Sunday, November 13, 2011

Terlerai Kasih 45

BAB 45

LANGKAHKU pegun bila bahuku ditepuk oleh Kak Anah sejurus aku merapatkan daun pintu. Hampir luruh jantung ini. Risau juga andai mak yang berbuat demikian.

“Kenapa Fiah ni?” tanya Kak Anah berbisik. Matanya melilau ke sekeliling mengawasi kelibat mak.

“Mak mana?” tanyaku kembali. Risau andai mak terdengar aku dan Ilham berhujah sebentar tadi.

“Mak kat bawah dari tadi lagi. Yang kau ni kenapa, Fiah?” ulang dia. Intonasinya agak kasar berbicara denganku kali ini.

Bibirku mesra mengukir senyum. Senyuman yang ikhlas ku rasakan selepas sekian lama aku tidak mampu menyulam keikhlasan di dalam setiap senyumku.

“Akak tanya, yang Fiah senyum ni kenapa? Apa masalahnya tadi? Sayup-sayup akak dengar kamu berdua bertekak. Mujur mak tak naik-naik. Kalau tak…” Kak Anah buat riak seriau.

Lengannya aku paut mesra lalu aku tarik dia duduk di sofa. Aku benar-benar bahagia setelah meminta sebuah perceraian daripada Ilham. Bila difikirkan, agaknya akalku sudah tidak sihat mana kerana menjadi gembira setelah membuatkan tiang Arahsy Allah bergegar dek ungkapan halal yang Dia murkai itu.

“Masalah Fiah dah hampir selesai, kak,” jawabku gembira.

“Selesai apa kalau kau pulak buat Ilham macam ni?!” sinis kakakku.

Aku tarik muka. Rasa tersiat hati dengan kata-kata Kak Anah. Tidakkah dia tahu akan derita yang aku tanggung selama ni? Tidak sukakah dia andai aku hampir pada bahagia?

“Kenapa pulak? Fiah buat Ilham macam mana?” Aku mula tidak puas hati.

“Akak dengar Ilham dah menyesal nak berbaik dengan Fiah tapi kenapa Fiah pula yang jual mahal? Tetap nak berpisah dengan dia?”

“Selepas apa yang dia lakukan pada Fiah, akak nak Fiah terima dia? Nak suruh Fiah jerut leher Fiah sendiri? Macam tu?” Aku ketap gigi. Sesungguhnya aku tersangat geram.

“Kan dia minta peluang kedua tu. Bagi akak, Fiah salah juga dalam hal ni. Kenapa tak berterus terang? Kan akak dah pernah agak, betul Ilham nampak semua tu. Cuba Fiah letak diri Fiah tempat Ilham. Boleh Fiah terima?” tanya Kak Anah lagi.

Lidahku kelu seketika. Bila difikirkan, ada benarnya kata Kak Anah tapi hati aku tidak dapat menerima kata-kata itu dengan baik. Sebolehnya aku mahu mempertahankan keputusanku biarpun satu hari nanti keputusan itu akan menjahanamkan diriku sendiri.

“Kalau Fiah di tempat dia, Fiah akan tanya terus terang pada saat Fiah nampak perkara tu. Sebab Fiah percayakan dia. Fiah cinta dia dengan sepenuh kepercayaan dan keyakinan. Tapi, Ilham tidak. Dia lebih rela letak Fiah dalam keadaan buruk macam ni. Biarpun tak lama, kak. Tapi, kesan ni akan Fiah galas seumur hidup,” gumamku keras. Aku tetap mahu bertegas dengan keputusan yang telah aku pilih.

“Akak tak kira, pada akak memang Fiah yang bersalah dalam hal ni. Fiah jangan cari dalih lagi sebab akak dah dengar semuanya. Ilham dah mengaku dia salah, yang susah sangat nak maafkan dia kenapa?”

Tersayat hati ini bila kakakku sendiri, yang ku sangka akan menyokong segala tindakanku ini ternyata membantah keras akan apa yang telah aku putuskan. Hampir saja air mataku menitis.

“Kalau Fiah mampu terima dia semula, Fiah juga nak, kak. Tapi, hati Fiah ni tetap tak mahu. Akal Fiah ni takut nak hadapi segalanya sekali lagi. Akak tak pernah lalu, sebab tu akak senang cakap,” keluhku dalam pada menahan air mata agar tidak gugur.

Baru sebentar aku merasakan bahagia biarpun keputusan itu mungkin tidak tepat, tapi saat ini dalam sekelip mata segala berubah lagi. Mengapa bahagia itu terlalu jauh untuk aku? Mengapa duka itu sentiasa mahu menghimpit diriku? Semakin ku cuba mencari rahmat-Nya, semakin jauh pula rasanya.

“Tapi, ini semua akan buat kau lagi sakit, Wafiah. Abang Zali tu, bila-bila masa je akan buka mulut dekat, mak. Kalau kata kau dengan Ilham dah berbaik, mak tak akan sedih kalau dia tahu sekalipun. Kau tak fikir ke semua ni, Wafiah? Kesannya nanti pada diri kau sendiri. Atau kau nak tunggu kau rasa menyesal menyembah ke bumi, baru kau nak terima suami kau tu?” Kak Anah genggam lenganku erat. Meluahkan rasa geram melaluinya. Aku tahu. Bila dia mula menyebut nama penuhku. Dia memang sedang marah.

Tapi, aku sesungguhnya tidak mampu. Hati aku tidak dapat menerima lagi cinta Ilham. Ada rasa serik. Luka yang dia berikan tersangat hebat andai hendak dibandingkan dengan luka yang pernah Fazlee beri.

“Dah nyata Ilham cintakan kau. Dia buat semua ni sebab dia sayangkan kau. Bukankah cemburu itu tandanya sayang?”
Minda warasku menolak keras pendapat lapuk Kak Anah tu. Pendapat yang langsung tidak boleh pakai. Yang merosakkan.

“Tak, kak.” Aku geleng. “Bagi Fiah, cemburu tu tanda kepercayaan. Untuk apa dia cemburu kalau benar dia percayakan Fiah. Tapi, Ilham tidak. Dia lebih bersifat ingin memliki daripada menyintai. Cukuplah kak. Cukuplah Fazlee dan Ilham. Fazlee tu, Fiah dah lama buang dari hidup Fiah. Tapi, Ilham ni, Fiah takut tak mampu buang kisah kami jauh-jauh. Lama-lama Fiah takut kisah ni menjadi dendam yang menyakitkan. Dari itu, lebih baik Fiah berlalu dari hidup dia dan akak, sebagai kakak kandung Fiah, yang Fiah harapkan akak menyokong Fiah tapi sebenarnya tidak. Akak biarkanlah Fiah hidup sendiri macam ni. Fiah bahagia,” ujarku panjang lebar.

Kak Anah ketawa kecil. Ketawa bersama linangan air mata yang kian sarat di tebing kelopak matanya.

“Kau memang sedang berubah menjadi Wafiah yang dulu. Macam mana kau boleh cakap kau bahagia bila kau sedang bunuh hati kau sendiri. Ingat pesan akak ni Wafiah. Jangan sampai kau menyesal. Tu, yang kak rumah akak tu, tunggu masa je nak rosakkan keluarga kita. Akak tak mampu buat apa-apa, kalau betul Abang Zali nak beritahu mak. Masa tu, jangan ucapkan rasa sesal. Jangan cakap akak tak ingatkan. Jangan kata Ilham tak nak terima kau. Semoga kau bahagia, Wafiah dengan cara kau sendiri,” ucap Kak Anah tersangkut-sangkut dek sendu.

“Pergilah solat. Nanti nak gerak balik dah. Jawapannya ada dalam diri Fiah. Tanya pada yang Fiah sujud pada-Nya, mohon ketenangan jiwa.” Dia bangkit lalu mengucup dahiku sekali lantas berlalu ke dapur.

Bibir aku ketap hebat. Benakku mula mencerna kata-kata Kak Anah tapi setelah tercerna, hati aku masih tidak dapat menerimanya. Aku lap air mata yang menari-nari di tubir kelopak mata. Aku perlu gagah. Usah berundur setelah menapak.

Sudah penat aku mempertahankan sabarku. Sudah lelah menghalang langkah suamiku dulu tapi dia tetap melangkah pergi. Saat dia pergi dulu, aku tidak pernah berharap dia menoleh lagi. Tapi, bila dia akhirnya menoleh dan melangkah semula ke arahku, hati ini tiada lagi di tempat asal. Biarlah aku hidup sendiri.

Sudahnya, aku angkat tubuh mahu ke dapur. Jam sudah menginjak ke 2 petang. Aku harus segera keluar daripada rumah mak. Tentang Abang Zali, aku yakin dia akan menghubungiku lagi untuk duit suapan dan sehingga saat itu, aku yakin yang mulutnya akan terkunci.

“Fiah jadi ke nak balik lepas ni?” tanya mak bila aku berselisih dengan dia di pintu dapur.
Rasanya dia baru saja keluar dari bilik air dengan wajah yang basah dengan wudhuk. Hati ini lega bila masih tidak tahu akan keadaan kami yang sebenar.

“Ermm, jadi mak. Am tengah rehat dulu. Kejap lagi dah solat, kami terus gerak. Am cakap banyak lagi persiapan kat rumah dia tak buat,” ujarku tenang.

“Tak apalah kalau macam tu. Fiah baliklah dulu. Lagipun Fiah jadi hak Am dah. Kalau Am kata balik, Fiah wajib ikut. Seorang isteri tu, kalau dia menjaga solat, puasa, maruah dan taat pada suami, syurga janji Allah, Fiah. Mak solat dulu.” Mak tepuk bahuku.

Terhenyak aku sendiri dengan kata-kata mak. Bagaikan disindir pula oleh mak. Namun, aku tetap tersenyum. Mak sekadar menasihati. Aku tahu dia seorang isteri yang taat pada arwah ayah tapi, mak tetap diduga. Dan aku juga turut diduga. Malah lebih hebat daripada mak mungkin.

“InsyaAllah, mak. Fiah akan jaga diri Fiah.” Sekuntum senyum aku hadiahkan buat mak dan dia terus berlalu ke dalam kamarnya.

Fiah akan jaga diri walaupun tanpa suami nanti. Andai llham tidak mahu melepaskan Fiah, Fiah akan jaga diri, maruah dia sebagai suami. Fiah akan jaga semuanya walaupun kami akan berjauhan nanti. Bisik hatiku sendiri.
******
BILA aku kembali dari mengambil wudhuk, aku lihat Ilham masih tertunduk di birai katil. Aku rapati almari dan aku keluarkan sehelai kain pelikat dan t-shirt yang memang aku beli untuknya sebelum kami dinikahkan lagi.

“Nah.” Kain dan t-shirt kuning itu aku hulurkan pada dia.

“Tukarlah. Nak solat, kan.”

Ilham tidak menyambut huluranku malah wajahku juga langsung tidak dipandang. Sudahnya, aku letak kain pelikat itu di sisinya. Aku capai telekungku lalu aku sarung ke tubuh. Sejadah aku hamparkan dan belum sempat aku mengangkat takbir, Ilham menyeru namaku.

“Fiah tunggu Am kejap. Kita solat sama-sama,” ajaknya dengan suara yang lirih.

“Tak apa. Saya solat dulu, nanti awak boleh solat pulak.” Aku menolak.

Dalam hati, aku mahu dia mengimamkan solatku. Tapi, bila mengenangkan solat pertama kami satu pagi tu, solat yang tiada doa malah aku diherdik pula selepas itu, aku jadi takut. Dia tidak ikhlas kala itu menjadi imamku dan aku yang menjadi makmumnya hanya mampu menitiskan air mata. Langsung tidak kusyuk. Cukuplah sekali. Aku tidak mahu mengulanginya.

“Kalau betul Fiah nak berlalu dari hidup Am, tunaikan permintaan Am sekali ni je. Benarkan Am imamkan Fiah,” rayunya lagi. Jemariku dipautnya dengan berlapikkan telekung putih itu.

“Am pernah imamkan Fiah sekali dah hari tu. Rasanya cukup dah. Nanti Fiah tak kusyuk.” Sedaya upaya aku cuba menolak.

Dalam hati sebenarnya aku tidak mahu hatiku lembut lagi melihatkan wajah itu basah dengan wudhuk. Telingaku ini sudah tidak mampu mendengar syahdunya suara parau itu mengangkat takbir.

“Izinkan Am,” rayunya lagi.

Lama kami bersabung pandang hingga akhirnya aku mengangguk tanda setuju. Mungkin inilah yang akan menjadi ingatan terakhir kami. Bagiku, inilah saat yang paling indah. Bila si suami mengimamkan solat, mengucapkan kata doa yang maha kudus buat Allah yang Agung dan mengucup lembut dahi ini selepas aku dengan penuh hormat mengucup jemari suamnya.

Terlalu tinggi angan ini aku gantung. Hinggakan tidak tercapai oleh tanganku yang pendek.

“Cepatlah. Fiah tunggu.” Aku senyum pada dia.

Sementara kami masih dizinkan bersama ini, biarlah aku melayaninya sebaik mungkin. Kerana selepas kami berpisah ini, aku hanya mahu Ilham ingat kenangan yang indah saja bersamaku. Aku mahu tutup segala keburukan yang pernah dia gali sebelum ini.

Ilham terus berlalu. Sempat mataku menangkap dia mengesat matanya dengan kain pelikat itu. Hati ini berbelah bahagi tapi bila mengingatkan kepedihan yang dia pernah hadiahkan buatku, rasa berbelah bahagi itu langsug tidak aku perlukan.

Aku duduk di birai katil. Tanpa sedar, aku labuhkan telapak tanganku di atas t-shirt Ilham yang dia pakai sejak dia tiba pagi tadi. Perlahan-lahan aku tarik dan merapatkan baju itu ke hidungku. Aku sedut sedalam mungkin haruman maskulin dari bajunya.

Mata ku pejam erat. Aku nampak Ilham menangis. Aku sedih bila dia merayu dan tanpa ku sedar, air mataku menitis laju. Biarpun aku telah melarang, air jernih itu benar-benar tidak mahu mendengar kata.
Perlahan-lahan aku bawa kedua belah tanganku mendakap erat baju di ke dada. Bagaikan memeluk tubuh sasa Ilham. Wanginya benar-benar bisa menggoyahkan hati wanitaku. Membawa rasa rindu yang menderu-deru. Menghentak dada sedangkan hati, kian bertambah parah lukanya.

“Rasa pedih, kan?”

Aku pantas buka mata. Baju itu langsung tercampak ke lantai. Wajah basah Ilham tersembul di depanku. Merenungku dengan mata yang berair.

“Pedih bila kita hanya mampu memeluk bayang saja. Tentu Fiah rasa apa yang Am pernah rasa. Menyintai Fiah, mahu peluk Fiah, rasa nak belai Fiah, tapi Am tolak kehendak hati sendiri dan kini Am percaya, Fiah sedang lalui apa yang pernah Am lalui. Am ada depan mata, tapi Fiah tidakkan kehadiran Am.”
Terkedu aku dengan kata-katanya. Rasa malu mula menjalar naik ke wajah kerana tertangkap dalam keadaan begitu.

Dia menggariskan senyuman tawar lalu dia ambil tempat di atas sejadah dan aku juga turut sama membawa telapak kakiku menginjak sejadah di belakang Ilham.

“Masih belum terlambat, sayang. Jangan satu hari nanti Fiah menyesal macam abang,” sambungnya tenang lalu dia terus mengalunkan iqamat.

Setitis air mataku gugur lagi. Pilu bila memanggilku sayang dan menggelarkan dirinya abang dengan tutur kata yang begitu ikhlas menerjah gegendang telingaku.

Maafkan Fiah, abang. Ampuni aku, Ya Allah atas dosa yang sebegini besar. Tapi, Engkau Maha Mengetahui kepedihan hatiku selama ini. Betapa aku terluka dan sukar menerima dia kerana aku hanya manusia biasa. Yang seringkali tersasar, kerap juga terlempar jauh dari kasih sayang manusia. Hingga kini, aku hanya mampu berdiri demi mak dan juga atas izin-Mu, Ya Tuhan. Desis hatiku sendiri.

Sejurus kemudian, aku dengar Ilham mengangkat takbir. Cepat-cepat aku menyeka air mata lalu aku turut mengangkat takbir. Menghadap Allah Yang Esa dengan penuh rasa hina dan rendah diri.
*****
DOA kudus Ilham menerjah telingaku. Hingga akhir doa itu tenggelam dek esakannya. Sedaya upaya aku cuba bertahan. Tidak boleh rebah lagi di kaki dia yang mungkin menyesali hanya untuk beberapa hari ini saja.

Bila dia kalih padaku, mata itu merah dan basah dengan air mata. Tidak dapat tidak, aku hadiahkan juga senyuman buatnya. Tatkala dia hulurkan tangannya untuk aku salami, aku sambut tangan itu. Terasa hangat keikhlasannya menjalar ke seluruh urat nadiku.

“Abang mohon pada sayang, beri abang peluang kedua untuk buktikan yang cinta pandang pertama abang pada sayang dulu benar-benar tulus. Hanya seketika itu abang tertipu oleh rasa cemburu yang telah membawa abang kesal seumur hidup abang. Sayang jangan ulang kesilapan yang pernah abang lakukan. Abang cintakan sayang seumur hidup ni.” Dia tunduk mengucup jemariku.

Dapat ku rasakan tanganku sudah semakin basah dengan titisan air mata lelakinya. Aku tahu dia menyesal tapi hati aku ini amat sukar untuk aku pujuk. Terlalu degil kala ini. Mungkin benar kata Kak Anah tadi, yang aku sudah kembali menjadi Wafiah yang dulu.

“Alhamdulillah….” ucapku tenang.

Wajah Ilham aku paut agar tidak terus melekat di jemariku. Bila wajahnya terangkat, semakin terhiris jiwaku melihatkan dia sudah tersedu sedan.

Oh, hati… andai masih mampu kau menerima dia, ucapkanlah sekarang. Andai kau tetap tidak dapat menerima dia, teguhkanlah kehendak diri. Bersoal jawab aku dengan hati sendiri. Hanya Allah yang tahu betapa gundahnya jiwa.

“Terima kasih sudi tunaikan impian Fiah untuk menjadi makmum pada suami sendiri. Mungkin hanya seketika tapi semua ni sangat bermakna. Semoga perpisahan kita nanti, akan menjadi perpisahan yang terpelihara.”

Ilham menggeleng. “Abang tak benarkan sayang cakap soal ni lagi. Sayang masih isteri abang, jadi sebagai suami, abang haramkan sayang cakap pasal ni lagi. Berdosa seorang isteri yang tidak patuh pada suaminya selagi arahan itu tidak bercanggah dengan hukum agama,” tekan Ilham tersekat-sekat.

“Terima kasih lagi sekali sebab sudi panggil Fiah sayang walaupun untuk seketika,” ucapku tanpa menghiraukan kata-katanya.

“Abang tak izinkan sayang pergi dari hidup abang kecuali kalau sayang harus pergi dengan memakai kain putih ni. Masa tu abang restui tapi bukan sekarang sekarang!” Ilham genggam bahuku kemas.

Betapa aku tersentuh dengan kata-katanya. Hanya mahu melepaskan aku pergi andai aku dijemput Ilahi tapi tidakkah ini juga kehendak takdir andai aku terpaksa pergil, berpisah dengannya di dunia ini?

“Fiah tak mampu nak halang takdir…” Suaraku mati bila Ilham meletakkan jari telunjuknya di bibirku.

“Dan yang buruk itu selalunya daripada manusia itu sendiri, sayang. Yang indah dan baik itu segalanya anugerah Allah. Sayang adalah anugerah Allah yang indah buat abang. Ampuni abang sebab pernah ragui keindahan dan anugerah yang telah Allah titipkan ni,” ucapnya beremosi sambil memegang kedua belah pipiku. Airmatanya tidak putus mengalir.

“Tapi Fiah bukanlah sebaik mana. Bukankah Allah telah katakan, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat. Am baik tapi Fiah tak. Fiah hargai perubahan Am tapi hati Fiah ni….” Telapak tangan aku bawa ke dadaku. Menepuknya beberapa kali.

“….sukar nak terima semua ni lepas apa yang terjadi.”

“Kita ubah sama-sama. Sayang baik. Keluarga sayang juga baik. Abang yang buta hati, tak reti menilai. Tenggelam dalam rasa cemburu abang. Rasa nak memiliki sayang sedangkan abang lupa, sayang perlukan cinta dan kepercayaan abang selama ni. Untuk kali ini saja, abang mohon maaf dan abang janji, lepas ni, tak aka nada lagi ungkapan maaf tu daripada abang.” Ilham terus merayu.

Tangannya turun semula ke jemariku. dia bawa telapak tanganku ke bibirnya. Dikucupnya satu persatu. Kemudian dia menarik telekung yang membaluti tubuhku. Pertama kali dia singgah membelai rambut ini lalu dia tarik aku rapat ke dalam pelukannya.

“Berikan abang peluang sekali lagi untuk buktikan yang cemburu abang selama ini adalah tanda sayang,” bisiknya tepat di cuping telingaku. Satu kucupan kudus hinggap di di situ.

Tatkala pelukan terlerai, kami saling merenung lagi. Aku hilang kata. Kala ini, ada satu bisikan aneh di dalam hatiku. Rasa ingin dicintai oleh hamba Allah yang bernama Ilham Fitri ini semakin menggebu. Oh, hati. Andai rela engkau membuka peluang yang memungkinkan engkau di sakiti sekali lagi, bawalah dia mendiami lubuk hati ini yang paling dalam agar tidak tergapai oleh mana-mana tangan. Agar tidak akan berpisah lagi cinta buatnya dari hati ini. Doa hatiku.

Aku pejam mata seketika. Mencari jawapan yang pasti untuk diri ini. Untuk apa aku robek hati kami andai cinta itu masih kuat membelit hati? Untuk apa aku ungkit kisah yang kian pergi, andai kami mampu mengecapi bahagia anugerah Ilahi. Jika akal ini yakin dia mampu menyintai, tapi hatiku tetap mencurigai.

~~~>bersambung

20 comments:

  1. bosan la wafiah ni...

    ReplyDelete
  2. alahai dik..akan lah cinta fiah sudah mati..berikanlah peluang ini untuk ilham..janganlah keras kan hati fiah sedangkan seorang suami boleh memaafkan isterinya yg pada mata kasarnya telah berlaku curang pada dia..akak harap selepas bersembahyang berjemaah ..Allah tiupkan perasaan sayang dan cinta pada pasangan ini ngan hidayah agar perkawenan ini tidak terlerai sudah..
    Fiah..cukup cukuplah mendera perasaan ilham tu..buka buku baru dalam alam rumahtangga. Nobody is perfect..
    RH sayu nya E3 kali ni..biarlah mereka bersatu sebagai suami isteri yg betui betui dalam erti kata yg sebenarnya..janganlah seperti sekarang yg hanya diatas kertas..plz..
    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  3. Curiga itu mainan syaitan...Syaitan bertepuk tangan apabila kita tunduk pada permainannya..

    ReplyDelete
  4. Heee . Sweeet lah dorang . Gomawo ! Heee :D Entry best lah ! Am sweet :) Nak lagi

    ReplyDelete
  5. hopefully dorg....
    ujian yg Allah kurniakn adlh utk mnguji sme ade hambenya beriman atau x....

    ReplyDelete
  6. KAk biaRKAn mereka bsaME!stiaP ,mnusia AllaH uji!

    ReplyDelete
  7. Airmata seorang lelaki memohon diberi peluang kedua, amat menyentuh hatiku...sob,,,sob..sob... Wafiah, jgnlah degil sgt, Am dah minta maaf tu....buangkahlah rasa dendam dihati........

    ReplyDelete
  8. nak lagi... agaknya ape keputusan Fiah pula ye
    setelah dipujuk rayu oleh suami supaya beri
    peluang kedua untuk menjalani hidup berumahtangga
    bersama. cepat sambung.....

    ReplyDelete
  9. ikut ati ...mati...!!!

    ReplyDelete
  10. terima la am blik..bukan semua org perfect fiah..

    ReplyDelete
  11. begitu la takdir ye pabila cinta yang di kianati,tersa sakit,perit.pedih,biar cemburu itu sering di kait kan dgn rasa sayang dan kasih,tetapi cemburu itu la yang akan memusnahkan sekeping hati wafiah

    ReplyDelete
  12. fiah , please trima am balek .
    dia dah insaf tu . kesian tengok am sedih .
    harap lepas ni am tak ulang dah kesalahan yg lalu .
    best la kak ! thumbs up ! sambung lagi k ?
    ^_^

    ReplyDelete
  13. dah la tu wafiah..trima je Am tu balik.dia da ngaku keslahan dia.

    ReplyDelete
  14. Wafiah mmg betul2 hati batu...syaitan sedang bertepuk tgn sbb fiah melayan bisikannya...sudah2 lah tu fiah...mmg kita bukan nabi yg sgt pemaaf, tp kita kena ingat...kita umatnya....janganlah terlalu ego...Memaafkan itu sunnah Rasulullah...Harap Am tetap sabar dan jangan lepaskan Fiah ni...Eeeeee geramnyaaaa kat Fiah...

    ReplyDelete
  15. rehan,jgnlah buat fiah dgn am berpisah...sedih tau.org kata disebalik kepahitan ada manisnya.

    ReplyDelete
  16. hati isteri mudah trsentuh dan pasti kemaafan sntiasa diberi utk suami...
    apakah suami akn terus brpegang pd jnji dan kata yg diucpkan??
    jelas nmpak ilham begitu rasa bersalah dan xmgkin fiah akn terus keras hati...xbau syurga seorng isteri yg brsikap begitu....
    tapi andai kata ilham kmbali pd perangai lama saya cdgkan pd pnulis KERASKAN HATI FIAH lbh keras dr sblmnya..tiada kmaafan buat suami yg berperngai begitu...sntiasa mncuragai isteri

    ReplyDelete
  17. nk fiah bg peluang ke2 untk ilham..pleaseee

    ReplyDelete
  18. Betul kata kak Ana ...sampai bila nak tutup mulut Abang Zali tu...
    Terima lah Ilham ..... x baik buat suami macam tu.... dah satu dosa.... belum kira lagi dosa Fiah pada emak kerana berbohong .... betul x???

    ReplyDelete