Showing posts with label MG. Show all posts
Showing posts with label MG. Show all posts

Thursday, August 01, 2019

MAGHFIRAH... released!

TAJUK : MAGHFIRAH
PENULIS : RM
TERBITAN : BLOGIJAU
EDISI : OGOS 2019 (TERHAD)
KETEBALAN : 450 MUKA SURAT
HARGA : RM25
-----
HIDUP ini adalah satu perjalanan. Perjalanan yang boleh jadi lancar atau punyai halangan yang dipanggil ujian dan perjalanan hidup Ian berubah arah bila hati itu berlabuh pada pelabuhan yang tidak sepatutnya.
Kerana itu, Ian buang segala yang dia ada demi bermula semula. Dua tahun dia bermusafir menggalas beban dan bila dia singgah di depan seorang Maghfirah, dia tertanya… adakah ini destinasi terakhir? Tapi, kenapa gadis jelita ini memencilkan diri daripada dunia?
“Apa yang awak cari, Maghfirah?” - Ian.
“Saya tak mencari. Saya menanti.” – Maghfirah
Pada Maghfirah, dia sentiasa bersyukur biarpun hidup miskin bersama ayah tersayang. Salahnya berkeras kerana percayakan janji Nazri, biarpun pepatah mengatakan… orang tua makan garam lebih dulu. Natijahnya dia tanggung hingga ke hari ini angkara fitnah.

Friday, January 13, 2017

Maghfirah 22

SYUKURLAH.  Hanya itu yang nak dia ucap.  Tak puas rasanya nak panjatkan rasa terima kasih.  Mati-mati dia ingat Nazri akan menangguk dalam air yang keruh tapi kekesalan pada wajah Nazri bukan sesal yang dibuat-buat.  Nazri benar-benar kesal.  Bukan sekali kata-kata maaf dilafazkan dan dia juga berkali-kali tekankan bahawa, dia maafkan Nazri.  Maaf sesungguh-sungguhnya.  Dia juga selama ini, sentiasa hidup dalam rasa marah dan terkilan dengan apa yang dah jadi hingga Tuhan hantar suami yang begini untuk dia kembali menjadi tabah. 
Mendengarkan ceriat Maghfirah, Pak Mansor mengucap panjang.  Andai benar semua dah selesai, hanya pada Tuhan dipanjatkan segala kemuliaan. 
“Habis tu, Firah macam mana?”
“Macam biasa ajelah, ayah…”  Senyuman itu masih tercalit tawarnya. 

Maghfirah 21

MAJLIS kesyukuran yang memang berjalan seperti yang Ian rancangkan.  Semuanya diuruskan oleh imam.  Dia hanya bagi apa yang perlu.  Biarlah dia bagi makan orang.  Moga dalamnya dia mendapat keberkatan.  Dia dan Maghfirah.  Untuk rumahtangga yang mereka bina untuk atas dasar sayang semata tapi kerana rasa lapang dan tenang. 
Dia tahu, igauan itu masih menghantui dan Maghfirah tak putus harapan ada di sisi.  Mengejutkan saat dia lelah berlari dalam mimpinya.  Lantas wanita itu memeluk dia erat.  Cuba meredakan tubuh yang menggigil kelelahan.  Sepatah pun Maghfirah tak tanya apa yang dah jadi biarpun dah cerita sedikit.

Maghfirah 20

TAK ingat akan arwah kakaknya, dia memang akan lari daripada rumah.  Kenapalah sejak akhir-akhir ni daddy suka sangat ungkit tentang orang dah tak ada.  Kalau dah kata dia buruk segalanya, biarlah dia keluar.  Kalau dah sakit sangat mata dan hati daddy kerana dia, biarlah dia pergi. 
Dah berminggu, tak sudah-sudah nama itu meniti dekat mulut daddy.  Siang dah malam.  Kakak dialah yang boleh diharap.  Yang mendengar kata.  Yang ikut segala kehendak dan kemahuan daddy sejak dulu.  Sedangkan dia, kaki bantah, suka memberontak, suka buat hal sendiri.  Yang buruk semua dia dan yang baik, semua kakaknya. 

Maghfirah 19

NAMA dan wajah Maghfirah tak lepas dalam kepala.  Nazri mengeluh dan terus mengeluh.  Dia cuba jernihkan keadaan tapi rupanya, keadaan semakin keruh.  Dia patut halang ayah ke rumah Pak Mansor hari tu tapi apa nak kata, dia tak pernah dapat halang ayah.  Dulu jugak sama. 
Ayah tak suka Maghfirah dan keluarganya.  Tapi, dia yang berkeras.  Tak sangka, begitu sekali ayah mahu pisahkan dia dan dia masa itu hanya mengikut kata ayah.  Demi maruah sendiri.  Dia yang tak bertahan.  Dia yang gagal mengawal diri.  Semua salah dia. 

Thursday, January 12, 2017

Maghfirah 18

GAMAKNYA seluruh kampung dah tahu yang dia dah kahwin dengan Ian.  Biarlah.  Elokpun kalau tahu biarpun bukan daripada mulutnya sendiri atau daripada sebuah majlis yang gilang-gemilang.  Dia tak mampu.  Bukan orang kampung tak tahu.  Maghfirah hanya tunduk di depan ayahnya yang sejak tadi tak bersuara.  Dia tahu, ayah nak katakan sesuatu.  Kerana itu dia sabar.  Menanti dan terus menanti setiap kata yang bakal keluar daripada mulut ayah.  Apa saja, dia akan terima. 
“Berapa lama ayah nak diam macam tu?”  Kepala diangkat.  “Ayah buat Firah risau…”  Dia dah dekat nak menangis ni. 

Wednesday, January 11, 2017

Maghfirah 17

PAK Mansor tenang mendengar butir bicara Maghfirah.  Tiada rasa nak menyampuk selagi Maghfirah tak minta dia bersuara.  Dia tahu, Maghfirah sedang keliru.  Masa lalu dan masa kini.  Kedua-duanya dirasa gagal. 
“Firah yakin apa yang Firah cakap ni?”  soal Pak Mansor akhirnya. 
“Erm… dia tak sayangkan Firah, yah.  Kadang-kadang Firah rasa kita yang ikat kaki tangan dia.  Tahan kepergian dia.  Tidaklah Firah salahkan pinang dia untuk Firah.  Firah tahu ayah risaukan Firah.  Tapi, kan Firah dah cakap… Firah selesa dengan ayah.  Dan, Firah jugak faham, ayah nak bagi Firah kehidupan yang terjamin.  Firah dah cakap dekat Ian, bila-bila masa dia nak pergi, Firah tak akan sekat langsung,” cerita Maghfirah jujur. 

Maghfirah 16

AIR muka Pak Mail bengis.  Dia renung Nazri tajam.  Dan, dia juga tahu Nazri buat-buat tak tahu akan renungan dia.  Orang dah pesan awal-awal, dia pergi carik jugak perempuan tu, dah kenapa?  Habis semua orang dok datang berbisik dekat telinga dia, Nazri ludah jilat balik.  Mengemis pada Maghfirah dekat kenduri Suhaimi semalam. 
“Ayah nak cakap apa?”  Nazri balas renungan ayahnya.
“Rasanya kamu dah tahu apa yang ayah nak cakap ni.”
Nazri sengih sendiri.  Dia pandang mak yang hanya diam.  Ya, dia memang tahu angin apa yang sedang bertiup sekarang.  Mungkin semakin kencang.  Tapi, lantaklah.  Dia tak buat salah apapun sekarang.  Jika dulu, memang dia salah tapi semalam tu… dia hanya bertanya khabar.  Salah ke?

Maghfirah 15

TIDAK dapat tidak, Maghfirah pergi juga mengikut ayah ke kenduri.  Tapi, dia bertegas hanya akan duduk di dapur.  Biarlah dia basuh pinggan aje.  Dia tak nak jumpa orang.  Di sini, dia sorang diri.  Tiada orang ganggu.  Tiada pandangan sinis dan tiada soalan aneh.  Dia pun akan tunduk saja tak akan panggung kepala. 
Dia datang demi rayuan ayah dan Pak Suhaimi yang dah banyak membantu.  Andai tidak, dia lebih rela di rumah.  Tapi di rumah, bersama dengan Ian setelah hal semalam… jiwa dia keliru.  Sepertinya, keputusan dia adalah keputusan yang silap biarpun saat mengatakan ya, dia benar-benar yakin. 

Tuesday, January 10, 2017

Maghfirah 14

SEBAIK saja melihat ayah keluar rumah untuk ke rumah Pak Suhaimi, Maghfirah kembali ke dapur.  Tersenyum sendiri melihat Ian yang sejak semalam tak sudah-sudah nak gelak.  Gelakkan dia sebab dulang.  Tak pasal-pasal keluar pepatah.  Tapi, pelengkap pepatah itu… hai… hati yang patah pun boleh bercantum balik.
Penawar!  Mungkin benar, Tuhan hantar orang asing ini menjadi penawar.  Dia duduk di atas anak tangga melihat Ian yang sedang mengupas kulit ubi kayu.  Dia tak suruh tapi Ian yang nak buat.  Nak makan bingka ubilah pulak.  Pertama kali dia masak untuk orang lain selain untuk tekak sendiri dan ayah. 

Maghfirah 13

WAJAH yang sedikit merah itu dipandang lama.  Nazri lebarkan senyum.  Ikut hati, nak aje dia ajak Maghfirah kahwin esok.  Dia bimbang, jika satu hari tak mampu menahan sabar… kasih Maghfirah padanya akan bertukar pada kebencian.  Dia kenal diri sendiri.  Dia tahu tahap mana dia mampu bertahan. 
“Kita kahwin minggu ni, nak?”  soalnya tiba-tiba.
Dahi Maghfirah berkerut.  “Awak ni, soal kahwin bukan soal main-main.”
“Kalau saya main-main, saya tak ajak awak kahwin, Firah…” 

Monday, January 09, 2017

Maghfirah 12

PUNGGUNG dilabuhkan.  Letih sangat memandu.  Biarpun dah biasa tapi setelah mengharungi hari-hari yang sibuk di Bandar, siapalah tak penat.  Nak sampai kampung ni bukannya dekat jugak. 
Nazri sandarkan kepala ke badan sofa kulit itu.  Memejamkan mata rapat.  Harap nak lelap untuk seketika tapi harapannya hampa bila pehanya ditepuk orang.  Kelopak mata yang berat diangkat terpaksa.  Wajah mak terbias di mata. 
“Tak dengar pun sampai.  Balik naik apa?” 

Maghfirah 11

RAHSIA.  Biarlah terus menjadi rahsia.  Dia tak akan cakap pada sesiapa melainkan hanya diri sendiri saja yang tahu.  Tidak pada Pak Mansor, jauh sekali pada Maghfirah.  Sementelah pulak mereka tak bertanya.  Dia pun tak ada sebab nak bercerita.  Aib yang dah Tuhan tutup cantik, mana mungkin dia sendiri nak bukak. 
Tapi, gilakah dia bila begitu berani menerima ‘pinangan’ Pak Mansor untuk gadis sebaik Maghfirah?  Tidakkah dia sedar dirinya siapa?  Masih berani bermain dengan hati wanita?  Ian raup wajah. 
Tidak…

Friday, December 02, 2016

Maghfirah 10

PELIK sangat pelik.  Maghfirah halang dia pergi, tapi kenapa kembali tutup mulut.  Sepatah ditanya, satu apa pun tak dijawab.  Cuma, gadis itu dah tak mengelak dia.  Ingatkan dia aje yang sakit, ada lagi yang lebih sakit daripada dia.  Homen…
“Ian?”  Pak Mansor menyapa bahu Ian. 
“Ya, saya pak cik…”  Terkulat-kulat Ian menjawab bila mulut tak habis-habis membebel pasal Maghfirah.
“Marahkan apa tu?” 
“Diri sendiri…”  Ian pandang ke laman yang begitu bersih. 
“Dah kenapa pulak?”
“Entahlah…”  Bahu terjongket. 

Thursday, December 01, 2016

Maghfirah 9

DALAM mata Pak Mansor jelas terpancar rasa gelisah.  Bukan apa… pipit mana mungkin bergandingan dengan enggang.  Tak mungkin!  Pepatah itu bukan saja-saja dibuat.  Orang dulu-dulu dah ambik kira semua perkara.  Seperti apa yang sedang mereka lalui sekarang.  Situasi ini. 
“Ayah bukan apa, Firah…” Kopiah atas kepala ditarik.  Nafas berat lepas.  Pak Mansor angkat mata.  Memandang tepat pada Maghfirah. 

Friday, November 25, 2016

Maghfirah 8

SELESAI solat Isyak dan qada Maghrib, dia duduk di tangga rumah kayu ini.  Memandang ke depan.  Gelap.  Rumah Pak Mansor agak jauh daripada rumah orang.  Biarpun masih boleh nampak cahaya lampu, tapi kira jauhlah. 
Ian toleh belakang sesekali tapi langsung tak nampak Maghfirah.  Pak Mansor juga tak nampak.  Manalah diorang pergi dalam rumah yang Cuma sekangkang kera ini.  Rambut yang dah mula panjat diramas kuat.  Demamnya dah kebah langsung.  Begitu gigih Maghfirah menjaganya.  Setiap kali mendengar bicara gadis itu, malah merenung dalam anak mata coklatnya… dia dapat rasa Maghfirah tak nak didekati. 

Thursday, November 24, 2016

Maghfirah 7

RENUNGANNYA pada wanita ini sudah kian berubah maksud.  Dah ada renungan lain.  Sudah… dia sendiri tak sedar bila dia ada rasa ni.  Gamaknya kerana terlalu lama bersama, rasa itu muncul sedikit demi sedikit.  Biarpun masih tak berjaya takluki seluruh hati, jiwa lelakinya sudah mula resah bila tak jumpa wajah ini.  Macam mana dengan prinsipnya? 
Setiap pertemuan akan ada perpisahan.
Setiap yang sakit, pasti akan sembuh akhirnya. 

Wednesday, November 23, 2016

Maghfirah 6

IAN berkeras tak nak ke hospital.  Pada dia, sikit aje ni.  Dia pernah jatuh tergolek semasa mendaki gunung  Tahan dulu.  Apalah sangat yang ni.  Tak seberapa pun.  Memang nampak bengkak sikit.  Esok-esok surutlah bengkak ni.  Janji dia dah boleh berjalan.  Tapi, perjalanan dia memang tergendala di sini.
Seperti, menanti kereta api menukar laluan atau bila berselisih dengan gerabak lain, trennya perlu berhenti terlebih dulu berjam-jam.  Itu perkara biasa yang terjadi pada pengembara sepertinya.  Cuma kali ini, hati dia juga terasa berat untuk pergi. 

Tuesday, November 22, 2016

Maghfirah 5

TERASA diri diperhati, Maghfirah menoleh.  Dia angkat toto dan bantal yang sudah dikemas.  Nak simpan dalam bilik.  Sungguh.  Memang ada yang sedang perhatikan dia.  rasanya, elok dia suruh aje Ian pergi semalam.  Berkali-kali dah dia cakap tak selesa tapi Ian masih merenung dia tak lepas.  Apalah yang tak puas hati.  Padahal semalam, dia hanya kunci mulut sudahnya daripada terus berdebar dengan Ian.  Bukan dapat hadiah pun kalau menang.  Buat kering tekak aje. 

Monday, November 21, 2016

Maghfirah 4

KENAPA? 
Satu soalan itu dah biasa sangat dia terima.  Bukan seorang yang tanya, malah setiap yang dia jumpa, itulah yang pertama diaju.  Ian tenang.  Memandang wajah ayu di depannya.  Wajah yang sedikit pucat.  Bibir merekah kekeringan.  Bawah mata yang dah timbul gelang hitam.