Monday, January 30, 2012

Bila Nak Saksi? [10]

[10]

ADUH!! Usop betullah suruh aku teman dia. Kemain lama aku duduk di atas kerusi kayu di depan Mc’ Donald sebelah Parkson ni menantikan dia. Ada ke patut macam ni dan aku pun satu, turut je. Akal melarang, tapi hati gatal. Inilah natijahnya. Duduk macam kera duku.

Kejap-kejap aku mengerling ke jam di pergelangan tangan. Dah hampir dua jam aku duduk di sini. Dia masih belum muncul. Sesekali aku betulkan ikatan tocang pada rambutku. Ini dah tengah hari, makan pun belum. Nasib baik dah telefon mama cakap nak makan tengah hari kat luar dulu baru balik.

Perut dah berdondang sayang. Lama-lama boleh bertukar dendang benci sebab menanti Usop. Dekat nak kebuluran dah. Ini tak boleh jadi ni. Ujar hatiku lalu aku berdiri dan terus menapak ke menuju ke Mc’Donald.

Tapi sayang, tak sempat sampai Usop dah muncul dulu. Kan dah cakap, dia macam hantu. Muncul ikut suka dia, hilang begitu saja.

“Nak pergi mana?” tanya dia seraya menjeling ke arah restoran makanan segera tu.
Aku letak telapak tangan di perut.

“Lapar,” jawabku sambil membuat muka sedih.

Usop ketawa kecil. “Tahu awak lapar. Jom, kita pekena nasi kerabu dekat belakang pasar.”
Baru je ayat itu sudah, dia terus je melangkah. Suka tinggalkan aku. Tadi, kata suka… tapi layan macam tak suka. Apa kena mamat ni? Nak tak nak, aku pun melangkah juga.

Nasi kerabu? Pernah dengar tapi tak pernah merasa. Mula la nafsu makan menjadi-jadi ni. Orang dah nak belanja, aku apa lagi. Tadah perut sajalah.
Kami sama-sama berjalan melintas jalan raya yang sibuk menuju ke arah Ocean dan kemudiannya terus saja ke belakang pasar. Memang banyak gerai kat situ. Aku pun tak pernah tahu ada gerai kat sini. Meriahnya… memang meriah. Mula-mula nak buat muka teruja, tapi bila risau kena tazkirah oleh Usop, aku buat muka biasa-biasa je.

“Kak, bagi nasi kerabu dua. Bungkus, ya,” beritahu dia pada kakak pekedai itu.
Kakak itu senyum pada aku dan Usop silih berganti.

“Eh, kenapa bungkus?” tanyaku berbisik.

“Dah tu? Awak ingat saya nak ajak awak makan dengan saya ke? Saya ajak makan, tak kata nak makan dekat kedai. Awak balik makan kat rumah, kan seronok,” sinis dia.
Gulp… Aku telan liur. Macam-macam hal la Usop ni. Aku mati-mati ingat dia nak makan dengan aku kat gerai ni tapi dia suruh bungkus.

“Kalau nak bungkus tadi, baik saya bungkus fast food je. Tak adalah penat berjalan macam ni.” AKu mula la merungut.

“Fastfood tak elok la, Lit. Jangan makan fastfood lagi.” Dia menggeleng melarang aku.
Eh eh dia ni… berani betul nak halang orang.

“Tapi, saya suka. Senang, mudah dan cepat,” jawabku tak pernah nak beralah.
Usop mendengus kecil sambil menjeling tajam ke arahku.

“Kenapalah awak ni suka menjawab sangat, hah?” tanya dia tidak puas hati. Aku ketawa kecil.

“Dengan awak je saya menjawab. Dengan orang lain tak pernah.” Sengaja aku pulangkan paku buah keras, biar padan muka dia.

“Eh eh, dia ni…” Dia dah bercekak pinggang tapi aku tetap tayang wajah selamba sambil mata ini ralit memerhatikan kakak itu membungkus nasi berwarna biru. Biru?

“Eh, kakak… kenapa warna biru? Nasi bila ni, kak?” Suara aku cemas.
Kali ini Usop ketawa terbahak-bahak. Siap tekan perut lagi. Sampai semua orang kat gerai ni pandang kami lah penangan tawa Usop.

“Err, nasi ni memang macam ni, dik,” jawab kakak itu agak kalut.
Dari riak muka tu aku dah tahu dia mesti takut aku maki dia tapi aku bukan suka suki memaki. Aku bertanya sebab pelik. Pertama kali lihat nasi berwarna biru.

“Eh, awak tak pernah tahu ke nasi kerabu macam mana, Lit?”

“Pernah tahu tapi tak perasan pulak warna biru macam ni. Takutlah nak makan,” beritahuku pada Usop bila aku lihat kakak tu dah mula letak daun-daun pulak dah.
Aduhai… Aku tepuk dahi sendiri. “Macam mana nak makan dengan semua benda tu?”

Dah la perut lapar. Terseksa jiwa aku tengok nasi yang kakak itu bungkus. Macam kambing la pulak makan banyak daun kayu.

“Eii, tak naklah saya. Kalau kata awak nak belanja saya… saya nak makan makanan lainlah. Nasi campur ke.” Aku akhirnya lahirkan keinginan aku sendiri pada Usop.

“Tak nak lah, Lit. kakak tu dah bungkus pun. Rasalah dulu. Sedap tu.”

“Tapi, penuh daun kayu tu. Saya rasa macam kambing lah pulak.”
Usop tersengih padaku. Dia mendekatkan bibirnya ke telingaku.

“Kalau macam tu, awak adalah kambing yang paling cantik dan wangi yang pernah saya jumpa,” ucapnya selamba lalu dia mengenyit matanya.

Erk… dia ni memang nak kena sungguh dah ni. Boleh dia cakap aku kambing. Dia tu, kambing gurun! Hatiku memarahi Usop. Tapi, marah dalam hati jelah. Nak zahirkan marah tu rasa tak kena tempat pulak ni.

“Awak ni memang sengaja, kan? Sengaja nak kenakan saya?” tanyaku berbisik.

“Mana ada. Dah awak tu cakap awak rasa diri macam kambing. Saya puji dah tu. Awaklah kambing paling cantik dan wangi.” Sekali lagi dia ulang ayat tu.

Tanpa sedar, aku cubit lengannya. Usop memandang aku dan mengaduh. Wajah tu berkerut seribu.

“Sampai hati awak cubit saya, kan?” Dia menggosok lengannya.

“Eleh, macamlah kuat pun. Orang cubit sikit je kot. Memanglah awak ni kulit lokek.” Bibirku mencebik pada dia.
Usop sekali lagi mendekatkan bibirnya ke telingaku.

“Memandangkan ni dah kali kedua kita bersentuh kulit dan kali ini awak dengan sengajanya sentuh saya, awak kena bertanggungjawab. Tak boleh tidak!” gumamnya agak tegas.

Aku cepat-cepat menghalakan mataku ke arahnya. Baru saja nak buka mulut, dah kakak pekedai ni dah buka mulut dulu. Potong jalan la pulak dan aku termangu lagi memikirkan kata-kata Usop.

“RM6.00, dik.”

Usop menyeluk poket jeans lusuh dan koyak rabaknya itu lalu dikeluarkan not RM10 dan disuakan pada kakak tu. Selepas menerima baki, dia terus menapak meninggalkan aku yang lagi.

Cepat-cepat aku melangkah menyaingi kakinya. “Awak tunggu saya kejap boleh tak?” tanyaku geram.
Langkah Usop mati lalu mata dia mencerlung tajam ke arahku.

“Awak tu jalanlah cepat sikit. Terhegeh-hegeh. Eh, macam manalah aku boleh suka perempuan lembik macam ni,” keluh dia. Siap garu kepala lagi.

Aku telan liur. Ini sudah kali ke berapa Usop mengatakan dia suka aku. Kalau lagi sekali dia katakan suka, aku memang yakin dia benar-benar sukakan aku.

“Eleh, awak tu suka saya sebab suka nak kenakan saya, kan? Suka nak ketawakan saya, kan? Kan?”

“Dahlah lembik, payah nak percaya apa orang cakap pulak.” Semakin hebat keluhannya.

“Lor, saya pulak kena? Tiba-tiba percaya tak percaya ni, apa hal?” Aku angkat wajahku mencabar Usop.

“Kalau orang cakap suka, dia kata suka kenakan dia lah, suka itulah, suka inilah. Suka je tak boleh ke? Faham tak makna suka ni? Su… ka!!’ tekan Usop lagi.

“Tahu tapi saya tak suka awak,” selaku selamba sambil kaki ini terus laju menapak ke depan.

Aku tahu, dari jelingan ini aku nampak Usop tersenyum di hujung bibir.

“Awak suka saya tapi awak tu tak sedar perasaan awak tu apa sebenarnya. Selidik dulu, jangan cepat cakap tak suka. Lagipun, saya tak suruh awak suka saya sekarang. Nanti-nanti sukalah tu,” jawab dia yakin.

“Tak nak suka jugak!” bentakku.

Usop ketawa. “Tak suka tak apa. Saya buat awak suka pada saya. Tak boleh buat cara baik, saya buat cara buruk, nak?”

Dia jungkit kening lagi. Aku tahu dia sedang mengugutku tapi aku? Pantang maut sebelum ajal, pantang berundur setelah melangkah jadi tak mungkin aku gentar dengan ugutan keanak-anakan macam tu.

“Tak takut pun ugutan awak tu.” Aku mencebik geram.

“Kita tengok awak takut ke tak? Tapi, yang pasti awak kena bertanggungjawab sebab dah sentuh kulit saya tadi. Saya ni anak teruna lagi tau. Dah awak main sentuh je, hilangkah keterunaan saya ni.”

Erk… aku telan liur berkali-kali. Pelik betul mamat ni. Sentuh sikit je kot. Itupun spontan. Bukan aku sengaja dan itu pun nak kena bertanggungjawab. Ini sudah terbalik. Macam dia anak dara dan aku anak jantan.

“Awak ni lelaki ke perempuan?” Tinggi je aku jungkit kening.

“Lelakilah.”

Aku pandang dia atas bawah dan begitulah sebaliknya. “Dah tu suruh saya bertanggungjawab pulak. Ya ke lelaki?” Aku sengih lebar.

“Kenapa? Tak percaya saya lelaki? Nak saya buktikan ke apa?” Dia sekali lagi mencabarku.

Aku tekup mulut menahan tawa. “Awak nak buka pakaian kat tengah jalan raya ni ke?”

Tak tahan nak ketawa, aku ketawalah juga. Dari tadi asyik tahan, bergegar seluruh tubuhku. Rasa bergegar otak ni. Wajah Usop berkerut. Dia tarik lenganku yang diselubungi t-shirt lengan panjang.

Bibir itu sekali lagi mendekat ke telingaku.

“Saya akan buktikan tapi bukan sekarang. Tunggu awak dah sudi nak bertanggungjawab pada saya nanti, masa tu saya akan buktikan!” tegas dia.
Desah nafasnya hangat menyapa telingaku. Berdiri bulu romaku. Meremang bulu tengkuk bila dia berkata demikian. Dan, bila aku dapat memahami maksud yang cuba dia sampaikan. Terkebil-kebil mataku memandang wajah dia yang serius.

Tapi tak lama, bila Usop menggariskan senyuman. “Tahu takut…”

Kami sama-sama terus menapak menuju ke sebuah booth yang menjual beraneka tudung dan selendang. Menariknya, kedai aku singgah dulu tu. Masa hari pertama aku temui lelaki bernama Usop.

“Err, nak buat apa kat sini?” tanyaku.

Kakak jurujual tu dah senyum-senyum dah. Macam dia cam je aku ni. Aku pun, balas jelah senyuman dia. Ikhlas dan dapatlah pahala sikit.
Usop tak menjawab sebaliknya dia hulurkan plastik yang berisi nasi bungkus tadi pada aku. Minta aku pegang tapi tak ada suara. Aku sambutlah juga.

“Nak buat apa kat sini?” tanyaku sekali lagi bila Usop tak menjawab.
Mata dia sibuk je dok melilau mengintai tudung dan selendang. Tangan dia juga ligat membelek sehelai demi sehelai selendang dari pelbagai fesyen dan warna.

“Awak nak beli dekat awek awak ek?”
Dia angguk tanpa suara.

“Dia putih ke tak putih mana? Kalau putih, apa-apa warna pun boleh jalan. Kalau kurang cerah, awak jangan pilih warna merah terang, biru ke. Better pilih warna tanah. Nampak natural nanti.”

Pandai-pandai je aku jadi perunding imej buat Usop. Dia mengerling ke arahku seketika sebelum beralih pandangannya itu pada jurujual berkenaan.

“Kak, ada cermin tak?” tanya dia tenang.

Jurujual itu mengangguk dan terus saja dihulurkan sebuah cermin kepada Usop.

“Nah…” Usop hulurkan pula padaku cermin tersebut.

“Buat apa ni?”

“Dah nak tahu kulit awek saya tu cerah ke gelap, awak tengoklah sendiri,” suruhnya. Aku buat muka pelik. Nak tengok dekat mana?

Aku angkat cermin itu tepat di depan wajahku. Sah-sahlah nampak wajah aku je masa ni. Wajah yang putih kekuningan tanpa solekan ni. Mata pun sikit lebam. Nampak lesu dan agak penat wajah aku ni. Haishh…

Aku usap pipiku perlahan. Kulit pun rasa agak kasar dah.

“Tahu dah macam mana rupa awek saya tu? Tahu dah kan kulit dia cerah ke gelap?” tanya dia lagi.

Aku cepat-cepat tolak cermin bila mengerti apa yang Usop maksudkan. Dia maksudkan aku sedangkan aku ni sibuk dok tilik wajah sendiri. Itulah inilah. Padahal dia sedang memerhati.

“Err… saya…” Aduhai. Dah gagap la pulak. Berkerut wajahku kala ini. Tak tahu nak kata apa. Kelu. Kehilangan kata sudah.
Usop menggariskan senyuman lalu dia ambil cermin itu daripadaku dan menyuakan semula pada jurujual tersebut.

“Inilah tempat yang saya ajak awak tadi. Saya nak hadiahkan awak selendang ni. Pilihlah yang mana awak berkenan. Saya ganti selendang yang awak dah campak merata tadi tu.”

Aku tepuk dahi. Bila Usop menyindir, baru aku ingat apa yang aku tertinggal di kelas karate tadi. Selendang ungu muda yang Usop belit ke kepala aku ni. Aduh. Macam mana boleh lupa. Sentimental value tinggi tu.

“Dah, jangan tepuk dahi. Biarlah kat situ. Orang dah tak sudi. Pilihlah yang baru. Saya belikan. Tapi satu je. Saya tak cukup duit nak belikan banyak-banyak.” Dia ni memang jujur.

Selamba je cakap tak cukup duit dengan jurujual ni. Aku tengok kakak tu dah nak ketawa dah tapi bila ku jeling, dia tak jadi ketawa.

“Awak ni… control la sikit depan orang ni. Kot ya pun jangan lah cakap tak cukup duit. Buat malu je,” tegurku menggumam.

“Eh, nak malu apa. Saya jujur apa cakap tak cukup duit. Dah lah, cepat pilih. Nanti awak nak balik pulak. Lapar, kan? Cepat pilih, cepat boleh balik makan,” arah dia lagi.

Aku ketap bibir. Mataku meliar mencari warna yang aku berkenan tapi sayang, lama memilih warna ungu itu juga yang menari di ruangan mataku.
Aku menggeleng tiba-tiba.

“Kenapa pulak?”

“Emm, saya nak yang ungu tu jugaklah. Tak boleh dah jatuh hati pada yang ungu tu,” ucapku luhur.
Usop jungkit kening. “Kat orang yang pakaikan selendang tu, awak tak jatuh hati pulak?”

Erk.. aduhai… tercekik air liur lagi. Dia ni memanglah suka menyakat. Sampaikan aku dah tak tahu mana satu dia berkata benar dan mana satu dia bergurau.
Lagipun, aku kesian pada dia. Dah dia katakan dia tak cukup duit, rasa macam bersalah pulak. Aku ada duit apa. Kenapa nak susahkan dia. Emm, biarlah dulu. Tak payah pilih apa-apa.

“Tadi awak cakap hati awak terjatuh, kan? Saya kutip boleh?” tanya dia nakal.

“Tak boleh!” Tegas saja aku menjawab lalu aku melangkah meninggalkan booth itu. Meninggalkan kakak jurujual tu terpinga-pinga.

“Okey. Boleh ke tak, kita tengok nanti.” Usop mengangguk beberapa kali. Macam berkeyakinan.

“Tapi ingat… bila saya dah kutip saya tak pulangkan dah. Saya akan gezet jadi hak milik kekal saya, faham?!”

Aku diam dan mencebik. Apa-apa jelah. Kaki ini cepat-cepat aku bawa melintas jalan tanpa aku lihat ke kiri dan kanan jalan. Baru dua langkah aku menapak meninggalkan Usop, tiba-tiba saja aku berada dalam pelukan erat dia dan serentak itu bunyi hon kuat bergema.

Sebuah kereta proton Wira berhenti di depan kami dan cermin kereta itu diturunkan.

“Woi, tak sayang nyawa ke hah? Kalau gaduh dengan pakwe pun, jangan bunuh diri kat jalan raya la woi!!” laung pemandu itu kuat lalu dia meluncur laju.
Aku masih lagi terperanjat. Menggigil tubuhku kala ini. Terketar-ketar aku memaut lengan Usop. Dia menolak tubuhku kuat. Bahuku dicengkam erat.

“Apa kejadahnya awak fikir ni, Lit? Nak mati ke? Kenapa cuai sangat sampai dua kali dah nak kena langgar? Kalau jadi apa-apa nanti, apa saya nak jawab pada keluarga
awak? Apa saya nak jawab pada Je…” Suara Usop terhenti di situ. Dia mengeluh berat sambil meramas rambutnya yang agak panjang itu.
Airmataku menitis laju. Sudahlah takut. Ditambah pulak dengan sergahan Usop, memanglah semangatku hilang.

Mula-mula hanya titisan airmata tanpa suara hingga akhirnya aku sudah teresak-esak di tepi jalan ni. Usop tidak memujuk sebaliknya dia menarik lenganku agak kasar dan membawa aku melintas jalan di depan bangunan pasaraya Mydin.
Kaki dia laju je melangkah memaksa aku mengikut rentak langkahnya. Aku hanya tunduk menahan hati yang membekam. Kan sudah cakap, Usop ni pelik. Kejap okey, kejap tak okey. Mana aku nak percaya dia.

“Dah la tu. Jangan nangis lagi. Jom saya hantar balik. Dah lewat ni,” pujuk Usop namun masih jelas ketegasan pada suaranya.

Aku diam dan hanya menurut. Takut, benar-benar takut. Hampir saja menjadi arwah.

***

MAMA terpaku melihat aku dan Usop pulang bersama tengah hari itu. Aku tahu dia terkejut. Mungkin dia menjangka yang aku mengajak Usop datang bersama sedangkan Usop terpacak dengan rumah ni sebab dia hantar aku balik lepas dia marah aku sebab aku hampir nak kena langgar. Hah, panjang aku menghurai. Lelah lelah.

“Eh, kenapa murung ni?” tanya mama setelah menjawab salam Usop.

“Err, maaf mak cik. Saya hantar Lit lewat sikit. Tapi minta dia teman beli barang,” beritahu Usop sopan.

Mama tersenyum lalu menarik aku ke sisinya. “Ajak juga ya. Mama ingatkan tak nak ajak dah!”

“Err, sebenarnya Lit…”

Belum sempat aku berkata-kata, aku dengar suara Abang Jeff menjerit dari belakang.

“Laa, ini ke kawan Lit tu, dik?” tanya dia. Bila aku berpaling, seperti biasa, Kak Shima ada je menempel dekat laki dia tu.

Aku angguk perlahan. Usop tersenyum lebar pada Abang Jeff dan Kak Shima. Macam dah lama kenal je mereka ni. Curiga betul. Tapi bila melihatkan Usop diam tidak menegur pun, aku halau jauh-jauh rasa curiga itu pergi.

“Jemput, Usop… masuk dulu. Makan tengah hari. Mak cik memang suruh Jelita ajak kamu datang rumah. Dia cakap semalam dia tak nak ajak tapi tup-tup balik berdua. Lit ni memanglah…” Mama menggeleng.

Aku nak mengaduh kuat-kuat. Bukan sakit pun, tapi sakit jiwa. Mama dah pecah rahsia. Padahal aku tak ajak pun.
Usop merenung aku sekali lagi sebelum dia beralih pada mama.

“Err, tak apalah mak cik. Memang Jelita ada ajak tapi saya ada urusan lain lagi. Mungkin lain kali saya singgah lama sikit.”

Huh, pandai Usop berlakon. Back-up aku nampak tapi aku tahu dah. Nanti jumpa dia lagi, mesti dia kenakan aku cukup-cukup.

“Eh, singgahlah dulu, Sop. Mama dah ajak makan ni. Lagipun dah siap dah. Tinggal nak makan je,” pelawa Abang Jeff pulak.
Usop menggeleng. “Tak apalah, bang. Saya ada hal lagi ni. Lain kali insyaAllah,” janji dia.

Tiba-tiba je abang aku ketawa. Mama pandang aku dan aku pandang Kak Shima. Gila pelik dengan dia ni. Meroyan ke apa.

“Eh, ketawa kenapa Jeffry?” tanya mama pelik.
Tawa abang aku ni dah reda sikit tapi dia tetap ketawa dah beralu. Memang putus fius dia ni. Padahal Usop panggil dia abang je kot. Okeylah tu, tanda hormat.

“Pelik-pelik anak-anak mak cik ni, Usop. Kamu janganlah takut ya.”

Usop mengangguk dan tersenyum manis pada mama sebelum beralih pada aku. Huh, seriau melihat senyuman Usop kali ini. Killer grin tu. Aduh, terpanah dah hati aku ni.

“Err, abah mana, ma?” Cepat-cepat aku cari soalan mahu mencantas renungan Usop.

“Abah dekat kebunlah. Siram pokok pisang yang Lit tanam tu. Jangan dah besar, Lit karatekan lagi sudah. Marah lagi orang tua tu.”
Hah, mama sekali lagi buka rahsia. Usop ketawa halus. Aku pulak? Malunya. Kak Shima menyiku aku tak pasal-pasal.

“Err, tak apalah, mak cik. Saya balik dulu. Maaf sekali lagi mak cik tak dapat penuhi undangan walaupun Jelita DAH JEMPUT saya. Lain kali, insyaAllah.”

Usop ni dia sengaja tekan perkataan dah jemput tu nak menyindir aku. Nak tak nak, aku sengih jelah. Tahan malu. Nasib baik mama tak tahu aku tak cakap dekat Usop mama ajak datang rumah. Kalau tak, lagi seriau aku dibuatnya sedangkan seriau nak kena langgar tadi tak hilang lagi.

Setelah Usop berlalu, kami semua pun berlalu ke dalam rumah. Aku masuk ke bilik terus hendak membersihkan badan. Berada di bawah pancuran air paip yang dingin benar-benar membuatkan aku terasa segar semula.

Aku peluk tubuhku tapi entah mengapa, aku terasa pelukan Usop tadi. Biarpun tidak disengajakan, aku dapat rasa hentakan pada dadanya saat aku rapat pada dia. Semakin erat aku memeluk tubuhku, semakin kuat pula aku rasa pelukan Usop dan bila aku buka mata, memandang wajahku di dalam cermin, ada satu soalan yang hadir.

“Cinta tu apa, ya? Macam mana rasa cinta ni?” Berkerut wajahku mencari jawapan tapi rasanya, elok aku tanya Usop.
Lepas Isyak berjemaah, aku terima beberapa panggilan rindu. Nombor? Tak kenal sebab tak simpan dalam memori telefon.

Aku ingat nak dail semula, tapi bila difikirkan balik, malaslah pulak. Sudahnya, aku rebahkan tubuh aku yang kepenatan ini di atas tilam.

“Wah, bestnya dapat baring….:

Baru saja nak pejamkan mata, telefonku berbunyi sekali lagi. Lagu Dadali. Lambat-lambat aku jawab setelah puas mengamati nombor berkenaan.

“Lit, Usop…”

Hah, bulat mata aku. Terjatuhlah telefon Nokia C3 tu sebab terkejut dengar nama Usop.

“Eh, mana awak dapat nombor saya?” tanyaku setelah aku kembali melekapkan telefon itu ke telinga.

Dia ketawa kuat. “Siang tadilah. Masa saya ambil telefon awak tu. Sempatlah buat panggilan rindu.” Dia mengakuinya.
Aku mendengus kecil.

“Awak ni kan. Mencuri!” Selamba je aku tuduh dia mencuri.

Betullah tu. Kira mencuri la sebab tak minta izin daripada aku. Dan kalau dia minta izin pun rasanya aku tak mudah nak bagi.

“Saya memang suka mencuri. Tapi, dengan awak je. Semua hak awak saya nak curi nanti. Awak jaga-jagalah, ya?”

Aku dengar dia ketawa halus. “Eleh, berani awak nak curi?”

“Sangat berani. Macam saya cakap. Tak dapat dengan cara baik, saya guna cara tak baik. Awak tak kisah, kan?” tanya dia lagi.

Aku telan liur. Takutlah jugak. “Emm, tak takut langsung.”

Hah, sudahnya aku jawab macam tu. Memang saja cari penyakit mencabar seorang lelaki. Terlajak taip boleh tekan backspace, terlajak kata, nak erase macam mana?

“Okey, awak cakap tak apa ni. Satu hari nanti, jangan salahkan saya, ya?”

“Emm, ikutlah…” selaku malas.

Sebenarnya aku teruja juga bila dia menelefon ni. Mulut ni ringan je nak tanya apakah itu cinta. Apakah itu rindu? Tapi, sebab penat, aku tunda dulu.

“Awak ni telefon nak apa? Esok kan saya jumpa awak lagi.”

“Oh, ni saya nak cakap ni. Esok budak-budak tak ada tau. Kita kena training untuk tournoment tu. Dah habis tournoment tu kita mula kelas balik.”

“Eh, maknanya esok saya dengan awak jelah, ya?” soalku kalut.

Usop ketawa. “Saya dengan awak jelah. Nanti nak hidup berdua jugak. Praktis dari sekarang…” Dia ketawa lagi tapi tak lama bila talian mati je terus.

Eii, apa Usop ni. Suka main-mainkan oranglah. Aku terus merungut tanpa sedar, aku tertidur akhirnya. Penat punya pasal.

***

BETUL Usop cakap. Hari ni, hanya aku dan dia saja je ada tapi buat seketika sebab lepas tu, ada seorang dua orang perempuan juga muncul. Seorang tu memang orang karate dan seorang lagi peneman dia je kot sebab aku tengok bergaya semacam. Tak pakai tudung macam aku juga tapi rambut dia berwarna-warni. Canggih tu.

Usop aku lihat melirik ke arah perempuan tu. Eleh, kata suka perempuan pakai tudung, tutup aurat tapi ni aku tengok nak terkeluar biji mata dia kerling perempuan yang baru saja duduk di tepi dewan.

Yang seorang lagi mendekat ke arah kami.

“Hai, Sop. Maaf aku lambat sikit. Banyak kerjalah hari ni,” ucap perempuan tu sambil mengangkat tangan pada Usop. Mesra tapi aku rasa mereka kawan je sebab kau aku, kan? Ni mesti kawan lama.

Dia memandang aku dan tersenyum. Mata ni tertancap pada tali pinggang dia ada dua dan. Maknanya kalah aku sebab aku baru satu dan baru aku perasaan, Usop juga dua dan. Calit emas yang menunjukkan tahap ilmu karate yang telah dia lulus. Patutlah dia selamba je angkat penumbuk kat orang lain.

“No hal la, Jun. Kami pun baru sampai ni.”

“Kami?” Perempuan bernama Jun tu dia jungkit kening pada aku. Dia kemudiannya jungkit kening pada Usop pula.

“Siapa?” tanya Jun berbisik.

Eleh, berbisik depan aku. Kuat pulak tu. Sah-sah aku dengar. Lawak lah diorang ni. Si Usop ni pulak tersengih-sengih garu kepala.

“Err, Jun… ni kenalkan Jelita. Lit, ni kawan saya masa sekolah dulu. Yang banyak tolong saya. Junaidah nama dia. Tapi, panggil Jun.”
Usop mesra memperkenalkan kami. Waa, childhood friend tu. Entah-entah ada apa-apa dua orang ni. Dah, aku mula menelah yang bukan-bukan.

“Err, Jelita. Panggil Lit je,” ucapku lembut sambil tersenyum.

“Junaidah… Jun je,” balas dia juga mesra.

Salam kami bertaut erat. Selepas beberapa saat, Usop dah mula mengajak kami semua berlatih.

Hebat juga Si Jun ni. Kalau sparring dengan aku, sah-sah aku yang kojol ni. Dahlah tinggi macam model. Entah-entah model kot sebab muka dia tu familiar je. Kat majalah kot. Ke dekat televisyen. Errr… entah. Sama tinggi dengan Usop.

“Kita ni bernaung bawah siapa ek?” tanyaku tiba-tiba.
Baru teringat. Biasa kalau nak masuk pertandingan ni, kami perlu bernaung bawah kelab mana-mana. Tak boleh main tibai masuk je.

“Hah, baru nak tanya?” Usop menyergah.
Jun ketawa kecil sambil dia melipat kakinya ke belakang.

“Terlupa nak tanya.” Aku buat alasan bodoh. Usop senyum dan Jun juga.

“Kita bernaung bawah sayalah. Ingat kelab saya ni cikai ke mentang-mentanglah saya ajar anak-anak yatim je. Kan Jun…” Usop angkat wajahnya pada Jun.

Huh, sabar jelah hati aku. Aku tak kata apa pun. Hati aku mendongkol geram. Malas lagi nak bertekak dengan Usop, aku zipkan mulut dan terus berlatih dengan Jun. Baik dan ramah orangnya. Selesa memang selesa bekerjasama dengan dia.
Lebih kurang sejam, aku dan Jun memang dah pancit.

“I dah pancit la Lit. Lama tak training. Tiba-tiba, Usop ajak masuk tournoment. Adeh..” Jun pegang pinggang dia dan aku ketawa kecil sebelum kami sama-sama duduk di tengah ruang.

Usop mendekat pada aku dan Jun. Bibir itu menguntum senyum. Lain macam je aku lihat senyuman dia kali ini. Senyuman gatal.

“Jun, siapa kawan kau tu?” Dia melabuhkan duduk di depan kami berdua.

Aku mengerling dia tajam. Aku tahu dia perasan tapi dia buat-buat tak tahu yang aku sedang jeling dia. Benci betul. Semalam kata suka aku. Hari ini dah tunjuk mata keranjang dia. Cepat-cepat aku teguk air mineral tu bagi hilangkan kepanasan hati aku ni.

“Shila nama dia. Seksi, kan? Junior aku tu. Model in the making. Macam aku ni, dah senior.”

Hah sungguh. Jun memang model rupanya. Tapi, aku tak ingat dalam iklan apa aku nampak dia. Dasyat Usop ni dapat berkawan dengan model padahal dia selekeh gila. Poyo gila dan hampes gila sebab main-main dengan hati aku. Dahlah janji dengan mama nak datang rumah kami nanti. Benci Usop, ucap hatiku geram.

Usop memandang aku dan tersenyum nipis. “Cantiklah dia tu Lit? Sesuai tak dengan saya?”

Aku sengih terpaksa. “Sesuai sangat. Nanti boleh awak belikan selendang tu untuk dia ya?”

Sengaja aku ungkit pasal dia nak belikan selendang untuk aku semalam. Tapi, Usop tetap tersengih je. Tayang wajah selamba dia lagi. Lepas tu dia alihkan pandangan pada Jun pulak.

“Jun, kenalkan aku.”

Jun angkat ibu jari. “Beres bos!!”

Mereka sama-sama ketawa tapi aku terus angkat tubuh. Panas telinga. Panas hati. Membara dah ni. Aku terus masuk ke bilik persalinan. Nak je aku hempas pintu ni tapi aku tahan je hati. Perlahan-lahan aku rapatkan daun pintu dan dengan rasa marah yang dah tak mampu aku kawal, aku terus benamkan buku limaku pada dinding simen tu.

Nak kata sakit, memang sakit. Pedih berdenyut-dengut. Luka memang luka. Siap berdarah tapi hati aku lagi berdarah. Tapi, bila fikir kenapa aku nak marah. Aku bukan suka Usop pun. Namun, hati aku sangatlah sakit bila dia cakap macam tu pada Jun lagi. Aku rasa nak cucuk je mata dia bila dia jeling-jeling pada Shila, kawan pada Jun tu.

Malas lagi dah nak berlatih, aku terus tukar baju aku. Mata ini tiba-tiba tertancap pada penyangkut baju. Selendang ungu muda tu dah tak ada kat situ. Aku yakin Usop dah ambil dan aku memang tak sudi kalau Usop belitkan selendang tu pada kepala Shila pulak.

Sudahnya, aku sumbat semua pakaian karate aku dalam beg galas, dah aku terus je berlalu keluar. Usop dan Jun memandang aku pelik.

Mereka sama-sama bangkit dan Usop meluru ke arahku. “Nak ke mana?” tanya dia beriak risau.
Aku jeling Usop setajam mungkin. Biar dia terbunuh kena renungan aku ni. Baru puas hati aku. Geram!!

“Saya tak sihat. Nak balik dulu. Nanti saya datang lain kali. Tak pun saya berlatih dekat rumah je,” ucapku dengan wajah yang menyeringai sebab tangan aku ni dah mula sakit menyengat.

“La, apa masalah pulak ni? Kan kita nak berlatih sama-sama ni. Awak bawah tanggungjawab saya, Lit.” Usop terus menghalang tapi aku cepat-cepat menggeleng.

“Saya tak boleh nak duduk sini, dengan jantan miang macam awak ni. Jantan yang memang mata keranjang tak cukup dengan satu,” luahku tiba-tiba.
Sebenarnya, aku pun tak tahu macam mana aku boleh berkata demikian hinggakan mengundang tawa Usop.

“Cemburu?” tanya dia.

Aku ketap bibir. “Tak ada makna nak cemburu pada awak. Siapa awak pada saya? You are nobody. Titik!” tekanku keras.

Dalam hati ni ada rasa lain. Rasa geram bila Usop bertanya tentang Shila. Cemburukah macam ni? Kenapa sakit sangat? Dan bagaimana pula peritnya cinta kalau betul cemburu pun begini sekali sakitnya? Maknanya, Kak Shima menipu aku. Aku tak nampak indahnya cinta tu.

“Cemburu, kan?” tanya Usop lagi tersengih-sengih.

“Sorry sikit brother. Kirim salamlah nak cemburu pada awak. Saya tak datang lagi sampai hari bertanding. Jangan cari saya. No emails, no calls, no SMS!” ujarku keras sebelum aku atur langkah.

Sempat aku lambai pada Jun yang nampak terpinga-pinga tu. Aku gariskan senyuman dan dia juga membalas biarpun senyum pada wajah cantik itu nampak janggal benar.
Belum sempat aku melangkah anak tangga pertama, Usop melelar pergelangan tanganku.

“Aduh!!” Kuat je aku mengaduh.

“Apa awak ni? Tangan saya sakitlah. Awak pegang-pegang ni, awak nak bertanggungjawab ke kat saya?” marahku meninggi. Airmata dah dekat nak mengalir dah sebab hal tadi.

Sakit hati tak habis lagi, ni sakit tangan pulak. Makin tengok rupa sememeh Usop ni, semakin sakit mata aku. Pendek kata, semua sakit!

“Tangan ni kenapa sampai darah meleleh?” tanya dia kasar.

Tangan kananku dia angkat tinggi. Benar darah meleleh. Aku sendiri pun tak sedar sebab terlalu marah dengan dia.

“Eh, berdarah la…” ucapku di luar sedar.

“Eh… berdarah la….” Usop mengejek aku dengan suara perempuan. Bila aku mencebik, dia menjegilkan matanya.

“Awak marah saya sampai tumbuk dinding, ya?” tanya dia.

“Kalau boleh saya nak tumbuk muka awak bagi pecah!”

Dia ketawa sinis. “Nak tumbuk saya sebab cemburu, kan?” tebak dia lagi.

“Eleh, tolong sikit. Simpan ayat awak tu ek. Karang elok-elok saya tumbuk dinding, muka awak pulak saya tumbuk!”

Aku rentap tanganku dari pegangan Usop tapi tak lepas. Cengkaman dia kuat betul.

“Lepaslah!” suruhku. Dia tetap begitu.

“Awak ni peliklah, Lit. Kata tak suka saya tapi bila saya nak suka orang lain, awak cemburu. Atau awak memang suka saya?”

“No way! Never! Biar tak ada lelaki dah dalam dunia ni, saya tetap tak akan suka awak!” tegasku marah.
Usop ketawa kecil.

“Tapi, saya dah pegang tangan awak tiga kali. Dah peluk awak dua kali. Awak rasa ada ke lelaki yang nak perempuan yang dah kena peluk?”

Dia dah mula buat perangai lagi. Aku mendekam geram.

“Tak ada orang nak pun tak apalah. Janji bukan awak!”

Usop menarik aku rapat padanya. Semakin aku bertahan, semakin kuat dia menarik. Wajah dia sudah makin hampir pada wajahku. Aku pula semakin kecut. Bila nafas hangatnya sudah menyapa wajah, aku lagilah kelu tak tahu nak buat apa. Lemah sendi. Kalau tidak Usop menggenggam tanganku, ada juga yang tergolek ke bawah ni.

Dia perlahan merapatkan bibirnya ke bibirku dan belum sempat dia singgah menyapa bibirku, aku cepat-cepat menolak tubuhnya kuat menyebabkan dia terdorong ke belakang beberapa tapak.

“Jangan kurang ajar dengan saya!” tempikku kuat sampaikan Jun pun keluar daripada ruang latihan.

“Jun kau jadi saksi aku dah kiss Jelita. Biar dia tak boleh nak bersama mana-mana lelaki dah. Biar dia tahu, aku je layak bertanggungjawab pada dia,” ucap Usop pada Jun.

Padahal tak sempat cium pun lagi. Dia ni memang suka buat aku tegang.

“Tak sempat pun lagi,” marahku lalu aku berlari turun dengan airmata berlinangan di pipi.

Sampai hati Usop buat aku macam ni padahal aku dah mula rasa hati aku berbisik tentang cinta dan nama yang ditukas hati adalah Usop! Benci Usop!

~~~> bersambung

12 comments:

  1. Best....chaiyo! chaiyo!

    -ety.s

    ReplyDelete
  2. usop dh guna taktik kotor ye.....

    ReplyDelete
  3. wah2 makin berani usop ye nk kiss lit. mujur x sempt. apapun enjoy bc n3 br ni. cepat2 sbg lg ye rehan. x sbr nak tunggu ni hehehe-kak zaiton

    ReplyDelete
  4. best sgt2...x sangka lit cemburu smp mcm tu skali smp b'darah tangan...

    ReplyDelete
  5. uiksss!!!! dahlah aku tak suka dgn usop ni, baru aje nak belajar suka kat usop. dia buat hal pulak...eee...
    Yg siJelita ni pun satu.. apa ke jadah nak mencederakan diri sendiri...cik Jelita oi!!! kot ya pun cemburu, jnglah mmalukan diri sdiri.. makinlah jadi si usop menyakat sakan...
    cik rehan!!! usop tu kwn jeff eik???..mama pun mcm kenal jgk dgn usop. mungkin jeff pernah bwk jumpa family, masa Jelita study kat abroad.. :)

    ReplyDelete
  6. ermmmmmmm....usop...tak terjangkau dek akal ngan peragainya.... alahai lit.... sabar jelah... cinta memang menyakitkan...

    ReplyDelete
  7. gila la usop ni, memang berani mati. kesian lit makan hati dgn perangai usop tu.

    ReplyDelete
  8. ehem. macam ada konspirasi jek family Lit dengan Usop ni. Entah2 si Usop ni kawan si Jefri kot?

    ReplyDelete
  9. Usop mmg kenal dgn family Lit ni kan?
    Jeff siap gelak sbb mmber sndiri pnggil dia abng..
    Usop pn nyaris nk sebut nama Jeff kan sbnarnya...
    mesti Jeff yg kenenkan Lit kt Usop...

    ReplyDelete
  10. ish3x...Usop ni pun satu sengal la,klu syg
    jg la elok2 hati awek tu..suka benar
    dia mencabar kesabaran Lit yg xberapa nak sabar sgt tu..hehe
    Lit tu pun bru nak mula suka dia wat perangai
    selamber dia blk..huhu..sabar jer laa..
    best!! deabak!! Rehan..

    ReplyDelete