Friday, August 02, 2024

RAPUH 7

SESEKALI, mata Zana mengerling pada Fuzah yang sedang duduk di meja kerja.  Sebaik sahaja kakak iparnya terlena dan diangkat ke katil, Fuzah berlalu ke bilik sendiri, menyeret langkah yang lemah.

Kala itu, dia sendiri tak mampu ungkapkan walau sepatah kata.  Tidak hanya Fuzah, tetapi, dia juga dengar dengan jelas akan setiap bicara yang kakak iparnya ucapkan.  Nak dikira, ayat itu seringkali dihamburkan.  Cuma, hanya kali ini, Fuzah bagai membentak. Setelah bertahun lamanya, Fuzah akui dirinya sebagai seorang pembunuh.  Kali ini juga, dia lihat Fuzah menangis teresak. 

Semasa dia letakkan segelas air dan ubat tahan sakit itu di atas meja Fuzah, telefonnya bergetar.  Zana cepat-cepat berlalu keluar.  Ditutup pintu biarpun tidak rapat.  Memerhati Fuzah yang begitu tekun membelek kerja.  Berkali dipaksa rehat pun, anak saudaranya itu hanya buat tidak peduli.  Malah, luka kesan kaca yang dicampak oleh mamanya sekadar dirawat biasa sahaja.  Belum lagi dikira dengan kesan luka akibat cakaran di bahu dan belakangnya.  Tak terkira juga kesan lebamnya. 

Thursday, August 01, 2024

RAPUH 6

SEPERTI yang ditelah, Doktor Hanan pasti akan mencadangkan untuk Anas menerima rawatan lanjut di klinik milik lelaki itu.  Bagi memastikan tiada kecederaan yang lebih serius.  Fuzah hanya mampu bersetuju.  Dia mengharapkan tiada yang lebih buruk berlaku kepada Anas.  Pemuda ini adalah harapan keluarganya. 

“Apa-apa, uncle beritahu saya terus, ya?  Lagi satu, tolong jangan sampai ayah tahu,” pinta Fuzah. 

Walaupun Doktor Hanan adalah antara orang yang setia dengan ayahnya, tetapi dia tahu, lelaki ini masih ada rasa empati.  Sejak dulu, dia tahu Doktor Hanan bersimpati pada dirinya.  Pandangan lelaki itu sentiasa penuh dengan kebimbangan.

“Luka kepala Fuzah tu pun kena check juga.”

“Tak apa.  Sikit aje ni.  Kejap lagi saya minta mak su cuci dan letak ubat.  Yang penting sekarang, pastikan Anas tak apa-apa.  Nanti dah selesai, uncle beritahu saya.  Saya hantar orang untuk jemput dia.  Dalam keadaan macam itu, dia tak boleh nak balik rumah sendiri.”