Monday, January 02, 2012

Bila Nak Saksi? [7]

[7]

TENGAH hari itu, setelah tamat latihan aku dan Usop sama-sama menghantar anak-anak yatim itu semua ke asrama yang ada di belakang bangunan Persatuan Hokkien tu je. Masa bersalaman dengan setiap orang, seperti biasa hatiku tetap dijengah sayu apatah lagi wajah bersih mereka itu tersenyum setiap masa. Tanpa kerut. Yang ada hanyalah senyuman semata-mata.

”Jumpa minggu depan ya, Kak Jelita,” ucap Wahyudah dan diikuti oleh yang lain.
Aku senyum. ”InsyaAllah. Minggu depan kita berlatih lagi gigih, ya?” Aku kenyit mata dan mereka mengangguk.

”Kakak jalan dulu. Assalamualaikum,” ucapku lagi lalu aku rapatkan pagar besi itu dan Usop terus menguncinya.
Sisi wajah Usop aku pandang lama. Aku benar-benar ingin tahu, apakah kaitanmu dengan rumah ini, Usop. Hatiku berbisik sendiri.

Usop angkat berpaling dan mengerutkan wajahnya padaku. ”Awak ada cakap apa-apa ke tadi?”

”Errr... cakap apa?”

Aku mengucap di dalam hati. Bahaya dengan Usop ni. Suara hati aku pun dia boleh rasa ke? Ada deria keenam agaknya Usop ni?

”Oh, saya macam dengar awak ada tanya saya sesuatu. Kalau tak adalah, tak apalah. Kalau ada, saya tak dengar. Nak minta awak ulang. Itu je,” sela dia tenang.

Dia tegakkan badannya dan terus melangkah setelah memeriksa pagar itu benar-benar telah selamat dimangga.

”Eh, kejap,” laungku sedikit kuat. Usop kalih.

”Kenapa? Cepatlah. Kan awak kena jalani hukuman sebab lambat tadi?” balas dia pula.

Langkah kaki ini maju ke arahnya. Bila sampai tepat di hadapan Usop aku luruskan jari telunjukku ke arah pagar yang dia kunci tadi.

”Awak kunci pagar tu, lepas tu awak bawa anak kunci. Kalau jadi apa-apa, macam mana budak-budak tu nak keluar nanti?” Aku melahirkan rasa tidak puas hati.

Usop ketawa kecil. ”Jelita... Jelita... awak ingat saya ni kurang cerdik sangat ke nak kunci budak-budak tu dalam rumah tu. Kan ada penjaga kat dalam tu. Asrama lelaki ada dua orang, asrama perempuan ada dua orang. Dah tentu-tentulah mereka pun ada anak kunci ni!” Usop menggeleng pula.

Dia lantas melangkah dan aku terus membontoti dia. Betul jugak tu, ya? Tiba-tiba aku pula jadi pendek akal sejak bersama lelaki ini namun ada persoalan yang bermain di benakku. Kenapa terlalu istimewa dia pada rumah anak-anak yatim ini hinggakan mereka terlalu percayakan dia?

”Usop...,” seruku lembut tatkala kami seiringan berjalan menuju ke Kuantan Parade.

”Ada soalan ke?” Dia jungkit kening dan aku mengangguk.

”Boleh tanya ke ni?”

”Kalau saya kata tak boleh, awak tak akan tanya ke?” sinis dia. Aku telan liur. Asyik terkena je.

”Tak boleh tak tanya dan awak pun tak boleh tak jawab sebab saya memang nak tahu sebab tu saya tanya. Kalau saya tak nak tahu, saya tak akan tanya dan saya tak perlukan jawapan awak!” Tanpa sedar suaraku sudah agak meninggi.

Usop menggariskan senyuman. Wajah selekeh itu tetap tenang. ”Kalau nak tanya, silalah tanya. Tak payahlah nak berikan penerangan panjang-panjang macam tu. Apalah awak ni, Jelita!”

Erk, aku tertelan liur sendiri. Tak sedar diri dah merapu. Nak tak nak, aku senyum sambil menyelak rambutku ke belakang. Sejak Usop mengambil getah rambutku semalam, rasanya aku dah tak ikat rambutku ini. Tadi, masa berlatih pun aku biarkan saja.

”Okey saya nak tanya ni dan sebelum awak tanya, awak tak boleh tak jawab. Tak ada option lain. Awak kena jawab!” tegasku dan dia jungkit kening dan mencebirkan bibirnya.

”Awak siapa pada budak-budak tu, ya? Apa kaitan awak dengan mereka? Apa istimewanya awak sampaikan awak boleh pegang kunci rumah anak-anak yatim tu?” tanyaku penuh perasaan.

”Kan saya dah cakap, awak ada tiga bulan bersama kami. Dalam masa tu awak boleh cari jawapannya. Tanya Wahyudah ke atau budak-budak lain yang awak rasa boleh bercerita dengan awak,” jawab dia mengelak.

Tanpa sengaja, aku hempuk belakangnya dengan beg galasku. Menyeringai wajah dia bila beg galas yang berisi botol air itu singgah di belakangnya. Padan muka. Puas hati aku.

”Itu bukan jawapan pada soalan saya, okey!”

Dia menggosok tubuhnya. ”Sakitlah, Lit. Awak hentak saya macam tu.”

Aku terdiam. Langkah kaki pegun bila pertama kali mendengarkan Usop memanggilku dengan nama pendek itu. Rasa indah lain macam. Andai selama ni, semua yang menyebutnya rasa biasa saja tapi tatkala suku kata itu terbit dari celah bibir Usop rasa lain macam pula.

”Kenapa berhenti?” tanya dia. Aku telan liur membiarkan soalan Usop itu tanpa jawapan lalu aku mengatur langkah yang sudah mula pincang.

Dia ketawa. ”Suka ke saya panggil awak Lit?” tanya dia bila dia juga sudah menyaingiku.

”Tak ada maknanya nak suka. Meluat lagi ada!” Aku berdalih.

”Okeylah. Kalau meluat, saya tak panggil lagi,” akuinya beralah dan aku terus mengutuk diri.

Dah suka, mengaku jelah suka. Kenapa nak mencari dalih? Kan Usop dah merajuk. Rasanya nak pujuk dia suruh panggil aku Lit tak mungkin itu semua. Sudahnya aku mengeluh sendiri.

”Pasal soalan awak tadi tu, awak nak tahu sangat ke? Saya ada option lain tak?” Dia kembali pada tajuk asal perbualan kami tadi.

”Eh, saya nak tahulah jawapan awak tu sebab tu saya tanya,” jawabku sedikit gelabah. Itulah, sibuk melayan hati yang lara sebab kelantangan mulut sendiri berbicara.

”Dan awak tiada pilihan lain. Nak tak nak, kena jawab. Cumanya awak boleh kelentong saya atau tidak. Itu je.”

”Nak menipu buat apa? Buat tambah dosa?” Usop bertanya penuh sindiran. Aku tersenyum kelat. Padahal niat nak kenakan dia, alih-alih dia kenakan aku balik.

”Kan awak pernah tanya, siapa saya dan siapa keluarga saya?” tanya dia padaku dan aku angguk.

”Saya pernah jawab juga semalam yang budak-budak itulah keluarga saya. Mereka segalanya pada saya, kan?”
Aku angguk lagi.

”Tak kanlah awak tak boleh nak nilai jawapan saya tu sedangkan awak seorang yang terpelajar. Atau sebab awak berada di tengah-tengah keluarga yang bahagia jadi awak kabur nak nilai siapa saya pada budak-budak tu?”

Aku telan liur. Aku tidak tahu dari mana dia tahu aku hidup bahagia selama ini dengan mama, abah, abang dan kakak ipar yang terlalu menyayangiku? Atau dia sekadar meneka melihatkan perwatakanku yang jelas manja biarpun sikapku kasar dan perengus?

”Mana awak tahu saya hidup dalam keluarga macam tu?” tanyaku.

Usop senyum. ”Ini dah jadi soalan lain pulak ni. Awak nak saya jawab soalan yang mula-mula tadi ke atau soalan ni pulak?”

”Err, okey... okey. Soalan ni nanti awak jawab. Saya nak tahu soalan pertama saya tadi.”

”Seperti yang saya tanya awak tadi, awak masih tak mampu nak nilai ke siapa saya pada budak-budak tu?” Usop mengulangi soalan yang sama dan bila aku menggeleng dia mengeluh kecil.

”Jelita, dalam pada awak hidup bahagia tu mungkin tak sedar yang ramai insan kurang bernasib baik di luar sana. Sebab apa? Sebab Allah dah tetapkan percaturan hidup orang macam kami ni, memang di duga begini. Kalau awak nak tahu, asrama itulah tempat tinggal saya sejak dari umur saya dua tahun mengikut cerita arwah mak yang menjaga kami masa tu. Arwah dah meninggal masa saya berumur 19 tahun dan masa tu saya mula bawa jalan hidup sendiri. Saya lakukan pelbagai pekerjaan demi sesuap nasi dan demi menyempurnakan kehidupan adik-adik yang langsung tiada pertalian darah dengan saya,” ujar Usop.

Mataku sedikit membulat mendengarkan kenyataan yang baru saja dia utarakan. Rasa pilih menerjah hati. Benar katanya, aku terlalu bahagia tanpa sedar insan lain terduga. Terlalu leka tanpa sedar Tuhan masih belum mendugaku. Masih belum beriman jika seseorang hamba itu belum diduga. Itulah janji Allah pada hamba-Nya yang beriman.

”Sampai sekarang, saya adalah abang sulung mereka biarpun saya tak lagi tinggal di asrama tu. Tapi, kepercayaan mereka pada saya sama dengan kepercayaan pada awak, Jelita!” tekan dia pada hujung katanya.

Aku mengerutkan wajah. ”Kepercayaan awak pada saya?”

Dia angguk. ”Kepercayaan saya pada awak yang mana awak mampu layani dan sayangi budak-budak yang dahagakan dengan kasih sayang tu sepenuh dan seikhlas hati awak,” jawab Usop lalu dia terus melintas jalan raya yang sudah agak lengang.

Aku pula masih terpaku di situ melihat ke arah susuk tubuh Usop yang berada di seberang jalan sana. Melambai-lambai ke arahku agar aku melintas namun benar, aku pegun. Kaku, kelu dengan apa yang telah dia katakan. Kala ini, terasa betapa kerdilnya diri ini dengan kehidupan yang Usop lalui.

Padanlah dia melalukan pelbagai pekerjaan di sana sini. Betapa payah rezekinya namun terlalu tabah dia dan budak-budak itu melewati kehidupan ini sejak sekian lama dan aku tanpa sedar, pandanganku pada Usop kabur. Tubir mata sarat dengan air jernih hingga tidak sedar, bilakah airmata ini mengalir tanpa kemahuanku.

”Jelita... awak okey ke?”

Pertanyaan Usop membuatkan aku tersedar. Tidak tahu bila dia kembali melintas ke arahku.
Pantas aku sapu airmataku yang masih setia merintik. Malu bila Usop perhatikan aku begitu. Wajah itu beriak risau. Anak matanya menggambarkan kebimbangan yang jelas.

”Awak kenapa?”

”Err, tak ada apalah. Kuat angin bertiup ni ha, sampai habis habuk masuk mata saya,” dalihku.

”Emm, payah betullah bawa puteri Jelita ni berjalan-jalan. Dah biasa ada yang memayungi, terpaksa jalan di bawah terik mentari dengan saya. Dah biasa ada yang menjaga tanpa sebarang habuk pun terlekat di kulit putih ni, terpaksa menerima asap hitam kenderaan bila bersama saya. Maaflah, Jelita. Kalau awak rasa susah. Rasanya awak baliklah. Tak payah terima hukuman ni. saya saja je nak minta pendapat awak. Bukan paksaan pun,” ucap Usop.

Entah mengapa, kali ini aku sedikit berkecil hati dengan dia. Tadi beria-ia mahu menghukumku. Meminta aku menemani dia membeli beberapa barang khas untuk dijadikan hadiah buat budak-budak itu tapi kini, bagai menghalau pula.

”Awak nak kata saya ni anak manjalah, ya? Tak biasa susah macam awak, macam tu?” Suaraku sudah meninggi. Dada juga mula terasa sebak.

”Saya tak cakap apa pun,” jawab dia.

Mata ini terus tajam menikam wajahnya. Ada je lagi banjir bandar Kuantan ni kalau aku terus menangis kat sini.

”Saya tak maksudkan apa-apa pun. Atau awak dah rasa terharu dengan cerita saya tadi? Kata nak tahu, dah orang cakap kebenaran dia buat drama airmata pulak.” Usop terus mengejekku. Geramnya!!

”Saya nangis kat sini karang.” Aku mengugut. Dia ketawa.

”Saya tak pujuk,” selanya. Perlahan-lahan airmataku mengalir lagi.
Kecil hati betul dengan dia ni. menyesal tadi rasa terharu pada dia sedangkan dia tak layak untuk menerima rasa terharu pun. Suka kenakan aku. Orang nak buat drama airmata pun dia boleh cakap tak nak pujuk.

”Saya tak fahamlah, macam mana keluarga awak boleh tahan dengan kerenah awak ni, Jelita? Awak memang macam ni ke? Pantang orang usik sikit nak merajuk, nak merengus eh?” Dia usap janggut dan jambangnya yang sudah tumbuh meliar.
Angin betul aku dengar. Cara dia cakap tu macam dia kenal seluruh ahli keluarga aku. Biasanya aku merajuk dengan Abang Jeff je. Dengan orang lain aku tak pernah merajuk. Mengusik lagi ada.

”Awak tak kenal keluarga saya jangan cakap saya macam tu, ya?”

”Mata saya ni memandang bukan sekadar melihat dan kala memandang tu bukan dengan pandangan kosong semata-mata tapi menilai. Dari cara awak saya tahulah awak ni anak manja. Kekasaran awak tu tak membuktikan yang awak tu bukan anak manja la, Jelita. Tapi, ini pendapat je. Awak boleh bantah kalau awak nak.” Dia ketawa lagi.

Aku ketap bibir sekuat hati. Rasa nak retak bibirku kala ini. ”Kalau macam ni biar saya balik. Padahal saya ikhlas tadi nak temankan awak tapi awak buli saya. Saya tak nak dah mengajar budak-budak tu,” ujarku tanpa niat pun sebenarnya.

Selama ini sudah jatuh sayang pada mereka semua apatah lagi setelah Usop memberitahu kebenaran, lagilah aku jatuh sayang pada mereka tapi pada Usop, oh tolong sikit. Jatuh juga, jatuh menyampah.

”Kalau awak berani buat macam tu, buatlah.” Gilirin dia pula mengugut.

”Ha, tahu pun takut. Lain kali jangan buli saya sampai saya nangis.”

”Oh, oh... pembetulan. Saya tak tahan awak sebab saya takut awak pergi, tapi saya takut sukar nak dapatkan pengganti yang sudi buat kerja amal tanpa bayaran ni.” Dia jungkit kening.

Eii, sabar jelah hati aku dengan Usop Sonto ni. balik-balik aku yang kena. Balik-balik aku telan usikan aku tu sendiri. Balik-balik semua terpantul pada aku semula. Usop ketawa kuat kali ini.

”Saya gurau jelah. Dahlah, jangan asyik nak gaduh je tepi jalan raya ni. nanti orang cakap apa pulak. Pasangan kekasih bergaduh. Buat malu je.” Dia kembali ke tepi jalan raya dan sudah bersedia hendak melangkah.

Aku lap wajahku dengan lengan baju. Pantas saja menapak bersama dia melintasi jalan raya. Buat malu je menangis di depan Usop. Jatuh pride aku. Haish!!

”Peraturan pertama bersama saya, jangan menangis,” bisik Usop dekat di cuping telingaku sewaktu kami sama-sama menapak ke dalam Parade.

Aku kelu. Siap ada peraturan. Tapi, aku angguk juga sebab aku mula sukakan persabahatan kami. Aku sayang budak-budak itu dan aku sayang....eh, tak. Aku tak ada apa-apa perasaan pada dia. Hanya teman semata-mata. Titik!!

Kami terus melangkah memasuki sebuah kedai. Tidak puas hati dengan barang-barang di situ, kamu beralih pula pada kedai yang lain. Hingga akhirnya, Usop berhenti juga si sebuah kedai dan terus dia memilih barang-barang yang di inginkan.

”Yang macam ni okey tak, Lit?” tanya dia.

Emm, lega bila dengar dia dah kembali memanggil aku Lit. Lenguh pada kaki juga langsung hilang. Aku terus mendekat pada dia. Menilik sebuah buku yang ada di tangannya. Pelik kan, dalam banyak-banyak kedai, dia memilih hendak singgah di kedai buku. Aku apa lagi, sukalah sangat.

”Tajuk ni macam tak sesuai je dengan dia,” komenku tenang. Usop jungkit bahu..

”Kalau macam tu, yang mana okey? Awak pilih sebagai memenuhi denda sebab lambat hari ni. setengah jam je masa awak ada untuk pilih beberapa buah buku,” beritahu dia.

”Eh, kenapa setengah jam pulak. Tak sempat nanti.”

Dia senyum. ”Awak curi masa dengan kami tadi setengah jam je, jadi saya tuntut balik setengah jam juga. Atau awak nak saya tuntut masa awak untuk seumur hidup awak, nak?”

Aku membulatkan mata. Geram mendengarkan gurauan begitu. Suka sangat main tarik-tarik perasaan dengan aku.

”Awak nak suruh saya jadi orang gaji awak ke seumur hidup tu?” tekanku sinis.

”Mana ada.” Dia menggeleng. ”Jadi suri rumah sepenuh masa saya, nak?”
Erk. Sekali lagi aku tersedak air liur sendiri dan Usop ketawa melihatkan aku. Dia ni, memang nak kena.

”Saya gurau jelah. Tak kan awak nak dekat anak yatim yang tak ada kerjaya macam saya ni,” ujar dia merendah diri.

Aku mencebik. ”Tapi, awak ada budi yang baik, kan?” tanyaku di luar sedar aku sedang memujinya. Bagaikan menawarkan diri sendiri menjadi milik Usop.

Dia tersenyum manis. Lebih manis dari sebelum ni. ”Offer diri ke?”

Aku menggeleng pantas. ”Orang cakap jelah!”

Usop ketawa lagi. ”Jangan risau. Belum sampai masanya,” ujar dia berkias.

Satu perkara tentang Usop sudah aku tahu dan rasanya tak lama lagi aku akan singkap segalanya tentang dia. Sedikit demi sedikit.

”Tapi, bila tiba masanya tapi awak tetap menolak, masa tu kita bawa haluan masing-masing,” tegas Usop dengan wajah serius tiba-tiba.

Aku telan liur. Dia ni, macam-macam. Gerun je kadang-kadang tu. Aku terus membelek buku-buku yang ada satu persatu. Mencari tajuk dan isi kandungan yang sesuai untuk budak-budak itu sebagai bahan bacaan di masa lapang.

Tapi, banyak pulak duit Si Usop ni nak buat semua ni. Emm, mungkin ada saluran daripada mana-mana Jabatan Kebajikan. Pasti!

Baru saja aku pilih buku yang pertama, telefon bimbitku berdering. Pantas aku seluk poket jeans dan ternyata nombor rumah yang terpapar pada skrin.

”Ya, ma...,” jawabku.

”Lit kat mana lagi ni? latihan dah tamat belum?” tanya mama risau.

”Err, Lit dekat Parade dengan Usop. Beli barang untuk budak-budak tu sikit,” ujarku berterus terang.

Aku perasaan yang Usop menjeling ke arahku dengan ekor matanya. Tapi tidak lama selepas tu cepat-cepat dia kembali pada rak buku. Berlakon la tu! Ejek hatiku pada dia. Tapi bibirku terus menguntum senyum.

”Kenapa tak telefon mama?”

Aku tepuk dahi. Rasa bersalah la pulak. Terlupa nak menelefon mama terlebih dahulu. Terlalu teruja hendak membantu Usop hingga terlupakan mama yang sedang menantiku di rumah.

”Er, maaf, ma. Lit terlupalah. Tapi, sikit je ni. kejap lagi Lit nak balik dah ni. nanti Lit balik sendiri, ya?” pujukku pada mama.

”Tak payah. Mama dah suruh Abang Jeff jemput Lit alang-alang dia nak ke bandar jemput Kak Shima dari kolej,” beritahu mama pantas.

Aku mengeluh tipis. Baru nak suruh Usop teman naik bas dah abang pulak nak jemput. Kalau orang suruh datang jemput, beralasan.

”Baiklah,” jawabku lemah lalu talian dimatikan.

”Err, masa setengah jam awak tu dah tamat dah lima minit tadi,” ujarnya.

Aku kerutkan wajah. ”Bila awak kira?”

”Sejak kita berjalan ke mari tadi,” jawab dia. Dia ni, jujur sangat orangnya sampai itu pun dia nak berkira.

”Emm, tak apa. Saya sedekahkan lebih sikit pada awak. Lagipun, abang saya datang jemput. Dia lambat lagi sampai jadi, eloklah saya teman awak beli buku ni dulu,” jawabku lalu aku terus mengambil beberapa buah buku dan aku letakkan di atas tangan Usop.

”Abang yang hari tu ke?” tanya dia dengan wajah kelat. Aku angguk. Itulah satu-satunya abang yang aku ada. Mana ada lagi.

”Awak kata bakal suami awak yang dah ada isteri tu, ya?” tebak dia lagi. Aku ketawa besar tapi lama-lama kendur bila Usop meletakkan jari dibibirnya.

”Itu memang abang saya tak bukan suami saya. Dia memang dah kahwin pun tapi dia memang abang kandung saya,” beritahuku jujur. Malas dah nak berdalih. Bukan dapat apa pun.

”Oh, awak tipu saya lah, ya?” tanya dia lagi. Aku menggeleng.

”Tak tipu, gurau je. Tapi, dia memang abang saya. Awak intai ya kami hari tu?”

Dia garu kepalanya lalu tersengih dan mengangguk. ”Risau juga nak biarkan awak balik hati tu tapi dah masuk kereta pun, saya nak kejar tak ada guna,” akui dia.

Eleh, cepat je hilang rupanya menyorok di balik dinding memerhatikan aku. Kata tak risau, tapi bimbang. Kata malas nak teman, tapi sanggup tungguh. Usop... Usop...

”Saya dah biasa jaga ramai adik-adik, jadi setakat tambah lagi sorang saya kena tengokkan, tak ada jejas kat mana pun,” bantah dia cepat-cepat. Malu la tu sebab aku tengok dia dah serba tak kena.

Padan muka. Pertama kali melihat dia begini, aku rasa nak berguling-guling je. Setiap kali asyik dia kenakan aku. Kali ini, bila dia terkena pandai pulak dia malu.

”Eh, saya tak cakap apa pun,” selaku mengembalikan paku buah keras. Usop sengih dan terus melangkah ke kaunter bayaran.

”Jomlah. Nanti abang awak sampai payah pulak! Dahlah abang awak tu garang!”

Aku ketawa di dalam hati. Pandai mengelak ya. Eh kejap, mana dia tahu abang aku tu garang. Tapi rasanya garang dia bertempat.

”Mana awak tahu dia garang?”

”Eh, saya cakap dia garang ke?” tanya dia pula dengan wajah serius. Aku angguk.

”Kalau saya jadi abang, saya garang. Saya pun agak jelah yang abang awak tu garang!” ujarnya lalu dia terus membuat pembayaran.

Kami sama-sama menapak keluar daripada Kuantan Parade. Panas pula rasanya. Jalan pula kemain sibuknya memandangkan hari ni adalah hari Ahad. Semua orang berpusu-pusu keluar. Kereta punyalah laju.

”Lit, jomlah kita jalan ikut Teruntum. Banyak sangatlah kereta hari ni. Ikut sana tak lah banyak kereta,” ajak dia.

Aku menggeleng pantas. ”Malaslah lalu Teruntum. Ramai orang kat sana.”

”Ramai orang tak apa. Kalau kena langgar tak ada apa hal. Kat jalan besar ni banyak kereta, kalau kena langgar, nu haa, dekat HTAA la kita. Kalau hidup lagi tak apa, kalau tak ada nafas dah. Bangkit-bangkit je, gelap je. Ada je datang menyoal nanti,” sinis dia.
Tapi, aku tetap tidak mahu melalui Kompleks Teruntum. Bukan apa, benci bila diusik oleh mamat-mamat kali lepak tu. Dulu, mereka yang jadi kutu rayau kat situ, pernah tarik rambut aku padahal masa tu, Abang Jeff ada. Mujur tak bertumbuk. Sebab tu aku malas dah nak lalu sana. Macam serik dah.

”Emm, ikut suka awaklah,” ujarnya beralah.

Kakinya laju melangkah meninggalkanku yang terkial-kial membawa sebahagian buku yang dibeliknya. Berat juga lima buah buku ni. tadi, Usop tak bagi bawa aku beria-ia nak menolong. Akhirnya terkedek-kedek sendiri.

”Lit, jalan tu cuba hati-hati sikit. Ke tepi ke tengah. Jalan kaki pun tak boleh nak kontrol stereng sendiri ke?” tanya dia kuat.

Aku mencebik. ”Beratlah buku ni,” jawabku geram.

”Tadi, orang tak bagi bawak, awak nak bawak. Karang merungut!” bebelnya namun kakinya itu kembali melangkah ke arahku.

Baru sahaja aku nak galas buku itu di bahu, plastik terkoyak dan buku-buku itu bertaburan di tepi jalan raya yang sibuk ni.

”Ya Allah, habis jatuh buku ni,” marahku pada diri sendiri.

”Lit!!!!” laung Usop tiba-tiba.

Aku pandang dia yang sedang berlari ke arahku. Wajah itu kalut. Tak kanlah sebab buku jatuh secara tak sengaja ni nak marah. Aku bangkit bersama buku-buku di tangan.

”Jelita!!!” laung Usop lagi dan tanpa sedar, dia yang sudah dekat padaku, menarik dan melemparkan aku ke sisi jalan raya.

Bam!! Aku dengar sebuah kereta menekan brek kecemasan dan Usop?...
Airmataku mengalir laju.

~~> apa jadik dengan Usop..itulah Lit degil. orang ajak jalan lain, dia tetap nak lalu jalan sibuk..

19 comments:

  1. oh no!!
    usop kna langgar ka?
    keta tu sempat stop kn??
    suspennya...huhuhu

    ReplyDelete
  2. adui ! ap jdi ? kena lnggar kea ?

    ReplyDelete
  3. OMG!!! jgn la kena langgar...

    ReplyDelete
  4. huih, takmolah usop kena langgar..

    ReplyDelete
  5. rm.. tempat nie kat tabung haji baru yer? lama tak balik kuantan jadi konfius plak dewan hokkien nie kat mana. tapi bleh imagine laa jenjalan dari bus stand pokok buluh sampai kuantan parade. ikut lorong kecik blakang skolah cina. hehe. kompleks teruntum.. fuyooh semua tu kenangan.

    ReplyDelete
  6. hehe..mula2 nak ucap terima kasih pada semua..nantikan bab baru ek..sian ke usop..huhu..erk tetiba..hehe..

    ummi, bangunan persatuan hokkien ni betul2 depan msjid sultan ahmad shah..dekat dgn riverview hotel. dulu megaview..hhe..bus stand ni sebelum bus stand pokok buluh tu rasanya..hehe..rindu kuantan sgt2..huhu..

    ReplyDelete
  7. adoi..
    harap usop selamat..
    kenapa rasa cam kete abang jeff je yg nak langgar tu..
    hehe

    ReplyDelete
  8. Kmplek teruntum tempt cucuk duit masa zaman stdnt..mesti jalan dah berubah besar smpi keta bleh bw laju2 n langgar usop..harap usop slamat

    ReplyDelete
  9. Kecian usop..
    jelita da fall in love with usop..

    ReplyDelete
  10. sian Usop...tapi boleh kasi chance Lit lawat Usop selalu..

    Misha

    ReplyDelete
  11. suspen...... Ooooo Usop...

    ReplyDelete
  12. ishkkk....jgn la cmnie
    br nk feeling lit dgn usop..
    misterinya!!

    ReplyDelete
  13. tahu xpe. br nk feeling. ucop tuh sweet jeee. sesuai la dgn lit tuhh.

    ReplyDelete
  14. usop yg sgt misteri...
    tp hati tu dh dh penuh dgn cinta pd lit kan?
    adeh, lit2...
    kamu yg buat2 dtipu oleh hati sndri...
    menidakkan tanpa cuba utk selami...
    xpe, chaiyok2 usop...
    usop kn mmg nk lit bsedia dgn sendiri...

    ReplyDelete
  15. owh!Usop ni anak yatim ..
    tapi dia cam bnyk tau psl family lit jer.. :)
    mmg usop ni sgt misteri lah..
    xyakin usop selamat klu x
    abes la cerita ni kan..hihi(jgn mrh gurau jer)
    Best! Deabak!! Rehan..

    ReplyDelete