Tuesday, December 13, 2011

Terlerai Kasih 55

Sebab ramai je mesej nak sambungan..jom layan..hehe..

BAB 55

DINIHARI itu aku gagahkan jua diri ini untuk bangkit. Terasa berat kepalaku kerana terlalu banyak mengalirkan airmata. Terasa berat hendak aku angkat kelopak mata. Namun, bila diingatkan janjiku pada diri sendiri hendak masuk ke pejabat hari ini, aku gagahkan diri jua.

Terasa lenguh seluruh tubuh bila aku memaksa diri aku lena di atas sofa yang membuatkan aku mengerekot bagaikan udang dibakar. Aku jenguk Ilham yang sedang lena pulas di atas tilam. Perlahan-lahan aku bangkit mendekat ke katil.

Wajah yang lena itu aku renung penuh kasih. Betapa aku menghalang hati ini dari merindui dia, hati aku tetap tegar aku melahirkan rasa rindu ini. Namun, bila mengingati hadiah pernikahan yang telah llham berikan padaku, aku tetapkan hati. Cukuplah di sini. Tiba waktu dan ketikanya, aku akan pergi.

Kala ini, aku terlalu bimbangkan mak dan mama. Seketika masalah pergi, sekelipan pula musibah mendatang lagi. Segera terbayang di mataku riak Abang Zali, Zura, Fazlee dan juga Izham.

Andai benar Izham melihat dan mendengar aku diherdik oleh Ilham, entah di mana harus aku letak wajahku. Malu usah dikata namun sakit di hati juga sukar aku gambarkan dengan kata-kata.

Jam sedang berdetik mengira bersama bebanan duka yang telah aku galas. Semalam, setelah dia keluar daripada bilik air, dia terus merebahkan tubuhnya di katil tanpa mempedulikan aku yang masih tersedu sedan sendiri.

“Kau nak ke mana ni?” sergah Ilham bila aku labuhkan duduk di birai katil tatkala dia sudah terbaring selesa malam tadi.

“Saya nak tidur. Penat,” jawabku antara dengar dan tidak.
Belum sempat aku rebahkan badan, dia terlebih dahulu melempar sebiji bantal ke lantai.

“Nuh, bantal kau. Tidur jelah mana-mana. Aku tak sudi nak tidur sebelah perempuan murah macam kau ni!” herdiknya padaku.

Airmata ini menitis lagi. Betapa aku halangnya daripada menitis, semakin galak pula air jernih ini mengalir. Aku bangkit dari katil tanpa berkata apa-apa. Namun, jauh di sudut hatiku, aku masih mahu memujuknya setelah kemarahannya reda nanti.

Setelah segala aku serahkan buat dia, aku tidak mahu menjadi hampas kepala. Habis santan, hampas dilempar. Tidak juga mahu menjadi tebu, habis manis sepah dibuang. Dia suamiku dan aku akan mempertahankan ikatan kami biarpun bibir meluahkan benci.

Selagi lagi, aku perlu jual harga diri dan kebahagiaanku kepada suami sendiri demi semua orang yang aku sayang. Lebih-lebih lagi mak dan mama. Mak terlalu mempercayaiku dan mama pula, terlalu ikhlas menerima aku sebagai menantunya tanpa dia tahu, anak lelakinya itu hanya mahu merasa nikmat tubuh ini tanpa merasa kasih sayangku di sebalik segalanya.

“Errghhhh….”

Aku tersentak bila Ilham menggeliat. Perlahan-lahan airmataku menitis ke pipi lagi kali ini. Menitis melihatkan wajah itu tersenyum dalam lena buat seketika. Mahu saja aku raih tubuh itu mengatakan cinta dan sujud di kakinya meminta keampunan atas segala kekhilafan namun, ada yang menghalang.

Semua yang berlalu bukan silapku. Aku sendiri tidak tahu apa lagi yang aku rahsiakan daripada dia. Dan SMS itu, aku penat memikirkannya. Andai Izham, tidak mungkin dan andai Fazlee…. Aku buntu.
Semakin aku renung dia, semakin rabak hatiku ini. Sudahnya aku berlalu ke bilik air hendak membersihkan tubuh. Membuang segala kotoran yang Ilham tinggalkan dalam diriku.

Betapa aku menyesal juga kerana lemah dan mudah tergoda oleh rayuan dan janji manisnya hinggakan aku tiada apa yang tinggal kini. Hanya keyakinan diri pada takdir yang telah Allah aturkan untuk aku sahaja yang masih membuatkan aku terus gagah berdiri biarpun jasad ini sudah hampir tersungkur.

Lama aku biarkan air paip itu mengalir laju jatuh di kepalaku lalu turun membasahi seluruh tubuh. Bila aku pejam mata, aku melihat Ilham di sisiku. Melangkah masuk ke dalam bilik air ini bersamaku semalam. Tapi hari ini, lain pula ceritanya.

Sepuluh jariku, aku renung lama. Melihatkan inai yang ku pakai buat kali kedua. Merahnya masih terang. Langsung tidak pudar tapi yang pudarnya adalah kasih sayang Ilham padaku dan juga kepercayaan dia terhadap diri ini.
Setelah aku buka pintu bilik air, aku dengar suara Azan sayup-sayup menerjah ke telinga. Laungan kebesaran yang memuji Allah yang Esa. Yang berhak ke atas sekalian makhluk di muka bumi ini. Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha
Membela nasib hamba-hamba-Nya yang dizalimi.

Aku terus sarungkan telekung ke tubuh selesai lengkap berpakaian. Sesudah itu dengan segera aku tunaikan kewajipanku. Usai Subuh, aku alukan selawat ke atas Rasulllullah dengan penuh kusyuk dan puji-pujian kepada Allah swt. Tatkala aku mengangkat tangan memanjatkan doa buat Dia yang Maha Mendengar rayuanku, airmataku mengalir laju.

‘Kuatkanlah bahuku hendak menggalas dugaan ini, Ya Allah. Gagahkanlah kaki ini untuk terus melangkah dalam onak duri yang terhampar sedangkan kaki ini tidak beralas, Ya Allah. Sabarkanlah aku untuk menerima segala ini demi orang tua kami, Ya Allah. Andai ini ketentuan-Mu buatku, keringkanlah airmataku. Teguhkanlah iman di hatiku agar aku tidak akan tergelincir dari landasan-Mu. Hanya aku pohon, biarpun tidak terlalu cepat dan mungkin juga terlalu lambat, tunjukkanlah mereka segala kebenaran,’ bisik hatiku pedih.

Sesungguhnya aku berserah segala untung nasibku pada Dia yang Maha Mengetahui setiap rahsia kejadian sesuatu perkara itu.

Mataku kembali memandang Ilham yang masih lena. Ringan saja tanganku hendak menggoyangkan tubuh itu mengejutkan dia bangkit. Tapi, aku takut hendak menerima herdikan dia lagi. Sudahnya, aku terus membelit tudung di kepalaku dan terus saja aku keluar daripada bilik setela menggapai beg tangan bersamaku. Di anak tangga terakhir, aku terserempak dengan mama. Dia memandangku pelik.

“Awal Fiah siap?” tanya mama. Dia memandangku dari atas ke bawah.

“A’ah, siap awal. Ni ingat nak tolong mama siapkan sarapan. Nanti Fiah nak keluar cepat sikit.”

“Am mana? Tak bangkit lagi?”

Aku menggeleng. “Fiah dah kejut. Kejap lagi bangunlah tu.”

Kaki ini aku terus atur melangkah ke dapur bila mana mama pantas saja melelar pergelangan tanganku.

“Kenapa mata bengkak, muka sembab?” tanya dia sambil menilik wajahku lama.

Aku pegang kedua belah pipi. Menepuk perlahan-lahan cuba mengawal air muka yang mungkin beriak sedih.

“Sembab ke?” tanyaku kembali pada mama bila tidak tahu hendak menjawab apa.

“Ni mesti Am tak bagi tidur malam tadi, kan?” teka mama. Aku ketawa mendengarnya.

“Kenapa pulak tak bagi tidur?” tanyaku kemudiaannya buat-buat tidak faham dengan maksud mama.

“Ala, mama pernah jadi pengantin baru juga.” Mama gelak dan aku juga.

Dia tidak pernah tahu sikap dan perilaku anaknya. Aku tidak mahu mama tahu tentang ini. Aku tidak mahu dia kecewa dengan anak yang dididik dan dibesarkan dengan tangan sendiri.

Aku wanita. Melihatkan kekecewaan mak terhadap Kak Anah satu waktu yang dulu, memang memeritkan dan aku juga tidak mahu melihat kekecewaan yang sama pada wajah mama. Mungkin dia tidak akan kekal menjadi mama buatku, tapi sementara aku bergelar isteri bersyarat pada anaknya, aku mahu dia senyum tanpa mengetahui kebenaran.

Sudah mengacau air teh dan menggoreng nasi, aku terus menghidangkannya. Jam waktu itu sudah hampir ke 8.00 pagi. Aku tidak tahu adakah Ilham sudah bangkit atau belum.

“Mama rasa Am ni tak bangkit lagi ni, Fiah,” tegur mama tatkala aku sedang menyusun pinggan di atas meja.

“Err, entahlah ma. Dah lewat ni,” selaku tenang.

“Fiah pergi kejut dia,” suruh mama.

“Yang ni biar mama buat. Abah dengan Izham ni pun tak keluar-keluar lagi. Aqam ni membuta jugaklah ni kalau balik bercuti. Macam nilah kalau Fiah nak tahu kalut ke tak mama sorang diri. Ni dah ada Fiah lega sikit. Nanti Fiah ketuk semua bilik. Kalau tak nak bangkit, tending je pintu tu,” rungut mama geram. Aku ketawa kecil.

Hati yang pilu ini ceria jua melihatkan petah mulut itu meleter dan rindu pada mak terubat jua melihatkan betapa dia mengambil berat pada keluarga. Sama juga macam mak.

“Baiklah, ma,” jawabku lalu aku melangkah mendaki anak tangga menuju ke atas.

Bila tiba di depan bilik Ilham, aku pegun seketika. Tangan ini sudah mencapai tombol namun aku masih berkira-kira hendak memulas tombol itu atau pun tidak. Kecut pula rasanya. Andai dulu terasa kuat kerana berada di rumah sendiri, hari ini rasa lemah kerana berada di rumah orang.

Baru saja hendak aku tolak daun pintu, pintu bilik Izham terlebih dahulu terbuka. Wajah itu muncul lagi di depanku dengan tiada beriak. Sukar hendak aku tafsirkan. Dia tersenyum nipis lalu merapatkan kembali pintu biliknya.

“Abang Am tak bangun lagi ke?” tanya dia sewaktu melaluiku.

“Err, entah.” Aku jungkit bahu.

“Pergilah kejut dia. Tak ada apa tu. Dia marah kejap je,” ujar Izham tenang. Dia senyum lagi lalu dia terus melangkah turun.

Aku terkedu lagi. Aku yakin Izham menyaksikan pementasan drama kami semalam dari awal hingga akhir. Drama penghinaan dan keraguan seorang suami terhadap seorang isteri. Drama di mana seorang isteri diherdik dan dimaki hanya kerana ego seorang suami.

Sudahnya aku gagahkan diri ini untuk melangkah ke dalam. Aku kuatkan semangat yang sudah hampir hilang ini untuk melakukan tugas isteri yang bersyarat demi orang tua yang mahu melihat kami bahagia.

“Apa salahnya aku berkorban sikit masa lagi demi mama dan abah?” gumamku pada diri sendiri.

Katil itu aku dekati. Ilham masih berselimut. Mungkin penghawa dingin yang terpasang sedikit sebanyak membuatkan lena tidurnya lebih enak.

Perlahan-lahan aku selak selimut tebal itu dan menyentuh hujung kakinya seperti sebelum ini.

“Abang….” seruku.

Hati ini masih mahu mengalah dengan dia. Aku masih mahu meraih kasihnya kembali. Aku masih sudi merendahkan kepalaku menagih kasih dari suami yang tak sudi demi mak dan mama.

“Abang bangkit, bang,” panggilku lagi dan kali ini lebih keras bila dia langsung tiada tanda hendak bangkit.
Kali ini aku beranikan diri menarik gebar itu dan ternyata tubuh Ilham hanya dibaluti sehelai seluar pendek saja. Aku pejam mata rapat cuba menghalau bayangan kemesraannya terhadapku. Hati ini harus tegar.

“Abang bangkit.” Aku sentuh bahunya pula dan serentak itu, Ilham membuka matanya dan dia bingkas bangun.

“Apa kau nak, hah?” jerkahnya kuat. Aku kalih ke pintu. Lega pintu itu tertutup rapat.

“Dah lewat ni. Bangunlah, pergi kerja,” ujarku perlahan. Mata ini langsung tidka memandangnya biarpun aku tahu dia sedang merenung tajam ke arahku.

“Semua orang tunggu abang sarapan. Saya nak keluar dulu,” sambungku lagi lantas aku berlalu ke pintu.

“Baju aku dah siapkan belum?” tanya dia kuat. Kakiku pegun.

“Kan abang tak suka saya siapkan baju kerja abang. Saya kan tak reti. Abang buatlah sendiri. Lagipun, hubungan kita tak ke mana. Entah esok atau lusa, abang akan halau saya keluar daripada rumah ni,” jawabku berani. Entah dari mana datangnya keberanian ini, aku sendiri tidak tahu.

“Dan selagi aku tak jatuhkan talak ke atas diri kau, kau isteri aku walaupun memang aku harap kau bukan isteri aku,” ucapnya bongkak. Aku pejam mata. Perlahan-lahan airmataku mengalir lagi.

“Jadi, selagi kau duduk dalam rumah ni, kau kena siapkan segalanya untuk aku,” sambungkan dan terus saja berdentum pintu bilik air.

Aku tiada pilihan. Aku harus tahu di mana aku berteduh sekarang ni. Tidak dapat menolak arahan itu, aku kuatkan kaki melangkah ke almari. Menyediakan pakaian kerjanya buat kali kedua.
Setelah selesai semuanya, aku terus turun ke bawah. Aku lihat, abah, Iqram, Izham dan mama sudah sedia di meja makan.

“Apa yang bising-bising tadi, Fiah?” tanya abah bila aku labuhkan duduk di sebelah mama.

“Err…” Aku dah tergagap-gagap hendak menjawab.

“Emm, apa lagi kalau bukan Abang Am tu. Payah nak bangkit la tu,” sela Izham tenang.
Dia ku jeling sekilas tapi dia tenang saja menyuakan sudu ke mulut. Aku pandang pula mama dan abah yang sama-sama tersenyum. Huh, sesungguhnya hati ini berasa lega kerana Izham sudi menjawab bagi pihakku dan langsung mematikan soalan abah tadi.

Bila aku selesaikan suapan terakhir, Ilham masih belum turun. Jam sudah menghampiri 8.30 pagi. Aku segera mengangkat pinggan ke dapur dan setelah itu aku cepat-cepat gapai beg tangan dan menyalami mama dan abah.

“Eh, Fiah tak tunggu Am dulu ke?” tanya mama pelik.

“Err, Fiah nak cepat. Tadi, dah cakap dekat Am nak keluar dulu,” jawabku lancar. Menipu lagi.

“Oh, tak apalah. Yang budak Am ni mana la tak siap-siap lagi. Mengalahkan isteri bersiap.”

Aku senyum mendengar bebelan mama dan selepas itu aku segera keluar selepas mencapai kunci kereta di atas rak. Bila ku mahu hidupkan enjin, aku lihat bar minyak sudah berkelip-kelip.

“Ya Allah, tak ada minyak pulak,” rungutku.

Macam mana ni? Kat sini mana ada stesen minyak terdekat. Malas hendak menyemakkan kepala yang sudah sedia semak, aku akhirnya keluar daripada perut kereta dan terus berjalan menuju ke perhentian teksi yang agak jauh dari rumah.
Sudah hampir 20 minit aku duduk menunggu teksi, tapi langsung tiada sebuah teksi pun yang lalu.

Andai difikirkan, pastilah dia tidak akan peduli lagi. Bukankah dia telah tekankan buat kali kedua, yang aku bukanlah kehendaknya lagi. Sampai waktu, aku harus berlalu dengan rela ataupun terpaksa. Dalam tak sedar, sebuah kereta berhenti di depanku. Izham!

“Masuk, Fiah,” ajak Izham selepas menurunkan cermin keretanya.

“Err, tak apalah Iz. Fiah tunggu teksi je,” tolakku sopan. Takut juga andai ternampak oleh Ilham. Sudah tentu lagi hebat nista yang dia ucapkan padaku nanti.

“Masuklah. Iz hantarkan. Dah lewat ni. Kat sini memang jarang ada teksi kalau tak call awal-awal.”

Kata-kata Izham kali ini membawa aku angkat tubuh. Toyota Caldina itu aku dekati lalu aku masuk ke dalam perut kereta dan Izham terus menekan pedal minyak.

“Kenapa tak bawa kereta?” tanya dia memulakan bicara.

“Tak ada minyak,” jawabku.

“Kenapa tak tunggu Abang Am je?” tanya dia lagi.

Aku menggeleng. Rasanya Izham memang pandai berlakon dari segi kata-kata namun riaknya jelas menunjukkan yang dia sudah tahu segalanya.

“Iz ada jawapan tu,” selaku tenang tanpa memandang ke arahnya.

“Kalau Fiah maksudkan pasal semalam tu, Iz tak sengaja terdengar…”

“Dan ternampak macam mana Abang Am layan Fiah?” pangkasku menyambung kata-kata Izham. Dia diam membisu. Aku tersenyum sinis.

“Sebab tu Iz tanya Fiah sebelum ni, Fiah bahagia ke tidak, kan?”

Izham diam lagi.

“Fiah bahagia, Iz. Fiah pernah bahagia,” jawabku lebih pada diri sendiri.

“Kalau kata Fiah nak Iz tolong, Iz boleh nasihatkan Abang Am.” Izham mempelawa aku untuk satu pertolongan. Aku lantas menggeleng.

“Terima kasih Iz. Tapi, rasanya biarkan kami.”

“Iz cuma nak menolong, Fiah!” ucap Izham bersungguh-sungguh.

“Iz dah cukup menolong kalau Iz dapat rahsiakan perkara ni daripada sesiapa pun. Biarkan Fiah selesaikan semuanya sendiri. Sikit masa je lagi Fiah perlukan. Tolong faham, Iz,” rayuku pula. Izham sudahnya diam saja dan aku pun mendiamkan diri juga hinggalah Izham berhenti tepat di depan bangunan pejabat Megah.

“Terima kasih, Iz sudi tumpangkan Fiah,” ucapku seraya menolak daun pintu.

“Err, nanti balik macam mana?”

“Tu Iz jangan risau. Fiah nanti balik sendiri,” jawabku lalu aku terus menapak. Namun, mataku sempat menangkap kereta putih mutiara itu yang sudah berdesup laju berlalu daripada pejabatku.

Benar yang aku rasa, memang Izham mendengar dan melihat segalanya. Dia tahu segalanya. Cuma aku mohon, dia tidaklah tergelincir lidah bercerita semua ini pada mama. Masih belum tiba masanya.

“Hai pengantin baru, inai merah lagi dah masuk pejabat,” tegur Suraya tiba-tiba. Aku tersentak.
Bila aku pusing, dia berdiri tepat di belakangku dengan senyum simpul.

“Kenapa orang lain hantar pulak?” tanya dia lagi.

“Kebetulan dia ada kerja sekitar sini. Saya tumpang dia. Suami saya nak out-station,” tipuku pada Suraya agar dia tidak berfikir yang bukan-bukan lagi.

Dia mengangguk dan aku terus saja berlalu ke bilikku. Sudah lama rasanya tak berada di dalam kesibukan ini. Benar kata mereka, banyak fail yang bersusun di atas mejaku. Baru saja hendak duduk di kerusi, pintu sudah di tolak dari luar. Bila aku angkat kepala, wajah Encik Azhan tersenyum mesra.

“Hai, awal Fiah masuk kerja? Kan ada cuti lagi, kan?” ucapnya padaku.

“Rindu nak kerja, bos.” Aku ketawa.

“Bagi pulak budak Am tu, ya?” Dia ketawa juga.

“Kat pejabat bos okey, kat luar tak boleh tau. Anyway, welcome back. Banyak fail tu,” ucap Encik Azhan lagi sambil menuding jari ke mejaku. Aku buat-buat mengeluh dan dia ketawa dan terus berlalu.
*******
GELAS yang berisi oat panas itu aku hirup perlahan-lahan. Malas hendak keluar makan tengah hari biarpun, Fariza dan Suraya beria-ria mengajak. Bukan tidak sudi, tapi kerja yang banyak tertangguh membuatkan dudukku terpaku pada kerusi.

Aku letak gelas itu dan baru saja hendak kembali memulakan kerja, pintu bilikku diketuk seseorang.

“Masuk,” laungku memberikan kebenaran.

“Puan Wafi…” Wajah Fariza kelat di muka pintu.

“Kenapa, Fariza?”

“Err, ada orang nak jumpa,” jawabnya takut-takut.

Pelik pula melihatkan reaksi Fariza. Kalau kata benar ada yang ingin jumpa, tak perlu takut-takut. Aku bukan lagi Wafiah yang dulu. Tidak akan sesekali aku memarahi mereka tanpa sebab.

“Siapa?”

“Errr… saya….” Fariza diam pula.

Aku bangun menghampiri dia dan bulat mataku tatkala melihatkan seorang lelaki yang cukup aku kenali berdiri tegak di belakang Fariza dengan wajah yang menunduk ke lantai.

“Awak boleh pergi, Iza,” arahku pada Fariza dan dia terus saja berlalu.

“Masuklah,” pelawaku perlahan pada dia dan bila dia sudah melepasi pintu, aku rapatkan daun pintu itu

“Kenapa Fatehah tak datang majlis kami?” tanyaku selepas kembali melabuhkan duduk.

“Saya sangat harap Fatehah dapat datang dengan Fazlee,” sambungku lagi. Dia tunduk membisu.

“Maaf, Kak Fiah. Saya dah cuba pujuk dia, tapi pendiriannya tetap begitu. Saya datang hari ni pun sebab Encik Izham cakap dekat saya, akak masuk pejabat hari ni. Kalau boleh saya tak nak selesaikan perkara ni depan Encik Ilham. Saya tak nak dia salah faham nanti, ucapnya dengan nada yang sedih.

Tiada bezanya dia ada ataupun tidak, kerana dia sudah mula salah faham lagi. Dia sudah mula menuding jari lagi. Dia yang ku ibaratkan bagaikan lalang. Tinggal hendak tercabut umbi saja. Dan saat itu, aku pasti akan diusir pergi.

“Tak apa, Fatehah. Saya faham. Fatehah boleh cakap dekat saya apa yang patut saya lakukan sementara saya ada lagi ni,” ucapku tenang.

Bila Fatehah angkat mukanya memandang ke arahku, pipiku sudah dibasahi air mata. Aku diam saja. Hendak bersimpati pada diri sendiri saja aku sudah tidak mampu, apatah lagi hendak bersimpati pada dia.

“Kak Fiah tolong pujuk Fazlee, kak. Pujuk dia nikahi saya. Saya tak boleh kalau dia batalkan pernikahan kami di saat-saat akhir macam ni. Saya dan keluarga saya tak boleh nak tanggung malu macam ni, kak,” rayunya padaku.

Aku gelak perlahan. Tanpa sedar, aku ukir senyum sinis. Hukum karma itu benar. Biarpun aku tidak meminta, tapi ianya terjadi kini.

“Kalau Fatehah nak tahu, inilah apa yang saya rasa bila Ilham nak batalkan pernikahan kami dulu di saat-saat akhir. Masa tu, hanya satu yang saya fikir. Mak saya. Saya tak boleh biarkan dia tanggung malu sebab kesilapan saya. Tapi, alhamdulillah, bila kini Ilham berubah. Berubah menjadi seseorang yang sangat saya tak duga,” luahku di luar sedar.

“Maafkan saya sekali lagi, Kak Fiah. Masa tu saya tak fikir kesannya bila bawakan cerita tu pada Encik Ilham dan kini saya rasa Allah sedang hukum saya atas kesilapan saya tu. Mungkin sebelum ni Kak Fiah dah maafkan, tapi saya rasa saya tak layak terima kemaafan itu,” ucapnya penuh sesalan.

“Saya ikhlas maafkan, Fatehah sebelum ni dan hari ini, sudah benar tak ada dah dendam dalam hati saya. Kalau tentang Fazlee, saya memang tak boleh nak membantu. Saya haramkan diri saya bersua dengan dia lagi. Saya dah cukup tanggung derita, Tehah.”

Fatehah hanya mengalirkan airmata. Seketika kemudian, dia bangkit dan meluru ke arahku lalu dia jatuhkan lutut dia depanku. Memeluk lututku erat dan membiarkan wajah itu terbenam di ribaanku.

“Fatehah, kenapa ni?” tanyaku sedikit keras.

“Bangun, Fatehah. Jangan macam ni, tak baik,” larangku. Dia terus menangis.

“Tehah tak nak bangun, kak. Tehah tak nak bangun selagi akak tak janji dengan Tehah nak tolong Tehah selesaikan hal ni. Tehah tak mampu nak tanggung dah kak. Tehah tak tahu macam mana Tehah nak cakap dengan keluarga Tehah pasal ni. Tolong Tehah, kak. Tehah merayu. Tolong, kak,” rayunya bersungguh-sungguh.

Aku ketap bibir kuat. Dalam dirinya, aku nampak diriku yang sedang merayu Ilham satu waktu dulu.

“Saya tak boleh, Fatehah. Saya memang tak boleh,” tekanku tegas.

Bila aku bangkit, aku turut sama angkat bahu Fatehah agar berdiri. Selepas itu aku tarik dia agar dia terus berlalu keluar dari bilikku. Dia tidak tahu, aku sedang menanggung masalah lebih hebat daripada itu.

“Tolong Tehah, kak,” rayunya lagi. Dia memeluk aku erat.

“Kak Fiah tak tahu nak buat apa, Tehah,” balasku bersama linangan airmata.

“Kalau kata Kak Fiah jumpa dia pun, apa yang perlu Kak Fiah buat? Kak Fiah tak tahu.”

“Kak Fiah tolong pujuk dia, kak. Tolong saya, kak!”

Aku tolak bahu Fatehah. Bila menatap mata yang dihiasi airmata itu, hati ini tersentuh juga. Tidak rela rasanya membiarkan gadis manis ini melalui apa yang pernah aku lalui.

“Susah hidup dengan orang yang tak sudi terima kita dengan ikhlas, Fatehah,” ucapku harap agar dia faham.

“Tehah tak kira, kak. Tehah sanggup hadapi dia,” ucapnya tanpa berfikir panjang. Aku mengeluh.

“Kalau itu yang Tehah nak. Kak Fiah akan jumpa Fazlee dan Kak Fiah harap, ini adalah kali terakhir Tehah minta Kak Fiah tolong,” ucapku sambil mengelap airmata dipipinya.

Dia sekali lagi memelukku dan aku membalasnya erat. Memberikan semangat untuk dia agar terus teguh berdiri biarpun takdir tidak menyebelahi dia nanti.
******
AKU tiba di rumah sudah agak lewat petang tu dalam keadaan basah kuyup bila disimbah hujan.

“La, kenapa tak suruh Am jemput?” tanya mama bila dia membuka pintu.

“Fiah lupa, ma,” jawabku bergurau. Dia menepuk bahuku lembut.

“Dah basah ni ha. Dah la. Pergi naik mandi, Am dah balik tadi lagi,” suruh mama.

Aku mengangguk dan terus saja naik ke atas. Tidak perasan pula dengan kereta Ilham di laman. Bila aku tolak pintu, Ilham sedang menyandarkan kepalanya pada katil dengan membelek sebuah buku.

“Assalamualaikum, abang,” ucapku.

“Lambat balik?” tanya dia dengan suara yang mendatar saja. Salam juga tidak dijawab.

“Hujan lebat KL. Awal abang balik?” tanyaku pula.

“Kau pergi kerja dengan siapa pagi tadi? Kenapa tak bawak kereta sendiri?” soal dia tanpa menjawab soalan aku.

Aku senyum, terasa ada nada cemburu di situ. Tapi, aku benci dengan cemburu itu. Aku menyampah hendak memikirkan yang dia cemburu. Bagiku itu bukan cemburu, tapi curiga semata-mata.

“Sepatutnya abang tak perlu kisah saya pergi kerja dengan siapa? Bukankah abang juga yang buang saya? Kita berkongsi bilik ini hanya kerana mama. Tak lebih dari itu,” ucapku seraya berlalu ke bilik air.

Lama aku duduk di bawah pancuran air. Hendak tersenyum rasa tidak mampu, hendak menangis juga rasanya sudah tiada berair mata. Aku tilik lama wajahku di dalam cermin. Tapi sayang, bila pantulannya adalah wajah Ilham. Senyumannya, lirikan nakalnya. Segalanya tentang dia.

Aku masih dapat terima penghinaan dia kepadaku yang pertama. Andai ikutkan hati, aku mahu saja melangkah keluar daripada rumah ni, tapi bila terbayang airmata mak dan mama, aku kentalkan hati buat seketika. Biarlah dia menghinaku hingga bagaimana pun, demi mak aku tekad.

Bila aku keluar dengan siap berpakaian, Ilham sudah bertukar duduk di bangku di depan meja solek. Tanpa mempedulikan dia, aku terus mengirai rambutku. Tiada apa yang hendak aku risaukan bila dia menjeling kerana dia telah tegaskan yang dia tidak akan menyentuhku lagi.

“Kau pergi kerja dengan siapa hari ni, Fiah?” Soalan yang sama lagi.

“Izham tumpangkan,” jawabku.

“Kenapa? Kenapa kau tak bawak kereta kau sendiri?”

“Kereta tak ada minyak. Tak sempat nak pergi tuang minyak pagi tadi. Kebetulan dia lalu, dia tumpangkan. Tak ada masalah, kan? Cuma saya pelik, mana abang tahu?” tanyaku sedangkan aku sudah tahu, dia mengekori kami pagi tadi.
Ilham diam. Aku senyum sinis.

“Mana kau dapat gelang ni, Fiah?” tanya dia kemudiannya mengubah perbualan lagi.
Tanganku terhenti dari mengelap rambut. Aku pandang dia melalui pantulan cermin.

“Gelang?” soalku sepatah.
0
Ilham pantas berdiri. Dia angkat tangannya menunjukkan gelang yang mama hadiahkan buatku.

“Gelang tu…”

“Gelang Iz bagi, kan? Kau jangan nak nafikan Fiah. Aku pernah nampak gelang ni dalam tangan Iz. Aku tahu sebab dia pernah tunjukkan pada aku. Apa lagi alasan kau kali ni? Dengan adik ipar sendiri pun kau sanggup buat perkara hina macam ni, Fiah?” tanya Ilham dengan nada yang marah. Cepat saja dia memangkas tanpa sempat aku habiskan ayatku.

“Kalau saya cakap yang betul pun, abang nak percayakan saya ke? Masih ada ke kepercayaan abang pada saya selepas semalam?” tanyaku tenang.

“Kalau macam ni, aku tak akan percayakan kau sampai bila-bila, Fiah. Kau memang curang dengan entah berapa ramai lelaki. Aku malu ambil bekas orang, Fiah! Apa yang kau bagi dekat Iz sampai dia berikan kau gelang ni?” tekannya lalu dia lemparkan gelang ke wajahku. Tepat mengena hujung bibir.

Aku pejam mata. Serta merta aku raba bibirku yang terasa perit dan bila aku merenung jari, ada sedikit kesan merah di situ. Ilham nampak terperanjat. Tapi, dia hanya kaku tidak bergerak.

“Aku… aku tak sengaja,” ucapnya tergagap-gagap.

“Tak apa, bang. Abang memang tak pernah sengaja. Lidah abang juga tak pernah sengaja mengeluarkan kata-kata kesat buat saya dan kali ini abang juga tak sengaja, kan?” tanyaku. Dia telan liur. Aku senyum lagi.

Aku tunduk mengutip gelang pemberian mama itu dan aku renung lama. Begini sekali dia mencurigaiku. Kini, nama adiknya sendiri dia letakkan salah satu sebagai sasaran.

“Kalau kata abang tak percayakan Izham, lebih baik abang pindah je, kan?” tanyaku sinis.

“Pindah supaya lebih senang kau heret semua lelaki tu semua masuk rumah bila aku tak ada?” Matanya bulat memandangku.

“Jangan heret sama orang yang tak bersalah, bang. Saya takut abang menyesal tak sudah satu hari nanti,” ujarku perlahan.

“Memang sekarang aku tengah menyesal, Fiah. Menyesal kerana terpaksa menyimpan kau lagi demi semua orang sedangkan aku ni menderita,” ujarnya sedikit terjerit.

Pedih telingaku mendengar kata-kata itu. Rupanya, dia lagi menderita daripadaku. Menderita kerana tidak dapat menceraikan aku. Menderita kerana terpaksa menyimpan wanita semurah aku.

“Kalau macam tu, abang bagi saya sikit masa lagi. Bagi masa saya selesaikan beberapa perkara dulu. Bila semua dah selesai, saya sendiri akan keluar dari hidup abang,” ujarku separuh merayu.

Sebelum kakiku melangkah keluar daripada rumah ini, aku harus menyampaikan perkara ini pada mak terlebih dahulu.

“Lagi cepat lagi bagus, Fiah,” tekan Ilham lalu dia terus keluar daripada bilik.

Aku kembali menatap cermin melihat bibirku yang sedikit pedih dan berdarah terkena gelang emas itu. Sudahnya, aku rapat ke almari dan aku simpan semula gelang tersebut di dalam laci.

Esoknya, aku bangkit seperti biasa. Usai Subuh, aku kejutkan Ilham sehingga dia bangkit. Biarpun dia marah, aku juga tidak peduli. Aku malas hendak turun naik berkali-kali semata-mata hendak membangkitkan dia.

Bila dia buka mata, mata itu bulat memandangku. Tangannya terangkat separuh dan terhenti tatkala hampir mencecah hujung bibirku.

“Jangan risau. Sikit je. Nanti orang tanya pandailah saya jawab,” ucapku tenang.
Aku tahu dia nampak terperanjat dengan kesan lebam di hujung bibirku akibat perbuatannya semalamam.

“Aku…”

“Abang tak sengaja, kan? Saya tahu.” Aku gariskan senyuman memangkas kata-katanya. Aku sudah tahu apa yang dia ingin katakan.

“Hari ni saya balik lambat sikit. Ada hal yang nak saya selesaikan.” Selagi dia masih suamiku, aku perlu meminta izin daripadanya.

Petang ini, aku perlu berjumpa dengan Fazlee setelah aku berjanji dengan Fatehah untuk menolongnya.

“Kau tak perlu cakap dengan aku apa yang kau nak buat. Aku tak nak tahu,” tekannya lagi. Dia bangkit dan terus berlalu ke bilik air.

Aku terus bersiap hendak keluar. Terlalu banyak perkara yang perlu aku selesaikan. Urusan Fatehah dan Fazlee dan urusan aku sendiri.

Bila aku tarik pintu, aku terserempak dengan Izham lagi. Dia memandangku pelik. Jemarinya pantas hinggap di hujung bibirku.

“Kenapa ni?” Dia menunjukkan kerisauannya.

“Err, tak ada apa. Em Fiah nak minta tolong Iz sikit hari ni, boleh?” Aku bertanya mengubah perhatiannya.

“Err, boleh. Pasal apa?”

“Petang ni, Iz jumpa Fiah dekat pejabat. Ada perkara yang Fiah perlu selesaikan.”

Wajah Izham berkerut seribu. “Tentang apa?”

“Fatehah,” jawabku jujur.

“Kenapa tak minta Abang Am tolong je? Fiah tak takut dia salah faham lagi?”

“Biarlah, Iz. Apa pun Fiah buat, dia tetap salah faham,” ucapku tenang.

“Fiah tak mampu dah nak pertahankan diri sendiri,” sambungku lagi. Izham merenungku dengan pandangan yang penuh simpati.

“Iz hantar Fiah hari ni. Senang petang nanti kita terus balik.”

Aku angguk bersetuju dengan kata-kata Izham dan kami sama-sama menuruni anak tangga.
Sepanjang perjalanan, aku dan Izham lebih banyak mendiamkan diri. Dia nampak tenang memandu dan aku tidak henti-henti memikirkan cara bagaimana hendak aku sampai perkara ini pada mak. Sememangnya aku tidak mampu melihat airmata mak.

“Boleh Iz tanya satu soalan?” tanya Izham memecahkan sunyi.

“Fiah tak bahagia sekarang dengan Abang Am. Tapi, kenapa Fiah masih setia tunggu dia? Kalau kata Fiah lepas daripada dia, ramai lagi yang sudi jaga Fiah dan menyintai Fiah sepenuh hati.”

Aku ketawa kecil. Cinta sudah jatuh nombor ke berapa dalam hatiku kini. Hanya menjadi keutamaan hanyalah hati mak.

“Banyak perkara yang perlu Fiah fikirkan sebelum tinggalkan Ilham, Iz. Banyak benda yang perlu Fiah ambil kisah. Kudrat bukan di tangan Fiah,” jawabku lemah.

“Benarkah apa yang Iz cakap. Kalau dulu Fiah dingin, Fiah tetap nampak lembut. Tapi sekarang, biarpun Fiah memang dah berlembut, Fiah nampak lemah sangat.”

Aku tersenyum lagi mendengarkan kata-kata Izham padaku. Ada benar kata-katanya itu. Hari ini, aku akui segalanya benar. Andai aku berkeras dulu pastilah aku tidak melalui semua ini. Tapi, mak juga benar. Segala yang takdir aturkan tak pernah silap. Jadi, aku terima segalanya ini sebagai ketentuan dalam hidupku.

“Sampai bila Fiah nak Iz rahsiakan semua ni daripada mama? Sampai bila Fiah nak rahsiakan semua ni daripada mak Fiah sendiri? Satu hari nanti, pasti akan nada yang menangguk di air yang keruh, Fiah.”

Pertanyaan Izham kali ni membuatkan aku berfikir lama. Aku tahu andaian itu ada benarnya. Salah seorangnya sudah pastilah Abang Zali dan juga lelaki yang menghantar SMS kepadaku seperti yang Ilham katakan. Siapakah dia? Mungkin juga Fazlee.

Aku tiba dipejabat lebih awal dari biasa. Waktu itu, tiada siapa pun. Kerja yang masih banyak, perlu aku siapkan dengan segera. Entah mengapa, rasa tidak sedap hati pula hari ini.

Fail terakhir aku tutup akhirnya. Lega bila semua kerja telah dapat aku siapkan dalam masa dua hari ini. Jam sudah menginjak ke angka 5.30 petang bila Izham menelefonku mengatakan yang dia sudah menungguku di bawah.

Nombor telefon yang Fatehah tinggalkan itu aku tarik dari beg duit. Aku simpan di dalam memori telefon. Selepas itu aku tekan punat hijau. Selepas beberapa deringan, aku dengar suara lelaki di hujung talian.

“Fazlee, ni Wafiah,” ucapku bersahaja.

“Wafi?! Ya Allah, akhirnya Wafi sudi juga telefon Lee. Lee nak jumpa Wafi. Nak jumpa sangat,” rayunya.

“Kita jumpa petang ni. Dalam setengah jam lagi. Dekat Restoran Krathong,” ucapku lagi.

Talian dimatikan dan aku terus keluar daripada bilik dan menuju ke lif. Setibanya di bawah, Izham tenang menantiku. Kini, aku dapat rasakan sesuatu tentang dia. Aku yakin kini, akulah wanita yang dia cintai. Wanita yang sekali dia cinta selamanya cinta. Wanita yang tidak dapat dia miliki malah menjadi haram pula untuk dia terus cintai kerana statusku sebagai kakak iparnya.

Aku dapat rasanya di sebalik sikapnya yang terlalu mengambil berat terhadap diriku. Tapi, sayang. Aku tidak nampak dia sebelum ini. Cinta pada dia tidak pernah hadir.

“Maaf, Iz. Lambat sikit,” ucapku. Izham senyum dan terus membuka pintu untukku. Selepas kami sama-sama berada di perut kereta, Izham terus meluncur pergi.

“Ke mana?” tanya dia.

“Restoran Krathong.”

“Jalan Sultan Ismail?” Izham pinta kepastian. Aku angguk saja.

Kami tiba juga akhirnya di dalam kesesakan jalan raya. Bila Izham sudah memarkir kereta, aku dan dia terus berjalan menuju ke tempat yang aku janjikan dengan Fazlee. Dari jauh, aku sudah melihat Fazlee melambai ke arahku. Izham menarik lenganku memaksa aku berhenti.

“Fiah kata nak jumpa Fatehah?”

“Maaf. Fiah jumpa tunang Fatehah.”

“Kalau Abang Am nampak?”

“Terserah pada dia nak nilai macam mana. Dia orang cerdik pandai,” balasku tenang. Izham mengeluh.

“Iz tunggu kat sini je. Fiah selesaikan cepat-cepat. Iz takut ada yang nampak. Kalau sampai ke telinga Abang Am, Iz tak nak Fiah disakiti lagi.” Izham tepuk bahuku sekali Aku senyum. Jelas terbentang rasa cintanya buatku di sebalik renungan itu.

“Duduk, Wafi,” pelawa Fazlee dengan wajah ceria.

“Kita sekejap je ni, Fazlee. Wafi kena betulkan banyak perkara dengan Fazlee dan aku benda yang Wafi nak tanyakan.”

“Ya, Lee tahu. Tapi, Wafi duduk dulu, ya.”
Aku melabuhkan duduk di hadapannya. “Boleh kita mulakan?” tanyaku. Dia angguk.

“Wafi datang kerana Fatehah. Dulu, Lee pernah buat kesilapan macam ni dengan Wafi. Jadi, Wafi nak tanya, berbaloi ke Lee nak ulang semula kesilapan tu buat kali kedua?”

“Tapi, Lee masih cintakan Wafi,” akuinya. Jemariku yang ada di atas meja dia raih kemas.

“Takdir cinta kita sememangnya bukan milik kita, Lee. Segalanya milik Allah. Sebagaimana Dia anugerahkan, terima saja dengan hati yang terbuka. Fatehah terlalu baik untuk Lee persiakan. Jangan ulangi lagi kesilapan yang sama Lee,” nasihatku pada dia.

Sesungguhnya nasihat itu adalah untuk diriku sendiri. Jangan ulangi kesilapan yang sama dua kali. Sepertimana aku, mengulangi kesilapan yang sama dengan menerima Ilham kembali dalam hidupku malah sanggup mempercayai perubahan dia sepenuh hati sedangkan dia berubah hanya untuk tubuh ini semata-mata. Selepas puas menikmati, aku dia biarkan terkapai-kapai sendiri. Hanya tunggu masa saja untuk membiarkan aku pergi.

“Percayalah pada takdir. Wafi isteri orang. Jodoh buat kita sudah terlalu jauh. Dan hari ni, Wafi dengan ikhlas hati, maafkan segala kesilapan yang pernah terjadi antara kita. Cukuplah sampai di sini. Pulanglah pada dia. Jangan sampai Allah menghukum kita Lee sedangkan kita telah diberi peluang untuk berubah,” tekanku. Fazlee tunduk menjadi pesalah.

“Satu lagi Wafi nak tanya dan Wafi harap, Lee jawab dengan jujur. Lee pernah hantar SMS pada Fiah beberapa hari lepas?”

Bila Fazlee menggeleng. Aku merasakan nafasku semakin sesak. Muncul lagi orang ketiga. Tapi, entah siapa.

“Terima kasih,” ucapku mengakhiri kata. Aku bangkit hendak berlalu bila Fazlee lebih pantas melelar pergelangan tanganku.

“Tapi, Lee tak boleh lupakan Wafi.”

Aku senyum sinis. “Dulu Lee pernah lupakan, sekarang pun pasti boleh,” sinisku lalu aku rentap tanganku daripada genggamannya dan terus meninggalkan dia bersama-sama dengan Izham yang sudah sedia menanti. Satu hari nanti, Izham akan menjadi saksi andai Ilham menuding jari ke arahku lagi.

“Dah selesai ke?” tanya Izham. Aku senyum dan mengangguk.

“Harapnya selesai,” jawabku berbisik.

~~~> bersambung

29 comments:

  1. ya Allah geramya bca n3 nie..geram sgt sgt sgt kat ilham..mcm nak sepak2 ja..ari tue jnji lain nie bt lain plak..sng2 bgi ja fiah kahwin dgn izham last2..biaq putih mata ilham tue..ishhh GERAMMM!!

    ReplyDelete
  2. aaaaa..jahat ye ilham nie...benciiiiiiii

    ReplyDelete
  3. ya rabbi memang sakit ati sgt2 dengan ilham nih..jantan gile lagi psiko tak patut dibuat laki..fiah lepas ni jgn bg peluang lg kat ilham vangang nih..pegi jauh2 cari kebahagiaan lain..vodossss nye ilham si jantan haprak lagi hampessss...mencikkkkkk ko malaunnn..

    ReplyDelete
  4. RM jangan marah akak naaa...akak terlebih sudah emo kat ilham jek..kat RM akak sayang terlebih sudah juga...

    ReplyDelete
  5. terseksa jiwa sy baca bab ni..rasa nk tukar biar izham plak jd hero ;D

    ReplyDelete
  6. rasanya memang izham yg SMS kat wafi......

    ReplyDelete
  7. benci ilham benci ilham .
    jantan tak guna .
    haha . cam melampau la pulak .
    tapi siyes geram . izham tetap baik .
    wafiah kawen ngan izham kang baru tau .
    tak sabar nak tengok ilham menyesal tak sudah nanti .
    time tu , wafiah tak leh lembut2 dah .

    [aya]
    bg pengajaran cket .
    btw , best kak RM . thumbs up !
    sambung lagi ye ? :)

    ReplyDelete
  8. benci3x.. yg si izham ni pun satu yg dok elus2 pipi kak ipar tu wat pe? yg wafi ni pon larang la!!!!... gerammmmmm

    ReplyDelete
  9. bila hati da sekali terluka, masih bley bg peluang utk memaafkan.. tapi bile bende same berulang, hati mane yang dpt b'tahan.. luke di hati da makin parah.. tak de harapan la ilham.. menyesal la x sudah..

    t'nyata fiah seorang yg kuat.. sesungguhnya Allah tak akn membebankan seseorang melebihi kadar kemampuan hambaNya..

    >feeqa

    ReplyDelete
  10. rse mcm nak belasah aja si ilham nie..mngakitkan hti aja sikap dia.....

    ReplyDelete
  11. Kak Rehan, bila Fiah nak tinggalkan Ilham?? Tak sabar nak baca part Ilham menyesal.... biar masa tu Fiah berubah jadi ego pulak, ngeheheheh (^___^)V

    ReplyDelete
  12. x lain x bukan yg hantar sms adalh iz...nak lg cpt sambung RM

    ReplyDelete
  13. nape ilham tetibe berubah...ala nk wafi ngn ilham gak...xsbr nk taw...

    ReplyDelete
  14. alahai..banyak sangat yg nak difikirkan oleh fiah ni..hati dia terlalu lembut. Macam mana pun Ilham marah dan caci dia ..dia mmg tenang dan menjawab ngan eluk walaupun sinis..sadis betui la mamat sengal tu..apa ek yg mamat tu pikir..apa ek yg dia rasa..adakah dia tidak rasa mlm pertamanya yg wanita sebaik fiah tu virgin orgnya..akan dia mabuk kut bila dia bersama fiah melayari malam pertamanya..bengong betui mamat tu.. apa kata kita hantar mamat poyo tu jumpa pakar physaikastri..suruh check otak dia..senget kot..Apa ek..pandangan ilham mamat poyo tu terhadap fiah..sesungguhnya seorg isteri itu Allah jadikan dari rusuk lelaki..untuk dilindungi..disayangi..dan bukan maruah isteri tu diletak di kepala ..senang untuk diinjak injak..mahupun ditelapak kaki ..aduhai..sedihnya hidup fiah..
    cukup cukuplah fiah..berlalu lah pergi buat sementara waktu..agar ilham laki ko tu.boleh berfikir secara rasional bila ko tiada..dan mencari dirinya yg semakin hilang kesabarannya ..biarla dia berkelana ke luar negara ..agar semua ni tidak akan mencalarkan hati dan melukakakannya lagi..
    satu lagi akak rasa fatehah ni bukan baik sgt..akak takut je yg fatehah nak kenakan fiah..kaw kaw..dia bukannya rapat pun ngan fiah..kan..hati org mana kita tau..baik atau buruknya..
    ilham ..cukup cukupla membuat fiah serba salah .. cuba bergaul ngan wanita lain..Allah hanya menduga .. mesti ada wanita diluar sana yg boleh bisa menggantikan fiah..
    Nak lagi RM..Ma'af akak mmg byk marah ngan E3 ari ni..ngan ilahm bengong..sengal tu..
    salam
    kak idA

    ReplyDelete
  15. rehan yg salah...nape wat n3 mcm ni...x sukeeeee!!!huwaaaaa!!!! -liyahuma-

    ReplyDelete
  16. once bitten twice know tapi Wafiah x ambil pengajaran
    boleh pula dia jumpa Fazlee... sepatutnya biarkan Fatehah cuba selesaikan masalah sendiri...

    masalah dia dgn Ilham pun belum selesai2 lagi...

    ReplyDelete
  17. Sebenarnya Fiah yg salah coz dah tau Ilham dah tuduh dia skandal dgn Izham boleh lg dia tumpang kereta Iz.. Dah tau Izham ada ati ngan dia boleh lg tu dia kasi pegang pipi ngan bibir dia... Wafiah nie sama jer ngan Iz... lps tu boleh kasi Fazle pegang tangan dia plak tu...

    ReplyDelete
  18. masalah brtambah konflik... rse cam iz tue jahat jer... coz i think dye yg antar sms tue kat fiah... huhu.. pape pom cpt2 smbg next n3 yer writer.. x sbar2 nk bce part fiah tinggalkn am tue... hahaha... (gelak jahat)...

    ReplyDelete
  19. apa pun saya nak tahu sambungan cepat

    ReplyDelete
  20. x sabar nak tgk fiah tinggalkan ilham...hehehe...

    ReplyDelete
  21. Ya Allah asal smua nk salah Ilham. Biar pun Ilham ada yg silap tp bukan sepenuhnya salah dia sbb adik dia yg bt hal sbb adik dia lebih kenal dia n tau kelemahan dia yg utama n ambik kesempatan. Ilham masih sayangkan fiah cuma ego dia yg taknak ngaku sbb tbaca msg tu n lps tgk pandangan izham yg semacam bt fiah. hope ilham cepat tsedar. jgn biar adikdia ambik ksempatan. Ak tak suka langsung Izham tu.Ak rasa adik dia tu psiko. sanggup jd parasit dlm hubungan abg dia n fiah. klu xkenapa dia asyik dok hendap bilik fiah n ilham, mlm2x buta then pg2x buta pun dok sekodeng. nk cari kelemahan ilham n fiah. skrg cuba menangguk di air yg keruh. pura-pura simpati bt fiah tp sebenarnya hati suka. bila ilham bt fiah mesti dia cuba nk bt hati fiah tenang kononnya. pdhal nk ambik kesempatan. mesti lps ni dia akan ckp kat ilham yg fiah jumpa fazlee. n takkan ckp perkara yg benar kat ilham. n sbenarnya mmg gelang tu izham beli bt fiah tp kenapa mama dia bg gelang tu jgk. mgkin mama dia tau perasaan izham bt fiah n sengaja bg rantai tu. ke mama tu mak tiri ilham sbb ilham sll kata izham lebih berhak pd harta benda keluarga dia. asal??? n mama dia juga sll sibuk nk tau perhubungan fiah. n kadang2x saja ja nk buat hati fiah tak tenang tnya bukan2x ttg izham. mcm sj ja. betul tak??? apapun cik writer tolong la jawap. But I still wanted ilham n fiah bersama selamanya. ak tak suka dia jatuh pd parasit si izham bongok tu. sbb msg tu mmg dia yg hantar. hope fiah jgn mudha tertipu dgn sikap izham tu. celik mata tu luas2x. tgk btapa busuk hati izham smpai sanggup hancurkan kebahagian abg dia sndr.

    ReplyDelete
  22. pasti fitnah timbul lagi...
    kesian wafiah...
    huhu...

    ReplyDelete
  23. mesti Ilham akan salah faham lagi... huhuhu...

    ReplyDelete
  24. kak RM nk baca next chpter lg....hati tgh resah nie....biar ke si wafi tinggal ilham...cam org xbelajar tinggi..geramm tol...

    ReplyDelete
  25. hisyh...apehal la dengan si ilham tuh...terok gile perangai....si fiah tu pon da tau laki dia tak suka dia dgn laki lain tak pyah la kluar dgn si izham tu....ape pun still hrap at the end fiah dgn ilham jugak..

    ReplyDelete
  26. aduhhhh, sakit nye dada.. tabah nye wafi...cayok... tq rehan

    ReplyDelete
  27. askum.rm ble nk smbungan crite ni lgi.x best bce separo je.

    ReplyDelete