Wednesday, July 31, 2024

RAPUH 5

LANGKAHNYA teratur.  Walaupun, sejak di muka pintu, dia dah dapat mendengar suara keras ayah.  Mahfuzah hentikan langkah.  Membuka beg tangan dan mencari gincu.  Dicalit pada bibir pucatnya.  Kemudian, disapu pemerah pipi. 

Dia berjalan masuk ke ruang tamu itu dan pandangan matanya jatuh pada Anas sedang mengerekot menahan kesakitan.  Darah merah sedang mengalir daripada bibir dan lukanya. 

Hati Fuzah tenggelam ke dasar.  Namun, dia pilih untuk tenang.  Tiada perasaan yang ditunjukkan melainkan pandangan kosong semata.  Dia hampiri ayah dan beberapa orang lain yang ada bersama.  Anas mengerang kesakitan dan saat melihatnya, air mata Anas terus meleleh.  Pandangan matanya jelas meminta bantuan. 

Fuzah alihkan pandangan. 

“Ayah,” serunya bila mendekati Tan Sri Zain. 

“Kau pergi mana, hah?!”  Suara Tan Sri Zain berdentum di seluruh rumah banglo besar ini.

Suara amarah yang menyekat segala bunyi.  Tiada juga bunyi dentingan halus daripada pembantu rumah di dapur.  Tiada juga bunyi di luar rumah.  Semuanya pegun. 

“Kau pergi mana sampaikan kau boleh terlepas meeting penting tu?  Kau tahu tak betapa susah aku yakinkan Dato’ Lah untuk jumpa kau.  Kalau aku sihat, aku tak akan suruh kau pergi.  Kalau bukan sebab aku tak ada pilihan lain, aku tak akan suruh kau.  Hari ini, sekali lagi kau buktikan kau tu lemah!  Tak berguna!  Tak boleh nak harap!”  jerit Tan Sri Zain.

Seluruh rumah dihiasi gema biarpun seketika.  Yang sunyi kian hening.  Hinggakan masing-masing saling mendengar degup jantung menahan resah.  Fuzah juga tunduk.  Sesekali mengerling pada Anas.

“Yang kau ni pulak, aku dah pesan untuk ada bersama dengan dia.  Itu tujuan aku upah kau.  Tapi, kenapa aku dengar dia pergi dengan e-hailing?  Anak Tan Sri Zain naik e-hailing?!”  Tan Sri Zain terus menghamburkan marah. 

Tan Sri Zain mendekati Anas dan masih cuba memukul dengan tongkat daripada kayu cengal yang ada di tangan.  Saat kayu itu dihayun, Fuzah berdiri di depan jasad lemah Anas.  Pukulan itu terkena tepat pada sisi kepalanya.

“Fuzah!”  Zana terus mendekati tapi tangan Fuzah menahan agar ibu saudaranya itu tidak mendekati.

Ini adalah masalah dia dan ayahnya. Dia akan selesaikan sendiri seperti kebiasaannya sejak dulu.  Dia sudah cukup kuat untuk tidak membiarkan orang lain menjadi mangsa amukan ayah kerana kesilapannya. Matanya dipejam rapat.  Pendengarannya bagai berdengung seketika. Malah, pandangan mata sedikit berpinar. 

Air mata Zana mengalir apatah lagi melihat darah merah itu mengalir daripada luka di sisi kepala Fuzah.  Dia halakan renungan tajamnya pada Tan Sri Zain.  Tidakkah abangnya mahu bertanya keadaan diri anak tunggalnya itu terlebih dahulu? 

“Oh… sekarang dah berani nak pertahankan orang.”  Tan Sri Zain ketawa lagi.  Nadanya jelas memerli walau tangannya menggeletar kerana pukulan itu jatuh tepat di sisi kepala Fuzah. 

Sejak sekian lama, walau bagaimana marah sekalipun, dia tidak pernah naikkan tangan kepada Fuzah sejak anak ini sudah mendewasa. Tidak akan sesekali! Namun, ternyata hari ini dia mencipta sejarah baru lagi.

“Kau sendiri pun lemah.  Lembik!  Ada hati nak jaga orang lain!” Tan Sri terus mengherdik, cuba menutup resah yang menjalar dalam dadanya. 

Dia mengisyaratkan orangnya terus memukul Anas kerana dengan menyakiti orang yang terdekat dengan Fuzah, ia sudah cukup untuk membuat anak itu lebih terluka. 

Salah seorang bodyguard Tan Sri Zain mengangkat tubuh lemah Anas.  Saat penumbuk gagah itu mahu hinggap pada wajah Anas, telapak tangan Fuzah lebih pantas menahan.  Digenggam dan menahan penumbuk itu sehabis daya.  Dia kerling lelaki itu dan tak lama, lelaki itu menjauh.  Belum sempat tubuh Anas jatuh terkulai, Fuzah lebih dahulu menyambutnya dan mengisyaratkan agar Zana membantu Anas. 

“Bukan salah Anas.  Masalah hari ini semua salah saya.”  Fuzah tenang bersuara walaupun dia mula rasa telapak tangannya berdenyut.  Tumbukan tadi, jika benar hinggap ke wajah Anas, dia tidak rasa Anas akan dapat bertahan. 

“Ayah dah lama tak pukul saya tapi ayah pilih untuk sakitkan orang yang ada dekat dengan saya.  Kalau dahulu, saya masih kecil, tak berdaya nak buat apa-apa. Kalau dahulu, betul, saya akan merayu untuk semuanya dihentikan.  Sekarang, saya sudah dewasa, saya tak akan merayu lagi,” ujar Mahfuzah, tanpa perasaan.  Sekadar merenung ayahnya dengan pandangan kosong. 

Mata Tan Sri Zain membulat. Terkejut dengan ayat itu.  Rasanya, ini pertama kali Mahfuzah ucapkan kata-kata demikian.  Ya, dia perlu akui… sejak anak ini mengambil alih tampuk pentadbiran syarikat milik Kumpulan Mahazera, dia tidak lagi mencuit anaknya itu. 

Mahfuzah telah membuktikan kemampuannya. Malah, dia pernah mendengar khabar angin mengatakan, Mahfuzah lebih dingin dan lebih hebat daripadanya dalam setiap perkara.  Perlahan-lahan, dia mendekati Mahfuzah.  Memamah rahang, menahan amarah yang menggila. 

“Kenapa mesti aku nak suruh orang pukul kau sebab aku tahu kau dah boleh bertahan?  Sedangkan aku boleh pukul orang yang kau sayang dan buat kau lagi terseksa?!”  ucap Tan Sri Zain lantas berlalu.  Setelah dihempas tongkat itu ke lantai, dia berjalan perlahan dengan dada yang dirasakan sempit. 

Mahfuzah pejam mata rapat.  Didamaikan nafas yang begitu merusuh dengan ucapan lelaki yang dipanggilnya ayah.  Benar bagai dikata, sejak dia mengemudi Mahazera Group dengan cemerlang, ayah tidak lagi menyakitinya. Namun, ayah memilih cara lain dengan menghukum sesiapa sahaja di sisinya walaupun silap yang tak seberapa.  Sementelah, silap yang dilakukan hari ini. 

Bagaimanapun dia mencuba, ayahnya tak akan pernah hargai dan mengerti. 

Ini adalah satu kenyataan yang menyakitkan; dan yang perlu dia telan. 

Perlahan-lahan, dia toleh pada Anas yang duduk di kerusi bersama Zana.  Melihat wajah sugul Zana dan air mata itu mengalir, Fuzah dekati ibu saudaranya.  Satu-satunya manusia yang menjadi saksi akan segala luka deritanya.

“Mak su call Doktor Hanan.  Minta dia datang segera,” pintanya. 

Zana mengangguk dan mencari beg tangannya yang tadi terlepas daripada tangan.  Melihat perbuatan dan amarah abang kandungnya sendiri, Zana tidak mampu berbuat apa.  Sejak dulu, dia sentiasa menggigil ketakutan.  Membiarkan satu-satu anak saudaranya itu menanggung segalanya sendiri. 

“Anas?”  Fuzah mencangkung di depan Anas.  Ditekap darah yang mengalir daripada kening dan bibir Anas.  Dia harap Anas tak tertidur saat ini.  Dia terlalu bimbang. 

Air mata anak muda itu masih meleleh tetapi, bibir koyak dan berdarah itu masih lagi tersenyum.  Fuzah bantu Anas bangkit dan dibiarkan tubuh itu duduk bersandar pada sofa. 

“Saya okey, cik puan,” ujar Anas biarpun payah. 

Hurm… saya tahu.  Tapi, kejap lagi Doktor Hanan sampai.  Biar dia check awak dulu dan lepas itu, saya bawa awak pergi hospital.  Awak tahan kejap, ya?”  pujuknya.

Anas angguk dalam senyuman yang cukup sayu. 

Anak muda ini begitu setia padanya.  Sejak dua tahun yang lalu, Anas ada di sisi.  Menjadi pemandu dan pengawal peribadinya.  Walaupun hanya berusia dalam awal 20-an, anak muda ini benar-benar bertanggungjawab.  Hanya demi mencari rezeki untuk keluarga. 

“Saya minta maaf, cik puan,” ucap Anas dengan susah payah. 

Dia telah cuba sedaya-upaya untuk pastikan berita Mahfuzah ke mesyuarat dengan e-hailing tidak sampai ke telinga Tan Sri Zain seperti dipesan oleh Puan Zana.  Tetapi nampaknya, dia tak berdaya, kerana mata-mata Tan Sri Zain sering memerhatikan mereka. 

Tidak ubah seperti helang yang mencerap mangsa.  Menanti waktu untuk terus menerkam sahaja. 

“Salah saya.  Patut saya tunggu awak pergi bawa kereta lain.  Saya yang patut minta maaf.  Tapi, itulah… saya rasa saya terpaksa pecat awak.  Awak dah tak boleh kerja dengan saya lagi…”  ucap Fuzah dengan hati-hati. 

Mata Anas membulat.  Terkejut dengan kenyataan majikan yang sangat dia hormati. 

“Tolong, cik puan.  Jangan pecat saya.  Saya janji akan buat lebih baik, cik puan.”

“Tak,” bantah Fuzah pada kerisauan Anas. 

“Bukan sebab awak kena buat lebih baik sebab awak dah buat yang terbaik.  Saya tak pernah complain pasal kerja awak.  Tapi, awak muda lagi.  Apa kata awak pergi sambung belajar?  Saya akan tanggung semuanya termasuk keluarga awak sementara awak belajar.  Awak pergi belajar, ya?  Untuk masa depan yang lebih baik.  Dah habis belajar nanti, datang kerja dengan Mahazera Group.  Nanti saya minta Puan Zana uruskan,” cadang Fuzah.

“Tapi, saya nak terus kerja dengan cik puan…”

“Awak hanya akan jadi kelemahan saya kalau awak terus ada dengan saya,” balas Fuzah menahan perasaan. 

Anas kehilangan kata.  Dia pandang darah yang masih belum kering pada sisi wajah Fuzah.  Kerananya, wanita ini membawa tubuh sendiri menjadi penghadang.  Malah, dia dapat lihat tangan Mahfuzah yang masih menggigil kerana menyekat tumbukan padu itu daripada singgah ke wajahnya.  Seperti dikerah segala kekuatan dalam tubuh langsing itu. 

Akhirnya, Anas angguk.  Mengerti.  Kekejaman Tan Sri Zain tak mengira sesiapa.  Termasuk darah daging sendiri.  Dia tak pernah menyaksikan sendiri. Namun, daripada cakap-cakap orang, Mahfuzah juga pernah disakiti. Walaupun tidak secara langsung kepada badan majikannya. Hari ini, dia sendiri telah menjadi saksi. 

“Terima kasih sebab sentiasa memahami, Anas,” ucap Fuzah, bersama helaan nafas kecil.  Dia lega.  Paling tidak, dia mampu selamatkan Anas. 

Walaupun, dia tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri.


3 comments:

  1. kesiannya fuzah....

    ReplyDelete
  2. Baik Mahfuzah~~~ Harap ending untuk farhan bukan macam alif…

    ReplyDelete
  3. Kenapa ada air mata ni.. aduhhh…belom potong bawang lg harini.. 😭

    ReplyDelete