Wednesday, July 31, 2024

RAPUH 5

LANGKAHNYA teratur.  Walaupun, sejak di muka pintu, dia dah dapat mendengar suara keras ayah.  Mahfuzah hentikan langkah.  Membuka beg tangan dan mencari gincu.  Dicalit pada bibir pucatnya.  Kemudian, disapu pemerah pipi. 

Dia berjalan masuk ke ruang tamu itu dan pandangan matanya jatuh pada Anas sedang mengerekot menahan kesakitan.  Darah merah sedang mengalir daripada bibir dan lukanya. 

Hati Fuzah tenggelam ke dasar.  Namun, dia pilih untuk tenang.  Tiada perasaan yang ditunjukkan melainkan pandangan kosong semata.  Dia hampiri ayah dan beberapa orang lain yang ada bersama.  Anas mengerang kesakitan dan saat melihatnya, air mata Anas terus meleleh.  Pandangan matanya jelas meminta bantuan. 

Fuzah alihkan pandangan. 

“Ayah,” serunya bila mendekati Tan Sri Zain. 

Tuesday, July 30, 2024

RAPUH 4

LUTH kalut apabila dia membuka mata dan melihat katil yang sudah kosong.  Malah, selimutnya sudah dilipat elok.  Dia bingkas bangun, mahu mencari namun belum sempat dia menyelak langsir tersebut, wajah seorang wanita lain terlebih dahulu muncul di depannya.  Tubuhnya kaku melihat renungan dingin wanita itu padanya. 

“Siapa nama awak?”  soal wanita itu, perlahan.

“Luth…” 

Zana jongket kening sebelah. Melihat pada cara wanita ini, Luth mengerti akan apa yang dimahukan.

“Muhamad Luth.” 

Zana angguk beberapa kali. 

“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih sebab dah bantu bos saya.  Keduanya, saya harap awak tiada sebarang recording atau apa-apa jenis bentuk bahan yang boleh disebarkan kepada public. 

Dahi Luth berkerut lebat.  Tidak memahami apa yang sedang berlaku.  Otaknya terbelit dengan ayat yang dituturkan.  Recording? Bahan yang boleh disebarkan?

Monday, July 29, 2024

RAPUH 3

MUJURLAH jalan tidak sesak.  Kurang lima belas minit, kereta berhenti tepat di lobi Mandarin Oriental.  Luth menoleh pada pelanggan tak diundang di tempat duduk belakang, yang sejak tadi diam tak berkutik. 

“Cik, dah sampai.  Sekejap ya… saya bukakan pintu.” Luth buka tali pinggang keledar.  Dia membuka pintu dan berlalu ke belakang. 

Dia membuka pintu di sebelah penumpangnya. Kelihatan, wanita itu masih terlena. 

“Cik, kita dah sampai,” ujar Luth, sopan. 

Dia kerut dahi bila tiada tindak tindak balas. 

“Cik…”  Luth beranikan diri menyentuh bahu wanita itu dengan hujung jari telunjuknya.

“Cik?”  panggilnya buat ke sekian kali. 

Friday, July 26, 2024

RAPUH 2

SEBAIK sahaja dia tiba di lobi pejabat, pemandunya sudah sedia menanti. Namun, wajah itu sedikit suram.  Nampak takut dan kecut.  Dahinya berkerut lebat.  Fuzah rapati.  Pintu tidak dibuka seperti biasa.  Dia tidak kisah sebenarnya.  Andai perlu, dia boleh buka sendiri.  Tetapi, dia tidak pernah dididik untuk lakukan sesuatu yang bukan tugasnya.  Dia telah diasuh untuk letakkan benteng yang tinggi antara dirinya dan sesuatu yang bukan tempatnya. 

“Maaf, cik puan.”  Suara Anas menyapa telinga.

“Kenapa?”  Permohonan maaf Anas kedengaran asing.  Lelaki ini jenis tak banyak bicara dan jarang melakukan kesilapan. 

“Baru sekejap tadi sebelum cik puan turun, engine kereta mati.  Saya dah pergi servis minggu lepas cuma tak pasti apa masalahnya lagi.  Saya dah cuba hidupkan tapi tetap tak boleh.  Maaf, cik puan.  Saya tahu cik puan nak cepat.”  Suara Anas kian gugup. 

RAPUH 1


KEDUA-DUA
belah siku ditongkat atas meja. Tangan kanan naik memicit pelipis.  Pandangan mata mula terasa kabur.  Sejak kebelakangan ini, rasa pening semakin giat hadir menemani hari-hari yang terlalu sibuk. Laporan setebal setengah inci itu ditolak ke hadapan.  Belakang tubuh bersandar pada kerusi. Mata dipejam.  Nafas panjang dihela berkali-kali. 

Suasana bilik hening. Tiada siapa berani bersuara. Hanya tunduk menanti patah bicara dan arahan seterusnya daripada wanita yang sedang duduk di kerusi eksekutif berwarna hitam itu, berpejam mata.

“Kenapa boleh jadi macam ini?” Suara lunaknya memecahkan kesunyian.

Matanya masih terpejam.  Memasang telinga. Tetapi, jawapan masih tidak kedengaran. Antara mereka, masih ditemani hening. Perlahan-lahan kelopak mata diangkat.  Memandang tepat ke hadapan.  Tidak dipakukan mata pada sesiapa.  Cuba membendung rasa berbalam yang masih belum mahu hilang.