Thursday, March 29, 2012

Kerana Sekali Cinta [1]

BAB 1

DARI tadi, aku asyik memandang wanita ini. Nampak unik perwatakannya. Sebenarnya tidaklah unik mana. Nampak terlebih kalut secara tepatnya. Jemariku terus membelek helaian naskah yang ada di tangan namun mata ini, setia mengerling ke arah dia.

Sekejap buku yang dikeleknya terjatuh, sekejap pula beg yang disandangnya melurut jatuh hingga akhirnya beberapa buah buku yang dia jinjit bertaburan di atas lantai.

“Ya Allah, kenapalah aku cuai sangat ni?” Dia tepuk dahi.

Aku dengar dia bertanya begitu dan haruslah pada dirinya sendiri membuatkan aku senyum di hujung bibir. Novel baru itu aku capai dan terus aku menapak ke arahnya. Tubuh ini aku tundukkan membantu dia mengutip beberapa buah novel yang berteraburan itu.

“Errr…terima kasih, encik,” ucap dia padaku lantas kami sama-sama bangkit biarpun aku tahu wajah comel itu nampak terkejut.

“Sama-sama. Lain kali hati-hati sikit,” pesanku lalu aku bawa buku dia menuju ke kaunter MPH untuk membuat bayaran. Ada niat lain sebenarnya.

“Eh, mana encik nak bawa buku saya tu?” jerit dia tapi aku sengaja buat tidak peduli lantas aku percepatkan langkah menuju ke kaunter kerana aku tahu, dia sedang mengikuti langkahku.

Fuh, dah kena beratur ramai. Sebabnya satu je, pelajar-pelajar sibuk nak habiskan baucer buku 1 Malaysia. Nak daftar bagai menyebabkan aku yang bukan pelajar ni terpaksa beratur sama.

“Err… maaf encik. Minta buku saya boleh?”

Suara gadis itu lembut menegur aku. Aku lambat-lambat berpaling pada dia dan seperti biasa, aku hadiahkan dia sekuntum senyuman tipis.

“Tak apa. Saya tolong pegang sampai ke kaunter, ya?”

Dia menggeleng. “Tak apalah, encik. Saya dah biasa bayar sendiri semua.”

“Saya tak kata nak bayar tapi saya nak tolong awak pegang buku ni sampai kaunter je. Nanti berterabur lagi. Dahlah tangan awak tu dah penuh,” ujarku agak sinis.

Dia nampak gamam dengan mata yang terkebil-kebil memandangku. Kemudian dia memandang kedua belah tangannya. Sebelah memegang beg galas, sebelah lagi memegang buku lukisan dan di celah ketiaknya, ada juga barang. Memang kalut budaknya.

“Err.. terima kasih,” ucap dia akhirnya. Mengalah dan aku terus menghalakan pandanganku ke hadapan. Bergerak selangkah demi selangkah mendekat ke kaunter.

Bila tiba je giliran aku, aku persilakan gadis itu terlebih dahulu. Memberi laluan kepada kaum hawa. Kaum yang lemah. Bila buku itu aku letak di atas kaunter, dia nampak janggal menjeling ke arahku yang ada di sisinya.

Bukan aku peduli sangat pun. Aku masih ralit melihat ke arah sepotong nama pena yang ada pada kulit depan buku itu. Semakin hebat dia dari tahun berganti tahun.

“Okey, semua RM57.00, ya,” beritahu juruwang MPH setelah dia menyemak semua harga.

Aku masih berlagak selamba membelek buku yang aku pilih. Karya wanita yang pernah mengusik ketenangan hati ini dan akhirnya, daripada dia dan suaminya aku berjaya kenal erti cinta. Ada rindu hadir di hati tapi rindu kala ini mampu membuatkan aku tersenyum apatah lagi melihatkan wajah itu berseri-seri kala sah diikat semula oleh lelaki yang dia cintai.

“Eh, kena daftar dulu ke?”

Tersentak aku dibuatnya. Dalam melayan kenangan, suara budak perempuan ni masuk ketat ke dalam telingaku.

“Laa, saya nak cepat ni, kak. Tak boleh ke terima macam ni je?” tanya dia pada juruwang itu.

Juruwang itu menggeleng. “Ni polisi kami. Takut ada penipuan nanti.”

Aku pandang dia lama sebelum dia berlalu. “Kenapa?” tanyaku pada dia lalu dia unjukkan baucer buku percuma itu padaku. Dalam hati ini hai… budak sekolah rupanya.
Gadis itu mengeluh. Dia mengambil kertas baucer buku itu dan menapak ke arah meja untuk mendaftar. Aku terus membuat bayaran pada sebuah novel yang aku ambil tadi termasuk buku-bukunya. Senang! Jenuh nak tunggu padahal aku punya sebuah buku je.

Bila dia kembali, dia letakkan kepingan baucer tu di atas kaunter. Aku capai pantas tanpa melihat ke arah kepingan itu.

“Eh, kenapa ni encik?” tanya dia cemas.

Aku hulurkan resit dan plastik MPH itu padanya. Mata itu bulat. Sungguh agak sama dengan wanita itu. Namun, kematangan dia di depanku ini agak kurang menyerlah. Dengan jeans lusuh, kemeja, selendang yang membelit kepala dan paling menarik, sneakers Nike berwarna merah garang itu di kakinya.

“Eh, encik dah bayar ke?” tanya dia. Aku angguk dan terus berlalu ke pintu keluar.

Takut hendak merenung dia lama-lama bimbang aku terpaksa melupakan cinta lama yang sama sekali aku tidak sudi kisah itu pergi dari hati.

“Kenapa encik bayar?” soal dia. Jelas sangat dia tak puas hati.

“Sebab awak lambat. Nanti saya kena beratur lama pulak sebab nak tunggu awak. Saya banyak kerja lain,” jawab aku mendatar.

“Err… terima kasih tapi saya kena bayar balik ke?”

Huh, memang polos betul soalan dia ni. Ada ke tanya macam tu? Tapi, aku rasa kalau aku kata ya, boleh jumpa lagi tak? Untuk apa? Aku sendiri tak pasti.
Mata ini sekali lagi mengerling sekilas ke arah baucar itu. Tertera namanya membuatkan langkah kaki ini terhenti dengan sendirinya.

“Encik saya punya baucer tu,” mintanya.

Aku berpaling menghadap dia. Mata itu aku renung dalam-dalam hinggakan dapat aku kesan dia mula tidak selesa.

“Err… encik! Baucer buku saya,” ulangnya macam nak tutup kegelisahan.

“Nanti saya ganti balik cash pada encik tapi…” Suara dia mati bila aku makin tajam merenung dia.

“Anaresa?” tanyaku.

Dia angguk. “Anaresa binti Abdullah. Tu nama saya,” ucap dia.

Aku pandang sekali lagi baucer itu. Melihat ke arah tahun kelahirannya membuatkan aku senyum sendiri. Sebelas tahun berbezanya umur kami. Gadis ini baru menginjak dua puluh tahun. Padanlah nampak ranggi pemakaiannya namun masih menutup aurat dan sopan.

“Anaresa,” ulangku menyebut nama unik itu membuatkan aku merindui dia. Merindui seseorang yang bukan menjadi kepunyaanku malah dosa pula aku miliki nanti.
Anahara… seru hatiku tiba-tiba.

“Encik boleh panggil saya Ana,” ucap dia dan sekali lagi aku terkejut sendiri.

“Tapi, saya nak cepat ni. Kalau encik nak saya ganti balik duit encik, kita jumpa kat sini esok masa sama, ya. Assalamualaikum, encik errr…”

“Zafran,” jawab aku tenang sedangkan resah dalam hati ini macam guruh dah bila dia menyebut nama pendeknya.

“Oh, Encik Zafran. Terima kasih, ya dan baucer saya tu…”

“Saya pegang buat cagaran,” balasku dan dia terus berlari bila aku lihat ada temannya yang sedang melambai membuatkan aku kembali mencari wajah yang hampir bertahun tidak ku temui.

***

MASUK je pejabat, aku terus rapatkan daun pintu. Biasa aku buka je tapi kali ini rasa nak tutup. Kenapa tu, aku sendiri tak pasti. Tapi rasanya sebab dia. Ya dia. Bukan Anahara tapi Anaresa.

Kedua-dua wanita yang mempunyai nama yang unik dan hampir sama tapi sikap dan cara yang berbeza. Seorang bersikap selamba dan seorang lagi bersikap tertutup sungguh. Selama aku berpisah dengan Anahara, belum pernah sekali pun hati ini terusik dengan mana-mana wanita tapi kenapa dengan Anaresa ada rasa lain? Memang pelik.

Buku hasil karya Anahara itu aku belek lagi. Baru sikit aku baca. Hanya kerana dia, aku menjadi mamat novel. Tak ada nak jiwa sangatlah sebab buku dia je aku baca. Namun, tiap kali aku baca bait-bait ayatnya, pasti ada rasa sebak hadir.

Helaian demi helaian aku belek hingga akhirnya baucer buku Anaresa jatuh dari celah-celah buku. Terus tak jadi nak belek buku itu lalu aku tutup dan letak ke tepi. Sebaliknya aku tatap lama sebaris nama dia. Tanpa sedar, aku bawa telapak tanganku ke dada dan sungguh, ada detak pelik kat situ. Detak yang hanya ada kala aku menatap wajah isteri orang itu.

“Zaf!!”

Aku tersentak. Cepat-cepat aku selitkan baucer tu dalam novel dan terus aku panggung kepala melihat ke pintu.
Wajah Sarina tersembul bersama senyuman lalu dia menapak mendekat dan terus duduk di depan aku. Tanpa pelawa, itu sudah pasti. Tunggu aku jadi bos memang aku marah dia cukup-cukup.

“Apalah kau ni, Ina. Suka main ambush je,” tegurku bersahaja.

Dia senyum saja. “AKu risau kau tak sihat. Tutup pintu tiba-tiba. Tu aku terus masuk je,” ucap dia membela diri.

Aku mencemik. Dari ekor mata, aku terperasan yang Sarina sedang menjeling ke arah novel yang baru aku miliki itu.

“Kau beli lagi buku ni?” tanya Sarina.

Aku angguk saja lalu aku membelek kertas laporan yang ada di depan mata hendak melarikan hakikat yang bakal Sarina persoalkan nanti.

“Sampai sekarang kau masih ingatkan Ana ke, Zaf?” soal Sarina telus. Dia memang tak berlapik dah. Malas nak menjawab, aku buat tak tahu je.

“Kawan tu dah bahagia dengan keluarga dia, kau yang nak merana kat sini buat apa? Zaf…,” seru Sarina.
Dia tarik buku laporan itu ingin menarik perhatianku pada kata-katanya. Nak tak nak, aku pandang juga wajah kawan aku ni. Kawan yang membawa aku ada rasa hendak bercinta tapi akhirnya tak kesampaian.

“Biarpun aku kenal Ana lagi lama dari kau, aku lagi risaukan kau, Zaf. Tak bolehlah macam ni. Dah tiga tahun kot hal kau dengan Ana berlalu. Dia dah bahagia sangat dah. Kau tu ha. Sampai bila nak membujang macam ni? Tak ada pun, carilah steady dulu,” cadang dia.

Memang tiap kali Sarina sebut nama Ana itu akan membuatkan hatiku hampir melompat keluar tapi kali ini, cepat-cepat aku cari akal hendak memutuskan langsung telahan dia yang memang berasas tu.

“Aku memang ingatkan Ana tiap-tiap masa, Ina. Tapi ka utu jangan salah faham. Aku tak cinta isteri orang tau. Aku ingat Ana jugak. Cuma bukan Anahara tapi Anaresa.”

Novel di tangan Sarina aku tarik dah kemudiannya aku keluarkan sekeping baucer buku tu.

“Nah… tengok. Jangan tak percaya sudah!” tekanku sinis.

Aku lihat mata Sarina bulat sikit. Aku yakin dia terkejut melihatkan tahun kelahiran Anaresa tapi aku memang tak peduli. Tiga tahun ni pedih telinga aku. Sakit hati aku bila dia ungkitkan cinta tak kesampaian aku tu. Dah lah cinta pertama tu. Mahu tak parah hati.

“Kau biar betul, Zaf? Budak sekolah lagi ni.”

Seperti ku telah, Sarina memang tak akan puas hati. Al-maklumlah, bezanya aku dengan Anaresa tu sebelas tahun dan aku juga yakin yang Anaresa tak mungkin nak pandang aku tapi kejap. Kenapa aku nak dia pandang aku? Apa kaitan? Mengeluh hati ini seketika.

“Mana kau jumpa budak ni?”

“MPH.”

“Bila?” Sarina makin teruja.

“Lama dah,” selaku menipu.

“La, tak cakap pun dekat aku. Penat aku membebel bagi nasihat dekat kau lupakan Anahara tu. Kau ni. Tapi, tak muda sangat ke? Parent kau boleh terima ke, Zaf?”
Sarina ni memang banyak kerisauan. Mujur dia dah kahwin dan dah ada anak pun. Kalau tak, memang aku rasa dia suka aku sebab cara dia mengambil berat pada aku memang lain macam tapi aku tahu, dia tetap berasa bersalah setelah kes dulu tu.

“Siapa cakap aku lupakan, Ana? Aku tak pernah lupa pun. Tapi, ka utu selalu salah faham. Aku ingat dia macam kawan jelah. Kan aku yang tolong dia jumpa suami dia semula dulu tu. Tapi, Ana yang ni memang aku tak lupa.” AKu sengih pada Sarina menyembunyikan gundah.

Mana mungkin aku lupakan Ana pertama dalam hati aku dan aku harap, hadirkan Ana yang kedua ini biarpun hanya seketika mampu menghalau Ana lama itu pergi. Dia bukan milik aku dan akan kekal begitu.

“Kalau macam tu, aku tak risau dahlah nak sampaikan salam Anahara sekeluarga pada kau.” Sarina berubah ceria.

“Err… Ana call kau ke?”

“Haruslah. Aku kan satu-satunya kawan baik dia. Dan ya, dia kirim salam rindu pada kau,” beritahu Sarina membuatkan aku menggeletar sendiri.

“Rin… du?” tanyaku.

Sarina mengangguk. “Rindu sebagai kawan katanya. Kau kan dah ada Ana baru. Dahlah, aku keluar dulu. Ingatkan kenapalah kau nak tutup pintu bilik ni.”
Sarina langsung bangkit dan terus menapak ke pintu. Tanpa aku pinta, dia kuakkan pintu bilikku terbuka lebar. Baru aku nak fokus pada nama Anaresa dan salam rindu Anahara tu, wajah Sarina muncul kembali. Kali ini nampak serius je.

“Hah, apa lagi?” tanyaku dengan mengangkat dagu.

“Aku harap Anaresa tak dibayangi oleh Anahara, Zaf,” pesannya lembut lalu dia berlalu setelah dia mengukir sekuntum senyum paksa.

Aduhai, apalah aku buat ni. Buat Sarina fikir yang aku benar-benar punyai Anaresa dalam diri padahal aku baru je jumpa gadis ranggi ni. Langsung tak menepati citarasa. Jauh beza dia dengan Anahara dan pastilah kini… erkk.

Aku diam. Kata-kata Sarina terbukti dalam sekelip mata. Aku sedang membandingkan dua orang wanita itu kini membuatkan aku tepuk dahi lantas mengucap berkali-kali.
Lupakan semua. Esok aku akan pulangkan baucer Anaresa ni dan cukuplah nama Ana ada dalam diri aku. Dah penat. Nak cari nama Ton ke, Nab ke, Jah ke. Lagi senang. Aku muktamadkan perasaan yang bukan milik aku sebab segalanya miliki Allah dan sungguh, aku sentiasa berdoa moga Allah menuntun hatiku menyebut nama yang sepatutnya.

***

KAKI ini berat je nak melangkah. Bukan apa, ada rasa takut pada diri sendiri. Lelaki sejantan aku takut nak melihat ke arah wajah budak sekolah tu pulak dah. Itu yang pelik. Tapi, aku kuat katakan dia tak akan datang dan kalau datang pun, haruslah dia telah pulang kerana aku sudah terlambat tiba hampir sejam.

Semalam tu aku dari site, jadi ponteng kejap masuk kedai buku tapi hari ni daripada pejabat, waktu rehat baru mula jadi memang aku lambat. Biarpun aku tak sengaja, tapi bersyukur juga bila keluar lambat dengan tak sengaja ni.

Sedang aku memanjangkan leher menjenguk ke dalam MPH SACC Mall ni, aku terkejut bila bahuku dicuit sikit.

“Lama saya tunggu. Terpaksa ponteng kuliah hari ni,” ucap dia.

Bila aku berpaling ternyata Anaresa tersenyum tenang padaku. Wajah itu sedikit pun tiada beriak marah malah nampak mesra lain macam hari ni. Tak adalah kalut dia tu.

“Err… sa… ya baru lunch time ni. Bukan sengaja,” balasku gagap.

Dia angguk. “Saya tahu sebab tu saya sanggup tunggu. Nah…” Dia hulurkan sekeping not RM50 dan sekeping not RM10 padaku.
Dalam hati aku berkira-kira. Nak ambil ke tidak. Nak ambil ke tidak. Bila fikir, apalah sangat duit RM60 tu andai nak dibandingkan dengan gaji aku ni. Tak luak dengan rezeki yang Allah bagi jadi niatkan sedekah jelah. Moga ada pahala untuk aku nanti.

“Tak apalah. Saya datang ni nak pulangkan baucer awak ni je. Duit tu awak simpan jelah. Awak kan budak sekolah. Nak pakai duit banyak. Anggap jelah saya bersedekah.”

Anaresa menggeleng. “Tak apalah, encik. Biasiswa saya insyaAllah cukup untuk saya sepanjang semester ni. Kalau tak cukup, saya minta dengan encik boleh?” Dia senyum.

Aduhai. Memang cantik dia ni. Mata bundar, alis tak lentik sebaliknya macam cucur atap saja. Lurus tak bengkok tapi sesuai je dengan dia. Hidung pun tak lah mancung tapi bibir mungil merah merekah tu memang menampakkan dia comel dan sempurna.

Kejadian Allah segalanya sempurna dan bila dia ketawa kecil, aku nampak Ana yang dulu membuatkan aku tepuk dahi. Ya Allah, apa aku ni?

“Eh, encik saya gurau je. Jangan sampai tepuk dahi macam ni lah. Tak elok. Kat situ ada akal, nanti rosak pulak,” tegur dia sopan.

Nampak je ranggi tapi sangatlah bersopan. Tiap tutur katanya memang membuatkan ku ingat pada Anahara biarpun isteri orang itu sangatlah dingin selama kami berteman. Lain benar dengan Anaresa. Ada rasa hangat yang menjalar dalam hati. Apakah rasa ini? Pelik!

“Eh mana ada. Saya okey je kalau betul awak nak saya support awak belajar. Dengan syaratlah tapi…” Aku matikan ayat.

Lelaki, kan? Apa nak kata. Mula la nak menyakat je. Tapi, kalau dia sorong bantal, aku memang nak lena. Senang kerja aku.

“Syarat? Eh encik ni. Ada terma dan syarat pulak dia. Padahal nak pulangkan baucer je kot,” sela dia mengejek. Riak wajah itu pun jelas dia sedang sinis.

“Saya cakap betul apa. Dah awak nak saya support nanti, bukan setakat RM60 tu je, seumur hidup saya support awak,” ujarku semakin berani.

Dia jungkit kening. “Wow, seumur hidup. Tawaran terhad ni.”

“Memang terhad dan pendek je tempohnya. Bagi alamat awak. Saya hantar syarat-syaratnya,” mintaku.

Semangat semakin menggebu. Aku kena percaya, bak kata Anahara dulu, dia sendiri tidak menjangkakan yang Tuhan telah hantar jodoh padanya dengan cara yang tersendiri dan aku juga harus yakin, mungkin jodohku lebih unik daripada dia.

“Eh, nak buat apa?”

“Awak nak bayar saya harga buku semalam tu, kan? Nanti saya hantar jumlah dengan bunga sekali. Masa tu, awak bayarlah,” tekanku serius.
Berubah air wajah Anaresa. Langsung hilang ketenangan dia.

“Atau awak memang nak terhutang budi pada saya selamanya? Jangan suka terhutang budi, nanti tergadai body, payah.” Aku usik dia lagi.

Wajah itu kalut. Seperti pertama kali juga, beg sandang dia melurut ke kaki. Buku yang dikeleknya juga jatuh. Aku pantas tunduk dan mengutip. Comel sungguh. Pantang terusik, wajah kalut itu mencuit naluri lelakiku dan adakah ini bermakna aku bersedia menggantikan nama Ana lama itu dengan Ana yang baru, aku sendiri tidak pasti namun satu yang pasti, aku akan usahakan.

“Errr… tak nak macam tu.” Dia menggeleng berkali-kali.

Pantas dia gapai beg dia dari tanganku lalu dia keluarkan sekeping kertas dan sebatang pen. Jemari itu ligat menulis dan akhirnya, dia hulurkan sekeping kertas bertinta tangan itu padaku.

Aku senyum puas. Rancangan spontan kau berjaya.

“Itu alamat saya. Alamat kampung lagi. Minggu ni saya balik dan saya akan selesaikan hutang encik beserta bunga sekali.” Laju je dia berkata-kata.

Aku angguk dengan muka tanpa riak. “Betul ni awak balik kampung hujung minggu ni?” soalku pinta kepastian.

Dia angguk. “Dan encik pastikan surat encik tu sampai tepat pada masanya. Saya tak suka berbudi. Nak-nak dengan lelaki tahi hidung kelat macam encik ni,” tekan dia lantas dia berlalu tanpa mengambil baucer bukunya.

Lagi mudah kerja aku. Tahi hidung kelat dia kata. Kelat pun kelatlah. Ada niat yang baik dalam hati tapi rasa takut tu lebih menebal tapi sekali melangkah, aku akan teruskan. Allah akan membantu rancangan gila aku ni.

~~> bersambung

Cik Penulis : Cerita err...entah.. tak plot pun then main tulis je. Memang tak ada keje atau saya memang suke menulis. Haihh.. sabor jelah.layan komen dan maaf atas kekurangan

38 comments:

  1. nice.. good louck

    ReplyDelete
  2. kak rehan tlong abiskan kat blog blh x?
    request:kna wak pnjang sket dari crita KIM..

    >>nickhere<<

    ReplyDelete
  3. zafran.....perasaan sedih terhadap zafran terhadap ana yg lama tu menusuk kalbu maya la heheh..betul....dan maya suke perbezaan umor anahara gan zafran

    ReplyDelete
  4. Ana dulu susah nak berkata-kata kalu berkata-kata pun mendalam...
    Ana yang ini budak yang terlalu lurus .... best..
    Layanlah Zaf.... kita tengok macamana gaya budak tu terima Zaf.... hehehe...best....

    ReplyDelete
  5. salam.
    sukalah bila baca n3 baru nie.
    sambungan kisah zafran n ana 'baru'.
    xsabar nak tahu apa yang akan jadi lepas nie.
    gud job writer.

    ReplyDelete
  6. RM....U MEMANG PENULIS BERBAKAT. BANYAK BETUL IDEA YE!!

    AND ZAFRAN. NOW U ARE BACK....

    ReplyDelete
  7. best... saya suka la cerita ni & mcm biasa cerita dari rehan sentiasa menarik.

    ReplyDelete
  8. wow smbungan cter zafran ke? Best la kak RM, nk lg tk sbr nk tgu zfran jmpa anaresa

    ReplyDelete
  9. zafran dh jadi muda balik, kalut2x...tq rehan

    ReplyDelete
  10. suka....nak tgk camana Zaf layan budak sekolah...mesti sweet....

    ReplyDelete
  11. Apalah yn nk dibuat En Zafran tu ya???

    ReplyDelete
  12. seb baik akak wat zafran jmpa org lain...kalu x rsa bsalah je hri tu beria2 nk mukhlis...hahahahahah....

    ReplyDelete
  13. suka..suka... sebab tuk citer dulu zafran kan dah buat yg terbaik tuk semua org.. nak happy ennding tuk zafran plak...

    ReplyDelete
  14. cantiklah Rehan....memang istimewa untuk peminat zafran...
    dulu anahara tak pilih zafran so ... taklah terkilan sangatkan...
    harap yg ni watak heroin sempoi2x comel...
    keep it up Rehan ... I LIKE .. :)

    ReplyDelete
  15. Mcm anaressa tu ada kaitan aje dgn anahara....sy mmg suka zafran....kali ni nak zafran pulak bahagia....best cepat2 smbg...

    ReplyDelete
  16. heheheh , zafran si nakal , anaresa si comel. zafran muka macam ashraf muslim confirm lame lame nanti cair meleleh si anaresa tu. ngee :D

    #Murni Tan

    ReplyDelete
  17. Best la Rehan..ada sambungan..kalau dalam KIM saya tak suka Zafran...tapi kali ni saya suka watak Zafran..ye la Anahara dengan Mukhlis dah berbahagia..kali ni kita bagi plak kat Zafran bahgia dengan cinta dia plak...apa2 pun suka dengan Ana yg baru..comel je...cepat2 sambung ye..saya akan terus menyokong karya Rehan...

    ReplyDelete
  18. emm....mmg menarik....kesinambungan kisah Zafran KIM....sebenarnya saya bersimpati dgnnya dlm KIM sbb tak ada jodoh ngan Ana.Zaf nie bukannya jahat,tapi dia sorang lelaki yg berani meluahkan perasaannya walaupun tidak kesampaian.....so,saya setuju sgt bila cik writer buat kisah Zaf nie plak....hope kali nie berjaya....chaiyok Zaf!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  19. best la rehan............

    ReplyDelete
  20. permulaan yg menarik..
    semua ada kisah nyer tg tersendiri..
    harap2 biarlah ada bahagia utk zafran..
    xkan selamanyer dia nak mengena cinta yg pergi tu kan..

    **rehan klu bleh wat cam BNS la..xmo berat cam KIM
    yea..hehe**

    ReplyDelete
  21. **mengena = mengenang**
    aiseh!..senget daaaa..hihihi

    ReplyDelete
  22. hahahaaaa.... 'macam cucur atap'..!!

    tak pernah ku dengar...tapi menarik dan tepat

    ReplyDelete
  23. taknak cte berat2 jugakk just nice like BNS please :)

    ReplyDelete
  24. Semoga kali ini Zafran temui kebahagiaannya. Tak nak lah jadi bujang terlajak selama-lamanya. Semoga Zafran jumpa dengan sisi tulang rusuknya yang hilang.

    ReplyDelete
  25. hahaha..lawak lah zafran ni,takpe lah cuba yg baru ,hilang kan kecewa yg lama tu..

    ReplyDelete
  26. ops hehe lambat baca.hehe sebenarnya masuk cz nak ckp sy dah beli novel terlerai kasih.
    your stories mmg tak pernah mengecewakan lah!congrats!
    yg ni pun best plot dia.

    ReplyDelete
  27. Ya Allah... tak tahu nak cakap camne.. tapi rasa sgt teruja dan tak terluah rasanya perasaan gembira dan bahagia bila baca sambungan cite zafran yang kasihnya buat anahara tak tercapai.. semoga kali ni bahagia jadi milik zafran & ana...

    ReplyDelete
  28. best... berkait ngan KIM...teruskan...

    ReplyDelete
  29. memula baca pening jugak nk phm..
    gud story!!!

    ReplyDelete
  30. padan hang zaf.sekali kena tahi hidung kelat.hahaha

    ReplyDelete
  31. entah ke berapa kali saya baca citer ni.ini baca lg.saya suka kelakar

    ReplyDelete
  32. First time drop komen. Pelik juga baca novel dari sudut pandangan lelaki. Tapi enjoy~

    ReplyDelete
  33. Sambungan ku ingin milikimu tp versi zhafran, cantikkk

    ReplyDelete
  34. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete
  35. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete