu, mudah kerja aku!” 
Aku menipu dia.  Sungguh aku berkecil hati.  Sampailah hati dia cakap aku spesis tak dikenalpasti.  Dia tak tahu, hati aku memang berdebar sebab dia je.  Pertama kali dan eksklusif lagi.  Tak pernah terjadi tapi sayang bila hati aku terjatuh pada orang yang salah.  Akhirnya tersepak masuk ke longkang. 
Mata Zafrin bulat.  “Sungguh ke?” 
Aku sengih dan angguk laju.  Dia menepuk dahinya. 
“La… kenapa baru sekarang nak pergi?  Patutnya kau pergi lama dulu dah sebelum kau langgar aku dekat traffic light hari tu lagi!”  Dan dia… ketawa kuat. 
Aku tahan nafas seketika dan memalingkan wajah aku ke lain.  Tunduk sedikit membetulkan stoking.  Melarikan wajah yang keruh dan mata  yang mula terasa suam.  Zafrin memang tak layak untuk cinta pertama aku ni. 
Bila aku tegakkan tubuh, Zafrin tenang merenung aku dengan senyuman tipis yang nampak ikhlas.  Tapi rasanya, aku nampak dia macam mengejek aku je jadi aku terus kebalkan hati.  Cinta ni memang tak patut ada dalam kamus hati aku.  Aku raup sedikit rambut yang mencecah kening ini ke belakang dan terus menayang barisan gigi aku pada Zafrin.
“Emm…okeylah, Rin.  Apa-apa pun aku minta maaf.  Kosong-kosong, ya?” 
Dia angguk dan kepalanya menyenget sikit.  “Tapi, aku tak halallah hutang kau selama ni, Mi,” ujar dia. 
Aku terdiam seketika menimbang-nimbang maksud hutang yang dia katakan itu.  Barangkali hutang aku langgar dia tempoh hari.  Hutang yang menyebabkan Yahama LC dia tu calar balar.  Bila teringat motor tu, aku terus bersuara.
“Mana motor kau?  Baru ingat nak tanya?” 
“Hai… dah nak balik baru tanya?  Tapi, aku jawab jugaklah.  Motor aku cat lain.  Hutang tu aku tuntut lainlah dengan kau nanti…” jawab dia sedikit sinis.
Pada aku, Zafrin dan sinis ni dilahirkan kembar.  Barangkali, kalau tak sinis untuk sesaat, hidup dia tak lengkap jadi aku relakan saja telinga aku menerima sindiran demi sindiran dari mulut dia. 
Bila mahu menjawab, pesanan mama dia terngiang di telinga.  Bagaimanapun, aku tetap seorang gadis.  Pada Zafrin tidak, tapi pada orang lain yang Allah akan hantar untuk aku nanti, jadi tidaklah Zafrin. 
“Kalau aku tak jumpa kau lagi, Rin… aku bayar harga kau cat balik motor kau tu melalui Resa.  Aku rasa memang tak sempat jumpa dah ni…”  Aku buat muka serius tapi tidak pada Zafrin.  Bagaikan dia dapat tangkap yang aku sedang menipu dia tapi aku tetap beriak yakin. 
“Hutang ni, kau kena bayar sendirilah, Mi… aku tak harap kau bayar melalui orang lain.  Macam kau tak ikhlas pulak nanti,” sela dia. 
Aku menggeleng tidak setuju.  “Sama je, Rin.  Janji duit tu sampai dekat kau.  Nantilah aku keluarkan semua biasiswa berbaki lagi tu.   Aku balik dulu.  Kirim salam dekat mama kau, ya?” 
Serentak itu, kaki ini maju ke pintu tapi Zafrin melelar pergelangan tangan aku sekali lagi membawa kulit kami bersentuhan buat kali kedua.  Aku pandang dia dan dia pandang aku.  Lama. 
“Hutang aku tu, aku akan datang tuntut depan kau nanti, Mi!”  Kali ini dia bersuara lebih tegas dan serius.  Tiada langsung riak main-main tapi aku pula sebaliknya. 
Aku menghamburkan tawa.  “Sebelum aku berambuslah, Rin,” sindir aku pada dia. 
Zafrin telan liur.  “Dan aku akan tuntut dengan cara lain sebab aku kesian budak-budak sekolah macam kau ni nak bayar aku pakai biasiswa bagai…” 
Tawa aku mati terus.  Tangan ini aku tarik sopan dari terus berada dalam genggamannya.  
Maaf, Rin… kulit aku ni untuk cinta pertama aku je dan orang itu adalah suami aku!”  ujar aku lebih serius dari tadi dan terus saja aku menapak ke pintu rumah. 
Pertama kali menyebut perkataan suami dalam hidup aku.  Sungguh aku tak sangka yang aku mampu menyebut perkataan keramat itu.  Keramat kerana demi perkataan itu aku mengangkat seseorang lelaki dalam hati aku dan halal di sisi aku.  Pelik, tapi itulah penangan Zafrin. 
Mahu saja aku kalih pada dia buat kali terakhir tapi rasanya, biarlah macam tu je.  Sungguh tak sangka, jadi macam ni pulak rancangan aku dan aunty.  Hancur lebur.  Semuanya sebab Zafrin.  Terkecil hati aku. 
Bibir aku cebir.  Bila-bila masa akan menitiskan airmata.  Bila dan sarungkan kasut, baru sedar yang aku tak ada kenderaan.  Gilera ada di parkir rumah sewa.  Aku mematikan langkah seketika.  Anaresa pun diam je.  Aunty pun tak ada sekarang dan ada baiknya, aku berlalu sebelum aunty balik. 
Poket jeans aku seluk.  Hanya ada beberapa ringgit berbaki.  Entah cukup entah tidak nak dapatkan teksi untuk balik ke Shah Alam tapi rasanya memang tak cukup.  Hendak menapak ke stesen KTM Batu Caves rasanya sangatlah jauh tapi aku tiada pilihan. 
Dengan langkah malas, aku menolak pagar rumah Zafrin.  Dalam hati, aku nak dia datang mengejar aku dan menahan langkah aku tapi untuk apa?  Andai untuk menyakitkan hati aku, dia memang pakar.  Berkali-kali dia tegaskan yang aku spesis tak diketahui jantinanya.  Aku adalah orang yang tak mungkin mampu buatkan hati dia berdetak hebat jadi berhenti berangan, fokus pada masa depan sudah. 
Aku berjalan sendiri.  Makin lama makin laju.  Mujur pakai kasut jadi tak adalah rasa hitam kaki dan selesa je melangkah tapi hendak sampai ke sana memang aku akan patah kaki.  Aku dongak ke langit, hampir hujan pula tengah hari panas terik sebentar tadi. 
Macam aku dan Zafrin.  Rasanya tadi bagai bulan dihiasi bintang tapi sayang, bila hujan melanda di tengah hari dan memang hujan sedang merintik bila titisan hujan sedang mengenai batang hidung aku. 
“Dah hujan pulak,” keluhku sikit.  Aku menggeleng dan meneruskan langkah. 
Bila aku melalui selekoh kawasan perumahan Zafrin tadi, hujan semakin rakus menitis ke bumi.  Dari titisan halus bertukar menjadi kasar dan akhirnya agak lebat.  Aku memeluk tubuh bila hujan sudah mula membasahi tubuh aku.  Rambut sudah melekat ke dahi dan t-shirt putih ni tak payah cakap.  Memang nampak apa yang tak sepatutnya.  Menyesal datang ke mari.  Haih…
Bila aku melangkah dan terus melangkah menghampiri tempat menunggu bas  untuk berteguh, ada pula suara sumbang yang mengorat.  Waktu ni aku memang malu sendiri.  Segalanya pertama kali.  Pertama kali diherdik seorang lelaki, pertama kali jatuh suka pada lelaki, pertama kali berjalan dalam hujan dan pertama kali dalam segalanya.
Bila tiba saja di pondok bas, aku terus melabuhkan duduk dan menaikkan kaki aku lalu merapatkan lulut ke dada menyembunyikan apa yang sepatutnya.  Seluruh tubuh lencun dan kuku juga sudah menjadi ungu.  Bibir juga menggeletar bila disapa angin yang berhembus agak garang. 
Aku rapatkan wajah ke lutut.  Mengingatkan kata-kata kasar Zafrin pada aku, bagaikan aku ini tiada perasaan.  Sungguh agaknya dia hanya nampak aku begitu.  Bukan seorang gadis yang ingin dicintai.  Tanpa sedar, ada airmata mengalir.  Sedihnya, mak…
“Perempuan ke kalau keras hati macam ni?”
Seraya itu, aku sehelai jaket menyapa.  Aku pandang tubuh aku.  Jaket hitam yang sama menyelimuti aku malam aku sakit tubuh tu dan aku pandang tuan empunya suara yang membalut tubuh aku dengan jaket itu.  Orang yang sama juga tapi aku memang dah berjauh hati.
Aku tolak jaket dia dan Zafrin tetap melekapkan ke belakang aku.  Dia jegilkan matanya.
“Kau kata kau perempuan, tapi suka melawan.  Perempuan ni kena lemah lembut sikit!”  tegas dia lagi.
Kan pada kau aku bukan perempuan!”  sinis aku penuh geram.
Dia senyum menyenget ke kiri.  “Kalau bukan perempuan, nak tutup dada buat apa?  Nak sorok lengkung pada pinggang buat apa?  Nak peluk tubuh tutup apa yang ada di sebalik baju putih ni kenapa?”  Berasap sindiran Zafrin masa ni.
Aku menjeling dia tajam.  “Tepilah kau!”  Aku terus bangkit.
“Mi… hujan ni.  mama suruh aku datang ni.  mari balik rumah aku dulu,” ajak dia.
Aku mahu menjerit.  Hari tu Anaresa  yang suruh.  Sekarang ni mama pulak yang suruh.  Bila yang kau rasa diri sendiri tu nak tolong aku?  Kuat saja hati aku menjerit tapi tak mampu aku luahkan. 
“Kau baliklah, Rin…”  Aku kalih pada dia sedikit.
“Tanpa kau?” 
Aku angguk.
Nanti mama marah akulah, Mi…” keluh dia lagi.
Sekali lagi aku terluka.  “Kalau macam tu, nanti aku call mama kau bagi tahy perkara sebenar.”
“Mama aku dah tahu dari awal…,” sela dia membuatkan aku mengerutkan dahi.
“Tahu apa?”
“Tahu apa yang dia patut tahulah.”  Zafrin bangkit setelah menghabiskan ayatnya.  Dia menepuk sedikit belakang seluarnya dan merapati aku. 
“Jaket ni, Mi…” Dia zipkan jaket itu membiarkan tangan aku terperangkap di dalam. 
“… pakai baik-baik.  Lindungi apa yang patut jadi hak milik cinta pertama kau, iaitu suami kau, kan?”  tanya dia.
Aku terdiam tak mampu nak berkata apa lagi.  Tiap-tiap yang aku sembur pada dia, dia mengaum pada aku balik.  Entah apa bermain dalam fikiran lelaki ni.  Payah nak tebak!

~~> bersambung

33 comments:

  1. hehehe makin menariklaa hahaha..
    tp ksian haqmi, hani rasa kn, hani dpt agkla dy da bgtau fmily dy, yg dy dh syok kt haqmi ni haha~

    ReplyDelete
  2. ouh...sgt2 best.....tp rasa mcm dri ni xbermaya,.sayu....dok tempat Mi..sungguhlah kak rehan pandai main emosi orang..huuuhu.

    ReplyDelete
  3. siannya Haqmi terasa dgn kata2 zafrin.. cili juga mulut zafrin nie...

    ReplyDelete
  4. Rasa menyampah pula dengan Zafrin, mulut tu laser je memanjang. Kesian pada Haqmi asyik terkena je.

    ReplyDelete
  5. Zafrin ni asyik nak menyindir Haqmi je...-_-#
    Kesian Haqmi...T_T

    ReplyDelete
  6. best ... tak sabar nak baca lagi .... terbaik

    ReplyDelete
  7. cian kt Mi.Rin jgn la kasi ayat sentap je kt Mi tu.ganaz2 Mi tu ttp jiwa lmbut tau..RM cpt2 la sambung,x sabo ni

    ReplyDelete
  8. Gak-agaknya Zafrin selalu menyindir haqmi sebab nak haqmi berubah jadi haqimah semula la kot?? best..

    ReplyDelete
  9. alaa rin..kalu suka katakan x si makan hati.
    memang spesis singar lapar sungguh nak m'gaum je keje dia.
    sian kat mi..hurmmm cepat2 jadi pompuan melayu terakhir kasi si rin tu bukak mata skit.

    best n3. :)

    tq an..

    ReplyDelete
  10. Cik Penulis ~~~~~~> Hari ni cuma nak komen.. So cool and sweet.... (senyum meleret sampai ke telinga...):-). Tq!!!

    ReplyDelete
  11. Mi cepat2 lah berubah jd pmpuan asli, biar terjojol biji mata rin tengok mi yg baru.ki3..mcm anaressa...comel jer bile da pkai tdung..

    ReplyDelete
  12. wah best sangat...tersentuh jgk laaaaa..tahniah RM..>_<

    ReplyDelete
  13. Xsabar nak baca keadaan mi biler dh berubah...
    Musti sungguh ayu dan bersopan kan...
    Sungguh rin telah jatuh cinta ngan mi...

    ReplyDelete
  14. hehehe.. sgt comel la zafrin ni..dia saje perli2, supaya mi dpt ubah jd lebih baik... so sweet...

    ReplyDelete
  15. Oh Rehan....sooo sweatt....rgds,zailda.

    ReplyDelete
  16. kak rehan, seronoknya. hehehehe. :)

    ReplyDelete
  17. kak Rehan,pls continue cepat skit tau,,,suka baca Rin memang suka sangat menyakat Haqmi....ki3

    ReplyDelete
  18. aduii..ann makin menarik,best nya suka sangat2..

    ReplyDelete
  19. sngt2 best.. from 1st chap until now..

    ReplyDelete
  20. Yeay! Best gila lah. Suka betul dengan Zafrin ni. Dia loud tapi ada gentleman dia jugak. Hihi, cepat update kak rehan, loveyou!

    ReplyDelete
  21. Rasanya bukan Mama yang suruh tapi sebab sendiri dah jatuh hati dengan Mi... hehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. kannnn? Saya pun rasa! :D comel je Zafrin~

      Delete
  22. Best citer ni...tapi saya ''rindu'' kt syaima dan budriz:)

    ReplyDelete
  23. saya ska watak lelaki yg cam RIN ni.nampk ego tp dalam hati ada taman.sweettttt.

    ReplyDelete
  24. zafrin suke kt rin jhk erk..kiki
    nk lagi!!

    ReplyDelete
  25. terbaikla ayt zafrin.sllu ayt dia pedas tp mmg hakikat.zafrin the best.amamat mult cili.

    ReplyDelete