Monday, October 03, 2011

Terlerai Kasih 35, 36

BAB 35

AKU termangu sendiri di jendela rumah emak. Membiarkan rambutku yang lepas bebas terus dielus angin. Suasana petang ini benar-benar menenangkan. Cuma hatiku saja yang sentiasa gundah dan tidak pernah menemui ketenangan. Aku sudah mula berkeputusan untuk melupakan segalanya yang pernah aku lalui tapi mampukah aku?
Kelopak mata terasa suam lagi. Pantas aku menghela nafas panjang demi menghalau rasa sebu itu dari hati. Dalam dua lagi, aku akan menjadi isteri kepada seorang lelaki yang ku paksa untuk menikahiku.
Jenuh aku menolak bayangannya, namun dia semakin menghimpit hati dan jiwaku yang sedang ranap. Jemariku terus hinggap di wajah. Meraup wajah murungku saat terdengar derap tapak kaki di pintu bilik. Aku kalih bila terasa pintu bilikku di tolak dari luar. Aku tersenyum melihat wajah comel itu.
“Acu bila balik?” soal Amira yang sudah memelukku.
Aku ketawa kerana pelukannya kali ini benar-benar erat. Tidak seperti sebelumnya.
“Rindu, Acu!” akuinya.
“Acu sampai malam tadi. Acu pun rindu Amira jugak! Macam mana sekolah? Tak lama dah nak periksa ni. Ada belajar rajin-rajin tak?” soalku mesra selepas kami melabuhkan duduk di birai katil.
“Mira kan dah janji dengan umi, dengan Tok Wan, dengan Acu nak belajar rajin-rajin. Mestilah Mira belajar betul-betul. Mira tak nak hampakan semua. Mira nak buktikan pada Makcik Zahrah tu yang Mira boleh berjaya, macam Acu!”
Terkaku aku seketika mendengarkan pengakuan Amira. Benar seperti yang aku jangka, Amira sedang melalui perkara yang sama seperti yang aku telah lalui berbelas tahun dahulu.
Aku mula bimbang. Bimbang andai dia tidak mampu bertahan seperti mana aku. Dalam keupayaan aku bertahan, jiwaku tetap memberontak dan bertukar menjadi agresif. Yang lebih teruk, hatiku penuh dendam hingga akhirnya memakan diriku sendiri hingga lumat.
Aku tidak mahu Amira melalui nasib yang sama denganku. Pasti Makcik Zahrah membandingkan Amira dengan cucunya seperti mana dia membandingkan aku dengan anaknya, Zura.
“Tak apalah. Mira belajar pandai-pandai, dapat masuk asrama penuh nanti, lepas tu masuk universiti, dapat kerja-kerja bagus, nanti boleh tunjuk pada Makcik Zahrah yang keluarga kita sebenarnya hebat-hebat!” balasku sambil mengusap kepalanya anak dara kakakku itu.
Dalam tidak sedar, aku sudah menyuntik semangat dalam diri Amira. Semangatkah itu? Seperti yang ku suntik pada diri sendiri sehinggakan aku hidup dalam dendam dan sentiasa prejudis terhadap semua orang! Dan yang paling teruk, aku mengelak daripada semua orang dan hidup dalam duniaku sendiri.
“Acu... Acu...” Aku tersentak.
“Mak cik Zura tu, kan dah lama tak balik rumah, Ucu! Dulu, Mira selalu nampak dia depan rumah dia masa Mira balik sekolah tapi sekarang dah tak ada. Mira tanya Echah, mak cik dia pergi mana, lepas tu dia kata mak cik dia lama dah tak balik rumah, Ucu! Mak dia puas dah cari semua tempat!”
Terkejut aku mendengar kata-kata Amira. Kali terakhir aku melihat Zura adalah beberapa bulan sudah bila aku menghalau dia dari pejabat Megah. Berita pertemuanku dengan Zura langsung tidak sampai ke telinga mak.
Maknanya Zura balik kampung selepas dia dipecat atau memang sebelum ni dia memang lari dari rumah? Otakku ligat bersoal jawab sendiri. Namun, dalam diam, aku terus berdoa agar berlaku sesuatu yang pernah Makcik Zahrah doakan untukku dulu itu berlaku pada anaknya sendiri. Inilah masanya, aku ingin melunaskan apa yang dah terbuku di dadaku sejak 12 tahun dulu.
Petangnya, aku mendapatkan emak yang sedang berbual-bual dengan Kak Anah di serambi rumah sambil mengisi buah tangan untuk tetamu yang datang nanti. Aku terus melabuhkan duduk di sisi emak dan emak terus menuangkan secawan teh panas untukku.
“Lama Fiah cuti?” tanya Kak Anah padaku.
Aku menjungkitkan bahu. “Tak tahu lagi, kak! Tengok keadaan macam mana,” jawabku lantas menyapa tangkai cawan dan terus menyuakan birai cawan ke bibir.
“Fiah ada masalah ke? Mak tengok sejak Fiah balik ni nampak risau je. Rupa tu tak ada langsung seri pengantinnya.”
Pertanyaan emak benar-benar membuatkan aku tersedak dan terbatuk-batuk kecil. Aku mengelap mulut yang basah dan tangan Kak Anah sudah menyapa ke belakangku.
“Tak ada apalah, mak! Fiah baik-baik je. Biasalah, dah nak cuti panjang ni kerja banyak la kena siapkan kat pejabat tu.” Aku tersengih sumbing bagi menyembunyikan pilu yang sudah bertapak di hati. Betapa hatiku turut menjerit.
“Betul ke mak, Fiah dengar si Zura tu dah tak balik rumah? Dia ke mana, mak?”
Sedaya upaya aku cuba mengalih perhatian emak dan Kak Anah agar tidak menyebut nama yang boleh menyiat hatiku itu.
Aku memandang Kak Anah yang mengangguk-angguk. ”Betul, dik!”
“Bila?” ajuku lagi.
“Dah hampir enam bulan kot, mak kan?”
Jawapan Kak Anah membuatkan aku berfikir panjang. Maknanya sewaktu dia bekerja di Megah dia sudah lari daripada rumah dan kenapa aku tidak pernah bertanya mengenai tempat tinggalnya! Aku mengutuk diri.
“Tak tahulah, Fiah kenapa dia lari! Apa yang mak dengar, dia memang lari dari rumah. Ke Kuala Lumpur katanya cari kerja!” jelas emak. Berkerut dahiku seketika.
“Kalau dah cari kerja, bukan lari dari rumah namanya, mak!” protesku membetulkan pernyataan emak dan Kak Anah.
Aku sedaya upaya tidak mahu khabarkan pada emak peristiwa pertemuanku dengan Zura beberapa bulan lepas.
“Masalahnya, Fiah, mak dia tak bagi dia kerja kat Kuala Lumpur tu tapi dia nak pergi jugak! Yang orang dok bercerita itu ini tu, sebab si Zura tu lari ikut jantan lepas mak dia halang!” terang Kak Anah perlahan.
Terjegil mataku seketika mendengar kata-kata Kak Anah. Selepas itu, aku tersengih sinis. Penuh makna. Rasanya tidak sabar aku bersua empat mata dengan Makcik Zahrah. Rasanya hendak diludah wajah tua itu. Padan muka kau, Zahrah! Ejek hatiku dan tanpa ku sedar, tawaku meletus. Emak dan Kak Anah berpandangan.
“Kau kenapa, dik?” soal Kak Anah pelik. Aku juga terus menggeleng.
“Orang tu dah hilang anak, kau boleh gelak pulak ya?” marah Kak Anah lagi kerana aku tahu, dia pasti mengerti akan apa yang tersembunyi di hati kecilku kini.
“Biarlah, kak! Padan muka kau Zahrah...” ucapku seraya meneguk teh yang sudah suam itu. Sudahlah anaknya bagai anjing yang tersepit. Selepas aku melepaskannya, tanganku pula digigit.
Emak menepuk kepala lututku. Jelas wajahnya tidak suka bila aku bersuara demikian. Terjahan anak matanya sudah dapat menggambarkan yang dia sedang mengamariku dalam diam. Ah, emak terlalu baik hati dalam menilai orang!
“Tak baik cakap macam tu, Fiah!” Sayu suara emak menegur sikapku.
Kak Anah membuat muka. Aku juga tunduk membisu. Namun, hatiku tetap bersorak keriangan kerana masalah yang sedang menimpa keluarga musuh ketatku itu. Hilang seketika nama Ilham dari fikiranku.
”Fiah tak jumpa ke Zura kat sana?” Pertanyaan emak membuatkan aku tergelak kecil. Hatiku dirasuk syaitan kembali.
“Mak... mak..., bukannya KL tu kecil mak sampai Fiah nak jumpa dia! Biarkanlah dia, mak! Fiah pun sibuk kat sana! Mana ada masa nak berjalan-jalan! Zura tu bukan budak kecil sampai nak kena Fiah escort! Lagipun, tak kanlah keturunan baik-baik tu nak buat benda tak elok! Betul tak, kak?” Aku angkat kening pada Kak Anah. Aku tidak tahu hendak menjawab apa hingga akhirnya aku telah melakukan satu pembohongan pada emak dan Kak Anah.
Kakakku tidak mengiyakan malah aku ditegurnya pula. Wajahnya berkerut-kerut. Mulutnya terkumat-kamit memberikan amaran padaku. Aku hanya berwajah selamba tanpa aku pedulikan pandangan kakak dan emakku. Hatiku ketawa lagi.
Petangnya, aku membawa emak dan dua orang anak buahku bersiar-siar di pantai. Kak Anah tidak dapat ikut sama kerana suaminya tidak mengizinkan. Sejak peristiwa dulu, aku sudah bersumpah untuk tidak menjejakkan lagi kakiku ke rumah Kak Anah. Apa nak jadi, jadilah! Bentakku penuh benci.
Biarpun emak melarang memandangkan aku akan bergelar raja sehari lusanya aku tetap berkeras mahu pergi. Alasannya aku bimbang andai tidak berpeluang untuk ke pantai bersama keluarga yang tersayang lagi selepas ini.
Sedang aku melihat Amira dan Amir mandi-manda di gigi air, dari kejauhan, aku dapat melihat emak sedang bersembang dengan seseorang. Aku tidak dapat mengagak siapakah gerangannya.
Perasaan ingin tahuku benar-benar menggunung di dalam dada, lantas aku mengajak Amira dan Amir naik kerana untuk meninggalkan mereka sendirian, itu adalah tidak mungkin. Bermacam-macam boleh jadi!
“Mak!” tegurku selepas siap menukar pakaian kedua anak buahku itu.
Emak kalih. Aku sudah dapat mengagak siapakah wanita gempal ini. Bila dia berpaling, ternyata segalanya benar.
“Wafiah! Dah lama makcik tak nampak kau! Bila balik? Makin cantik kau sekarang, Wafi! Dah nak jadi pengantin ni berseri-seri wajah kau,” ucap Makcik Zahrah sambil mengusap bahuku. Aku mengelak. Air wajahnya berubah. Emak pun sama. Aku tersengih sinis.
“Nur Wafiah!” tegur emak keras. Aku berwajah selamba.
“Wafi, tentu kau dah tahu yang Zura dah lari dari rumah! Kalau kau jumpa dia kat Kuala Lumpur sana, kau tengok-tengok dia ya, Wafi!” ujar Makcik Zahrah tanpa aku pinta. Tangkai hatiku digeletek lagi.
“InsyaAllah, mak cik!” janjiku bila melihatkan mata emak sudah mula mencerlung saja pandangannya. Tidak jadi lagi nampaknya aku nak balas dendam. Huh! Aku mendengus geram. Benar-benar hampa kerana niatku patah di tengah jalan.
“Macam mana semua ni boleh berlaku, mak cik?” soalku bagaikan aku benar-benar mengambil berat akan hal Zura.
“Mak cik pun tak tahu! Mak cik larang dia pergi tapi dia nak pergi jugak. Bila mak cik larang, dia lari senyap-senyap Wafi. Ada orang kampung nampak, dia ikut budak lelaki mana entah! Mak cik risau, Wafi!” ujarnya lirih berselang dengan sendu.
Hampir tergelak aku dibuatnya mendengar Zura lari ikut jantan! Padan muka kau! Ejek hatiku. Andai emak tiada kala ini, pasti dia dah terima habuannya!
“Sabarlah, Zahrah! Semoga dia dilindungi Allah!” pujuk emak.
“Tapi, aku takut kalau Zura mengandung tak ada bapak, Milah!”
Kata-kata Mak cik Zahrah pada emak benar-benar membuatkan aku ketawa sendiri. Masanya dah tiba mungkin! Selepas Am menjatuhkan talak padaku, selepas melunaskan dendam pada Zura, aku akan pergi jauh membawa diri. Tekadku bulat di situ.
*******
Aku terkaku saja. Duduk diam sendiri tanpa perasaan dengan raut yang tidak beriak. Serasa pantas masa berlalu meninggalkan aku sendiri di dalam kekusutan yang tak pernah mahu terurai. Malah makin melilit pula.
Riuh rendah orang kampung dan jemputan di luar rumah benar-benar menambahkan semak dalam kepalaku. Andai tidak difikirkan emak dan Kak Anah, mahu saja aku tinggalkan majlis ini. Tapi, bila memikirkan syarat yang telah Am setujui, aku teguhkan pendirian dan hatiku tidak sudah berharap agar semua berlalu selepas aku memejamkan buat seketika nanti.
Selepas aku dihias siap oleh mak andam hingga ke sentuhan terakhir, emak mendatangiku saat aku sendirian di dalam kamar pengantin yang akan menjadi saksi perpisahan aku dengan suami yang baru menjadi milikku pagi ini.
“Anak emak di cantik sangat!” puji emak. Aku mengukir senyuman semanis-manisnya.
Menilik diri sendiri dengan tubuh yang dibaluti persalinan indah putih mutiara hasil ilham Puan Seri.
“Fiah kan anak mak. Like mother like daughter!”
“Mak tak paham la Bahasa Inggeris!” Emak mencubit pipiku. Aku mengaduh manja lantas menyandarkan kepalaku pada bahu emak.
“Maksudnya, dah mak cantik, mestilah anak pun cantik!” usikku pada emak. Dia ketawa lembut lantas menggosok bahuku.
“Mak rasa Fiah ada sembunyikan sesuatu daripada mak?” Jemariku yang merah berinai diraihnya. “Betul tak?” tebak emak. Senyumku mati tiba-tiba.
“Maksud mak?” Aku angkat kepala. Wajah itu ku renung penuh kasih.
“Entahlah, sejak Fiah balik hingga hari ini, mak dapat rasa anak mak ni lain je padahal beberapa hari sebelum Fiah balik mak rasakan lain!” Jemariku digenggam erat.
Hatiku berdesis sendiri. Pasti emak dapat menangkap perubahan sikapku yang mendesak.
“Macam mana Fiah sebelum ni dan macam mana Fiah masa kat kampung?” Aku tersenyum bermain tarik tali dengan mak. Sekadar menyembunyikan resah hati sendiri.
“Mak rasa sebelum Fiah balik, anak mak ni dah berubah menjadi seorang yang pemaaf, lemah lembut tapi bila Fiah kat kampung tiga empat hari ni, mak boleh rasa yang anak mak ni dah kembali kepada sikap lama,” ulas emak lembut.
“Kalau benar apa yang mak rasa ni, mak nak tahu apa yang buatkan Fiah kembali ke sikap lama Fiah?” sambungnya lagi.
Aku memandang genggaman tangan emak pada jemariku. Menahan diri agar tidak menitiskan airmata di saat kebahagiaan emak berada di puncak.
“Tak ada apa, mak! Fiah dah berubah. Fiah dah maafkan semua orang dan Fiah yakin, tak ada lagi dendam dalam hati Fiah ni. Mak percayalah ya!”
Genggaman tangan emak aku leraikan lantas aku hampir ke birai jendela. Saat itu mataku bertaut pada seraut wajah Fazlee yang jelas kusam. Aku menghulurkan senyuman. Mengalu-alukan kedatangannya meraikan pengantin sehari ini. Tidak pula mataku menangkap seraut wajah milik Fatehah.
“Kalau benar macam tu lega hati mak ni, Fiah! Janji dengan mak jangan kembali pada Fiah yang dulu, ya nak?”
Aku kalih semula pada wajah tua emak lantas mengangguk bersama senyuman. Tubuh itu ku dekati lantas ku paut tubuh emak ke dalam pelukanku.
“Fiah akan jaga maruah emak biarpun kebahagiaan Fiah yang menjadi galang gantinya, mak!”
Emak menolak bahuku. Anak mata kami beradu dan serentak itu beberapa wajah terjengul di muka pintu bilikku. Hadir mereka bersama tawa dan usikan
“Rombongan pengantin lelaki dah sampai,” beritahu salah seorangnya. Emak bangkit.
“Dahlah, senyum sikit. Suami dah sampai tu,” gumam emak lembut.
Emak menepuk bahuku beberapa kali. Bagaikan mengerti dengan keadaan diri terseksa dengan perjalanan hidup aku telah aku pilih ini. Dia melangkah keluar daripada bilik, berlalu bersama satu persoalan yang jelas terzahir di wajahnya. Memberi peluang kepada pengapit yang sudah menarik tanganku untuk menyambut si suami.

BAB 36

DINIHARI itu aku menyentuh hujung kaki Am lembut. Mengejutkannya dari tidur yang lena demi menyempurnakan tugas sebagai seorang Muslim. Sayup-sayup suara Azan memuji Yang Esa membuatkan hatiku sayu. Pilu dengan apa yang bakal menimpaku sebentar lagi dan pilu kerana hati ini sebenarnya bagaikan tidak ikhlas menerima ketentuan-Nya.
Bantal yang terdampar di atas permaidani yang menjadi laman tidurku malam tadi, aku angkat lantas ku letakkan di atas katil di mana tubuh sasa itu terbaring lena.
“Am, bangun! Dah masuk Subuh ni!” seruku lembut bila dia merengus panjang.
Aku bimbang dijerkahnya aku kerana mengganggu lenanya dan aku tidak mahu suaranya meninggi di dalam rumah papan milik emak. Pasti mengejutkan emak yang sedang mengalunkan zikir sayup-sayup di biliknya. Bimbang andai terhambur perjanjian yang kami simpan antara kami pada emak.
“Bangun Am, dah Subuh ni!” panggilku lagi lantas menarik selimut yang membaluti tubuhnya.
“Apa ni… sejuklah!” marahnya dengan suara yang perlahan. Selimut ditarik semula melepasi kepala.
“Bangunlah dulu. Solat Subuh. Kalau penat sangat nanti boleh tidur balik!”
Aku memberanikan diri melabuhkan duduk di sebelah tubuh Am yang terbaring bila dia tiada memberikan sebarang tindakbalas. Jam semakin berdetik, masaku bersamanya juga semakin singkat.
“Am, bangunlah. Kita solat sama-sama.”
Aku tarik selimut tebal itu dari terus melitupi wajahnya. Rautnya tenang di dalam lena. Hatiku sebak, dadaku sesak demi melihatkan seraut wajah yang bakal menjadi bekas suamiku sebentar lagi. Perjanjian gila yang keluar daripada mulut aku sendiri demi menyelamat maruah keluarga.
Dadanya berombak tenang. Rambut yang terjuntai ke dahi aku tolak perlahan. Terasa ringan sahaja bibirku untuk berlabuh pada dahinya namun ku tahan hasrat hati bila memikirkan syarat kami. Dia adalah milikku yang halal tapi aku tidak mampu memilikinya.
Mahu saja aku peluk tubuhnya, melaungkan kata cinta buatnya. Melepaskan perasaan rindu yang menyesakkan dadaku tapi aku tidak mahu menjadi seorang yang munafik. Memungkiri janji setelah melafazkannya. Biarlah aku tahan gelora hati untuk beberapa ketika lagi.
Kelopak mataku terasa suam. Cepat-cepat aku bangkit dan mencapai telekung yang tergantung di belakang pintu. Aku ketap bibir menahan titisan airmata itu dari gugur.
“Dah Subuh. Saya tunggu Am solat sama-sama,” ujarku sambil menyarungkan telekung pada kepalaku.
Saya! Itulah ganti buat nama Fiah. Aku tidak mahu menyeksa hati sendiri dengan memanggilnya mesra seperti waktu dulu. Cukuplah begitu agar aku bisa menjurangkan hubungan kami nanti.
Dia tidak bersuara. Sekadar bangun dan terus keluar daripada bilik. Seketika kemudian dia kembali dengan wajah yang dibasahi wuduk.
Dia mengambil tempat di depanku dan saat niat dibacakan, takbir diangkat dan suara halus Am mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran, airmataku merembes tanpa paksa. Keindahan dalam setiap bait-bait ayat Qalam Allah yang dibaca Am benar-benar membuat hatiku pilu.
Kali pertama dan merupakan kali terakhir aku bisa menjadi makmum kepada suami sendiri. Beberapa saat lagi dia akan menoktahkan segalanya. Takdir Allah tidak mampu ku sekat. Kusyukku tiada di situ. Hanya jeritan dan tangisan hati yang pilu bergema di dalam dada.
Usai salam, aku menantikan doa daripada Am tapi dia bingkas bangun lantas duduk di birai katil dengan meraup wajahnya berkali-kali. Aku mengangkat kedua tanganku, memanjatkan doa ke hadrat Yang Esa agar meminjamkan aku sedikit kekuatan untuk menghadapi talak Am padaku.
Selepas itu aku menarik bangku meja solek dan terus duduk di depan Am. Memandang wajahnya yang tidak dapat ku tafsirkan keadaannya. Membalas renungannya yang penuh benci itu dengan limpahan kasih sayang.
Hatiku beristigfar tidak sudah-sudah demi menantikan sebaris ayat keramat itu. Berpura-pura tenang sedangkan batinku hanya Allah yang tahu.
Aku melepaskan telekung ke lantai. Membiarkan Am merenung wajahku tanpa tudung yang membelit kepala. Rambut yang panjang melepasi bahu aku biarkan sahaja lantas ku raih tanganku ke dalam genggamanku.
Dingin sahaja jemari kasar itu. Bila antara kami sudah dihalalkan segalanya, aku tidak mampu memeluk erat tubuh itu. Namun, aku bersyukur bila Am tidak membentak genggaman tanganku pada jemarinya.
Anak mataku menyoroti anak mata tajam Am. Lantas aku menghadiahkan dia sekuntum senyum yang cukup bermakna. Aku tarik nafas dalam menahan sebu. Janji tetap janji.
“Terima kasih sebab sudi tunaikan janji untuk menjaga maruah keluarga saya,” ujarku memulakan bicara bila Am tetap dengan renungannya. Tajam.
“Terima kasih sebab sudi menjadi imam saya biarpun ini untuk kali pertama dan terakhir. Terima kasih sebab sudi menjadikan saya seorang isteri yang sah walaupun untuk kurang sehari dan terima kasih kerana menunaikan syarat saya!”
Aku tenang selepas meluahkan kata-kata itu.Kini, aku temui sedikit kekuatan untuk mendengar Am menjatuhkan talak padaku.
“Kau nekad ke, Wafiah?” Suara Am sedikit serak di pendengaranku. Wajahnya kelat. Bagaikan tiada berperasaan. Lambat-lambat aku mengangguk terpaksa.
“Kau tak menyesal ke?” Aku menggeleng bila Am menyoal lagi.
“Tiada apa yang nak disesalkan. Janji tetap janji, Ilham. Saya bukan munafik untuk memungkiri janji. Biar apa pun kesannya, saya akan tunaikan dan kini sudah sampai masanya untuk awak melunaskan janji awak juga!”
Am menarik tangannya dari peganganku. Aku tersentap namun seboleh-bolehnya aku mahu terus tersenyum. Biarlah aku hidup tanpa perasaan andai perasaan itu sentiasa menyeksa hatiku.
Aku menarik laci meja solek yang tidak jauh dariku. Mengeluarkan satu sampul putih lantas ku letakkan di atas riba Am.
“Apa ni?” Wajah Am berkerut seribu.
“Ini juga sebahagian daripada janji saya pada awak, Ilham! Dalam sampul ni ada duit RM10 ribu untuk semua yang telah awak belanjakan untuk persiapan ini semua. Andai ada terlebih dan terkurang saya mohon awak halalkan saya,” terangku lembut.
“Belanja yang aku habiskan termasuk hantaran kau hampir RM 40 ribu, Wafiah! Kau rasa setimpal ke kalau kau nak bayar RM 10 ribu ni,” tukasnya sinis.
Aku pejam mata rapat-rapat. Mencari kekuatan yang bersisa dalam menghadapi lelaki yang sudah membenciku.
“Maafkan saya, Am! Cek hantaran yang awak berikan tu saya dah minta Kak Anah cashkan ke dalam akaun awak petang semalam jugak!” Wajah Am jelas terkejut dengan kenyataanku itu.
“Kalau terkurang, bagi saya sikit masa lagi untuk bayar semula bakinya sebab saya dah keluarkan semua simpanan saya. Memang masih ada lagi beberapa ribu tapi saya nak berikan itu pada mak saya! Bagi saya masa sikit ya, Am!” rayuku sebak.
Dia diam lama. Matanya masih menjilat wajahku. Tapi sayang bila kemesraan itu sudah jauh pergi meninggalkan kami. Lambat-lambat dia mengangguk. Aku lega. Lega menjadi penghutang suami sendiri yang bakal menjadi bekas suami sebentar saja lagi.
“Subuh dah hampir tamat Am. Rasanya dah sampai masanya awak lafazkannya pada saya!”
Kali ini Am bingkas bangun. Menjauh dariku. Merenung wajahku bagaikan mahu ditelan aku hidup-hidup. Aku turut bangkit.
“Deal is a deal, Am! Saya tahu wanita tak bermaruah macam saya ni tak layak untuk awak. Cukuplah sehari saya menjadi mimpi ngeri awak. Saya akan ikut perjanjian kita sebelum ni!” tegasku memaknakan setiap yang terlontar dari celah bibirku sebelum kami sah dinikahkan.
“Betul ke kau Nur Wafiah yang aku kenal?” soalnya tiba-tiba. Aku kelu seketika sebelum mengangguk kemudiannya.
“Benarkah kau sanggup jual harga diri dan kegembiraan kau demi orang lain?” Aku mengangguk lagi.
“Orang lain tu adalah emak yang melahirkan saya. Maruah dan kebahagiaan dia adalah segalanya bagi saya! Biarpun kebahagiaan sendiri yang perlu menjadi galang gantinya,” jawabku yakin.
“Seperti yang awak pernah cakap pada saya sebelum ni. Perempuan murah dan tak bermaruah macam saya ni tidak layak untuk menyintai atau dicintai oleh mana-mana lelaki!”
Aku mengulum senyum. Jam di dinding ku kerling sekilas. Sudah menghampiri jam 7 pagi. Kicauan burung yang keluar mencari rezeki menjadi alunan muzik latar pada pentas lakonan hubungan kami. Berakhir selepas sehari disatukan menjadi suami isteri. Pastilah aku lebih terhina andai diketahui umum.
“Masa makin berlalu, Am! Lafazkanlah cerai tu pada saya seperti mana yang telah kita persetujui sebelum ini!” desakku lagi.
“Kau nak sangat ke?” Raut Am jelas tidak puas hati. Dia ketap gigi.
“Janji tak boleh nak mungkiri, Am! Saya yang buat janji dan mustahil untuk saya mungkiri!”
Am menghampiri tubuhku yang sekadar berlagak tenang biarpun gelodak hatiku ganas bergelora bila tubuh Am rapat benar padaku hinggakan haruman tubuh lelaki itu dapat ku hidu. Kepalaku jatuh bila wajah Am mendekat ke wajahku.
“Kalau macam tu, aku rasa hukuman yang terbaik untuk kau adalah gantung kau tak bertali agar kau tak dapat bersama dengan mana-mana lelaki pun lepas ni!” gumamnya tegas lantas mengucup pipiku.
Aku tersentak. Ya Allah! Bukan ini yang aku inginkan. Aku rela dilepaskan olehnya tapi aku tidak mahu dihukum begini. Tubuhku longlai di kaki Am. Menahan rasa suam yang meniti di tubir mata.
“Kenapa buat saya macam ni, Am?” Suaraku tersangkut-sangkut menahan sebak yang mula menggigit rasa.
“Memang ini selayaknya pada perempuan sehina kau, Wafiah!” tukasnya keras.
“Am mungkir janji…,” Aku merintih pilu.
Salah apa Fiah pada Am selama ini? Akhirnya Am kembali ke katil. Merebahkan tubuhnya kasar lantas menarik selimut itu hingga menutupi kepala dan aku, terus membiarkan airmataku mengalir laju. Sekali lagi aku memungkiri janjiku pada diri sendiri dengan membiarkan air jernih itu terus menyusuri lekuk pipi.
*******
JAM di dinding telah bergerak ke angka 9 pagi. Berkali-kali emak melaungkan namaku daripada dapur agar mengajak Am untuk bersarapan. Tidak mahu mengundang curiga di hati emak, aku terus menolak pintu bilikku dan saat itu tubuh Am hanya dibaluti dengan sehelai tuala.
Hampir saja tuala itu melurut jatuh bila Am jelas terkejut dengan kemunculanku yang tiada tanda-tandanya.
“Sorry,” ujarku sepatah.
Serentak itu Am menarik tubuhku melepasi ambang pintu dan menolak daun pintu itu kasar lantas menguncinya.
Keningku bertaut di tengah bila melihatkan tindakan drastiknya sebentar tadi. Dadanya turun naik berombak kencang. Aku masih menayangkan wajah tenang sedangkan gelora dihati Allah saja yang tahu. Hati isteri mana yang tidak bergelora bila melihatkan susuk tubuh suami yang amat dicintai jelas di depan mata.
“Yang kau masuk sesuka hati kau ni kenapa? Buatnya aku tak pakai apa-apa tadi, macam mana?” soalnya kasar. Wajahnya kelat.
Hatiku bagai digeletek. Hilang sebentar kesedihan yang bermukim akibat hukuman yang Am jatuhkan buatku awal pagi tadi.
“Apa salahnya. Selagi awak tak jatuhkan talak, awak suami saya dan ingat, tak ada dalam ajaran Islam yang suami isteri itu mempunyai batasan aurat bila duduk berdua-duaan,” sinisku.
Entah mengapa, hatiku terdetik untuk menyakiti hatinya. Atau lebih nyata lagi, niatku adalah untuk membuatkan dia menjatuhkan talak padaku secepat mungkin. Aku tidak sanggup untuk menjadi isterinya sedangkan hakikatnya kami tidak mungkin begitu.
“Kau macam nak cabar aku lepaskan kau je?”
Aku angkat kening menentang pandangan Am. Biar dia tahu, aku tidak selembut kapas untuk tunduk pada kemahuannya. Lebih baik kembali pada Fiah yang dulu, andai Fiah yang baru ini hanya mampu menerima herdikan saja. Itulah tekadku bila aku seka airmataku pagi tadi.
“Kau jangan cabar aku, perempuan!” luah Am tegas. Biarpun suaranya separuh berbisik tapi aku tahu dia sedang menahan amukan padaku.
“Awak yang mungkir janji, Am! Bukan saya! Jadi terserahlah kalau awak rasa ini adalah satu cabaran untuk awak!”
“Kau ni kan…” Am memaut wajahku menghadap wajahnya.
Aku tidak mahu tewas lagi dan mataku turut tajam mencerlung padanya. Di sebalik mata itu dahulunya tersimpan sejuta kasih sayang dan kemesraan tapi kini hanya dendam yang mengaburi mata kuyunya.
“Betul cakap kau…” Wajah Am tersengih penuh makna.
“Antara kita tak ada lagi batasan aurat, jadi aku nak….,” Kata-kata Am mati di situ.
Jarinya pantas merentap tudung yang membaluti kepalaku dan melonggarkan zip baju kurung moden yang membaluti tubuhku.
Menyesal bila mendengar kata emak agar mengenakan baju itu. katanya, sebagai pengantin baru, aku perlu berpakaian menarik untuk suami yang baru ku nikahi.
Dadaku hampir pecah menahan debaran di hati dan hampir saja aku terjerit bila Am menolak tubuhku jatuh ke katil. Pantas saja dia menindih kedua belah kakiku. Ya Allah, jangan biarkan ini terjadi. Aku hampir tewas di tangan suamiku sendiri.
Am menarik kurung modenku melurut hingga ke bahu dan terhenti di situ. Jelas nampak dadaku yang turun naik menahan nafas yang sesak. Am mula menarik lagi tapi kali ini aku lebih pantas menggenggam tangan kasar dan serentak itu pintu bilik diketuk.
“Fiah, mak suruh kamu panggil Am sarapan, bukan suruh kamu melekat dalam bilik tu, nak oi….” Suara emak membawa aku menolak tubuh Am jauh dariku. Hampir saja tualanya terlucut dan pantas dia menyambar.
Aku bangkit memasang zip dan terus mencapai tudung lalu ku belitkan ala kadar saja. Berkali-kali aku menyumpah diri bila hampir tewas di tangan Am.
“Kami tunggu awak sarapan pagi. Lepas tu awak bebas nak ke mana saja. Janji tetap janji!” tegasku lantas berlalu bersama setitis airmata yang merintik ke wajah.
Sengaja aku tekankan perkataan janji itu. mengingatinya dan lebih-lebih lagi diri sendiri agar tidak mudah tumbang dihempap rasa cintaku pada Am yang makin menggunung tinggi.
Usai bersarapan, Am beritakan pada emak yang dia perlu kembali untuk tugas yang penting. Aku sekadar mengiyakan tidak mahu mengundang syak pada emak dan Kak Anah serta Abang Zali yang sedari tadi memandang kami dengan pandangan yang sinis.
Bagasi pakaian milik Am aku sorong perlahan menuju ke pintu. Usai sarapan, dia terus bersiap dan aku yakin, disitulah noktahnya hubungan kami biarpun Am tidak mahu melafazkan cerai padaku.
“Am kena balik Kuala Lumpur dulu, mak! Ada beberapa masalah kecemasan yang Am perlu selesaikan. Buat sementara ni, Fiah Am tinggalkan dulu!”
Dup! jantungku hampir putus dari tangkainya mendengarkan ayat yang jelas terluah dari mulut Am. Memang aku akan ditinggalkan buat selamanya jadi untuk apa rasa resah ini andai aku tahu semuanya sebelum kami diangkat menjadi suami isteri lagi?
“Baiklah, Am! Mak jaga amanah Am ni!” balas emak lantas memaut bahuku mesra. Andai emak tahu yang anaknya ini akan menjadi janda muda.
Am tunduk menyalami tangan emak dan kemudiannya beralih kepada Kak Anah dan suaminya hingga akhirnya balik semula padaku. Bagasi itu ku serahkan padanya. Anak matanya ku renung penuh kasih bersulam dengan senyuman.
“Abang tinggalkan Fiah dulu ya! Nanti sehari dua, lepas selesai abang balik sini jemput Fiah.”
Aku menyoroti anak matanya. Mencari sisa cinta buatku andai masih berbaki. Sesekali hatiku tidak pernah putus berharap agar Am berubah dan inginkan aku terus bersama di sisinya tapi segala itu hanyalah impian yang tidak berkesudahan. Anak mataku serasa suam sudah. Berkali-kali aku memungkiri janji pada diri.
Saat itu aku merasakan emak dan Kak Anah serta suaminya mula menjauh daripada kami. Barangkali mereka mahu memberi peluang padaku untuk mengucapkan selamat tinggal buat suamiku yang tercinta.
“Saya benar-benar merelakan perpisahan kita! Dan saya harap, awak melangkah tanpa menoleh lagi!” ujarku perlahan. Cukuplah sekadar Am yang mendengarnya.
Pandangan tajam Am jatuh lagi pada wajahku. Dia menarik tanganku dan aku lantas tunduk mencium jemari suam itu buat kali terakhir dengan tembok kesedihan yang makin dihentak airmata.
“Dan aku tak pernah mengharapkan kehadiran kau dalam hidup aku, Wafiah!” balasnya selepas aku mengangkat wajah.
Nafasku hela sedalam mungkin dan menghembusnya perlahan-lahan. Melarikan padanganku kepada emak dan kakakku. Setitis demi setitis airmataku jatuh menodai pipiku. Begini akhirnya kisah hidup Fiah mak! Rintih hatiku sayu.
Am langsung masuk ke perut keretanya. Tanpa berpaling dan tanpa lambaian akhir, dia terus memecut laju meninggalkanku bersama seribu satu kelukaan yang aku pasti tiada siapa yang mampu mengubatinya. Hanya bersandar kepada kasih sayang Yang Esa untuk terus melangkah.

~~~>bersambung


7 comments:

  1. "It's okay, Fiah. Just move on and live. Jgn tunjukkan lemah dan menyerah Fiah. be someone that he never think of you could be...

    When the time comes, baru Am tahu mana adil mana batil. Until that time, bertahanlah."

    Alahai....pembaca lak yg emo terlebih.. :)

    Keep it up, Rehan. More and more..

    ReplyDelete
  2. kesedihan melilit hati akak bila membaca citer ini..beginikah nasib wanita..bila dijatuhkan hukuman mandat gantung tak bertali oleh seorg suami yg bergelar CEO syarikat tapi sungguh cetek pemikirannya..tanpa menyiasat apa sebenarnya yg berlaku ..
    adakah wafiah dan mamat poyo tu telah melalui malam pertama mereka..sebagai mana yg dijanjikan oleh wafiah untuk menyelamatkan keluarganya..?
    Adik adakah wafiah akan letak jawatan dan menghilangkan dirinya..
    alahai..dik..terujanya nak tahu..minta minta ada E3 baru utk kami..agar kami tahu hala tuju hidup wafiah..

    ReplyDelete
  3. citer ni mmg best..byk bende kite perlu blajo..btl ler firman Allah "apb dtg kpd kamu seseorng kpd kamu hendaklah kamu menyiasatnya terlbh dahulu"....skdr renungan bersama....

    ReplyDelete
  4. Citer adalah contoh krgnya komunikasi ant suami/isteri. Sbg wanita, fiah sepatutnya berterus terang dgn gangguan drp fazlee...dan juga blh buat laporan sex harrasment pd wanita...jgn biarkan Fazlee ambil kesempatan. Mungkin waktu fazlee ganggu Fiah, Am @ Fatehah dgr & lihat. Waktu tu Am tanya apa yg d sembunyikan Fiah, tp Fiah masih nafikan tiada apa yg berlaku. Mungkin waktu Fiah kata dia pilih Am sbb harta, mereka dgr dan itu menyebabkan Am & Fatehah bersangka buruk pd Fiah....Am juga sepatutnya menyiasat apa sbnarnya yg berlaku jgn terus percaya dan jatuhkan hukum pd Fiah. Apakah mereka akan tggal berasingan nanti, apa pulak pandangan kelauarga Am nnt pd mereka...adakah mereka akan berlakon juga depan keluarga Am...tak sabar nak tggu...bab seterusnya. Harap kedua2nya dpt berfikir secara rasional....wah pjg pulak ulasan akak ni....hehehe

    ReplyDelete
  5. menyampah betul dengan si fazlee tu!!

    ReplyDelete
  6. kejamnya..huhuhuhu. sy bc kat p2u td, so sambung sini plk. best la cter ni.

    ReplyDelete
  7. rehan...awak berjaya meruntun hati readers

    ReplyDelete