Tuesday, August 09, 2011

TERLERAI KASIH 4, 5, 6


BAB 4

AKU sedang mengemas pakaianku ke dalam beg galas saat emak datang padaku pagi itu. Aku sekadar diam tidak berkata apa-apa. Hanya tangan yang masih ligat menyumbat semua saki baki pakaianku ke dalam beg. Pasti emak sudah mengetahui segalanya daripada Kak Anah. Aku tidak peduli.
Kali ini, hatiku benar-benar retak mengenangkan sikap darah dagingku sendiri. Aku benci bila teringatkan senyuman sinis yang tersungging pada bibir birat Abang Zali saat aku menerima tamparan dari Kak Anah semalam. Penampar sulungnya padaku.
Fiah...”
Aku masih diam sambil terus melipat sehelai dua pakaianku. Kali ini, emak mendekat.
“Fiah, kenapa kemas beg ni? Fiah nak balik Kuala Lumpur dah ke? Fiah cakap cuti seminggu?” soal emak bertubi-tubi.
Aku terus gumam tanpa kata. Berat rasanya mulutku untuk mengiakan kata-kata emak sebentar tadi.
“Fiah cakap nak tinggal lama sikit, tapi ni baru nak masuk dua hari, Fiah dah nak balik sana semula. Mak tinggal sorang Fiah...” sambung emak sayu.
Aku tahu emak cuba mengaburi fikiranku dengan suara sayunya dan dia cuba memancing perasaanku kala ini. Walaupun aku hampir memakan umpannya, namun bila dikenangkan sikap kakakku sendiri, aku terus mengebalkan hati.
“Fiah tak boleh nak tinggal lama kat rumah ni, mak! Fiah benci dengan keadaan ni. Daripada Fiah kecil sampai Fiah dewasa, Fiah lalui semua ni, mak! Dengan kejadian Kak Anah dan suaminya, lebih-lebih lagi ayah....” Meninggi sahaja suaraku.
Tanpaku sedar, lidahku lancang mengungkit kisah arwah ayah. Aku tidak jadi meneruskan kata bila sedar akan keterlanjuran tutur kataku. Emak memandangku tidak berkedip.
Mungkin tidak percaya yang kata-kata itu boleh terlontar dari celah bibirku kerana selama hidupku, tidak pernah aku mengusulkan peristiwa itu.
Aku menunduk wajah ke lantai yang beralaskan tikar getah warna biru di bilikku ini. Rasa bersalah terus menerus menyerang jiwa. Pasti emak kecewa dengan sikapku kali ini.
“Memang Kak Anah salah masa tu, Fiah! Dia sendiri sedang terima hukuman atas semua tu. Tapi, mak dah lama maafkan Kak Anah. Sama jugak dengan arwah suami mak, Fiah. Itu kesilapan masa mudanya. Lagipun, arwah dah tak ada, buat apa mak nak dendam pada yang sudah pergi.”
Kata-kata emak bagaikan sengaja ditujukan untukku. Aku gigit bibir bila merasakan yang emak sengaja menyindirku kalau tidak, masakan dia menggunakan bahasa ‘suami mak’ dan bukan pula ‘ayah Fiah’ seperti kebiasaannya.
“Mak nak jumpa suami mak lagi kat akhirat sana, Fiah. Mak tak nak dia terseksa dengan seksa Allah sekiranya mak tak maafkan dia. Siapalah kita untuk tidak memaafkan sedangkan semulia-mulia Rasulallah pun, baginda sanggup tunduk memaafkan musuh-musuhnya. Apatah lagi, mak yang hina ni. Lagipun, mak tahu yang arwah benar-benar menyesal sebab abaikan kita masa tu! Tapi, dia benar-benar sayangkan mak dan anak-anak dia, Fiah!” ujar emak sayu.
Suaranya tertahan-tahan. Aku tahu emak sedang sedih. Pasti dia kesal dengan sikapku kini. Aku sendiri pula sedang mengutuk diriku kerana begitu lancang lidah mengungkit kisah silam arwah ayah. Rasa ingin ditampar sahaja mulutku sendiri.
“Maafkan Fiah, mak!” ucapku perlahan sambil meraih tangan emak ke dalam genggamanku. Mengharapkan dia mengerti akan penyesalan dari hati kecilku. Emak tersenyum namun pada bening matanya, ada takungan air jernih di situ.
“Fiah tak sengaja, mak!” akuiku pada emak. Memang itulah yang ku rasakan. Aku tidak sengaja meluahkannya. Emak menggeleng sedikit.
“Memang itulah yang akan terjadi kalau hati penuh dengan perasaan marah dan dendam, Fiah.”
Sekali lagi aku terpukul dengan kata-kata emak. Sungguh! Benar katanya yang aku dalam keadaan marah yang teramat dan dendam yang lama terpadu di hati.
“Fiah tau, mak tapi Fiah sakit hati bila Kak Anah selalu sangat pertahankan suami dia yang memang tak berhati perut tu, mak! Sedangkan Si Zali dah herdik hina dia macam-macam. Perangai macam puaka!” luahku tidak puas hati.
Wajah emak ku jeling sekilas. Emak senyum lagi sedangkan air wajahku sudah terasa keruh benar.
“Ish... tak baik cakap macam tu, nak!” tegur emak lembut.
“Kak Anah tu seorang isteri, Fiah. Bagaimanapun Zali layan dia, selagi dia bergelar isteri, dia wajib pertahankan suaminya andai suaminya dihina. Syurga dia masih ada dengan Zali. Fiah tak boleh nak panggil Zali macam tu. Dia tetap abang ipar Fiah!” sambung emak lantas duduk di birai katil.
Aku hanya mendengar tanpa minat. Benci, muak setiap kali nama lelaki itu diungkit di cuping telingatku. Emak tiba-tiba meraih tanganku. Diusap lembut belakang tanganku.
“Fiah belum melalui lagi perasaan macam tu sebab Fiah masih belum bergelar seorang isteri. Satu hari nanti, Fiah pasti tahu macam mana perasaannya memaafkan orang yang kita sayang tak kisahlah kekasih, tunang atau lebih-lebih lagi suami. Itulah yang emak pernah buat dan Kak Anah sedang buat. Dendam tak akan bawa kita ke mana-mana, nak,” terang emak panjang lebar lantas bangun meninggalkan aku sendirian.
Dapat ku rasakan eratnya genggaman emak kali ini dan terkesan jua olehku emak mengesat tubir matanya dengan hujung lengan baju kurung kedah yang tersarung di badan.
Aku terhenyak sekali lagi. Mungkin benar kata emak, yang aku masih belum merasai perasaan itu kerana aku sendiri tidak pernah membenarkan perasaan itu singgah di birai hatiku sekalipun kerana aku takut, andai itu berlaku, aku tidak mampu memaafkan kerana aku hidup dengan meniti pengalaman yang menakutkan apatah lagi selepas seorang lelaki yang bernama Fazlee meninggalkanku.
Dulu, aku punyai dia untuk menyandarkan kepala ke bahunya tapi entah di mana silapnya, dia pula yang merobek hatiku dengan menimbulkan salahku untuk menutup sikapnya. Aku terima semuanya sebagai satu takdir dalam hidupku biarpun begitu payah untuk ku telan, begitu sukar untukku buang.
Perasaanku sayu. Ingatan pada Fazlee datang lagi bersama lirikan dan senyumannya. Kelopak mata terasa suam selepas sekian lamanya aku mengharamkan air jernih itu menodai pipiku. Dan hari ini juga aku tak akan izinkan air jernih itu melalui lekuk pipiku.


BAB 5

“WAFI!”
Aku tersentak dengan suara Fara, teman pejabatku yang berada di muka pintu bilik. Terbang segala peristiwa yang telah ku lalui beberapa minggu sudah.
“Kau tahukan kita ada meeting petang nanti. Mesyuarat dengan client. Encik Azhan minta kau bentangkan laporan kedudukan kewangan syarikat,” beritahu Fara sedikit terjerit. Seakan-akan memberi arahan padaku.
Aku mencebik. Malas hendak di layan pembantu akauntan yang merangkap teman baikku itu yang kini secara tidak rasmi sudah merangkap jawatan setiausaha kepada bos aku.
“Kau dengar tak?!” Jeritnya bila aku sekadar buat tidak tahu.
Aku lantas memandang wajahnya.
“Dia tak cakap dengan aku pun!” jawabku bernada protes.
Masakan aku diminta membuat pembentangan sedangkan aku tidak diberitahu terlebih dahulu tentang mesyuarat ini. Bila masa pula aku nak update semua laporan! Ini pun sudah menghampiri waktu makan tengah hari! Omelku di dalam hati.
“Tadi kau ke washroom, tu dia pesan dengan aku!” balas Fara.
Mahu saja aku minta Encik Azhan membatalkan mesyuarat hari ini. Aku tidak suka bila diberi kerja tanpa date-line yang betul. Hampir saja sabarku hilang.
Kata emak, manusia yang kalah adalah manusia yang tidak dapat mempertahankan kesabarannya dan aku tidak mahu menjadi seseorang yang kalah biarpun sebelum ini sudah berkali-kali aku tertewas dengan amukan badai.
Aku sudahnya mengangguk juga tanpa banyak soal dan kembali menghadap skrin leper komputer di depanku. Cuba untuk menyediakan laporan yang terakhir sehingga hari ini. Tidak dapat tidak, aku terpaksa menyiapkannya sebelum aku dimarahi lagi oleh Encik Azhan.
“Wafi, I hope you already know about the meeting this afternoon. Sharp at 2.30 p.m. and you have to present the latest financial report to clients and consultants!”
Suara Encik Azhan yang tiba-tiba benar-benar membuatkan aku terperanjat besar. Wajahnya terjengul di ambang pintu. Hampir terlompat keluar jantungku.
“Yes, boss! Saya tengah siapkan. Cuma part Faralina je saya minta dia siapkan!” jawabku meredakan rasa terkejut.
“Nope, Wafi!” Encik Azhan menggoyangkan jari telunjuknya padaku.
“That was not Fara’s job! You suppose to know what she’s doing! I nak you siapkan semuanya. As simple as that. Don’t bother her! She’s might be busy!” sambungnya lantas berlalu.
Tercengang aku dibuatnya. Si Fara dia kata sibuk! Aku tengok dari tadi dok membelek kuku dan jemarinya!
Encik Azhan ni memang dah kena minyak cenuai ke apa dengan si Fara ni! Sedangkan Fara adalah pembantu akauntan di sini pada asalnya. Entah bagaimana dia diminta menjadi setiausaha Encik Azhan.
Setiausaha bidan terjun yang akhirnya menjawat jawatan itu secara kekal! Hatiku mendongkol geram.
Sabar, Wafi! Sabar! Jangan kau tewas! Pujuk hatiku. Aku menghela nafas panjang dan cuba meredakan amarahku yang mula membakar hati dan seketika kemudian, aku kembali menyambung kerja-kerja yang tidak pernah luak.


BAB 6

KELAM-KABUT! Mulutku tidak berhenti merungut. Aku bersendirian menyiapkan laporan kewangan yang perlu dibawa ke dalam mesyuarat nanti. Ada pembantu pun macam tak ada! Hampeh punya kawan baik. Rungutku sendiri.
Masakan tidak, dengan senyum selambanya, dia melalui pintu bilikku beriringan dengan Encik Azhan dan membiarkan aku sendirian terkial-kial menyusun semua laporan.
Masa untuk bermesyuarat sudah hampir. Kertas-kertas yang baru keluar dari mesin pencetak ku kemaskan satu persatu sehinggalah wajah Fara muncul semula di pintu bilikku.
“Wafi, kau dah lambat ni! Baik cepat sebelum Encik Azhan marah! Ni pun dia dah minta aku panggilkan kau!”
“Aku nak datang la ni!” balasku geram. Lantas ku jegilkan mata padanya.
Fara tersenyum dan terus berlalu. Aku menarik nafas dan beristighfar berkali-kali sambil mengurut dadaku berkali-kali supaya sabar itu terus melilit hati.
Setelah semuanya selesai, aku tiba di bilik mesyuarat setelah terlambat dalam sepuluh minit. Pandangan Encik Azhan telah membuatkan aku mempercepatkan langkah. Tidak mahu membuatkan Encik Azhan marah.
Dia ku dekati, ”Maafkan saya, bos!” pintaku perlahan.
Tanpa suara dia mengisyaratkan aku supaya mengambil tempat dan dia memulakan mesyuarat.
“Selamat datang pada semua. Actually we don’t have any major issue, just to present IF Tower project financial and physical status. Wafi, you can proceed!” arah Encik Azhan selepas dia membuka mesyuarat.
Aku mengangguk.
“Assalamualaikum and very good morning to all. Terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan semua. Seperti tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, mesyuarat ini diadakan setiap dua bulan sekali untuk kita mengetahui perkembangan terbaru status kewangan dan status fizikal projek,” ucapku sambil mengedarkan laporan yang telah ku cetak sebentar tadi.
“Bos, boleh saya teruskan?” Aku meminta keizinan daripada Encik Azhan seperti biasa sebagai tanda hormatku.
Encik Azhan pendek sambil tersenyum lantas mengangguk.
“Terima kasih, bos! Seperti yang semua dapat lihat pada laporan yang telah saya edarkan sebentar tadi, itulah kedudukan terkini status fizikal dan status kewangan bagi projek IF Tower. Alhamdulillah, status fizikal adalah seperti yang telah kita tetapkan begitu juga status kewangan. Untuk setengah tahun pertama ni saya yakin kita tak akan mempunyai masalah untuk kemajuan fizikal dan kewangan cuma yang saya risaukan adalah untuk setengah tahun kedua nanti memandangkan pihak IF Group masih belum menghantar dokumen kelulusan peruntukan kepada syarikat kami.”
Aku memakukan pandangan kepada Izham, salah seorang orang kuat IF Group.
“Encik Izham, setakat hari ni kedudukan kewangan syarikat kami masih kukuh cuma untuk projek ini kita masih menunggu peruntukan bagi setengah tahun kedua daripada IF Group Sdn. Bhd. Sekiranya peruntukan itu masih belum kami terima, bimbang sekiranya kemajuan projek akan terlewat daripada yang telah kita jadualkan dan saya yakin pihak IF Group tak mahu sebarang kelewatan!”
Aku terus menentang pandangan Izham, memberi amaran dalam diam. Sejak dua tahun sudah, pandangan itu tidak pernah berubah. Ada perasaan takut di sebalik keluhuran renungannya padaku.
Sesekali berlaga pandang jua dengan lelaki di sebelahnya yang sedari tadi tidak lepas renungannya ke wajahku. Berdebar jantung kala dia mengukir senyuman tipis buatku.
Mungkin pembantunya atau siapa saja, aku tidak kisah langsung. Yang penting perjalanan kerja kami tidak tergendala.
“Maafkan saya Cik Wafi! Buat masa sekarang kami tidak dapat mengeluarkan peruntukan seperti yang telah kami janji sebab ada pertukaran Lembaga Pengarah yang baru. Jadi buat sementara, segala aktiviti kewangan syarikat terpaksa dihentikan dalam masa seminggu dua ni. Saya janji selepas segalanya selesai, kami akan terus menyalurkan peruntukan seperti yang telah dijanjikan!” ulas Izham penuh yakin.
Pandanganku dan Encik Azhan berlaga. Dalam diam Encik Azhan memberi isyarat untuk aku menerima bulat-bulat alasan itu.
“Okey, kalau macam tu pihak kami faham segala masalah dalaman IF Group Sdn. Bhd dan saya berharap Encik Izham berpuas hati dengan laporan yang telah saya sediakan. Setakat itu saja laporan saya dan sebarang pertanyaan bolehlah diajukan pada saya sekarang!”
“Cik....,”
Aku memandang kepada pegawai di sebelah Izham. Mata kami tepat berlaga sesama sendiri. “Wafi!” sambungku sepatah.
“We are about to enter second half year, so kalau pihak kami terlambat menyalurkan allocation, is that means all the site work will be stop on the spot?”
Aku lepaskan keluhan tipis apabila soalan itu diajukan. Soalan yang terlalu bodoh untuk ku jawab.
Lelaki ini tampak sahaja berpengetahuan dan berkelayakan namun betapa cetek ilmu perniagaan yang dimilikinya, aku tidak pasti. Bodoh sungguhkah dia dalam menilai setiap perjanjian yang telah dimeterai di dalam kontrak! Bentak hatiku geram.
“That thing will never happened,” jawabku yakin.
“Seperti yang telah saya maklumkan sebentar tadi, syarikat kami masih mempunyai kedudukan kewangan yang sangat kukuh. Sekiranya berlaku kelewatan yang tidak terduga seperti ini, kami tanpa banyak soal akan dahulukan peruntukan kami supaya kerja-kerja dapat berjalan seperti biasa. Kredibiliti kami rasanya sudah terbukti... many years ago!” tegasku.
Sesungguhnya itulah kedudukan Megah Sdn. Bhd. bertahun yang lalu biarpun aku hanya berusia tiga tahun lebih menjadi keluarga syarikat ini.
“Ya, betul tu. Just mark her words!” sokong bosku pula.
Suara Encik Azhan yang jelas menyokongku membuatkan aku tersenyum puas. Puas kerana dapat mendiamkan seorang lelaki yang pertama kali ku tatap wajahnya.
Sedikit sebanyak panas hatiku reda selepas permintaan syarikat kami dipandang sepi oleh Izham. Bukan sekali dua aku berurusan dengannya tapi entah mengapa kali ini, alasan pertukaran dalaman itu menjadi penyebabnya. Alasan yang terlalu longgar!
Hampir saja aku menelefon sendiri bapanya iaitu Encik Fakhri demi membincangkan masalah ini namun ditegah Encik Azhan. Baginya Encik Fakhri adalah seseorang yang sangat menepati janji dan begitu disegani. Tak mungkin berlaku sebarang kelewatan melainkan dia mempunyai masalah yang tak dapat dielakkan.
...bersambung ....

No comments:

Post a Comment