Pembelian buku NOKTAH, boleh dibuat seperti di atas
Sementara stok masih ada.
"Semua penulis akan MENINGGAL. Hanya KARYANYA sajalah yang akan ABADI sepanjang masa. Maka TULISLAH sesuatu yang akan MEMBAHAGIAKAN dirimu di AKHIRAT kelak..." .: Saidina Ali bin Abi Talib :.
MATANYA merenung tanpa berkelip riak wajah tenang Naihara. Bagaikan tiada apa-apa yang terjadi. Dia nampak jelas Naihara sedang mengemas barang peribadi. Telinganya juga mendengar setiap patah kata yang diucapkan. Satu pembohongan untuk membuatkan banyak hati lega.
Siapa yang akan hargai segala pengorbanan itu? Tiada.
Tiada siapa yang akan hargai. Setiap pengorbanan Naihara sekadar beralaskan
kebodohan gadis itu sendiri.
Satu hari… tiada siapa yang akan hancur
melainkan diri sendiri.
Cumanya, senyuman manis itu membuatkan dia
terkaku seketika. Tertanya sendiri, apakah yang Naihara rasa saat ini hingga
masih boleh mengoyak senyuman yang demikian?
Atau benar gadis itu dibela oleh Badli? Jika
benar, kenapa Naihara melarikan diri malam tadi? Apatah lagi melihatkan
pakaiannya. Pandangannya mampu mengelaskan setiap pakaian dan kualiti pakaian
tersebut. Naihara tidak dibalut dengan pakaian daripada jenama mewah.
Dari hujung rambut ke hujung kaki, semua yang menutup tubuh Naihara adalah sangat biasa. Yang menampakkan gadis itu indah adalah diri sendiri.
JIKA inilah lelaki yang akan menjadi majikan, rasanya tiada kesal yang bergayut di hati biarpun dia perlu pergi atas kesilapan yang cukup kecil. Jika ini aturan takdir dalam perjalanannya, dia tidak akan menidakkan. Sejak dulu dan sekarang. Akan datang juga pasti tiada beza.
Dia tidak lagi mahu bertemu dengan lelaki ini
setelah malam tadi. Maka, meninggalkan tempat ini adalah sesuatu yang tepat
untuknya. Bekerja di bawah rasa benci banyak hati, bukan sesuatu yang mudah
sebelum ini. Apatah lagi bila pemilik tempat ini juga begitu membencinya. Segalanya
akan jadi terlalu payah.
“Saya faham, tuan. Saya keluar dulu.”
“Cik Naihara tak jawab lagi soalan saya tadi.”
Langkah Naihara terhenti. Bila dia menoleh,
lelaki itu sudah berdiri dekat dengannya. Dadanya berdetak kencang.
“Maaf, tuan. Soalan yang mana?” Dia terus cuba untuk bertenang.
KAKINYA maju ke bilik yang tertera tulisan Pengarah Urusan yang selama ini kosong, tidak berpenghuni tapi hampir setiap hari dia masuk ke bilik ini, membersihkannya. Pintu diketuk sekali dan bila daun pintu dibuka dari dalam, Naihara beranikan diri untuk melangkah masuk.
Haq tidak bersuara. Diam. Hanya memerhati
langkah kaki yang nampak sedikit pincang dengan wajah yang langsung tak
diangkat. Seketika, matanya terpejam rapat. Menyedut udara sedalam-dalamnya
hingga dia dapat rasa paru-parunya mula sendat. Sebaik saja dia lepaskan helaan
nafas, dia senyum sendiri.
Ya… haruman ini yang dicari oleh derianya. Yang
tak ubah seperti bunga popi yang membuat dia ketagihan.
Debaran pada jantung Naihara kian menggila. Biarpun semangatnya pudar, hatinya kecut, sekujur tubuhnya menggigil. Dia perlu kuat demi yang lain yang masih berharap biarpun bibir masing-masing terkatup rapat.
LAPORAN yang disediakan jelas dan mudah difahami. Padanya, pendapatan bawah seratus ribu setahun adalah sangat kecil tapi tidak pada syarikat ini. Dalam diam, dia akur akan kebolehan Naihara bekerja. Apatah lagi bila Encik Azmi tak puas memuji.
Dia yakin, pemerhatian dan penilaian Encik Azmi
boleh diguna pakai kerana dia telah siasat latar-belakang lelaki itu dan lelaki
separuh usia itu telah membuktikan segala cerita itu tepat.
Daripada cermin yang bidainya terbuka itu, dia
dapat lihat wajah-wajah resah. Menanti untung nasib sendiri. Niatnya hanya
untuk memiliki kembali bangunan dan syarikat kecil ini. Dia tidak kisah tentang
hal lainnya. Jika dia perlu menanggung kos operasi dan kerugian sekalipun, dia
akan kekalkan syarikat ini hanya kerana wanita yang dia panggil kakak.
Tapi kerana Naihara, keputusannya seperti berbolak-balik. Sedangkan selama ini tiada siapa mampu gugah teguhnya keputusan yang telah dibuat. Haq rapat pada tingkap. Dibuka lebar. Dia cucuh rokok itu dan ketika itu juga dia menerima e-mel daripada Aniq.
MATA kuyu Haq tajam memerhatikan sebuah partition berwarna hijau lembut itu. Kakinya berhenti daripada melangkah bila dia terlihatkan sesuatu yang berjaya menarik perhatiannya.
Buat seketika, dia renung sesuatu yang
tergantung di kerusi sebelum senyumannya tersungging sinis. Bagai tak percaya. Apakah
benar dunia ini begitu kecil?
Dia terus menelefon Aniq.
“Saya dah e-mel maklumat tu semua. Bos boleh check di sana terus.” Aniq laju menjawab demi mengelak dimarahi kerana
tertidur sepanjang malam di pejabat tanpa menyiapkan kerja yang Haq arahkan.
“Tentang semalam tu, tak perlu cari.”
“Pula dah?” Dia baru nak panaskan enjin
pencarian data. Macam-macam betullah bos ni.
“Okey, bos. Berita faham.”
DIA hanya berusia lima belas tahun waktu itu. Dia benar-benar tidak berdaya. Saat mendengar mama menjadikan dia yatim-piatu dalam sekelip mata, Naihara pujuk hati. Mama punya alasan tersendiri. Namun, kemunculan Risya telah mengucar-ngacirkan fikirannya saat itu. Mama senyum mendekatinya.
“Terima kasih datang jumpa mak cik, Naihara. Mak
cik harap Naihara dapat hidup baik-baik, ya?” Pipi Naihara diusap mesra.
Saat ini, Naihara angguk. Air matanya jatuh. Bagai
terharu dengan harapan yang mama hulurkan. Setelah membuang dirinya begitu
saja, mama memujuk dengan ayat yang cukup kejam. Panggilan mak cik itu bagai
tak dapat dia terima. Setelah itu, mama berlalu melayani tetamu. Meninggalkan
dia dan Batrisya.
Naihara tunduk mengelap pipi setelah kelibat mama hilang daripada pandangan mata.
AKHIRNYA, Melihat Naqim yang pisatkan mata berkali-kali dan merengek kerana tak suka tidurnya diganggu, Naihara kembali senyum. Jam sudah menginjak ke angka sebelas malam.
“Kenapa ambil Qim lambat? Qim takut Nai tak
balik dah. Qim takut Nai tinggalkan Qim lagi.” Suara Naqim kedengaran sayu.
Mata Naihara mula bergenang. Perkataan lagi
yang Naqim ucapkan sedikit sebanyak membuatkan hatinya menangis sendiri.
“Nai banyak kerja. Nai kerja, cari duit untuk
bawa Qim jalan-jalan nanti,” pujuknya.
Naqim angguk dan senyum. Memeluk Naihara erat. Jasad
Naqim berubah seiring waktu tapi sikap dan pemikiran Naqim kekal di situ.
Naihara senyum pada Kak Nor.
“Maaf, kak. Lambat. Terima kasih,” ucapnya
lembut.
“Sama-sama.” Kak Nor senyum lembut.
MATA kuyu itu sejak tadi memerhati. Niatnya hanya untuk melihat bangunan yang pernah dimiliki oleh keluarganya dan sekarang telah kembali kepadanya setelah hampir dua puluh tahun.
Tak sangka, matanya tertancap pada seorang
gadis berbaju kurung putih dengan kesan merah. Pada mulanya dia tak sedar tapi
bila Jay memberitahunya, barulah dia perasan akan wajah indah itu.
Biarpun tidak jelas, tapi dia yakin itu adalah
gadis yang sama. Melihatnya ada di situ sendirian dengan mengesat pipi, dia
yakin gadis itu sedang menangis. Niatnya untuk turun mendekati terbantut bila
sebuah kereta yang dia kenal itu berhenti tepat di depan gadis tersebut.
Mustang Camaro kuning itu memang agak jarang ada di atas jalan raya dan nombor
pendaftarannya juga sangat istimewa. Jadi, cukup mudah untuk dia kenal.
Dahi Haq berkerut seketika kemudian dia koyak
senyum. Nampaknya, ada sesuatu yang sangat menarik bakal terjadi. Akhirnya,
rasa ingin tahunya terbunuh begitu saja.
Dia menghubungi Aniq.
Sungguh… segalanya bagai nyata. Air matanya
menitis perlahan saat dia cuba membendung helaan nafas dalam ruangan dada yang
dirasakan cukup sempit dan sendat. Sakitnya sudah lama tiada tapi parutnya
masih begitu nyata.
Naihara labuhkan duduk semula. Meraup wajah dan menutup mata seketika. Saat itu, mata kuyu dan rambut panjang itu muncul. Dia masih dapat dengar dengan jelas nafas lelah setelah mengheretnya ke daratan. Dia masih dapat rasa hangatnya telapak tangan kasar itu menyentuh pipinya dan juga titisan air dari rambut panjang yang basah itu. Dia masih ingat dengan jelas bagaimana lelaki itu mendukung tubuh lemahnya dan membawa dia pergi. Dengan bisikan yang kini sudah semakin sayup meninggalkan memorinya.
“Eh, dah pekak ke?”
“Saya dengar.” Hanya itu yang mampu dia ucapkan
waktu itu.
“Kau buat Badli marah lagi, ya? Kenapa dia mesti masuk semula dalam keadaan macam tu? Kau sejak dulu memang suka buat orang marah. Memang suka kacau majlis orang. Kan aku dah pesan, jangan buat hal. Tak boleh ke kau makan aje senyap-senyap, lepas tu pergi? Susah sangat ke? Kenapa mesti kau nak orang sedar dengan kehadiran kau? Tak boleh ke kau hidup diam-diam sendiri tanpa menyusahkan orang? Kenapa sejak dulu, kau mesti jadi punca semua masalah? Kenapa mesti kau jadi punca orang lain bertelagah?”
Dia ditakdirkan untuk menjadi salah seorang
penghuni bumi. Namun, setelah dia hampir berjaya membuktikan yang dia juga
punya hak, semua itu direnggut dengan kejam.
Seorang demi seorang hadir di depannya,
membisikkan kata-kata yang sama. Boleh jadi benar kata-kata lelaki tadi. Bisikan
lelaki itu membuat rasa nyeri di hati menyusup sehingga ke tulang belakang
malah merebak ke seluruh pembuluh darah.
Mungkin segalanya akan lebih baik jika dia tiada di atas muka bumi ini. Biarpun ketiadaannya tak akan membuatkan dunia ini berubah, tapi segala hinaan dan derita akan terhenti sebaik saja nafasnya mati. Urusan setelah kematian itu adalah perkara lain.
Haq pejamkan mata. Mencari dan terus menyelak
segala kisah yang ada dalam sejarah hidupnya. Dia tak pernah ingat wajah itu
tapi sepasang mata yang memandangnya tak ubah seperti merayu untuk diselamatkan
itu pasti terselit di celah lipatan ingatan.
Biarpun selama ini dia sering kali dihidangkan
dengan pandangan yang memualkan, tapi dia juga yakin yang dia pernah melihat
renungan seperti itu walau hanya sekali. Renungan yang cukup lantang berbicara
biarpun bibir itu terkatup rapat.
“Muda ke tua driver teksi tu?” Haq tiba-tiba menyoal pembantu setianya, Jay.
TUBUHNYA tegak. Tapi, mata terus mencerun pada Naihara setelah dia membiarkan gadis itu duduk di sebuah sofa yang agak tersorok di lobby hotel. Seperti juga tadi, Naihara masih lagi tunduk. Rambut yang diselit di belakang telinga juga sudah jatuh semula hingga kembali menutup seluruh wajah.
Sejak
tadi, dia cuba melihat dengan lebih jelas wajah Naihara tapi tidak
berjaya. Yang ditatap hanyalah sisi
wajahnya saja. Dia nampak mata redup
yang dihiasi dengan bulu mata yang lebat dan lentik. Dia nampak hidung yang mancung terletak. Dia dapat rasa mulusnya kulit pucat itu. Dia juga tahu, gadis ini adalah gadis yang sama yang
terhantuk pada pintu kerananya.
Dia berkeras untuk tidak hadir ke majlis malam ini, tapi kata-kata Abang Budi memaksa dia muncul dan tak sangka, dia disajikan dengan kejadian yang menarik. Apatah lagi bila Abang Budi bagai cuba bermesra dengan gadis ini tetap Badli pula mengasaknya.
NAFASNYA tercungap-cungap seperti mana saat dia di selamatkan daripada lemas satu ketika dulu. Dia menoleh separuh dan wajah tampan itu jelas pada pandangan matanya. Lelaki itu nampak tenang memandang pada Badli. Langsung tidak menoleh padanya.
Rambut panjangnya diikat kemas. Segak dengan suit lengkap. Biarpun ada bau yang tidak selesa itu
daripada hembusan nafas lelaki ini, bau yang selama ini menemaninya masih kuat
memeluk tubuh lelaki ini.
“Eh, apa ni?”
Suara keras Badli membawa Naihara memandang ke
depan. Masih di situ. Membiarkan lelaki itu memeluk pinggangnya
tanpa mahu ditolak. Entah kenapa, dia
sepertinya telah diselamatkan oleh lelaki ini.
Perasaan ini sama dengan satu ketika dulu.
Tangannya ringan memaut lengan sasa lelaki ini dan menyorokkan sebahagian wajah di sebalik lengan gagah itu. Lelaki itu jongketkan senyuman sinis. Nampak puas dengan apa yang tak dirancang ini.
AIRMATA Naihara hampir jatuh tapi ditahan apatah lagi dia lihat mak cik mula mendekati. Renungan wanita itu benar-benar membuatkan nafasnya tersekat. Peristiwa lalu itu masih ligat menghantui harinya, di tambah dengan kejadian hari ini, entah bagaimana dia mahu teruskan hidup. Padahal dia telah begitu berusaha untuk tidak menjadi tumpuan sesiapa jauh sekali untuk timbulkan masalah.
Sepuluh tahun dia membina semula semangat yang
runtuh, hari ini segalanya akan punah dalam sekelip mata. Sungguh… dia tidak patut berada di sini. Di sini bukan tempatnya. Dia terlalu hina untuk berada bersama
golongan ini. Apatah lagi bila wajah
Uncle Budi juga semakin jelas di pandangan.
Wajah yang tergaris sedikit kerutan.
Wajah penuh tanda tanya.
Satu ketika dulu, Uncle Budi sentiasa memuji dan berbangga dengan usahanya. Namun, setelah dia dituduh membuatkan Batrisya lemas, lelaki itu melahirkan rasa kesal yang tidak terhingga. Jelas tergambar kecewa pada wajah lelaki ini satu ketika dahulu.
SEDEKAD berlalu, haruman yang hampir dilupakan itu kini kembali segar mendakap dirinya. Kehangatan pelukan itu masih terasa pada kulitnya yang kedinginan. Malah, kata-kata lelaki itu buat dia kembali berdaya.
Naihara pejam mata… mencari wajah yang kian
kabur dalam memorinya. Di saat lelaki
itu menurunkannya di depan pagar asrama, mengusap pipinya bersama senyuman
tipis, perasaan yang dipanggil cinta itu hadir tanpa dipaksa. Walaupun dia tahu, dia tak akan bahagia… dia
masih menghargai rasa itu sejak sekian lama.
Hari ini, seketika tadi… deria baunya mencium lagi haruman yang sama. Sentuhannya biarpun hanya sekadar sepintas lalu, kehangatan itu dirasakan serupa. Tak… mustahil dunia ini begitu kecil. Dia tak akan mudah dipertemukan dengan lelaki itu dan jika benar, lelaki tadi adalah orang yang sama, sebahagian besar hati mahu lupakan saja semua perkara.
DADA Naihara berdebar bila dia tiba di depan pagar rumah banglo mewah itu. Setelah sekian lama, inilah kali pertama dia dijemput ke sini dan dia hadir membawa berita gembira pada wanita yang telah berkorban untuknya dan juga untuk lelaki yang berjaya membawa bahagia pada syurganya itu. Malah lelaki itu juga memberikan dia sesuatu yang dipanggil masa depan.
Kerana bantuan lelaki yang dia panggil Uncle
Budi, dia dapat bersekolah dan tinggal di asrama dengan selesa. Malah, Naqim juga diberi tempat di pusat
kebajikan. Dijaga dengan rapi.
Andai dihitung hari, hari ini genaplah lima tahun dia tidak temui wanita itu dan dia benar-benar tak sabar untuk menatap wajahnya dan memeluk jasad itu seerat mungkin. Dia mahu buktikan yang dia bukanlah seeorang yang tidak berguna dan malang. Dia belajar dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan semuanya dan sikit masa lagi, dia akan berjaya. Dia yakin.
HUJUNG jari Naihara mula terasa dingin. Puas dia seru keyakinan diri yang hanya sedikit berbaki sejak sekian lama, tapi segalanya tak kunjung tiba. Usah kata jari-jemarinya menjadi dingin, malah jantungnya bagai hendak meletup. Mujurlah panggilan itu akhirnya berhenti. Buat seketika, dia memujuk hati yang gentar dan dia hampir menjerit bila panggilan sekali lagi masuk ke telefonnya.
Bila dilihat pada pemanggil, dia hela nafas
lega.
“Ya, kak,” sapanya sopan.
“Jam berapa Naihara nak balik?”
“Mungkin lambat sikit. Ada kerja nak kena siapkan hari ni
juga…” Kala ini, jam sudah menginjak ke
angka empat petang. Bimbang tak sempat
dia siapkan sebelum tamat waktu bekerja.
“Tak apalah kalau gitu. Jangan risaulah. Kak Nor faham kalau dah ada kerja. Bukan selalu. Dialah dok merengek minta Kak Nor call. Call Nai. Nai janji nak balik awal. Nai janji apa dengan dia?”
MELIHATKAN pergaduhan antara mama dan ayah kian memuncak, tubuh halus Naihara terus menggigil. Suara yang semakin tinggi dan terus nyaring, membuatkan dia menekup telinga hinggalah ada telapak tangan yang cukup hangat menyentuh lengannya.
Naihara buka mata yang kabur dek airmata. Menoleh ke kiri dan memandang pada sekujur
tubuh lemah yang demam sudah dua hari dan hari ini, demamnya kian menjadi-jadi
biarpun dia berusaha mengelap seluruh tubuh itu dengan kain basah.
“Qim lapar…”
Naihara lap airmata dan senyum pada
abangnya. Dia angguk.
“Kejap. Nai pergi tengok kat dapur, ya.” Dia pegang wajah Naqim. Masih panas. Lantas, dicelup tuala ke dalam besen berisi air dan diletak di atas dahi Naqim. Tubuh kurus Naqim menggigil tak berhenti. Bibirnya juga sudah berubah menjadi biru.