Thursday, August 01, 2024

RAPUH 6

SEPERTI yang ditelah, Doktor Hanan pasti akan mencadangkan untuk Anas menerima rawatan lanjut di klinik milik lelaki itu.  Bagi memastikan tiada kecederaan yang lebih serius.  Fuzah hanya mampu bersetuju.  Dia mengharapkan tiada yang lebih buruk berlaku kepada Anas.  Pemuda ini adalah harapan keluarganya. 

“Apa-apa, uncle beritahu saya terus, ya?  Lagi satu, tolong jangan sampai ayah tahu,” pinta Fuzah. 

Walaupun Doktor Hanan adalah antara orang yang setia dengan ayahnya, tetapi dia tahu, lelaki ini masih ada rasa empati.  Sejak dulu, dia tahu Doktor Hanan bersimpati pada dirinya.  Pandangan lelaki itu sentiasa penuh dengan kebimbangan.

“Luka kepala Fuzah tu pun kena check juga.”

“Tak apa.  Sikit aje ni.  Kejap lagi saya minta mak su cuci dan letak ubat.  Yang penting sekarang, pastikan Anas tak apa-apa.  Nanti dah selesai, uncle beritahu saya.  Saya hantar orang untuk jemput dia.  Dalam keadaan macam itu, dia tak boleh nak balik rumah sendiri.”

Doktor Hanan mengangguk.  Dia hanya mampu bersimpati tetapi, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.  Tan Sri Zain terlalu berkuasa. 

Uncle balik dulu.  Nanti ada masa, datang klinik.  Kita buat check-up.  Melihat wajah risau Mahfuzah, Doktor Hanan pantas menambah. “Regular check-up aje.” 

Hurm… yalah.”  Fuzah angguk. 

Menghantar Doktor Hanan pergi bersama Anas.  Dia pegang sisi kepalanya.  Rasa pening itu sudah lama hilang.  Sakitnya juga sudah hampir tiada.  Hanya pedih kesan luka.  Rasanya, hayunan ayah tidak sekuat dahulu.  Jika tidak, pastilah dia sudah tidak sedarkan diri.  Boleh jadi, kerana faktor usia.  Tapi, sikap baran ayah, kian merebak seperti barah yang tak mampu disembuhkan lagi.  Tidak juga dapat dikawal. 

“Mari mak su cuci luka Fuzah.” 

Fuzah menoleh.  Mengikut sahaja ibu saudaranya.  Mereka duduk di sofa.  Masih jelas kesan darah Anas yang ada di permaidani yang diimport daripada Kashmir itu. 

“Mak su rasa karpet tu boleh dicuci ke?”  Soal Fuzah semasa Zana sedang fokus mencuci lukanya. 

Zana menoleh.  Dia tahu kenapa Fuzah ajukan soalan demikian.  Kerana permaidani itu adalah pilihan kakak iparnya.  Ibu Fuzah. 

“Nanti mak su suruh orang cucikan.  Kalau tak dapat cuci, mak su minta orang ganti yang serupa.”

“Terima kasih, mak su…” ucap Fuzah lemah.  Dia bersandar pada kerusi, membiarkan ibu saudaranya terus mencuci luka. 

“Kenapa Fuzah sekat masa ayah Fuzah nak pukul Anas?”  soal Zana.  Ada nada sebak di dalam alunan suaranya.

“Sebab dia tak bersalah, mak su.  Fuzah tak nak orang lain terus jadi mangsa ayah lepaskan amarahnya.  Pelik.  Dulu masa Fuzah masih budak-budak, ayah kerap pukul Fuzah dengan alasan nak didik Fuzah jadi kuat.  Bila dia paksa Fuzah belajar MMA, dia suruh pengajar tu pukul Fuzah macam kami musuh ketat.  Sekarang, Fuzah dah dewasa.  Fuzah dah puas bertahan.  Fuzah tak akan menangis macam dulu lagi.  Tapi, kenapa ayah kena pukul orang lain pula?” 

Mahfuzah pejam mata.  Segala yang pernah berlaku ketika dia kecil sentiasa segar dalam ingatan.  Tidak akan pernah hilang selamanya.  Dia ingat tangisan dan rayuannya.  Dia masih rasa sakit akan segala luka.  Lebam dan retak itu adalah perkara biasa.  Bukan sekali dia tak sedarkan diri kerana dipukul teruk oleh pengajar seni pertahanan dirinya itu.  Kerap kali dia tersedar hanya untuk tahu, tubuhnya sudah terlantar di atas katil. 

Kebencian ayah kepadanya menyebabkan lelaki itu berubah menjadi lebih buas daripada binatang liar yang kelaparan. 

Mata dibuka.  Dia pandang siling dapur dengan renungan kosong.  Entah perasaan apa yang berbaki dalam dirinya.  Semakin hari, dia kian menjadi seperti ayahnya.  Tiada beza antara mereka kerana mereka adalah darah daging yang sama.  Lantas, untuk apa dia persoalkan sikap ayah? 

Kerana sejak dulu, dia sentiasa berusaha dan terus mencuba untuk menjadi bayang figura seorang ayah yang sangat disayangi.  Menjadi pengganti kepada yang telah pergi.  Harapan yang kian punah, disebabkan Fuzah sendiri.

Boleh jadi kerana tubuh yang masih lemah, kelopak mata Fuzah makin layu.  Dia hampir terlelap apabila terdengar bunyi kaca pecah daripada atas.

Dia membuka mata.  Menoleh pada mak su.

“Mama!”  Tak menanti, dia bangkit dan berlari memanjat anak tangga. 

Saat dia tiba di muka pintu, daun pintu itu terlebih dahulu dibuka dan penjaga mama berlari keluar dengan jeritan dan tangisan.

“Kenapa…”

Belum sempat dia ajukan soalan, pinggan kaca itu terbang melayang.  Mujurlah dia sempat menghadang dengan lengannya. Namun, kaca itu tetap juga membelah lengannya.  Darah merah terus mengalir.  Perlahan-lahan, dia rapati mama yang sedang mengamuk. Tidak dipedulikan lukanya yang agak teruk.

“Mama?”  seru Mahfuzah perlahan.  Dihulur tangan yang tidak luka. 

“Ini Fuzah...”

“Pergi!  Kau pergi!  Aku benci keturunan kau.  Aku menyesal beranakkan keturunan kau!  Aku haramkan air susu aku.  Aku haramkan setiap titis darah aku yang mengalir sebab nak lahirkan kau!”  jerit mama kuat.

Jeritan mama tak dihiraukan.  Sebaliknya, dia terus ke depan biarpun mama mencampakkan segala barang yang mampu dicapai padanya.

Ditepis berkali-kali.  Tak kiralah yang lembut atau keras.  Dia tetap menepis.

“Mama, ini Fuzah.”

“Pergi.  Aku benci kau!  Aku benci keturunan ni!”  Mahazera terus menjerit.  Meramas dan menarik rambut sendiri. 

“Jangan pegang aku.  Jangan!”  Dia tolak tangan Fuzah yang cuba memegangnya. 

“Kau pembunuh.  Sebab kaulah semua orang merana!  Kau puncanya! Kau bunuh anak aku!  Kau bunuh dia!  Aku benci kau!  Aku harap kau yang mati!  Bukan dia!  Kami boleh bahagia bersama!  Bukan dengan kau!”

Fuzah memujuk hati untuk bertahan.  Apatah lagi bila dia berjaya memeluk jasad mamanya. 

“Mama?”  Suara Mahfuzah lembut mendayu.  Dia akhirnya berjaya menyapa pipi pucat mama dan dielus perlahan.

Barulah Mahazera sedikit tenang.  Wajahnya berkerut.  Direnung wajah di depannya dan airmata itu mengalir. 

“Mahfuzah?”  soalnya.

Hurm…” Fuzah angguk. 

“Ini Fuzah.  Fuzah ada dengan mama,” ujarnya lantas dipeluk tubuh itu dan dielus belakangnya perlahan.

Kali ini, dia dengar esakan halus mama.  Dia dapat rasa tangan mama sedang hinggap di belakangnya.  Walau tiada elusan, ini sudah lebih daripada cukup.  Dan, bila akhirnya dia dapat rasa telapak tangan mama menepuk belakangnya perlahan, air mata Fuzah mengalir perlahan.  Tak sedar, ada esakan pada hujungnya. 

“Kenapa Fuzah nangis?  Ayah pukul Fuzah?” 

Mahfuzah menggeleng. 

“Ada mama yang selalu lindung Fuzah, tak ada siapa berani apa-apakan Fuzah…”

“Tapi, kenapa Fuzah menangis?  Atau Mahfuz buli Fuzah?”  Mahazera tolak bahu anak gadisnya.  Merenung wajah itu dengan penuh tanda tanya.

“Mana budak bertuah tu.  Biar mama piat telinga dia.  Berapa kali nak pesan.  Membuli aje kerjanya…” Mahazera bangkit. 

“Mama…” Mahfuzah menarik tangan mama.  Menggeleng perlahan bila mama memandangnya. 

“Mama nak cari Mahfuz.” Mahazera tarik tangan dan dengan mudah Mahfuzah melepaskan kerana tak mahu menyakiti mama. 

“Abang dah tak ada, mama.  Abang Mahfuz dah lama tak ada,” ujarnya perlahan.  Walau sekadar bisikan.  Dia tak sangka mama mendengarnya.

Langkah Mahazera mati.  Dia toleh pada Fuzah.

“Apa Fuzah cakap?” 

“Abang dah lama meninggal.  Sekarang, hanya ada Fuzah…” 

Biasanya, dia akan mengikut rentak mama.  Memujuk mengatakan abangnya masih belum balik.  Tapi kali ini, jiwanya terasa sangat penat.  Dia perlukan mamanya sejak sekian lama. Tapi, mama sudah begitu jauh daripadanya walau ada di depan mata. 

“Tipu!”  Mahazera mula menjerit. 

“Kau tipu!”  Mahazera meluru pada Mahfuzah.  Dicengkam rambut itu sekuat hati.  Ditampar wajah indah itu berkali-kali.  Tanpa belas. 

Sekuat mana cengkaman dan tamparan tersebut, Mahfuzah tidak langsung menyeringai. 

“Maafkan Fuzah, mama,” ucapnya. 

Mata Mahazera membulat.  Dia lepaskan rambut Fuzah.  Air matanya mengalir laju.

“Ya… dia mati sebab kau bunuh dia.  Kau bunuh anak aku!  Kau yang patut mati.  Bukan anak aku!  Kau yang patut mati!”  jerit Mahazera seraya memukul dan terus mencakar seluruh tubuh lemah Fuzah. 

Tidak dapat berbuat apa lagi, Fuzah terus memeluk mama sekuat hati.  Membiarkan jeritan itu tajam menikam jantungnya. Walaupun dia masih dipukul tanpa henti malah dicakar, dia tetap mengeratkan pelukan kepada mamanya itu.

“Kau pembunuh!”  jerit Mahazera.

“Ya, mama.  Fuzah bunuh abang,” bisiknya perlahan dan kala ini, barulah Mahazera berhenti daripada segala tindakan liarnya. 

Dia tolak Fuzah semahunya dan direnung mata itu dengan perasaan benci. 

“Mata kau tu penuh kejahatan.  Kenapa tak kau aje yang mati daripada kau hidup dan menyeksa kami semua?” 

Fuzah pejam mata.  Air matanya jatuh ke pipi.  Ayat ini bukannya tidak pernah dihamburkan oleh mama padanya. Namun kali ini, setiap patah kata itu benar-benar menikam jantung dan perasaannya. 

Ia membunuh segalanya yang tersisa dalam dada untuk dia terus menjadi manusia.   


1 comment:

  1. bertambah kesiannnn... mesti ada sejarah hitam yg berlaku

    ReplyDelete