Monday, April 22, 2013

Hanya Ingin Kau Cinta 18


BAB 18

BAHU AKU dipeluk kemas.  Semakin erat dan kian kejap.  Suara halus menyeru dan terus memanggil nama aku.  Aku yang kini bagai berada di dunia yang berbeza dari mereka.  Dunia sepi menghadapi kehilangan lelaki yang aku cinta di tangan sendiri.
“Astaghfirullah… mengucap Naina.  Cuba buka mata tu!”  Suara itu menegur keras. 

Aku masih diam.  Airmata terus meleleh.  Aku cuba mengucap dan beristighfar tapi sungguh, tangan aku telah menyebabkan kematian Nine.  Tangan ini yang menarik picu senjata hendap itu.  Kaliber daripada senjata aku yang menusuk ke jantung dia.  Nine pergi.  Nine pergi dengan senyuman.  Tidak aku tahu di mana bermula, tapi inilah pengakhiran.
Undang-undang dunia mengatakan Nine bersalah namun jauh dalam hati aku, Nine adalah mangsa.  Dia tidak pernah salah dan cinta kami juga tak salah. 
“Nine dah taka da, mak ngah,” adu aku dalam tangisan yang kian rancak.
Aku rasa pelukan hangat mak ngah. 
“Sabar, Naina… mengucap.  Bawak bertenang.  Buka mata, tengok mak ngah,” arah mak ngah tapi aku menggeleng.
“Naina salah, mak ngah.  Dia lelaki yang Naina sayang… tapi tangan ni…”  Aku tunjukkan kedua-dua belah telapak tangan aku di depan wajah mak ngah.
“… tangan ni yang cederakan dia.  Tak…”  Cepat-cepat aku menggeleng.
“…Naina bunuh dia, mak ngah.  Naina bunuh lelaki yang Naina nak cinta!”  jerit aku bagai sudah  hilang kawalan.
Mak ngah menangis.  Pelukan kian erat.  Pipi aku disapa lama.  Dan aku, rebah di bahu mak ngah dengan tangisan bisu.
“Kenapa semua orang yang sayangkan Naina dan Naina sayang mesti pergi tinggalkan Naina, mak ngah?” 
Mak ngah diam.  Tiada jawapan. 
Kepala aku berputar.  Tawa dan lirikan Nine menggawang di ruangan mata.  Usikan nakal dan kesungguhan dia menyatakan cinta membuatkan jiwa aku makin terluka.  Bagai sedang mati dengan sendirinya. 
“Kalau kata nanti kita ada jodoh, kahwin, boleh tak saya nak awak berhenti kerja.  Duduk rumah, kerja dengan saya je?” 
Soalan Nine menerpa.  Aku pejamkan mata lagi tapi payahnya suara dia hendak meninggalkan kepala aku.
“Kenapa nak berhenti kerja lepas kahwin?  Nak kerja apa?”  Aku sengih.  Malu bila ditanya soalan begitu.
Nine juga senyum. 
“Jadi personal assistant saya.  Saya bayar tiga kali ganda dari gaji awak sekarang.  Kalau ada over-time, up lagi.  jadi empat kali ganda.”  Dia kenyitkan mata.
“Setuju?”  Sengih Nine melebar.
“Gatal,” cebir aku. 
Dan Nine gelak lepas. 
Tapi setelah itu, tiada lagi tawa dia berdengung.  Dihembus angin yang menyapa dingin.  Membekukan hati dan juga airmata yang mengalir di pipi. 
Tapi, aku rasa kembali pipi beku milik aku menjadi hangat bila ada telapak tangan yang menyapa. 
“Naina?  Kenapa ni?  Bangun dah nak masuk Asar ni.”
Aku bertahan tak sudi nak membuka mata tapi suara itu semakin menusuk dan ianya milik mak ngah. 
“Kak Nai… bangun.  Kenapa kakak menangis dalam tidur?” 
Suara lain berganti dan ianya milik…
Aku buka mata.  Wajah mak ngah dan Suryani, adik sepupu aku ada di depan mata.  Mak ngah labuhkan duduk di birai katil.  Tangannya menyapa jari-jemariku.
“Eh, Naina dekat mana ni?” 
Mata aku terkebil-kebil.  Telapak tangan menyapa wajah sendiri. 
Basah.  Itu yang pasti.
Dan, airmata itu masih menitis.
Aku tersangat pasti. 
Pantas aku seka dan merenung mak ngah dan anaknya silih berganti.
“Naina kat mana?”
Dia senyum.  “Rumahlah.  Kan kau balik cuti.  Pagi tadi baru sampai.  Lepas tu tidur tak ingat dunia.  Ini yang mimpi.  Mimpi ngeri apa kau ni, Naina sampai meracau-racau…”  komen mak ngah dan barulah aku bagaikan terjaga sepenuhnya.
Mata aku meliar ke seluruh bilik.  Hati aku terus mengucap.  Menyebut nama Allah dan kekasih-Nya.
“Ya Allah, apa tak kena ni?”  Aku menyoal diri sendiri tapi sayang tiada berjawapan.
Mimpi itu mainan tidur.  Itulah kata-kata umi pada aku dulu bila aku katakan aku ditinggalkan mereka sendirian di dalam dunia ini.  Mainan tidur yang akhirnya menjadi kenyataan.
Aku tarik kaki yang terlunjur rapat ke badan.  Menyilang sila.  Meraup wajah berkali-kali sebelum memandang mak ngah dan Suryani kemudiannya.
“Yani balik bila?” 
Wajah Suryani aku pandang sekilas.  Bersama senyuman ringkas.
“Baru sampai tengah hari tadi.  Cuti seminggu.”  Dia senyum.  Nampak seronok bila berdepan dengan cuti.  Tipikal pelajar.
“Emm… okey ke belajar?”
Suryani mengangguk dan sengih.  “Erm… Yani keluar dulu, kak.  Nak tengok TV.  Yani keluar, mak…” 
Dia melangkah keluar.  Daun pintu ditarik rapat pada bingkai. Aku pandang wajah mak ngah yang masih nampak kelam.
“Tak ada apa, mak ngah.  Memang Naina mimpi ngeri.  Biasalah tu… mimpi siang hari.  Merepek je lebih.” 
Sedar dengan kegundahan hati mak ngah yang jelas terpancar pada wajah tuanya, aku berkata begitu.  Agar dia tenang.
“Iyalah.  Tapi mak ngah dengar kau sebut nama seseorang.  Nai… eh Nain… Naim… entah.  Tak berapa jelas.  Teman lelaki ke?”  Wajah mak ngah berubah riak.  Nampak ceria sedikit.
Aku kirai rambut dengan jari-jemari sebelum menjawab.  Sekali lagi aku meraup wajah cuba menghalau mimpi ngeri itu dari menghantui aku. 
“Tak adalah, mak ngah.  Tak ada sesiapa…” 
Tak sempat aku sudahkan ayat, wajah Suryani muncul semula.  Dahi dia berkerut.  Senyuman pun nampak jengkel.
“Kenapa?”  tanya mak ngah.
“Err… Yani buka pintu besar tadi tiba-tiba… err… ada orang kat depan.”
Aku dan mak ngah berpandangan.
“Kalau ada orang, tak jemput naik?”
“Orang tak dikenali, mak…,” jawab Suryani sedikit merengus.
“Dah tu, tak tanya dia nak cari siapa?”  SUara mak ngah sudah berubah satu oktaf. 
“Err… katanya Zunaina,” jawab Suryani.
Mak ngah pandang aku.  Suryani masuk melepasi ambang pintu.  Aku pantas jatuhkan kaki ke birai katil.
“Siapa?  Kacak sungguh.  Terkejut tadi tengok dia depan rumah.  Macam patung model tu,” komen Suryani terjuih-juih.
Mak ngah bingkas bangun.  “Oh, sebab tu lah yang kau tak terkata apa tu?  Sebab kacak sangat?”  Mak ngah dah menggeleng tak puas hati.
Aku senyum dan melihat saja kemudian aku juga bangkit.  Membetulkan baju T yang ada pada tubuh.  Track bottom yang aku pakai dan rambut yang sedikit kusut serta wajah yang mungkin sedikit sembab.
“Siapa, Yani?”  soal aku pula.
Suryani menggeleng.  “Kacak sangat.  Angguk je tadi.  Lupa nak tanya nama,” jawab dia sedikit nakal.
Mak ngah mencubit lengan anak daranya.  Aku hanya ketawa halus.
“Kak Nai pergilah tengok kat depan.  Yani memang tak kenal.  Tapi pegun… nampak macam dari jauh.  Dekat jaket bagai…”  Komen Suryani.
Aku menapak ke pintu.  Baru hendak memegang tombol pintu, mak ngah bertanya.
“Entah-entah lelaki yang kau seru dalam mimpi tu tak, Naina?”  usik mak ngah.
Aku menggeleng.
“Tak mungkin dia, mak ngah.  Dia bukan ada dekat Malaysia.  Lagipun, mana dia nak tahu kampung kita ni.”
Daun pintu aku kuak.  Kaki aku menapak perlahan menuju ke ruang tetamu.  Pintu yang sudah sedia ternganga lebar itu aku dekati dan sungguh, aku hampir terduduk jika tidak aku paut birai pintu.
“Eh, awak?!”
Telahan mak ngah benar.  Tapi payah hendak aku percaya, dia di sini.  Terpacak di depan aku biarpun baru pagi tadi aku menerima panggilan daripada dia dan dia jelas berada di Negara jiran.
“Ya, saya.  Surprise…”  Nine senyum segaris.
Beg galasnya diletakkan di atas anak tangga yang pertama.
“Awak buat apa kat sini?”
“Kan dah cakap… bagi saya masa beberapa jam saya akan tiba…”
“Tapi sini… kampung saya…”
Dia tidak menjawab dulu.  Sebaliknya dia menurunkan zip jaket kulit hitamnya itu hingga ke bawah.  Terdedah dada bidang yang hanya dibaluti baju T putih yang sedikit tipis. 
“Panas, ya?” 
Dia menadah wajah ke langit.  “Tapi dah redup sikit… okeylah…”
“Answer me,” tekanku bila dia nampak buat tidak tahu.
“Seperti biasa… Tuan Radzi…”
Aku mengeluh berat.  Tuan Radzi ni… suka sangat jual maklumat peribadi aku pada Nine.  Nine suap ke apa?”
“Mudah sungguh awak dapat maklumat saya dari bos saya.  Awak suap dia, ya?” 
Mata Nine membulat. 
“Eh, tak baik tuduh-tuduh.  Saya nak tahu saya tanya.  Tak nak tahu, saya diam je.  Lagipun, dari suap dia, baik saya simpan duit nak suap mulut awak nanti bila awak dok bawah tanggungjawab saya.”  Dia kenyitkan mata. 
Aku pegun tak terkata apa.  Hinggalah  mak ngah menegur dari belakang.
“Kawan kau ke?” 
Aku berkalih sedikit dan mengangguk.
“A’ah… kawan dari jauh.” 
Mak ngah munculkan diri.  Dia senyum pada Nine dan terus mempersilakan Nine naik.
Sesak nafas hendak menjawab dalam pada cuba membendung rasa terkejut  yang silih berganti hadir.  Peluh kecil yang merenik kesan mimpi tadi masih lagi belum kering, ini menitis lagi. 
 “Eh, kenapa tercegat kat tangga tu.  Jemputlah kawan tu naik, Naina,” tegur mak ngah dan aku mengangguk dalam keadaan sedikit mamai.
“A’ah, marilah naik...” 
Mata aku dan Nine bertembung.  Nampak semakin lain dia hari ini.  Tapi, tepi bibirnya nampak sedikit membiru dan juga dahinya juga sama.  Lebam. 
“Boleh naik ke?”  tanya Nine takut-takut. 
Dia sengih dan membuka kasutnya.  Kemudian stoking pula dibuka penuh cermat.  Terserlah kakinya yang putih bersih mengalahkan wanita. 
“Kenapa pulak tak boleh?  Mari cepat.  Naina ni terlena tadi.  Mak ngah baru kejutkan.  Kebetulan kamu sampai.  Naiklah… hah Naina, pergi solat dulu,” suruh mak ngah bersama isyarat mata.
“Err... naiklah.  Sembang dengan mak ngah kejap.  Saya masuk solat dulu.” 
Nine senyum dan memberi tabik pada aku yang masih menjeling dia. Apa mimpi dia tiba di sini?  Katanya tak pernah tak dikota.  Hari ini juga. 
“Bagi saya sepuluh jam dan saya akan tiba.”
  Ini… aku mengerling jam pada dinding dalam langkah hendak ke dapur. 
Mengira-ngira sendiri waktu yang telah melewati sejak perbualan aku dan Nine pagi tadi.  Dan juga, mimpi ngeri itu.  Ya, kurang dari sepuluh jam.
Dalam hati berdoa moga mimpi itu mainan syaitan kerana lena aku yang hampir ke lewat petang.  Moga dijauhkan segalanya.




“SIAPA DIA pada kau, Naina?” 
Soalan mak ngah mengasak telinga.  Aku kerling dia dengan ekor mata.  Wajah Suryani yang nampak sedang menanti jawapan daripada aku juga aku tenung beberapa saat sebelum memandang kembali gulai lemak ikan masin di dalam periuk yang sedang mendidih. 
“A’ah la, Kak Nai... siapa abang tu?  Kacak sungguh...”
“Eh, budak ni.  Ke situ pulak dia.”  Mak ngah mengacu tangan hendak mencubit lengan Suryani tapi pantas anak dara itu mengelak.
“Siapa?”  asak mak ngah lagi sekali.
“Kawan, mak ngah...”
“Dari mana dia?  Dengan beg-beg.  Muka pun nampak penat macam jalan jauh...”  duganya.
Aku angguk mengiyakan. 
“Dia sebelum ni orang yang Naina jaga semasa dia ada kat Malaysia...”
“Kalau tak kat Malaysia, dia bukan orang Negara inilah, ya?”  sampuk Suryani pantas.
Aku senyum pada hujung bibir.  Setelah aku pastikan gulai lemak itu sudah cukup masak, aku padamkan api.  Terus saja aku capai mangkuk dari corak bunga matahari itu dan aku sendukkan kuah dan isinya ke dalam mangkuk.
“Dia orang Malaysia tapi dah lama bermastautin di Thailand.  Katanya nak balik ke sini terus tapi tak tahulah iya ke tidak...”
“Eh, sebab kau ke?”  Mak ngah mula menunjuk minat.
Aku senyum lagi dan menggeleng.
“Dia pun ada kehidupan dia...” selaku.
“Kehidupan dengan Kak Nai la kot...”  usik Suryani bersama tawa halus.
Mak ngah menjeling sebelum memandang aku.  
“Sungguh ke?” 
Terdiam aku seketika.  Apa  yang sungguh, apa yang tak sungguh pun aku tak pasti.
“Entah...”  Mudah, aku jongketkan saja bahu.
Mangkuk yang sudah penuh berisi itu aku bawa ke meja makan di tengah ruang dapur yang agak lebar.  Rumah kampong.  Ruang dapur lebih luas dan lapang daripada ruang depan.  Mudah untuk kenduri-kendara kata arwah umi dan ayah dulu. 
“Dia tu teman lelaki kau ke?” 
Entah bila mak ngah ada di sisi.  Meletakkan ayam goreng halia yang telah siap di masak.  Masih berasap.
“Teman lelaki ni bermaksud kawan lelaki, mak ngah.  Maknanya betullah tu,” gurau aku lalu berpaling hendak menyendukkan nasi pula.
“Eh, budak ni.  Main-main pulak.  Mak ngah sungguh-sungguh ni...”  tekan mak ngah.
Suryani ketawa kecil.  Dikacaunya air bandung itu penuh hati-hati sebelum diletakkan ketulan ais. 
“Yani dah siap, letak atas meja.  Kejap lagi boleh makan dah.  Lewat sangat makan nanti tak elok pulak,” tegur aku bila dia nampak berminat benar dengan kisah aku dan Nine.
“Naina, mak ngah tanya ni.  Tak pernah-pernah ada lelaki yang jadi kawan kau.  Masa sekolah dulu pun tak ada siapa bertandang masa hari raya.  Jangan kata nak datang, telefon pun tak ada.  Bercerita pun tak ada.  Ini siap tercongok depan rumah...,” komen mak ngah.
Pinggan nasi  yang aku hulurkan dia sambut dan diletakkan di atas meja.  Kemudian dia menarik kerusi duduk.  Nafas lelah dilepaskan.
“Kalau Naina kata Naina suka dia?”  duga aku.
Suryani dulu yang bulat mata.  “Yani suka...”  Dia terjerit sedikit.
Mak ngah jegilkan mata member amaran dan muncung Suryani keluar sedepa. 
“Kalau  kau suka, mak ngah pun akan suka sesiapa saja, Naina.  Janji dia boleh jaga kau dengan baik,” balas mak ngah sedikit sebu. 
Aku nampak lirih dalam dada mak ngah lantas aku hampiri dia.  Tangannya aku capai dan aku genggam kemas.
“Kalau mak ngah tak setuju, Naina sanggup buang apa saja.”
Bibir tua mak ngah merekah dengan senyuman.  Episod usik mengusik tadi sudah bertukar kepada drama emosi.
“Kalau ini bahagia kau, mak ngah doakan yang terbaik...”
“Dan mungkin nanti Naina akan jauh dari mak ngah kalau Naina pilih dia,” cantas aku.
Mata mak ngah tenang tapi sudah mula berkaca sedikit. 
“Kau bahagia?” 
Aku diam tak menjawab.  Diam dan kelu seribu bahasa.
“Kalau kau bahagia, pergilah mana saja, Naina,” suruh mak ngah lagi.
Aku masih kaku.  Hanya jari-jemari yang bergerak meramas tangan tua mak ngah.  Suryani juga sudah tayang wajah tidak beriak. 
“Dia boleh jaga kau?” 
Aku masih pegun.  Lidah sedang melalui fasa membeku dengan soalan-soalan yang payah hendak aku jawab.
“Kalau kau tak bahagia dengan dia, baik toksah nak redah...”
Tak sempat mak ngah menyudahkan ayat dia, ada suara lain yang berdeham kecil.  Nine...
Dia duduk di atas tangga simen itu dengan memakai kain pelikat, baju T dan juga kopiah putih.  Menampakkan dia seorang lelaki yang sudah bersedia menjadi suami dan pemimpin. 
Bibir merah Nine menguntum senyum.  Rekahan senyuman itu nampak ranum dan mengkar. 
“Kalau dia tak bahagia dengan saya satu hari nanti, saya akan pulangkan dia kembali pada mak ngah dengan keadaan sihat dan selamat seperti mana dia telah saya ambil dari jagaan mak ngah...”
... dan dia, cukup tenang dan cukup bersahaja.

bersambung

31 comments:

  1. emmmm.....sweet....bestnya..... :) :) :) senyum sampai ke telinga....

    ReplyDelete
  2. ada rasa yg berbuku..gembira dan bimbang yg bersatu..

    ReplyDelete
  3. walawehhhh...pengsan aish dgr nine ckp cam gitu :P

    ReplyDelete
  4. omai.. omai... lega rasanya!!! Sweet lagi!!!

    ReplyDelete
  5. ehheeemmmm.... so sweet <3 :):):) suka suka suka chapter ini kak RM :-p ^_^

    ReplyDelete
  6. Aduhai hati...jatuh cinta lg...nine.ayat sungguh menusuk jiwa n raga..along eza jumel

    ReplyDelete
  7. Walaweiiii kak rehan.... Orang dah agak mesti mimpi punya...part ayat nine...cair...cair....cair.... Naina apa g.... (Kompang dah berbunyi)

    ReplyDelete
  8. "aik... dah amik sila jangan pulangkan" ujar mak ngah. hehe. dialog tambahan anak angkat mak ngah.

    ReplyDelete
  9. Benar telahanku..hanya mimpi ngeri, sungguh mengerikan....

    ReplyDelete
  10. alaaaaaa....pendeknyer.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu.......sweet_potato
      Pendek sgtlh rm.....

      Delete
  11. wah..suka bc ayat nine yg last tu...

    ReplyDelete
  12. Walaweh, putus nafas baca, caring betul si Nine ni. Nine ni sebenarnya undercover ke? Kalau tak takkan Tuan Radzi sesenang jer bagi maklumat anak buah.

    ReplyDelete
  13. ahhh.. rasa mcm nk nangis je part naina tgh mimpi tu... grrr.. suspen sggh... tp,, suka sgt ayat nine yg last,, amaran utk nine: dah ambik naina x boleh hantar balik dah.. sila simpan dan jaga sebaiknya ok! <3 best!

    -athirah-

    ReplyDelete
  14. Cha cha cha cha! Hohoho! Kalau ambik takyah pulangkan balik yer Nine. Simpan terus! :D

    ReplyDelete
  15. huh! putus nafas rsanya! mujur mimpi.... tpi suka sesgt bila nain ckp cm gitu. tpi jgnlah pulangkan blik. walau pepun, sy masih rs bimbang dgn plot yg akn RM perform kt kite lps neh. hope jgn lm lgi tau....

    ReplyDelete
  16. Kenapa ya saya rasa entry ni lebih sedikit daripada entry sebelumnya? Hehe...

    ReplyDelete
  17. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  18. aduh..saya dah melting..tolong RM.. ohh.. nine

    ReplyDelete
  19. OWH..

    senyum smpi ke telinga..sengih je...
    naseb bek xde org kt opis...


    hahah

    terbaek la...
    xmau sedey2 lg k..
    nine dpan mata...

    ReplyDelete
  20. lemau kejap nk baca smpai sudah, lelah nk baca byk lg ni

    ReplyDelete