Wednesday, January 25, 2012

Bila Nak Saksi? [9]

[9]

SEDANG ralit aku mengadap skrin komputer riba Acer Aspire Dark depan aku ni, ada yang mencuit bahu dan bila aku berpaling, ternyata mama tersengih je menayang giginya yang cantik dan tersusun. Biarpun usia sudah agak lanjut, namun itu gigi asli. Dia memang menjaga diri. Hai, staffnurse pencen la katakan.

“Lit buat apa? Tengah-tengah malam ni tak tidur lagi?” tanya mama seraya duduk di birai katil dekat dengan meja belajarku.

Mata ini menjeling kea rah jam di sisi meja. Emm, memang dah lewat malam. Dah melepasi angka dua belas. Biasa waktu ni, aku dah berbungkus dalam gebar tapi malam ni, ada projek lain sikit.

“Tengok jawatan kosong.”

Mama mengerutkan dahi. “Eh, kenapa tiba-tiba nak kerja pulak? Kan Lit tak habis lagi kontrak mengajar karate anak-anak yatim tu?” tanya mama.

Aku herotkan bibir. Malas sebenarnya nak bagi tahu mama pasal aku bergaduh teruk dengan Usop ni. Nanti tak pasal-pasal mama lagi banyak soalan. Dia bukan boleh kira. Tak nak jawapan berbentuk aneka pilihan. Nak semuanya jawapan esei. Jenuh aku nak mengarang nanti. Lepas tu tak nak yang bertulis nak secara lisan.

“Jelita binti JOhari.” Mama dah menyeru nama penuhku.

“Mama tanya ni. Kenapa?”

Aku tongkat kepala sebelah kiri lalu membawa mata aku ni memandang mama di sebelah kanan.

“Tak apalah. Lit mengajar pun sampai tiga bulan je,” ujarku.

Aduhai, ye ke tiga bulan? Bukan ke aku dah tak nak pergi mengajar lagi gara-gara aku bergaduh dengan Usop beberapa hari sudah? Macam mana ni ya? Hati nak pergi, tapi kaki ni terpaku pulak tak nak melangkah.

“Lagipun, kelas karate tu weekend je, kan? Weekdays Lit kerja, weekend mengajar karate. Tak ada masalah pun,” sambungku.

Huh, aku hela nafas lega sikit sebab tiba-tiba dah dah jumpa jawapan. Nasib baik sempat lipat. Kalau tidak, memang aku yang terlipat.

Mama mengangguk beberapa kali. “Tapi, tak penat ke? Tak ada rehat la nanti.”
Aku menggeleng.

“Abah cakap kerja kan semuanya penat. Lit okey je. Boleh tak ni Lit mohon kerja ni? Nak klik send dah ni.” Aku sengaja mengusik mama.

“Hantar jelah kalau itu yang Lit nak. Mama tak kisah sangat tapi kalau boleh…”
Hai mama ni. Tadi tak kisah. Aku baru nak tekan send ni. Nasib baik sempat brake jari aku ni dari terus menekan tetikus.

“Kalau boleh apa?” soalku sedikit menggesa.

“Kalau boleh mama nak Lit kerja satu bumbung dengan Abang Jeff. Tak adalah mama risau.” Akhirnya, mama luahkan juga yang dia masih risaukan aku.

“Mama… nak risau apa? Kan mama dah bagi kebebesan pada Lit. Lagipun, syarikat tu bukan Abang Jeff punya, kan? Tak ada apalah, ma. Lit kerja mana-mana pun sama je. Janji dapat duit. Tak ada pun, Lit sambung belajar, nak? Tapi, bukan kat Malaysia la. Luar Negara, boleh ke?”

Sengaja aku ugut mama nak mohon belajar kat luar Negara. Aku tahu dia memang tak bagi. Jadi, dia mesti bagi aku kerja kat mana-mana je.

“Eh, pandai ek nak ugut mama. Kalau sambung belajar, dalam Malaysia ya. Luar Malaysia, no no no…” Mama menggoyangkan jari telunjuknya di depan aku.

“Haa, dah tahu tak bagi, Lit nak kerja. Belajar tu lain kali sambung. Kerja dulu sikit cari pengalaman.”
Aku akhirnya tekan send. Ha, dah lega. Makna kata, kalau aku dipanggil kerja secepat mungkin lagi baik. Boleh aku buat alasan pada Usop yang aku dah dapat kerja.

“Esok ni nak pergi mengajar, tak tidur lagi ke? Karang lewat macam minggu lepas pulak.”

Gulp… Aku telan liur bila mama bertanya demikian. Ni tak lain tak bukan la ni, mesti nak ingatkan aku supaya ajak Usop datang rumah sedangkan aku dah lancar perang dengan Usop. Memang tak akan pergi dah ke sana biarpun rasa rindu pada anak-anak itu menggunung tinggi.

“Err, kejap lagi Lit tidur.”

Mama mencebik sikit. “Bangkit lambat nanti, padan muka.”

Dia bangkit dan terus berlalu ke pintu selepas mengucup pipiku sekali. Huh, lega. Mama dah lupa permintaannya beberapa hari lepas dan akulah yang paling suka. Tak perlu nak tunaikan permintaan pelik mama tu.

Tapi, silap percaturan la pulak bila mama terhenti di muka pintu. Dia melihat ke arahku dan aku tersenyum sumbing. Dah boleh agak dia nak cakap apa.

“Jangan lupa apa yang mama pesan tu, ya sayang.” Dia jungkit kening dan segera berlalu.

“Tak tidur lagi ke Lit?”

Aku dengar suara abah bertanya pada mama sebelum mama merapatkan daun pintu. Aduh, entah apalah yang mama akan cakap pada abah ni.

Aku mengeluh berat. Skrin komputer riba, aku pandang lagi. Rasa kosonglah pulak. Facebook? Entah, tak ramai kawan pun. Jadi, aku pergi menyemak emel yang baru saja aku dapat.

Bila aku klik, ternyata nama mamat senget tu ada. Usop Sontorian? Eh, dia ni agaknya baru daftar emel agaknya. Tapi, kenapa nama ni?

“Eh, betul ke Usop ni? Kalau betul, dia anak apa emel aku ni?” tanyaku pada diri sendiri sedang aku menanti emel dia dibuka.

Mataku bulat memerhatikan tulisan pada skrin. Memang dia. Ternyata dia dan bukan orang lain. Aku yakin dan pasti. Tiba-tiba, aku ketawa lepas. Lucu la Usop.

Jelita, minta maaf dah panggil awak jengkaut. Saya risau awak kena langgar, sebab tu saya marah. Saya bimbang awak dicuit orang, sebab tu saya tengking. Saya nak kita sama-sama berjalan ke syurga, sebab tu saya nak awak jaga apa yang sepatutnya awak jaga. Tapi, kalau tak boleh sekarang, esok-esok harap awak terbuka hati. Esok tolong datang, ya. Budak-budak rindu….

Usop Sontorian awak.


Habis saja aku baca emel daripada Usop, aku terus melompat ke atas katil dan gelak tergolek-golek. Gila dia ni. Bunga selekeh, ayat ganas tapi dalam hati ada taman orkid mama. Paling tak tahan, Usop Sontorian Awak? Awak maknanya aku?

Wa, tiba-tiba semangat nak pergi mengajar semula. Bila dia merayu macam ni, aku tak adalah jatuh air muka. Aku nak tengok, sejauh mana romantiknya dia esok hati ni. Aku takut malam-malam je dia lembut hati tambah-tambah pula bulan mengambang ni. Tengok-tengok esok, dia bertukar wajah lagi dan aku, perlu berwaspada mental dan hati.

***

SEPERTI biasa, masa aku tiba di tempat latihan Usop tiada. Dia suka macam tu. Hilang pada mulanya dan muncul dengan tiba-tiba. Lama-lama aku yang kojol bukan dia. Kalau aku dah nikah dengan dia waktu tu, rasanya betul dia yang menduda sebab aku mati terkejut.

“Kakak, terima kasih pilihkan buku-buku untuk kami.”

Aku beralih ke kiri. Membawa wajahku menghadap wajah Wahyudah dan beberapa kanak-kanak yang lain. Pandangan daripada mata yang penuh sudi itu aku renung jauh-jauh ke dalam bersulam sekuntum senyuman yang ku kira, mampu meresap ke dalam jiwa dia. Kat Usop pun aku tak pernah nak senyum macam ni. Bukan tak nak, tapi tak sempat. Asyik kena marah je. Mood senyum pun hilang.

“Sama-sama…,” jawabku.

“Suka tak? Sesuai ke dengan Wahyudah dan kawan-kawan yang lain?”

Mereka mengangguk serentak menjawab pertanyaanku lantas mereka memeluk aku serentak. Mujur tak tergolek sebab imbangan badan aku hampir hilang bila masing-masing menerkam.

Rasanya, kalau aku buka taska atau pusat jagaan, boleh cari makan juga ni. Boleh tahan aku mampu melayan karenah anak-anak ini.

“Sayang kakak…” Suara mereka bergema.
Yang lelaki pula bertepuk tangan macam menonton drama. Aku hanya membalasnya dengan senyuman.

“Kakak pun sayang kamu semua,” balasku agak kuat.

“Ehem… ehem…”

Dah. Tak tak payah pusing aku dah tahu siapa yang berdehem tu. Tak lain tak bukan la tu, mesti dia. Dia tu siapa? Jangan tanya aku!

“Semua tu termasuk saya ke?”
Pelukan kanak-kanak ini terlerai dan mereka terus masuk ke dalam barisan bila Usop memberi isyarat.

“Err, tak la. Awak berkecuali,” selaku pantas.
Dia senyum.

“Sudi pulak awak datang lepas kena marah dengan saya minggu lepas kan?”

Dalam hati aku, rasa nak luku je dia ni. Agaknya dia lupa kot, dia yang hantar emel pada aku merayu minta aku hadirkan diri juga ke sini hari ini. Budak-budak rindu konon. Entah-entah dia yang rindu.

“Eh, awak yang suruh datang, kan? Awak yang merayu-rayu, kan?” tanyaku geram.

Dia buat muka tak bersalah. Atau lebih tepat lagi muka tak tahu apa. Dia ni, memang nak kena. Dia memang nak berlakon lagi dengan aku. Sengaja nak naikkan darah aku yang baru saya susut ni.

“Eh, ada ke saya emel macam tu? Tak ada kerja saya nak emel awak merayu-rayu datang sini. Entah-entah awak tu haa… tak sanggup nak berpisah dengan saya tak?” tebak dia pepandai dia je.

“Ni nampak!!” Aku angkat penumbuk.

Budak-budak semua dah bantai gelak tapi tak lama bila Usop meletakkan jari telunjuknya ke bibir mengisyaratkan agar mereka semua diam.

“Nampak… itu penumbuk. Tapi, tulang awak tak kasar mana. Kalau kena pun mesti macam kena gigi semut je,” ucap dia mengada.

“Eii, dia ni. Kalau macam tu saya baliklah. Dah memang bukan awak, hantu agaknya.”
Aku dah mula jalan menghentak kaki ke simen bila Usop menarik lengan baju aku ditarik oleh Usop. Mujur tak tertelentang ke belakang. Dia ni memang tau!

“Dah, tarik orang kenapa?” tanyaku marah.
Usop angkat kedua belah tangannya tanda beralah.

“Maaf. Memang saya hantar emel semalam. Budak-budak rindu,” ucap dia separuh berbisik.
Bagaikan tidak mahu tersapa oleh telinga kanak-kanak yang sedang memerhatikan kami.

“Ulang sekali lagi,” pintaku sengaja mengenakan dia.

Dah alang-alang dia minta maaf ni, aku nak dia ulang beberapa kali. Baru aku puas hati. Aku menggariskan senyuman. Senyuman penuh makna. Senyuman jahat senang cerita.

“Haa.. tengok senyum awak saya dah tahu awak nak kenakan saya, kan? Nak suruh saya minta maaf berkali-kali, kan?”

Aduhai, tepat dan padat Usop menelah apa yang bermain dalam hati dan fikiran aku. Tiba-tiba saja, aku terbawa telapak tanganku ke dada.

Cik Hati, adakah Usop singgah di dalam hinggakan dia tahu apa yang kita bicarakan? Tanyaku pada hati sendiri. Haishh, tak boleh jadi.

“Say sorry… once again,” pintaku sambil memeluk tubuh.

Dia menggeleng. “Sekali je dah cukup. Saya marah awak sekali je…”

Eleh mamat ni. Pandai la dia sekali. Sejak aku bersua dengan dia ni, sudah berkali-kali dia marah aku. Dia ni memang amnesia.

“Siapa cakap sekali? Minggu lepas je dua kali awak marah saya. Sekali pasal nak kena langgar tu, lepas tu sekali lagi masa budak-budak lelaki tu kacau.”

Usop menggoyangkan hari telunjuknya di depanku.

“Haa, kalau macam tu dah cukuplah dua kali saya minta maaf. Karang saya minta maaf kali ketiga karang, saya buat kerja jahat yang lain pulak,” dalih dia.

“Erk, bila masa awak minta maaf lagi sekali tu? Tak dengar pun.”
Aku sengaja tekup telinga aku.

“Ada lah. Cuba ingat balik emel semalam apa yang saya tulis pada awalnya. Bukan minta maaf ke?” sindir dia lalu dia berlalu mendekat ke arah budak-budak ni.

Sudahnya aku kalah lagi dalam perdebatan dengan Usop. Asyik kalah je. Bila nak menang? Hati aku ketawa jahat. Kepala dah tumbuh tanduk. Satu hati nanti. One fine day. Usop akan merayu pada aku.

“Hah, apa lagi tu. Cepat sikit mulakan. Saya nak habiskan awal hari ni,” laung dia lalu aku cepat-cepat menghala ke arah budak-budak perempuan tu. Mulakan latihan.

Tapi, dia nak ke mana lepas ni? Rasa nak je teman, tapi tak nak jadi pipi tersorong-sorong kalau orang tak pelawa. Sudahnya, aku terus mulakan latihan.

“Okey, semua. Angkat tangan ke atas. Kita warm-up dulu sebelum mulakan latihan,” laungku agak kuat.
Semua kanak-kanak mengikut saja arahanku. Latihan hari ini agak berat kerana tubuhku rasanya sudah mampu meregang. Sudah mempu menerima asakan setelah lama bercuti.

Lebih kurang setengah jam berlalu, aku lihat Usop dah duduk tercungap-cungap di tepi dewan. Lembik. Aku mencebik melihatkan dia termengah-mengah selepas beberapa kali membuat aksi.

“Lit, berhenti dulu. Dah lama… kesian budak-budak tu,” laung Usop ke arahku memaksa aku menghentikan latihan.
Orang tengah syok-syok dia, dia suruh berhenti pulak. Aku kembali menatap wajah-wajah comel di depanku ini dan ternyata benar seperti kata Usop. Masing-masing sedang menghela nafas lelah.

“Err, penat ya?” tanyaku menahan rasa bersalah.

“Penat kakak…” sahut mereka serentak.

“Maaf… maaf.. silap kakak. Syok sangat mengajar. Okey… okey… kita rehat dulu. Nanti sambung balik ya.”
Mereka mengangguk lemah dan mereka berlari mendapatkan beg galas masing-masing. Aku lihat mereka menyelongkar beg galas dan terus menarik botol air keluar. Huih, dasyat budak-budak ni.

Aku menggeleng kecil. Bibir ini tidak lekang dengan senyuman bila melihatkan wajah lesu tadi bertukar ceria. Baru je aku nak berpaling, dah budak Usop ni ada pulak di belakang aku.

“Eh, kenapa awak suka muncul kat belakang orang hah?” Aku mengurut dada. Semput aku dibuatnya. Elok-elok selama ni sihat je, kenal Usop ni boleh dapat penyakit.

Dia sengih dan menggaru kepalanya. Dah la rambut panjang. Dari tadi tergaru-garu. Ada kutu la tu.

“Eh, sya tak suka kejutkan orang. Saya suka kejutkan awak je.”

Heh, menjawab dia ni. “Dah tu, saya ni bukan orang ke?” sinisku lalu aku berundur setapak dan melangkah ke sisi dewan. Menghampiri beg galasku.

Aku tahu, Usop mengikut jejak langkahku dan bila aku duduk, dia pun duduk juga di sisi aku dan seperti biasa, agak jauh.

“Awak bukan orang…” ucap dia masa aku nak teguk air.
Hah, apa lagi. Tersedak aku mendengarkan kata-kata Usop kali ini.

“Haa, ni mesti awak nak kata saya jengkaut lagi, kan?” tebakku geram.
Tapi, Usop menggeleng.

“Awak bukan jengkaut. Tapi, awak bidadari yang sangat jelita. Boleh terima tak jawapan saya tu?” tanya dia mesra.

“Tak boleh!” AKu menggeleng keras dua kali.

Usop buat muka. “Eh, puji salah, tak puji salah,” keluhnya.

“Eleh, awak tu. Puji la sangat. Ni mesti nak minta tolong apa-apa ni, kan?” Aku cuba serkap jarang. Kot-kot la betul apa yang aku agak ni.

“Mana ada. Saya ikhlas. Semalam kan dah tulis dekat emel,” sela dia tenang lalu dia teguk airnya dengan mata yang terbelalak ke atas.

Mataku merenung Usop tapi minda ini ligat memanggil semula memori yang terpahat sewaktu aku membaca emel Usop padaku. Aku ingat. Ingat sangat. Tapi, err… apa maksud dia?

“Err, apa maksud awak?” Aku dah mula tergagap-gagap.

Usop ketawa lepas. “Dah ingat ke?”

Kepalaku jatuh sekali mengiyakan. Rasanya tocang kuda aku ni pun ikut sama beralun bila aku menggerakkan kepala.

“Itulah maksud saya. Atau awak nak saya huraikan lebih lanjut?” soal dia lagi.

Aku menggeleng tidak, mengangguk jauh la sekali. Dalam hati aku nak je tahu jawapan dia. Harap-harap Usop sudi menyatakan hakikat. Aku memang nak dengar sebab detak hati aku ni dah rasa lain macam. Agak sumbang alunan rentaknya kala ini dan aku mahu hati Usop bergabung denganku menjadi irama hati ini merdu.

“Nak tahu tak?” tanya dia sekali lagi.

“Err… ikutlah. Nak bagi tahu saya dengar. Tak nak saya pun tak kisah.”
Huh, cepat je aku jawab takut pula Usop perasan akan perubahan tingkahku kala ini. Naya je kena bahan nanti.

Dia tersengih menampakkan susunan giginya yang tersusun rapat dan putih bersih. Tu ha, baru perasaan, dia ada gigi taring sebatang di sebelah kiri mulutnya.

“Okey, saya bagi tahu.” Dia diam seketika. Air mineral itu dia teguk lagi.

“Budak-budak tu rindukan awak. Tiap-tiap hari dok tanya saya.” Dia juihkan bibirnya sedikit ke arah kanak-kanak yang sedang berehat itu.

“Tahu dah. Awak dah bagi tahu dalam emel semalam?” selaku malas lalu aku suakan muncung botol airku ke mulut. Meneguk air putih itu perlahan-lahan bagi menghilangkan dahaga.

“Tapi, saya lagi rindu awak. Lebih dari budak-budak tu rindukan awak,” sambungnya separuh berbisik.

Bush… Tersembur air yang berada di dalam mulutku. Aku terus berpaling pada Usop.

“Apa awak cakap tadi?” tanyaku selepas berdehem beberapa kali.

“Saya rindukan awak lebih dari budak-budak tu rindukan awak,” ulang dia.

Aku genyeh mataku berkali-kali. Serius tak percaya. Betul ke dia Usop yang suka menengking dan memarahi aku selama ni? Betul ke dia Encik Timbang dekat Parkson yang suka sindir-sindir aku selama ni?

“Betul ke awak ni?” tanyaku di luar sedar.

“Ya, sayalah ni. Usop Sontorian awak,” akuinya telus.

Makinlah aku sukar hendak mempercayainya. Usop Sontorian awak? Awak? Maknanya aku? Eh dia ni, jangan main cuit-cuit hati aku. Tapi, bila dia berkata begitu, aku teringat pula pesanan mama. Agaknya inilah jawapan yang mama nak berikan pada aku sampai dia nak aku jemput Usop datang rumah. Itu pun, aku segan nak jemput. Baru nak buat-buat lupa. Tapi, kalau betul buat-buat lupa, tu kira menipu tak?

Haih… buntu. Apa nak buat ni bila seorang lelaki berkata macam ni pada aku? Nak telefon Kak Shima lah. Nak tanya, apa dia buat bila Abang Jeff luah perasaan pada dia dulu. Pantas je tangan aku menyelongkar beg galas hendak mencari telefon bimbit.

“Eh, nak buat apa telefon tu? Nak telefon abang awak ke?” tanya dia pelik.

Aku menggeleng. “Nak telefon kakak ipar saya. Nak tanya dia nak jawab apa kalau ada lelaki cakap macam ni.”
Tu ha, terus terang lagi bersuluh aku beritahu Usop apa yang aku rasa. Dia bantai gelak.

“Lit…,” seru dia sambil menarik telefon bimbitku dari tangan. Tak sempat aku nak elak.

“Nak telefon tanya tu je ke? Kenapa tak tanya saya sendiri?” Dia masih lagi dengan sisa tawanya.

“Err..” Dah sudah. Aku dah kelu. Ya Tuhan, apa nak buat ni?

“Lit, jawapan dia senang je. Sebab saya suka awak, senang kan?” Usop mengakui perasaan suka dia padaku.

“Err, maknanya awak marah saya selama ni sebab awak su…”

“Ya,” pangkas dia belum pun sempat aku menghabiskan ayatku. Dia ni, suka potong jalan betullah.

Masa ni, aku rasa wajah aku dah jadi macam wajah Abang Jeff. Wajah tebal tapi aku tebal kerana malu bukan tak malu. Bagaikan berada di tengah-tengah rumah, menghadapi akad pula. Malu-malu pengantin.

“Kalau saya kata saya cinta awak, awak percaya saya tak Lit?”

Aduhai. Aku rasa nak terbang je balik rumah waktu ni. Aku nak menyorok bawah gebar aku. Nak tutup muka aku agar dunia ni tak nampak yang aku memang sedang menahan malu dek soalan Usop ni.

Tanpa sedar, aku menggeleng. Padahal hati suruh angguk, tapi akal aku lebih cepat bertindak memaksa aku menggeleng. Aku dengar keluhan kecil dari bibir Usop tapi wajah itu tetap tersenyum nipis.

“Kenapa tak nak percaya?” tanya dia tidak puas hati.
Aku ketawa sikit. Ketawa buat-buat.

“Lepas apa yang awak buat pada saya, awak nak suruh saya percaya?” Hah, berani aku menjawab tanpa melihat ke arah dia yang memang sudah jelas melihat pada sisi wajahku.

“Lagipun, awak kata awak dah ada awek kan? Awak kata nak bagi selendang yang saya buang tu pada awek awak, kan?”
Masa ni, hati aku ni terguris juga sikit bila mengingatkan perkara ini. Selendang kepunyaanku bakal menjadi milik gadis lain.

“Oh pasal tu….” Usop meleretkan kata lalu dia menarik beg galasnya yang ada di belakang.

Perlahan-lahan dia tarik keluar sesuatu benda dari beg galas dia tu dan mataku hampir terjojol keluar melihatkan kain berwarna ungu muda itu. Selendang aku.

“Ini awek saya.” Dia mendekat padaku dan terus saja dia tebarkan selendang itu di atas kepalaku.

Tanpa risau aku memarahinya, dia terus melilit selendang itu dua kali menjadikan aku Hana Tajima Malaysia. Kecut jantung aku waktu ini. Kejur badan rasanya menerima tindakan Usop.

Setelah itu, dia keluarkan telefon bimbitnya dan terus saja… klik… dia tangkap gambar aku. Berpinar-pinar mata aku ni menerima cahaya dari kamera dia tu.

“Cantik… sangat cantik…,” puji dia sambil menunjukkan skrin telefon itu padaku.

Aku telan liur berkali-kali. Hilang kata-kata. Lemah jiwa. Resah hati. Gundah gulana. Aduhai, apa yang dia maksudkan sebenarnya?

“Awak ni… errr kenapa sebenarnya?” tanyaku tidak yakin dengan dia.

“La, saya tunjuk gambar awek saya. Tak puas hati ke?” Dia sengih lagi.

Bila dia tunjukkan sekali lagi gambar aku yang sudah menjadi penghias skrin telefon bimbitnya, baru aku sedar yang kepala aku ni dibelit selendang yang Usop pakaikan tadi. Cepat-cepat aku tarik tapi tangan Usop lagi cepat menahan.

Kelu lidahku bila dia bertindak demikian. “Don’t!”

“Tapi…”

“I said don’t! awak jelita dan akan bertambah jelita andai awak bertudung macam ni,” ujarnya semakin lembut mendayu.

“Kecantikan seorang wanita tu, hanya untuk dipersembahkan pada seorang suami je, Lit,” gumamnya lagi namun jelas menyapa telingaku.

Aku kelu lagi. Sudah tidak tahu hendak menjawab apa kali ini. Sudahnya, aku biarkan saja selendang itu terlilit di kepalaku biarpun sangatlah selekeh.

“Lit…,” seru Usop bila kami sama-sama diam setelah seketika.

“Emm..”

“Saya cin…”

Hah! Telefon bimbitku di tangan Usop berdering lagu Dadali. Jiwang tapi, ikut suka akulah muzik aku. Cepat-cepat aku tarik dari tangan Usop. Dia nampak terpinga-pinga dengan ayat yang belum sempat dia sudahkan.

“Mama saya,” beritahuku pada Usop lalu aku lekapkan telefon bimbit ke telinga.

“Ya, ma. Lit kat tempat latihan ni,” beritahuku pada mama.

“Lit ingat apa mama pesan, kan? Ajak dia kot-kot dia sudi,” suruh mama.

“Errr…” AKu pandang Usop yang nampak kecewa sikit.

“Dia sibuk la ma. Nantilah Lit bagi tahu, ya. Mama, Lit sibuk ni, nanti Lit balik awal sikit.” Aku cepat-cepat matikan talian tapi tak lama kemudian, mama hantar pesanan ringkas pula.

Aduh mama ni. Kacaulah pulak. Orang nak dengar Usop nak cakap apa ni. Tapi, aku tekan juga OK menatap pesanan ringkas mama.

“Alamak, tournament!” AKu tepuk dahi bila mama mengugut hendak menarik balik keizinan aku dari menyertai pertandingan andai aku tidak mengajak Usop ke rumah. Mama ni, suka main helah sejak akhir-akhir ni.

“Saya dah hantarkan borang untuk kita,” sela Usop selamba.

Aku pandang dia pelik. Raut dia dah kelat. Kan aku dah cakap. Dia memang macam iguana. Suka berubah warna tapi dia suka berubah mood.

“Eh, saya tak isi lagi.”

“Em, saya isikan dah. Tinggal bertanding je nanti.”

“Tapi, detail saya awak tahu ke?” Aku dah mula rasa curiga. Entah-entah dia memang spy tapi saja nak nak mengaku.

“Awak intip saya, ya?” Aku merenung dia penuh curiga.

“Tak ada masa. Saya letak je nama awak. Senang. Jelita binti Johari,” jawab dia lalu dia bangkit dan menyapu belakang seluar dia.

“Eh, nak pergi mana?”

“Kelas dah tamat. Awak boleh balik. Saya pun nak balik rehat. Penat. Orang nak cakap tak dan habis, dia sibuk dengan benda lain.” Usop merungut-rungut sambil berjalan ke arah budak-budak tu.

“Okey semua. Jom berkemas. Kita balik. Abang ada hal sikit. Kita tamatkan kelas awal,” laung Usop.

Eh apa kena dia ni? Nak cakap, cakaplah. Dah mama telefon, aku jawablah. Nanti mama risau. Nampaknya memang betul-betul kena buat-buat lupa la pasal ajakan mama tu. Nak tak nak, borang dah hantar. Aku masuk la juga pertandingan tu nanti. Pujukku pada diri dan terus aku bangkit menggapai beg galasku dan menuju ke bilik persalinan.

Alang-alang dia kata kelas dah tamat, aku jalan dulu. Lagipun, kenapa kena fikir nak bagi alasan dekat mama, kenapa tak ajak Usop.

Selepas siap menukar pakaian, aku terus saja keluar daripada bilik persalinan itu dan rasanya aku ada tertinggal sesuatu. Tapi, tak perasaan apa dia. Jadinya, aku terus melangkah ke bawah bila semua orang termasuk Usop sudah lesap.

Baru saja tiba di bawah, aku dikejutkan oleh Usop pulak bersandar pada dinding bangunan.

“La, kata nak balik awal?” tanyaku.

“Eh, dah hilang selendang? Emm.. tak apalah. Saya nak ajak awak keluar ni.” Jujur je dia ajak aku temankan dia.

“Nak pergi mana? Kata kelas dah tamat. Ni nak ajak saya lagi.” aku sebenarnya takut hendak keluar dengan dia. Takut kena marah macam minggu lepas.

“Saya kerja shift siang dekat Parkson hari ni. Temankan,” ajak dia lalu dia menapak terlebih dahulu meninggalkan aku yang termangu sendiri.

"Lagipun, saya cakap kelas je tamat. Masa awak dengan saya masih panjang," sambungnya.

“La, nak temankan awak kerja ke?” tanyaku setelah aku berjaya menyaingi langkahnya.

Usop mengerling ke arahku sekilas. “Ada la nak buat benda lain lagi,” jawabnya.

Aku? Terasa sangatlah pelik dengan dia. Apalah rahsia lelaki ini sebenarnya?

~~> bersambung

13 comments:

  1. nak lagi 2x....best

    -ety.s

    ReplyDelete
  2. misteri btol la usop nie.. :)
    nk lagi.. :D

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. betul tu shikin....usop n jelita ..dua2 sweet.....

      Delete
  4. nak lagi...nak lagi...nak lagi.

    ReplyDelete
  5. waaaa usop...xsangka, dlm garang2 dia kt jelita tu, bunga2 jgk..hehe..bez kak..

    ReplyDelete
  6. usop ni penuh dgn tanda tanya... hehehe...

    ReplyDelete
  7. memang identiti rm,suka buat orang tertanya2
    aduhh..tak suka nak tunggu lama2
    cepat2 sambung tau

    ReplyDelete
  8. suspicious btul...mcm ada kaitan je usop ni ngn abg lit...hehe

    ReplyDelete
  9. sweet giler citer ni.. xsbr nk tggu ygbseterusnya..ngee~:D

    ReplyDelete
  10. makin jatuh cinta dgn Usop =)

    ReplyDelete
  11. aiseh! bru Usop nak kluarkan ayat bunge2
    sekali hp Lit plak berbunyi..hihi.. spoil jer.. :)

    ReplyDelete