Thursday, November 17, 2011

Terlerai Kasih 51

BAB 51

DARI jauh aku lihat Ilham sudah tersenyum padaku. Dia benar-benar tampan bila tubuh sasanya disaluti dengan sepasang baju Melayu cekak musang berona hijau muda sedondon dengan baju kurung moden hadiah yang telah mama tempah buat kami. Sudah semestinya daripada hasil sentuhan halus Puan Seri.

Sewaktu akad nikah dulu, dia juga segak mengenakan baju melayu rona putih mutiara tapi kala itu, mata ini langsung terhalang oleh rasa benci Ilham untuk aku terus merenungnya. Rezekiku masih di sini dan hari ini, aku benar-benar melihat ketampanan seorang lelaki bergelar suami.

Mak dan Kak Anah sibuk diperkenalkan kepada teman-teman mertuaku. Amira dan Amir tidak sudah-sudah bergaduh. Entah apa yang direbutkan. Iqram sudah hilang selepas doa selamat tadi. Hendak menjemput yang tersayang katanya. Hanya Izham yang tidak terbias di mataku sedari tadi. Semuanya nampak gembira. Namun aku, terasa sepi di dalam keriuhan ini.

Usai majlis doa selamat tadi, tetamu mula menjamu selera di khemah yang telah disediakan. Meriah sungguh. Tapi, terasa sedih juga kerana teman-teman pejabat tiada yang hadir. Mungkinkah mereka tidak sudi kerana masih membenci diri ini?

“Sayang abang ni, termenung nampak?” tegur Ilham. Entah bila dia sudah ada di sisiku.

“Eh, abang,” jawabku dengan nada yang sedikit sebu.

“Kenapa ni? Orang semua doakan perkahwinan kita, sayang monyok pulak?” rungut suamiku. Dia raih jemariku. Aku pandang dia bersama senyuman yang sedikit hambar.

“Fiah sedih sikit sebab tak nampak sorang pun kawan pejabat Fiah datang. Rasanya dah jemput, kan?”

Ilham ketawa kecil kemudiannya dia menggeleng beberapa kali. Pipiku dicuit manja.

“Abang mana jemput untuk malam ni. Ni kan last minutes plan. Tak sempat nak berjemput pun. Majlis sebenar kan esok. Esok mesti mereka semua tu datang. Jangan risaulah. Itu pun nak sedih,” ejeknya.

Aku tepuk dahi. Ya Allah. Terlupa pula. Pada kad pastilah bertarikh esok. Entah di mana harus aku sembunyikan wajah malu ini, aku sengih saja.

“Maaflah. Fiah lupa la. Seronok sangat ni nak jumpa kawan-kawan. Padahal baru dalam tiga minggu kot tak jumpa. Dah rasa macam tiga bulan je,” ujarku.

“Sayang jangan fikir bukan-bukan. Tak ada apa dah tu,”pujuk Ilham bagaikan dapat membaca kegusaran hatiku sebentar tadi. Aku mengangguk tanda mengerti.

“Terima kasih, abang,” ucapku lembut. Lengan sasa itu aku paut.

“Sama-sama kasih, wahai permaisuri di hati suami,” balas Ilham pula.

Sejak akhir-akhir ini, dua suka menggelarkan aku begitu. Bila aku bertanya, dia kata ikut suka dia. Aku sesekali rasa rimas bila dia menggelarkanku begitu di depan ahli keluarga yang lain tapi, malas hendak melayan rajuknya, aku biarkan saja.

“Fiah!!”

Aku dan Ilham sama-sama berpaling bila namaku diseru agak kuat. Klik… Terus mataku terasa berpinar dengan cahaya daripada kamera Izham.

Bila dia melarikan kamera Canon DSR itu daripada wajahnya, aku lihat wajah itu tersenyum mesra tapi riak kemesraannya jelas tiada.

“Apahal kau tangkap gambar kami curi-curi, Iz? Sejak bila pandai jadi paparazi ni? Kalau kau cakap kan senang, kami boleh la posing sikit.” Ilham mula menarik pinggangku rapat padanya.

Dia merendahkan sedikit tubuhnya dah meletakkan pipinya rapat ke pipiku dengan tangan yang semakin kemas melingkari pinggang. Izham senyum lagi. Perlahan-lahan dia angkat kembali kameranya lalu sekali lagi cahaya terpancar. Sesudah itu dia terus berlalu ke arah khemah.

“Iz ni tak ubah-ubah lagi panggil Fiah nama je. Berapa kali dah abang pesan suruh panggil Kak Fiah,” luah Ilham geram.

Aku usap bahunya. “Biarlah, bang. Tak ada apa pun tu. Lagipun dia lagi tua dari Fiah apa. Mestilah dia terasa segan nak panggil kakak.”

“Segan tak segan. Fiah kan kakak sulung kat dalam rumah ni. Abang dia panggil Abang Am, isteri abang dia kena panggil kakak la. Tu tanda hormat kedudukan Fiah dalam keluarga ni. Bukan apa suruh dia saja-saja panggil.”

“Ya, Fiah tahu. Tapi, dah dia tak nak, tak payahlah bising-bising. Macam ni pun Fiah rasa dia hormat je kat Fiah. Abang tu ha, sensitif sangat,” pujukku lembut.

“Yalah, yalah. Fiah jelah betul.”
Dia berlalu semula ke khemah bila abah melambai ke arah kami. Hai, nak merajuk pulak. Pasal tu pun nak merajuk? Memanglah dia suami yang manja. Tak padan dengan anak sulung. Rungut hatiku sendiri.

Dalam pada aku ralit melihat Ilham melayani kenalan papa dan Uncle Azhan, bahuku tiba-tiba ditepuk dari belakang. Bila kau kalih, ternyata wajah ini bisa membuatkan lidahku kelu tidak terkata. Terasa berat hendak mengungkap kata. Bagaikan terpaku lidah ini pada lelangit.

“Aku macam tak percaya, memang kau orangnya,” ucap dia. Suara yang sudah lama tidak menyapa gegendang telingaku.

“Aku rindu kau sangat-sangat, Wafi,” bisik Faralina setelah aku berada di dalam dakapannya.

Dek rasa terkejut, tubuhku kejung tidak bertindak balas. Hanya kelopak mata yang semakin sarat digenangi air. Dia meleraikan pelukan dan terus merenungku dengan anak mata yang juga mula merah.

“Fa… Fa…ra…” ucapku tergagap-gagap. Dia mengangguk.

“Ya, aku ni. Kau dah tak cam aku ke, Wafi?”

Aku menggeleng. Perlahan-lahan air mataku mengalir lagi membasahi pipi. Air mata kesyukuran dengan pertemuan ini lalu aku pula meraih dia ke dalam pelukanku. Memeluknya erat tanda ada tanda hendak ku leraikan lagi. Rinduku padanya benar-benar menggunung tinggi. Begitu sukar hendak ku hubungi dia. Segala surat dan emel juga tidak pernah berbalas. Tidak pernah bersambut.

“Kenapa kau tak telefon aku, Fara? Kau pergi terus diam macam tu je. Kau langsung tak ingatkan aku ke?” tanyaku lirih.

“Aku bukan di Bandar, Wafi. Aku mengajar di pendalaman. Nak sampai hampir setengah hari perjalanan. Kemajuan juga agak kurang. Bukan aku tak sudi nak telefon tapi memang tak dapat,” ujarnya padaku. Dia juga sudah mengalirkan air mata.

“Aku dapat kad kahwin kau pun bila tarikh dah lepas beberapa hari. Itupun mak aku dah pos selaju mungkin,” sambung Fara berjenaka.
Aku ketawa sambil mengesat pipi. Dia juga begitu. Tapi, aku pelik, mengapa dia boleh ada di sini hari ni? Dan, dengan siapakah dia datang?

“Err, kau ni datang….”

“Lin, dah jumpa Kak Fiah ke?” tanya Iqram mencelah belum pun sempat dia menghampiri kami.

Lin? Aku mengucap panjang. Rasanya terlalu kecil dunia ini. Ya Allah, indahnya pertemuan. Terlalu indah. Sukar hendak aku gambarkan dengan kata-kata.

“Ni kawan Aqam?” tanyaku tidak percaya. Iqram mengangguk.

“Kenapa?” tanya Iqram pula.

“Ni kawan baik Kak Fiah,” ujarku sedikit terjerit. Benar-benar teruja.

Iqram aku lihat melopong. Lantas dia merenung wajah Faralina yang selamba. Dia memang tidak pernah berubah. Begitu jua. Suka beriak polos.

“Patutlah Lin senyum masa Aqam tunjuk kad kahwin Abang Am. Tak cakap pun…,” sela Iqram sedikit berjauh hati. Fara ketawa halus.

“Mula-mula tu Lin tak tahu juga. Bila tengok kad yang mak Lin pos dengan kad yang Aqam bagi, memang sah Nur Wafiah tu kawan baik Lin. Lin saja jelah tak nak bagitahu Aqam, nanti rosak rancangan Lin nak surprisekan Puan Wafiah ni…” ujar Fara lagi.

“Macam mana kehidupan kat sana? Balik ni sebab cuti sekolah ke?” soalku pula.

“Kehidupan kat sana okey saja. Aku seronok mengajar anak-anak pendalaman. Rasa insaf diri, Wafi melihatkan kegigihan mereka demi sedikit ilmu. Walaupun tak moden, tak ada kemudahan yang cukup, aku seronok dapat berbakti pada mereka. Tapi, lepas cuti sekolah ni aku kena mohon pertukaran dah. Mak ayah aku dah bising. Orang tu pun dah bising juga.” Fara menjeling ke arah Iqram.

“Eh, Aqam tak bising, ya. Aqam cuma minta Lin tukar ke Kota Kinabalu je lepas kahwin nanti. Tak kan seorang nak ke hulu, seorang nak ke hilir,” dalih Iqram.

“Tu dia, memang tak sabar dah budak Aqam ni ha,” sampuk suamiku tiba-tiba. Seperti biasa, dia terus melingkari bahuku. Memang suka menunjukkan kemesraan di depan sesiapa pun. Tak malu betul. Ejek hatiku.

“Hai, Cik Faralina. Lama tak jumpa. Last jumpa masa dekat airport, kan?” Ilham angkat kening dan Fara mengangguk.

“Abang dah tahu ke?” tanyaku pada Ilham tentang Fara dan Iqram. Ilham mengangguk.

“Baru je tahu. Aqam baru je perkenalkan kepada kami. Mama dengan abah sekali. Bila abang nak cakap pada Fiah pasal ni, dia kata dia nak jumpa Fiah sendiri. Kira bukan salah abanglah,” jawabnya sambil mengangkat tangan.

“Abang tu memang. Semua benda bukan salah abang,” cebikku dan dia ketawa.

“Tak sangka you all berdua ni, kan. Sekelip mata, tup-tup dah jadi padahal orang tu dulu kemain guard hati dia tak bagi orang dekat. Jangan kata nak dekat, nak tengok hati dia pun tak dapat dia pasang tembok tinggi sangat” usik Fara. Aku tersenyum nipis. Malu juga diusik begitu.

“Kau ni, nak mengata akulah tu. Baru jumpa dah nak mengutuk.” Kami sama-sama ketawa.

“Tak senang mana, Fara. Banyak dugaan yang kami perlu lalu, kan yang?” Ilham jungkit kening padaku. Aku hanya tersenyum nipis.

“Waa, seems like someone has keep a big secret…,” ucap Fara padaku. Aku geleng kepala.

Tiada apa lagi yang hendak aku rahsiakan. Yang berlalu itu biarlah menjadi sejarah. Tiada guna hendak diungkit lagi kerana kini kami di ambang kebahagiaan.

“Memang banyak rahsia dia, Fara.” Entah dari mana datangnya, Izham tiba-tiba menyampuk pula. Aku telan liur. Senyum Ilham juga mati. Hanya Farad an Iqram yang tersenyum tipis.

Izham berdiri tegak bersama-sama kami. Matanya jatuh ke wajahku lagi kali ini lalu aku larikan pandanganku ke arah Ilham. Lengan suamiku itu aku paut erat.

“So, bila nak mendirikan masjid ni?” tanya aku pada Fara dan Iqram mengubah topik perbualan.

“Aku memang tak kisah, Wafi. Sebab bukan aku yang kena pinang orang. Kena tanya orang tu lah.” Fara melirik ke arah Iqram yang sedang menggaru kepala.

“Ha, kau tu Aqam, bila? Cuba bagitahu senang Abang Am pujuk mama dengan abah.”

“Err, lepas habis belajar la kot, bang. Lagi setengah tahun la kot. Tapi, kalau boleh Aqam nak tunang dulu,” beritahu Iqram pada abangnya. Aku hanya mendengar. Fara angkat kening dan aku jungkit bahu.

“Ala, kalau kahwin terus pun apa salahnya. Tapi, ikut sukalah. Nanti abang cuba cakap dekat mama dan abah. Mama tu bukan kau tak tahu, selagi tak habis belajar, memang tak kasi lah,” usik Ilham lagi. Wajah Iqram sudah cemberut.

“Bukan apa, Fara. Mama tu takut Aqam ni melekat je pada Fara nanti. Master entah ke mana, kerja pun entah ke mana. Sudahnya Fara yang kena tanggung dia. Naya tu.” Ilham meledakkan tawa.

“Abang ni, teruk ar. Aqam tak macam tu lah,” protes Iqram pantas.

“Kalau macam tu, biar dialah jadi surirumah, Fara kerja,” tambah Fara pula menambahkan muncung Iqram lagi seinci.

Kami sama-sama ketawa, hanya Izham yang tersenyum tipis. Kamera di tangannya di belek lama. Aku tidak tahu, adakah perhatiannya itu hanya pada kamera hitam pekat itu, aku pada tempat lain kerana sesekali hujung mataku dapat menangkap Izham mencuri pandang ke arah aku dan abangnya.
*****
BIBIRKU senyum sendiri melihatkan Fara yang sedang ditemuduga oleh abah dan mama selepas tetamu beransur pulang. Yang tinggal hanyalah Aunty Seri dan Encik Azhan saja. Selain daripada keluargaku dan juga caterer.

Iqram pula sejak dari tadi melingkari bahu mama. Rasanya pasti dia hendak memujuk mama. Sekejap dia tunduk, sekelipan pula ketawa. Hati ini benar-benar tercuit. Begitu ralit memerhatikan mereka, aku tidak sedar bila Kak Anah duduk di sisiku.

“Akak kena balik esok, Fiah,” ucap Kak Anah dengan wajah yang tidak beriak.

“Kenapa? Kan dah janji nak tinggal lama sikit.” AKu sudah mula rasa tidak puas hati.

“Abang Zali dah telefon marah-marah, kata akak keluar rumah tak minta izin dia,” jawab Kak Anah. Dia mengeluh.

“Akak datang ni tak cakap dekat dia ke?”

Kak Anah menggeleng. “Macam mana nak cakap kalau dia lesap macam tu je lepas Fiah bagi duit tu kat dia?”

“Kak, kan tak elok keluar rumah tanpa izin suami,” ucapku perlahan cuba menenangkan hati kakakku ini. Jelas di wajahnya tergambar sejuta kerisauan.

“Akak tahu, sebab tu akak dah cakap kat mak, kami balik esok jelah. Lepas habis majlis kamu berdua. Tapi, sebelum tu akak nak tanya, Fiah dah cakap pada Ilham pada Abang Zali ugut Fiah tu?”

Aku tepuk dahi. Kak Anah mengeluh. Entah bagaimana aku boleh terlupa akan perkara sepenting ini. Sepatutnya aku awal-awal lagi memberitahunya mengenai perkara ini.

“Jangan nak cakap Fiah lupa?”
Mata Kak Anah aku pandang dan kemudiaannya aku mengangguk jua. Terasa cuai benar diri ini. Baru saja dijengah kebahagiaan, sudah terlupa akan kedukaan yang masih bersisa.

“Jangan macam ni, Fiah. Akak kenal suami akak tu siapa. Cakap pada Am cepat sikit. Biar dia tahu. Jangan satu hari nanti timbul syak lain pulak. Lelaki ni bukan boleh kira. Mereka ni selalu tewas dengan curiga pada perempuan yang mereka sayang,” ujar Kak Anah sambil menepuk bahuku lantas berlalu mendapatkan mak dan anak-anaknya.

Nasihat Kak Anah aku terima dengan hati yang terbuka. Benar katanya, andai Abang Zali yang bertindak dulu, pastinya hubungan yang baru jernih ini kembali keruh. Bukan aku tidak yakin akan kepercayaan Ilham padaku, tapi rasa ragu-ragu itu masih ada.

Benar juga kata kakakku, lelaki sentiasa tewas pada makhluk yang bergelar wanita. Cemburu dan curiga pada wanita yang mereka sayangi pastilah akan menutup mata dan membutakan hati dalam menilai. Aku serik begitu. Aku pernah lalui dan aku tidak sudi hendak laluinya sekali lagi.

Wajah Ilham aku intai di segenap arah. Tidak pula kelihatan dia sejak daripada tadi. Entah ke mana hilangnya. Aku bangkit dari duduk. Kaki ini aku bawa melangkah ke arah belakang bila aku tidak dapat menangkap susuk tubuhnya di bersama dengan keluarga yang lain.

Puas mencari akhirnya aku mengambil keputusan untuk masuk saja ke dalam rumah. Mungkin juga Ilham sudah ada di dalam rumah. Kaki ini aku atur pantas mendaki anak tangga menuju ke bilik kami bila aku berselisih dengan Izham di tangga.

“Nak ke mana?” tanya dia tenang.

“Nak cari Abang Am,” jawabku lalu aku gariskan senyuman tipis buatnya.

“Abang Am dah masuk bilik ke?” tanya dia lagi. Aku angkat bahu tanda tidak tahu.

“Tak apalah, Fiah masuk dulu, ya,” pintaku pada Izham.

“Err, Fiah…” panggil Izham selepas setapak aku menapak. Langkah ini pegun. Aku kalih pada dia.

“Ya, kenapa Iz?” Aku menyoal dia mesra.

“Fiah betul-betul bahagia ke sekarang?”
Wajahku mula nak berkerut mendengarkan soalan dia. Ini adalah kali kedua dia bertanya begini dalam satu hari saja. Kadang-kadang aku terfikir, penting sangatkah kebahagiaanku pada dia?

“Kan Iz dah tanya petang tadi?” Aku senyum lagi biarpun rasa sudah tidak selesa berhadapan dengan adik iparku yang seorang ini.

“Iz tahu dan Fiah dah pun jawab. Tapi, Iz cuma nak kan kepastian. Tu je. Kalau kata Fiah benar-benar bahagia, Iz lagi bahagia,” ucapnya dengan nada yang sedikit sayu menerjah telingaku.

Tidak dapat aku terima kenyataan dia sebenarnya. Ada riak gusar ada riak bimbang di wajah itu.

“Kenapa Iz tanya macam tu? Iz ada apa-apa ke nak bagi tahu dekat Fiah? Kalau ada Fiah boleh dengar sekarang?”

“Ada…” Suaranya berubah perlahan. Wajahnya mendung.

“Okey, apa dia. Cuba Iz cakap. Kalau Iz ada masalah, kot-kot Fiah boleh tolong.” Aku cuba menyedapkan hatinya agar dia mempercayai aku.

Jika benar seperti yang telah mama rasakan yang dia sedang menyimpan perasaan pada seseorang, aku juga ingin tahu siapakah wanita yang bisa membuatkan jiwa lelaki yang pendiam ini resah begini.

“Memang ada, tapi patutlah dah lama Iz cakap pada Fiah. Sekarang dah terlambat. Jadi, rasanya dah tak ada cerita lagi dah,” ujarnya dengan suara yang tenggelam timbul. Dia ketawa kemudiannya.

“Apa yang lambat, apa yang nak diceritakan ni?’ sergah Ilham tiba-tiba.

“Apa, Iz?’ tekan Ilham keras. Dia paut jemariku erat.

“Tak ada apalah. Iz turun dululah.” Izham terus berlalu.

Aku dan Ilham hanya memerhatikan adiknya yang sedang laju menuruni anak tangga. Bila kami halakan pandangan ke pintu, wajah mama sedang merenung ke arah kami. Dari jauh, sukar hendak aku baca riak mama. Sudahnya dia juga berlalu keluar bersama Izham.

“Iz tadi tu kenapa?” tanya Ilham saat kami sama-sama duduk di birai katil.

“Entahlah, bang. Dia macam nak cakap sesuatu dekat Fiah tapi tak jadi sebab abang menyampuk dulu.”

Ilham buat muka. “Nak kata abang kacau daun la tu.”

“Mana ada.” AKu ketawa kecil. “Itu pun nak sensitif abang ni. Tapi, betullah. Iz tu memang ada benda yang nak bagi tahu kat Fiah tapi tak tahulah apa. Dia macam segan nak cakap.” Aku garu dagu sendiri memikirkan kerenah Izham ni.

“Ala, tu mesti nak cakap pasal perempuan yang dia suka la tu. lepas tu malu bila abang ada. Mesti dah dengki tengok Aqam nak tunang dah.” Suamiku ini gelak sakan.

“Dahlah, yang. Dia dah tua dah. Pandai la dia uruskan hidup dia.”
Ilham bangkit lalu membuka baju melayu yang tersarung di tubuhnya. Aku hanya memerhatikan saja tapi ingatanku tidak lepas daripada Izham. Sudahnya aku terlupa apakah yang harus aku beritahu pada Ilham bila aku mencarinya tadi.

“Abang nak mandi dulu. Rimaslah nak tidur dengan badan yang melekit,” beritahu Ilham padaku.

Dia selamba saja menanggalkan seluruh pakaiannya di depanku lalu dia belit tubuhnya dengan tuala. Aku yang melihatnya pula terasa malu sendiri.

“Abang ni, memanglah tak malu,” komenku dengan wajah mencuka.

“Eh nak malu apa? Dengan isteri sendiri,” jawabnya selamba.

“Memanglah abang tak mahu, tapi Fiah yang menengoknya ni, malu.”

“Hai, malu pulak. Tadi tak malu.” Ilham sudah sengih lain macam. Perlahan-lahan kakinya menapak ke arahku.

“Bila masa pulak Fiah tak malu?”

“Tadi masa mandi tak malu pun,” jawab dia pula.

Aduhai, dia memanglah suka menyakat. Aku sudah tidak tahu mana lagi harus aku sorokkan wajah bila Ilham mengungkit perkara di dalam bilik air lewat petang tadi.

“Ok, sayang malu. Tengok muka dah merah.” Dia gelak dan terus berlalu ke bilik air.

Aku geleng perlahan. Almari pakaian aku rapati, lalu aku keluarkan sehelai t-shirt dan juga sehelai track bottom untuknya. Aku buka baju kurung moden yang sedari tadi membaluti tubuhku. Mahu digantikan dengan baju tidur. Mandi? Malas pula bila kulit ini semakin sejuk dicucuk penghawa dingin.

Bila Ilham keluar daripada bilik air, aku sudah siap menukar pakaian lengkap dengan tudung. Dia memandangku pelik.

“Kenapa pakai tudung?” tanya dia seraya dia mencapai pakaian yang telah aku sediakan.

“Nak turun lagi. Ada lagi tetamu tak pulang ni,” jawabku bila teringatkan Fara.

Ilham senyum kemudian dia menyarungkan pakaian itu ke tubuhnya dan seperti biasa juga, tuala putih itu dia hulur kepadaku. Mengerti dengan kehendaknya, aku sambut tuala itu lalu aku tarik dia duduk di birai katil. Rambut yang sedikit panjang itu aku lap perlahan.

“Sudahnya, tak datang juga Fatehah, kan abang?” Aku mengeluh tanpa sedar bila teringatkan wajah Fatehah yang tidak muncul-muncul sampai ke sudah.

“Emm, kita dah jemput. Dia tak nak datang, kita nak buat macam mana,” jawab Ilham memberikan jawapan mati.

AKu diam sambil jemari masih ligat mengelap rambut suamiku. Dalam pada aku menimbang-nimbang cara yang mana harus aku selesaikan masalah yang masih ada, jemariku ditarikh olehnya.

“Kenapa?” tanyaku sepatah bila Ilham sudah menarik aku duduk di ribaannya.

“Rindu,” jawabnya pendek. Aku senyum.

“Kena rehat, esok nak layan tetamu,” balasku setelah mengerti akan maksud yang dia hantar melalui pandangan matanya.

“Malam esok?” tanya dia lagi.

“Malam esok kena angkut barang daripada rumah sewa. Petang tu nak kena hantar mak balik dah.”

Wajah suamiku berkerut. “Eh, mak nak balik dah? Awalnya..”

“Kak Anah kena balik. Suami dia…” Bicaraku mati. Tiba-tiba saja teringatkan perkara yang perlu aku bincangkan mengenai Abang Zali yang tercantas oleh kerisauanku pada Izham dan Fatehah.

“Kenapa dengan suami dia?”

“Kak Anah cakap dekat Fiah tadi, Abang Zali suruh dia balik. Isteri orang, tak boleh nak buat apa,” ucapku tenang sedangkan gelora di hati sudah mula beralun.
Tidak tahu bagaimana harus aku beritahu dia perkara ini. Takut juga ada dan yang selebihnya rasa bimbang jika dia tidak dapat menerima caraku itu.

“Abang…” seruku manja.
Ilham tidak menjawab sebaliknya dia mengeratkan lagi pelukannya di pinggangku.

“Fiah ada perkara nak cakap pada abang,” beritahuku separuh berbisik.

“Cakaplah. Apa saja tapi jangan sebut nama lelaki tu.” Dia awal-awal lagi memberi amaran agar aku tidak menyebut nama Fazlee.

“Tak adalah. Ni pasal Abang Zali?” Makin berkerutlah wajah suamiku ini.

“Kenapa dengan dia?” tanya Ilham tidak sabar.

“Lepas abang tinggalkan Fiah tu, Fiah ada ceritakan pada Kak Anah tentang kita. Pasal perjanjian kita tu.”

“Kak Anah tahu pasal tu?”
Aku angguk.

“Fiah tak sengaja cakap. Sebab Fiah ada minta Kak Anah cashkan cek dalam akaun abang. Dari situ Kak Anah syak. Fiah dah tak boleh nak buat apa-apa lagi dah kecuali ceritakan semuanya,” ujarku bimbang.

Risau juga andai Ilham menyalah tafsirkan hakikat sebenar. Aku memang tidak sengaja memberitahu Kak Anah.

“Patutlah dia lain macam je masa abang sampai pagi tu,” ujar Ilham lebih pada dirinya sendiri. Aku mengiyakannya.

“Jadi, apa kena mengena dengan suami dia pulak?”

“Abang Zali terdengar masa Fiah sembang dengan Kak Anah. Lepas tu…” Aku telan liur yang terasa kelat tiba-tiba.

“Dia ugut Fiah, macam tu?’ tanya Ilham tepat. Aku mengangguk jua.

“Lepas tu dia minta duit dengan Fiah, macam tu?” Aku angguk lagi.

“Berapa banyak Fiah bagi?”

“Dua ribu.”

“Banyak tu, yang.” Ilham mengeluh.

“Kenapa Fiah nak selesaikan semua perkara dengan duit? Sama juga dengan hal kita, Fiah selesaikan dengan duit jugak. Kan dah jadi masalah. Ni mesti Abang Zali minta duit lagi dengan Fiah, kan?”

Aku menggeleng dengan telahan Ilham. Terasa hati juga dengan kata-katanya. Bukankah dia dulu yang minta aku kembalikan duit itu padanya?

“Dia tak minta lagi pun. Tapi, Fiah takut kalau kata dia minta lagi lepas tu Fiah tak bagi, dia akan beritahu tentang kita pada mak,” aduku takut.

“Lagipun, Fiah bukan nak selesaikan semua dengan duit tapi Fiah tak tahu apa pilihan yang Fiah ada masa tu. Abang dah tinggalkan Fiah, dan Fiah tak nak mak tahu perkara ni.” Suaraku sudah berubah lirih.

Pedih sungguh hati aku ini bila Ilham menuduhku begitu. Sedangkan semua ini berpunca daripada dia juga.

“Abang tak kata Fiah.” Dia eratkan pelukan dan mengucup pipiku sekali.

“Maksud abang, kita tak boleh nak selesaikan semuanya dengan duit, sayang. Tengok apa jadi sekarang. Tapi, perkara tu kan dah lepas. Kalau kata dia beritahu mak pun, mak tak kan percaya pada dia. Sebab kita dah jadi macam suami isteri yang lain, kan? Tak ada apa nak risau dah,” pujuk Ilham.

“Sebut pasal duit ni, cash yang Fiah bagi pada abang sepuluh ribu ada tu ha dalam laci. Tu pun duit Fiah jugak,” beritahu Ilham padaku.

“Dah abang yang minta bayar. Fiah bayarlah.” Aku membela diri.

“Dah Fiah degil nak bayar, abang terima jelah walaupun berat hati,” jawabnya pula tidak mahu kalah.

“Yalah, semua salah Fiah,” rajukku. Wajah ini sengaja aku kelatkan. Biar dia risau.

"Dahtu kenapa tak pakai je?" Aku bertanya lagi. Sengaja nak kenakan dia.

"Malu la suami pakai duit isteri. Buat apa?" Ilham mencebik.

“Lagi satu, sayang tak salah okey. Baguslah Fiah dah cakap awal-awal pasal ni dengan abang. Takut nanti lain pula jadi nanti. Dah tak ada apa nak risau dah. Kita hadapi sama,” pujuk Ilham kemudiannya. Aku melebarkan senyum.

“Kalau dia call Fiah lagi minta duit?”

“Fiah bagi abang cakap dengan dia,” jawab suamiku.

“Kalau kata mak percaya cakap dia?”

“Kita bagi mak cucu,” jawab Ilham lagi.

Tanpa sedar aku cubit lengannya. Dia memang begitu, suka menangguk di air yang keruh. Suka menyelit perkara sebegitu dalam perbualan kami.

“Mengada,” cebikku dan dia ketawa.
Setidak-tidaknya aku lega bila satu persatu perkara telah dapat kami selesaikan bersama-sama. Andai dulu aku mencari hikmah dugaan yang menghimpitku namun tidak pernah aku jumpa tapi hari ini, aku nampak hikmah itu bila Ilham semakin mesra yang semakin menjaga hatiku.

“Mengada pun dengan Fiah je tau. Dengan orang lain meradang ada,” guraunya.

Aku melepaskan tawa. Lehernya aku rangkul dan aku renung wajah itu lama. Nampak nakal pula sejak menjadi suami aku ni. Andai dulu, nakal juga tapi tidaklah ketara tapi hari ini terlalu nakal. Setiap senyum dan lirikannya sentiada bermakna.

Perlahan-lahan dia bawak telapak tangannya menutup mataku. Bila mataku terpejam rapat, dapat ku rasakan Ilham semakin mendekatkan wajahnya dengan wajahku.
Bila aku rasakan hembusan nafasnya hangat menyapa pipi, aku tahu dia sedang cuba melakukan sesuatu.

Belum sempat bibir Ilham singgah ke pipiku, aku terlebih dahulu buka mata bila pintu bilik terkuak.

“Kau lagi Aqam. Suka kacau daunlah,” jerit Ilham.

Serta merta aku bangkit dari ribaannya. Dua kali tertangkap oleh mata Iqram akan kemesraan kami benar-benar membuatkan kulit wajahku menipis.

“Apalah, nak bermesra tak kunci pintu. Patutlah hilang, berkurung rupanya. Faralina nak balik dah ni ha.” Kuat saja suara Iqram. Aku rasa dia sengaja kuatkan suaranya.

“Kau ni kan…” Ilham capai sebiji bantal dan belum sempat dia melemparkan bantal itu sekali lagi, Iqram sudah buka langkah seribu dengan tawa yang kuat.

~~~> bersambung

10 comments:

  1. otomatis romantis btol psgn suami isteri ni... suke2..

    ReplyDelete
  2. best..best...x sabar nk tau kisah seterusnya...cpt2 smbg

    ReplyDelete
  3. BAGUS CARA INI ... SELESAIKAN MASALAH BERSAMA.... HADAPI MASA AKAN DATANG BERSAMA....
    hahaha... Aqam memang sengaja tu....

    ReplyDelete
  4. Aqam mmg pengacau. but Izham ni yg manakutkan, klu dah tau terlewat tak payah la nk cakapkan kat Fiah lg. susahkan hati mama. cari ja yg lain. terima la hakikat. xkan nk ganggu gugat lg keharmonian abg kandung dia sndr. xbaik tau. dah la ada masalah pasal abg zali lg xselesai skali hal fatehah sama. apa kata biar ja Izham dgn Fatehah dr dgn Fazlee. ;D

    ReplyDelete
  5. akak tq so much sbb sudi update citer ni...sayang akak sgt2...bestlah citer ni...

    ReplyDelete
  6. hahaha asyik kantoi je bila nk brmsra.asyik2 aqam je yg nmpk...so sweet

    ReplyDelete
  7. suka sgt2......sweettttt....

    ReplyDelete
  8. salam kak RM... saya baru follow cerita ni dan saya suka sangat... bestttt...... tak sabar nak baca sambungan... ^_^

    ReplyDelete