Thursday, August 04, 2011

TERLERAI KASIH - Blurb, 1,2, 3


Blurb

Semalam penuh kedukaan
Ku kenal erti percintaanmu
Tewas akhirnya kesabaranku
Yang sering ku pertahankan
Dengan linangan airmata
Terlucut jua genggaman tangan
Puas aku menahan
Langkahmu makin ke depan
Pepatah pujangga pun turut berkata
Yang patah kan tumbuh penghujungnya
Tetapi hatiku tak dapat menerima
Yang datang tiada serupa
Biarlah ku hidup sendiri
Tak ingin aku mencari pengganti
Tiada terluntur kasihku sayang
Walau kau hilang dari pandangan

ILHAM FITRI… Sekali ku nyatakan cinta, usahlah kau raguinya lagi. Sekali ku janji padamu, cukuplah untuk selamanya. Namun, makin meniti masa, cintamu kian ragu di mana luhurnya. Hinggakan kudus cinta itu sirna begitu saja. Tak ku tahu setulus mana kasih, tidak ku pasti setelus mana cinta. Sanggupku tentang satu dunia demi cintamu dan apalah kiranya andai kau sendiri yang menentang. Andai jodoh itu bukan milik kita, aku akan berlalu dari hidupmu dan biarkanlah kasih yang terlerai itu tidak bercantum lagi. Sesungguhnya, andai Dia mengizinkanku, aku ingin menyintaimu selagi ada nafas di balik jasadku yang sudah hampir rebah – Nur Wafiah.

NUR WAFIAH… Kau cinta pandang pertamaku. Namun, makin meniti ketika, ukhuwah yang berlandaskan cinta itu seakan palsu pula. Adakah kau yang berdusta atau akukah yang terlalu curiga? Andai kasih yang singgah hanya sebagai peneman resah, maafkanlah aku kerana telah menyentuh hati dan tulus kasihmu hinggakan kesan airmata itu tak dapat kering lagi walaupun kisah pedih itu kian berlalu pergi –Ilham Fitri

Benarkah cinta perlukan masa untuk mendalaminya? Adakah jangka waktu mengenali itu penting dalam hubungan mereka? Bila Ilham Fitri mengatakan tidak perlu, Nur Wafiah akuinya. Tika kasih tercipta, Ilham Fitri membantah hakikat itu pula. Nur Wafiah pasrah demi maruah hingga kasih itu terlerai jua pada akhirnya.

BAB 1
LEWAT malam itu, aku menerima panggilan daripada emak saat aku ingin melelapkan mata. Degupan jantung pantas bergendang. Tidak pernah-pernah emak menelefonku lewat malam begini.
Hati risauku bertambah gundah bila memikirkan segala kemungkinan yang bakal berlaku pada keluarga di kampung.
“Fiah dah tidur ke?” soal emak perlahan sejurus salamnya ku jawab.
Suaranya tidak berapa jelas di telingaku. Alunan suaranya tidak semesra mana, tidak juga ceria seperti selalu.
“Fiah baru nak lelap mata, mak! Mak kenapa telefon Fiah waktu ni? Fiah minta maaf sebab dah lama tak telefon mak. Fiah sibuk sikit mak!”
Aku melahirkan kekesalan bila menyedari terabainya tanggungjawabku kepada emak sejak akhir-akhir ini. Pasti emak tidak betah tanpa khabar berita dariku.
Suara kami masing-masing gumam. Emak diam bagaikan mencari kekuatan untuk menyusun kata buatku. Aku mula yakin, bukan kerana masalahku baru emak begini. Pasti adalah masalah lain dan masalah itu adalah yang sedang dirasakan hati ini.
Cuma, aku tidak mahu cepat mentafsir. Biarlah emak memberitahuku kerana sudah pastinya, bila api amarahku meletus, emaklah yang akan bertanggungjawab menyiramiku dengan kasih sayang dan kelembutan pujukannya.
“Kak Anah kemalangan dengan Amira dan Amir sekali!”
Suara emak yang tiba-tiba di hujung talian benar-benar membuatkan aku terkedu sendiri. Jantungku hampir melompat keluar. Aku bingkas bangun dari pembaringan.
Aku mengucap panjang. Hampir menitis airmataku mengenangkan nasib diri Kak Anah dan anak-anaknya. Aku hampir tidak terkata.
“Tapi, Fiah jangan risau, dia tak ada apa-apa. Kata doktor, Kak Anah dengan anak-anak cuma terkejut saja. Tiga empat hari nanti, InsyaAllah semangat mereka pulih kembali!”
Kali ini, aku menghela nafas lega bila emak memaklumkan keadaan kakak dengan dua orang anak saudaraku yang sebenar. Aku mengurut dadaku perlahan-lahan. Tidak putus-putus aku memanjatkan doa pada Yang Satu.
“Macam mana boleh berlaku, mak?”
Emak mengeluh. Dapat ku rasakan, ada saki-baki esak tangis pada hujung nada suaranya.
“Kak Anah ke sekolah, jemput budak berdua tu! Lepas tu, masa dekat selekoh depan sekolah, ada kereta langgar. Tak mengapalah, Fiah! Sekurangnya Kak Anah dengan anak-anak dia tak apa-apa!”
Aku tahu, emak cuba menenangkan hatiku. Bukan emak tidak tahu akan sikapku yang terlalu mementingkan keluarga dari segalanya.
Selepas ayah meninggal dua tahun sudah, akulah yang menggalas segala tanggungjawab termasuk terhadap keluarga Kak Anah.
Akulah anak gadis ibuku, juga anak lelakinya dan aku jualah adik perempuan dan adik lelaki kakakku.

Aku tiba jua di ambang pintu rumah peninggalan arwah ayah lewat pagi itu. Emak terkedu seketika melihat batang tubuhku yang sudah terpacak di depan matanya. Pasti dia tidak menjangka yang aku akan tiba di rumah pagi itu. Itu pun secara tiba-tiba.
Air wajah emak tampak kecewa dengan sikapku yang tidak pernah ingin memberitahunya akan kepulanganku. Bukan niatku untuk membelakangi emak tapi memang itulah sikapku sejak dari alam kampus lagi.
Tindak tandukku adalah mengikut kepala sendiri tapi setakat ini, aku bersyukur kerana tidak pernah terlintas di minda warasku untuk merosakkan kepercayaan dan keyakinan emak padaku.
Dalam pada rasa sayu itu, emak tetap meraih aku ke dalam pelukannya selepas aku mencium tangan tuanya yang sudah menampakkan urat-urat kehijauan. Mungkin kesan daripada zaman mudanya yang sudah banyak berkorban demi aku dan Kak Anah bila arwah ayah mula mengabaikan kami sekeluarga.
Hampir menitis airmataku kala itu namun, aku perlu cekalkan hati. Bukan di sini patutnya airmataku menitis. Desis hatiku yang tidak pernah suram dengan dendam.
“Mak tengok Fiah dah susut benar!” beritahu emak semasa aku sudah melabuhkan duduk di sofa usang di tengah-tengah rumah kami.
“Fiah sibuk sikit, mak! Banyak kerja kat pejabat,” jawabku lantas tersenyum kelat.
“Kak Anah ada kat rumah dia, mak?”soalku kemudian.
Emak mengangguk.
“Suami dia pun ada ke?”
Emak mengangguk lagi.
“Cepat benar mereka keluar hospital! Mereka dah sihat betul ke, mak? ” soalku lagi.
Aku mengangkat wajah menyoroti bening mata tua emak dengan harapan dia tidak lagi sekadar mengangguk. Kali ini aku ingin mendengar suaranya. Lama emak merenungku sebelum menjawab.
“Dah, cuma Amira dengan Amir sajalah yang tak nak naik motor lagi!”
Walau emak cuba tersenyum saat bola mata kami bertentangan, tapi aku masih dapat rasakan sesuatu telah menimpa keluarga kami lagi untuk ke sekian kalinya.
Tersayat hati bila mengenangkan keluarga yang tidak pernah sunyi daripada masalah.
Aku bangkit menuju ke bilik. Meninggalkan emak sendirian di ruang tamu. Fikiranku benar-benar kusut. Buat masa ini, aku tidak dapat memikirkan masalah keluargaku. Biarlah dulu!
Masih jelas peristiwa beberapa minggu lalu hingga aku membawa rajuk yang panjang tanpa memikirkan perasaan emak. Ah, aku benar-benar sayu!

BAB 2
PETANGNYA, aku melangkah pantas ke arah rumah batu separuh siap itu demi mendengarkan jeritan Kak Anah.. Fikiranku yang tidak pernah lapang itu, benar-benar terganggu oleh suara nyaring Kak Anah.
Emak sudah terlebih dahulu meluru ke arah muka pintu yang sememangnya terbuka luas. Saat aku tiba, Kak Anah sedang mengerang kesakitan dan sekelipan itu, aku terdengar deruman enjin kereta suaminya dari arah belakang rumah.
Aku dan emak berpandangan sesama sendiri saat terpandang wajah Kak Anah dengan bibir yang berdarah.
Emak pantas mendapatkan Kak Anah. Kedua-dua anaknya juga turut menangis di sisi Kak Long.
“Kenapa, Anah?” soal emak cemas.
Kak Anah membisu. Dia menangis. Tunduk menghadap lantai bagaikan pesalah yang baru sahaja dijatuhkan hukuman.
“Mak tanya, kenapa ni? Apa Zali dah buat pada kau lagi kali ni?” tanya emak lagi dan kali ini Kak Anah tetap membisu.
Hanya tangisan halus yang menjadi jawapan pada kami. Emak nampak sudah tidak sabar. Emak mendekat dan tidak semena-mena bahu Kak Anah dipaut kasar.
“Waznah, mak tanya kau ni?!” jerkah emak tiba-tiba.
Tubuh Kak Anah yang tampak lemah itu terliuk lintuk akibat goncangan emak. Memang emak sudah hamper hilang sabar dengan keadaan rumahtangga Kak Anah yang kian pincang.
Tidak perrnah aku lihat emak bertindakan demikian. Aku sendiri pula, bermatian-matian cuba membela nasib Kak Anah daripada zaman remajaku lagi hinggalah sekarang.
Serentak itu, Kak Anah sudah menyapa tubuh emak ke dalam pelukannya. Anak-anaknya juga turut menangis. Aku mula menghampiri.
“Mari dekat Acu, Amira... Amir!” Aku menggamit pada dua beradik itu.
Mereka tidak menanti lama. Sekelipan sahaja, mereka sudah berada dalam pelukanku dan sedaya upaya aku cuba memujuk anak-anak ini.
“Acu bila balik?” tanya Amir, anak bongsu Kak Anah selepas tangisannya reda.
Aku tersenyum. Amir juga kerana pastinya dia tidak mengerti dengan apa yang berlaku terhadap uminya dalam usianya yang baru menjangkau lima tahun itu. Tidak pula pada Amira yang sudah berada dalam tingkatan tiga. Dia masih teresak-esak di ribaanku.
“Acu sampai pagi tadi! Amir dah makan? Acu belanja KFC, nak?” ujarku cuba meredakan keadaan dengan mengalih perhatiannya daripada uminya.
Dia sekadar mengangguk. Lantas terukir senyum gembira tapi lain pula pada kakaknya. Hanya itulah yang dapat ku jadikan umpan untuk memujuk anak ini.
“Amira, dah la tu. Kenapa nangis ni? Bawa adik main kat luar... Acu dengan Tok Mak nak cakap dengan umi jap!” arahku pada Amira.
Dia yang masih menangis sekadar mengangguk dan mengikut sahaja arahanku.
“Kenapa, Anah?” Suara emak kedengaran lagi dan kali ini lebih perlahan daripada tadi. Mungkin cuba memujuk Kak Anah supaya bersuara.
“Abang Zali, mak!” jawab Kak Anah dalam esak tangisnya.
“Apa lagi yang Zali dah buat pada kau, Anah?” soal emak diselangi dengan keluhan berat.
Aku tahu emak cuba membendung kepiluan hatinya bila Kak Anah dikasari suami kerana emak sentiasa sedar yang Kak Anah bukan lagi tanggungjawabnya. Abang Zali yang lebih berhak.
Padaku pula, hak Abang Zali memang tidak pernah ada bila dia tidak sudah-sudah puas menyakiti hati keluarga kami hinggakan Kak Anah selalu dikasari, diherdik dan dihina sesuka hatinya. Tak cukup dengan itu, aku dan emak turut dilibatkan.
“Fiah....!” Suara emak membawa aku memandangnya.
Emak menghulurkan satu pandangan yang benar-benar sukar untuk aku ertikan. Bening mata tuanya tampak redup di mataku tapi gelora di dalam siapa yang tahu.
“Kak Anah,” panggilku.
“Kenapa ni? Mak tanya tu... kenapa boleh jadi macam ni?” sambungku perlahan cuba mengawal amarahku yang juga mula mendidih.
Kak Anah panggung kepala. Dia memandangku pelik. Mungkin tidak percaya bila aku berada di depan matanya hari ini.
“Fiah balik semalam, Kak Anah!” Maklumku yang mengerti dengan persoalan di sebalik benaknya.
Dia mengangguk. Tangisnya juga sudah agak reda. Cuma yang tinggal, hanyalah lebam-lebam di bahagian hujung kening dan sekitar bibirnya sahaja yang membuatkan aku dihenyak dengan pelbagai persoalan.
“Maafkan Anah, mak!” ucap Kak Anah sayu.
“Kenapa Anah? Anah tak pernah buat mak marah. Kenapa Anah nak minta maaf?” protes emak sambil mengusap belakang badan Kak Anah.
Aku sekadar memerhati.
“Anah sendiri dah tak tahu macam mana Anah nak buat lagi supaya rumahtangga Anah aman, mak? Anah dah tak sanggup, mak!” luah Kak Anah beremosi.
Kali ini, aku yakin akan apa yang berlaku pada Kak Anah adalah kerana Abang Zali, suaminya.
Aku bangun dan berlalu ke dapur. Membiarkan Kak Anah bersama emak. Aku kutip kaca-kaca yang bertaburan di lantai dan terus menyapu serta mengelap lantai supaya serpihan kecil kaca benar-benar tiada bersisa.
“Mak tak mampu nak campur tangan dalam urusan keluarga kau, Anah! Kau sendiri yang kena bincang dengan suami kau! Mak pun tak nak tengok kau macam ni seumur hidup. Dari tak ada anak, sampai anak dah dua, suami kau tu tak pernah nak berubah!” bebel emak perlahan. Ada nada getar pada hujung suaranya.
Aku yang masih mengelap lantai dapur, sekadar memasang telinga. Tarafku sebagai adik, telah membataskan segala-galanya. Kerana taraf itu jugalah, aku masih mampu bersabar dengan setiap layanan abang iparku itu terhadap kami sejak aku di usia remaja lagi.
“Anah dah cuba, mak! Mak tengoklah apa dia buat pada Anah kalau Anah cakap lebih-lebih. Tubuh Anah ni... dah tak mampu nak tanggung sepak terajang Abang Zali, mak!” adu Kak Anah pada emak. Kali ini, esak Kak Anah kembali keras.
Aku dapat dengar dengan jelas yang emak melepaskan keluhan berat. Benar kata emak, kami tidak mampu mencampuri urusan rumah tangga Kak Anah. Kak Anah adalah tanggungjawab suaminya. Hak mutlak Abang Zali.
Kami tidak mahu kiranya campur tangan kami akan mengeruhkan lagi hubungan Kak Anah. Andai terjadi sesuatu yang buruk, pastilah anak-anaknya yang menjadi mangsa. Tapi, sampai bila Kak Anah perlu bersabar dan kami perlu diam sekadar menjadi penonton?
“Sudahlah, Anah! Mari mak sapu ubat kat muka kau tu! Fiah bawak dalam laci tu pada mak, nak!”
“Ya, mak!”
Aku bergegas ke arah meja kecil di sudut dinding rumah Kak Anah. Hatiku curiga! Mengapa emak tahu di mana letaknya ubat di rumah Kak Anah dan pantas akalku mentafsirkan jawapanku sendiri.
Hatiku tidak putus menyumpah suami Kak Anah. Pastilah emak sudah merahsiakan terlalu banyak perkara dari pengetahuanku.
“Tak jumpa ke, Fiah?” Suara emak sedikit terjerit.
Aku tersentak dan cepat-cepat bergegas semula ke tempat emak dan Kak Anah. Ubat kuning itu ku hulurkan pada emak dan melabuhkan duduk di sisi emak.
“Mari sini, Anah!”
Aku lihat Kak Anah mendekat dan menyuakan mukanya pada emak.
“Mak bukan apa, Anah...” suara emak kedengaran sayu. Tangannya masih melekap pada kesan luka di wajah kakakku itu.
“...mak tak mahu anak-anak kau fikir yang bukan-bukan bila Zali asyik layan kau macam ni! Mak tak nak budak-budak tu terpengaruh. Mungkin Amir tu tak berapa faham, tapi Amira tu dah masuk sekolah menengah. Dah boleh menilai!”
Aku mengangguk sendiri mendengarkan kata-kata emak pada Kak Anah kerana itulah juga yang terlintas di fikiranku. Kasihan pada anak-anak!
Kak Anah memandangku lantas tersenyum sedikit. Namun begitu, aku masih dapat melihat perasaan sebu dan sayu di sebalik anak matanya yang kembali berkaca itu.
“Mungkin ini adalah balasan atas dosa-dosa Anah dulu, mak!” ucap Kak Anah lirih. Serentak itu, laju saja titisan jernih itu jatuh ke pipinya.
Aku dan emak berpandangan sesama sendiri. Kemudian kami mengalihkan pandangan pada Kak Anah yang terus menekur pandangan ke lantai. Pastilah dia teringatkan peristiwa hitam itu.

BAB 3
“MEMANG salah saya, bang! Memang saya yang berdosa tapi abang tu yang nak sangat nikah dengan saya dulu! Nak membela nasib wanita lemah konon. Bela pa macam ni, bang? Tak puas lagikah abang buat saya dan keluarga saya macam ni? Emak salah apa pada abang? Fiah tu pun salah apa?”
Aku terdengar suara Kak Anah saat aku hampir tiba di ambang pintu rumahnya satu pagi itu. Langkahku mati di situ. Pasti Abang Zali ada!
“Baguslah Waznah kalau kau tahu salah kau! Aku memang tak suka, malah benci dengan keturunan kau tapi sayang, aku tak boleh buat apa-apa sebab anak aku dah lahir dalam keturunan kau!” jerit Abang Zali dan aku terus memasang telinga.
“Habis tu, kenapa abang nak sangat nikah dengan saya dulu? Kenapa abang nak saya kandungkan anak-anak abang? Kenapa, bang?” bidas Kak Anah meninggi.
Jarang benar Kak Anah bertempik demikian dengan suaminya. Kali ini, suara Abang Zali tidak kedengaran.
“Abang tu yang sememangnya lupa daratan. Abang dah lupa agaknya, berapa lama keluarga saya tanggung hidup kita sebab sikap abang yang tak bertanggungjawab tu!”
Aku terpempan seketika. Tidak percaya dengan kelantangan suara Kak Anah. Bukahkah selama ini dia sekadar menerima sahaja apa-apapun yang ’dihadiahkan’ suaminya? Pasti dia sudah tidak mampu menahan rasa.
“Kau jangan nak kurang ajar, Anah! Kau tu yang patut bersyukur sebab aku sudi nikah dengan kau yang dah kandungkan anak luar nikah tu! Lagipun, kalau keluarga kau baik sangat, kenapa ayah kau curang dengan mak kau dulu?” jerit Abang Zali.
Kali ini, aku hampir pitam. Pantas aku paut dinding rumah Kak Anah. Betapa Abang Zali sentiasa menjadikan hal itu sebagai ’senjatanya’ untuk menyerang kami hinggakan kami tidak mampu berbuat apa-apa. Intonasi yang benar-benar menghina.
Saat ini, dapat ku bayangkan bagaimana dengan mimik wajahnya. Pastilah dia tersenyum puas kerana sekali lagi dapat menghina keluarga aku. Kali ini, aku tidak berharap Kak Anah tertunduk tewas seperti sebelumnya.
Aku mahukan balasan dari Kak Anah. Andai itu satu dosa, biarlah aku yang menanggungnya bagi pihak Kak Anah.
Mujur juga anak-anaknya tiada kerana mengikut emak ke rumah jiran. Andai tidak, tak dapat aku bayangkan bagaimana perasaan mereka melihatkan ibu bapa yang sentiasa bergaduh.
“Ya! Memang saya mengandungkan anak luar nikah masa tu, tapi abang tu yang tergila-gilakan saya sangat, kenapa? Kononnya nak bertanggungjawab tapi apa yang abang dah buat pada saya dan keluarga saya? Sepanjang masa abang hina kami sekeluarga. Saya tak kisah abang hina saya bang, tapi abang tak layak nak hina keluarga saya yang lain. Mereka tak pernah salah. Abang tu yang memang tak nampak belas ihsan keluarga saya pada abang! Kalau nak dibandingkan dengan keluarga abang yang mulia tu, apa yang mereka hulurkan pada kita?”
Aku tersenyum sedikit bila Kak Anah membidas kembali kata-kata suaminya dengan suara yang terus meninggi. Aku benar-benar bencikan abang iparku itu. Malah, hinggakan aku berdoa supaya dia tidak wujud lagi di dunia ini.
“Memang ayah pernah buat silap, bang! Tapi, itu masa mudanya. Masa tu, Fiah masih kecil lagi, bang! Lagipun, ayah dah lama tak ada. Kenapa abang masih nak ungkitkan hal ini? Bukannya abang tidak pernah tahu latar belakang keluarga saya, bang!” Suara Kak Anah kembali kendur. Ada sendu di hujung kata-katanya.
Aku tahu, dia sedang membendung kesedihan di relung hatinya. Kerana selama ini dia telah banyak menanggung penghinaan dari suami sendiri. Benar!
Segala-galanya benar tentang tuduhan Abang Zali pada keluarga kami. Tapi, perkara itu sudah hampir 12 tahun berlalu.
Masa itu, aku baru sahaja dalam tingkatan dua bila Kak Anah melakukan kesilapan itu pada umurnya 17 tahun. Aku sekadar menitiskan airmata bila emak memukul Kak Anah satu malam itu 12 tahun dulu dengan kayu hokiku yang aku sandarkan pada sudut dinding rumah. Kerana peristiwa itu, keluarga menanggung malu besar.
Sejak itu, kami tak sudah-sudah dicerca. Memandang kami dengan pandangan yang jijik dan aku sendiri telah membesar tanpa teman-teman. Aku meniti waktu remajaku dengan hinaan orang kampung.
Teman baikku dari zaman kecilku iaitu Zura juga meminggirkanku dan menjaja kisah pedih itu di sekolah hinggakan aku menjadi kera sumbang. Padahal akulah yang banyak membantunya dalam pelajaran.
Datangnya hanya mengharapkan bantuan, dan perginya saat aku tidak diperlukan lagi. Tersisih benar rasanya.
Semakin lebat hinaan orang jatuh mencurah, semakin tebal hatiku bersalut lumpur dendam hinggakan zaman remaja yang sepatutnya berlalu bersama kenangan indah, melintas di hadapanku begitu sahaja. Tanpa sapaan, tanpa salam.
“Tengok Wafiah tu, jangan-jangan dia pun bunting anak luar nikah macam kakak dia nanti!”
Masih segar di benakku akan kata-kata dari Makcik Zahrah, mak Zura. Betapa sakitnya hatiku kala itu. Sehinggakan dia tidak membenarkan anaknya, Zura berkawan denganku lagi walaupun waktu itu, aku hanya di tingkatan dua.
Aku tahu, selepas itu Kak Anah benar-benar menyesal atas peristiwa itu. Kami semua yakin itu dan aku juga tahu, dia benar-benar bahagia bila Abang Zali sudi mengahwininya.
Namun, entah di mana silapnya, dua minggu selepas hari pernikahan, Kak Anah keguguran. Aku tahu, Abang Zali yang menendang bahagian perutnya tapi bila emak bertanya, Kak Anah sekadar diam dan aku sendiri tidak berani bersuara pada usiaku semuda itu. Semuanya masih jelas di layar mataku.
Penderitaan Kak Anah bertambah bila keluarga Abang Zali menentang keras pernikahan mereka hinggakan Kak Anah dilayan bagaikan hamba abdi yang tidak punya hati perasaan bila satu jangka waktu itu, Kak Anah berada di rumah mereka sehinggalah dia nekad pulang ke rumah usang kami sehingga hari ini dan sejak itu, hubungan Kak Anah dan suaminya terus dilanda gelora dan sengketa.
“Kalau dah dasar keluarga tak bermaruah tu, memang sampai bila-bila tak bermaruah!”
Aku tersedar dari ingatan lampau bila suara Abang Zali kembali bergema di ruang tamu rumah yang sempit itu. Panas di cuping telingaku makin membahang. Kasabaranku sejak dari tadi menipis dan kini sudah hampir tercarik.
“Adik kau Si Fiah tu, entah apa yang dilakukannya kat Kuala Lumpur tu. Mewah sangat sampai dah boleh beli kereta lepas tu kirim duit beratus-ratus sebulan! Entah-entah dijaja tubuhnya dekat lorong-lorong mana entah!”
Kali ini, kesabaranku koyak rabak. Rasa hormatku pada Abang Zali sudah lama benar hilang. Sejak pertama kali aku terdengar dia menghina keluarga lagi dan kini, tiada langsung!
Sudah puas agaknya Abang Zali mencerca Kak Long dan arwah ayah hinggakan namaku pula dikaitkan. Aku merempuh pintu yang sedikit terkuak itu.
“Abang Zali!” jeritku selepas daun pintu ternganga luas.
Dia nampak terperanjat dengan kedatanganku. Pastilah dia tidak menjangka yang aku berada di kampung kerana tidak nampak keretaku di depan rumah. Aku lebih senang pulang menaiki kapal terbang supaya aku tidak letih benar kerana memandu dalam keadaan yang tergesa-gesa seperti ini.
“Kenapa dengan Abang Zali ni, hah? Tak habis-habis nak menghina keluarga Fiah!” serangku.
Dia memandang tepat ke arahku. Mungkin tidak menyangka yang aku turut temui keberanian untuk menjerit padanya sebagaimana Kak Anah. Saat itu, aku terasa telapak tangan Kak Anah di belakangku.
Kali ini, amarahku sudah tidak dapat disabarkan lagi. Pasti meletup sebentar lagi andai Abang Zali masih tidak henti-henti mengata kami sekeluarga. Aku sudah kalah dalam mempertahankan kesabaran. Ternyata iman di hatiku masih belum sekuat mana.
“Yang kau ni, Fiah... dah pandai kurang ajar?” tempelak Abang Zali dalam nada getar. Aku tahu dia kaget dengan kemunculanku.
“Fiah ke yang kurang ajar dengan Abang Zali?” soalku keras.
“Fiah rasa, Abang Zali yang buatkan Fiah jadi kurang ajar dengan abang! Kenapa mesti nak libatkan nama Fiah? Abang tahu ke apa yang Fiah buat kat KL tu? Kalau benarpun Fiah buat duit dengan cara haram, abang ingat sikit yang abang pun turut sama makan duit haram Wafi tu!”
Hatiku benar-benar sebal sehinggakan aku terus mengungkit semua perkara yang telah aku lakukan pada keluarganya.
Abang Zali mendekat setapak. Matanya bernyala-nyala bagaikan sedang menahan marah yang menggunung. Ah, aku tidak peduli! Aku juga tidak berganjak walau seinci.
Kali ini, aku benar-benar nekad untuk melawan balik setiap perlakuan lelaki kurang ajar ini kerana aku sudah tidak memandangnya sebagai suami pada kakakku lagi tapi sebagai lelaki yang cuba merosakkan kakakku dan anak-anaknya.
“Kau jangan nak jadi kurang ajar macam Kak Anah kau ni, Fiah! Kau tu baru setahun jagung, apa yang kau tahu pasal semua ni? Entah-entah kau memang buat duit haram Fiah, sebab tu kau terasa,” balasnya lantas tersenyum penuh sinis padaku.
“Woi, Zali!” Kini, hilang sudah perkataan abang pada pangkal namanya.
“Kau sedar tak yang duit haram itulah yang aku kirim pada keluarga kau untuk menyara hidup anak isteri kau, tau tak? Duit haram itulah yang membolehkan kau mampu sekolahkan anak-anak kau. Duit haram itulah yang kau buat joli siang malam tanpa fikirkan kebajikan anak isteri!!” jeritku bagaikan sudah dirasuk satu kuasa.
Hilang sudah nama Fiah pada kata-kataku. Aku benar-benar marah dengan situasi ini. Aku benci!
“Wafiah...” sergah Kak Anah tiba-tiba. Sedikit terperanjat aku dibuatnya.
Aku kalih pada Kak Anah yang jelas menunjukkan wajah tidak puas hati padaku. Pasti tidak suka aku membahasakan diriku sedemikian dengan suaminya. Ah, Kak Anah masih lagi seorang isteri. Aku pula yang hampir terlupa.
“Kau memang kurang a....”
“Ya, aku memang kurang ajar, Zali!” pangkasku. Nafasku turun naik menahan amarah yang sudah sampai ke kemuncaknya.
“Memang aku kurang ajar sebab kau dulu yang kurang ajar dengan kami sekeluarga. Apa keluarga aku dah buat pada kau, hah? Duit untuk anak-anak kau, aku yang kirimkan. Segala perbelanjaan, aku yang tanggung! Termasuk untuk kau sendiri! Walau Kak Anah tak cakap, tapi aku tahu. Kalau nak harapkan duit halal keluarga kau tu, kau dengan keluarga kau boleh mampus, tau tak?” bentakku kuat.
Bergema rumah Kak Anah. Aku bagaikan sudah tidak sedarkan diri. Tapi, selepas seketika, aku kembali berpijak di bumi nyata. Aku mula sedar yang aku berada di rumah Kak Anah dan sedang bertekak dengan suaminya.

Aku meraba pipiku yang terasa pijar dan kalih pada Kak Anah. Mencerunkan pandangan yang tidak mengerti dengan sikapnya yang masih mempertahanankan lelaki jahanam itu.
Ku lihat, airmata Kak Anah menitis perlahan dan kini tahulah aku yang kemenangan sekali lagi berpihak pada jantan dayus itu. Aku segera melangkah keluar dari rumah yang membahang itu.
Tidak betah lagi rasanya berada bersama mereka yang terlalu hipokrit pada diri sendiri. Termasuk Kak Anah! Aku benci!

...bersambung...

4 comments:

  1. sesi taaruf watak yang sgt mendebarkan...intro yang menyentak minda..huihhhh....

    ReplyDelete
  2. Knpa sampai bab 3 je...novel ni best

    ReplyDelete
  3. Knpa sampai bab 3 je...novel ni best

    ReplyDelete
  4. Knpa sampai bab 3 je...novel ni best

    ReplyDelete