Saturday, December 31, 2011

Bila Nak Saksi? [5]

[5]

BARU saja aku sampai di tingkat bawah, hujan turun pula. Tadi langit terang benderang menghiasi waktu tengah hari tapi kini suram dan kelam diselubungi awan hitam yang kian berarak. Usop dah lesap entah ke mana. Datang tak ku duga, pergi dalam sekelip mata.

Aku dongak ke langit. Rasanya lambat nak berhenti hujan ni. Dekat hentian bas seberang jalan pun tak ada orang. Jalan tar dah macam nak banjir. Aku kemaskan pelukan pada beg galasku. Rasa sejuk tubuh disapa angin yang semakin galak berhembus.

”Tak nak berhenti ke hujan ni?” Aku bertanya pada diri sendiri. Kuat pulak tu. Macam bercakap dengan orang lain pulak.

Mama kata, aku memang macam tu dari kecil lagi suka bercakap sendiri. Mama dah risau bila aku menginjak tujuh tahun tapi masih bertutur bagaikan aku punyai teman di sekeliling sedangkan langsung tiada. Tapi mujur, bila aku menginjak kanak-kanak dan remaja, doktor mengesahkan itu perkara biasa untuk anak-anak aktif macam aku ni.

”Baru ingat nak balik dengan bas je. Tapi, dah hujan ni terpaksalah telefon abang minta tolong,” ujarku seraya mengeluarkan telefon dari poket beg galas.

Telefon biasa je. Nokia C3. Itupun abah yang hadiahkan bulan lepas setelah telefon bimbitku dicuri orang. Tapi sebelum tu, kena tadah telinga dulu la. Ingat nak minta lebih-lebih sikit. Samsung Galaxy Tab ke, S II ke tapi abah jegilkan mata.

”Nak lebih-lebih beli sendiri. Abah dah cukup hantar beri pendidikan.” Itulah ayat abah masa tu.
Hai... aku menggeleng. Jemari ini ligat menekan punat di dada telefon berwarna pink terang ni. Pink abah pilih?
Bila aku tanya dia jawab, Lit kan perempuan!

Sebentar kemudian, aku dah dengar talian bersambung. Harap sangat Abang Jeff dapat menjemput aku pulang. Andai tidak, pasti kebasahan. Lepas tu demam kalau antibodi tak kuat. Esok tak boleh datang kelas mengajar anak-anak ni. Tak naklah macam tu! Abang, tolong setuju.

”Kenapa Lit?” tanya abangku itu tanpa memberi salam.

”Assalamualaikum,” sinisku. Mama dah ajar dari kecil tentang salam tapi dia gelojoh. Macam nak kahwin dulu, gelojoh juga.

”Waalaikummussalam,” jawab dia bersama tawa. Padahal tak lucu pun.

”Apa hal ni telefon abang? Orang tengah landing baik punya hujan-hujan ni. Lit kacau pulak,” rungut Abang Jeff di hujung talian.

Sayup je dengar sebab hujan memang lebat. Menderu angin yang berhembus. Rambut aku ni dah terbang bersepah dah. Ikat pun macam tak ikat dah.

”Ha, sebab hujanlah Lit telefon abang ni. Boleh tak datang jemput Lit depan masjid besar? Hari gelap gelita ni ha. Takut tak dapat bas atau teksi pulak. Nanti mama risau.”

Aku pancing Abang Jeff dengan nama mama. Mesti dia setuju nak jemput pada fikiranku tapi sayang bila dia ketawa saja.

”Alaa, abang malas la nak keluar. Orang tengah hangat bercinta dengan isteri ni,” jawab dia memberi alasan.
Eleh, itu pun nak cakap. Memang tak malu abang aku ni. Wajah dia memang macam kulit biawak. Tebal dan menggerutu sebab tu tak tahu malu.

”Lagipun, mama dengan abah kan dah bagi pelepasan yang selama ini Lit idamkan. Alang-alang dah dapat keizinan ni, Lit gunalah baik-baik. Jaga diri, bawa diri sendiri ke jalan yang lurus, jalan yang benar, jalan yang diredhai......,” sambung dia lagi meleretkan kata dan kali ini tawanya semakin galak.

Aku jauhkan telefon bimbit aku ni jauh sikit. Perit telinga padahal deru hujan kuat ni. Tapi, dia ketawa lagi kuat.

”Abang ingat Lit tengah berjalan dekat jalan yang salah ke ni? Lit tak jalan pun ni haa. Lit tengah berdiri tegak je depan Persatuan Hokkien ni, telefon abang datang jemput Lit,” tegasku pula.

”Ala, Lit baliklah sendiri. Abang sungguh ni malas nak keluar. Tak pun telefon abah,” cadang Abang Jeff kemudiannya.

Ni yang buat aku geram ni. Kalau aku minta tolong dia, dia mesti cakap abah. Aku bukan tak nak telefon abah, tapi hari minggu ni, biarlah dia berehat setelah penat melayan karenah anak-anak murid kat sekolah. Jangan kata anak murid, guru-guru pun sama. Sebab abah selalu cakap pada mama, guru-guru sekarang tak bersungguh-sungguh macam zaman-zaman abah dulu. Kesian abah. Makin berkilat kepala abah sebab dah tak ada rambut.

”Abah nak berehat la. Sebab tu Lit telefon abang. Boleh ke tak ni?” tanyaku lagi.

Abang Jeff diam seketika. Hanya nafas dia yang menyapa peluput telingaku kala ini. Apa lagi la yang dia nak fikir tu? Kot ya pun nak bercinta, datanglah jemput aku dulu. Kak Shima tu tak lari la sebab keluarga dia ada dekat Perak. Jauh la juga rasanya Kuantan dengan Teluk Intan tu.

”Abang fikir apa lagi ni?” tanyaku meluahkan rasa tak puas hati dah. Memang payah aku ni nak bersabar.

”Abang tengah fikir alasan sebab malas nak keluar jemput Lit la ni,” jawabnya tanpa nada bersalah.

Boleh dia nak fikir alasan tak nak jemput aku? Ini yang aku mula nak mencabar kehebatan silat gayung dia dan jurus karate aku ni.

”Abang jangan mengada. Abang ada adik sorang je tau. Kalau jadi apa-apa dekat Lit, abang jangan menyesal. Lit tak kira, kalau kata abang tak datang jemput, Lit duduk sini sampai abang datang!” tegasku lalu aku matikan talian.
Memang kena serang angin pusing dengan Abang Jeff ni. Orang tengah bersungguh-sungguh ni, dia main-main pulak.

Kali ini, aku rasa nak hempas je telefon bimbit aku tu ke dinding. Nak lepaskan geram pada Abang Jeff. Mentang-mentang mama dah lepaskan aku berterbangan sendiri, dia mula lupa amanat abah dan mama pada dia untuk menjaga aku.

”Jagalah abang nanti.” Aku merungut-rungut sendiri.

”Nak minta tolong orang bukan tu caranya.”

Tersentak aku dibuatnya dengan sergahan yang tiba-tiba tu. Baru saja nak kalih, tubuh dia sudah terpacak di depanku. Tak payah untuk aku pusing kiri kanan. Dia menyerah diri.

”Eh, awak ada lagi rupanya?” tanyaku sinis.
Usop senyum. ”Hujan ni. Saya nak balik macam mana sebab saya ni ada motorsikal je. Lagipun, saya tak sanggup nak biarkan awak berseorangan menanti yang sudi datang menjemput nanti.”

”Awak mengintip perbualan saya, ya Usop?” soalku sambil jari telunjuk aku goyangkan pada dia. Lengkap pakej dengan renungan redupku yang penuh curiga.

”Mengintip apa pulak?” tanya dia tenang. ”Dah memang dari tadi saya duduk belakang awak ni. Ingat nak datang dekat tapi dah awak bercakap telefon, malas nak mengganggu.”

”Eh, bukan ke tadi awak dah balik? Lepas saya tukar baju awak dah lesap dah.”

”Memanglah lesap sekejap, tapi saya turun hantarkan budak-budak tu balik asrama. Lepas tu saya datanglah balik sebab saya tertinggal seorang lagi kat sana. Ingatkan nak hantar juga tapi awak dah ada yang menjemput. Jadi, saya tunggu hujan reda sikit, saya baliklah,” ujarnya.

Aku mencebik. Dia ni memang kaki mengayat. Rasa macam dia nak mengorat aku je ni dan aku harus berhati-hati. Aku harus pagar hati aku dengan tembok yang paling tinggi dan sukar dipanjat. Jangan harap pun Usop nak intai hati aku.

”Kalau betul nak hantar, awak nak hantar saya dengan motorsikal awak tu ke?” Aduhai, tadi hati kata tak nak, tapi mulut ni terluncur laju je tanya pelawaan Usop tu.

”Eh, mana boleh. Awak tak ada pertalian muhrim dengan saya kenapa nak ajak awak naik motor pulak? Saya hantar awak kat bus stand seberang jalan tu la,” jawab dia sambil memuncungkan bibirnya ke arah perhentian bas di hadapan kami.

Erk, dia ni. Sengaja nak kenakan aku. Bila aku pandang dia, dia senyum dengan jelingan membunuh. Mujur tak membunuh.

”Kalau dekat bus-stop depan tu je, saya boleh jalan sendiri. Tak payah awak hantar pun tak apa, Usop!”

Dia ketawa kecil. ”Huiiii...sejuk ni,” ucap dia perlahan sambil memeluk tubuhnya yang agak sasa itu. Sasa la sangat!

”Saya kalau hantar awak kat bus-stand depan tu, ada pakej sekali,” sambung dia.

”Pakej?” Aku jungkit kening.

”Pakej menemani. Saya teman awak sampai awak selamat masuk ke dalam teksi ataupun bas. Sebab kat situ tak ada keretapi lalu,” jawab dia loyar buruk.

Eii dia ni. Aku rasa nak lipat je dia kat sini. Ada je jawapan yang nak buat aku sakit hati. Lama-lama boleh mati hati dengan budak ni.

”Tak apalah. Terima kasih jelah. Lagipun saya ni pandai jaga diri. Tak perlu awak teman pun,” selaku tidak kalah. Dia senyum saja. Malah makin lebar daripada tadi.

”La, siapa cakap awak tak pandai jaga diri? Saya cakap saya temankan je. Duduk diam-diam, jauh-jauh sikit. Kalau kata ada penjahat datang dekat awak, saya tak kata nak tolong pun,” tokok dia lagi. Memang ayat yang menyakitkan hati.

Aku dah bercekak pinggang. ”Dah tu kalau kata saya kena buat jahat dekat penjahat tu, awak nak tengok jelah?
Walaupun benda tu berlaku depan mata awak? Macam tu?” Kuat je suara aku hendak melawan hujan yang semakin lebat.

”Tadi, awak juga cakap pandai jaga diri. Saya tengok jelah. Nak campur tangan buat apa?”

Boleh pulak dia tanya aku macam tu. Semakin mendidih darahku dengan Usop Sonto ni. Yang Abang Jeff pulak, entah mana dia. Rasanya dah hampir 15 minit berlalu dalam pada aku bertekak dengan Usop ni. Rumah tu tak adalah jauh sangat dari bandar. Nak kata kesesakan lalu lintas? Errr, boleh jadi juga. Hai... Aku mengeluh akhirnya tanpa sedar.

”Awak tahu tak?” Usop bertanya tiba-tiba.

”Tahu apa?”

”Yang mengeluh tu perbuatan orang yang tewas. Hanya orang yang tewas je suka mengeluh ni,” sambung dia tenang. Lagi lagi kenakan aku.

”Saya bukan bukan sebab tewaslah,” bantahku kuat. Baru je nak reda perasaan ni.

”Habis tu?”

”Sebab pakwe saya tak datang-datang lagi ni haa. Dari tadi orang tunggu tak sampai-sampai!”

”Pakwe?” Usop ketawa sakan.

”Tak la.” Aku menggeleng. ”Teman lelaki!” tekanku tegas.

”Okeylah tu. Teman lelaki, pakwe, kekasih, kawan, tunang, buah hati pengarang jantung semua sama je,” sela dia.

Aku pelik. Mana ada sama. Kalau kawan, kawanlah. Kalau teman lelaki teman lelakilah. Kawan sayang kawan, teman lelaki cinta! Itupun dia tak tahu ke? Aku ingat aku yang baru lepas kandang ni je yang cetek ilmu cinta, rupanya budak gila kerja ni pun lagi cetek dari aku.

Memanglah dia gila kerja gamaknya sebab tu berpuluh kerja dia lakukan dalam satu masa. Sekejap jadi Encik Timbang, lepas tu jadi Encik Jurulatih pulak. Lepas ni janganlah dia jadi tukang kebun kat rumah siapa-siapa pulak. Lebih-lebih lagi rumah aku. Mati dia aku kerjakan nanti.

”Awak ni memanglah cetek ilmu cinta, kan? Teman lelaki tu di hati, untuk dicintai. Kalau kawan tu, sayang macam tu je. Ada faham?” tanyaku bagaikan akulah raja segala ilmu cinta di dunia ini. Padahal ayat tu pun aku tiru dalam buku.

”Awaklah cetek ilmu daripada saya. Memanglah semua tu sama je. Melainkan suami. Sah untuk digauli. Untuk bermanja. Kalau setakat pakwe, teman lelaki, kekasih, jantung hati ke, jantung pisang ke.... err, jantung pisang tu
sedap kalau celur cicah dengan sambal belacan....” Dia senyum.

Aduhai, apalah yang dia ni melalut pulak ni. Apa kaitan jantung pisang celur dengan tajuk perbualan kami tadi tu?

”Apa kaitan jantung pisang celur dengan tajuk tadi tu?” tanyaku geram.

”Eh, tak ada kaitan, ya?” tanya dia kembali. Dia ni memang nak kena.

”Memang tak ada kaitan!” jerkahku agak kuat. Tapi, Usop ni langsung tak terkejut.

”Eh, ada kaitannnya. Kaitannya adalah, saya suka makan makanan kampung macam tu. Kegemaran saya tu. Sebab tu ada kaitan dengan kita,” jawab dia. Riak wajah tu langsung tak beriak gurauan. Bersungguh-sungguh!

”Tapi, tetap tak ada kaitan!” Aku mempertahankan pendirianku.

”Emm, yalah. Tak ada kaitan buat masa sekarang ni! Pasal tadi tu betullah, yang awak sebut tu sama je. Tiada hubungan sah dengan awak. Tak boleh bersentuhan, haram! Tak boleh bermesra, lagilah haram. Berdosa. Lainlah kalau suami sebab kalau abang sekalipun, manja adik dengan abang macam mana sangat. Lainlah manja awak dengan suami awak nanti.”

Erk, betul juga dia cakap. Dia ni kalau bab nak perli orang memang dia panjang akal. Asyik terkena je aku ni.

”Tapi, tak apa. Saya dengan pakwe saya tu nanti dah nak kahwin tak lama lagi,” ujarku masih juga tak mahu mengaku kalah.

”Hati-hati kalau buat keputusan nak kahwin. Jangan terkena suami orang sudah,” pesan dia.

Abang Jeff tu memang suami orang. Suami kakak ipar aku. Jadi, apa salahnya aku ambil dia jadi pelakon pembantu kejap lagi. Rasanya pada mata aku, abang Jeff tu tampan orangnya. Macam akulah, jelita orangnya walapun dah memang nama aku tu Jelita.

Ada orang pernah cakap, aku dengan abang aku tu macam kembar. Tinggal abang aku tu, rambut pendek, ada misai dan janggut je. Kalau tak ada semua tu, dah macam fotokopi dengan aku dah.

Sebentar lagi aku nak biar Usop melelah air liur tengok aku pimpin tangan abang Jeff. Aku nak biar dia menitiskan air mata. Geram aku!

”Memang suami orang pun. Tapi, saya sayang dia. Awak kisah?” Aku buat muka sinis.

”Tak kisah langsung. Kenapa nak kisah sedangkan awak bukan sesiapa pada saya? Bukan juga kawan, bukan juga adik, bukan juga kekasih dan jauh sekali isteri. Jadi, tak ada istilah saya nak kisah,” ucapnya lebih tenang dari tadi.

”Awak ni siapa sebenarnya, hah?” tanyaku buat ke sekian kali.

Aku benar-benar ingin tahu siapakah dia? Dari manakah usul asalnya? Andai dari sungai Pahang, keturunan buaya tembaga manakah dia? Andai dari daratan, kaum asli manakah dia?

”Berapa lama awak ikat kontrak kerja amal ni?” Tengok, aku soal dia, dia tanya aku semula. Dah banyak kali macam ni. Soalan berjawab soalan.

”Err, tiga bulan.” Aku menjawab jua. Soalan senang je tu.

”Okey, awak ada tiga bulan untuk kenal saya dan dalam masa tiga bulan ni awak nilailah sendiri siapa saya dan kenapa saya buat kerja amal ni, dan kenapa saya kerja sana-sini,” beritahunya masih menyembunyikan hakikat.

Aku garu kepala. Tapi, tak pasal-pasal tanggal pulak getah yang mengikat rambutku. Mungkin kesan hembusan angin kuat tadi. Nak kutip getah rambut tu malas, jadi aku biarkan saja rambutku lepas bebas, menari-nari mengikut hembusan angin yang mengelus.

”Kalau kata saya tak sempat tahu semua pasal awak dalam masa tiga bulan tu?” tanyaku pula cuba bermain tarik tali.

Dia tidak terus menjawab, sebaliknya dia menapak ke belakangku lalu dia tunduk mengutip getah rambutku yang tertanggal tadi. Bila dia bangkit, dia tidak suakan padaku malah dia sarung ke pergelangan tangannya getah berwarna hitam itu.

”Kan elok kalau awak sorokkan helaian yang cantik berkilau tu di sebalik selendang? Kalau kata awak tak reti, bukan ke awak dah ditawarkan untuk belajar bertudung dengan anak-anak yatim tu tadi?”

Aku telan liur. Pedih hati menerima kata-kata Usop yang bagaikan belati. Seperti anak-anak itu tadi juga, wajahnya tenang melahirkan pendapat. Langsung tidak beriak sindiran.

”Err, belum sampai masanya kot.” Jawapan yang sama juga aku berikan pada Usop. Rasanya wajahku sudah menebal berinci-inci kala ini. Pertama kali ditegur oleh lelaki selain abah dan Abang Jeff, aku sememangnya malu sendiri.

Aku pegang rambutku yang terus dielus angin. ”Err, satu hari nanti, insyaAllah saya pakai,” sambungku lagi cuba menahan kecanggungan pada wajahku.

”Satu hari nanti tu, ya? Masalahnya sempat ke kita untuk satu hari nanti tu? Dan bukankah hanya yang sah untuk awak, layak menikmati keindahan setiap helaian rambut yang telah Tuhan anugerahkan itu?”

Ya Tuhan, waktu ini aku rasa mahu menitiskan airmata. Pedihnya telingaku waktu ini. Selama ini, nasihat mama dan abah meninggalkan kesan juga tapi tidak sehebat ini.

Usop senyum. ”Ini bukan paksaan dan ini hanya nasihat saja dan kalau kata awak tak sempat nak tahu semua pasal saya dalam pada masa tu, senang je. Awak ikut jalan awak, saya ikut jalan saya. Titik!” jawab dia serius.

Aku telan liur. Tiga bulan bukannya waktu yang lama. Pejam celik pejam celik rasanya tiga bulan itu akan tamat dengan pertelingkahan saja sedangkan soalanku tidak pernah dia jawab dengan baik.

”Tiga bulan tu sekejap je, Usop. Kan senang kalau awak berterus terang siapa awak. Nama apa, anak siapa? Mana keluarga awak? Awak ni misterilah. Buat orang takut je,” rungutku.

Dia senyum dan mendongak ke dada langit. Aku juga sama. Nampaknya hujan sudah hampir reda. Masih juga berintik kasar tapi tidaklah selebat tadi.

”Saya Usop dan keluarga saya adalah budak-budak tu tadi,” jawab dia membuatkan aku bertambah keliru dan kelu.

”Apa maksud a...” Tak sempat aku habiskan soalan tu, aku terdengar bunyi hon kereta yang kuat.

Aku pandang ke arah seberang jalan. Sebuah Honda City hitam metalik itu sudah terparkir gah di perhentian bas itu. Bila cermin kereta diturunkan, wajah Abang Jeff dengan Kak Shima terbias di mataku melambai-lambai memanggilku ke seberang.

”Usop saya...” Belum sempat aku meminta diri, dia hilang!

Lemah semangatku kala ini. Lelaki ini terlalu perahsia orangnya tapi dia bagaikan tahu hendak menentang karenah panas baran dan angin pasang aku ni. segenap segi, dia pandai menepis dengan senyuman dan ketenangan tutur katanya biarpun penuh berbaur sindiran.

Hon sekali lagi dibunyikan. Aku terus berpaling ke arah kereta dan terus melangkah laju setelah memastikan tiada kenderaan membelah jalan raya waktu ini.
***
MATAKU ini tidak lepas dari memandang ke belakang biarpun kereta Abang Jeff sudah meluncur laju meninggalkan bangunan Persatuan Hokkien tu. Ghaib ke Usop ni? Betul ke dia manusia atau jelmaan? Kenapa dia datang tanpa aku sedar dan pergi juga bila aku leka?

”Lit cakap dengan siapa tu?” Pertanyaan Abang Jeff membuatkan aku mencari pandangan matanya di dalam cermin pandang belakang kereta.

”Err, tak adalah siapalah. Lit kan suka bercakap sendiri,” jawabku beralasan. Abang Jeff senyum dan kembali bergerak laju setalah lampu merah bertukar hijau.

”Tak la, maksud abang tu, tadi masa depan bangunan tu tadi, Lit cakap dengan siapa tu?” soal Kak Shima pula bagi pihak suaminya.

”Salah seorang jurulatih karate tu ha. Usop nama dia,” jawabku telus. Dah tak pernah nak menipu, nak tipu buat apa.

”Usop?” tanya Abang Jeff dan dia ketawa.

”Apa punya kolot nama dia tu? Kawan Lit ke?”

Aku menggeleng. ”Tak la. Lit kenal dia kebetulan je.” Eh kebetulan ke? Bukan ke Usop cakap pertemuan antara aku dan dia adalah takdir? Emm, entahlah.

”Kebetulan yang macam mana? Bukan ke Lit yang mohon menjadi tenaga pengajar untuk anak-anak yatim tu?” soal Kak Shima pula.

”Err, tak tahulah kak. Mula-mula hari tu, dia terlanggar Lit, lepas tu Lit terserempak dengan dia dekat pasaraya, lepas tu hari ni pulak.”

Depan Abang Jeff Kak Shima memang memanggil aku Lit dan membiasakan dirinya Kak Shima sebab Abang Jeff marah kalau kami ber aku dan ber kau! Tiada tanda hormat katanya sedangkan pangkat Kak Shima dalam rumah itu adalah sebagai kakakku biarpun kami sebaya. Macam-macam. Mengada je lebih.

”Eh, lelaki yang mama cerita dekat aku tu ke?” Kak Shima mula buat wajah teruja. Siap kalih ke belakang berdepan dengan wajahku ini.

”Sayang... kalau Lit tak ber aku kau, dia pulak yang mula,” tegur Abang Jeff. Kan aku dah kata, dia memang tak boleh kami bercakap macam kawan.

Aku buat muka pada Kak Shima. Mengejek dia sebab kena marah dengan Abang Jeff tapi rasanya kejap lagi, mesti lentok leher suami dia tu.

”Maaf, Shima tak sengaja.” Lembut je Kak Shima menuturkan maaf seperti biasa dan Abang Jeff, melebarkan senyum.

”Abang maafkan,” balas abang aku tu. Aku mencebik bila anak mata kami bertaut di dalam cermin pandang belakang ni dan Abang Jeff tersenyum bangga. Benci!

”Lelaki tu yang mama cakap dekat Kak Shima semalam tu ke, Lit?” ulang Kak Shima lagi. Rupanya dia masih dengan soalan dia tu. Aku ingatkan dia dah lupa.

Entah macam mana aku nak jawab ni. aku risau kalau Abang Jeff pula syak sesuatu. Nanti dari satu soalan lompat pula ke soalan yang lain dan begitulah seterusnya. Jenuh aku nak jawab padahal aku tak tahu apa-apa pun tentang Usop tu.

”Err, lelaki tu la kot,” jawabku endah tak endah.

”La, kenapa kerap sangat jumpa? Atau Lit dengan dia dah berjanji, ya? Saja buat wayang?” tanya Kak Shima mengusik.

”Mana ada buat wayang. Lit tak tahulah, kak. Kebetulan je kot.”

”Dalam dunia ni mana ada kebetulan, Lit. Semuanya Tuhan dah takdirkan. Yang kamu berdua ni, bercakap pasal siapa ni? Lelaki mana ni?” Abang Jeff dah mula menyibuk dah. Kenyataan dia pun sama dengan Usop.

”Ala, kan mama ada cerita Lit terlanggar seorang lelaki tu. Lepas tu tak sangka pulak lelaki yang sama juga yang kerja dekat Parkson tu. Hari ni, lelaki yang sama jugak yang yang sama-sama mengajar dengan Lit ni,” beritahu Kak Shima pada suaminya.

Huh, tepat dan padat je ulasan tu. Cekap betul dia mentafsir dan mencerna kata-kata aku dan mama. Cerita yang langsung tak bercanggah. Teratur je rumusan yang dia buat.

”Betul, kan? Maknanya orang yang langgar Lit dengan jurutimbang tu dan jurulatih karate hari ni, orang yang samalah, ya?” duga Kak Shima lagi.

Aku malas dah nak mencipta dalih, jadi aku anggukkan saja mengiyakan segala telahan Kak Shima yang sememangnya tepat dan padat. Dia senyum. Senyuman yang penuh dengan isi. Macam pepatah lama tu. Diam-diam ubi berisi. Tapi Kak Shima, senyum-senyum mengesyaki sesuatu la tu.

”Siapa lelaki tu, Jelita? Kenapa abang tak tahu pun?” Suara Abang Jeff dah berubah nada. Kedengaran agak tegas kali ini.

”Err, Lit pun baru kenallah. Hari tu sekali, semalam sekali dah tu hari pulak sekali. Tapi, untuk tempoh Lit menjadi jurulatih ni la Lit akan jumpa dia,” jawabku cuba membuat Abang Jeff faham. Jangan cepat menuduh aku pandai-pandai punyai teman lelaki tanpa tapisan dan kelulusan daripada dia.

”Betul ke ni?” Dia jelingku penuh curiga.

”Betullah, abang. Lit tak tahu pun Lit akan jumpa dia lagi. Ala, tak ada apa pun lah. Lit tahu jaga diri.”

Abang Jeff mendengus halus. ”Jangan sampai Lit ada teman lelaki tanpa tapisan daripada abang sudah. Awak tu mama dengan abah amanahkan abang dengan Kak Shima jaga. Jangan pandai-pandai buat keputusan sendiri, ya?” Tegas je Abang Jeff memberi amaran.

Aku telan liur. Bila seorang arkitek berusia 30 tahun, iaitu Encik Jeffry bin Johari bersuara tegas, aku kecut
juga. Kadang-kadang bila angin pasang dia datang, usah dibawa bergurau, nanti dengan kita sekali terheret ke dalam angin pasang dia tu.

”Lit ingatlah, abang. Jangan risau. Kalau kata nak ada teman lelaki pun, Lit bawa jumpa abang dulu,” ujarku memberi jawapan positif buat dia.

”Emm, good girl.” Dia kembali senyum.

”Tapi, betul ke Lit jumpa dia macam tu je? Berkali-kali pulak tu. Kalau sekali boleh dikatakan kebetulan tapi kalau dah berkali-kali macam ni, rasa macam dirancang pulak. Lit tak rasa dia rancang ke semua ni untuk berjumpa Lit? Jatuh cinta masa kali pertama bersua muka mungkin?” duga Abang Jeff tiba-tiba.

Aku termangu seketika. Aku pun pernah terfikir macam Abang Jeff katakan, tapi bila melihatkan sikap Usop yang dingin dan suka mengusik itu aku tak rasa dia sukakan aku. Lagipun, dia dah ada teman wanita. Bukankah dia sendiri mengakui yang selendang kepunyaanku itu akan dihadiahkan buat teman wanitanya?

”Err, tak adalah, abang. Dia dah ada teman wanitalah.” Aku menidakkan dengan suara yang berbaur kecewa.

Rasa kecewa la juga bila rasanya, Usoplah lelaki pertama yang aku jumpa setelah mama izinkan aku mencari jalan sendiri. Rupanya milik orang. Tapi, seperti katanya, selagi tidak bergelar suami atau isteri, gelaran yang lain sama saja.

Namun hati orang, siapa yang tahu. Mulut biasa berkata demikian tapi tindakan merelakan. Hati pula tersenyum senang. Sama juga aku, mulut berapi-api menidakkan, akal juga tidak langsung mengiayakan namun hati ini rasa lain macam.

Kali ketiga bersua dengan Usop bersama anak-anak yatim itu, aku nampak satu kelainan dalam diri dia dan pastinya dalam hati aku ni. Apakah ini? Nak tanya mama, aku malu. Nak tanya abah, lagilah aku segan. Abang Jeff? Dalam diri dia, Kak Shima sajalah yang terbaik. Nak tanya Kak Shima, errr.... nantilah. Sudahnya aku telan sendiri apa yang kau rasa. Telan sampaikan terkubur di lubuk jiwa yang paling jurang.

”Kak Shima dengar macam nada orang kecewa je tahu kawan tu dah ada teman wanita?”

Aku tersentak. Kak Shima buat soalan membunuh lagi. ”Eh, mana ada?!” tegasku.

Mereka berdua ketawa. ”Tak ada tak payah marah. Biasa kalau orang marah ni, mesti ada,” sela Abang Jeff pula.
Semalam Kak Shima berkata demikian padaku dan hari ni suami dia pula. Memanglah suami isteri ni sehati sejiwa.

”Tapi ingat pesan abang tadi. Lit tu tanggungjawab abang bila mama dan abah dah amanahkan.” Keras je pula suara dia mengingatkanku akan amarannya tadi.

”Baiklah, abang. Senang cerita abang jelah carikan. Puas hati?!” tanyaku sedikit membentak.

Kadang-kadang aku rasa geram dengan Abang Jeff. Padahal Kak Shima tu sebaya dengan aku. 25 tahun dah. Tapi, dia boleh je layan Kak Shima tu macam orang dewasa waima sebelum mereka bernikah dulu pun tapi aku, dia sentiasa melayan aku bagaikan seorang anak kecil.

”Hai, marah nampak?” sela dia.

”Tak marah pun tapi bengang!” Aku berpeluk tubuh dan melemparkan pandanganku ke arah hujan yang kembali lebat menyimbah bumi.

Aduhai, hujan dah lebat semula. Harap-harap Usop tak basah balik dengan menaiki motorsikal. Nanti demam pulak dia. Ucap hatiku tanpa sedar dan bila aku sedar aku dah mula nak bercakap sendiri.

”Eh, apa aku fikir ni?” tanyaku pada diri sendiri kuat.
Kak Shima menoleh, Abang Jeff menjeling.

”Dia buat dah perangai cakap sorang-sorang dia tu, yang,” usik Abang Jeff dan aku sekali lagi tarik muka. Tarik habis-habisan.

”Bencilah abang ni!”
Dia ketawa. ”Merajuklah tu?” soal abangku lagi tapi aku tetap membatukan diri.

”Abang belanja aiskrim Magnum baru tu nak? Baru keluar iklan, Lit tak rasa lagi, kan?”

Itulah dia. Kalau aku buat-buat merajuk dia mula nak memujuk dengan aiskrim. Kan aku dah kata, dia memang tak pernah menganggap aku wanita dewasa tapi sebut pasal aiskrim, aku pantas mengangguk laju. Tak jadi merajuk dan Kak Shima dan Abang Jeff tersenyum penuh makna.

~~~> bersambung

Siapa Usop ni ek ... Saya pun tak tahu...hehe..

11 comments:

  1. tq rehan...besttt happy family.. suka sgt...

    ReplyDelete
  2. hah?? kak rehan pon xtau ka sapa usop nie?
    blh sya bg identiti kat usop? heheheh
    best la citer nie...tq!!

    ReplyDelete
  3. suka dgn telatah Jelita.....

    ReplyDelete
  4. saya cuma tahu satu usop aje..hehehehe. usop ni saya pun tak tahu.. nak tunggu cik RM pergi siasat dulu.. mungkin jawapan akan terjawb di n3 yg seterusnya..hahaha..
    erk!!! baru perasan, keluarga ni keluarga J ya??.. johari, jun, jeff & jelita..
    cik RM!! thanks... :)

    ReplyDelete
  5. Anak yang di didik dengan asuhan dan tatatertib biasanya mempunyai sifat2 yang baik mungkin manja tapi bertempat, mungkin kasar tapi mudah dilentur jika kena caranya.
    Terima kasih RM cerita anda membuat saya tersenyum sendiri.

    ReplyDelete
  6. hehe..disebabkan cite ni main buat je tanpa pk dulu..idea sume spontan mmg agak kabur sikit tp akan cuba yg trbaik utk semua..thanks all..

    ReplyDelete
  7. saya orang 1st yang komen untuk tahun 2012..ehem2

    dah masuk bab 5. cepat je. hehehe. suke ngan usop walu name die tlalu unik. maybe seunik orangnya. pandai bkata2 n setiap kata2nya ada makna. vote 4 usop n kene cakap la saya sukekan die even xsuke ngan nama die. hehehe

    cite dah semakin menarik. okla. xkisah la rm. idea spontan or apa je but saya suke. suke part usop menjadi garang n lit sedih. saya memang sedihlah. rm nie suke wat ayat sedih2 kan? hehehe

    lastly, untuk tahun 2012 nie saya doakan semoga TK dapat ke versi cetak n smoga rm dapat trus bkarya dan peminat akan semakin mengenali rm. saya pun kenal sikit2 je pasal rm nie. hahaha.

    good job n i like it. untuk next bab boleh buat lagi baik n untuk bab ini. tbaik n alhamdulliah!

    ReplyDelete
  8. bila baca tang usop,,
    mmg terbayangkan farid kamil.. haha..
    sangat sesuailah..
    dan dapat bayangkan kecantikan jelita tuh..
    dia orang ni berbalah,,
    dpt rasa keserasian dia orang.. hehe..

    ReplyDelete
  9. misteri la Usop ni...
    tp suka la dia...
    pakej baik calon suami...
    dlm nakal ada ketegasan & kematangan sbgai
    pmbimbing

    ReplyDelete
  10. Wah besh besh. Nanti nak beli la novel nih. Thanks for the best story line ever... ;)

    ReplyDelete