Friday, August 02, 2024

RAPUH 7

SESEKALI, mata Zana mengerling pada Fuzah yang sedang duduk di meja kerja.  Sebaik sahaja kakak iparnya terlena dan diangkat ke katil, Fuzah berlalu ke bilik sendiri, menyeret langkah yang lemah.

Kala itu, dia sendiri tak mampu ungkapkan walau sepatah kata.  Tidak hanya Fuzah, tetapi, dia juga dengar dengan jelas akan setiap bicara yang kakak iparnya ucapkan.  Nak dikira, ayat itu seringkali dihamburkan.  Cuma, hanya kali ini, Fuzah bagai membentak. Setelah bertahun lamanya, Fuzah akui dirinya sebagai seorang pembunuh.  Kali ini juga, dia lihat Fuzah menangis teresak. 

Semasa dia letakkan segelas air dan ubat tahan sakit itu di atas meja Fuzah, telefonnya bergetar.  Zana cepat-cepat berlalu keluar.  Ditutup pintu biarpun tidak rapat.  Memerhati Fuzah yang begitu tekun membelek kerja.  Berkali dipaksa rehat pun, anak saudaranya itu hanya buat tidak peduli.  Malah, luka kesan kaca yang dicampak oleh mamanya sekadar dirawat biasa sahaja.  Belum lagi dikira dengan kesan luka akibat cakaran di bahu dan belakangnya.  Tak terkira juga kesan lebamnya. 

“Fuzah ada dalam bilik dia ke?” 

“Ya, abang.  Dia tengah buat kerja.”

Heh… kerja?”  Tan Sri Zain jelas kedengaran sinis. 

Zana hanya menyepi.  Dia tahu abangnya tiada di rumah sejak siang tadi.  Langsung tidak dikisah tentang anak dan isteri sendiri, apatah lagi dia yang hanya berpangkat adik kandung. 

“Dia ingat dia boleh pujuk ke semua orang untuk sokong dia terus duduk di kerusi CEO itu kalau bukan sebab aku?  Aku tunggu aje macam mana dia pujuk Board of Directors dan macam mana dia nak cover kerugian semua projek dia yang gagal itu.”

“Projek tu belum gagal.  Cuma berhenti sekejap aje sementara masih dalam siasatan.”

“Tak gagal apa kalau ada yang dah mati!”  selar Tan Sri Zain pada adiknya yang cuba membantah.

“Aku nak tengok, sejauh mana dia nak berlagak kuat.  Kalau dah lembik tu, lembik jugalah.  Aku tunggu aje dia datang melutut depan aku minta tolong!” 

Jujurnya, dia sendiri telah lupa bilakah kali terakhir Fuzah mengungkap perkataan tolong itu sendiri.  Seperti tidak pernah. 

Mendengarkan kata-kata abangnya, Zana kembali menyepi. Kerana dia tahu, apa sahaja bantahan tak akan beri kesan malah akan menjadikan keadaan lebih teruk daripada sebelumnya. 

“Tapi, betul ke dia tak sihat?  Semua orang cakap dekat aku dia nampak Fuzah tu macam sakit.”

“Abang baru nak tanya kesihatan dia?”  soal Zana.  Walau nadanya lembut tapi jelas memerli.

“Aku tak kisah dia nak sakit ke apa!”  bentak Tan Sri Zain bila mendengar nada sinis adik perempuannya.

“Tapi, aku nak pesan satu aje. Kau dan dia kena pastikan, jangan ada orang tahu!  Ramai menunggu aje nak ambik kesempatan nanti.  Dia masuk kecemasan HKL pun dah cukup buat aku pening.”

Seketika, bicara antara mereka sepi.  Zana senyum sendiri.  Akhirnya, harta, maruah, pangkat dan hanya itu yang penting.  Tiada langsung kerisauan pada si anak.  Dia tertanya, sejauh mana ketamakan dan sikap pentingkan diri abang kandungnya ini akan bertahan.  Di manakah segalanya akan berakhir?  Adakah ia akan terhenti dengan sebuah kematian?  Apakah mereka akan terus menderita selagi lelaki ini bernyawa? 

“Kau dengar tak ni?!”  sergah Tan Sri Zain.

“Kau ingat Zana… kalau Fuzah tu silap, bukan dia aje kena.  Kau pun akan sekali kena.  Kalau kau yang buat silap, aku akan hukum Fuzah lebih daripada sepatutnya…”

“Ya, Zana faham,” balas Zana.  Terasa begitu jijik untuk dia terus memanggil lelaki ini abang. 

Sebaik sahaja talian mati, Zana tolak semula daun pintu.  Mendekati Fuzah yang langsung tidak menoleh.  Biasanya, Fuzah akan siapkan kerja di dalam bilik kerja.  Hari ini, di memilih untuk berada di dalam bilik tidur sendiri. 

“Fuzah…” Zana labuhkan duduk dekat dengan Fuzah. 

“Fuzah rehatlah dulu.” 

“Fuzah kena siapkan kerja ni, mak su.  Lagipun, Fuzah dah telan painkiller tadi.  Semua sakit dah hilang.” Bibir pucat itu tersenyum tawar. 

Menerima ayat akhir itu, buatkan mata Zana bergenang semula.  Tidak… sakit itu tidak pernah hilang.  Dia sendiri tahu.  Malah, sakit itu telah menjadi darah daging Fuzah sejak dia berusia 12 tahun lagi.  Hingga di usia dua puluh lapan pun, sakit itu tak pernah surut.  Jauh sekali mahu hilang. 

“Mak su jangan risau.  Nanti Fuzah rehat.  Sikit aje lagi.  Mak su pergilah rehat.  Esok mak su nak uruskan interview project engineer baharu.  Fuzah mungkin masuk lewat sikit esok.  Nak temankan mama dulu.  Rasa macam dah lama tak luang masa dengan mama.”

Zana kemam bibir.  Tak mampu meluah biarpun sepatah kata.  Fuzah meluah bagai tiada apa yang terjadi. 

“Yalah.  Mak su pergi rehat dulu.  Tapi sebelum tu mari nak tengok luka ni…”  Zana sekadar menarik lengan Mahfuzah yang dibalut kemas.  Nampak masih ada darah segar yang belum kering sepenuhnya walau telah disapu ubat.

Dia angkat tubuh.  Berlalu ke belakang Mahfuzah.  Diselak sweatshirt yang dipakai dan melihat luka baharu malah parut lama juga.  Nampak kekuningan dengan sapuan ubat luka. 

“Belakang ni dah kering,” ujar Zana. 

“Esok mak su panggil Doktor Hanan minta dia check luka tu…”

“Tak perlulah, mak su.  Mak su kan dah rawat Fuzah.  Semua dah okey.  Jangan susahkan Doktor Hanan pasal luka kecil ini.  Oh… dia ada telefon mak su pasal Anas?” 

Hurm… ini yang mak su nak cakap.  Mak su dah minta orang hantar Anas ke safe house Fuzah…”.

Fuzah angguk kecil.  Rumah itu satu-satunya aset yang dibeli dengan nama orang lain bagi mengelak ayah kesan aset miliknya.  Tempat yang dia sangat perlukan untuk waktu-waktu begini.  

“Mak su tolong uruskan apa yang patut.  Belanja keluarga dia jangan lupa,” pesan Fuzah.

“Yalah.  Yang tu jangan risau.  Mak su akan uruskan.  Interview esok pun, mak su akan urus.  Fuzah tu… tidur awal…”

Hurm… lepas jenguk mama nanti, Fuzah terus tidur.” 

Zana tunduk mengucup kepala Fuzah dan terus berlalu keluar.  Saat dirapatkan pintu, dia bersandar di situ buat seketika.  Dadanya sesak dan dia hampir tak dapat bernafas. 

Berharap semua ini akan berakhir. 

Lima belas tahun, bukanlah satu tempoh yang seketika. 

Lima belas tahun, tidakkah cukup lagi untuk Mahfuzah menderita. 


7 comments:

  1. Tq rm. Xpernah kecewa dgn surprise. Rindu nk bc crita rm. Ni pun dh tertunggu2 yg seterusnya...

    ReplyDelete
  2. Sis rm.... Kat mn fuzah dan luth mgu ni???..

    ReplyDelete
  3. Salam sis rm... Hrp2 sihat selalu.... Knp.lama sgt ni.... 🤔🤔🤔. Ada tall.sambugnyer @ tgu novel jer ni? X sabarrrr

    ReplyDelete
  4. Penantian sgguh menyeksakan....

    ReplyDelete
  5. Salam sis rehan...apa kbr??? Kenapa sepi tanpa berita??

    ReplyDelete
  6. Semoga sis rehan sihat2 selalu ut terus menulis.... Akk loves yr writings

    ReplyDelete