Monday, November 07, 2011

Terlerai Kasih 39

BAB 39

SELEPAS keluar daripada bilik air, mengambil wudhuk sebelum masuk tidur, aku dengar suara mak sedang bercakap di telefon. Tidak pula aku dengar telefon itu berdering tadi.

“Siapa, mak?” Aku pandang mak yang sedang tersenyum.
Dia tidak menjawab sebaliknya terus bercakap di telefon. Rasa kecil hati pula bila mak tidak menghiraukan soalanku dalam keadaan jiwa dan hatiku yang sedang berkecamuk ini.

“Tak adalah. Fiah tadi tu,” ujar mak pada yang di hujung talian.
Langkahku pegun di depan pintu bilik. Benar-benar ingin tahu siapakah yang boleh membuatkan mak tersenyum begitu. Dalam hatku sudah dapat ku agak siapa.

Rasa berbunga juga hati andai benar seperti apa yang ku rasakan. Namun, aku harus sentiasa ingatkan diri. Di mana dia dan di nama aku. Hati ini benar-benar berharap dia biarpun lebur hatiku dia hancurkan.

Tambahan lagi selepas menerima panggilan daripada Izham awal tadi. Mendengarkan suara kasarnya menegur Izham dan biarpun terlalu sayup di peluput telingaku, sekurangnya rindu ini kurang kusutnya.

“Nantilah mak cakap dekat dia.” Aku dengar mak menjawab lagi.
Selepas kemudian, gagang diletakkan dan mak menghampiriku yang sejak dari tadi masih berdiri di depan pintu bilik.

“Siapa, mak?” Aku bertanya lagi.
Mak manis tersenyum. Hati yang sebu, lega sedikit bila terpancar kebahagiaan di wajah tenang mak. Aku akan pastikan senyuman itu kekal di bibir mak.

“Ilham…”jawab mak lantas meraih tanganku.

“Dia suruh mak cakap dekat Fiah, Am tak dapat nak balik sebab sibuk dengan persiapan majlis kat sana pulak. Dia minta Fiah balik sendiri esok,” beritahu mak.

Aku senyum paksa. Tepat apa yang aku rasa. Perasaanku tidak pernah silap merasa, tapi sentiasa silap menilai. Itu hakikatnya.

“Kenapa dia tak telefon Fiah terus?” tanyaku buat-buat teruja. Aku sengih sampai ke telinga.

“Dia kata dah telefon, tapi tak dapat. Rindu sangat katanya, tu dia terus telefon rumah bila Fiah tak jawab”
Aku ketawa sambil tekup mulut bila mak menjawab begitu. Ketawakan diri sendiri bila mak berkata demikian. Pedih di hati usah dikata. Andai bisa, aku mahu saja menangis di depan mak kala ini. Tapi, tak mungkin!

“Kenapa ketawa?” Wajah mak sedikit kelat.

“Ya ke, mak… Dia rindu Fiah? Entah-entah dia saja nak sedapkan hati mak tak?” dugaku sekadar bergurau.
Namun, jauh di sudut hati, aku benar-benar memaksudkannya biarpun mak tak mungkin faham. Aku menggariskan senyuman lagi. Biarpun hati tersayat, bibir ini harus terus menguntum senyum. Hanya untuk mak.

Demi mak, mati pun Fiah sanggup. Bisik hatiku penuh kasih pada si ibu yang telah banyak berkorban.

“Eh, mana boleh macam tu. Dia sungguh-sungguh la cakap dia rindu isteri dia. Dia tak cakap rindu dekat Fiah, dia cakap kat mak rindu isteri dia. Mak cakap
apa yang dia cakap pada mak saja,” ujar mak.

“Yang Fiah ni tak rindu dia ke?” Mak usik aku. Aku angguk.

“Isteri mana yang tak rindu suami? Mak mesti faham kan perasaan Fiah sebab mak yang lalu semua ni dulu.” Aku paut lengan mak.
Saja bermesra dengannya semahuku sebelum aku nyatakan kebenaran yang mungkin akan membawa mak jauh daripadaku.

“Sekarang Fiah faham, kan? Kenapa mak tak pernah marahkan arwah ayah. Hanya satu jawapannya, sebab mak isteri dia.” Tenang saja mak berkata demikian.

Tangan tua itu mengelus pipiku lembut. Bibirnya tidak lekang dengan senyum. Aku angguk mengiyakan kata-kata mak.
Teringat kejadian Kak Anah menamparku dulu kerana aku memaki hamun suaminya. Kala itu, mak menyatakan aku akan faham suatu hari nanti dan rasanya hari ini aku hampir faham biarpun baru beberapa hari bergelar isteri tapi terlalu besar bezanya masalah rumah tanggaku dengan mak dan Kak Anah. Tak terjangkau dek akal.

“Begini ke mak pengorbanan yang seorang isteri harus lakukan untuk kebahagiaan suami dan keluarga?” tanyaku bila kami sama-sama sudah melabuhkan duduk di sofa.

“Mak tak boleh nak cakap, nak. Lain orang lain dugaan yang Allah turunkan untuk hamba-Nya. Fiah masih terlalu hijau menjadi isteri. Terlalu banyak lagi perkara yang mungkin Fiah tak dapat duga akan berlalu. Kita tak akan pernah tahu bila Allah nak duga kita tapi yang pasti, masa tu, bahu Fiah ni….” Mak tepuk bahuku berkali-kali.
“…haruslah cukup kuat untuk menopang dunia, Fiah. Sebab, Allah tak akan sesekali turunkan dugaan itu kecuali sesuai dengan kesanggupan hamba-Nya. Apa yang mak lalu sebelum ini adalah kerana mak mampu harungi Fiah dan mak yakin, apa yang pernah Fiah lalu dan bakal lalui nanti juga mesti Fiah mampu hadapi. Ingat seperkara je, nak. Yang takdir itu tak pernah silap. Yang terjadi itu juga tak pernah silap. Pasti ada hikmahnya. Lambat dan cepat saja,” ulas mak panjang lebar.

Matanya aku renung dengan pandangan yang sedikit kabur. Rasa mahu saja aku hamburkan tangis di atas riba mak bila mengenangkan kepedihan hati yang sedang aku tanggung akibat tindakan seorang suami. Menjatuhkan hukuman tanpa aku tahu apa silapku.

“Fiah akan ingat pesan mak sampai bila-bila. Fiah janji akan kuat biar apa pun yang terjadi.” Aku berjanji sepenuh hatiku di depan mak.
Setitis air mataku gugur jua bila mak mengucup dahiku lembut. Aku lihat air mata mak juga bergenang di tubir mata bila dia melepaskan bibirnya dari dahiku.

“Sekarang ni, mak tak berhak langsung dah ke atas Fiah. Mak dah amanahkan Fiah pada Ilham. Sekarang dia sajalah yang berhak ke atas diri Fiah, zahir dan batin. Fiah janji dengan mak jangan sakiti hati suami. Neraka balasannya.” Mak elus rambutku yang sudah panjang hingga ke pinggang.

‘Tapi, mak tak pernah tahu yang Ilham terlebih dahulu sakiti Fiah mak. Mungkin tidak pada zahir tapi hati ini sudah lama menderita. Mungkin bahagia itu tidak mahu bersama dengan Fiah,’ desis hatiku sendiri. Tak mungkin terluah kepada mak.

Tidak tahu hendak berkata apa-apa lagi, aku angguk saja. Takut andai mengundang syak wasangka mak andai aku terus berkata. Pastilah terluah tanpa aku pinta apa yang sedang aku sorok kemas dari pengetahuan dia.

“Fiah akan setia pada dia seumur hidup ni, mak,” akuiku sepenuh hati.
Menyatakan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada suami yang sudah tidak mahukan diriku lagi. Benar-benar cinta!
Mak senyum lagi. Sejak aku bergelar isteri ini, tidak pernah layu senyuman mekar di bibir mak. Dia menggenggam jemariku sekali lagi.

“Fiah jangan salahkan Ilham tak dapat jemput Fiah. Dia cakap dekat mak tadi dia memang sibuk. Fiah balik jelah esok pagi. Mungkin banyak benda yang Ilham nak uruskan kat sana. Nanti sehari sebelum kenduri mak ke sana,” pujuk mak. Aku angguk bersetuju saja dengan nasihat mak.

Sekurang-kurangnya, aku sudah jauh daripada mak nanti. Sudah tidak perlu menipu dia. Sudah tidak perlu menambah keberatan pada neraca dosa buat sementara waktu.

“Tadi, siapa yang telefon Fiah?” tanya mak tiba-tiba kemudiannya.

“Izham. Adik Ilham yang kedua tu,” beritahuku tanpa berselindung.

“Kenapa mereka telefon Fiah berasingan? Tadi, mak cakap pada Ilham yang adik dia telefon Fiah, dia macam pelik. Tapi, dia tak cakap apa pun. Agaknya Ilham tak tahu kot adik dia ada telefon Fiah?” Wajah mak tersembunyi tanda tanya.

Aku jungkit bahu. Tak tahu hendak dijawab apa. Tapi tadi tu, aku benar-benar yakin yang suara Ilham yang menegur Izham tatkala Izham bercakap denganku. Rasanya Ilham tidak tahu perkara itu, andai tidak tak mungkin Izham terus mematikan talian.

Tidak dapat ku bayangkan andai benar Izham berperasaan padaku. Entah bagaimana harus aku hadapi dia? Makin terbelit pula kisah kasih ini nanti. Letih menduga jawapan pada soalan yang banyak menerjah, aku akhirnya angkat tubuh selepas meminta izin daripada mak untuk merehatkan diri.

Tubuh ku rebahkan ke atas katil yang masih terpasang dengan cadai pengantin berwarna krim keemasan itu. Biarpun selelah mana otak memikirkan apa yang perlu aku lakukan selepas ini, badan yang dimamah penat perlu juga aku rehatkan untuk perjalanan jauh esok pagi.

Baru sahaja aku hendak lelapkan mata, telefon bergetar lagi. Aku capai handphone dari bawah bantal dengan rasa malas.

“Fiah, aku ni!” Suara itu menekan keras namaku.
Mata yang hampir tertutup terbuntang kembali. Terkejut menerima panggilan yang tidak terduga daripada Abang Zali.

“Abang nak apa telefon Fiah tengah-tengah malam ni?” tanyaku keras. Dia ketawa.

“Aku nak tuntut janji kau tadi, Fiah. Aku nak minta bayaran aku untuk simpan rahsia kau ni daripada mak kau tu,” tekan Abang Zali kemudiannya. Aku picit kepala yang mula berdenyut.

Belum pun selesai seperkara, muncul lagi perkara yang baru dan lebih lagi merumitkan keadaan.

“Apa harga yang abang nak Fiah bayar?” Aku sudah mula naik geram.
Tapi, sedaya upaya aku masih cuba mengawal suaraku agar tidak meninggi. Risau juga andai mak terdengar. Lelaki di hujung talian itu ketawa lagi. Ketawa dan terus ketawa.
******
MAK mengesat matanya dengan hujung lengan baju. Dia merasa sedih juga melihatkanku yang terpaksa pulang sendirian ke Kuala Lumpur bila kononnya Ilham tidak dapat menjemputku kerana sibuk dengan persediaan majlis di sebelah keluarganya.

Terkejut juga aku semalam bila Ilham menelefon mak dan memberitahu perkara itu. Hari ni, masih dapat ku lihat senyuman di bibir mak. Lebar. Lega barangkali bila Ilham sendiri memberikan kenyataan yang menghalau jauh keraguan mak tentang hubungan kami sebagai suami isteri.

Bila difikirkan, aku marah dengan semua ini. Teringat pada kata-kata mak yang menyatakan Ilham pada mulanya menelefon telefon bimbitku, tapi ternyata tiada missed call. Hanya satu nombor saja yang terpapar pada skrin dan pastilah itu nombor telefon Izham.

Fikiranku menerawang mengingati wajah tampan Ilham. Cintanya dulu benar-benar bisa membawa debar di hatiku yang sudah lama mati tanpa rentak selepas Fazlee pergi dulu. Tapi, selepas itu dia juga bersikap buruk macam Fazlee malah lebih teruk daripada itu.

Untuk apa Ilham bajai kasih sayang dan kepercayaan mak pada dia sedangkan dia terlebih dahulu menabur racun ke atas benih cinta kami?
Sesungguhnya, aku tidak mahu dia menjadi terlalu rapat dengan keluargaku. Setelah dia meletakkan aku jauh dipinggiran hanya kerana kekhilafan yang aku sendiri tidak tahu. Aku tidak tegar melihatkan emak kecewa dan menekur ke bumi lagi.

Beg galas sudah ku sumbat ke dalam kereta. Hanya tunggu masa untuk memulakan perjalanan. Kedua anak buahku menyalamiku dan sebagai balasan aku menciumi kedua belah pipinya dan menghulurkan sekeping not RM50 kepada keduanya.

Hatiku terasa girang melihatkan anak-anak buahku yang melompat kegirangan selepas not itu bertukar tangan. Ketawaku lepas.

”Terima kasih, Ucu!” ucap keduanya. Aku mengangguk.

“Mira jangan buat perangai macam semalam tau. Tak baik.” Aku elus pipinya. Tidak lupa mengingati Amira tentang ayahnya.
Usah dibenci lelaki itu kerana pertalian darah itu tidak akan pernah terputus dan aku jua tidak mahu Amira menjadi sepertiku hingga akhirnya terpaksa menanggung beban akibat tindakan diri. Mati senyuman Amira. Dia tunduk lalu mengangguk.
Pandanganku beralih pula pada Kak Anah. Sesukar mana pun, aku harus mengukir senyum.

“Nanti mak ke sana sehari sebelum, ya nak?” ujar mak.

Aku tidak berani memberi kata balas. Hanya mampu diam saja. Takut hendak menambah dosa lagi. Sampul putih yang berisi separuh baki wang simpananku itu, aku selit di tangan mak.

"Maafkan Fiah, mak,” pintaku sepenuh hati. Aku tunduk mencium tangan keduanya.
Airmata menitis laju. Maaf itu aku pohon kerana telah banyak membohonginya sejak akhir-akhir ini. Menyembunyikan kenyataan daripada mak tentang hidupku yang semakin terumbang ambing di badai gelora cinta yang pernah Ilham agungkan dulu.

Dapat ku rasakan, telapak tangan emak singgah di belakang kepalaku yang dibaluti selendang. Aku angkat kepala. Airmata emak bergenang. Tubuhnya ku rangkul kemas.

"Mak maafkan, Fiah…” jawab mak senada. “…dan terima kasih bagi mak duit belanja ni.” Dia senyum.
Aku angkat wajah. Mata tua mak aku renung dalam-dalam bersama linangan airmata yang sukar hendak ku tahan. Lalu, aku biarkan saja air jernih itu teus menerus menodai wajahku.

Biarlah hanya hanya kali ini. Selepas ini aku tidak mahu melihatkan airmata ini. Aku haramkan airmata ini hadir ke wajahku. Aku tidak mahu!

“Fiah pergi dulu, Kak Anah.” Aku beralih pula pada Kak Anah.

“Jaga diri, jaga emak dan jaga keluarga baik-baik,” beritahuku lagi.
Mata Kak Anah mula bergenang. Telapak tangan kanannya mendarat di pipiku. Ditepuknya perlahan bagaikan menghantar rasa hiba yang amat dengan situasi yang sedang aku hadapi.

Bibirnya ku lihat bergetar ingin mengucapkan sesuatu tapi sudahnya dia hanya tunduk bersama esakan.
Kala itu, Abang Zali mendekat pada kami. Aku jeling sekilas pada emak yang sedang memeluk bahu kedua cucunya.

“Tak sangka adik kau ni lebih teruk dari kau, Anah!” ujar Abang Zali kepada Kak Anah. Cukup perlahan. Hanya aku dan Kak Anah saja yang bisa mendengarnya.

“Tak boleh nak bayang macam mana kalau mak kau dapat tahu semua ni, Fiah?” sinis dia padaku.
Wajah Kak Anah merah padam. Airmatanya semakin laju mengalir. Dan, aku pula tidak terkata apa. Tidak mampu. Berat bibirku, rasa bertulang lidah ini. Sudah ku telah inilah yang bakal terjadi kerana Abang Zali telah mendengar segala perbualan kami.

“Tolong, bang. Fiah mohon, jangan beritahu mak,” ujarku merayu sesungguhnya merayu dengan suara yang berbisik.

“Ini yang abang minta semalam.” Aku hulurkan sampul putih kedua yang aku tarik daripada poket jeans.
Bibir Abang Zali tersenyum sinis. Mata Kak Anah bulat. Belum sempat dia berkata sepatah pun, aku terlebih dahulu memberi isyarat padanya agar diam sahaja.

Andai tiada mengenangkan mak, sudah pastilah aku tampar saja wajah sinis itu. Sedari dulu, aku tidak pernah menghormatinya kerana sikapnya apatah lagi sekarang. Ugutannya itu membuatkan aku lebih menjadi jauh hati. Jauh dari kemaafan setelah agak sukar aku didik hati ini meminta dan memberi maaf.

“Buat masa ni je tau,” tekannya.

Abang Zali senyum sambil menepuk poketnya. Dia angkat kening lantas berlalu. Sekali lagi tubuhku yang hampir terkulai ke tanah disambar Kak Anah ke dalam pelukannya.

“Kakak sayang Fiah. Kakak sayang sangat!” bisik Kak Anah.
Mak hampir pada kami lalu mengusap bahu Kak Anah perlahan. Bila pelukan terlerai, aku lihat senyuman mak. Tenang seperti selalu. Dan, aku tidak mungkin akan membiarkan sesiapa saja menghalau ketenangan yang bermukim di wajah suci mak. Tak akan!

“Dahla tu, Anah. Bukan kita tak boleh jumpa Fiah dah,” tegur mak lembut.

“Entah, kakak ni,” tokokku pula bersama senyuman yang dibuat-buat.

“Fiah kan dah jadi milik orang, mak. Mesti dia tak boleh nak selalu dengan kita,” adu Kak Anah. Bibirnya muncung. Nampak sangat keanak-anakan.
Kali ini aku melepaskan tawa. Setelah agak lama tidak mampu ketawa, hari ini aku akhirnya ketawa jua biarpun dengan titisan airmata.

“Kak Anah ni, kalah Amir dengan Amira,” ujarku. Emak tersenyum saja.

Tanganku menggamit Amira dan Amir mendekatiku. Pada Amira ku titipkan pesan supaya melakukan yang terbaik dalam peperiksaan PMR nanti. Aku mahu dia buktikan pada abahnya yang anak yang dididik kakakku juga, akan membuatkan dia bangga.

Hanya dengan cara itu aku dapat mengajar orang seperti Abang Zali yang tidak pernah tahu bersyukur dengan pengorbanan isteri yang sebaik Kak Anah. Kini, hanya satu yang merisaukanku. Aku tidak mahu Abang Zali bercerita tentangku dan Ilham pada mak dan aku yakin yang dia pasti cuba cara yang lain pula demi keuntungan dirinya.

Pintu kereka aku buka. Betapa berat kaki ini mahu melangkah pergi meninggalkan emak dengan seribu penipuan daripadaku. Biarpun niat sekadar melindungi hati dan maruah emak daripada terluka dan tercalar, aku tahu itu dosa kerana niat tidak pernah menghalalkan cara. Tapi, pilihan apakah yang aku ada?
Mak, Kak Anah dan dua orang anak buahku hampir ke pintu kereta yang sudah ku tutup rapat. Masing-masing tersenyum manis. Hanya wajah Kak Anah yang keruh pekat.

“Fiah jalan dulu, mak.” Aku dongak mencari mata mak. Dia mengangguk.

“Jaga diri, nak. Dah sampai nanti telefon mak,” pesannya pula. Kali ini, giliran aku pula mengangguk.
Mataku beralih pula pada Kak Anah. Menghantar rayuan dalam diam agar dipujuk suaminya itu untuk tidak bercerita perkara ini kepada mak. Sejurus selepas itu aku melihat Kak Anah mengangguk dan aku mampu menghela nafas biarpun masih tidak setenang mana.
Belum pun sempat aku menaikkan cermin kereta, emak terlebih dahulu menahan.

“Tu kereta siapa pulak?” tanya mak perlahan.
Aku menyoroti matanya ke arah sebuah airport limousin yang sedang menjalar masuk ke perkarangan rumah kami. Lama aku amati hinggakan seseorang keluar daripada perut kereta selepas beberapa ketika. Ilham! Seru hatiku sendiri. Dalam hati detaknya sudah lain macam. Tidak percaya akan kehadirannya di depanku selepas dia sendiri mengatakan tidak mahu untuk melihatku lagi.

Kenapa dia kembali selepas dia berjanji untuk tidak berpaling lagi? Malah, dia tidak pernah mengharapkan aku hadir di depannya lagi?
Aku keluar dari perut kereta. Kami sama-sama berpandangan. Lebih-lebih lagi aku dan Kak Anah. Terasa aneh. Ilham tenang dan yakin menapak ke arah kami.

“Assalamualaikum, mak, Kak Anah.” Suara dia mesra saja.
Ada senyuman manis yang terukir. Senyuman yang yang selama ini aku rindu dan ku impikan menjadi milikku semata-mata. Tanpa ku sedar, rezekiku tidak di situ. Manis wajahnya bukan untuk tatapanku.

“Waalaikummussalam,” jawab kami hampir serentak.
Aku terus menunduk bila dia beralih pandangan kepadaku. Letih mata ini untuk melihat wajah penuh berdusta itu. Sudah tiada airmata hendak ku titiskan.

“Eh, Am telefon mak semalam tu kata tak sempat nak balik jemput Fiah? Dah ni Am balik dengan apa?” tanya mak bersama senyuman.
Bibir tua itu terus melebarkan sengihan bila Ilham mendekat padaku lantas memaut tanganku, memaksa aku menyalaminya. Tidak dapat tidak, aku mengucup lembut jemari kasar itu. Dia menghulurkan beg galasnya kepadaku. Aku menyambutnya tanpa banyak bicara.

Dalam hatiku sekadar menebak sendiri. Yakin yang Ilham sekadar bermain wayang, hendak menjaga air mukaku di depan mak. Ada rasa sebu yang singgah tapi aku telah bulatkan hati. Tak mungkin ada airmata lagi selepas ini.

“Am naik flight,” jawabnya lembut.

“Tak bolehlah, mak. Am risau Fiah bawa kereta sorang-sorang. Bukan dekat. Jauh tu. Jadi, Am baliklah jemput Fiah.” Ilham jeling padaku. Lengan sasa itu selamba saja memeluk bahuku rapat padanya.

Bagai menyatakan rasa rindu yang menggebu selepas meninggalkanku beberapa hari. Dalam hati ini, mahu saja aku sumpah hamba Allah ini.

“Nak risau kenapa? Bukannya Si Fiah ni tak biasa bawa kereta sorang-sorang yang Am nak risau.” Kali ini Kak Anah bersuara sinis. Aku ketap bibir.
Mataku tajam menikam pandangan Kak Anah. Itulah dia. Sukar hendak menyorok rasa meluatnya itu. Senang saja terbias di wajah dan kata-katanya.

“Eh, isteri dia, mestilah dia risau. Kamu ni Anah,” tegur mak lembut.

“Fiah, ajak Am naik atas dulu. Letih tu berjalan jauh.”

“Jauh memanglah jauh. Tapi, kalau dah naik kapal terbang, 40 minit je, mak.” Kak Anah berlalu selepas berkata demikian.
Emak menggeleng. Mungkin kesal dengan sikap Kak Anah. Dua orang anak buahku juga turut mengekori uminya selepas bersalaman dengan Ilham.

“Kak Anah kamu tu, ada la apa yang tak kena tu Jangan ambil hati, ya Am,” pujuk emak pada menantu plastiknya.
Ilham ku lihat ketawa saja. Dia mengangguk beberapa kali. Sengihannya melebar bagaikan menikmati kegembiraan yang amat. Tapi padaku, dugaan hadir lagi tanpa ku mampu tolak.

~~~>bersambung

Kat kampung saya benornya internet nazak..tapi saya cuba gak up cite..Alhamdulillah..boleh jugak 1 bab..

10 comments:

  1. ishh..geram kt ilham...

    ReplyDelete
  2. best....tima kasih untuk en3 nie..

    ReplyDelete
  3. Best sgt...x sbr tggu versi cetak. Kesian sgt kat fiah...x habis dugaan kat dia...ilham balik jemput fiah mesti sbb terdengar/dpt tau izham call fiah. Entah apa pulak dia anggap fiah dan entah apa lagi yg dia nak seksa fiah tu....

    ReplyDelete
  4. kesian fiah..bencinya dgn ilham..

    ReplyDelete
  5. ilham ada niat x baik agknya...sambung lg nice story..

    ReplyDelete
  6. kenapa ilham tukar fikiran ek..kata suruh fiah balik sendiri..dia dah jumpa fazlee ke..atau dia dah tau fiah akan menghilangkan diri..utk keluar negara..tanpa dapat dijejak oleh ilham..aduhai terujanya nak tau..dik..ooi..
    bila buka ni nak ada kat pasaran..akak nak buat booking dulu ..boleh ke..???? kisah ni mmg menyayat hati..beginilah kan kalau sudah kawen..suami yg baik adalah satu bonus untuk kita..kan..
    salam Kak idA

    ReplyDelete
  7. serius takut...
    ape yang ilham rancangkan kak!!!!!
    x nk bace dah!!!!
    mcm bace cite seram pun ade...
    aishhhh

    SSG=)

    ReplyDelete
  8. thanz ats n3 ni...bes tp pnuh dgn kejotan...pe jd dkt fiah nanti ye...

    ReplyDelete
  9. uwaaaa..Benci Am!

    Kesian kat Fiah. Nak dera Fiah lagi la tuh! Sebab tu balik konon nak jemput Fiah..

    Cepatlah Fiah bawak diri jauh2 dari Am

    ReplyDelete
  10. gila gan zali tu.huhuhuh kesian fiah gan anah

    ReplyDelete