Tuesday, September 13, 2011

Terlerai Kasih 26, 27


BAB 26

MAJLIS merisik dan pertunangan ‘segera’ antara aku dan Am berjalan lancar dalam majlis yang serba sederhana. Itulah syarat yang aku letakkan andai Am ingin aku menerima lamaran segera darinya. Segala majlis haruslah sederhana dan hanya menjemput ahli keluarga dan teman-teman rapat sahaja.
Mujur sahaja Makcik Zahrah tiada di rumah kerana ke rumah anaknya. Andai tidak, entah apa yang akan dijaja olehnya saat aku di ambang kebahagiaan.
“Kau cuti bertunang ya, Wafi?” Suara Zura membuatkan gelas di tanganku hampir terlepas saat aku membersihkan gelasku di sinki tandas wanita.
“Kau ni, kan! Terkejut aku!”
“Kau cuti bertunang ya, Wafi?” soal Zura lebih keras.
Aku sekadar menjungkitkan bahu dan mencapai beberapa helai kertas tisu lantas mengelap tanganku sehingga kering.
“Kau dengar tak aku tanya ni, Wafi?” jerkah Zura tiba-tiba.
Kali ini, marahku meledak. Tiada angin tiada ribut, mengapa Zura mahu campur tangan dalam kehidupanku. Bukankah aku sudah banyak menolongnya sejak dari dulu dan sekarang memberi peluang pekerjaan pula sedangkan dia langsung tiada berkelayakan.
“Kau ni kenapa? Nak marah aku tak tentu pasal! Okey, ya! Aku cuti bertunang!” tengkingku lantas menyuakan belakang tanganku kepadanya. Saja ku tunjukkan dua bentuk cincin yang tersarung pada jari manis di sebelah tangan kananku.
“Ada masalah dengan kau ke?” herdikku lebih kuat. Entah dari mana Zura mendapat berita. Entah-entah daripada emaknya. Memang dasar CNN. Sumpah hatiku!
Zura memandangku dengan pandangan yang sudah lama ku tahu maksud di sebaliknya. Itulah pandangannya sejak dari dulu.
“Don’t stare at me like that! You have no right to do that, Zura!” Aku pantas mencapai gelas di atas sinki dan terus melangkah keluar.
“Encik Ilham tahu pasal sejarah keluarga kau, Wafi?” Suara Zura kali ini bernada ugutan.
Langkahku mati di ambang pintu. Perkara yang aku risaukan sudah hampir berlaku. Tidak lambat dan tidak cepat, Zura pasti mencanang hal peribadiku kepada semua orang.
“Dia akan tahu!” jawabku tidak mahu kalah. Wajah Zura langsung tidak ku pandang. Bimbang andai gelas di tangan terbang mengenai wajah sinisnya itu.
“Bila?”
“Bila itu terserah pada aku Zura! Kau tak ada hak nak bertanyakan hal itu! Ingat Zura, kau pekerja aku di sini. Jangan sesekali kau nak campur tangan dalam hidup aku dan Ilham,” ujarku keras memberi amaran.
“Apa kau rasa tindakan dia kalau dia tahu asal usul kau?” Zura nampaknya makin berani mengugutku dengan kisah itu.
“Kenapa kau tak sudah-sudah nak perdajalkan aku, Zura? Aku tak tahu dari mana kau dapat berita antara aku dengan Ilham tapi satu je aku minta, stay away from us. Aku tak pernah jahat pada kau Zura! Tapi kau tak habis-habis nak mencanang peribadi aku kenapa? Kau tak payah nak ugut aku dengan peristiwa lepas, Zura sebab aku lebih kenal Ilham berbanding kau! Dia akan terima aku seadanya aku. Apa yang kau dengki sangat dengan aku ni?” hamburku keras. Zura ketawa tipis. Aku tahu dia cuba mengasak emosiku kala ini.
“Kau memang tak tahu kenapa aku buat macam ni ya?” tanya Zura sinis.
“Kalau kau tak tahu, kau tanyalah diri sendiri! Layak ke kau nak kecapi semua kebahagiaan ni dengan lelaki sekacak dan sekaya dia sedangkan kau di mana dan dia di mana?”
Menyirap darahku sampai ke muka bila Zura menuturkan ayat sedemikian selepas apa yang aku lakukan untuknya.
“Memang kau dah buktikan yang aku silap biar kau kerja kat sini, Zura! Dan ingat, aku tak akan maafkan kau kalau kau cuba jaja maruah keluarga aku sekali lagi?”
Itulah peringatan yang aku berikan untuknya sebelum aku terus melangkah. Aku tidak perlu lama di situ untuk mendengar Zura mengungkit nostalgia pedih itu. Yang terjadi bukan kehendakku dan aku yakin Am pasti menerima aku seadanya aku kerana itulah janjinya sebelum cincin ini tersarung di jari manisku.

FAIL yang dihulurkan oleh Suraya aku campak kasar ke meja. Mujur sahaja Encik Azhan tidak mengamuk dengan jumlah yang tertera dan telah mendapat pengesahan dariku.
“Siapa yang buat semua ni, Su?” Aku meraup wajahku, menahan amarah yang susah memagut tangkai hati. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini aku selalu hilang pertimbangan.
Sejak menjadi tunangan Am, aku sering dihambat resah hinggakan boleh berlaku kesilapan sebesar ini dalam kerjaku. Ditambah pula dengan sikap Zura yang sering mengherdik dan mengejekku di depan teman-teman lain, sedikit sebanyak kesabaranku goyah. Biarpun tidak secara terangan, padangan dan layanan teman sepejabat sudah sedikit berbeza.
Jauh di sudut hatiku, aku sentiasa berharap agar Zura tidak melelong nostalgia duga dalam sejarah hidupku kepada mereka.
“Maaf, Wafi! Laporan ni Zura yang sediakan. Saya dah minta nak semak tapi dia kata Wafi dah semak. Kebetulan saya tengok Wafi dah tandatangan. Itu yang saya tak cakap apa bila dia hantar ke bilik bos! Saya minta maaf Wafi!”
Aku melepaskan keluhan berkali-kali. Memikirkan tindak tanduk Zura sejak akhir-akhir ini yang sering saja menyerang kehidupan peribadiku ditambah pula dengan masalah kerja yang dia timbulkan, sabarku kian menipis.
Kebenciannya padaku bagai tiada berpenghujung sedangkan aku tidak tahu di manakah salah dan silapku padanya. Lupakan dia, akulah orang yang sepatutnya membalas setiap perbuatannya padaku dulu.
“Su tau tak, kalau benda ni semua sampai ke IF Group macam mana? Siapa nak bertanggungjawab? Nasib baik bos suruh saya tengok dulu!” ujarku penuh kesal mengharap perngertian daripada Suraya akan kesan yang terpaksa aku tanggung akibat perbuatan khianat manusia.
Aku lantas menggapai fail tersebut dan terus melangkah keluar menuju ke meja Zura dengan rasa marah yang membuak.
Dia sedang membelek sesuatu saat aku tiba tepat di mejanya dan sikapnya yang tidak mengendahkan kehadiranku itu membuahkan lagi rasa amuk dalam diri.
“What the hell are you thinking your are doing, Zura? Kau nak menjahanamkan syarikat ni ke atau kau nak menjahanamkan aku?” tengkingku serentak itu ku campak kertas itu tepat di depan matanya.
“Apa ni?” Suara Zura turut meninggi. Beberapa pasang mata mula terhala ke arah kami. Suraya masih setia di belakangku dan Sharul yang baru sahaja masuk terpaku di pintu.
“Don’t you dare to yell at me, Zura!” Suaraku keras memberi amaran.
“Kau jangan buat-buat tak tahu. Kenapa kau nak tambah dua biji kosong dekat amaun yang telah aku luluskan ni? Kau tau tak berapa jumlah semua ni kalau dah kau tambah dua kosong di belakang angka ni? Damn, Zura! What is wrong with you?”
Zura bangkit menepuk meja. Aku terpempan seketika dengan tindakan beraninya. Tidak pernah ada mana-mana kakitangan yang sanggup menjerit padaku demikian dan ternyata, aku telah silap membuat telahan yang Zura telah berubah dan sanggup memberikan peluang pekerjaan padanya sedangkan dia langsung tiada berkelayakan.
“Bukan salah aku, Wafi! Kau yang sign kat dokumen tu, kan?” balasnya tidak kalah.
“Memang bukan salah kau sebab aku dah turunkan tandatangan pada dokumen tu tapi memang jadi silap besar kau bila kau sengaja menambahkan dua biji kosong pada hujung amaun tu. Kau tahu tak berapa jumlahnya bila kau tambahkan kosong tu? Kau nak buat syarikat lingkup ke atau kau nak buat aku kena pecat?”
Zura ketawa sambil menggoyangkan kedua-dua belah tangannya dengan pandangan yang jelas benci.
“Kau yang leka, Wafi! Bukan aku! Lagi baik kalau kau kena pecat,” ucap Zura halus sambil mengetap giginya. Menolak segala kesalahan ke bahuku. Suraya menapak ke belakang bila Zura melangkah mampir padaku.
Tidak aku sangka dan tidak pernah ku duga, begitu hitam hatinya hingga ingin melihat aku tersungkur di kaki kegagalan.
“Okey, then! Cik Zura, you may pack your belongings and you may get lost from here!” arahku tegas.
“Kau bukan bos aku!” Zura tersenyum dan aku mengukir senyuman sinis padanya.
“Kau lupa agaknya! Aku yang ambik kau bekerja dan aku juga mempunyai hak untuk menghalau kau keluar daripada sini! Kami tak perlukan pekerja yang corrupt, yang tak bertanggungjawab, tak menghargai peluang dan yang bodoh macam kau ni!”
Zura ketap gigi. Wajahnya merah menahan marah dan marahku juga tidak kurang hebatnya. Andai diikutkan hati, mahu saja aku lekapkan telapak tanganku ke wajah itu.
Pandangan kami bersabung dan renungan Zura bagaikan menghantar peringatan yang aku tidak menang dan dia tidak tewas.
“Kau akan terima balasan, Wafi sebab dah malukan aku macam ni!” Ugutan Zura aku terima dengan tenang.
Dia lantas berlalu dengan membawa beg tangannya sahaja dan aku terus melangkah ke bilik dan menghempas tubuhku ke kerusi.
Kini, aku temui kekuatan untuk berterus terang dengan Am dan bersedia andai berita buruk itu sampai ke telinga sesiapa sahaja termasuk Am dan keluarganya kerana aku yakin akan cinta dan kasih sayang kami. Aku perlu lebih pantas dari Zura. Biarpun selangkah aku perlu berada di depan.

BAB 27

Selepas peristiwa pemecatan Zura, suasana pejabat tidak lagi seperti biasa. Suraya dan Fariza sudah terlalu ketara perubahannya. Mereka lebih senang menjauhiku selepas peristiwa beberapa minggu sudah. Andai ada perkara yang perlu dibincangkan, barulah mereka menemuiku dan andai tidak, aku kembali terasing dalam dunia sendiri.
Hanya Sharul yang sesekali mengusikku sejak dia mengetahui berita pertunanganku dengan Am. Padanya jua ku pinta agar dirahsiakan sahaja perkara itu. Bagiku, belum tiba masanya untuk aku khabarkan berita ini pada semua.
Am pula sentiasa sibuk dengan tugas-tugas harian. Sudah hampir seminggu dia tidak menghubungiku. Sesungguhnya aku rindu. Malah terlalu banyak perkara yang aku ingin Am tahu. Aku tidak mahu rumahtangga kami dimulakan dengan rahsia sebesar ini.
Dalam pada aku sedang menyusun beberapa dokumen, Nokia C3ku berbunyi sekali dan berkelip beberapa ketika. Aku menggapai Nokia C3 itu dari atas meja. Am!

- Kita jmp hr ni. Windu!

Pesanan yang terlalu ringkas yang ku terima daripada Am dan ku balas OK sahaja. Perkataan ‘windu’ yang selalu digunakannya membuatkan hatiku tercuit setiap kali dia mengungkapkannya. Kedengaran manja dan mesra dan serentak itu telingaku menangkap ketukan pada daun pintu.
“Masuk!” laungku bila mendengarkan ketukan yang bertalu-talu di pintu. Mahu saja pecah pintu itu. Omelku sendiri sambil terus menyusun beberapa helai kertas.
“Apa khabar, Wafi?” Suara itu membawa aku berpaling dan sungguh, semakin aku tolak kehadirannya semakin dekat dia datang padaku. Kini bukan lagi bayangan malah kenyataan. Serta-merta tindakanku terhenti.
“Macam mana kau boleh ada kat sini?” soalku kaget.
“Itu ke cara Wafi mengalukan tetamu? Setelah susah payah Lee dapat cari tempat kerja Wafi!”
“Kau nak apa datang sini?” Tekanku lagi dan kali ini lebih keras.
“Nak jumpa Wafi? Salah ke?” jawabnya tenang seraya duduk di kerusi tanpa pelawaan.
“Salah tu tak tapi aku tak suka kau datang sini!”
“Kenapa mesti jadi terlalu kasar, Wafi?” Soalan Fazlee membuatkan aku merenungnya tajam.
“Apa hak kau nak tanyakan aku soalan begitu? Kasar ke tidak, itu hak aku!” jawabku tegas.
“Macam mana kau boleh sampai sini?” ulangku lagi bila Fazlee tidak menjawab pertanyaanku.
“Kalau kita nak cari orang yang kita sayang ni, semua pun boleh, Wafi!” jawab Fazlee tenang.
“Wafi makin cantik! Lee rindu Wafi!” akuinya lagi. Aku mencemik.
“Rindu kau tu tak laku kat sini Fazlee! Kau bawalah rindu kau tu lelong dekat CM ke Star Hill ke?” sinisku.
“Rindu Lee pada Wafi tak semurah tu!”
“Murah ke mahal ke, kau dah tentukan harganya! Rindu antara kita dah lama berlalu. Masa untuk itu tak akan kembali dan aku harap, kau jangan ganggu aku. Kalau kau memang tiada apa-apa yang mustahak, aku minta dengan cara baik. Sila keluar!” arahku.
Fazlee tersenyum dan mendekat ke arahku dengan kedua belah tangan diletakkan di dalam poket seluar slacknya.
“Kau nak apa lagi ni?” bentakku kuat. Mujur sahaja waktu makan tengah hari sudah tiba. Andai tidak, pasti didengari oleh beberapa kakitangan di luar. Aku yakin mereka sudah keluar mencari sesuatu untuk menjadi isi perut.
“Boleh Lee pegang tangan Wafi sikit?” Aku ketawa besar mendengarkan permintaan bodoh Fazlee padaku. Ketawa yang dibuat-buat. Sudah hilang akal agaknya.
“Have you lost your mind?” Fazlee tersenyum dan makin mendekat ke arahku.
“Yes! I lost because of you! I doomed for missing you!” Sungguh Fazlee telah menjadi sewel. Kenyataan yang diutarakan sebentar tadi sedikit sebanyak membuat aku resah. Berada berdua bersamanya di dalam bilik yang tertutup rapat, berbagai andaian menerjah mindaku.
Segalanya mungkin. Aku tidak bodoh untuk mentafsirkan apa yang tersirat di sebalik renungan dan senyuman lelaki ini dan senyuman begitu tidak pernah ada pada wajah Fazlee sewaktu kami bersama dulu.
“Boleh, Wafi?” duganya untuk sekian kali.
“Jangan kau berani nak cuit aku!” Aku memberi amaran keras dan sudah bersedia andai sesuatu bakal berlaku.
“Kenapa sejak dari dulu Wafi tak pernah nak izinkan Lee pegang Wafi walau pada hujung jari?”
“Kalau dulu pun aku tak pernah izinkan kau pegang aku, kenapa sekarang kau rasa aku akan izinkan kau?” soalku penuh sinis.
Aku memberanikan diri menentang pandangan mata Fazlee yang tajam menikam wajahku. Jaraknya mendekat dan terus mendekat. Aku pula, tidak sedikit pun berganjak dari tempat aku berdiri. Tak mungkin aku tewas pada dia sekarang.
“Mungkin sebab rindu!”
“Oh, pleaselah, Fazlee! Aku tak pernah ada perasaan itu pada kau lepas kau pergi dulu! Aku tak mungkin merindui lelaki lalang macam kau ni!”
“Wafi, sebenarnya Lee nak…” Fazlee lantas menarik pergelangan tanganku dan aku pantas jua cuba merentap pegangannya biarpun aku tahu, genggaman itu terpadu kuat.
“Lepaskan aku, Fazlee!”
“Wafi dengar dulu!” Fazlee mengeratkan genggaman.
“Sebenarnya Lee nak… nak… mi…”
Serentak itu daun pintu diketuk dari luar dan belum sempat aku bersuara wajah Am tersembul di muka pintu dengan senyuman yang sukar untuk aku ertikan.
Aku lantas merentap tanganku dari genggaman Fazlee bila dia turut terpaku pada Am. Debar hatiku bergendang hebat. Bimbang andai Am salah mentafsirkan keadaan kami. Pastilah satu malapetaka baru akan timbul.
Aku mula menapak mendekati Am dan Fazlee membontoti langkahku sampai ke pintu. Huluran salam Am bersambut baik.
“Fazlee!” ujarnya sepatah.
“Amri, tunang Wafiah!” Suara Am perlahan. Biarpun lembut, nada suara Am tetap ada ketegasannya bila dia sengaja menekan pada perkataan tunang dan wajah Fazlee berubah langsung. Dia nampak terkejut besar lantas mencari anak mataku memohon jawapan. Aku sekadar tersenyum senang. Terasa selamat bila Am memaut bahuku di hadapan Fazlee dan juga dengan pengakuannya.
“Okay, nice to see you again, Wafi!” ucap Fazlee padaku. Aku sekadar mengangguk menyembunyikan rasa hati yang sebenar.
“Saya balik dulu!” Dia kalih pula pada Am.
“Jumpa lagi!” sambungnya lantas melangkah melepasi pintuku.
Sesungguhku aku tidak tahu bagaimana dia menjumpai sampai ke tempat kerja. Aku buntu dalam mencari jawapan. Saat-saat aku menghampiri bahagia, dugaan sudah mula hampir menyelak kedukaan lalu.

***bersambung***

1 comment: