Wednesday, May 23, 2012

Suami Tak Kuhadap 7

BAB 7

DUA HARI diganggu oleh pesanan ringkas daripada Budriz dan juga panggilan daripadanya benar-benar membuatkan aku tidak betah duduk. Akhirnya, aku mencampakkan telefon bimbitku ke dinding. Senang begitu. Pecah berderah.

Tuesday, May 22, 2012

Suami Tak Kuhadap 6

BAB 6

KERJA di pejabat tidaklah banyak mana pun. Surat yang Puan Sarimah minta, telah aku siapkan tanpa bertangguh. Berkeping-keping namun aku lakukan sebagai amanah buatku.

Sunday, May 20, 2012

Suami Tak Kuhadap 5

BAB 5

AKU menggelepur ganas. Tangannya aku tampar berkali-kali. Cuba meleraikan pelukan lengan sasanya di pinggangku.

“Lepaskan aku, bodoh! Kau nak apa ni sampai sanggup tunggu aku balik kerja ni? Mana kau tahu aku kerja kat sini, setan?” marahku bertubi-tubi.

Dia diam namun aku rasa sebelah tangannya lagi menyelak rambutku membawa bibirnya dekat ke telinga. Hembusan nafas hangatnya menyapa lembut cuping telinga membawa sedikit rasa asing dalam diri namun cepat-cepat aku kembali ke reality bila bibirnya melekap ke telingaku seketika.

Saturday, May 19, 2012

Suami Tak Kuhadap 4

BAB 4

KISAH baru bermula lagi namun sayang bila aku tak mampu keluar dan menjauh dari kisah silam. Membawa hidupku meniti titian usang yang kian rapuh dek dendam dan kebencian.

Kala ini, tahulah kau, hati ini sebenarnya tidak pernah rela mencintai namun kala Faez berkata tidak pada hubungan kami, bohong andai aku katakan langsung tidak terkesan di hati ini. Tapi, untuk melarat sendiri, itu bukanlah aku.

Hari ini, permulaan pagi yang agak tenang. Rambut yang lepas bebes aku kuak ke belakang sikit. Baju kurung dari jenis kain kapas berona hitam ungu yang membaluti tubuhku, aku usap lembut.

Thursday, May 17, 2012

Suami Tak Kuhadap 3

BAB 3

BIBIRKU hanya tersungging dengan senyuman kala melihat beberapa temanku merokok di belakang bangunan sekolah yang di dalam pembinaan. Bila disuakan, aku menggeleng dan membelek buku di tangan.

Bibir ini biarlah merah tak tercela. Aku tidak sudi membiarkan benda itu menyentuh bibirku. Aku masih waras. Pesanan ibu akan hal ini aku semat di dada sekemas mungkin. Yang lain tidak mengapa tapi hendak rosakkan diri sendiri, adalah tidak mungkin. Lantas, sebuah komik yang aku ambil dari meja salah seorang pelajar kelasku.

Wednesday, May 16, 2012

Suami Tak Kuhadap 2

BAB 2

JELINGAN Faez langsung tidak ku hiraukan. Dia tenang menghampiri keretanya namun resah perasaannya itu dapat kukesan jua. Bibir itu nampak bergetar hendak menuturkan sesuatu namun sayang bila dia telan saja akhirnya lalu dia kembali menatap bumi yang dilitupi tar hitam.

“Aez nak cakap, kan? Sila cakap!” suruhku agak tegas. Berubah langsung.

Tiada lagi kemesraan. Tiada juga senyuman. Hanya wajah kaku semata-mata tanpa memandang dia.

Tuesday, May 15, 2012

Suami Tak Kuhadap 1

BAB 1

AKU tongkat dagu di atas meja. Lama sungguh waktu berlalu. Rasanya hampir bengkok belakangku duduk di bangku sekolah mengadap papan putih dan guru yang sedang mengajar di depan. Bosan.

Buku aku belek berkali-kali. Sengaja aku keluarkan bunyi bising kesan daripada buku tersebut sampaikan guru kelasku berpaling.

“Kenapa kamu buat bising, Syaima?” tanya dia tegas.

Aku senyum dan berdiri. “Saya nak balik cikgu.”

Suami Tak Kuhadap [Prolog]

PROLOG

WAJAH itu aku renung tajam. Bencinya pada dia, hanya Tuhan yang tahu. Aku tahu dia tak sudi menentang padangan matanya namun, aku terus beranikan diri merenung dia. Permintaannya gila. Sama gila dengan kehendak ayah. Sama juga gila dengan Mak Usu hinggakan aku rasa aku berada di tengah-tengah hospital sakit jiwa.

“Kamu dengar tak ni, Syaima?” jerkah ayah membuatkan pandanganku pantas beralih dari seraut wajah tenang itu.

“Syai tetap dengan keputusan Syai, yah,” ujarku tegas tanpa memandang ayah.

Thursday, May 10, 2012

Kerana Sekali Cinta [24 -Akhir]

BAB 24

NAK hitung memang tak terhitung akan waktu yang pantas berlalu. Entah bila perut Anaresa membusung besar. Kesian juga bila dia ulang alik naik tangga turun tangga di UiTM sana demi menghabiskan sisa pengajian dia semester ini kerana semester depan haruslah dia menangguhkan pengajian dia.

“Sayang buat apa ni?” tegurku bila melihatkan dia sedang memanjat kerusi hendak mendapatkan sesuatu.

Dia senyum. “Resa nak ambil sesuatu atas almari ni.”

“Nak ambil apa? Mari sini turun. Biar abang ambil.” Serentak itu aku cempung tubuhnya dan aku letakkan dia di birai katil.

Kerana Sekali Cinta [23]

BAB 23

MESYUARAT berjalan lancar. Pembentangan juga memuaskan hati bos dan pelanggan serta pihak perunding tapi hati aku tak puas. Sebab? Sebabnya, Anaresa mungkir janji.
Bangkit nak pergi kerja pagi ini, apa yang aku harapkan tiada di atas meja makan. Rasa nak menitis airmata. Sudahlah hari minggu hari tu dia tak tunaikan jugak.

Bila bersendiri macam ni, aku ingat kembali peristiwa tu. Pedih memang sadis.

“Sayang janji nak masak untuk abang?” tanyaku pada dia bila aku angkat saji pagi tu.

Kerana Sekali Cinta [22]

BAB 22

PULANG dari pejabat petang itu, aku nampak suasana meriah di laman rumah. Semua ada. Eh, tak ada kuliah ke budak-budak sekolah ni? Boleh datang melepak rumah aku ni? Dan aku tiba-tiba ternampak motor Zafrin kemek sana sini. Cermin sisi dua patah. Apa hal ni?

“Assalamualaikum,” sapaku mesra.

Anaresa bangkit dan terus menyalami aku lalu dia tarik aku duduk di sisinya.

“Awal balik?”

Aku senyum. “Rindu,” bisikku ke telinga dia dan dia hanya ketap bibir menahan tawa.

“Eh, korang ni tak sekolah ke?” Aku pandang Jimmy dan Aziana silih berganti sebelum memandang Anaresa semula.

Dia jungkit kening. Aku faham maksudnya. Macam ada kuch-kuch hota hai je Aziana dengan Jimmy ni tapi kami buat tak tahu saja.

“Ada tapi pagi tadi sampai tengah hari je. Kami saja datang melawat Resa,” jawab Aziana sopan sambil menjeling ke arah Jimmy. Sah, memang kuch-kuch hota hai.

Kemudian aku pandang Zafrina pula. “Zafrina tak ada kuliah ke?”

“Ada. Baru balik ni,” jawab Zafrina tersengih. Aku angguk dan terus saja angkat tubuh.

“Lepaklah dulu. Nak masuk mandi kejap. Solat pun belum ni. Nanti I join you all, ya?”

Aku nak tarik tangan Anaresa tapi dia menolak. “Pergilah. Resa penat nak panjat tangga.”

Aku cebirkan bibir lantas berlalu saja. Kesian dia baru balik kuliah nak kena heret sana sini. Kala aku melalui ruang tamu, aku nampak Zafrin sedang terbaring atas sofa. Ada balutan pada siku dia. Apa hal pulak tapi tiba-tiba teringat motor dia yang macam kemalangan tu.

“Eh, Angah tak kerja ke? Siku tu kenapa?” AKu duduk di depan dia.

“Angah ponteng. ” jawab Zafrin selamba.

“Erk… ponteng ke apa ni?” tanya aku geram. Orang ambil berat dia main-main pulak.

“Ponteng sebab accident pagi tadi. Itu yang terbaring tu.” Mama menjawab dari dapur.

“Eh, kau kemalangan dengan apa?”

Tapi, Zafrin tetap diam lagi. Memang marah sungguh dia ni. Ni mesti dia tak puas hati ni. Aku kenal sangat adik aku yang sorang ni.

“Dengan motor katanya. Mamat mana lipat tak bagi signal katanya. Tergolek dua-dua. Bergaduh tak sudah tapi akhirnya, Angah malas nak layan, dia balik. Motor pun tak teruk tapi calar balar motor tu yang buat hati dia tercalar.” Abah menjawab pula.

Aku senyum. Macam aku juga. Andai kereta tergores, pedih di hati hanya Tuhan yang tahu dan haruslah aku faham perasaan Zafrin.

“Siapa, Angah?” Aku kuatkan suara bertanya bila Zafrin menekup wajahnya dengan kusyen kecil tu.

“Emm… mamat perempuan mana entah. Rasa nak sepak je kalau tak ingat dia perempuan!” Zafrin merengus.

Aku pandang abah. “Mamat ke minah?”

“Dua-dua!” tekan Zafrin geram.

“Lelaki ke perempuan?” Aku bersoal lagi.

“Tak dapat dikesan jantinanya,” sela Zafrin lagi.

Aku senyum pada abah. “Perempuan ke, bah?”

“Perempuan kasar katanya. Macam lelaki,” jawab abah perlahan dan aku hamburkan tawa.

“Nasib kaulah, Angah,” selaku lalu aku bangkit hendak berlalu ke bilik.

“Along nanti minta duit sikit. Cat motor balik.” Hah, sempat lagi dia minta sponsor. Aku malas nak layan sangat. Macam-macam hal adik-adik aku ni.

“Ala… sikit je tu. Tak jejas pun. Angah claim la dengan minah bin mamat tu nanti.” AKu ketawa lepas dan terus mendaki anak tangga. Lucu-lucu!

Setelah selesai semuanya dan dah siap mengenakan track bottom dan baju T, aku turun ke bawah tapi baru nak jejak anak tangga terakhir, aku dengar orang bertekak hebat di laman rumah dan yang paling tak menahan, suara Zafrin berdentum. Cepat-cepat aku keluar.

“Apa ni?” tanya aku pelik. Masing-masing diam dan mata Zafrin berapi-api.

Aku kalih pada seorang lagi dan mata Haqmi juga sama. “Bila sampai, Mi?” tanyaku tanpa tahu apakah yang sedang terjadi.

“Baru lagi tapi dah disambut oleh bapak singa kebulur ni,” jawab dia mengetap gigi.

Aku pandang pula Anaresa. Dia jungkit bahu tanda tak tahu. Aziana dan Jimmyu diam. Mama dan abah pun sama. Terkedu.

“Eh, kau mulut tu jaga sikit. Jangan dok cakap aku bukan-bukan kalau memang kau tu mata pecah!” marah Zafrin pada Haqmi.

“Apa hal ni, Angah?” tanyaku sedikit meninggi. Buat malu je.

“Kalau Along nak tahu siapa minah bin mamat tu… inilah orangnya.” Jari Zafrin lurus ke arah wajah Haqmi dan bila Haqmi nak gigit, dia sempat tariknya semula.

Erk… aku telan liur. Habislah. Macam mana boleh ada kebetulan yang indah ni? Tanya hatiku sendiri.

“Mi langgar dia ke tadi?” tanyaku.

“Tak sengaja. Benda nak jadi,” sela Haqmi agak lembut.

“Ala Angah… benda dah jadi. Nanti Along bagi duit Angah nak cat motor balik, kan?” pujuk aku pada Zafrin. Dia bukan boleh. Nak menyinga je.

“Ah, biar singa sarkas ni bayarkan!” tekan dia marah.

“Weii.. singa sarkas apa wei? Kau tu sungguh. Singa tua tak ada gigi. Tak ada taring. Kau ingat aku takut ke?” bendak Haqmi pula. Biarpun Aziana dan Anaresa menarik, dia masih keraskan tubuh menghadap Zafrin.

“Eh, mulut kau tu…”

“Hah, kenapa dengan mulut aku?” pangkas Haqmi berani.

“Diam boleh tak?” tekan Zafrin dengan rahang yang turun naik. Dia menapak setapak ke arah Haqmi yang tidak langsung berganjak.

“Dahlah tu wei… mari kita duduk sana,” ajak Anaresa tapi Haqmi tidak bergerak.

“Ah, dia buat aku lambat, dia buat aku bengkak. Segalanya dia. Aku dah minta maaf dia banyak cengkadak pulak.”

Isteri aku menggeleng. Aziana juga. Sudahnya aku tarik Anaresa duduk di sisi aku. Nak lihat saja. Mama dan abah pun aku halang dari menegur. Nak lihat siapa menang antara singa sarkas dan singa lapar ni.

“Amboi… kau tu minta maaf ikhlas sangat ke? Mulut kau tu baik kau jaga baik-baik!” marah Zafrin lagi.

“Eh, mulut aku ikut suka akulah. Kau kenapa kalau aku nak cakap pun.”

“Jangan sampai aku buat kau diamlah, minah bin mamat!”

“Kau nak buat apa? Selotape?” sinis Haqmi dan juga makin mendekat pada Zafrin. Aku senyum saja sebab aku dah boleh duga apa yang Zafrin bakal buat. Adik aku, haruslah aku boleh tebak apa yang dia nak buat.

Seperti aku duga, Zafrin menarik kepala Haqmi dekat ke wajahnya dan bila wajah Haqmi hampir dengan jarak hanya seinci yang menjarakkan wajah mereka, mama terjerit.

“Jangan cium anak dara orang!” jerit mama.

Aku ketawa lepas dan Zafrin tersenyum puas bila Haqmi terduduk di atas simen di porch. Haih… pelik-pelik. Memang itulah cara nak diamkan perempuan lantang dan sudahnya Zafrin masuk ke dalam rumah tanpa riak.

Anaresa cubit lengan aku kuat. “Kenapa abang ketawa? Nak tercabut jantung Resa tau?”

Aku senyum. “Zafrin ugut je. Adik abang. Abang tahu dia tak akan buat. Tadi tu dia geram sangatlah tu. Macam manalah boleh bertembung. Ni mesti Angah tak cam Haqmi hari kenduri tu sebab Mi pakai baju kurung. Dan-dan kali ni memang jadi minah bin mamat.”
Anaresa muncung. “Abang mengata sepupu Resa tu.”

“Maaf-maaf…” Dan aku ketawa lagi melihatkan mama menarik tangan Haqmi bangkit dan menyeka wajah itu dari terus dibasahi airmata.

Hati wanita. Sekeras mana pun, ada bunga dalam hati. Tidak sejambak pun, sekuntum pun jadi dan aku terus menarik Anaresa dan mengajak Aziana dan Jimmy masuk ke dalam rumah. Drama swasta berakhir. Macam-macam hal.

***

ESOK hari minggu. Meriah rumah bila abah aturkan barbeque untuk kami sekeluarga. Aziana dan Jimmy juga ada dan sah mereka berdua tu ada sesuatu di dalam hati biarpun masing-masing menidakkan.

Beberapa hari hal antara Zafrin dan Haqmi berlalu dan hari ini, mereka ada lagi bersama kami.

“Hai, Angah. Bakar sikit je? Bakarlah lebih. Awek ramai ni tunggu nak isi perut,” tegurku.

Zafrin merengus. “Awek mana? Minah bin mamat tu ke? Suruh dia bakar sendiri. Tengok muka dia pun Angah rasa terbakar jantung ni.”

Aku senyum. Dalam hati mengejek sebab dari tadi aku lihat dia dok tilik Haqmi yang sedang duduk sendirian. Kejap tadi ada majlis doa selamat sebenarnya dan Zafrin masih belum melihat Haqmi dalam persalinan baru. Tidak seperti waktu dia tiba petang tadi.

“Tak baik cakap macam tu, Angah. Sepupu Kak Long tu,” tegurku.

“Alah, menyampah kot tengok dia dan fesyen pakaian dia tu. Padanlah Kak Long dulu pakai sneakers dengan baju kurung. Memang spesis pelik kot.” Dia ketawa kecil.

“Hai, Angah… kutuk isteri Along nampak!”

Dia angkat tangan. “Maaf-maaf. Angah gurau je. Tapi Kak Long okeylah, sopan lagi. Ini dengan rambut pacak, jeans lusuh. Aduhai… siapa nak buat bini minah bin mamat tu, Along?”

“Habis tu, yang kau nak kiss dia hari tu kenapa?”

“Saja nak diamkan dia. Sakit hati tak habis lagi, dia datang pulak. Tapi pelik, kenapa masa kenduri Along tak nampak dia. Tak datang ke?”
Aku lebarkan senyum lalu aku letak ayam yang telah diperap sos lada hitam tu di atas pemanggang.

“Sebab masa tu dia bersalin kulit. Malam ni pun sama,” ucapku pada Zafrin yang nampak bingung.

“Bersalin kulit tukar jadi singa ke?”

“Jangan jatuh suka dengan singa sarkas tu sudahlah, Angah,” pesan aku penuh makna sebab aku tahu, dia akan meleleh nanti setelah melihat Haqmi bersalin kulit.

“Abang Zaf!” AKu berpaling bila mendengarkan namaku diseru.

Haqmi atau pun Haqimah yang manis berbaju kurung dan bertudung Ariani melambai aku di depan pintu luncur. Aku senyum dan mengangkat tangan.

“Apa, Mi?” tanyaku kuat.

“Angah, tengok singa sarkas ni.” Aku tepuk bahu Zafrin minta dia berpaling tapi dia buat tak tahu.

“Dengar suara pun nak…”

“Nak apa?” sergah Haqmi bila dia sudah dekat pada kami.

Dia lain sakan. Sopan dalam kekasaran. Bengis dalam kelembutan. Sama macam Anaresa juga. Memang spesis cantik dan unik.

Zafrin berpaling dan serentak itu, penyepit di tangannya jatuh. “Eh, awak siapa?”

Eleh Zafrin… awak saya la pulak. Aku tepuk bahunya. “Haqimah nama dia,” sinisku.

“Kenapa, Mi?”

“Resa panggil,” jawab dia dan aku terus bersedia hendak menapak tapi sempat aku berbisik pada telinga Zafrin.

“Air liur basi kau meleleh dah!” Zafrin cepat-cepat mengesat bibirnya dan aku menghamburkan tawa lantas berlari masuk ke dalam rumah. Lucu sungguh! Haih…

***

MASUK ke bilik, aku lihat Anaresa sedang berdiri di balkoni. Menikmati angin malam dan menjamu mata dengan persekitaran.

“Sayang…,” bisikku ke telinga dia.

“Tengok apa?”

“Mi dengan Angah,” jawab dia. Betul telahanku. Memang isteri aku sedang menjamu mata dan bila aku lihat, mereka berdua sedang menolong mama dan abah mengemas apa yang patut.

Nampak mesra semacam dan abah dan mama pun nampak memberi peluang.

“Abang rasa budak berdua tu pun ada sesuatu dalam hati macam Jimmy dan Aziana,” ujarku telus. Anaresa angguk.

“Yeah, I can feel it too,” jawab dia.

“Tapi, apa yang buat Mi berubah tu?” Aku memang pelik.

Entah apa mama tazkirahkan budak Haqmi tu sampai dia berubah biarpun sedikit. Sikap kasarnya tetap ada. Tak hilang. Cuma, nampak cara dia tu dia mahu menjadi keperempuanan dah.

“Entah. Hal perempuan kot. Abang toksahlah tahu,” sela Anaresa berahsia.

“Emm… ikutlah. Yang pasti ke arah kebaikan kita sama-sama menyokong,” ujarku meyakinkan dia dan aku yakin, apa yang mama katakana pada Haqmi, sama juga akan apa yang dia didik menantunya ini.

“Abang sayang Resa,” luahku tiba-tiba.

“Sayang ada makna ke tak ada makna?”

“Kalau bermakna?” Aku juga cuba bermain tarik tali dengan dia.

“Kalau bermakna, tak ada maknanya sebab Resa nak belajar ni.” Dia cuba leraikan pelukanku pada pinggangnya tapi aku semakin kemas melilit.

“Ada maknanya, yang?”

Aku rapatkan wajahku ke leher dia yang terdedah. Baju t-shirtnya aku selak sikit di bahagian leher membawa bahu putih itu jelas di mataku lantas aku labuhkan bibirku di situ lama. Kemudian naik ke sekitar lehernya lalu aku benamkan wajahku lama di situ.

Menikmati wangian tubuh dia dan haruman dari rambut yang mengurai dielus angin malam yang semakin dingin.

“Kita nak belajar biologi ke?” Soalan Anaresa kedengaran polos namun aku tidak mampu menjawab bila suara ini tersekat oleh nafas yang kian sesak dan memberat.

Kali ini, aku dapat rasakan elusan jemari halus Anaresa di belakang kepalaku. Semakin lama semakin hangat dan terus hangat.

“Abang… Resa nak minta cuti malam ni. Nak belajar ni. Minggu depan ada lagi test,” ucap dia dengan harapan aku melepaskannya namun aku bagaikan digam padu. Tak boleh nak lepas dah.

Semakin rapat aku tarik dia ke dada hinggakan lekuk tubuh itu dapat aku rasakan dengan jelas.

“Abang cinta Resa…”

“Resa jugak!” sahut dia mesra bila mata kami bersabung pandang.

“Abang dah buat keputusan untuk kita. Demi Resa dan pengajian Resa,” luahku akan apa yang aku fikirkan sejak akhir-akhir ini.

Dia senyum dan menjongketkan kening. “Apa dia?”

“Resa kalau tak nak hamil dulu tak apa. Lagipun, abang yang mungkir janji kita dari awal lagi. Resa tamatkan pengajian dengan cemerlang dalam dua tahun ni, dan lepas tu kita belajar subjek persenyawaan lagi, ya?” Dagunya aku paut tapi wajah Anaresa muram.

“Kenapa tiba-tiba?”

“Abang kesiankan Resa nak usung perut nanti.”

“Kalau kata ada, abang nak suruh Resa buanglah, macam tu?” Dia menduga yang bukan-bukan lagi.

Aku menggeleng. “Eh, tak ada sampai macam tu? Kejam tu. Kalau ada abang bersyukur tapi sementara tak ada ni, kita elak dulu. Nanti ada la tu rezeki kita. Abang nak Resa tamatkan pengajian tepat pada masanya. Boleh?”

“Tapi, Resa dah sedia.”

“Terima kasih sebab sudi bersedia untuk mengandungkan anak abang tapi dua tahun tak lama. Resa focus belajar dulu. Nanti kita usaha lebih lagi dari sebelum ni, ya?” Aku kenyit mata dan dia menyembamkan wajahnya ke dadaku.

Tak tahu dia gembira atau sedih tapi aku dapat rasakan, hati dia sedikit terluka. Namun, aku harap dia mengerti akan niat baik aku ni. Tak sudi nak lihat dia ke hulu ke hilir masuk keluar dewan kuliah dengan perut membusung.

“Abang harap Resa faham niat baik abang.”

Anaresa mengangguk tapi dapat aku rasakan ada air jernih jatuh ke dadaku lalu aku angkat tubuh itu ke dalam gendongan dan sungguh dia sedang mengalirkan airmata.

“Kenapa nangis ni?” soalku risau.

“Terima kasih sebab sudi faham keadaan Resa, bang.”

Aku kucup dahinya dan aku bawa tubuh itu terbaring di atas katil meninggalkan riuh rendah suara Zafrin bergaduh dengan Haqmi di bawah. Perlahan-lahan, aku rebahkan tubuhku di sisinya.

“Untuk Resa, apa saja. Tapi…” Aku meleretkan kata.

Mata basah itu memandangku. “Tapi pulak?” Bibirnya muncung, keningnya berkerut.

“Boleh tak Resa masakkan untuk abang esok?” tanyaku penuh harapan.

Selama ini, tidak kisah sebab mama yang sediakan semuanya sebab dia penat tapi teringin pula hendak merasa air tangan isteri sendiri.

“Resa tak reti masa sangat.”

“Pan-cake Melayu pun jadilah, yang,” rayuku bersungguh-sungguh.

Dia angguk. “Esok Resa masak, ya?”

Aku gariskan senyuman dan dia juga sama. Kecur air liur tiba-tiba.

~~> bersambung

Kerana Sekali Cinta [21]

BAB 21

PENAT memang penat. Namun, kala mata aku ni tertancap pada susuk tubuh Anaresa yang dibaluti persalinan pengantin berwarna krim sedondon dengan baju Melayu yang ada ditubuh aku ni, lelah itu hilang. Apatah lagi kala dia menghadiahkan senyuman mesra di kejauhan.

Nampak dia sedaya upaya menjadi seorang pengantin yang sempurna kala ini. Aku nampak lelah di dadanya. Aku nampak penat dari sinar matanya yang kian pudar namun bola mata itu tetap bulat dan sedar melayani tetamu mama dan abah serta belah keluarga dia yang agak ramai. Kawan-kawan aku juga ramai.

“Hai, tengok isteri tak berkelip-kelip,” tegur satu suara dan aku terus berpaling. Ternyata wajah Anahara dekat denganku.

“Eh, Ana… bila sampai?” tanyaku teruja.

“Baru je. Dari jauh nampak awak mengelamun je. Sarina dah sampai ke?” soal dia.

Aku angguk dan meluruskan jari telunjuk ke arah khemah di mana adanya Sarina sekeluarga dan juga teman-teman pejabat yang lain. Sibuk berbual dengan Anaresa selepas kami makan beradap tadi.

“Suami mana?”

Anahara berpaling ke belakang dan melambai pada suaminya yang sibuk melayani dua orang puteri mereka di meja makan. Aku turut sama melambai pada Mukhlis bila kami bertaut pandang.

“Dah makan ke?”

“Kejap lagi. Biarlah Mukhlis layan anak-anak dia dulu. Saya saja datang tegur awak nampak ralit sangat.”

Aku senyum. “Penat sikit.”

“Kerja kahwin ni memang penat. Tapi, sekali seumur hidup, tak apalah. Janji puas hati, kan?” Dia angkat kening.

Wajah itu masih mulus dan ayu. Sikap dan tutur katanya juga masih seperti dulu malah lebih lembut dan mesra. Bibir merah merekah itu tidak lekang dengan senyuman. Dia memang cantik dan Anaresa juga tidak tewas.

“Oh, sebelum lupa. Tahniah untuk buku terbaru dan terima kasih bagi buku free lagi kali ini,” ucapku pada Anahara.

“Terima kasih pada awak dan rasanya apa yang saya bagi tu tak ada apa langsung andai nak dibandingkan dengan pertolongan awak dulu, Zaf,” balas Anahara.

“Yalah, nak bagi wang ringgit macam tak kena pulak. Nak bagi hati, hati saya dah berpunya, nak bagi doa, sentiasa saya mendoakan. Bagi buku jelah menjadi tanda ingatan tulus ikhlas saya pada awak, Zaf,” sambung dia lagi.

Aku ketawa halus. “Jodoh ini indah, kan Ana?” tanyaku tiba-tiba. Jauh lari dari topik asal.

“Sangat indah. Dan Allah juga telah aturkan jodoh yang terbaik buat awak yang memang punyai hati yang baik, Zaf,” ujar Anahara membuatkan aku berpaling pada dia.

“Kalau saya baik, kenapa awak tak nak saya dulu?” Saja aku bertanya begitu. Sekadar hendak melihat air wajah Anahara bertukar keruh tapi sayang, memang tidak.

Wajahnya setenang air dikali. Andai dulu, membentak saja. Aku senyum dan dia ketawa halus.

“Bergurau je awak tahu, Zaf! Haih…” Dia geleng kepala.

“Tapi, kalau awak nak tahu jawapannya, mudah je. Sebab Allah nak bagi Anaresa pada awak. Macam pernah awak cakap, satu hari nanti akan ada hati yang menyerah untuk menjadi milik awak dan ternyata dia Anaresa. Tahniah dari saya.”

Dan aku… mengangguk lalu aku halakan mataku ke arah Anaresa yang rupanya sedang merenung ke arah kami berdua.

“Emm… saya ke sana dulu, ya?” pinta Anahara lembut dan bila aku mengangguk, dia terus berlalu mendekat pada suami dan anak-anaknya lantas aku bawa langkahku ke arah khemah merapati Anaresa yang sedang melayani kawan-kawan pejabat aku.

“Wei… banyak soal betullah korang ni?” sergahku tiba-tiba bila terdengarkan soalan bernas dari mereka. Dah berisi ke? Boleh diorang tanya? Tak munasabah langsung.

“Kami tanya sebab kami prihatinlah,” sela Sarina dan disambut tawa masing-masing.

“Tak payah nak prihatin sangatlah. Biar aku je prihatin kat bini aku. Kau tu, pergi sana. Anahara dah sampai,” beritahu aku pada Sarina dan dia terus bangkit dari duduk dan berlalu ke arah khemah yang satu lagi.

“Terima kasih, abang,” ucap Anaresa padaku.

“Sebab?”

“Selamatkan Resa dari kawan-kawan abang. Soalan diorang, membunuh. Macam ni, CPP lagi mudah kot.”

Aku senyum. “Biologi lagi seronok kot?” usikku dan dia menyiku perut aku.

“Teruk betullah abang ni. Ingat sikit, Resa ni baru tahun kedua tau. Ada dua tahun lagi kalau tak lulus semua. Kalau tidak, mahu extend lagi setahun.”

“Eh, tak bolehlah macam tu. Kenalah gred pada waktunya,” pesanku serius.

Dia senyum. “Resa cuba. Tapi, abang tu janganlah asyik nak apply biologi je.”

“Eh, siapa goda siapa?” tanyaku.

Wajah dia memerah. Bibirnya diketap hebat. “Dah tu, kalau tak goda suami sendiri, nak goda siapa?” Dan dia bawa langkahnya berlalu menjauh dari khemah. Hendak masuk ke dalam agaknya dan aku membuntuti langkahnya.

“Nak pergi mana?”

“Masuk solat kejap. Dah petang ni,” jawab dia.

“Okey. Kita solat sama-samalah. Tapi, tadi nampak Jimmy tak?”

Dia angguk. “Ada je tadi duduk dengan Azi dan Haqmi. Kawan-kawan lain pun ada. Pensyarah pun ada datang jugak,” jawab dia dan aku angguk lalu aku sapa tangannya ke dalam genggamanku.

“Hah, nak pergi mana Zaf?” Terkejut bila Kak Anisara menyergah. Huh, nak gugur jantung.

“Tetamu ramai lagi, kan? Nak kemana korang berdua ni?” soal Kak Aniraha pula. Serius nama pelik adik beradik dia. Sampai hari ni aku terbelit nak sebut.

Aku senyum saja dan Anaresa juga. “Nak naik solat kejap,” jawab Anaresa dan aku hanya mampu garu kepala lalu kami menapak ke atas.

“Solat je tau. Nanti turun balik.” Entah dari mana, ayah mentua aku pula mengusik.

Bila kami kalih, mak mentua aku juga sama. Nampak macam baru siap bersolat juga. Wajah itu nampak lembab lagi. Dan aku hanya angguk saja.
Tiba di bilik, aku terus rebahkan tubuh kejap. Penat sangat hari ni. Bergambar sana sini. Sampai ke padang depan rumah sana pun kami diheret. Manalah mama cari jurugambar tu semua. Ikut suka dia je bentuk kami pose. Tapi, dah siap gambar mesti menarik.

Anaresa diam. Bila aku angkat tubuh, dia sudah menutup pintu bilik air dan tak lama lepas tu, bila dia keluar, dia hanya berkemban dengan tuala separas peha menampakkan pehanya yang putih gebu tu. Aku senyum dan mendekat pada dia.

“Abang jangan memandai ek. Sila pergi bersihkan diri. Resa tunggu abang berjemaah. Cepat sikit, nanti orang kata apa pulak. Tetamu ramai lagi,” ucap dia bersama senyuman sambil menjauh dariku.

Aku garu kepala lagi dan mengurut pangkal tengkuk. Lenguh lantas aku berlalu ke dalam bilik air membersihkan diri. Bila aku keluar, Anaresa sedang menyarungkan telekung. Bila dia terlihat kelibatku, dia suakan kain pelikat dan baju Melayu dan aku menyambutkan senang.

Usai memberi salam, aku basahkan bibir dengan zikrullah. Memuji kebesaran Allah atas nikmat yang telah Dia kurniakan buat kami hamba yang hina dina ini. Moga diberkati rumah tangga kami yang baru berusia sebulan ini hingga kea lam barzakh. Moga dikurniakan khalifah-khalifah yang beriman dan cerdik serta sihat tubuh badannya pada kami dalam mengikat kasih sayang kami sampai bila-bila.

Aku kalih pada Anaresa usai aminkan doa dan dia sambut tanganku lantas mengucupnya lembut.

“Didik Resa jadi isteri yang baik untuk abang…”

“Dan ibu yang mithali pada anak-anak abang,” sambung mencantas kata-katanya. Dia senyum dan angguk lalu aku paut kepalanya lembut, dan bibir ini aku lekapkan lama pada ubun-ubunnya.

“Terima kasih, sayang,” ucapku.

***

“MAK dan ayah harap sangat Resa jadi isteri yang baik. Umur bukan penghalang untuk Resa laksanakan tanggungjawab Resa pada Zafran. Dia suami Resa. Kami dah serahkan Resa pada dia,” ujar mak mentua aku saat aku ingin menghantar dia pulang hari tu.

“Betul tu, Resa. Dosa kamu sekarang Zafran yang tanggung. Kami tak ada hak lagi ke atas diri kamu sikit pun. Dengar kata suami, jadi isteri yang baik. Jalankan tanggungjawab sebaik mungkin biarpun Resa masih sekolah. Ingat segala didikan ayah dan mak pada Resa,” sambung ayah mentua aku pula.

Anaresa tunduk memainkan cincin di jari manisnya. Bahu itu mula terhinjut-hinjut dan tahulah kami yang dia sedang mengalirkan airmata. Aku senyum. Kedua mertua aku juga sama. Kakak-kakak ipar aku juga begitu. Zafrin dan Zafrina juga. Hanya mama dan abah nampak sebu hendak senyum. Semua pakat buat drama.

“Resa tahu, mak… ayah,” sahut dia dengan suara yang serak.

Ayah mertuaku kemudiannya memaut tanganku. Ada genangan air jernih di tubir mata tuanya.

“Zaf jaga amanah ayah baik-baik. Ayah dah lepaskan tanggungjawab ayah pada dia dan kamulah yang sepenuhnya bertanggungjawab pada dia,” ucap dia dan aku senyum lalu aku paut tubuh tua itu erat.

“InsyaAllah, yah. Dari mula hingga saat ini, Resa tak pernah gagal jalankan tanggungjawab dia pada Zaf zahir dan batin,” beritahuku agar dia mengerti yang anak dia itu menyempurnakan kekurangan aku.

Pelukan terlerai dan aku terkejut dari ingatan itu. Terleka hinggakan tidak sedar pintu almari buku itu tertutup sendiri. Dalam pada masih bercuti tapi Anaresa ada kuliah. Nak habiskan seminggu macam ni rasa tak berbaloi bila Anaresa sibuk dengan kuliah. Bosan memang bosan. Sudahnya, aku koyak balutan pada buku yang Sarina berikan minggu sudah.

Bila aku buka muka surat pertama, seperti biasa ada tinta tangan di situ. Tulisan itu tetap cantik malah semakin kemas. Aku membacanya dalam hati dan memang benar kata Sarina. Aku terpecah amanah bila mana, rasanya lebih bermakna andai kata-kata ini aku baca bersama Anaresa.

Lantas aku tutup semula buku itu lalu aku letak di dalam almari buku yang sememangnya menjadi tempat aku menyimpan segala jenis buku yang aku ada. Macam banyak je tapi yang banyaknya buku rujukan berkaitan sivil dan struktur je. Hanya novel dari Anahara yang selain daripada itu. Pintu almari aku rapatkan dan aku ukir senyum hingga akhirnya mata ini lena dengan sendiri.

“Abang…”

Aku cuba angkat kelopak mata yang berat. Lembut saja suara itu menyeru aku dan bila aku cuba angkat lagi, aku nampak wajah Anaresa tersenyum pada aku. Dekat je wajah itu.

“Resa…,” seruku lalu aku tarik dia rebah di atas dada aku. Lalu aku pejamkan mata. Indahnya mimpi. Siang hari pun ada Anaresa.

“Abang bangkitlah. Asar nak habis dah ni,” ujar dia lagi membuatkan aku mengangkat kelopak mata sekali lagi dan ternyata bukannya mimpi bila Anaresa mencubit pipi aku.

Hah? Mata aku bulat. Pukul berapa dah ni? Kan aku janji nak jemput dia dari kuliah. Mati aku!

“Resa balik sendiri ke?”

Dia angguk.

“Naik apa?”

“KTM. Tadi, Zafrina jemput dekat Batu Caves,” jawab dia.

“Aduhai… maaf sayang. Penat kot sampai tertidur tak sedar tadi. Kesian Resa,”

“Ala… tak ada apa pun. Kebetulan Resa habis kuliah awal sikit dari biasa. Latihan bola jaring pun batal. Itu yang balik sendiri. Abang pun bukan selalu cuti, kan? So, cuti jelah. Rehat cukup-cukup, ya?” Nada Anaresa manja macam biasa.

Aku tolak tubuh dia dan turut angkat tubuh aku juga. Letih kenduri beberapa hari lepas tetap terasa. Meriahnya keadaan rumah ni, masih bergema.

“Kenapa Resa menangis hari ayah dan mak nak balik tu? Bukan ke sebelum ni Resa dah hidup dengan abang sebelum kita kenduri?” soal aku pada dia. Saja ingin tahu apakah yang terbuku di dalam hati seorangh isteri kala mak dan ayah mereka melepaskan mereka pada seorang suami.

Mata kami bersabung dan dia gariskan senyuman. “Resa rasa jauh sangat dari keluarga Resa masa tu. Kan seorang isteri, biarpun bapa itu meninggal dunia andai suami tidak mengizikannya pulang, dia haram untuk meninggalkan rumah suaminya?”

Aku ketap bibir dan tangan aku ni ringan menyapa pipinya lembut. Dia memang seorang isteri kini. Aku langsung tidak nampak dia sebagai budak sekolah lagi.

“Allhamdulillah, isteri abang ni terdidik dengan baik sebagai anak dan juga akan dididik dengan baik sebagai isteri. Sayang jangan risau. Abang tak kejam macam tu tapi bila Resa faham dan mengerti akan hak-hak Resa sebagai isteri dan abang sebagai suami, abang bangga dengan Resa dan rasanya, abang faham kenapa Resa mengalirkan airmata hari kenduri tu. Masa kita akad nikah, mungkin Resa dah rasa sikit-sikit tapi bila diraikan dalam majlis besaran macam tu, mesti Resa lebih terhentak dan seperti yang abang janji dengan ayah dan mak Resa, abang jaga Resa dengan nyawa abang. Resa amanah dan kita berdua bakal ada amanah juga dari Allah nanti,” ujarku panjang lebar cuba menenangkan hati dia.

Dia aku lihat mengesat juring matanya. “Resa pegang janji abang tapi kalau Resa terluka…?” Dia bertanya penuh makna membuatkan aku mengerutkan wajah. Agak pelik dia sikit.

“Abang ubati…,” selaku tenang.

***

LENA aku terganggu. Aku tersedar bila terdengar suara Anaresa sedang menangis teresak-esak. Apa pulak tak kena ni?

“Sayang…,” panggilku perlahan.

Dia tak angkat wajah langsung malah duduk berteleku di depan almari buku milik aku di tepi meja belajar.
Nak tak nak, aku ringankan tubuh yang penat menapak ke arah dia. Pelik dengan dia. Kenapa menangis jam tiga pagi? Sakit ke?

“Sayang sakit ke? Kenapa tak tidur ni? Sayang tak sihat, ya?” Aku usap kepalanya lembut. Rambut yang lepas bebas itu aku selak sikit menyentuh pangkal lehernya. Biasa saja suhu. Tak panas.

Dia semakin menunduk dan mengalirkan airmata membuatkan aku semakin risau. Gundah hati ini, hanya Allah yang tahu.

“Sayang… cuba cakap. Kalau sayang diam menangis macam ni, abang tak tahu nak buat apa,” pujukku lagi.

Anaresa angkat wajah dan memandangku dengan airmata yang berlinangan di pipi.

“Ya Allah… menangis kenapa ni?” Aku silangkan sila di depan dia. Mata yang layu terbuntang luas. Bila aku bawa jariku hendak menyapu airmatanya, dia menepis.

“Sayang kenapa?”

“Abang tipu Resa, kan?” Suara itu serak dan tersangkut.

“Abang tipu apa ni?” Sedapa upaya aku juga cuba membendung telahan dia padaku. Anaresa tidak menjawab sebaliknya, dia renung mataku dengan bening mata yang sayu itu.

“Ini…” Dia suakan sebuah buku padaku yang memang dia ambil dari susunan kemas koleksi novel milik Anahara.

Aku telan liur. Buku pertama itu yang pernah menjadi saksi bisu kisah hati aku pada Anahara yang tak kesampaian.

“Sayang… ini kisah lama abang. Kan abang dah terangkan.”

Dia mengelak lagi bila aku mengelus tangannya. “Abang bohong Resa. Hari ni, baru Resa tahu betapa dalamnya cinta abang pada Kak Anahara…”
Aku mengucap panjang lalu aku raup wajahku berkali-kali.

“Apa Resa cakap ni? Itu kisah lalu abang. Dah bertahun berlalu dan sekarang dalam hati abang ada Resa je,” akui aku bersungguh-sungguh tapi nampaknya dia tak mahu percaya.

“Memang abang cintakan dia, kan?”

“Pernah sayang. Pernah. Abang pernah cintakan dia tapi setelah Resa dia tak ada lagi dalam hati abang. Resa nak curiga dan menangis sebab tulisan ni?” tanyaku agak geram.

“Kalau betul abang tak suka dia lagi, kenapa abang simpan semua koleksi novel dia sampai hari ini dan ini yang terbaru kan?”

Dia luruskan jarinya ke arah novel yang Sarina berikan padaku tempoh hari. Aduhai. Kenapa Anaresa jadi macam ni?

“Sayang… dia penulis dan abang sokong dia.”

“Kenapa abang tak sokong penulis lain jugak.”

“Sebab dia kawan…”

“Istimewa di hati abang, kan?” cantas Anaresa.

“Subhanallah, isteri saya Anaresa binti Abdullah… sayang ni kenapa?”

Dia diam lalu tunduk membelek helaian buku pertama yang aku miliki dulu. Ada tinta tanganku di dadanya. Dada aku ni dah mula sesak mendengarkan Anaresa membaca bait-bait ayat yang aku pernah lahirkan dari hati dan aku abadikan di atas dada buku itu.

“Dan… aku juga mencintaimu namun takdir berkata tidak pada hubungan kita lantas dia membawa engkau pergi menjauh dariku dan izinkan aku di sini setia menjaga cinta ini biarpun aku sedar, kau tidak ditakdirkan untukku, malah aku mahu Tuhan jaga kisah hati ini untuk kamu, Anahara…”

Anaresa membaca ayat itu dengan suara berselang sendu. Dia menutup kasar buku tersebut dan memandang aku.

“Padanlah abang simpan elok buku-buku ni selama ni,” ucap dia lalu dia bangkit dan terbaring di sisi katil tanpa alas membuatkan aku terkedu sendiri.

“Sayang… jangan macam ni.” AKu memujuk bila aku mendapatkan tubuh yang sedang terbaring mengiring di atas permaidani.
Sedihnya hati aku. Sedangkan baru malam tadi, aku berjanji hendak menjaga hatinya dan kini, dia terluka tanpa aku duga.

“Sampai hati, abang. Padanlah Resa nampak abang rapat berbual dengan Kak Anahara hari kenduri tu. Lepas tu abang kemain janji dengan Resa nak jaga hati Resa tapi rupanya, abang sedang sorokkan sesuatu dari Resa.”

Masya-Allah. Sensitifnya dia. Hanya kerana itu dia bersikap begini.

“Kan malam tadi Resa elok je? Kenapa Resa pergi belek buku-buku abang tu?” tanyaku lancar tapi tidak lama lepas tu aku menyumpah diri. Lantangnya lidah ni berbicara. Tertanya macam tu pulak dan haruslah dia terus merajuk.

“Memang betullah yang abang tak nak Resa jumpa buku abang ni, kan? Abang memang tak nak Resa usik kan?” soal dia lalu dia palingkan tubuh dia menghadap katil pula.
Melarikan pandangan mataku ke wajahnya.

“Ya Allah, sayang. Abang tak maksudkan macam tu.” Aku cuba pegang bahunya tapi dia menepis.

“Kan abang dah terangkan, kami tak ada apa-apa. Resa jangan jugde abang dengan Anahara macam ni, yang.” Bersungguh-sungguh aku memujuk.

Dia diam dan mengeraskan tubuhnya bila aku sentuh bahu itu lagi. Susahnya nak pujuk. Pelik dengan dia. Betullah mama kata dia nampak lain sehari dua ni. Aku tahu dia penat tapi tak pernah aku memaksa dia. Hari ini, bila kisah lama dia ungkit rasa kecil hati jugak.

Namun, aku tidak pegun lama di situ. Tak sudi nak biarkan salah faham dia rosakkan hubungan kami. Lelaki matang harus pantas dan tuntas. Lantas aku bangkit dan rapat pada almari buku tadi. Hadiah daripada Anahara itu aku ambil dan terus mendekat pada dia lalu aku rebahkan tubuh rapat di belakangnya.
Rambutnya aku belai dengan tangan kiri dan sebelah lagi, aku belek buku dan aku letak di depannya dan aku baca perlahan.

“Zaf… saya tahu sejak dari mula, bukan saya di hati awak. Kerana cinta untuk kita dulu tak pernah ada biarpun hadir untuk seketika. Anaresa yang terbaik untuk awak, Zaf tapi rasanya, awak adalah yang lebih terbaik untuk dia. Dia cintakan awak tapi rasanya, awak lagi cintakan dia. Bila awak berbelas pada saya dan Aryana satu waktu dulu hingga sanggup ketepikan rasa hati awak, Allah akan berbelas ihsan pada awak dengan menghantar hati lain buat awak dan ternyata hati itu milik Anaresa.

Selamat melayari bahtera buat kalian dan...” Aku matikan suaraku di situ.
Lama suasana sepi tapi aku yakin, Anaresa sedang menatap bait-bait ayat yang Anahara tujukan buat dia.

“… Dan buat Anaresa, Kak Ana mungkin terbaik dalam hati Zafran masa tu tapi rupanya Anaresa ada yang lebih baik buat dia. Cintanya hebat tapi bukan untuk orang lain. Cinta hebat itu hanya untuk Anaresa. Sayang kamu berdua. Ikhlas… Anahara.”

Anaresa menyambung tinta tangan itu dengan suara yang serak namun dia masih tidak berpaling pada aku. Buku itu aku tutup dan aku letak di sisi.

“Ini buku terbaru dia yang Sarina berikan pada abang masa Resa ke Skudai hari tu. Dia pesan supaya kita baca sama-sama. Lepas baca ni, abang tak tahu nak kata apa lagi. Tapi, bukan ke Resa berjanji dengan semua orang nak jadi isteri yang baik untuk abang dan tahu tak Resa, isteri yang baik tu tak akan menuduh suaminya tanpa usul periksa? Isteri yang baik itu tak akan membelakangi tidur suaminya?” tanyaku pilu.

Bila aku hendak bangkit berlalu, dia pantas berpaling dan menyambar tubuhku ke dalam pelukannya.

“Resa minta maaf tapi Resa sedih bila terbaca ayat-ayat cinta abang pada dia,” akui dia dengan esak tangis.

Aku senyum bangga. Menang tanpa bertanding tapi dalam mood pilu dinihari ini, tak boleh ketawa.

“Abang bukan Fahri dan Resa bukan Aisya ataupun Maria,” selaku mendatar. Saja buat-buat tak ada perasaan.

“Fahri tu siapa? Aisya dengan Maria tu siapa pulak?” soal dia polos.

Aku tepuk dahi. Tak tengok movie ke? Aku tengok juga setelah dipaksa oleh Zafrina dan mama. Zafrin pun tengok cerita ni. Dekat panggung wayang lagi sebab Zafrina paksa kami teman dia.

“Err… itu filem tajuk Ayat-ayat Cinta,” jawabku.

“Habis tu apa kaitan?”

“Dah tu, Resa cakap ayat-ayat cinta? Abang jawablah, abang bukan Fahri dalam filem tu sampai nak buat ayat-ayat cinta.”

“Abang ni. Benci betullah!”

“Benci suami dapat…”

“Dosa…,” sahut dia dan aku ketawa. Dalam hati syukur bila rajuknya hilang tapi pelik sungguh, kenapa mesti nak sentap bagai? Apa tak kena dengan dia?

~~> bersambung