Thursday, December 29, 2011

Bila Nak Saksi? [3]

[3]

PELUH di dahi yang merintik, tidak aku seka. Tak cukup sampai pokok pisang tu tumbang aku kerjakan, aku tumbuk pula pokok yang sudah menyembah bumi tu. Masa ni aku nampak wajah Usop Sonto tersenyum sinis padaku.

Makin lebar aku nampak senyum dia, makin kuat hentakan buku lima aku mengena tepat di tengah batang pisang tu. Bertubi-tubi aku tumbuk.

”Hiyark.... hiyark.....!!” Aku tumbuk lagi dan lagi hingga akhirnya terhenti bila aku rasakan buku lima aku ni pedih dan bila aku tengok, dah melecet.

Aku renung buku lima aku. Memang teruk melecet kali ini. Kalah lecet masa aku pertama kali nak ambil tali pinggang hitam dulu. Tapi, tak mengapa. Janji hati aku puas. Puas dapat kerjakan wajah Usop Sonto tu. Bayangan pun tak apa.

Baju pula habis kotor. Aku hela nafas tenang agar lebih teratur. Bila aku bawa telapak tangan ke dada kiri, degupan menghentak-hentak kat situ. Jantung kuat bekerja mengepam darah ke seluruh pembuluh darah setelah sekian lama aku tinggalkan aktiviti aku yang satu ini bila mama melahirkan rasa kurang bersetuju untuk aku terus aktif berkarate.

Dulu, dia juga beria-ria suruh aku belajar seni mempertahankan diri. Bila abang Jeff ajak masuk silat seni gayung ikut jejak dia, aku tolak. Aku tak suka seni-seni tari lemah gemalai tu. Aku suka yang mencabar sikit.

Aku renung baju karate yang sudah hitam legam sana sini. Jenuh nak tonyoh berus ni. Nak basuh pakai mesin, sah-sah tak mahu tanggal hitam ni. Aku kutis sikit kotoran di baju aku. Tapi, tak nak tanggal. Aku kutis lagi dan memang tak mahu tanggal.
Aduhai, terkena getah pokok pisang la pulak.

Selama ini, aku kerjakan batang pisang ni pakai t-shirt dan seluar trek saja tapi hari ni, angin datang melintang, aku sarungkan persalinan ini ke tubuh.

”Dah puas kau lunyaikan batang pisang abah tu, Lit?”
Aku kalih pada suara yang menegur. Ternyata Kak Shima sedang bercekak pinggang dengan renungan yang jelas tidak puas hati.

”Dah puas ke kau tumbuk batang pisang tu?” tanya dia lagi.

”Dah,” jawabku ringkas

Aku bangkit lalu melabuhkan duduk di atas bangku kayu yang abah sediakan. Hasil buatan tangan berseni abah tapi aku tangan membunuh. Semua tanaman aku pegang, mesti mati. Semua barang yang aku pegang, mesti retak dan paling teruk, berkecai. Mujur juga di dapur tidak kekok mana. Kak Shima duduk di sisiku. Dia mendengus melihat aku yang comot. Ah, tak kisah. Janji aku puas hati.

”Kau ni kenapa? Setahu aku la, Lit... kau kalau tumbuk pokok pisang abah sampai hancur lunyai macam ni, bila kau nak lepaskan perasaan je. Kali ini, aku nak tanya... perasaan apa pulak yang kau nak lepaskan?” Dia jungkit kening bila aku menjeling.

”Tak ada apalah. Saja aku training. Dah lama sangat tak regangkan urat,” jawabku berselindung.

Padahal dalam hati aku ni dah menjerit nama Usop Sonto. Memang aku geram. Boleh pulak dia main lambai-lambai selendang pashmina aku tu. Siaplah dia, nanti aku nak spy dia. Nak tengok teman wanita dia pakai selendang tu, aku nak perli cukup-cukup.

”Eleh, macamlah aku baru kenal kau, Lit. Dulu kau kawan baik aku, sekarang ni kawan baik merangkap adik ipar aku. Aku kenal kau la. Tak kan lah sebab nak regang-regang urat sampai macam ni sekali kau kerjakan batang pisang. Ni nasib baik abah tak jenguk belakang rumah lagi. Buatnya abah jenguk, memang kena tahan telinga lagi la. Kau bukan tak tahu kalau abah membebel, kalah mama,” ucap mulut petah Kak Shima.

”Ala, Shi. Tak ada apalah,” selaku pula. ”Pasal abah tu, nanti aku tanam la balik. Ala, pisang ke kot!”

Kak Shima cubit lenganku bila aku berkata demikian. ”Kot mujur pisang tu nak tumbuh membesar dalam semalam.”

”Kita pergilah beli yang dah besar. Balik rumah tinggal tanam je dalam tanah. Dah selamat. Abah pun tak perasan. Nak lebih menarik lagi, kita beli yang siap ada buah. Mesti abah suka sebab pisang dia berbuah lagi.” Aku sengih. Kak Shima muncung.

”Kau ni, Lit... bilalah nak matang? Cuba jadi matang sikit,” tegur Kak Shima lembut.

Erk, mentang-mentanglah dia dah kahwin dengan abang aku, memanglah dia nampak matang dan sikap dia juga memang matang sebenarnya. Itu hakikat yang memang tak dapat nak sangkal lagi. Sampai ada kawan-kawan mama cakap, Kak Shima matang sebelum usia. Tapi dulu, dia juga macam aku. Sama saja. Tiada siapa lebih, tiada siapa kurang.

”Tunggu la dulu. Bila aku dah kerja sikit masa lagi, aku matang la. Sekarang ni bukan mood matanglah, Shi. Mood aku ni mood belasah orang.”

Aku tebarkan pandangan aku jauh ke dada langit yang sudah mahu bertukar corak kala senja. Cantik sangat. Nampak kuning kemerahan. Tanpa sedar, aku nampak wajah Usop tersenyum di dada langit. Mungkin nampak selekeh dan tak terurus tapi, senyuman itu nampak ikhlas.

Tidak terduga juga, aku membalas senyuman itu. ”Eleh, perli orang, padahal awak simpan selendang saya tu, kan?” tanyaku diluar sedar.

Rasa macam bercakap secara langsung dengan Usop. Dia melebarkan senyuman dan aku juga turut membalasnya.

”Eh, kejap. Tapi, betul ke awak nak bagi teman wanita awak selendang tu? Itu kan saya punya. Mana boleh bagi orang lain. Hak saya tu. Melainkan awak buang dalam tong sampah, itu dah jadi hak pelupusan MPK.” Aku garu kepala yang tak gatal.

Aduhai, parah ni. Aku nak balik selendang aku tu. Aku nak Usop bagi semula pada aku. Mungkin aku dah buang tapi aku nak jadi buruk siku. Itu hak aku dan akan tetap jadi hak aku! Tekadku di dalam hati.

Telinga ini tiba-tiba tersapa oleh suara yang sedang gelak terbahak-bahak. Hilang wajah Usop di dada langit. Hilang senyuman dia dan mati senyumku bila teringatkan Kak Shima yang masih setia duduk di sisi aku. Sekali terlupa daa...
Aduh! Mana aku nak letak muka ni? Mesti Kak Shima dah dapat agak kenapa aku jadi macam ni.

”Errr, tak ada apalah, kak,” ucapku cepat-cepat agar Kak Shima tak berfikir yang bukan-bukan.

”Eh, ada aku cakap ada apa-apa ke?” Dia tersengih macam kerang busuk.

”Eleh, dari riak muka kau tu aku tahu kau ada nak cakap apa-apa, kan?” tanyaku sambil menjeling dia tajam. Benci tau!

”Kalau kau cakap macam tu, betul ka kot,” sela dia berdolak dalih.

”Tak ada apalah. Aku berangan sikit. Saja berlatih baca skrip. Nanti ingat nak pergi screen test kat mana-mana produksi. Tiba-tiba nak jadi pelakon pulak.” Aku pula dah jauh lari. Langsung tak logik jalan cerita aku tu.

”Baca skrip cinta?” tanya dia pantas. Dia ketawa halus.

”Kalau kau cakap kau nak jadi pelakon, baik tak payahlah Lit. Kau memang tak boleh jadi pelakon yang baik. Memang nampak kau dilamun tut... tapi tak mengaku. Nak sorok tapi tak reti. Luah kat batang pisang tu,” sambung Kak Shima lagi.

Dia memang tau! Sengaja nak kenakan aku. Waktu ni, aku dah tak tahu nak cakap apa sebab semua yang dia cakap tu ada betulnya walaupun aku tak tahu apakah rasa yang ada di dalam hati aku ni. Tak reti nak tafsir.

”Betulkan kau jatuh cinta?” tanya dia kuat-kuat. Terkejut aku.

Laju je aku rapati dia dan aku tekup mulut dia kuat-kuat. Geram sungguh. Dah lama tak buli Kak Shima. Kalau dulu, masa bujang dia datang bermalam di rumah aku, dia selalu kena buli. Buli-buli sayanglah.

”Wei, kotor ni. Getah pisang ni,” marah dia selepas berjaya menolak tanganku dari terus menekup mulut dia.

Dia meludah-ludah dan menenyeh-nenyeh mulut dia yang nampaknya sudah melekat dengan sesuatu. Getah pisang. Dan aku, ketawa la. Padan muka dia. Siapa suruh main serkap-serkap jarang. Dah tu, kuat pulak suara dia. Nak kasi jiran sebelah ni dengar agaknya.

”Teruk ar kau ni, Lit!” marah dia.

”Siapa suruh jerit kuat-kuat? Nak bagi satu dunia dengar ke apa?” sindirku dalam tawa yang tertahan-tahan.

Wajah Kak Shima cemberut. Marah sungguh la tu agaknya. Dia merenung aku tajam. Melihatkan wajah manis itu mati dari kemesraan, tawaku pula mati. Takut la pulak. Kak Shima bercekak pinggang.

”Alah, tak payah nak cakap. Mama yang cakap pada aku siap-siap yang kau tu jatuh cinta! Sebab tu aku datang ni nak tanya sahih ke tak? Mama cakap kalau ya kau jatuh cinta dekat budak timbang Parkson tu, mama nak pinangkan dia untuk kau,” ujar dia geram.
Aku telan liur. Ingat nak gelak tapi tak jadi gelak bila Kak Shima katakan yang mama dah dapat agak semua perkara ni.

”Betul ke, kak?” tanyaku pinta kepastian dan bila Kak Shima mengangguk berkali-kali, aku rasa nak tumbuk lagi batang pisang tu.

”Betul ke mama cakap tu? Kau gaduh dengan pekerja Parkson tadi ya?” Soalan Kak Shima kali ini, aku biarkan tidak bersambut.
Baru saja nak menapak masuk ke dalam rumah, Kak Shima depangkan tangannya menghalang langkahku.

”Aku nak masuk mandi ni. Kejap lagi abah ajak berjemaah pulak.” Aku memberikan alasan.

”Mengaku dulu kau jatuh cinta, kan? Tadi, aku dengar kau terbuat dialog drama sebabak kau tu, kau sebut selendang. Orang la, awak la. Siapa tu? Jurutimbang tu, ya?” Kali ini Kak Shima sengih menampakkan gigi taring dia.

Dia memang comel pada mataku dan juga baik. Mungkin sebab itu Abang Jeffry terpikat pada dia. Pada mulanya dia memang kasar juga tapi tidaklah sekasar aku. Bila dah jadi menantu mama, pandai mama bentuk dia menjadi wanita sejati.

”Mana adalah. Aku saja jelah cakap tadi tu. Tak sengaja. Tak ada maksudkan sesiapa pun. Mama tu pun menelah saja-saja je. Tak betul pun. Oh, ada betul satu!” Aku tegakkan jari telunjuk.

”Pasal aku gaduh tu betul tapi sebab cinta-cintun ni salah sama sekali.” Aku goyangkan pula jari telunjuk aku ini di depan wajah Kak Shima. Dia meredupkan pandangannya. Merenungku penuh curiga.

”Boleh percaya ke?” tanya dia sinis.

”Eh, bolehlah. Apa pulak tak boleh? Bila masa aku pandai menipu?” soalku bernada geram.
Bibirku, aku ketap kuat. Angin pasang sungguh dengan dia ni. Nak jadi macam mama jugaklah ni. Sekali orang menidakkan tak percaya. Nak kena menangis jugak ke baru nak percaya?

”Memanglah kau tak pernah menipu, tapi hati kau tu mana tahu... pandai menipu tuan dia,” sela dia lagi. Dia memandangku dengan ekor mata. Menyindir je!

”Eh, hati aku, aku mestilah tahu!” Aku dah mula bercekak pinggang.

”Eleh, kalau tak ada, tak payahlah marah. Biasanya kalau marah-marah ni, perkara tu ada tapi kau tak sedar. Mama tu tanya sebab nak permudahkan kerja, kot kata memang kau terjatuh cinta lepas kau terjatuh hari tu, mama nak kau kahwin cepat-cepat. Dia risau katanya.”

Ha, kan betul aku fikir. Mama ni pemikiran dia jauh meninggalkan aku di belakang. Kalau aku baru ada di Alor Akar, dia dah sampai ke Balok.

”Cakap dekat mama, tak ada apa-apa. Noktah, titik!” tekan aku tegas.

”Titik bertindih?”

”Tak ada!” Aku semakin geram bila terasa dipermainkan oleh kakak iparku sendiri. Sudah pandai mempermainkan aku sejak sehari dua ni. Ni tak lain la ni, mesti belajar dengan Abang Jeff.

”Yalah-yalah, tak ada...,” akui Kak Shima akhirnya tapi aku tahu sangat, pengakuan itu tak sampai ke hati sebab senyuman pelik itu masih tak hilang dari wajahnya.

”Hah, kamu berdua buat apa ni? Tak masuk lagi?” sergah abah tiba-tiba. Aku telan liur melihat abah tak bercekak pinggang.

Tak lama, muncul pula Abang Jeff juga bercekak pinggang. Masing-masing sudah siap mengenakan baju melayu dan kain pelikat. Abah dah siap berkopiah dah. Nak ke masjid agaknya. Tapi, awal lagi.

”Err, nak masuk dah ni...,” jawabku tergagap-gagap. Padahal takut abah terlihat pokok pisang dia yang jahanam aku kerjakan tu.

”Buat apa lagi, yang? Kan abang suruh panggil Lit masuk. Orang dah nak mula kelas mengaji dah ni. Mama dari tadi tunggu tu. Orang suruh dia panggil, dia pulak lekat kat sini.” Abang Jeff menggeleng.

Wajah Kak Shima kelat. Rasanya inilah pertama kali Abang Jeff membelel pada dia di depan aku dan abah. Aku rasa nak ketawa tapi melihatkan wajah Kak Shima yang menunduk ke bumi, aku tahan saja tawa aku tu.

”Maaf, tak sengaja,” jawab Kak Shima.
Tengok, itulah jawapan dia tiap kali pun. Aku memang perasaan. Aku panggil tu, jawapan raih simpati sebab bila dia jawab macam tu, Abang Jeff hampir terlentok lehernya. Kak Shima mendekat pada suaminya. Perlahan-lahan Abang Jeff raih bahu Kak Shima. Dia senyum.

”Sayang pergi mandi dulu. Biarkan budak Jelita tu sorang-sorang. Nama Jelita tapi tak jelita langsung. Wajah comot! Buruk! Tak sesuai. Eiii....” Abang Jeff buat muka pada aku.

”Eii, abang ni. Kutuk orang kenapa? Abah tengok ni dia kutuk nama abah bagi!” Aku rasa nak cepuk ke abang aku ni.
Abah berpaling pada Abang Jeff. ”Jeffry!” tegur abah tegas.

”Pergi masuk sana! Nanti dengan kamu sekali kena kang!” Tegas je suara abah. Aku ketawa melihatkan Abang Jeff menarik tangan isteri dia masuk. Padan muka dia! Ejek hati aku tapi tawa aku mati tiba-tiba bila aku melangkah keluar dan terus menyarungkan selipar.

”Yang kamu ni pukul berapa nak masuk bersiap? Kan abah dah cakap nak buat kelas mengaji sebelum Maghrib ni!”

Tadi aku gelak dekat abang aku tapi sudahnya aku pulak yang kena. Memang makin takutlah aku. Takut abah ternampak tanaman dia dikerjakan gajah liar. Aku telan liur berkali-kali.

”Err, Lit nak masuk dah ni,” jawabku perlahan sambil menapak menuju ke pintu.
Saat melalui abah, aku kerling dia sekilas. Rupanya, dia juga tengah menjeling tajam ke arahku.

”Ni kenapa pakai baju karate segala ni? Mimpi apa pulak?” tanya abah sambil menggeleng. Aku pegun tak terkata.

”Memang betullah mama cakap, Lit kena kahwin baru matang sikit. Macam Shima tu. Padahal umur sebaya tapi bezanya, haish...” Abah mengeluh.

Kan Kak Shima tu dah kahwin dulu. Masa umur 23 tahun lagi dia kahwin, mahu tak matang. Kena pulak dengan Abang Jeff yang berumur 29 tahun masa tu. Memanglah matang. Aku menyeringai saja menahan telinga menerima bebelan abah. Bebelan seorang guru besar yang bakal pencen tak lama lagi setelah mama memilih untuk bersara awal demi keluarga.

Rasanya memang aku kena kahwin jugak ni. Tapi, tak naklah dengan orang lain. Nak dengan....errr... eh tak kan aku nak dia kot? Tak mungkin dan tak akan! Putus hatiku sendiri.

”Dah, pergi masuk.” Suara abah membawa jauh suara hatiku berlari.

”Baik,” jawabku sopan dan tertib. Siap tunduk kepala sikit macam cerita Korea tu.

”Abah nak jenguk pokok pisang kejap,” sambung abah membuatkan aku terus membuka langkah seribu sampai aku menapak ke dalam rumah dengan berkasut tapi cepat-cepat aku buka dan terus berlari menuju ke bilikku dengan peluh yang kembali merenik di dahi.
Tapi, belum sempat aku sampai di anak tangga terakhir, aku dengar suara abah kuat dari dapur.

”Jelita!!!!!” laung abah.

”Apa kamu buat dengan pokok pisang abah ni?” tanya dia garang. Bergema rumah ini. Sampaikan mama pun keluar dari bilik solat.

”Kenapa abang jerit kuat-kuat senja-senja ni?” Aku dengar mama bertanya begitu waktu aku tolak pintu bilik.

”Budak Jelita tu la. Awak pergi tengok apa dia buat pada pokok pisang saya tu. Tak berbuah lagi tu!” Abah mengeluh kasar. Mama ketawa halus.

”Jun dah lama tahu, bang,” sela mama selamba dan aku terus rapatkan daun pintu. Kasihan pokok pisang abah!
***
MALAMNYA, usai kelas tazkirah oleh Encik Johari, iaitu abah aku, aku terus berkurung di dalam bilik. Masa ni, aku dah gantung siap-siap tanda ”Jangan Ganggu” pada tombol pintu sebab aku ada misi yang perlu dijalankan. Niat dah lama tapi hari ni baru berpeluang nak jalankan.

Lenguh juga tanganku melarikan tetikus ke kiri dan kanan hingga akhirnya aku terjumpa sebuah pusat latihan seni mempertahankan diri di bandar Kuantan. Tepat di depan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, iaitu di dalam bangunan Persatuan Hokkien.

”Tawaran menjadi jurulatih sementara untuk program amal khusus untuk anak-anak yatim sekitar Kuantan!” Aku baca sebaris ayat itu dengan tenang.

Amal bermakna tanpa bayaran yang penting keikhlasan. Aku tersenyum senang. Dah mula rasa bosan duduk di rumah saja. Andai dulu tak apa, tapi sekarang sejak aku jatuh terduduk hari tu, aku tak boleh nak duduk diam. Aku pasti akan berfikir yang pelik-pelik yang tak pernah otak ini fikir. Jawapan yang aku jumpa juga, adalah jawapan yang tak pernah-pernah otakku ini jana dan cerna.

Daripada memikirkan perkara yang hampir mustahil itu, lebih baik aku lakukan sesuatu aktiviti. Tanpa bayaran tidak mengapa yang penting hati senang dan keikhlasan hati ini akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal. Allah maha Mengetahui!

Aku isi butiran yang telah dia minta. Rasanya statusku sebagai Naib Presiden Kelab Karate-Do Universiti Malaysia Pahang dulu akan memberikan aku kelebihan untuk berbakti pada anak-anak yatim itu. Berkongsi sedikit ilmu mempertahankan diri sekali gus mencurahkan sedikit kasih sayang buat mereka yang memerlukan, tiada salahnya.

Setelah siap semuanya, aku klik ’SEND’ dan aku menghela nafas lega tapi tidak lama sebab aku dengar ketukan pada pintu. Lama aku biarkan hinggakan tetamu kamarku ini bersuara.

”Jelita....” seru mama. Alahai, Puan Junaidah ni. Rungut hatiku geram.

”Jelita dah tidur ke?”

Aku dongak memandang siling dengan leher yang tergantung di kepala kerusi. Mama ni, orang dah gantung tanda amaran jangan ganggu tapi nak juga ketuk tapi aku bangkit juga berjalan ke pintu.

Bila daun pintu terkuak, mama senyum. ”Nak tidur dah ke?” tanya dia lagi.

”Belum lagi. Lit tengah mohon kerja amal bantu anak-anak yatim,” ujarku tanpa mama bersoal terlebih dahulu.
Mama masuk ke dalam bilik lalu dia duduk di birai katil dan aku kembali duduk di kerusi belajar.

”Eh, bila mohon? Tak bincang dengan mama pun.” Aku tahu mama macam tak puas hati.

Tapi, yang menjadi masalahnya... kalau aku bincang dengan mama dulu, mesti mama tak setuju. Dah alang-alang mama cakap dah bersetuju nak biarkan aku sendiri, inilah masa yang terbaik dan keputusan terbaik setakat ini.

”Lit bosan kat rumah, ma. Tak tahu dah nak buat apa. Nak tunggu mama dengan abah buatkan perpustakaan kat rumah ni, macam tak jadi je,” selaku mengusik. Mama buntang mata.

”Mama buat pustaka sungguh karang...”

Aku ketawa lepas. Mama ni memanglah lucu. Mungkin umur dah tua tapi hati dan jiwa dia macam kawan-kawan saja. Cuma ada bahagian yang sensitif tu dia akan jadi macam abah, guru besar yang pakai cermin mata bingkai tebal. Garang!

”Hari tu mama juga yang cakap, kan? Tapi, sungguhlah ma. Lit tak terfikir lagi nak sambung belajar. Nak kerja pun rasa macam malas lagi...”

”Kalau kata tak nak sambung belajar, tak nak kerja, Ijazah Interior Design awak tu?” tanya mama lagi.
Aku diam tidak menjawab. Dalam kepala ni tengah menjana ayat yang sesuai untuk aku ungkapkan pada mama tentang kerja amal yang akan aku jalankan nanti. Mahu mama marah ni.

”Payah sangat Lit kerja dulu yang elok-elok. Minta tolong Abang Jeff. Kerja dekat syarikat dia. Dalam pada tu, boleh fikir apa nak buat. Nak sambung belajar ke, nak kahwin ke atau nak terus kerja je.” Mama menyambung dan tanpa diduga, perkataan kahwin tu juga yang dia sebut.

”Mama ni, asyik cakap pasal kahwin je. Dah tak suka sangat agaknya Lit tinggal dengan mama.” Aku bersuara seakan merajuk.

Bila fikir, betul juga. Agaknya semua orang nak suruh aku keluar daripada rumah ni cepat-cepat. Sebab tu sibuk nak carikan aku jodoh. Dah kahwin kenalah ikut suami tapi aku, dah kahwin nanti nak duduk rumah ni juga. Suami aku? Biar siapapun dia, dia kena duduk dengan keluarga aku! Muktamad!

”Eh, ada pulak ke situ. Orang sayanglah sebab tu suruh kahwin cepat-cepat. Kan mama dah pernah cakap, anak perempuan ni elok kahwin awal. Lagipun tak ada apa dah nak menghalang Lit, kan? Dah habis belajar, umur tu sedang elok dah kahwin. Lagipun nanti tak adalah Lit seorang je tanpa teman. Mama dengan abah ni entah sampai bila la bernafas atas muka bumi ni nak temankan Lit.” Mama buat muka simpati. Dia mengeluh tipis.

Rasa kasihan tiba-tiba bila dia cakap demikian. Rasa bersalah sangat. Aku bangkit lalu mendekat pada dia. Setelah aku labuhkan duduk di sisi mama, aku peluk bahunya erat.

”Tak naklah cakap macam tu. Tak sampai jodoh lagi ni. Lagipun, Lit bukan tak sudi nak kerja dengan Abang Jeff. Mungkin betul dia arkitek kat syarikat tempat dia kerja tu, tapi Lit tak naklah dia guna kuasa masukkan Lit sebagai ID kat situ. Nanti kesian abang. Orang cakap apa pulak.” Aku perlu pandai memujuk mama. Ayat mesti lembut dan mendayu.

Mama pandang aku dan tersenyum. Pehaku dia gosok lembut. ”Beberapa bulan lagi, Kak Shima dah nak habis belajar, bila dia dah mula kerja dia makin tak ada masa nak temankan Lit, tau!”

Mama cuba mengingatkan aku akan status Kak Shima tapi aku tak dapat berbuat apa-apa. Benar kata mama sebelum ni. Bila dah menjadi isteri, setahap mana nak berkawan? Suamilah yang menjadi keutamaan dan aku juga begitu, risau bila bergelar isteri, masa untuk mama dan abah semakin suntuk tambah pula tak ada calon, nak kahwin apa?

”Mama jangan risau. Kan mama dengan abah dah janji nak lepaskan Lit sendiri. Nanti dah siap apa yang Lit nak buat dalam masa terdekat ni, Lit cari kerja yang betul-betul, ya?” pujuk aku lagi dan kali ini mama mengangguk.

”Eh, tadi kata kerja amal. Kerja la tu. Ke Lit mohon kerja apa?”

”Err...” Aku mula tergagap-gagap. Padahal tadi dah ada dah ayat apa yang cakap dengan mama. Biar lembut gigi dari lidah. Tapi kini, entah macam mana nak cakap aku mahu bergiat aktif pula dalam jurus karate.

”Kerja amal apa?” desak mama lagi.

”Err, kerja mengajar sekolah anak yatim tu karate,” ujarku lambat-lambat.
Mata mama terbuntang luas. Bibir dia herot ke kiri dan kanan. Sebentar lagi pastilah dia membantah.

”Lit nak bergiat balik dalam karate?” tanya mama. Aku angguk.

”Ya Allah, tak ingat ke dulu, Lit masuk bertanding kena tumbuk sampai jadi mata panda?” Dia menggeleng kesal.

”Biasalah tu, ma. Tak ada apalah. Ni bukan nak bertumbuk atau bertanding. Sekadar menjadi tenaga pengajar kat situ. Apalah salahnya buat amal, kan? Tak lama pun, dalam tiga bulan je kot,” beritahuku bersungguh-sungguh agar mama mengerti.

Lama dia memandang wajahku tanpa kata, akhirnya dia mengangguk. ”Janji tiga bulan je dan jangan masuk apa-apa pertandingan.” Dia angkat jari telunjuknya padaku dan aku, ketawa lepas.

”Terima kasih, mama,” ucapku.
***
BARU semalam aku mohon, hari ni dah dapat panggilan yang meminta aku melapor diri. Cepat-cepat aku bersiap dan melipat uniform aku dan aku sumbat ke dalam beg galas. Dahlah hari ni, hari minggu. Baru ingat nak bermesra dengan keluarga tapi terpaksa keluar.

Satu yang pasti, aku tak tahu mama dah maklumkan pada abah dan Abang Jeff atau belum. Risau juga kalau papa menghalang lepas kes pokok pisang dia tu.

”Mama....,” panggilku agak kuat sewaktu menuruni anak tangga.

Sampai di muka pintu dapur, aku lihat mama sedang mengacau air dalam teko Luminarc dia tu. Teko yang punyai sentimental value yang tinggi sebab itulah barang dapur pertama yang abah hadiahkan masa mereka mula-mula kahwin dulu. Mamalah cakap.
Tubuh itu aku rapati dan aku sandarkan belakangku pada kabinet. Mama memandangku sekilas.

”Nak ke mana ni bersiap macam ni?” tanya mama.

Dia menilik lama penampilanku yang hanya dengan jeans yang agak lusuh, t-shirt lengan panjang dan seperti biasa, fesyen rambut ketinggalan zaman aku ni. Ikat tocang kuda.

”Kelas karate tu mula hari ni rupanya. Mereka nak pakai jurulatih urgent. Lit nak keluar dah ni, ma. Lit pergi dulu, ya,” ujarku meminta keizinan.

Mama mengangguk sekali. ”Hati-hati. Mama risau je nak lepaskan Lit ni tapi sebab dah janji, terpaksa tunaikan. Semalam mama dah beritahu abah, dia pun tak ada halangan. Nak pergi dengan apa ni?” tanya mama lagi.
Aku lebarkan senyuman. Puas hati semua mengizinkan. Barulah tenang hati ini hendak membuat amal jariah.

”Dengan bas jelah. Balik nanti Lit call abang. Kot-kot dia nak jemput,” jawabku seraya tunduk dan mencium tangan mama.

”Hati-hati!” Mama berpesan mesra. Aku senyum dah terus menapak keluar.

Sampai di depan Bangunan Persatuan Hokkien, aku terus naik menuju ke tingkat yang paling atas. Punyalah penat sebab dah agak lama tak bersenam. Kesan senaman semalam pun terasa sakit lagi. Otot cedera la ni sebab dah lama tak regangkan otot.
Bila aku tolak pintu besi itu, semua mata tertumpu ke arahku. Rasanya ada dalam lebih kurang 30 orang juga anak-anak yatim ni. Ada lelaki dan ada perempuan. Bila mata aku bertentangan dengan 30 pasang mata itu, rasa hati ini pilu pula.

Fizikal semua sihat sempurna tapi kasih sayang keluarga tandus dari jiwa mereka. Hampir saja menitis airmataku bila membandingkan diri dengan mereka. Betapa aku bertuah punyai mama dan abah serta Abang Jeff dan Kak Shima yang terlalu menyayangiku. Jadi, rasanya tak salah tindakan mereka menyekat langkahku selama ni. Kerana mereka punya jawapan dan jawapan itu adalah kasih sayang!

Dalam pada berfikir sendiri, menginsafi diri, jatuh juga airmataku setitis dua. Cepat-cepat aku seka bila ada suara yang bertanya dari belakang.

”Awak ni jurulatih tu ke?” tanya dia. Aku lap bagi kering dulu airmata. Nanti buat malu je.
Lambat-lambat aku berpaling dan bila mata bertentangan, aku rasa nak pitam. Rasa kena langgar oleh garuda pula kali ini.

”Eh, awak?!” Jari telunjuk aku ni lurus saja ke arah wajah berjambang dan bermisai tu.

”Kenapa dengan saya?” Nah, soalan itu lagi buat kali kedua.

”Macam mana awak boleh ada kat sini?” tanya aku tidak puas hati. Masa ni mula nak bercekak pinggang, padahal tadi baru tersentuh hati dengan anak-anak di belakangku ini.

”Ini anak-anak murid saya, saya yang mengajar kelas ni. Mestilah saya ada kat sini,” jawab dia tenang.

Aku? Aduh!! Mengaduh tanpa rasa sakit. Sakit juga, sakit jiwa. Geram aku bila terjumpa lagi dengan Usop. Betullah dunia ni ada tujuh orang yang sama, tapi tak kan semuanya ada dekat Kuantan ni?

”Usop, kan?” tanyaku pinta kepastian. Kot-kot la bukan dia tapi pelanduk tujuh serupa ke. Naya aku.

”Oh, ingat nama saya rupanya. Ingatkan tak ingat. Mentang-mentanglah nama kampung, kan,” sinis dia padaku.
Aku telan liur. Padahal orang tak cakap apa pun. Dia ni memanglah suka menelah sendiri.

”Maknanya betullah ni awak?” tanyaku sekali lagi. Memang tak puas hati.

”Yalah. Awak nampak siapa? Remy Ishak?” sinis dia. Aku telan liur. Remy Ishak tu jejaka idaman hati aku.

”Err, tak adalah. Kalau awak Remy Ishak, memang tak lalu nak tengoklah,” selaku menyindir dia kembali.

”Tapi, kenapa awak boleh ada kat sini? Kat Parkson hari tu pun awak, kat sini pun awak.”

Aku memang curiga pada dia. Rasa pelik tersangatlah pelik. Di mana-mana saja asal aku melangkah keluar daripada rumah, mesti terjumpa dia dalam pelbagai situasi. Rasa lain macam pula. Entah-entah dia mengintip aku tak? Eh, apa aku fikir ni.

Dia mengeluh kasar. ”Tadi kan dah jawab kenapa. Berita tak ulang-ulang. Sekali je. Dah-dah, tepi sikit, nak tutup pintu ni?”

Dia bukan tolak pintu tu, dia tolak bahu aku. Dahlah aku tak duduk elok-elok sebab terkejut tadi. Jadinya, memanglah tubuh aku ni nak tumbang sebab tiada imbangan. Tapi, belum sempat aku jatuh terduduk di atas lantai simen tu, Usop terlebih dahulu raih pinggang aku menahan aku dari terlentang ke belakang. Membawa wajah kami agak dekat tapi tak lah dekat sangat.

”Kan dah cakap, jatuh awak saya akan sambut, tapi kalau hati awak jatuh?” tanya dia dengan senyuman manis.

~~~> bersambung

Apa perasaan Lit sebenarnya ek? Dia pun tak tahu perasaan dia apa sekarang sebab kadang2 hati kita tak menjadi milik kita kala kita keliru

12 comments:

  1. alahi sweet nya...

    mama izz

    ReplyDelete
  2. adussss.. usop o usop...best la rehan...happy family.. sukaaaaa sgt. tq rehan...

    ReplyDelete
  3. wah ! suka suka suka ! baca BKTLC ni kelakar ada , romantik ada . sweet pun ada ! Hee ~ :D Bestnya . sambung lagi kak RM . Akak , ada tak novel akak yang dah dibuku kan ? Kalau ada saya nak beli :)

    ReplyDelete
  4. makin lama baca, semakin menarik n ttarik. hehehe. rm, bagus la. just salah sikit2 je. shima 2 kakak ipar kan? struktur ayat. ejaan. 2 je. overall leh bagi tbaik! alhamdulliah...

    ReplyDelete
  5. sweet like sugar... hehehe...
    paling funny pokok kelapa ayah jelita jahanam gara2 kene karate... hihi... tahap nak berguling gak td... huhu~~

    ReplyDelete
  6. alolo...comel btol diorg nie...hehehe

    ~emma~

    ReplyDelete
  7. Asyik terserempak je diorang ni. Memang ada jodohla tu kot?

    ReplyDelete
  8. agaknya si usop ni jejaka dlam prolog tu ke?

    ReplyDelete
  9. hahaha....gelak dengan telatah si Jelita, lunyai pokok pisang abahnya dikerjakan......

    ReplyDelete
  10. hehe..sape ek usop ni..sy pon tak tau jgk lg nk teruskan babak seterusnya mcm mn..main sebat je..hehe..kite sama2 tunggu ek..

    ReplyDelete
  11. heh..!!!
    tolong jatuhkan hati lit ni untuk usop!!!
    dia owg ni mmg sweet sngat.. hehe

    ReplyDelete
  12. lit ni mmg dh jatuh hati kt usop tp xnak akui je ni...he3

    ReplyDelete