Secara rasminya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-40 pada Tahun 2023 akan bermula hari ini, 26 Mei sehingga 4 Jun di WTCKL.

"Semua penulis akan MENINGGAL. Hanya KARYANYA sajalah yang akan ABADI sepanjang masa. Maka TULISLAH sesuatu yang akan MEMBAHAGIAKAN dirimu di AKHIRAT kelak..." .: Saidina Ali bin Abi Talib :.
Secara rasminya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-40 pada Tahun 2023 akan bermula hari ini, 26 Mei sehingga 4 Jun di WTCKL.
MATANYA tunak memerhati pesanan yang baru sahaja masuk ke telefon. Tak perasan saat dia menerima tugasan itu. Nama dan alamat yang sama. Menu yang serupa. Boleh jadi ini adalah tugas terakhir yang dia terima memandangkan dia perlu menyiapkan tugasan universiti yang tertangguh.
Ayla dongak ke langit. Biarpun malam masih
muda, tapi suasana terasa cukup suram dan gelap. Bila-bila masa sahaja hujan
akan turun dan dia perlu cepat agar tidak berlaku peristiwa seperti malam tadi.
Ini pun, badannya dah rasa tak selesa sejak pagi. Seram sejuk.
Ayla berhenti di lampu isyarat simpang Jalan Tunku Abdul Rahman bila hujan mula menitis ke bumi. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, dia memecut laju. Menongkat motosikalnya di tempat semalam dan melangkah masuk ke dalam bangunan bila pintu kaca itu terbuka. Belum dikunci lagi. Tak seperti semalam.
BILA difikirkan semula, rasanya elok Thaqeef terus duduk di sini. Biarpun tiada siapa yang membantah kedudukannya. Dia yakin adiknya itu lebih sesuai berada di sini setelah apa yang Thaqeef lakukan bagi pihaknya. Segala usul dibaca penuh cermat. Ada yang boleh diterima, ada juga yang merepek.
Mengembangkan empayar ke negara luar adalah
sesuatu yang tidak mudah tapi dia sedang cuba sedaya-upaya. Memandangkan produk
mentah mereka telah berjaya tembus ke Indonesia dan Brunei, dia sedang
menyediakan proposal untuk
membolehkan produk mereka tembus pula ke Thailand, Korea Selatan dan Singapore. Kerana dia tahu itu negara-negara
tumpuan orang Muslim memerlukan makanan halal.
“Bos nak rehat dulu? Makan ke?” soal Muiz.
|
DENGAN rasa malas, Taqrees buka mata bila dia dengar suara mommy dan ketukan pada daun pintu. Dia terlena begitu sahaja malam tadi. Dengan hanya balutan tuala. Taqrees angkat tubuh. Mencapai baju-T dan menyarungnya sebelum membuka pintu.
“Kenapa, mommy?”
“Dah banyak kali mommy datang panggil. Rees tak
respons. Risau dah mommy. Rees tak sihat ke?” Tangan Datin Zafeera naik menyentuh
pipi anak lelakinya. Sejuk.
Dia pandang ke bawah. Bertuala. Baru lepas
mandi atau semalam tidur bertuala aje?
“Dah lama tak tidur dekat sini. Itu lena lain macam,” jawab Taqrees dengan senyuman lebar. Dia usap belakang tengkuknya. Terasa lenguh pula. Salah postur ke apa ni?
BIARPUN sudah hampir ke dua pagi, mommy dan abah masih berjaga. Dah tentu menantinya. Dia masuk ke rumah dengan senyuman lebar. Biarpun penat, tapi melihat wajah kedua orang tuanya, ada rasa lapang yang menyelinap ke dalam jiwa.
“Kenapa lambat? Dua pagi baru sampai rumah? Mommy
telefon tak dapat. Mommy telefon gad, dia kata Rees dah balik jam dua belas
lebih tadi.” Datin Zafeera tak putus menzahirkan kerisauan.
“Rees minta maaf…” Tubuh Datin Zafeera dipeluk
erat.
“Ada hal sikit tadi. Itu yang lambat. Lagipun, hujan. Risau nak memandu laju. Rees bawa perlahan aje.” Andai nak dikira, dia masih trauma dengan kejadian yang menimpanya satu ketika dulu.
MUJURLAH motosikal lama ini mati enjin bila dia hampir dengan rumah sewa. Jika tidak, jenuh juga hendak menunda dalam hujan yang lebat. Bila dia masuk ke rumah dan rebahkan tubuh, jarum jam sudah menginjak ke angka satu setengah pagi.
Dia mahu mengulang kaji namun tubuhnya
benar-benar kepenatan. Memikirkan esok duit akan keluar pula untuk membaiki motosikal,
dia lepaskan helaan nafas yang cukup berat.
Apakah ini bahagia yang dia cari selama ini? Dia
tak pasti.
Apakah dia sedang menderita? Dia juga tak tahu.
Ada masa, dia sepertinya mahu mengalah tapi dia telah berjanji untuk bahagiakan diri sendiri. Bahagia yang tidak pernah dia dapat dalam rumah itu dulu.
JAM sudah menginjak ke angka sebelas malam. Ayla memandang tulisan yang tertera pada bangunan di hadapannya. Sun Suria Tower. Kemudian, dia atur langkah ke pintu kaca yang nampaknya telah berkunci rapat. Diketuk beberapa kali bagi menarik perhatian pengawal yang menjaga di kaunter di bahagian dalam.
Sesekali, tubuhnya menggigil disapa angin
malam. Apatah lagi, kasut dan bahagian bawah seluarnya sudah lencun kerana
meredah hujan lebat.
“Ada apa, ya?” soal lelaki yang dia kira
bertugas sebagai pengawal keselamatan.
“Ini betul kan… alamat sini?” Ayla lekapkan
skrin telefon pada cermin tersebut.
Pada mulanya risau juga nak terima kerja penghantaran kali ni. Nak kira, ini bangunan pejabat. Siapa yang masih ada di ofis dah tengah-tengah malam buta ni. Hatinya rasa tak lapang tapi dia terima juga ini sebagai tugas terakhirnya untuk hari ini.
BERITA yang dia terima daripada Zalikha sedikit sebanyak membuatkan jiwa lelakinya goyah. Ada rasa kasihan namun, perasaan itu cepat padam bila teringatkan pesanan terakhir yang dia baca hanya selepas dia hari dia sedar daripada koma. Pesanan itu dihantar sewaktu dia tidak sedarkan diri.
Betapa tergoresnya hati seorang lelaki. Tidaklah
kerana wanita yang dia rasakan cinta hati itu, telah membunuh cinta.
“Kau ada balas e-mel dia tak?” tanya Thaqeef
sebaik sahaja dia habiskan bacaan yang panjang berjela.
Rajin pula dia baca. Yang menjadi tanda tanya,
Taqrees baca sampai habis ke?
“Kau baca sampai habis?”
Taqrees geleng. Thaqeef sengih. Dah agak dah.
SETELAH berkali-kali dia tolak nampaknya tiada lagi alasan untuk dia berikan bila wajah itu hadir depan mata. Rindu sentiasa ada pada lelaki ini. Cumanya, dia rasa dia perlu bersendiri buat seketika. Seketika yang katanya sudah agak lama.
“Mengeluh?” soal tetamu tak diundang yang sudah
labuhkan duduk di sofa berwarna kelabu cerah itu.
“Perlu ke aku balik dulu dan telefon setiausaha
kau untuk buat temu janji? Baru dapat jumpa kau?” Soalan yang diajukan penuh
sinis.
Taqrees langsung tak ambil hati dengan kata-kata
tersebut. Dia lepaskan pen dan angkat tubuh merapati tempat tetamu itu duduk.
“Tiba-tiba muncul?” soalnya ringkas.
|
MATA dibuka. Lehernya terasa lenguh. Ayla tak sedar dia terlena di atas meja kecil di ruang tamu rumah sewanya. Sepanjang malam ditemani memori lalu yang menyakitkan. Masih hidup subur, menjalar dan tak mampu dicantas.
Sejak keluar daripada rumah itu dua tahun lalu,
dia terus berhenti sekolah dan hidup atas hasil usaha sendiri menjadi
penghantar makanan. Sejak itu juga, dia tak pernah lepas menghantar bantuan
kewangan ke akaun mak biarpun tidak seberapa.
Ayla hanya kembali semula ke sekolah bila hari peperiksaan tiba dan mujurlah juga keputusan peperiksaannya memberangsangkan. Setelah habis fikir dan kira, barulah dia buat keputusan untuk menyambung pengajian biarpun secara separuh masa, memikirkan keadaan kewangan sendiri.
SUARA tawa mak bersama Ayna sedikit sebanyak mengundang perasaan cemburu dalam hatinya. Sejak dulu, mak ketawa juga bila bersamanya. Tapi, alunan tawa itu jelas tidak serupa di saat mak bersama Ayna. Dia hanya memujuk mak dan semua itu pasti berakhir dengan linangan air mata biarpun mak tersenyum.
Tak sedar Ayla koyak senyum tipis. Bahagia
mendengar suara itu gembira. Dia juga kena akui yang hatinya sedikit lega bila
kepulangan Ayna dapat membuat mak bahagia. Jika inilah bahagia yang dimaknakan,
dia akan terima.
Ayla melangkah keluar dari bilik kecil di dapur
bila biliknya sebelum ini perlu diserahkan kepada Ayna.
“Ayla nak pergi sekolah ke?”
“Ya, mak.”